Artikel "Utama" Terkini
Konvensyen Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Platform Ketengah Idea Dan Ciptaan
Kumpulan Pelita dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu mempersembahkan produk yang dihasilkan pada Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Zulkifli C.W. PutraKerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan (Pengurusan Sumber Manusia) mengadakan Konvensyen Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri sebagai pemangkin kepada pelbagai jabatan dan agensi di negeri ini untuk mengetengahkan idea dan ciptaan yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak.Konvensyen selama dua hari bermula semalam di Dewan Besar, Wisma Darul Iman itu turut mengetengahkan idea yang mencakupi pelbagai bidang dan perkhidmatan yang terbukti memberikan pembaharuan dari segi kos, meningkatkan kecekapan, menentukan ketepatan dan menjamin keselesaan pelanggan.Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin berkata, pendekatan inovasi yang dilaksanakan menuntut penjawat awam supaya lebih berfikiran terbuka, dinamik dan sentiasa bersedia untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan bagi melakukan sebarang pembaharuan.“Semoga konvensyen ini terus menjadi pencetus semangat dan idea inovasi bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan khususnya dalam kalangan penjawat awam negeri ini,” ujarnya kepada Teganukita, hari ini.Menurut Zainal, konvensyen tersebut disertai 23 kumpulan terdiri daripada jabatan kerajaan negeri dan persekutuan yang membentangkan produk serta hasil projek dijalankan.“Menerusinya, setiap warga kerja diharap dapat meningkatkan budaya kecemerlangan dalam organisasi masing-masing menerusi penglibatan yang aktif,” ujarnya.Juara Konvensyen Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri kali ini bakal menerima Anugerah Setiausaha Kerajaan Negeri dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000.Majlis perasmian penutup konvensyen tersebut bakal disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, malam ini.
19 Nov 17
315
Bukit Besi Jadi Hab Tarikan Baharu Acara Ekstrem
Faktor fizikal kawasan Bukit Besi, Hulu Dungun yang dahulunya terkenal sebagai kawasan pelombongan biji timah mempunyai potensi luas untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan baharu di negeri ini, khususnya bagi penggemar sukan ekstrem.Bukit Besi Rainforest Endurance Park (BBREP) yang mula dibuka sejak November lalu kini kian popular dan mampu menjadi tarikan ramai peminat aktiviti lasak seperti sukan kuda lasak, All Terain Vehicle (ATV), marathon, motocross, basikal mountain bike dan mature hiking.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Roslee Daud berkata, pihaknya kini giat berusaha untuk menerokai potensi pelancongan yang boleh diketengahkan supaya dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat selain tumpuan kepada aktiviti lasak seperti ATV dan basikal mountain bike.Katanya, menjadi hasrat penduduk setempat supaya Bukit Besi membangun seperti zaman kegemilangannya yang pernah menjadi tapak perlombongan terkenal suatu ketika dahulu."Dengan adanya pusat eko-pelancongan seperti Bukit Besi Rainforest ini, ianya dapat memberi banyak kebaikan untuk orang tempatan seperti mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia di kawasan sekitar."Banyak aktiviti yang sedang dirancangkan untuk merancakkan lagi kalendar pelancongan seperti kejohanan ATV yang terbuka kepada peserta dalam dan luar Terengganu,"katanya.Beliau ditemui media dalam lawatannya ke Bukit Besi Rainforest Endurance Park, Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun.Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia Pejabat Negeri Terengganu, Zaleha Zainuddin dan Pengarah Urusan Alam Perkasa Technology, Mohamad Ngah.BBREP mempunyai trek lasak serbaguna sepanjang 31 km yang digunakan untuk pelbagai aktiviti lasak sukan kuda lasak, ATV, marathon, motosikal lasak, basikal lasak dan sebagainya.
19 Nov 17
1163
Gagal SPM, Dorong Muhammad Asyraf Raih Kejayaan
Muhammad Asyraf (kanan) dan R Malvindran (kiri) menunjukkan anugerah yang diterima. Foto oleh Tengku Syamim Tengku IsmailGagal memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi pendorong kepada Muhammad Asyraf Afif Ramli, 26, untuk mencapai kejayaan sewaktu menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).Keazamannya itu membuahkan hasil apabila Muhammad Asyraf dinobatkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Istiadat Konvokesyen UMT Ke-15, di atas kecemerlangannya memperoleh Anugerah Dekan bagi semua lapan semester, semalam.Penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling itu sebak dengan kejayaan diraihnya, sekali gus gembira dapat membanggakan kedua ibu bapanya dan membuktikan dia juga mampu cemerlang dalam akademik seperti adik beradiknya yang lain."Dahulunya saya seorang yang tiada keyakinan diri. Malah, keputusan SPM juga tidak membanggakan sehingga saya tidak mendapat tawaran daripada mana-mana universiti awam."Namun, peluang melanjutkan pengajian ke UMT saya gunakan sepenuhnya untuk menebus kekecewaan lalu dan alhamdulillah segala usaha keras saya berbaloi apabila dipilih menerima anugerah kecemerlangan tertinggi ini," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UMT Ke-15 di Dewan Sultan Mizan Zainal Abidin, UMT.Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT berkenan berangkat ke istiadat konvokesyen berkenaan.Anak kedua daripada tiga beradik itu juga gemar mengikuti program sukarelawan sehingga dianugerahkan sebagai Tokoh Siswa 2016 dalam kategori Pemimpin Sukarelawan (Terbuka) di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi.Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah penuntut Sarjana Muda Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim, R Malvindran, 24.Malvindran berkata, kejayaan itu diharap dapat membolehkannya membantu mengubah kehidupan keluarganya selepas bekerja kelak."Ayah saya bekerja sebagai pemandu van sekolah dan ibu hanya suri rumah. Setiap kali cuti semester saya akan bekerja sebagai guru tuisyen bagi membantu keluarga."Saya harap kejayaan ini akan dapat membantu keluarga dan ayah saya tidak perlu bekerja lagi selepas ini," katanya.Malvindran turut aktif dalam bidang kokurikulum, dan tesis yang dihasilkan beliau dipilih untuk dibahaskan serta diterbitkan ketika menyertai Persidangan Pendidikan Antarabangsa di Hong Kong, Mei lalu.Seramai 2,717 graduan diraikan pada istiadat konvokesyen kali ini yang berlangsung semalam hingga esok.
19 Nov 17
191
Sukan Lasak ATV Ikon Terbaru Pelancongan Di Bukit Besi
Sukan lasak All Terrain Vehicle (ATV) akan menjadi satu ikon tarikan terbaru di Bukit Besi Rainforest Endurance Park (BBREP) Dungun bagi penggemar sukan ekstrem.Pengarah Urusan Alam Perkasa Technology, Mohamad Ngah berkata, Sukan ATV di BBREP berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi eko-pelancongan yang menjadi pusat sukan lasak di Daerah Dungun dan Negeri Terengganu."Kita mempunyai trek lima kilometer dan 25 kilometer yang mengambil masa hingga empat jam dengan jalan naik dan turun bukit serta meredah laluan sukar yang penuh lumpur memberi cabaran untuk melepasinya yang menguji ketahanan mental serta fizikal."Harga yang dikenakan adalah berpatutan dan bagi laluan lima kilometer hanya RM50 dikenakan dan merupakan kadar terendah di negara ini di samping pemandu dapat menghayati keindahan alam sekitar yang terdapat di BBREP," katanya kepada media yang turut diberi peluang mencuba menaiki ATV di Bukit Besi Rainforest, Dungun, semalam.Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud dan Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Zaliha Zainuddin.Menurut Mohamad, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan tempahan untuk hujung minggu sentiasa penuh walaupun baru beroperasi sejak sebulan lalu dengan kehadiran pengunjung dari Dungun dan Kuala Terengganu dan ia mula dapat perhatian pengunjung dari luar Terengganu termasuk dari Kuala Lumpur."Kami juga akan menyediakan pakej pertandingan bersama penginapan bagi kemudahan pengunjung dan perbincangan telah pun dibuat dengan pengusaha homestay di sekitar Bukit Besi untuk membantu meningkatkan pendapatan mereka secara kolaborasi bersama."Pihak kami bercadang untuk melaksanakan kejohanan ATV pada setiap bulan dan pertandingan kejuaraan ATV pada akhir tahun dengan menghimpunkan peserta yang meraih banyak mata. Penganjuran sukan ini bakal menarik minat penaja besar seperti red bull dan petronas," katanya lagi.Selain ATV, beberapa sukan lain turut disediakan di BBREP seperti sukan kuda lasak, marathon, motorcross, basikal mountain bike dan mature hiking."Pada 17 Februari depan kita akan anjurkan Mountain Bike Jamboree yang mensasarkan seramai 1,000 peserta dari dalam dan luar Terengganu."InsyaAllah, pihak kami juga sedang menyiapkan trek khas untuk motorcross lima kilometer yang akan siap pada minggu depan selain trek 31 kilometer yang sedia ada,"ujar Mohamad.
18 Nov 17
1219
KRT Perlu Manfaat Media Sosial Di Terengganu
Burhanuddin Daud Kawasan Rukun Tetangga (KRT) diTerengganu perlu memanfaatkan media sosial sebagai platform mempromosikan program atau maklumat berkenaan peranan badan sukarela itu kepada orang ramai di negeri ini.Pengarah Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu , Burhanuddin Daud berkata, maklumat yang disampaikan perlulah tepat dan benar bagi memastikan masyarakat mengetahui kewujudan dan peranan KRT dalam komuniti."Kita mempunyai 491 KRT di seluruh negeri dan kesemuanya digalakkan membuka akaun facebook, twitter ataupun instagram bagi membuat hebahan maklumat dengan lebih cepat."Ini selaras dengan perkembangan terkini dunia tanpa sempadan, tanggungjawab KRT juga menjadi mencabar dalam memasarkan maklumat kepada rakyat di peringkat akar umbi tanpa ada yang tertinggal," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Perasmian Pusat Internet 1Malaysia(PI1M) Kuala Kejir & Tengkawang, di Kuala Kejir, Hulu Terengganu. hari ini.Katanya lagi,media sosial memainkan peranan penting pada masa kini dan tidak ada siapa boleh menafikan pengaruhnya yang mampu mengubah senario dan landskap sesebuah negara.Kira-kira 87 peratus maklumat berita diperolehi generasi sekarang melalui media sosial, manakala selebihnya (media konvensional).
18 Nov 17
134
SKMM Garis Peraturan Data Diperolehi Syarikat Terkawal
Jailani menandatangani plak perasmian PI1M Di Kampung Kuala KejirSuruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM)menggariskan beberapa peraturan kepada syarikat sebagai pengguna data bagi memastikan perolehan data terkawal.Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Seri Jailani Johari berkata, syarikat terlibat tidak boleh berkongsi data tanpa tidak mendapat kelulusan daripada pemilik (data subjek)dan ini telah digariskan oleh kementerian melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi."Ini termasuklah dua kes terbaru yang melibatkan Lowyat dan Bank CIMB. Saya difahamkan dalam kes Lowyat, kita mendapati bahawa ada beberapa perkara yang dirasakan tidak mendapat persetujuan data subjek dan perkara tersebut kini dalam siasatan.“Termasuk juga dalam kes Isu kehilangan pita data sokongan CIMB pada 13 November bukan sahaja melibatkan data itu sendiri tetapi fizikalnya turut hilang dalam transit..ia dibawa dalam satu tempat kepada satu tempat lain dan benda ini juga telah diakui oleh pihak CIMB bahawa ada kelonggaran dalam sistem mereka dan ia telah diambil tindakan yang sewajarnya pihak bank,"kata Jailani kepada pemberita di Majlis Perasmian Pusat Internet 1Malaysia(PI1M) Kuala Kejir & Tengkawang, di Kuala Kejir ,Hulu Terengganu, hari ini.Jailani yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu turut meminta agar orang ramai sentiasa berhati-hati dalam menggunakan internet terutamanya media sosial yang memerlukan untuk menyerahkan data peribadi.Jelasnya, sebagai pengguna tidak perlu menyerahkan data peribadi kita sewenang-wenangnya melainkan ia benar-benar diperlukan untuk sebarang urusan rasmi dengan jabatan atau agensi kerajaan dalam talian."Kita juga harus berhati-hati ketika melakukan pembelian dalam talian. Sentiasa semak laman sesawang yang menawarkan produk atau perkhidmatan yang kita ingin beli, sama ada mereka ini boleh ada kredibiliti dan boleh dipercayai...dan pengguna harus klik pautan dengan bijak."Jangan kita sewenang-wenang berkongsi... termasuk gambar anak dan kawan yang memudahkan orang ambil dan tularkan, apabila sudah tular maka susahlah untuk kita ambil tindakan,"katanya.Tegasnya lagi, SKMM sebagai agensi teknikal akan sentiasa membantu agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM)untuk mengesan siapa yang terlibat dalam kebocoran data peribadi bagi menangani jenayah siber.
18 Nov 17
53
Larangan Bertudung Mengarut - Ahmad Razif
Ahmad Razif (tengah) bersama sebahagian Puteri UMNO di Majlis Perjumpaan Puteri UMNO Cawangan-Cawangan Seluruh Negeri Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Oleh. Zulkifli C.W. Putra Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman membidas larangan bertudung kepada wanita Islam yang bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (front line desk) hotel dan menyifatkan larangan itu sebagai menafikan kebebasan beragama.Menurutnya, tindakan itu adalah sesuatu yang berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan.“Kita mana boleh ada konsep atau ada arahan yang macam itu, tidak betul. Ianya hak individu.“Kita tidak boleh menentukan bahawa pekerja yang kita ambil itu syaratnya tidak boleh pakai tudung, ini suatu perkara yang mengarut.“Kena hormatlah, negara kita adalah negara yang mengamalkan Islam sebagai agama rasmi dan jelas kita turut menghormati agama lain,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Puteri UMNO Cawangan-Cawangan Seluruh Negeri Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.Turut hadir, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan pemilik hotel yang melarang pekerja hotel di bahagian perkhidmatan pelanggan bertudung.Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum, Sumber Asli, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri menentang sekeras-kerasnya perkara terbabit.“Saya sudah mengarahkan Pihak berkuasa Tempatan membuat semakan ada atau tidak hotel di negeri ini mengenakan syarat sedemikian, kalau ada kita tidak akan benarkan hotel tersebut beroperasi. “Ini adalah amaran keras daripada kerajaan negeri,” ujarnya.Baru-baru ini Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan.Isu ini tercetus apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan kakitangan hotel mengadu pekerja wanita Islam diarahkan menanggalkan tudung mereka.
18 Nov 17
47
Sultanah Terengganu Teruja Perkembangan Kampus UMT Bukit Kor
Sultanah Terengganu berkenan menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat kepada Dr Mazlan Madon kepada pembukaan Majlis Konvokesyen UMT ke-15 Sidang Pertama di Dewan Sultan Mizan, UMT, Kuala Nerus. Foto oleh Tengku Syamim Tengku IsmailSultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah teruja dengan perkembangan kampus baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Bukit Kor, Marang.Baginda yang juga Canselor UMT bertitah, pemilikan tapak baharu Kampus Bukit Kor seluas 242 hektar itu, bukan sahaja dapat mengatasi masalah kepadatan di kampus sedia ada, tetapi juga membolehkan UMT terus merancang untuk perkembangan dan penempatan bidang-bidang pengajian baharu di masa akan datang.Titah baginda lagi, sebagai universiti yang bernaung di bawah payung negeri, baginda berharap pengurusan universiti merancang sebaik mungkin, agar pembangunan Bukit Kor akan menjadi mercu tanda UMT dan juga Terengganu."Sebagai Canselor, beta akan memberi sokongan dan dorongan, demi mengangkat universiti ini menjadi universiti awam terunggul dalam negara, serta menjadi rujukan bidang penyelidikan di peringkat global. Justeru, beta menyeru kepada semua warga UMT, agar dapat bersatu hati dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab mendidik anak bangsa," titah baginda dalam ucapan pembukaan Majlis Konvokesyen UMT ke-15 Sidang Pertama, di Dewan Sultan Mizan, UMT, Kuala Nerus, hari ini. Turut berangkat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan anakanda baginda, Tengku Fatimatuz Zahra’.Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmaf Razif Abd Rahman dan isteri, To’ Puan Seri Halina Zakaria; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr Nor Aieni MokhtarBaginda juga berbangga dengan peningkatan jumlah graduan pasca siswazah seramai 204 orang, berbanding 165 orang pada tahun lepas."Ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan dan membuktikan kecemerlangan pelajar, penyeliaan para pensyarah dan pengurusan pengajian siswazah.“Sukacita beta mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan para graduan di atas kejayaan cemerlang yang dicapai dan dizahirkan dalam konvokesyen kali ini,” titah baginda.
18 Nov 17
837
Sembilan Sekawan Pegawai UMT Terima Ijazah Sarjana
Sembilan pegawai UMT dari pelbagai skim dan gred jawatan berjaya menamatkan pengajian dan menerima segulung ijazah sarjana. Foto oleh Tengku Syamim Tengku IsmailBekerja, belajar dan bersama-sama bergraduasi. Mereka adalah sembilan pegawai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dari pelbagai skim dan gred jawatan yang berjaya menamatkan pengajian serta menerima ijazah sarjana sempena Majlis Konvokesyen UMT Ke-15, di Dewan Sultan Mizan, UMT, Kuala Nerus, hari ini.Istiadat pembukaan majlis konvokesyen meraikan 2,717 pelajar berkenaan disempurnakan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT.Turut berangkat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan anakanda baginda, Tengku Fatimatuz Zahra’.Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmaf Razif Abd Rahman dan isteri, To’ Puan Seri Halina Zakaria; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar.Sembilan kakitangan UMT berkenaan enerima Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) itu adalah Afandi Abdul Ghani yang berjawatan sebagai Pegawai Laut, Azize Abdullah (Jurutera Kanan), Kamal Talib (Pegawai Belia dan Sukan) serta Mohd Ruhaifi Alias dan Mohd Yusmiza Mamat masing-masing menjawat Penolong Daftar Kanan.Penerima lain, Ahmad Fazli Mohamed, Mohd Juhari Abd Kadir dan Mohd Ridzuan Mamat masing-masing merupakan Pegawai Kewangan serta Munirah Ahmad yang menjawat Penolong Akauntan.Daripada 2,717 graduan, turut diraikan 41 graduan yang dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PHD), Sarjana (163), Sarjana Muda (2,384) dan Diploma (129).UMT sebagai institusi pengajian tinggi turut membantu dan memberikan bantuan dari segi kewangan dan juga kemudahan lain kepada mana-mana kakitangan yang mahu melanjutkan pelajaran.
18 Nov 17
401
Tabung Wakaf UMT Sumbang RM1 Juta Kepada Maidam
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di bawah Tabung Waqaf Ilmu UMT menyumbangkan sebanyak RM1 juta wakaf tunai kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).Tabung yang mula ditubuhkan dengan kerjasama Maidam berkuatkuasa 2016 lalu dengan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertujuan untuk memanfaatkan serta diagihkan kepada pihak yang layak menerima wakaf.Selain itu, ia juga bagi tujuan keilmuan seperti Biasiswa Wakaf Pendidikan UMT kepada para pelajar, Geran Penyelidikan kepada para pensyarah dan pembinaan prasana untuk kemudahan pelajar dan warga UMT.Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, kutipan sebanyak RM1 juta tersebut adalah hanya daripada warga UMT sahaja."Walau bagaimanapun, kami amat mengalu-alukan komitmen para hadirin untuk sama-sama terus membantu menyalurkan sumbangan kepada pelajar melalui portal MyEhsan," katanya ketika berucap dalam Majlis Santapan Malam Sempena Majlis Konvokesyen Ke-15 UMT di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis tersebut.Turut hadir Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, To' Puan Seri Halina Zakaria; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail.Dalam majlis yang sama, Sultanah Terengganu berkenan menyempurnakan sumbangan Tabung Waqaf Ilmu UMT dan penerimaan tajaan 'endowmen' berjumlah RM150,000 dari RHB Islamik Sdn Bhd.Selain itu, Sultanah Nur Zahirah berkenan merasmikan Majlis Pelancaran Buku Ikan Lut Sinar terbitan Penerbit UMT bersama-sama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).
18 Nov 17
241