Artikel "Utama" Terkini
PRU14: BN Pastikan Pengundi ‘Putih’ Keluar Mengundi -Basir
Semua jentera parti terutama Jalinan Rakyat (JR) perlu memastikan semua pengundi 'putih' menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti untuk memastikan Barisan Nasional (BN) kekal mentadbir negeri ini.Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Dato’ Basir Ismail berkata, JR yang sudah mengenali sikap setiap pengundi perlu memainkan peranan sebaik yang mungkin supaya pengundi tidak mensia-siakan waktu bagi menunaikan hak mereka menjelangnya 9 Mei ini."JR sudah mengenal pasti siapa pengundi berdaftar di kawasan masing-masing, di mana mereka mengundi serta kecenderungan politiknya."Peranan JR adalah untuk menjaga pengundi di kawasan masing-masing. Apabila seseorang itu sudah dikenal pasti sebagai pengundi 'putih' (mengundi BN), maka JR harus sentiasa berhubung rapat dengannya dan memastikan individu itu pergi mengundi pada pilihan raya ini. Setiap undian amat bermakna," katanya.Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika berkunjung ke Pusat Media PRU14 di Hotel Permai, hari ini.Basir yang juga Pegawai Penyelaras Parlimen Kuala Nerus berkata, pada PRU12 contohnya, seramai 801 pengundi yang layak mengundi dan cenderung mengundi BN di DUN Tepoh tidak keluar mengundi menyebabkan BN kehilangan separuh daripada jumlah kerusi berkenaan.“Hasil analisis saya, semasa pilihan raya 2008 dulu, daripada jumlah itu (801) terdapat ahli UMNO sendiri yang tidak keluar mengundi dan ianya antara penyebab kita kalah waktu itu."Mengambil iktibar ini, pada PRU14 ini saya akan memastikan JR di DUN Tepoh khususnya memainkan peranan mengenalpasti dan mengajak pengundi ‘putih’ keluar mengundi,” ujarnya.
30 Apr 18
295
PRU14 : BN Akan Kekal Di Hati Pengundi Permaisuri
Calon Barisan Nasional (BN) Permaisuri, Dato’ Abd Halim Jusoh menganggap pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) nanti bukan satu laluan mudah untuk BN mengekalkan penguasaan di DUN dan Parlimen Setiu.Katanya, menyedari hakikat itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri itu tetap akan berkempen seperti biasa selain memastikan keamanan di situ terpelihara."Jika dulu saya pernah bertanding dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-12, ketika itu dua penjuru sahaja, tapi kali ini (PRU14) persaingan dengan PKR dan juga Pas."Saya calon yang pernah berkhidmat di DUN ini dan yakin BN akan kekal (menang) lagipun bila berjumpa mereka (masyarakat), mereka masih ingat apa yang saya lakukan kepada mereka ketika itu," katanya.Abd Halim juga berkata, beliau juga sama sekali tidak akan mengganggu calon lain yang bertanding dalam tempoh berkempen ini sebagai menghormati perjuangan dan strategi masing-masing."Bila berkempen saya lebih suka menceritakan kebaikan atau kejayaan-kejayaan yang dibuat untuk rakyat sekali gus mahu rakyat bijak menilai dari fakta yang diberikan ini."Tidak pernah sesekali saya menceritakan keburukan pihak lawan, itu cara saya," katanya.
30 Apr 18
394
PRU14: Pengundi Di Tepoh Perlu Bijak Menilai
Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh sewajarnya menilai kembali perubahan dan pembangunan yang dilaksanakan sepanjang pemimpin pembangkang mengambil alih kawasan itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Dato' Basir Ismail berkata, penilaian yang dibuat perlu tepat, adil dan berfokus kerana setiap prasarana yang dibangunkan seperti pembinaan jalan raya dan perumahan dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).Katanya, walaupun menyedari kawasan itu dipimpin pembangkang, Keraajaan BN tetap setia melaksanakan tanggungjawab untuk rakyat.“Sebagai contoh, perubahan ketara yang sudah dinikmati penduduk di kawasan itu adalah pembinaan jalan raya bermula dari Gemuroh menghala ke Manir-Banggol Tuan Muda kemudian melintasi Kampung Pulau Sekati- Losong dan seterusnya boleh ke Pusat Bandar Kuala Terengganu.“Sejak perasmian jalan itu dan juga pembukaan Lebih Raya Pantai Timur II dua tahun lalu, peniaga kedai makan, kedai buah, pasar basah dan pasar malam semakin mendapat sambutan orang ramai,” katanya kepada Teganukita, di Pusat Media PRU14, Kuala Terengganu, hari ini.Menurut Basir, apa yang membanggakan ada penduduk lain turut bersama-sama membuka perniagaaan kecil-kecilan sepanjang laluan itu selepas melihat peniaga sedia ada yang juga rakan sekampung bertambah maju.“Perkara itu, pastinya dapat menambah pendapatan penduduk setempat melalui perniagaan yang dijalankan,” katanya.Apabila bercakap mengenai perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat di kawasan itu, calon BN DUN Tepoh itu berkata, beliau berkata masih belum berpuas hati kerana banyak perkara yang perlu ditambah baik terutama berkaitan prasarana, kemudahan sukan dan perumahan.“Oleh itu, saya ingin berpesan kepada rakyat di Tepoh, buatlah pilihan yang terbaik pada PRU14 nanti untuk kelangsungan kemajuan dan perubahan di Tepoh,” katanya.
30 Apr 18
99
PRU14 : Zaitun Ikrar Balas Kepercayaan Pucuk Pimpinan
Calon Barisan Nasional (BN) DUN N18 Bukit Payung, To' Puan Zaitun Mat Amin berikrar untuk membalas kepercayaan pucuk pimpinan parti terhadap beliau dengan menakluki semula kerusi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekali gus membaiki segala kelemahan yang tidak diendahkan oleh pembangkang selama ini.Menurutnya, selama dua penggal rakyat terkapar-kapar dan tidak mempunyai hala tuju untuk meringankan beban serta memudahkan urusan mereka sejak BN tewas pada PRU12 dan PRU13 yang lalu."Namun begitu Kerajaan BN tetap akan membantu rakyat dengan memberi pelbagai inisiatif melalui Pegawai Pembangunan DUN untuk menangani isu rakyat...jadi sangat rugi kalau tidak merampasnya daripada Pas yang tidak menjaga kebajikan rakyat."Oleh sebab itu, sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat pada PRU14 nanti, saya akan meletakkan satu asas untuk memastikan usaha-usaha tambahan daripada pembangunan sedia ada jajaran pendidikan melalui pertumbuhan pusat-pusat pengajian atau universiti di persekitaran Bukit Kor."Termasuk juga pembangunan kawasan industri yang sudah pasti memberi impak yang baik kepada pertumbuhan kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS) dan sebagainya,"katanya.Beliau bercakap kepada Teganukita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Belia dan Beliawanis DUN Bukit Payung, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam.Zaitun berkata, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut membawa manfaat besar kepada rakyat yang akan mengubah landskap ekonomi dan kehidupan rakyat seluruh Pantai Timur terutama penduduk sekitar Bukit Payung yang turut menerima limpahan projek berimpak tinggi tersebut."Kita akan lihat makin banyak peluang pekerjaan akan terhasil daripada projek ECRL dan yang menikmatinya adalah rakyat terutama belia di kawasan ini serta pelbagai nikmat yang muncul daripada pembangunan yang pantas."Untuk anak muda, Transformasi Negara 50 (TN50) akan memfokuskan pembangunan anak muda dalam aspek pekerjaan dan perumahan dan banyak lagi peluang-peluang keemasan jika BN diberi peluang untuk merampas kembali DUN Bukit Payung pada 9 Mei ini,"ujarnya.Pada masa yang sama, beliau akan berusaha untuk menjayakan Terminal Agro yang terbengkalai setelah Pas mengambil alih Bukit Payung pada PRU12 dahulu jika diberi mandat pada PRU14.
29 Apr 18
186
PRU14 : Serikandi Terengganu Tekad Tawan Bukit Payung
Calon Barisan Nasional (BN) N18 DUN Bukit Payung, To' Puan Zaitun Mat Amin bertekad untuk membuktikan pemilihannya bagi mewakili serikandi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak sia-sia seterusnya mampu menghadiahkan DUN itu kepangkuan BN.Menurutnya, beliau tidak mempunyai masalah untuk merampasnya daripada Pas yang sudah dua penggal menguasai kawasan itu, jika mendapat sokongan majoriti pengundi yang menuntut perubahan fizikal dan modal insan di DUN itu."Setakat hari ini apabila saya mula berkempen di sekitar DUN Bukit Payung, nampaknya penerimaan masyarakat setempat sangat positif kerana calon wanita lebih dekat dengan hati pengundi."Satu gelombang besar bakal merubah pimpinan yang datang bukan sahaja daripada dalaman tetapi juga dari pengundi luar yang ghairah untuk melihat N18 dirampas kembali daripada Pas."Saya juga banyak melawat ke kampung-kampung untuk bertemu pengundi dan amat mengejutkan mereka menyambut baik saya sebagai calon wanita di sini,” katanya.Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama Belia dan Beliawanis DUN Bukit Payung, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, malam ini.Malah katanya, beliau yakin mampu memberi saingan sengit kepada penyandang sebelum ini , Mohd Nor Hamzah (Pas) yang memenanginya dengan majoriti 613 pada PRU13.“Saya telah bergiat sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang sejak 2004 lagi dan Bukit Payung adalah tempat ‘lepak’ saya bersama ahli parti wanita...ini menjadi kelebihan saya dan orang kampung untuk menerima saya dengan baik,” katanya lagi.DUN Bukit Payung menyaksikan persaingan tiga penjuru antara To' Puan Zaitun Mat Amin menentang calon Pas yang juga penyandang kerusi itu, Mohd Nor Hamzah dan calon Parti Keadikan Rakyat, Mohd Dalizan Abdul Aziz.
29 Apr 18
129
PRU14 : Pendidikan Percuma Pembangkang Hanya Omong Kosong
Oleh : Ezzuan AhmadPembangkang dilihat seperti hanya cakap kosong dan tidak boleh dipakai apabila menawarkan manifesto yang tidak realistik untuk membela nasib rakyat termasuk menawarkan pendidikan di universiti awam secara percuma.Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, meskipun dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini ada menjanjikan menanggung pengajian secara percuma, namun perincian mengenainya tidak pula dijelaskan."Kerajaan sudah pun memang dah menawarkan (pendidikan) percuma di peringkat sekolah rendah dan menengah tapi mengenakan sedikit bayaran di peringkat pendidikan tinggi walaupun kos sebenarnya lebih tinggi."Kalau pembangkang kata beri dulu kami memerintah namun tidak dijelaskan kepada rakyat dari mana mereka akan mendapat sumber kewangan untuk melaksanakannya , boleh dikatakan cuma cakap - cakap kosong yang tidak boleh dipakai," katanya.Ahmad Shabery yang juga calon BN Parlimen Kemaman dan merangkap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Kemaman 2018 di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman di Bukit Teruna, hari ini.Turut hadir , calon BN DUN Kijal; Datuk Seri Ahmad Said; calon Kemasik, Ir Rosli Othman; calon Chukai, Dato' Mohamed Awang Tera dan calon DUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.Beliau mengulas mengenai manifesto Pakatan Harapan pada PRU14 yang menawarkan dua janji berkaitan pendidikan tinggi iaitu pertama, ingin menjadikan universiti awam percuma dalam tempoh lima tahun dan tidak meletakkan kewajipan kepada graduan untuk membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga mencapai angka gaji RM4,000.Bagaimanapun Pakatan Harapan gagal memberikan justifikasi dan jumlah perbelanjaan sebenar bagi dua manifesto berkaitan pendidikan tinggi tersebut.Mengulas lanjut, beliau berkata untuk memberi pendidikan percuma, perlu dilihat dari pelbagai aspek iaitu tahap kualiti pendidikan itu sendiri."Kualiti pendidikan yang baik ada kosnya. Pembangkang menawarkan pendidikan percuma, tapi adakah mereka pernah beritahu bagaimana untuk membiayainya?"Negara-negara maju dan sebagainya menawarkan pendidikan percuma tetapi cukai yang dikenakan kepada rakyatnya adalah tinggi termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang jauh lebih tinggi daripada apa yang dikenakan di sini." Jika pembangkang menawarkan pendidikan tinggi percuma dan pada masa sama mereka turut berjanji menghapuskan GST, mereka perlu menjelaskan bagaimana cara untuk mendapatkan sumber kewangan," katanya.
29 Apr 18
71
PRU14 : Isu Perumahan Jadi Keutamaan Di Rantau Abang
Isu perumahan kepada golongan kurang berkemampuan akan menjadi agenda utama BNOleh: Ezzuan AhmadCalon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang, Wan Zaulkifli Wan Gati, akan memberikan tumpuan bagi memenuhi kehendak rakyat untuk memiliki kediaman sendiri sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat nanti.Menurut Wan Zaulkifli, isu memiliki rumah kediaman sendiri adalah menjadi masalah utama bagi penduduk berpendapatan rendah dan golongan pertengahan."Isu ini memang sudah menjadi satu perkara yang sudah lama disuarakan oleh rakyat di mana dengan harga rumah yang meningkat dan syarat ketat dari bank menyukarkan mereka untuk memiliki rumah sendiri."Walaupun banyak projek perumahan sudah dilakukan oleh kerajaan namun isu sebegini masih lagi menjadi isu yang utama pada masa sekarang," katanya.Menurutnya, kerajaan sudah banyak membantu rakyat dalam menangani isu ini dengan menyediakan Perumahan Mampu Milik (RMM), Projek Perumahan 1Malaysia (PRIMA) dan banyak lagi.Tambah beliau, kerajaan tetap akan terus berusaha membantu rakyat dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi ."Kerajaan sekarang sudah terbukti sebagai sebuah kerajaa n yang prihatin dan ianya dapat dilihat dalam menifesto BN yang sudah dilaksanakan sebelum ini," katanya.Apabila ditanya peluang untuk memenangi kerusi DUN itu, beliau berkata BN mempunyai peluang untuk merampas kerusi yang dipegang oleh Pas sebelum ini.Keyakinan itu menurut beliau bersandarkan kepada maklumbalas penduduk yang mahukan perubahan dan kemajuan di kawasan mereka."Pas tidak melakukan apa-apa pembangunan di kawasan ini dan semua pembangunan yang ada sekarang ialah hasil usaha BN yang membantu rakyat meskipun di kawasan pembangkang," katanya.
29 Apr 18
93
Kerajaan BN Tidak Jemu Bantu Tabika Kemas
Halina memerhati dua kanak-kanak Tabika Kemas menyertai Pertandingan Mari Bersolek. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail Kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas dengan menyalurkan peruntukan yang besar setiap tahun bagi memperkasakan lagi institusi pendidikan seliaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu.Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria berkata, setiap nilai ringgit yang diagihkan itu menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan Tabika Kemas dengan menyediakan kemudahan yang selesa dan kualiti pendidikan terbaik kepada masyarakat.Katanya, melihat perkara itu, masyarakat hari ini perlu menghargai jasa-jasa kerajaan yang telah membantu rakyat daripada pelbagai aspek bukan saja berkaitan pendidikan malah tidak jemu menumpukan perihal kebajikan, perubatan, perumahan, peluang pekerjaan dan sebagainya.“Tidak ketinggalan Kerajaan Barisan Nasional Terengganu juga setia menghulurkan pelbagai bantuan, termasuk bantuan persekolahan, dana perayaan, sumbangan untuk ibu tunggal serta dana pendidikan ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.“Apa yang dilaksanakan kerajaan melalui jabatan dan agensi yang dilantik itu pastinya bertujuan membantu menaiktaraf kehidupan rakyat daripada miskin kepada hidup sederhana,” katanya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kanival Sukaneka Kanak-kanak Tabika Kemas DUN Seberang Takir, Padang Bola Taman Perumahan Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.Seramai 400 kanak Tabika Kemas di DUN itu menyertai pelbagai pertandingan antaranya tiup belon, bawa bola ping pong dalam sudu, kanggaru pintar, isi air dalam botol, gelek gelung rotan, lari kepit bola, rebut coklat dan sang tupai gigi epal.
29 Apr 18
237
PRU14 : Tengku Asmadi Mahu Bangunkan Modal Insan, Seiring Pembangunan Fizikal
Perbezaan fahaman politik bukan jurang untuk Tengku Asmadi (kanan) merapatkan silaturrahim dengan calon Pas. Foto Harish Fadzillah Abu KassimPakar motivasi tersohor negara, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad mahu mengimplementasikan kekuatan yang ada pada dirinya untuk membangunkan modal insan selari dengan kepesatan pembangunan fizikal di Kuala Nerus.Menurutnya, Daerah Kuala Nerus dan juga Kuala Terengganu kini membangun dengan pelbagai prasarana dan pelbagai projek kesejahteraan rakyat hasil usaha berterusan Kerajaan Barisan Nasional (BN) diketuai pemimpin utama, Menteri Besar yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir.Dr Tengku Asmadi anak jati Seberang Takir berasal dari keluarga miskin berkata, menjadi matlamatnya untuk memberi fokus kepada penguasaan kemahiran tinggi terutama dalam kalangan generasi muda, bagi memberi peluang golongan yang kurang cemerlang dalam pelajaran untuk turut sama mencipta kejayaan."Saya mahu menggunakan kelebihan sebagai pakar motivasi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat setempat terutama di Kuala Nerus bahawa ilmu dan pelajaran sahajalah yang dapat membawa kita keluar dari kepompong kemiskinan."Keutamaan saya kini adalah membawa penduduk keluar dari kemiskinan sepertimana saya sendiri bangkit dari kesusahan zaman kecil dahulu melalui pendidikan. Malah, sepanjang 25 tahun di bidang ini, saya juga sudah memberi motivasi kepada lebih 400,000 pelajar dari kalangan yang pelbagai latar belakang dan masalah seperti mat rempit, ponteng sekolah, namun mampu berjaya dengan pendidikan. "Jika boleh, biarlah nanti di Kuala Nerus sekurang-kurangnya ada satu graduan setiap rumah dan ada orang yang berkemahiran tinggi supaya golongan ini kelak yang akan membantu keluarga pula keluar daripada kemiskinan,"katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Pusat Media PRU14 Terengganu, di Kuala Terengganu, kelmarin.Dr Tengku Asmadi akan bertanding menentang calon Pas yang juga penyandang, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali serta Parti Keadilan Rakyat, Abdullah Mohamad.Ketika ditanya mengenai kemampuan beliau untuk merampas semula kerusi parlimen itu, beliau yakin cabaran itu mampu dipikul dan akan memastikan suara rakyat di Kuala Nerus mampu dibawa ke Parlimen."Saya tahu ramai yang mahu berada di kerusi (parlimen) ini, namun sudah ditakdirkan ia rezeki dan tanggungjawab buat saya memikul amanah ini. Sebagai menerima pencalonan ini, perkara utama saya selain meneruskan rasa syukur saya tidak lupa merendah diri dan menghubungi semua mantan pemimpin kawasan serta yang berhormat untuk mendapatkan restu serta pandangan daripada mereka."Saya hadir dalam kancah politik ini tanpa sebarang isu dan ini antara kelebihan saya untuk terus memberi fokus perihal rakyat dan mendengar suara hati mereka untuk dilaksanakan nanti apabila mendapat mandat daripada rakyat,"katanya.Beliau menerima tanggungjawab itu dengan penuh rendah diri dan tawaduk selepas mendapat restu daripada Allahyarham ibunya, Fatimah A Rahman dan dua isteri, Nor Sarina Zakaria dan Tun Nurul Huda Abdul Rahim serta lapan anaknya."Pencalonan ini amanah dan tanggungjawab besar buat saya. Saya terima kerana yakin boleh menyumbang bakti dan berkhidmat untuk masyarakat setempat. Saya akan berkhidmat dengan sebaik mungkin dan menunaikan segala janji saya untuk manfaat rakyat."Isteri-isteri bersama anak-anak serta seluruh keluarga merestui perjuangan saya demi agama dan bangsa ini. Malah, ketika nama saya disebut-sebut akan menjadi calon PRU pada akhir tahun lalu, ibu saya juga merestui dan memberi sokongan penuh," ujar beliau lagi.Pun begitu, menurut pemilik MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd itu lagi, ibunya tidak sempat melihat pencalonannya menjadi realiti kerana meninggal dunia pada Disember tahun lalu akibat sakit tua.
29 Apr 18
372
Insentif Khas Kepada Pengawal Keselamatan
Kerajaan negeri mencadangkan agar Kementerian Dalam Negeri menyediakan insentif khas kepada pengawal keselamatan di seluruh negara.Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, golongan ini perlu diberi perhatian memandangkan mereka mempunyai beban tugas dan risiko bekerja tidak kira masa.“Sekiranya terus diberi mandat untuk kekal mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Umum PRU-14 (PRU14) nanti, InsyaAllah saya akan usulkan cadangan ini kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga merangkap Menteri Dalam Negeri untuk mempertimbangkan cadangan ini.“Malah, saya juga akan mencadangkan kepada kerajaan negeri dalam bajet tahun hadapan dimasukkan satu insentif khas kepada pengawal keselamatan ini,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Taklimat Dan Dialog Program Certified Security Guards (CSG) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ A.Rahman Yahya dan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Nadzri Siron.Katanya, pemberian insentif ini sedikit sebanyak dapat membantu menangani kos sara hidup mereka (pengawal keselamatan) yang boleh dikategorikan sebagai golongan pertengahan.“Secara tidak langsung, kerajaan dapat membantu mereka ini memandangkan kadang-kadang golongan pertengahan yang tertinggal dengan bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan sedangkan tugas mereka melibatkan nyawa dan keselamatan.“Apa-apa keputusan pun kita mesti buat kajian dahulu agar apa yang dilaksanakan kerajaan termasuk pemberian insentif memberi manfaat kepada rakyat dan berada di bawah kemampuan kerajaan,” ujarnya.
29 Apr 18
294