Artikel "Utama" Terkini
Plywood Permint Sdn. Bhd Bakal Bernafas Kembali
Yb Maliaman meninjau Kilang Papan Lapis (Plywood Permint Sdn. Bhd) Kawasan Perindustrian Al-Muktafi Billal Shah, Dungun di sini, hari ini.Oleh : Adli Mohamad dan Khairuddin YusoffDUNGUN - Kilang Papan Lapis (Plywood Permint Sdn. Bhd) yang merupakan salah sebuah anak syarikat negeri, akan diberi nafas baharu dan dimajukan semula oleh pihak kerajaan Terengganu.Kilang yang telah lama terbiar akan dihidupkan kembali dan bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata perlantikan beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah Permint Plywood Sdn. Bhd merupakan satu taruhan dan kepercayaan pihak kerajaan kepadanya bagi memulihkan semula kilang tersebut."Kita merasa satu kerugian, jika tidak dimajukan kembali dengan segala kemudahan dan peralatan yang masih ada (mampu berfungsi) kerana ianya berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi keuntungan kepada kerajaan negeri."Dan ia juga boleh mengajak balik, anak-anak Terengganu di perantauan yang berhijrah disebabkan tiada peluang pekerjaan boleh dipanggil pulang agar dapat memberi khidmat bagi memajukan negeri," katannya.Beliau berkata demikian ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas meninjau kilang berkenaan, di Kawasan Perindustrian Al-Muktafi Billal Shah, Dungun di sini, hari ini.Menurutnya lagi, kayu balak yang dijual setelah diproses bagi dijadikan kayu lapis adalah lebih tinggi berbanding dijual secara mentah.Beliau juga meletakkan harapan kepada Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang mempunyai pengalaman sebagai kakitangan di kilang tersebut untuk membantu merealisasikan perkara tersebut.Ghazali (dari kanan) menunjukkan papan lapis yang terdapat di kilang berkenaan.Sementara itu, Ghazali Sulaiman yang turut hadir dalam tinjauan itu berkata pemilihan ADUN Ajil itu sebagai Ahli Lembaga Pengarah diyakini mampu memberi cahaya serta mengembalikan zaman kegemilangan sebagaimana di zaman beliau bertugas di situ."Kilang ini banyak menyimpan kenangan kepada saya, saya mula bekerja disini pada tahun 1988 dan tamat pada 2004 kerana operasi kilang dihentikan."Pada ketika itu, tenaga kerja seramai 650 orang dan kilang ini beroperasi dengan dibahagikan kepada tiga sesi selama 24 jam manakala pekerjanya datang dari seluruh Dungun yang berulang alik dengan menaiki bas datang bekerja," jelasnya.Beliau mengharapkan apabila kilang itu kembali dipulihkan, ianya juga akan turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat."Insya Allah, semoga ianya memberi sinar baru kepada kerajaan negeri, dalam memastikan Terengganu menjadi sebuah negeri yang maju, serta mampu menyaingi negara-negara maju yang lain."Apa yang penting, masalah pengangguran yang membawa kepada permasalahan sosial, secara tidak langsung dapat dihentikan dan seterusnya hasrat kerajaan negeri menjadi sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera dapat direalisasikan," tegasnya.
19 Oct 18
1031
Road To MAHA 2018 Banyak Kejutan - Azman Ibrahim
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Kerajaan Negeri Terengganu menyeru seluruh rakyat Terengganu dan negeri-negeri berjiran untuk berkunjung ke program Road To MAHA bertempat di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Manir, Kuala Terengganu pada 25 hingga 27 Oktober ini.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program ini berkonsepkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan buat julung kalinya di negeri Darul Iman."Terdapat banyak pengisian menarik yang menanti kehadiran para pengunjung ke program ini."Ianya melibatkan sektor utama peladang, penternak dan nelayan serta pelbagai agensi dan jabatan di bawah Portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu."Antara pengisian Road To MAHA yang dijangka mampu menjadi 'wow factor' ialah pameran penyu comel, lembu sado, pameran kambing, pameran ikan hiasan, ayam serama, ayam ratu dan sebagainya."Kami menjangkakan pameran tersebut mampu menggamit para pengunjung berkunjung ke tapak program," ujarnya.Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini (19 Oktober), mengulas tentang program Road To MAHA bertempat di Mardi Manir, Kuala Terengganu pada 25 hingga 27 Oktober ini.Dalam perkembangan yang sama, menurut Dr Azman Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, gerai-gerai jualan pelbagai produk pertanian, penternakan dan perikanan juga akan diadakan."Agensi serta jabatan kerajaan yang terlibat antaranya ialah Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perikanan, Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mardi, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Ketara, Lembaga Pertubuhan Peladang, Agro Bank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)."Di samping itu, agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), FELCRA, Felda, Terengganu Agrotech Development Corp (TADC) Sdn Bhd, Jabatan Perhutanan, Perhilitan, Jabatan Pelancongan, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia juga akan turut sama memeriahkan program."Panitia Road To MAHA turut juga mengundang beberapa syarikat swasta untuk mereka memperkenalkan teknologi dan jentera baru dalam bidang pertanian samada dari segi teknologi jentera, benih, fertigasi dan produk-produk baru pertanian."Terdapat juga jualan pelbagai produk yang dihasilkan usahawan di bawah bimbingan jabatan dan agensi terlibat."Justeru, saya mewakili Jawatankuasa Induk Road To Maha mengajak semua rakyat untuk meluangkan masa dalam tempoh 3 hari bermula 25 hingga 27 Oktober ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam untuk sama-sama hadir berkunjung ke Mardi Kuala Terengganu bagi sama-sama memeriahkan dan mengambil manfaat daripada program yang diadakan," tambahnya.Program Road To MAHA akan mengisi Kalendar Pertanian Negeri Terengganu bagi setiap 2 tahun sekali.
18 Oct 18
565
Terengganu Cadang Larangan Penggunaan Plastik
Dr Alias merasmikan Program Cakna Alam SekitarKUALA TERENGGANU, 18 Oktober - Kerajaan negeri bercadang melaksanakan larangan penggunaan plastik bagi menangani kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata larangan penggunaaan produk itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula tahun depan dan berkemungkinan akan diharamkan pada 2021.Katanya, sebagai permulaan, pihaknya mengadakan pelbagai kempen kesedaran di pasaraya dan restoran berkaitan penggunaan plastik termasuk meneruskan kadar bayaran RM0.20 kepada pelanggan pasaraya pada setiap Sabtu.“Tindakan itu bertujuan mahu mendidik orang ramai betapa pentingnya penjagaan alam sekitar, selain mengelak penyakit berbahaya berpunca daripada plastik termasuk kanser,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Cakna Alam Sekitar Sempena Hari Alam Sekitar Negara, di Perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, Kuala Terengganu, hari ini.Dr Alias turut memberitahu setiap lapisan masyarakat perlu berganding bahu melindungi alam sekitar, termasuk bertindak sebagai mata dan teliga untuk membantu memantau aktiviti berpotensi mencemarkan alam sekitar.“Tanggungjawab bersama ini sangat penting kerana kadang-kala kita mudah lupa bahawa tindakan yang dilakukan demi mengejar pembangunan boleh mengundang kemerosotan kualiti alam,” katanya.Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Ahmad Syah Muhamed, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Muhhibah Selamat, .
18 Oct 18
76
Bersatu Kembalikan Perundangan Islam - Dr Samsuri
Ustaz Mohd Nor Hamzah (kanan) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Muzakarah Perundangan Islam Negeri Terengganu 2018.KUALA TERENGGANU, 18 Oktober - Tidak ada cara lain untuk memperbaiki kehidupan masyarakat melainkan umat Islam mestilah bersatu untuk mengembalikan perundangan Islam yang menyeluruh.Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakyat negeri Terengganu dan Malaysia amnya mestilah mengamalkan cara hidup Islam yang indah secara menyeluruh dalam kehidupan mereka.“Kerajaan negeri sangat menyokong dan mendokong segala program atau majlis ilmu seumpama ini bagi meningkatkan dan memantapkan ilmu pengetahuan.“Ianya bermanfaat untuk seluruh kepimpinan dan masyarakat negeri ini yang meliputi seluruh aspek agama khususnya perundangan Islam,” ujarnya.Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika merasmikan Muzakarah Perundangan Islam Negeri Terengganu 2018 di Wisma Darul Iman (18 Oktober).Beliau berharap para penulis Islam hendaklah sentiasa menyebut faktor yang menyokong pelaksanaan syariat dan mengurangkan peningkatan pengaruh kuasa asing dan musuh-musuh Islam.“Alhamdulillah hasil daripada perkembangan seluruh pihak, akhirnya pelaksanaan perundangan Islam mula berlaku sedikit demi sedikit dan berkembang yang akhirnya menatijahkan sebahagian masyarakat memahami tentang kepentingannya.“Allah SWT telah mengurniakan kepada kita syariat Islam yang bukan merupakan sejarah yang terdahulu. Tetapi ia merupakan suatu perundangan yang realistik yang ada hubungan jiwa dengan manusia,yang ada hubungan dengan sistem kehidupan manusia,” jelasnya.Sehubungan itu, beliau yakin perundangan Islam yang lengkap tidak memberi apa-apa kesan buruk kepada mana-mana golongan dan bangsa.Bahkan katanya, ia tidak memberi kesan yang buruk kepada ekonomi dan kehidupan tetapi ianya memberi kesan yang baik kepada seluruh masyarakat Islam.Justeru, beliau yakin dan percaya dengan penganjuran Muzakarah tersebut dapat menghidupakan budaya kehidupan rakyat ke arah melahirkan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.“Atas dua asas iaitu yang pertama iman dan yang kedua takwa. Oleh sebab itu, ia akan dapat memberi input dan dapat menjayakan program ini,” tegasnya.Beliau juga berharap kerjasama berterusan di antara kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dapat diteruskan untuk mencapai objektif pelaksanaan syariah di negeri ini.
17 Oct 18
98
Cawangan Mini YPU Bakal Beroperasi Setiap DUN
Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, HULU TERENGGANU - Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bakal menjadikan pusat khidmat masyarakat di setiap Dewan Undangan Negeri sebagai cawangan mini YPU bagi menyalurkan bantuan dan maklumat kepada orang ramai tidak lama lagi.Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, inisiatif itu sedang disusun atur supaya dapat beroperasi sepenuhnya sebelum tahun depan dan dijangka akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada 3 Disember ini.Katanya, pihaknya sudah merangka kertas kerja termasuk mengadakan mesyuarat untuk menjadikan 32 pusat khidmat masyrakat seluruh Terengganu itu sebagai pusat sehenti demi kebaikan rakyat untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan perniagaan dan keusahawanan."Pelaksanaan ini juga bertujuan untuk memperkasakan pusat khidmat masyarakat itu sendiri untuk menjadi tempat rakyat mendapat segala maklumat tanpa perlu pergi ke pusat bandar."Untuk itu, kita akan melatih dan menghantar dua hingga tiga orang kakitangan untuk menguruskan cawangan mini itu nanti,"ujarnya.Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) di Program Santai Exco Bersama Usahawan Peringkat DUN Kuala Berang di Rumah Rehat Kuala Berang , di sini hari ini.Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Haji Muhyidin Abd Rashid serta lebih 80 usahawan tempatan.Menurut Mohd Nurkhuzaini, kerajaan negeri juga sedang mengkaji untuk menjadikan cawangan mini itu sebagai wakil kepada agensi lain di bawah Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu (MSPUT) yang dipengerusikan oleh beliau sendiri."Kita akan adakan perbincangan dalam terdekat kerana ada permintaan dari agensi-agensi yang berada di bawah MSPUT supaya terdapat wakil dari pihak mereka di setiap PKM bagi mempermudahkan urusan orang ramai," tambah beliau lagi.Sementara itu mengulas mengenai pelaksanaan manifesto PAS Terengganu untuk menyediakan Tabung Pinjaman Usahawan sebanyak RM10 juta setahun, beliau berkata pihaknya telah mendapat lampu hijau dari Menteri Besar."Kita sudah masukkan dalam cadangan Bajet 2019 dan ia bergantung kepada keadaan kewangan negeri."Jika ada kekangan, kita akan buat secara berperingkat.. mungkin separuh dahulu dalam RM5 juta dan secara maksima pada tahun depan mengikut kesesuaian kewangan, yang pasti kita akan laksanakan apa yang dijanjikan mengikut kadar kemampuan (kewangan)," katanya.
17 Oct 18
50
JKM Peruntuk RM3 Juta Hadapi Banjir
Zuhami (dua dari kanan) melawat mini depot simpanan banjir di Kampung Machang, Ajil hari ini.HULU TERENGGANU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi menyediakan keperluan sebagai persiapan awal menghadapi kemungkinan banjir.Pengarahnya, Zuhami Omar berkata, peruntukan ini melibatkan RM1.5 juta melalui kerajaan negeri dan selebihnya dari Kerajaan Persekutuan untuk diagihkan kepada 553 pusat pemindahan berdaftar dengan kapasiti 131,875 mangsa."Peruntukan itu termasuklah penyediaan stok bekalan di pangkalan hadapan dan penyelenggaraan kemudahan asas di pusat-pusat pemindahan."Ianya meliputi makanan, selimut, tikar, kits kebersihan dan lain-lain lagi keperluan untuk bekalan selama tujuh hari dan jika tidak mencukupi, pihak kami akan menghantar bekalan tambahan," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas melawat mini depot simpanan banjir bagi Mukim Hulu Berang di Kampung Machang, Ajil di sini, hari ini.Menurutnya, JKM juga sudah mewujudkan 20 stor bencana dan 142 pengkalan hadapan untuk menyimpan barangan keperluan mangsa di lokasi yang strategik di seluruh negeri."JKM juga telah mengenal pasti 58 pembekal di Terengganu seperti Giant dan Mydin untuk membantu sekiranya stok keperluan sedia ada tidak mencukupi."Pihak kami juga memberi pengisian kerohanian iaitu kaunseling kepada mangsa banjir kerana mereka ini trauma, sedih dan bimbang kerana terpaksa berpindah dari rumah."Ini perlu diberi perhatian dan pihak kami telah menyediakan 15 orang kaunselor terlatih untuk membantu mereka dan turut dibantu oleh kaunselor luar dari pelbagai agensi," ujar Zuhami.Tambahnya lagi, pihak JKM juga menyediakan 40 tandas bergerak bagi kegunaan mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan yang mengalami masalah tandas yang tidak mengcukupi.
17 Oct 18
212
Rakyat Perlu Beri Pandangan Rancangan Pembangunan Negeri
Dr Alias bersama Datuk Bandar MBKT merasmikan draf RT.KUALA TERENGGANU - Orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dinasihatkan dapat mengemukakan cadangan atau bantahan terhadap Draf Rancangan Tempatan (RT) bagi kedua-dua daerah tersebut dalam tempoh publisiti ia dibentangkan.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, sebarang maklum balas dapat membantu kelancaran projek pembangunan kerajaan di kawasan tersebut."Draf RT akan dipamerkan selama empat minggu bermula semalam (15 Oktober) sehingga 16 November 2018."Jadi, kita amat berharap agar semua pihak terutama tuan tanah, pemaju, pengusaha dan penduduk yang tinggal di dua daerah ini dapat membuat semakan. "Langkah ini perlu supaya tidak berlaku kerumitan selepas ia diwartakan nanti," katanya ketika merasmikan program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RT Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus 2035 di Dewan Tunku Abdul Rahman, semalam (16 Oktober).Pameran draf diadakan di beberapa lokasi memudahkan orang ramai.Program ini diadakan bertujuan untuk memberi peluang orang awam meneliti dan memahami pelan perancang tempatan.Draf RT secara umum mencadangkan pembangunan 10 projek di kedua-dua daerah bagi meningkatkan imej dan pengukuhan pembangunan kawasan itu.Semakan RT boleh dibuat di empat lokasi tetap iaitu di lobi Menara Permint (Majlis Bandaraya Kuala Terengganu), tingkat empat Wisma Negeri (PLANMalaysia Terengganu), lobi utama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu serta lobi utama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus.Hebahan dan notis akhbar turut disiarkan selain semakan bergerak akan mengunjungi 10 lokasi di Kuala Terengganu dan tujuh di Kuala Nerus.Dr Alias mengingatkan semakan ini penting selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 di mana pembangunan sosial dan ekonomi hendaklah melalui penglibatan rakyat dan kerajaan negeri."Kerjasama semua diperlukan bagi menjamin kesejahteraan pembangunan. Semoga dengan kerjasama semua pihak akan menjadikan kedua-dua daerah ini menjadi bandaraya warisan pesisir air yang dinamik, berdaya huni dan mampan," katanya.Sebarang maklum balas boleh dibuat secara rasmi melalui borang yang disediakan atau melalui surat rasmi kepada Datuk Bandar MBKT atau Pengarah PLANMalaysia (Terengganu).Laman sesawang dan laman Facebook PLANMalaysia Terengganu, MBKT, pejabat daerah dan PLANMalaysia turut memaparkan maklumat berkenaan RT untuk memudahkan orang ramai.Publisiti bertujuan mendapatkan maklum balas rakyat terhadap perancangan kerajaan.
16 Oct 18
81
i-MiTS Jadi Pemudahcara Pohon Bantuan Dana Sekolah
Oleh: Muhammad Najib IsmailHULU TERENGGANU - Institut Modal Insan Terengganu Sejahterai (i-MiTS) Hulu Terengganu mengambil peluang menjadi pemudahcara masyarakat bagi memohon Bantuan Persekolahan menerusi kaunter i-Dana.Bantuan yang terbuka kepada keluarga yang berpendapatan isi rumah RM2,500 ke bawah disediakan kepada pelajar lelaki yang akan menerima baju serta seluar sekolah, stoking, kasut dan beg manakala pelajar perempuan akan menerima kain, baju, stoking, kasut dan tudung.Penyelia i-MiTS Hulu Terengganu, Harun Esa berkata, pihaknya mengambil langkah ke hadapan bagi membantu melancarkan urusan permohonan daripada keluarga dan pelajar yang layak memohon bantuan itu."i-MiTS mengambil peranan sebagai pemudah cara untuk masyarakat membuat permohonan ini dengan mengadakan kaunter bergerak di kawasan-kawasan terpilih dan kemudahan kepada masyarakat yang kurang mahir dengan pengguna IT (teknologi maklumat). Ini kerana permohonan dana hendaklah dilakukan secara atas talian sahaja."Pelajar yang layak akan mendapat baucer dan boleh ditebus di kedai-kedai yang terpilih," katanya ketika ditemui ketika melakukan pemantauan gerak kerja kaunter i-Dana di Pasar Manir, di sini, 13 Oktober.Harun berkata, pihaknya berpuas hati dengan komitmen pegawai i-MiTS yang bertugas dan berharap keluarga yang berkelayakan agar dapat mengambil peluang ini untuk sama-sama dapat meringankan beban.Menurutnya, ibu bapa juga boleh membuat permohonan di laman sesawang http://idana.terengganu.gov.my dan permohonan akan tamat pada 21 Oktober ini.Tambah beliau lagi, pada tahun ini, kerajaan negeri menjangkakan 116,000 pelajar akan menerima manfaat daripada dana yang disediakan itu.Pada masa yang sama, jika berdepan masalah untuk mengisi borang secara atas talian, bolehlah merujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat di tempat masing-masing dan mendapatkan bantuan dari pegawai-pegawai yang bertugas.
15 Oct 18
178
TFC II Juara Sulung Challenge Cup
Ustaz Wan Sukairi (berkopiah tengah) meraikan kejuaraan sulung Challenge Cup di tangan TFC II di Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah Kuala Terengganu.KUALA TERENGGANU - Sejarah baharu tercipta apabila buat pertama kalinya Pasukan Terengganu Football Club II (TFC II), menjuarai Piala Cabaran (Challenge Cup) mengalahkan UKM FC dua gol tanpa balas di Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah di sini, semalam (15 Oktober).Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Abdullah mengucapkan tahniah kepada pasukan TFC II atas kejayaan cemerlang itu. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyokong dan peminat yang terus-menerus memberi sokongan kepada pasukan berkenaan."Tahniah TFC II yang menjadi juara Challenge Cup 2018. Terima kasih diucapkan kepada semua penyokong dan peminat yang terus-menerus memberikan sokongan kepada Terengganu FC II," katanya dalam satu kenyataan kepada Urusetia Penerangan Darul Iman , hari ini (16 Oktober).Pemain TFC II diapit empat pemain UKM FC antara aksi menarik Piala Challenge Cup di Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah. TFCII menang dua gol tanpa balas. Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah menjadi saksi, Terengganu muncul pasukan pertama, menjuarai Challenge Cup iaitu piala yang baharu diperkenalkan dalam kancah Liga Malaysia.Terengganu FC II dinobatkan sebagai juara edisi sulung Challenge Cup 2018 setelah menewaskan UKM FC dengan dua jaringan tanpa balas.Lebih manis kejayaan ini disambut di hadapan ribuan penyokong Hitam dan Putih yang turut sama meraikan detik bersejarah tersebut.Dua jaringan daripada penyerang utama, Akanni Sunday pada minit ke-22 dan ke-53 melenyapkan impian UKM FC yang tampil untuk mencabar skuad TFC II. Corak permainan menarik yang dipamerkan anak buah Tengku Hazman nyata gagal memberi ruang buat UKM FC melepasi gawang yang dikawal kemas Shamirza Yusof.
15 Oct 18
233
Fuad Juara Sultan Mizan Cup
Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan piala dan hadiah kepada Mohammad Fuad.SETIU - Mohammad Fuad Hashim mencatat masa 6 jam 45 minit dan 7 saat untuk memenangi perlumbaan Competition Endurance International (CEI) 120KM sempena Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan 2018 yang berakhir semalam.Pelumba pasukan State of Terengganu Endurance Team (STET) itu membawa pulang wang tunai RM25,000, piala pusingan, piala iringan, medal, seutas jam tangan dan sebuah motosikal Yamaha Ego.Turut berkenan menyertai perlumbaan bertaraf dua bintang itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan yang mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) serta 27 pelumba lain dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Thailand dan Singapura.Dr Samsuri (dua dari kanan) melepaskan pelumba kejohanan.Kejohanan edisi ke-11 itu disempurnakan pelepasannya oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu pada hari kedua kejohanan.Kejayaan Mohammad Fuad mengulangi pencapaiannya sebagai juara pada edisi pada tahun 2016 lalu. Lebih manis, kudanya Mora Makaka turut dinobatkan kuda terbaik sekaligus meraih hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 dan pelana.Dalam kejohanan tersebut, Persatuan Equin Terengganu dengan kerjasama RTES dan STET di bawah seliaan Riding for Disabled Association Malaysia (RDA) turut memperkenalkan program 'Hippotherapy', sebuah program terapi kanak-kanak kurang upaya dengan cara menunggang kuda yang baru ditubuhkan di Terengganu awal tahun ini.Dr Samsuri mengalungkan medal kepada salah seorang peserta yang melakukan demonstrasi 'Hippotherapy'.
15 Oct 18
290