Artikel "Utama" Terkini
ADUN Muslimat Dilantik Akhir Bulan Ini
Haji Yahaya Ali.MARANG, 16 November - Kerajaan Terengganu bakal mencipta sejarah baharu apabila usul perlantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kalangan muslimat akan diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 25 hingga 29 November ini. Yang Dipertua DUN Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata, turut dilantik seorang senator juga dari muslimat menggantikan seorang senator yang telah tamat tempoh perkhidmatannya baru-baru ini.Katanya, nama-nama mereka akan diumumkan dalam persidangan DUN tersebut. "Dua isu ini akan dapat diselesaikan. Insya-Allah usul berkait dengan ADUN yang dilantik dari kalangan wanita akan dibawa. "Begitu juga senator baharu bagi menggantikan senator lama yang telah habis tempoh perkhidmatan juga akan dibawa ke dalam persidangan DUN kali ini."Siapa dia mereka itu, akan dimaklumkan dalam persidangan DUN nanti," katanya dalam Sidang Media selepas Majlis Hafaz Muqaddam dan Graduasi Kanak-kanak Taska Permata Keluarga Daerah Marang di Dewan Masjid Sultanah Nur Zahirah di sini semalam. Menjawab satu soalan pemberita, Haji Yahaya berkata, ADUN berkenaan akan mengangkat sumpah dan akan mengambil tempat duduk yang disediakan berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu dan Peraturan-peraturan Tetap DUN (Standing Order)."Sebagaimana yang menjadi peraturan sidang dewan iaitu merujuk kepada Undang-undang tubuh Kerajaa Negeri dan peraturan-peraturan tetap dewan, itu adalah perkara yang mesti disempurnakan. "Maksudnya, selepas daripada usul itu mendapat persetujuan daripada dewan, dia (bakal ADUN itu) akan terlebih dahulu mengangkat sumpah dan seterusnya dia mengambil tempat yang telah ditetapkan sebagai ahli dewan," ujarnya. Cuma katanya, ADUN wanita yang dilantik itu merupakan satu perkara baharu yang belum pernah dibuat di Terengganu. "Ini merupakan satu sejarah bagi kerajaan negeri kerana ahli yang dilantik ini mempunyai hak untuk berbahas dan menyuarakan pandangan. "Cumanya dia tiada kuasa mengundi sahaja kerana dia merupakan ADUN dilantik, " jelasnya. Berhubung kriteria pemilihan ADUN dan Senator, beliau berkata, kerajaan mengambil semua faktor kepimpinan termasuk latar belakang profesional, pendidikan agama dan orang muda sebagaimana menjadi hasrat masyarakat Terengganu. "Jadi kerajaan negeri telah memilih calon ini dengan mengambil kira semua kehendak dan juga pandangan masyarakat," jelasnya lagi.
16 Nov 18
69
Kelantan Tumpu Agenda Membangun Bersama Islam
KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan Negeri Kelantan memberi tumpuan terhadap banyak perkara bagi meneruskan hasrat Membangun Bersama Islam.Menteri besarnya, Dato’ Haji Ahmad Yakob berkata, dasar tersebut dapat dihayati oleh rakyat sehingga memberikan mandat kepada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.Katanya, pelbagai program dan janji manifesto telah dikemukakan kepada rakyat sebagaimana parti politik lain.“Baru-baru ini kita telah ada satu perbincangan khusus di kalangan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dan juga para pegawai kita telah memutuskan dalam jangka setahun akan datang kita memberi fokus kepada tiga perkara penting.“Dan tindakan ini secara bersepadu di kalangan semua portfolio, iaitu pertama sekali ialah kita berikhtiar untuk membanyakkan lagi peluang kepada rakyat khususnya dalam sektor perindustrian dan juga berasaskan kepada sumber asli,” jelasnya.Beliau berkata demikian dalam temu bual yang disiarkan secara langsung oleh Manis FM di kontinya di Kota Bharu semalam, 14 November.Oleh itu katanya, Negeri Kelantan mempunyai sumber asli yang banyak seperti batu bata dan sumber minyak. “Kita insya-Allah akan memberi penekanan kepada industri (yang) berasaskan sumber asli untuk sekurang-kurangnya sebagai satu hiliran. Sekarang contohnya kita telah bersetuju untuk meluluskan kilang simen oleh syarikat ATM dan dijangka 2019 akan mula dibina kilangnya.“Dan (kilang tersebut) akan beroperasi pada 2021 dengan kapasiti kita boleh menambah peluang pekerjaan sebanyak 966 orang insya-Allah dengan syarat 50% adalah asal kakitangan ataupun pekerjaan daripada orang Gua Musang,” ujarnya.Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri mengutamakan pendidikan dan pembinaan modal insan.Oleh sebab itu, setiap tahun pihak kerajaan memperuntukkan peruntukkan yang agak besar dari segi pendidikan untuk Yayasan Islam Kelantan juga.“Insya-Allah kita akan meningkatkan lagi usaha kita dengan dua skim termasuk guru sandaran dan guru. “Ada banyak guru ganti, guru sementara, jadi kita buat supaya lebih baik lagi,” tambah beliau.
15 Nov 18
197
Dialog Islam - Kristian Perlu Diketengahkan
Datuk Seri Abdul Hadi gesa dialog antara agama sebagai langkah menjaga keharmonian.MARANG, 15 November - Pihak yang mengedarkan Bible baru-baru ini digesa menghormati sensitiviti rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam.Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sepatutnya pihak berkenaan mengadakan sesi dialog terbuka dengan cendekiawan Muslim dalam mencari kebenaran dan menjaga hubungan antara agama. “Agama Islam dilindungi perlembagaan dan bidang kuasa negeri-negeri. Sepatutnya dialog diketengahkan dan bukan edar Bible.“Mengapa agenda Dr. Zakir Naik yang dilakukan secara terhormat dibendung? Pihak gereja perlu terbuka dengan orang Islam untuk berdialog,” katanya ketika merasmikan bangunan baru Madrasah Darul Iman di Kampung Titian Baru, Bukit Payung, hari ini.Sebelum ini, tular di media sosial gambar yang memaparkan kegiatan mengedarkan Bible kepada pelajar Muslim di beberapa sekolah di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.Abdul Hadi yang merupakan Presiden PAS, turut mengingatkan batas kebebasan dalam beragama yang digariskan perlembagaan Malaysia.“Kita sedar walaupun ada kebebasan beragama perlu ada batasnya iaitu jangan menyentuh sensitiviti orang Islam. Umat Islam menjaga diri untuk tidak menyentuh sensitiviti bukan Islam, tetapi hubungan dijalinkan secara terhormat. “Setiap negeri memiliki bidang kuasa berkenaan hal ini di samping Kerajaan Persekutuan juga memiliki kuasa tertentu (bagi menanganinya),” katanya.Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.Manakala, Perkara 11(4), Perlembagaan memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang Islam.
15 Nov 18
131
JKNT Siap Siaga Hadapi Banjir
Dr. Mohd JusohKUALA TERENGGANU, 15 November -Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) kini siap siaga dengan kekuatan 137 pasukan petugas yang melibatkan seramai 641 anggota bagi menyalurkan khidmat dan bantuan segera di seluruh negeri pada bila-bila masa dalam musim tengkujuh kali ini.Pengarahnya, Dr. Mohd Jusoh memberitahu, pasukan yang akan digerakkan ini juga bersedia secara mental dan fizikal bagi menghadapi risiko penyakit di kalangan mangsa dan berupaya memberi rawatan terbaik kepada kepada mangsa yang terjejas banjir."Seramai 373 orang dari 69 pasukan perubatan yang terdiri daripada lima anggota bagi setiap pasukan bersedia memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan serta rujukan sekiranya terdapat mangsa yang memerlukan di pusat-pusat pemindahan."Manakala bagi pasukan kesihatan pula seramai 323 anggota dari 74 pasukan yang terdiri daripada tiga anggota kesihatan pula akan bertindak menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit bagi memantau, mengesan serta mengawal kejadian penyakit berjangkit akibat banjir," ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Diabetes & Jantung Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2018 di Dewan Serbaguna PPR Hiliran, Kuala Terengganu, hari ini.Menurutnya lagi, pihak jabatan juga telah mengarahkan semua hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri untuk menyediakan bekalan ubatan dan peralatan yang mencukupi serta ambulan berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan."Anggota terlibat juga telah diarahkan untuk bersiap sedia, dan kemungkinan cuti akan dibekukan apabila perlu.“Kepada orang ramai terutama mangsa banjir termasuklah golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, wanita mengandung, warga tua serta mereka yang mengidap penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi, diingatkan supaya bersiap sedia dengan bekalan ubatan yang mencukupi dan disimpan di tempat yang selamat,” ujarnya lagi.Tambahnya lagi, jabatan juga mengambil kira sekiranya pusat pemindahan yang mempunyai mangsa yang mencapai 1,000 orang, klinik statik akan beroperasi secara tetap di Pusat Pemindahan terlibat bagi memastikan semua mangsa terjejas banjir yang memerlukan rawatan mendapat perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya."Daerah juga telah menyediakan pelan perancangan peringkat daerah masing-masing dengan mengenal pasti pusat pemindahan sementara pesakit berisiko bagi ibu hamil yang baru bersalin atau penyakit kronik yang stabil dibenarkan discaj dari hospital tetapi masih memerlukan penjagaan,"kata Dr. Mohd.Beliau berkata, ini termasuklah aktiviti kawalan dan pencegahan sebelum banjir di pusat pemindahan banjir juga dijalankan bagi memastikan kebersihan persekitaran, bekalan air yang cukup dan tempat pelupusan sampah yang sempurna disediakan.Menyentuh mengenai fasiliti kesihatan yang berisiko banjir, beliau memberitahu, tindakan proaktif telah diambil bagi mengenal pasti fasiliti sementara yang boleh digunakan sekiranya perkhidmatan perlu dipindahkan bagi memastikan perkhidmatan tidak terjejas.
15 Nov 18
64
Beri Peluang Kepada Pelajar Tahfiz, Pondok - Satiful Bahri
Ustaz Satiful Bahri Mamat.KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan Terengganu sedia memberi ruang dan peluang kepada para pelajar aliran tahfiz dan pondok untuk berjaya dalam pelbagai bidang di negeri ini.Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, rakyat Terengganu akan mendapat pilihan yang pelbagai sama ada di sekolah kerajaan negeri, sekolah swasta dan sebagainya.Justeru, kata beliau, kerajaan tidak mahu ada di kalangan rakyat di negeri ini yang ketinggalan dalam kelompok pendidikannya.“Hasrat kita (Maju, Berkat dan Sejahtera) sebagai tema adalah bukan saja untuk kepentingan ukhrawi dengan meninggalkan duniawi ataupun meninggalkan ukhrawi dengan mementingkan duniawi.“Yang penting kita (kerajaan) cuba gabung jalinkan (pendidikan) bermula dari sekolah rendah sampai peringkat (menengah) negeri.“Kita melihat seolah-olah ada lompang dalam soal pendidikan atau institusi khususnya Sekolah Agama Rakyat (SAR) seperti tahfiz, pondok, pusat-pusat pengajian Islam.“Mereka boleh meraih kecemerlangan kalau diberi peluang. Contohnya, seorang hafiz, kalau mereka mampu untuk menghafaz 30 juzuk (Quran), baik kita beri peluang kepada mereka untuk menceburi bidang-bidang lain juga khususnya bidang teknikal dan sebagainya,” ujar Ustaz Satiful.Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Tahun 2018, di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), baru-baru ini (12 November).Menurutnya, kerajaan negeri akan memanfaatkan agensi dan institusi seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), Tati University College (TATiUC) yang sedia ada sekarang.“Hasrat kita (kerajaan) boleh menawarkan mereka ini peluang untuk mengambil peperiksaan awam. Insya-Allah, lepas itu mereka (pelajar) akan mendapat pilihan yang pelbagai.“Boleh nak terus kepada Pengajian Islam ataupun boleh pergi kepada teknikal, 'engineering' dan lain-lain.Menurutnya, pelajar dari aliran tahfiz pondok juga boleh ditawarkan mengambil peperiksaan SPM selain menghafal 30 juzuk al-Quran.
14 Nov 18
175
Penyerapan MPKK Wakil Pusat Tidak Rombak Kepemimpinan Sedia Ada
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Foto - Tengku Syamim Tengku IsmailKUALA NERUS, 15 November - Tambahan lima anggota baharu dari Pakatan Harapan (PH) bagi memantapkan lagi fungsi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini kelak tidak akan menjejaskan barisan kepemimpinan sedia ada yang telah dilantik.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap MPKK dengan 15 anggota kini sudah mempunyai pengerusi dan penyandang jawatan lain yang telah pun berperanan dalam masyarakat setempat.Katanya, kerajaan negeri masih menunggu senarai nama tambahan anggota baharu daripada PH itu sambil mengharapkan proses itu dapat diselesaikan secepat mungkin tanpa banyak masalah."Kita masih lagi menunggu senarai nama (tambahan lima anggota setiap MPKK). Sekarang masih belum selesai lagi, yang asas 15 orang anggota sudah selesai."Pengerusi yang sama, begitu juga jawatankuasa sama, cuma nak tambah bilangan anggota baharu. Kalau mereka hantar nama cepat maka cepatlah selesai," katanya ketika ditemui kelmarin.Beliau diminta mengulas struktur keanggotaan jawatankuasa dalam MPKK berikutan keputusan kerajaan Pusat sebelum ini untuk menambah lima anggota baharu di setiap entiti itu sebelum ini termasuk melibatkan 1,044 MPKK di Terengganu.Dr. Ahmad Samsuri berkata, proses menyerap anggota tambahan itu perlu disegerakan agar gerak kerja untuk kepentingan masyarakat setempat tidak tergendala."Yang sedia ada seramai 15 anggota terdiri daripada pengerusi dan anggota jawatankuasa sedang jalankan tugas mereka, kita tak boleh tunggu siap 20 orang baru kita nak buat kerja," jelasnya.Ditanya kemungkinan timbul konflik sekiranya berlaku tambahan anggota baharu, beliau berkata, apa yang penting objektif penubuhan MPKK termasuk penambahan anggota baharu adalah bertujuan mewujudkan keharmonian dalam masyarakat setempat."Sebab itulah peringkat awal lagi pelantikan 15 orang setelah mengambil kira kedudukan dalam masyarakat, bukan kira parti politik," ujarnya.Sebelum ini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah memberitahu, parti-parti dalam PH akan mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri dalam waktu terdekat berhubung proses lantikan dan penyerapan dalam MPKK yang dijangka selesai sebelum 1 Januari tahun depan.Langkah ini akan melibatkan penyerapan 5,220 wakil parti-parti dalam kerajaan Pusat di 1,044 MPKK untuk bersama dengan institusi kepemimpinan di peringkat akar umbi yang berperanan sebagai penghubung masyarakat dengan kerajaan. -UTUSAN ONLINE
14 Nov 18
25
Terengganu Bina Pusat Pemulihan Dadah Holistik Konsep ‘Kampung’
Mohd Nor menerima modul Terapi Gantian Minda (TGM) daripada Dr. Nasir berkaitan rawatan penagihan.KUALA TERENGGANU, 14 November - Kerajaan Terengganu bercadang mewujudkan Pusat Pemulihan Dadah secara holistik berkonsepkan ‘perkampungan’ sebagai penyelesaian kepada masalah ketagihan dadah dalam masyarakat.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pusat pemulihan itu bakal menggabungkan perubatan moden, psikologi, terapi kerohanian dan penempatan pekerjaan sebagaimana pendekatan yang dipraktikkan Universiti Islam Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Pusat Komuniti Saadah (PKS).“Pusat ini akan menggunakan kawasan ‘perkampungan’ yang terkawal, kondusif dan tidak terdedah kepada umum. Pusat ini juga akan menerapkan terapi kerohanian dan perubatan moden.“Kerajaan juga akan membantu pelatih pusat untuk mendapat pekerjaan setelah mereka pulih sepenuhnya,” katanya ketika merasmikan penutup Persidangan Antarabangsa Sains Ketagihan Kali Kedua yang diadakan di Kampus Kota UniSZA, hari ini.Beliau bagaimanapun melihat beberapa cabaran dalam melaksanakan program itu. Mohd Nor yakin rawatan menggabungkan pelbagai aspek mampu pulihkan pelatih.“Sudah tentu kita berdepan kos yang tinggi untuk mewujudkan pusat ini. Selain itu, kita juga akan menghadapi kesukaran mendapatkan tenaga pakar dan pastinya berdepan kritikan apabila kita membuat keputusan membangunkan sesuatu perkara baru yang lain dari kebiasaannya.“Namun, modul yang bakal digunakan memberikan keyakinan terhadap usaha ini. Pihak Unisza telah melaksanakan kajian selama lima tahun berkaitan penyelesaian terhadap masalah penagihan dadah dan sebanyak 11 modul telah dibukukan mengenai perkara ini,” katanya.Mohd Nor turut memaklumkan, PKS yang dibangunkan oleh UniSZA pula akan diperluaskan ke setiap daerah.“PKS akan diperkemaskan dan menjadi modul sokongan kepada pusat pemulihan yang akan dimulakan asasnya pada tahun 2020. Saya berharap pusat pemulihan ini akan menjadi model pemulihan dengan konsep ‘perkampungan’ pertama di dunia,” katanya.Dalam pada itu, Ketua penyelidik Pusat Penyelidikan Ketagihan (CentRenA), Profesor Dr. Nasir Mohamad menyatakan PKS yang baru beroperasi selama dua bulan menerima pelatih secara sukarela yang inginkan pemulihan.“Kita memberikan khidmat nasihat dan bimbingan seperti ziarah. Buat masa kini terdapat 17 pelatih yang menyertai bimbingan di PKS,” katanya.Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan CentRenA dengan kerjasama Universiti Malaya Centre of Addiction Science (UMCAS), Unversiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
14 Nov 18
711
Tiang Masjid Lagi Banyak Daripada Jemaah
Oleh : Mohd Haniff AbasKUALA NERUS, 14 November- `Tiang masjid lagi banyak daripada jemaah' merupakan ungkapan yang sering menjadi perumpamaan untuk membandingkan bilangan jemaah yang hadir ke satu-satu rumah ibadat itu.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, antara perkara yang digambarkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika menceritakan suasana akhir zaman ialah masjid-masjid banyak dibina dan tersergam indah tetapi sunyi daripada petunjuk Allah SWT.“MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) merupakan organisasi pelaksana kerajaan negeri di peringkat akar umbi, apabila akar sepohon pokok diberi baja dan air secukupnya, maka daun dan batangnya akan sihat serta menghasilkan buah yang berkualiti.“Institusi masjid merupakan nadi kepada pembinaan pembangunan tamadun manusia dan petunjuk kepada jatuh bangun sesuatu masyarakat.“Rasulullah SAW dalam membina tamadun manusia di Madinah Al- Munawwarah bermula dengan pembinaan masjid sebagai satu isyarat bahawa sebarang tamadun atau pembangunan yang hendak dibina selepas itu mestilah bermula dengan hubungan dan ikatan yang erat dengan Allah SWT,"katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian penutup Majlis Perjumpaan Imam, Bilal, MPKK dan Jawatankuasa Masjid Daerah Kuala Terengganu Dan Kuala Nerus yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu Dan Kuala Nerus di Dataran Arena Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, kelmarin.Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Pengurusan Kewangan Dan Pembangunan JHEAT, Azhar Yusof, Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu Dan Kuala Nerus, Ustaz Azmi Tengah, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman, Ustaz Mohd Soud Said.Ustaz Ridzuan juga mengaitkan logo Terengganu maju, berkat dan sejahtera yang di dalamnya terkandung gambaran masjid melambangkan kepada pembangunan modal insan dan bentuk bulatan yang menggambarkan pemuafakatan sesama masyarakat.“Landskap politik terkini yang didominasi oleh orang bukan Islam menyebabkan mereka begitu berani mencabar Islam.“Edaran risalah kristian kepada pelajar sekolah selepas waktu pembelajaran di Pulau Pinang dan Taman Perumahan di Shah Alam serta isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) menuntut kepada pemuafakatan supaya umat Islam tidak terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang melanda sekarang ini.“Cabaran ini menuntut kepada kesungguhan kita untuk memperkuatkan akar umbi melalui institusi masjid, mengimarahkan dan mengembalikan fungsinya yang sebenar di samping kerjasama erat dan muafakat bersama komuniti kampung khususnya MPKK,” tambah beliau lagi.Dalam pada itu, beliau juga berharap agar semua hadirin di majlis itu dapat membuat anjakan paradigma ke arah suasana lebih baik, positif dan bersemangat dalam menghadapi cabaran getir serta bersama-sama merealisasikan hasrat ke arah Negeri Terengganu maju, berkat dan sejahtera.
14 Nov 18
394
2,836 Graduan UniSZA Bakal Terima Anugerah Sabtu Ini
KUALA NERUS, 14 November- Seramai 2,836 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menerima ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana dan ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-10 yang akan berlangsung dengan penuh gilang-gemilang bermula 17 hingga 19 November ini.Naib Cancelor UniSZA, Profesor Dato’ Dr . Ahmad Zubaidi A. Latif, berkata daripada jumlah tersebut, 196 adalah penerima PhD dan sarjana manakala selebihnya 2,640 adalah graduan sarjana muda dan diploma.“Sebanyak enam sidang dijadualkan akan berlangsung bermula dari Sabtu ini, bertempat di Dewan Al Muktafi Billah Shah (DABS), UniSZA Gong Badak.“Pada sidang pertama Sabtu ini, akan berlangsung Majlis Penganugerahan Ijazah Kehormat kepada Tan Sri Dato’ Seri Syaikh Haji Ismail Haji Muhammad iaitu Imam Besar, Masjid Negara Kuala Lumpur”, katanya.Dr Ahmad Zubaidi berkata, Karnival Mahabbah turut berlangsung bersempena majlis konvokesyen yangg diadakan selama lima hari bermula esok.“UniSZA telah menyediakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang Karnival Mahabbah ini antaranya sukan rakyat, mewarna, pameran, gerai jualan dan persembahan pentas.“Kami menjemput orang ramai hadir bagi memeriahkan lagi Karnival Mahbbah ini yang berlangsung di Tapak Karnival, UniSZA Kampus Gong Badak bermula esok”, katanya
13 Nov 18
186
161 Sijil Pengesahan Halal Malaysia Dikeluarkan Di Terengganu
Mohd Azam Awi.KUALA TERENGGANU, 14 November - Sebanyak 161 Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) diluluskan sehingga November 2018 di negeri ini.Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Azam Awi berkata, daripada jumlah itu sebanyak 76 melibatkan permohonan baharu dan bakinya untuk tujuan pembaharuan lesen.Katanya, sijil halal berkenaan dikeluarkan kepada produk makanan dan minuman, barang gunaan, premis makanan, rumah sembelihan dan produk kosmetik.“Produk makanan dan minuman paling banyak mendapatkan sijil halal iaitu 106, diikuti premis makanan (37), barang gunaan (12), rumah sembelihan (4) dan kosmetik (2)."Bagi kategori industri ianya dimonopoli industri kecil (IK) iaitu sebanyak 53, mikro (52), multinasional (12) dan industri sederhana (8),” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Seminar Pemantapan Eksekutif Halal Negeri Terengganu 2018 di Hotel Permai, hari ini.Mengulas mengenai seminar yang diadakan, Mohd Azam berkata, antara objektifnya adalah untuk memberi pendedahan tanggungjawab Eksekutif Halal dari aspek syariah dan teknikal serta memberi kesedaran kepenbtingan peranan mereka dalam industri Pensijilan Halal Malaysia.“Seminar ini dihadiri kira-kira 113 peserta dari kalangan Eksekutif Halal yang mempunyai tanggungjawab secara langsung terhadap kualiti dan jaminan halal syarikat masing-masing,” ujarnya.Katanya, JHEAT turut mengadakan pelbagai program bagi membantu para usahawan memohon sijil halal termasuk kerjasama dengan JAKIM.
13 Nov 18
129