lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Bajet 2019 : Chicken Cottage Rugi RM2.5 Juta Sepanjang 2018
Bajet 2019 : Chicken Cottage Rugi RM2.5 Juta Sepanjang 2018
KUALA TERENGGANU, 27 November -  Restoran makanan segera milik kerajaan negeri, Chicken Cottage dianggarkan mengalami kerugian berjumlah RM2.5 juta sehingga Disember 2018. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, cawangan Chicken Cottage di Terengganu mengalami kerugian sejak syarikat makanan itu mula beroperasi pada 2015. Katanya, sejak mula beroperasi sehingga Disember 2017 kerugian adalah sebanyak RM2.6 juta. Manakala, pada 2017 pula merekodkan kerugian RM1.2 juta.   "Begitu juga dengan cawangan di Taman Tun Doktor Ismail, Kuala Lumpur (turut kerugian).   "Bagaimanapun, kita buat keuntungan besar di United Kingdom (UK)," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi soal jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.   Tengku Hassan berkata, sehingga kini, terdapat 70 outlet Chicken Cottage di UK dan restoran makanan itu akan melebarkan sayapnya di Dubai serta berkembang di negara-negara Arab.   "Cawangan luar negara untung mungkin kerana jenama ini telah lama di sana dan sesuai dengan suasana masyarakatnya. Kita merancang melantik seorang 'master franchise' bagi setiap negara.   "Akan ada beberapa cawangan yang bakal dibuka di Jeddah, Riyadh dan India," katanya. Menurut Tengku Hassan lagi, sebarang keputusan terhadap syarikat perniagaan makanan itu bagi cawangan dalam negara akan ditentukan oleh ahli lembaga pengarahnya tanpa campur tangan pihak lain.  
27 Nov 18
158
Empty Image
Bajet 2019 : Tubuh Jawatankuasa Khas Tuntut Royalti
KUALA TERENGGANU, 27 November - Kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa  khas yang dianggotai wakil rakyat termasuk pembangkang, untuk menuntut wang royalti sebelum Disember ini.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan mewujudkan jawatankuasa berkenaan adalah tambahan daripada inisiatif yang sedang dijalankan kerajaan negeri ketika ini.“Jawatankuasa ini akan diwakili beberapa orang daripada parti kerajaan negeri dan wakil pembangkang untuk berbincang bersama mengenai inisiatif dan cara terbaik memperjuangkan wang royalti dengan membawa isu ini ke Putrajaya."Saya ambil maklum tentang hal ini dan setuju bahawa ini satu inisiatif  untuk tuntutan royalti dibuat secara bersama di mana semua wakil rakyat termasuk pihak pembangkang duduk bersama untuk selesaikan isu ini."Ini merupakan kaedah tambahan kerana kita perlu beri tekanan dengan berbincang mencari cara yang terbaik untuk mulakan pertemuan untuk menyelesaikan di meja perbincangan,"katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri , di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.Dr. Ahmad Samsuri berkata, perincian mengenai tuntutan itu akan diperhalusi dalam jawatankuasa berkenaan selain menetapkan keanggotaannya.Ketika diminta mengulas kesediaan dua mantan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dan Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang mahu membantu dalam isu royalti itu, beliau berkata, kerjasama itu menjadi suatu contoh terbaik kepada rakyat."Saya rasa terharu dan gembira dengan tawaran ini dan walaupun parti berbeza tetapi boleh duduk bersama untuk selesaikan masalah rakyat bukan sahaja tentang royalti tetapi dalam isu lain seperti dadah dan ekonomi."Ini merupakan satu permulaan budaya politik baru di negeri ini dalam menunjukkan sikap bersama menyelesaikan isu untuk rakyat,"ujarnya.Terdahulu ketika sesi soal jawab diadakan, Ahmad menyatakan sokongan terbukanya kepada Ahmad Samsuri untuk membentuk jawatankuasa khas itu.Ahmad Razif pula menggesa kerajaan negeri supaya lebih agresif dalam isu tuntutan royalti minyak dan gas negeri.Untuk rekod, selepas PAS mengambil alih Terengganu, kerajaan negeri sudah menerima bayaran royalti sebanyak RM300 juta iaitu pada Ogos dan awal September lalu.Manakala baki bayaran royalti minyak dan gas yang dianggarkan berjumlah antara RM400 hingga RM500 juta diharapkan dapat diterima sebelum akhir tahun ini.
26 Nov 18
48
Empty Image
Bajet 2019 : Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 27 November - Terengganu dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya mengerahkan semua agensi terbabit termasuk bersedia dari aspek kemahiran, kelengkapan dan keperluan bagi menghadapi bencana banjir besar pada bila-bila masa sahaja.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri,  Hanafiah Mat berkata, persiapan sudah dilaksanakan bermula dari suku pertama 2018  menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang bermesyuarat dua kali."Peringkat pertama kita sudah bincangkan pasal `post mortem' dan persiapan kesiap siagaan berkaitan banjir."Semua pejabat daerah juga telah bermesyuarat untuk pelarasan persiapan di peringkat daerah, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sektor yang berkaitan," katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) berkaitan persiapan yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi menangani masalah banjir di seluruh Terengganu yang berkemungkinan berlaku tidak lama lagi, pada sesi soal jawab lisan di Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.Hanafiah berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga turut diberi pendedahan mengenai latihan asas, keselamatan dan simulasi menghadapi banjir oleh agensi dan jabatan yang berkaitan."Ini termasuklah hebahan media kepada semua peringkat yang terlibat dalam banjir tentang persediaan yang mereka hadapi," katanya
26 Nov 18
91
Empty Image
Bajet 2019 : Patuh Syariah Hanya Untuk Atlet Terengganu
Wan Sukairi ketika sidang media pagi ini berhubung isu pematuhan syariah kepada atlet Terengganu yang turut menjadi perbualan netizen masa kini.KUALA TERENGGANU, 27 November - Pemakaian patuh syariah kepada atlet sukan beragama Islam mulai 2019 hanya terpakai di Terengganu dan perkara ini telah disuarakan lebih awal kepada persatuan-persatuan sukan negeri serta disambut baik oleh mereka, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.Katanya,  pihaknya juga menerima respon positif daripada ramai atlet dan menyatakan sokongan dengan keputusan kerajaan yang meletakkan agama Islam sebagai dasar yang menjadi pertimbangan paling tinggi tanpa meminggirkan kebajikan rakyat bukan Islam di negeri itu."Walaupun belum dilaksanakan, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah menyahut seruan untuk memastikan pemain muslim menutup aurat dalam setiap pertandingan bermula musim 2019."Langkah ini kemudian diikuti oleh Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) dan Persatuan Hoki Terengganu (PHT) yang menyatakan kesediaan mereka baru-baru ini."Kami juga berhubung dengan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) iaitu mufti Terengganu, Dato' Zulkifly Muda dan pihak yang membuat garis panduan pemakaian atlet untuk suatu keputusan yang diterima oleh semua termasuk pemakaian atlet renang, gimnastik dan bina badan," katanya dalam sidang media di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.Beliau berkata demikian ketika mengulas respon balas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membantah keputusan Terengganu untuk melaksanakan pakaian patuh syariah dalam sukan di negeri ini. Menurut Wan Sukairi lagi, Kerajaan Terengganu merakamkan terima kasih atas keprihatinan dan ulasan menteri berkenaan, bagaimanapun menegaskan keputusan itu berikutan dasar negeri ini yang meletakkan Islam sebagai tunggak pentadbiran serta semua aspek termasuk sukan."Dasar ini dilaksanakan dalam kerajaan termasuk dalam sukan. Kebajikan atlet merupakan kewajipan kerajaan dan kita mengambil inisiatif menjaga kebajikan bukan sekadar aspek lahiriah tetapi meliputi aspek dunia akhirat," katanya.
26 Nov 18
65
Empty Image
Bajet 2019 : RM48.5 juta Untuk Industri Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 November - Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 48.5 juta untuk membangun industri pelancongan negeri berasaskan kepada tujuh sub sektor.Ini termasuk Pelancongan Ekologi (Eco Tourism), Pelancongan Tani (Agro Tourism), Pelancongan Islam (Islamic Tourism), Pelancongan Budaya (Culture Tourism), Perlancongan Sukan (Sports Tourism) dan Pelancongan Kesihatan (Health Tousim).Katanya, bagi menggalakkan tarikan pelancong yang lebih ramai untuk mengunjungi Tasik Kenyir tahun depan, sejumlah RM30 juta diperuntukkan khas untuk pengurusan dan pembangunan tasik buatan mansuia itu.Menurut beliau pada tahun 2017 seramai 808,336 pengunjung telah mengunjungi Tasik Kenyir.Beliau berkata demikian ketika mengemukakan Enakmen Perbekalan 2019 di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke 14 di Wisma Darul Iman kelmarin.Katanya kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM9.5 juta untuk membangun Pulau Bidong sebagai pulau warisan mencakupi pengurusan serta pembangunan taman negeri.Keindahan Tasik Kenyir di waktu senja."Langkah ini melambangkan sebahagian usaha dan komitmen Kerajaan Negeri dalam melindungi khazanah alam semual jadi," jelasnya.Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, kebersihan sebahagian tuntutan agama yang memberi kesan langsung kepada industri pelancongan.Oleh itu katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4 juta lagi bagi program kebersihan dan keceriaan untuk menjayakan Program Terengganu Bersih dan Ceria."Kerajaan Negeri akan menaik taraf jalan penghubung di pulau-pulau peranginan dengan peruntukan RM3 juta."Ia selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pulau-pulau dan Taman Laut Negeri Terengganu," ujarnya.Namun tambah beliau, aspek pengekalan ekosistem dan pembangunan lestari di kawasan pulau terbabit akan diambil kira.Katanya, bagi memastikan pengekalan prestasi, peruntukan sebanyak RM2 juta disediakan untuk tujuan menyelenggara dan menceriakan lokasi-lokasi pelancongan.Ini termasuk inisiatif berterusan Kerajaan Negeri dalam usaha mempertingkatkan perlindungan khazanah alam semula jadi negeri serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar."Komitmen ini diterjemahkan melalui pewartaan Taman Negeri Setiu Wetlands dan Taman Negeri Lawit-Cenana di Tasik Kenyir," terang beliau.
26 Nov 18
744
Empty Image
Bajet 2019 : Pemilik Haiwan Ternakan Diingatkan Jangan Ingkar
Dr. Alias Razak KUALA TERENGGANU, 26 November-Kerajaan negeri memberi peringatan kepada pemilik haiwan yang gemar membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya atau tempat awam supaya mematuhi arahan yang ditetapkan.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, sekiranya pemilik gagal mematuhi arahan berkenaan, mereka bakal berdepan kompaun sebanyak RM250.Katanya lagi, sekiranya pemilik ternakan tidak membuat tuntutan ternakan antara tujuh hingga 14 hari selepas ditangkap, bukan sahaja kompaun tetapi turut dikenakan kos tebus serta caj tambahan sebanyak RM10 (seekor haiwan) setiap hari."Masalah haiwan ternakan dibiarkan berkeliaran bukan lah perkara baharu namun ia berlaku secara berterusan berikutan sikap sesetengah individu yang tidak mematuhi peraturan," kata beliau dalam sidang media pada Sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.Terdahulu beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukan oleh Ir. Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik).Menurut beliau, sepanjang operasi antara Januari hingga November ini, sebanyak 112 ekor lembu, kambing (141 ekor), kambing biri-biri (10 ekor) dan seekor kerbau telah ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.Jelasnya, jumlah kompaun yang dibayar oleh pemilik ternakan adalah berbeza mengikut jenis haiwan iaitu RM250 bagi seekor lembu, RM100 (kambing) dan RM50 (anak kambing)."Ada yang kata PBT zalim sebab menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran tetapi operasi ini terpaksa diteruskan demi menjaga kepentingan awam, keselamatan pengguna jalan raya serta keselesaan penduduk dan pelancong."Kita buat semua ini supaya pemilik ternakan tidak mengulangi kesalahan yang sama dan ini merupakan satu pengajaran kepadanya,"katanya.
26 Nov 18
51
Empty Image
Bajet 2019 : Nafi Tawar Insentif Perkahwinan RM1,000
KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan negeri tidak pernah menawarkan insentif RM1,000 kepada peserta Majlis Walimatulurus Perdana 2018 sebaliknya menyatakan akan menerima kembali wang caruman dalam jumlah yang sama.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri,  Hanafiah Mat berkata, perkara itu sudah dimaklumkan lebih awal kepada peserta sebagai syarat penyertaan.Katanya,  bayaran wang caruman RM1,000 dikenakan kepada mereka yang terlibat sebagai bayaran komitmen bagi mengelak menarik diri pada saat akhir. Bagaimanapun, wang berkenaan dikembalikan kepada peserta pada hari majlis berlangsung.“Oleh itu, tidak adil segelintir pihak menuduh kerajaan negeri menipu rakyat dengan menyatakan ada menawarkan insentif RM1,000 kepada peserta program,” katanya.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu wang  caruman Majlis Walimatulurus Perdana yang ditularkan pihak tidak bertanggungjwab dalam sidang media sempena Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.Hanafiah berkata, dalam program sama yang dianjurkan kerajaan negeri sebelum ini, wang caruman RM1,000 dimasukkan ke dalam akaun Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (SSP-BSN).“Bagaimanapun, pihaknya tidak meneruskan pendekatan itu kerana didapati wujudnya unsur riba.“Selain wang caruman dikembalikan, peserta turut mendapat keistimewaan lain, termasuk set persalinan pakaian pengantin, khidmat juru nikah, pakej set perkahwinan (pelamin, andaman, kek, kad jemputan kahwin dan khidmat jurugambar) dan jemputan 100 tetamu bagi setiap pengantin,” katanya.Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM800,000 bagi menjayakan Walimatulurus Perdana 2018 melibatkan 190 pasangan muda yang berlangsung serentak di seluruh Parlimen pada Sabtu lalu.
26 Nov 18
33
Empty Image
Bajet 2019 : Peruntukan Hakisan Pantai RM90 Juta, Perlu Dikembalikan
Hishamuddin Abdul Karim.KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan negeri dan pihak berkaitan digesa bersemuka dan mengadakan rundingan dengan Kerajaan Pusat agar projek menangani hakisan Pantai Mengabang Telipot yang bernilai RM90 juta diteruskan.Wakil PAS-Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, berkata pendekatan itu sangat wajar kerana dibimbangi kejadian hakisan terus berlarutan ke kawasan lain. “Kesannya sudah pasti akan merisaukan penduduk berdekatan selain menyukarkan  nelayan turun mencari rezeki.“Saya difahamkan, peruntukan bagi tujuan itu ditarik balik oleh Kerajaan Pusat selepas Parti Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kepimpinan atas alasan kekurangan wang,” katanya.  Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari kedua, di Wisma Darul Iman, hari ini.Hishamuddin turut memberitahu, tindakan menarik balik peruntukan bagi projek menangani hakisan pantai  sangat tidak wajar kerana ianya sudah diluluskan dan diserahkan kepada kontraktor yang dilantik.“Perkara itu ada dinyatakan Mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri lalu.“Oleh itu, saya berharap kerajaan negeri berusaha mengembalikan peruntukan itu kepada Terengganu supaya projek tangani hakisan Pantai Kampung Kolam, Mengabang Telipot tidak terbengkalai, ” katanya.
25 Nov 18
30
Empty Image
Bajet 2019 : Terengganu Teruskan Biasiswa Kepada Pelajar Bidang Agama Di Luar Negara
Satiful Bahri Mamat.KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) akan menyambung semula penajaan kepada pelajar Terengganu yang berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang agama di luar negara bermula tahun depan.Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, sebelum ini kerajaan terdahulu telah menghentikan pemberian biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di beberapa buah negara. “Ianya melibatkan pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang agama di Mesir pada 2011 diikuti pelajar di Jordan dan Maghribi pada tahun 2015."Alhamdulillah, dalam Bajet 2019, kerajaan negeri akan menyambung semula penajaan kepada pelajar ini dengan peruntukan sebanyak RM15 juta yang akan diuruskan oleh YT."Daripada jumlah itu, RM5 juta ialah biasiswa untuk pelajar cemerlang dan RM10 juta pula pinjaman yuran untuk pelajar luar negara di mana ia tidak terhad kepada pengajian Islam sahaja, malah turut dibuka kepada pelajar bidang lain seperti perubatan," ujarnya.Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ab Razak Ibrahim (PAS-Air Putih) berkaitan apakah jenis pembiayaan yang diberikan agensi kerajaan kepada pelajar luar negara dalam bidang keagamaan dalam sesi soal jawab lisan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.Satiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, bagi menampung kos sara hidup bulanan pelajar di luar negara pula, pihaknya akan berkolaborasi dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk pemberian zakat kepada pelajar yang layak.Katanya, kerajaan negeri juga akan meneruskan pemberian insentif persediaan awal RM1,000 kepada pelajar yang berjaya menyambung pengajian di mana-mana universiti dalam dan luar negara."Sebanyak RM1.5 juta juga diperuntukkan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah untuk anak-anak Terengganu yang berkelayakan," katanya. Dalam pada itu, menjawab soalan Maliaman Kassim (PAS-Ajil) pula, Satiful berkata,  kerajaan negeri akan meningkatkan kemudahan infrastruktur di tiga madrasah moden sedia ada iaitu di Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Besut dan tidak bercadang untuk mewujudkan madrasah yang baharu di kawasan lain."Saya sendiri turun padang dan tengok kemudahan yang ada di madrasah ini, ianya berada dalam keadaan tidak terurus dan boleh mendatangkan musibah kepada pelajar. Kita akan baik pulih dan bersetuju agar madrasah ini ditadbir urus oleh Bahagian Pendidikan JHEAT selepas ini," katanya. 
25 Nov 18
236
Empty Image
Bajet 2019 : Industri Silika Terengganu Sedia Lebih 7,000 Peluang Kerja
Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan negeri telah mengisytiharkan kawasan seluas 4,000 hektar di Kampung Jambu Bongkok, Marang sebagai Lembah Silika Terengganu yang bakal menyediakan lebih 7,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Terengganu dengan nilai pelaburan berjumlah RM13 billion. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, industri silika berpotensi besar menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara sekali gus bertindak sebagai penggerak ekonomi Negeri Terengganu dan penjanaan pendapatan kerajaan negeri.Katanya, sehingga kini lebih 50 pelabur termasuk dari China, Taiwan, Korea dan tempatan menunjukkan minat kepada industri silika.“Rata-rata pelabur yang mencari peluang pelaburan di negeri ini lebih berminat kepada industri silika yang mana taburan deposit silika di negeri ini terdapat di seluruh daerah kecuali Hulu Terengganu,” ujarnya. Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) berkaitan status terkini projek industri silika di Lembah Silika, Kampung Jambu Bongkok dalam sesi soal jawab lisan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Petronas pada 6 Disember ini bagi penyaluran dan pembekalan gas dari Santong, Paka ke tapak Lembah Silika Terengganu yang akan menjadi kawasan perindustrian bersepadu dan tempat pemprosesan produk-produk akhir yang berasaskan silika.“Ini perlukan masa kerana melibatkan pengambilalihan tanah penduduk dan sebagainya. InsyaAllah, kilang pertama akan dibina di tapak ini pada 2020,” ujarnya.Tengku Hassan berkata, di bawah portfolionya juga satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menarik minat syarikat dari dalam dan luar negara melabur di negeri ini khususnya di Lembah Silika Terengganu.Katanya, kajian juga akan dilakukan untuk mengenalpasti dan menentukan lokasi mana yang mempunyai taburan deposit silika yang paling banyak di negeri ini.
25 Nov 18
113