lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Juara Dunia, Brunei Tambah Sengat TIEP Tug Of War
Juara Dunia, Brunei Tambah Sengat TIEP Tug Of War
SETIU, 17 Mei - Blue Tiger, pasukan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menjuarai Kuala Lumpur International Tug Of War Club Championships (Kejohanan Kelab Dunia) edisi tahun lalu, akan mempanerkan taringnya dalam Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP) 2025, hari ini. Juara dunia itu bakal bersaing dengan sembilan lagi pasukan dari seluruh negara termasuk Chainblock Tugger, juara zon Borneo dari negara Brunei Darussalam. Ketua Teknikal kejohanan, Zolkefli Ahmat berkata, kehadiran pasukan-pasukan ternama dalam negara dalam kejohanan Tug Of War kali ini menunjukkan potensi perkembangan sukan itu di pantai timur. "Ini yang saya harapkan, kalau kita hendak naikkan sukan ini perlu dan penglibatan pasukan luar. "Kalau pasukan bertaraf negara seperti Brunei turun ke kejohanan sebegini, maknanya mereka melihat Terengganu ini ada sesuatu yang istimewa. "Apa yang saya harapkan selepas ini, pihak penganjur dapat menambah hadiah kejohanan dan kategori pertandingan untuk menarik lebih banyak pasukan serta menaikkan prestij kejohanan," katanya. Beliau turut melihat penganjuran kejohanan Tug Of War dalam Karnival TIEP yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu ini dapat mencetuskan fenomena baru sukan itu di kalangan rakyat. Perlawanan pertama antara Blue Tiger dan Chainblock Tugger disaksikan oleh Exco Sukan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim ​​​​​ "Saya berharap kejohanan ini jadi platform sukan tarik tali untuk berkembang maju dan semoga Terengganu menjadi pencetus bagi zon pantai timur," katanya.  
17 May 25
158
Warga Terengganu Dijemput Memeriahkan Karnival TIEP
Warga Terengganu Dijemput Memeriahkan Karnival TIEP
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Seluruh warga Terengganu dan sekitarnya dijemput untuk memeriahkan Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP)2025. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. "Akan diadakan pada 16 sehingga 18 Mei ini bertempat di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong Setiu," ujar beliau melalui kenyataan di media sosialnya, di sini. Menurut Ahmad Samsuri, pelbagai pengisian menanti pengunjung yang hadir. "Termasuk pertunjukan sukan lasak, perarakan kuda berhias, aktiviti komuniti, persembahan kebudayaan dan sebagainya. "Jumpa di sana,"ujarnya.  
10 May 25
4507
Imtiaz Besut Rangkul Juara MASSMIYT
Imtiaz Besut Rangkul Juara MASSMIYT
SETIU, 8 Mei - Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut dinobatkan sebagai juara keseluruhan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu (MASSMIYT) Ke-10. Kejayaan itu diraih selepas menewaskan tujuh sekolah lain dalam kejohanan sukan melibatkan semua sekolah menengah Imtiaz Yayasan Terengganu.  Kejohanan itu membabitkan persaingan sengit merebut pingat emas melibatkan 16 acara yang dipertandingkan.  Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, yang merasmikan majlis penutup, agenda pembangunan sukan di Imtiaz turut berkembang di kalangan murid. "Di samping Imtiaz merekodkan kecemerlangan akademik yang sangat membanggakan," katanya.  Turut hadir dalam majlis itu, Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu, Megat Samsudin Megat Yusof dan Pengetua Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Setiu, Siti Halimah Sidek.  Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kuala Nerus dinobatkan sebagai juara bagi perarakan terbaik. Sementara itu, SMIYT Besut merangkul johan keseluruhan lelaki dan johan bagi keseluruhan perempuan menjadi milik tuan rumah, SMIYT Setiu.
08 May 25
145
TFC Sangkal Dakwaan Gaji Mamut Sangkut
TFC Sangkal Dakwaan Gaji Mamut Sangkut
KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Terengganu Football Club (TFC) menyangkal dakwaan berkenaan kegagalan kelab tersebut membayar gaji hampir sembilan bulan kepada penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut, yang tular di beberapa media sosial pada Ahad. Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan TFC semalam, kelab gergasi pantai timur itu mendakwa isu berkenaan tidak diperolehi dari sumber yang tepat. "Pihak TFC sentiasa menjaga kebajikan dan sentiasa memberi peluang kepada semua pemain untuk berbincang mendapatkan jalan yang terbaik demi kesejahteraan dan kebaikan pasukan. "Jika ada sebarang perkara yang tidak dijelaskan sama ada gaji dan hal-hal lain, saluran yang betul boleh digunakan sebagaimana termaktub di dalam perjanjian kontrak yang telah dipersetujui serta menunjukkan sikap profesional. "Pihak TFC berharap agar isu ini tidak dimainkan serta digembar gemburkan yang akhirnya memberi tanggapan negatif kepada peminat serta Liga Malaysia secara amnya. "Pihak TFC tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada laman sosial mahupun pihak yang mengeluarkan serta menyebarkan (berita) itu," jelas kenyataan itu. Kenyataan dikeluarkan TFC itu bagaimanapun tidak menjawab secara jelas tentang isu tunggakan gaji yang berlaku dan penyelesaiannya. Melalui pemakluman TFC yang disertakan, Ivan Mamut telah menandangani kontrak lanjutan musim 2024/2025 pada Disember 2023. Namun, kecederaan serius Achilles Tendon sekitar Mac 2024 menyebabkan beliau tidak dapat bermain. Atas kehendaknya dan persetujuan dari TFC, Mamut melakukan rehabilitasi di negaranya iaitu Croatia dengan alasan ia lebih baik. Bagaimanapun, pihak perubatan TFC mendapati kecederaan yang dialami tidak ada perubahan setelah beliau kembali ke pasukan pada Mei 2024. Beliau sekali lagi memohon kepada pihak TFC untuk pulang dan ingin melakukan pembedahan serta pemulihan disana pada Julai 2024 dan ketika melapor diri kepada TFC p[ada Januari 2025, beliau didapati tidak cergas sepenuhnya yang menyaksikan penyerang tersebut tidak mampu menyumbang apa-apa minit kepada perlawanan rasmi Liga Malaysia pada musim 2024/2025.  
07 May 25
148
Digantung FIFA? TFC Cakap Dah Selesai
Digantung FIFA? TFC Cakap Dah Selesai
KUALA TERENGGANU, 6 Mei - Belum surut isu dakwaan tunggakan gaji Ivan Mamut, Terengganu Football Club (TFC) digemparkan lagi dengan tersebar satu tangkap layar memaparkan status semasa kelab Pantai Timur berkenaan dikatakan digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). TFC mengeluarkan kenyataan baharu tentang isu berkenaan hari ini, menggesa isu sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA atau FIFA Transfer Ban tidak dimainkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab. "Perkara ini telah diselesaikan sepenuhnya oleh pihak TFC pada April 2025 yang lalu. Ia melibatkan bekas pegawai asing pasukan dengan TFC apabila timbul sedikit pertikaian berkait bayaran elaun yang melibatkan lima angka sahaja. "Pengesahan penyelesaian penuh telah diperakui FIFA pada 21 April 2025 dan memberi masa lima (5) hari kepada penuntut mengesahkan bayaran. "Sepatutnya hal ini tidak timbul oleh kerana tempoh tersebut telah berlalu," jelas kenyataan itu, hari ini. Tambah kenyatan yang disiarkan, TFC sememangnya mengambil maklum tempoh jendela perpindahan atau pendaftaran pemain Liga Malaysia belum lagi dibuka dan menegaskan tindakan segera telah dilakukan walaupun tempoh masa masih panjang dengan jangkaan kalendar musim baru dibukan pada Julai 2025 sehingga sepak mula kemungkinan awal Ogos 2025.   "Segelintir peminat di laman sosial menularkan isu ini yang seolah-olah berniat memburukan reputasi kelab TFC dan yang mengakibatkan tanggapan kurang tepat serta negatif kepada kelab TFC. "Diharap semua pihak memahami dan jelas dengan prosedur tatacara kes apabila melibatkan FIFA serta penjelasan yang diberikan pihak TFC," katanya.  
07 May 25
239
Dapat Peruntukan RM499,270, Stadium Hoki Diberi Nafas Baru
Dapat Peruntukan RM499,270, Stadium Hoki Diberi Nafas Baru
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri Terengganu meluluskan peruntukan khas berjumlah RM499,270.00 bagi tujuan penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan sukan di Stadium Hoki termasuk kerja-kerja lain yang berkaitan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, langkah ini selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memastikan kemudahan sukan berada dalam keadaan baik demi keselesaan dan keselamatan para atlet serta pengguna. "Peruntukan berkenaan diluluskan oleh Perbendaharaan Negeri Terengganu pada 26 Februari 2025 dan akan disalurkan melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). "Surat Setuju Terima (SST) akan dikeluarkan pada pertengahan Mei 2025," jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Menurutnya, pada saat ini, pihak kerajaan negeri belum mempunyai apa-apa perancangan untuk membina stadium hoki kedua di Kompleks Sukan Gong Badak. Sementara itu, Kerajaan Negeri turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang mencatat sejarah dengan menjuarai trebel musim ini – Liga Hoki Malaysia (MHL), Piala Sumbangsih dan Piala TNB Premier 2025. "Kerajaan negeri telah menerima cadangan insentif daripada Persatuan Hoki Terengganu dan akan membawa perkara ini untuk dipertimbangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan datang," jelasnya.
17 Apr 25
985
'City Night Games' Turut Diserikan Pertunjukan Gasing Tradisional
'City Night Games' Turut Diserikan Pertunjukan Gasing Tradisional
KUALA TERENGGANU, 14 April - Permainan Gasing Tradisional akan turut dipersembahkan dan akan menjadi penyeri pada acara 'City Night Games' siri dua yang bakal diadakan nanti. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul karim berkata, pihaknya telah dikunjungi oleh jurulatih dan juga pembuat gasing, Omar Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pok Din Bagi membincangkan penganjuran pertandingan gasing yang akan menjadi salah satu acara dalam acara berprestij itu nanti. "Pertandingan gasing ini akan dijalankan pada 19 April 2025 bermula pada 8.30 pagi di Kompleks Sukan negeri Terengganu, Gong Badak,"ujarnya dalam satu kenyataan di media sosialnya di sini, kelmarin. Jelasnya, melalui acara itu nanti pengunjung akan dapat melihat dengan lebih dekat dan mengetahui lebih mendalam tentang permainan gasing. "Menerusi program ini, pengunjung terutama generasi muda dapat menyaksikan keunikan sukan gasing yang merupakan sukan tradisi masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. "Terima kasih diucapkan buat Pok Din atas kunjungan pada kali ini. Semoga dipermudahkan penganjuran pertunjukan gasing nanti," katanya.  
14 Apr 25
100
Qabil Irfan Raih Kemenangan Berganda di Jerez, Sepanyol
Qabil Irfan Raih Kemenangan Berganda di Jerez, Sepanyol
KUALA TERENGGANU, 7 April - Pelumba muda berbakat kelahiran Terengganu, Qabil Irfan, terus mencipta sensasi di pentas antarabangsa apabila meraih kemenangan berganda dalam perlumbaan 'ESBK Talent Cup' di Jerez, Sepanyol, semalam. Qabil menamatkan Perlumbaan 2 dengan cemerlang, sekaligus mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas menjuarai Perlumbaan 1 sehari sebelumnya. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim menyambut baik kejayaan tersebut serta merakamkan rasa bangga beliau terhadap pencapaian pelumba cilik itu. "Tahniah buat Qabil Irfan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang muncul Juara bagi kategori ESBK Talent Round 1 Race 2 hari ini di Jerez, Sepanyol. "Ia kemenangan buat kali kedua bagi Qabil selepas muncul Juara bagi Race 1 kelmarin. Qabil berjaya mengenepikan pesaing-pesaing daripada kelab permotoran negara  lain bagi cabaran pada kali ini. "Semoga dipermudahkan urusan Qabil, diberikan kekuatan untuk terus memberi saingan dan mengekalkan kejuaraan bagi edisi perlumbaan lain. Beliau berkata demikian dalam satu hantaran yang telah dikeluarkan melalui laman sosial media rasminya, semalam. Dalam pada itu, di sebalik kejayaan ini, usaha gigih turut datang daripada pasukan pengurusan Qabil. Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, mendedahkan perancangan teliti yang dilakukan bagi memastikan Qabil mendapat tempat dalam pasukan terbaik. Menurut satu hantaran laman media sosial ZK Racing, usaha ‘mengetuk pintu’ beberapa pasukan Eropah akhirnya membuahkan hasil apabila Qabil dipilih menyertai pasukan kompetitif, VHC Racing. “Alhamdulillah, permulaan season yang baik untuk Qabil di ESBK Championship. Pasukan VHC telah memberikan motosikal yang terbaik untuk Qabil. "Kita tahu pasukan ini adalah pasukan yang kompetitif di dalam kategori ini. Jadi, pada awalnya memang saya ada berbincang dengan beberapa pasukan, bererti ini adalah motosikal yang terbaik yang kita dapat,” jelas Zulfahmi. Tambah Zulfahmi, pasukannya turut merancang beberapa sesi ujian di Eropah untuk Qabil bagi memastikan pelumba muda itu kekal konsisten sepanjang musim. Dia juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong, terutamanya ibu bapa Qabil yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan anak mereka berada pada tahap prestasi terbaik. Pusingan kedua ESBK akan berlangsung pada 9 hingga 11 Mei di lokasi litar yang akan diumumkan kelak.    
07 Apr 25
217
Terengganu Berhasrat Jadikan Jijoe Sebagai Mentor
Terengganu Berhasrat Jadikan Jijoe Sebagai Mentor
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Kerajaan Terengganu berhasrat melantik Jaguh Trek Berbasikal Negara, Dato' Azizulhasni Awang sebagai mentor buat atlet di negeri ini bagi membentuk lebih ramai pelapis yang boleh mewakili Malaysia ke temasya sukan di peringkat antarabangsa. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, hasrat kerajaan negeri itu disampaikan ketika beliau bertemu dengan 'The Pocket Rocket Man'. "Di samping itu, kami turut berkongsi pandangan dan idea mengenai usaha penggunaan fasiliti velodrom berbasikal di Dungun. "Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk meneruskan agenda pembangunan sukan berbasikal secara lebih komprehensif supaya sentiasa berjaya melahirkan pelapis pelumba basikal di kalangan generasi muda Terengganu," ujarnya melalui suatu kenyataan, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Hishamuddin berkata sebelum ini pihaknya sentiasa bertemu dengan Azizulhasni untuk mengetahui perkembangan semasa prestasi sukan berbasikal negara. "Rakyat Malaysia khususnya Terengganu berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan beliau. "Atlet negara yang menerima julukan sebagai 'The Pocket Rocketman' sentiasa positif dan terus berusaha untuk diri beliau dan semua atlet berbasikal negara untuk terus maju jaya," ujarnya.  
25 Mar 25
4075
Terengganu Agih RM1.082 Juta Insentif Kemenangan SUKMA, Para SUKMA
Terengganu Agih RM1.082 Juta Insentif Kemenangan SUKMA, Para SUKMA
KUALA TERENGGANU, 19 Mac - Sebanyak RM1.082 juta disampaikan kerajaan negeri hari ini, sebagai insentif kemenangan bagi menghargai sumbangan atlet dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan (Skan Para (Para) SUKMA pada tahun 2024. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, kerajaan negeri mengagihkan insentif kemenangan pada kadar bersesuaian dengan pencapaian kali ini iaitu sebanyak RM3,000 untuk pemenang pingat emas, RM2,000 untuk pemenang pingat perak dan RM1,000 bagi pemenang pingat gangsa, sama rata untuk atlet bagi kedua-dua temasya berkenaan. "Secara keseluruhannya, pencapaian Kontinjen SUKMA Terengganu 2024 masih lagi boleh dibanggakan. Walaupun pencapaian kita ditangga kelima keseluruhan pada kali ini dengan memperolehi 41 Emas, 36 Perak dan 47 Gangsa dibelakang Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. "Pasukan Judo mendapat pingat emas terbanyak dengan kutipan enam emas, diikuti Berbasikal, Pencak Silat dan Memanah yang mendapat lima emas. Keempat-empat sukan ini kita menjadi juara keseluruhan.   "Sukan tempur pula terus menjadi penyumbang utama kepada kontinjen dengan kutipan keseluruhan adalah sebanyak 18 pingat Emas dan bagi sukan berpasukan, pencapaian pada SUKMA kali ini agak baik," jelasnya dalam ucapan perasmian yang disampaikan pada majlis penyampaian insentif kemenangan temasya sukan tersebut di Dewan Besar Wisma Darul Iman, hari ini. Beliau menambah, kali ini buat pertama kalinya kontinjen Para SUKMA diberi penghargaan yang sama dengan atlet SUKMA. "Pencapaian Para SUKMA adalah di tempat kesembilan daripada 15 penyertaan dengan kutipan 10 emas, 19 perak dan 15 gangsa dan ia adalah pencapaian yang baik berbanding tempat ke 13 pada sukan PARA SUKMA 2022 yang lalu. "Tahniah saya ucapkan," katanya. Seramai 471 atlet menerima insentif berkenaan melibatkan 414 atlet SUKMA dan 57 atlet Para SUKMA. Sukan berbasikal menerima insentif tertinggi iaitu sebanyak RM112,000 setelah meraih pencapaian lima pingat emas, tiga perak dan empat gangsa.  
19 Mar 25
1575