DUNGUN, 28 Mei - Komitmen untuk memperkukuh pembangunan sukan negeri terus diperlihatkan apabila delegasi Kerajaan Negeri Kedah mengadakan lawatan kerja ke Veledrom Dungun dalam usaha menjadikan kemudahan berprestij itu sebagai rujukan dan aspirasi pembangunan sukan di Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan & Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Negeri Kedah, Radhi Mat Din memaklumkan, lawatan ke lokasi yang juga dikenali dengan gelaran Velodrom Dato' Azizulhasni Awang itu, bertujuan meninjau secara lebih dekat kemajuan projek yang dilihat sebagai model pembangunan infrastruktur sukan yang strategik dan berimpak tinggi.
“Kami ingin melihat sendiri bagaimana projek ini dibangunkan daripada aspek struktur, pelaksanaan pembinaan hingga kepada peranan kerajaan negeri dalam memastikan ia memberi manfaat kepada pembangunan sukan tempatan.

"Ini akan menjadi panduan yang amat berguna untuk negeri Kedah,” katanya ketika ditemui selepas lawatan tersebut, di sini pada Isnin.
Radhi yang hadir bersama timbalannya, Baddrol Bakhtiar disertai oleh beberapa pegawai kanan kerajaan negeri dan wakil daripada agensi berkaitan belia dan sukan.
Dalam sesi taklimat dan lawatan tapak yang diadakan, delegasi Kedah diberi penerangan terperinci mengenai reka bentuk veledrom, spesifikasi teknikal serta potensi penggunaannya untuk program pembangunan atlet sukan berbasikal.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia,Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menyambut baik kehadiran delegasi negeri Kedah.
"Pembangunan sukan tidak seharusnya bersifat bersendirian di peringkat negeri, tetapi perlu diperkasakan melalui jaringan kerjasama yang lebih luas antara negeri.
"Insya-Allah, Terengganu sentiasa terbuka untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran yang ada,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, turut menyatakan kesediaan Kerajaan Terengganu untuk bekerjasama dengan mana-mana negeri dalam memperkukuhkan ekosistem sukan, khususnya melalui pemerkasaan fasiliti dan program pembangunan akar umbi.
Tambahnya, kehadiran delegasi itu merupakan satu penghormatan dan menunjukkan bahawa Veledrom Dungun bukan sekadar projek fizikal, tetapi simbol kepada kesungguhan dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Lawatan kerja berkenaan turut membuka ruang dialog antara kedua-dua negeri, dengan perbincangan awal ke arah jalinan kerjasama dalam bidang kejurulatihan, program pembangunan belia dan pemanfaatan fasiliti sukan secara bersama.
Untuk rekod, Veledrom Dungun telah siap sepenuhnya pada 15 Mac 2022 dan kini telah mula digunakan oleh atlet berbasikal tempatan untuk sesi latihan secara rasmi.

Kemudahan tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Terengganu, malah dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan sukan berbasikal tanah air.
Dengan prasarana yang lengkap dan berstandard antarabangsa, Veledrom Dungun kini bersedia menjadi tuan rumah kepada pelbagai kejohanan berbasikal serta menjadi pusat latihan yang mampu melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia seperti Dato’ Azizulhasni Awang.