Artikel "Semasa" Terkini
Graduan INSTEP Mahu Bantu Keluarga
KUALA NERUS, 28 Julai – Rata-rata graduan program Technical Energy Enrichment Programme (TEP) Plus- Upstream ambilan Januari 2024 berharap akan memperoleh pekerjaan yang bersesuaian setelah berjaya menamatkan pengajian di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP).
Bagi Muhammad Iman Zulhaqim Mohd Sukizam, 24, dari Paka, Dungun berkata, dia mula mengenali tentang program TEP Plus melalui rakan dan kenalan yang sering bermain sukan bersama, selain jiran tetangga di kawasan perumahan mereka.
Malah jelasnya, lokasi kediaman yang berdekatan dengan kawasan operasi PETRONAS di Paka telah menimbulkan minatnya terhadap industri tenaga.
“Sebagai anak tunggal, dengan ayah yang bekerja jauh sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur, saya rasa tanggungjawab besar untuk menyokong ibu dan keluarga saya.
“Kehidupan yang dekat dengan operasi PETRONAS di Paka telah menimbulkan minat saya terhadap industri tenaga. Melalui program TEP Plus, saya berharap dapat memperolehi kemahiran yang diperlukan untuk membina masa depan yang lebih baik untuk kami sekeluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Riduan Azman, 26, dari Kampung Tanggol, Kuala Berang mengakui, hanya melalui pendidikan dan kerja keras, dia mampu mengubah nasib keluarga.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, asbab dibesarkan dalam keluarga berpendapatan rendah dengan ayahnya bekerja ‘kampung’ dan ibunya bekerja sebagai tukang cuci di SJK(C) Chong Hwa Wakaf Tapai menjadikannya kuat.
“Ada hari dapat wang saku, ada hari tak. Kalau tak ada, saya bawa bekal dari rumah. Keluarga saya bukan senang, tapi kami sentiasa bersyukur,” ujar Riduan.
Kunjungannya ke reruai PETRONAS semasa karnival kerjaya membuka peluang baharu dalam hidupnya apabila diperkenalkan kepada program INSTEP.
Tanpa berlengah, beliau memohon dan akhirnya terpilih sebagai peserta Program TEP-Plus, khusus dalam bidang ‘Production’.
“Saya ada diploma dalam bidang elektronik dari Sekolah Vokasional Wakaf Tembesu. Apabila tahu pasal program ni, saya nekad nak cuba. Saya anak sulung, tanggungjawab saya besar, saya nak bantu keluarga,” ujarnya.
TEP Plus mencerminkan komitmen berterusan INSTEP dan PETRONAS dalam memperkukuh bakat teknikal tempatan serta membina ekosistem tenaga yang mampan.
Program selama 18 bulan yang ditaja oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) itu merupakan inisiatif tajaan pra-pekerjaan yang direka untuk merapatkan jurang kemahiran antara pemegang diploma dan keperluan sebenar industri.
28 Jul 25
85
"Langkah Kecil, Harapan Besar" - Dr. Sam
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Walaupun berdepan pelbagai keterbatasan, kerajaan negeri terus mencari ruang untuk membantu rakyat yang sedang berusaha memperbaiki kehidupan, dengan memperkenalkan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah.
Menyifatkan inisiatif ini sebagai 'langkah kecil, harapan besar', Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan bernilai RM844,000 ini mungkin kecil dari segi angka, namun cukup besar maknanya buat mereka yang bergantung kepada motosikal untuk menjana pendapatan.
"Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah ini mungkin kelihatan kecil pada angka, tetapi cukup besar maknanya buat mereka yang bergantung kepada motosikal untuk mencari rezeki, tak kira sebagai penghantar makanan, kurier, penjaja kecil, dan pekerja sektor e-dagang.
"Sebanyak RM844,000 telah diperuntukkan bagi membantu 160 orang di seluruh negeri. Lima orang di setiap DUN akan dikenal pasti, bukan kerana keistimewaan mereka, tetapi kerana kesungguhan mereka untuk bangkit dan berdikari.
"Bagi kerajaan negeri, motosikal ini bukan sekadar kenderaan. Ia adalah alat usaha. Ia melambangkan harapan. Ia membawa makna bahawa walau kecil sumbangan kami, kami tetap mahu berdiri di sisi rakyat yang tidak pernah putus asa.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan melalui akaun Facebook rasminya, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap akan berusaha menyalurkan apa yang termampu dengan penuh tanggungjawab.
Dalam pada itu, Samsuri turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat Terengganu yang terus memberikan kepercayaan dan ruang kepada pihak kerajaan negeri.
"Insya-Allah, kami akan terus berusaha menambah baik apa yang termampu, selagi diberi amanah," ujarnya.
Terdahulu, kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah memperuntukkan RM844,000 bagi Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki motosikal bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan.
Perkara itu telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato' Ariffin Deraman pada 20 Julai yang lalu.
27 Jul 25
247
Terengganu Tuan Rumah Sirkit Para Ping Pong Kebangsaan
KUALA NERUS, 27 Julai – Terengganu buat julung kalinya dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran acara sukan berprestij, Sirkit 2 Para Ping Pong Kebangsaan Allianz-MSN-TTAM 2025 yang berlangsung di Ar-Riyadah Residence, Kuala Nerus bermula 23 hingga 27 Julai.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Allianz Malaysia serta Persatuan Ping Pong Para Malaysia (TTAM) itu berjaya menarik penyertaan seramai 108 atlet para dari seluruh negara, kecuali Kuala Lumpur dan Perak.
Kejohanan yang mempertandingkan 16 kategori terbuka ini membabitkan penyertaan atlet berkeperluan intelektual (AI) dan fizikal, sekali gus menjadi platform penting untuk mengenal pasti bakat baharu selain menguji tahap persediaan atlet menghadapi temasya bertaraf lebih besar.
Pengarah Bahagian PARA MSN, Joherman Amir, yang turut hadir memeriahkan kejohanan berkata, penganjuran di Terengganu mencerminkan perkembangan positif sukan para negara dan wajar dimartabatkan sebagai antara acara utama dalam kalendar PARA kebangsaan.
“Prestasi atlet sangat membanggakan. Ini membuktikan bahawa sukan ping pong para semakin berkembang pesat dan berpotensi untuk terus diberi perhatian serius dalam pembangunan sukan OKU di Malaysia,” katanya dalam sidang media.
Turut hadir, Presiden Persatuan Ping Pong Negeri Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohd Asamudin A. Rahman.
Pemilihan Ar-Riyadah Residence sebagai venue utama penganjuran disifatkan tepat kerana kemudahan mesra OKU yang kondusif serta sokongan logistik yang baik, menjadikan kejohanan ini antara yang paling teratur dan inklusif setakat ini.
Penganjuran sirkit ini bukan sahaja mengukuhkan reputasi Terengganu sebagai penganjur bertaraf tinggi, malah menegaskan komitmen negeri ini dalam memperkasa pembangunan sukan OKU secara progresif dan holistik.
26 Jul 25
226
Usahawan Terengganu Perlu Contohi Kejayaan Thailand Tembusi Pasaran Serantau
HATYAI, 25 Julai - Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Terengganu disaran mencontohi kejayaan model perniagaan di Thailand dalam usaha memperluas pasaran produk halal dan beridentitikan negeri ke peringkat serantau.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, kejayaan usahawan Thailand menembusi pasaran global bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil pelaksanaan pelan perniagaan yang tersusun.
Menurutnya, antara kekuatan utama mereka adalah kemampuan menjelaskan nilai sesuatu produk kepada pelanggan, sekali gus meyakinkan pengguna tentang manfaat dan kualiti yang ditawarkan.
“Pendekatan ini membolehkan pelanggan memahami fungsi produk dengan jelas dan bersedia membayar harga berpatutan.
“Inilah yang mendorong pertumbuhan pesat sektor PKS di Thailand, terutamanya dalam industri makanan halal, produk kesihatan dan pertanian moden,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa pusat pengeluaran produk herba dan madu di Hatyai, hari ini.
Kunjungan itu melibatkan lebih 30 wakil jabatan dan agensi kerajaan peringkat negeri dan persekutuan bagi meneroka potensi pasaran PMKS Terengganu ke Thailand dan negara serantau lain.
Dalam masa sama, Ariffin berkata, kejayaan usahawan Thailand juga banyak bergantung kepada penggunaan strategi pemasaran digital, model francais dan pembangunan jenama secara konsisten.
“Usahawan Terengganu perlu manfaatkan platform seperti Asean Mall dan memperkuatkan kehadiran produk tempatan di pasaran luar.
“Kerajaan negeri juga menyediakan bantuan teknikal seperti pembungkusan, pelabelan dan latihan industri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU),” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri komited memperkasakan produk Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dengan mengadaptasi pendekatan yang dilaksanakan di Thailand.
“Kita ada banyak produk berkualiti seperti batik, songket dan makanan tradisional seperti keropok lekor yang boleh diketengahkan ke pasaran antarabangsa.
“Namun usaha ini perlu disokong dengan modal, latihan digital dan jaringan pasaran yang kukuh,” katanya lagi.
25 Jul 25
100
Beruang Matahari Masuk Kampung Berjaya Ditangkap
DUNGUN, 25 Julai – Kebimbangan lebih 300 penduduk Kampung Ping di sini sejak dua minggu lalu, berakhir apabila seekor beruang matahari yang berkeliaran di kawasan kebun buah-buahan mereka berjaya ditangkap, malam tadi.
Beruang jantan seberat kira-kira 100 kilogram itu berjaya ditangkap sekitar jam 12.00 tengah malam menggunakan perangkap milik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Haiwan liar itu sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk apabila sering dilihat berkeliaran di sekitar kebun dan kawasan kediaman, menyebabkan ramai penduduk terpaksa menghentikan aktiviti harian mereka termasuk kerja-kerja di kebun.
Selain mengancam keselamatan penduduk, kehadiran beruang itu turut menyebabkan kerosakan kepada hasil tanaman terutama buah-buahan seperti durian dan nangka yang dimakan haiwan terbabit.
Seorang penduduk, Tuan Rashid Tuan Kob meluahkan rasa syukur selepas haiwan tersebut berjaya ditangkap.
"Molek ar orang kampung tak berapa takut dah, buah durian pun dah boleh makan dah. Takut... takut lah kalau dia kekoh (gigit) kita, budak-budak kot main dekat ni," katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk, Salahudin Hamzah turut berkongsi perasaan lega selepas beberapa minggu hidup dalam kebimbangan.
"Syukurlah maknanya masalah binatang ni selesai lah. Di kampung ni, kebimbangan kita tu tak ada lah. Maknanya benda ni dah tangkap dah, lega – lega. Alhamdulillah banyak-banyak, terima kasih banyak-banyak pada PERHILITAN," katanya.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi mengesahkan penangkapan beruang matahari tersebut.
Beliau memaklumkan bahawa haiwan berkenaan akan dibawa ke lokasi habitat yang sesuai dan dilepaskan semula ke dalam hutan bagi memastikan kelangsungan hidup spesies itu.
Penangkapan ini sekaligus memberi kelegaan kepada penduduk Kampung Ping yang kini boleh kembali menjalani kehidupan harian mereka dengan lebih tenang dan selamat.
25 Jul 25
101
Kerajaan Negeri Pertimbang Tindakan Undang-Undang Terhadap Aiman
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang fitnah dan tuduhan tidak berasas yang mencemarkan integriti pentadbiran negeri, khususnya berkaitan proses kelulusan permit hiburan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun media sosial yang dikenali sebagai Rezeki Aiman Enterprise.
"Kerajaan Negeri Terengganu mengambil maklum berhubung penyebaran satu rakaman video di media sosial khususnya TikTok oleh Pemilik Akaun Rezeki Aiman Enterprise yang mendakwa kononnya terdapat penyelewengan dalam kelulusan permit hiburan, termasuk dakwaan sogokan kepada pihak tertentu.
"Pemilik akaun tersebut kemudiannya membuat rakaman video lain untuk memohon maaf dan mengakui kenyataannya adalah tidak benar dan menarik balik kenyataan dalam rakaman video yang terdahulu.
"(Namun,) Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pemilik Akaun Rezeki Aiman Enterprise.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media melalui akaun Facebook rasminya, sebentar tadi.
Dakwaan seperti itu bukan sahaja boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan, malah mencetuskan kekeliruan dan menjejaskan imej pentadbiran kerajaan negeri.
Justeru, Wan Sukairi menegaskan bahawa mana-mana pihak yang memiliki bukti sahih mengenai penyelewengan perlu menyalurkan maklumat tersebut secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan menyebarkannya di media sosial.
"Sekiranya terdapat pihak yang memiliki bukti sahih, mereka disarankan untuk menyalurkan maklumat tersebut secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan telus dan menyeluruh dijalankan," tambahnya.
Tindakan tegas itu penting sebagai mesej jelas bahawa kerajaan negeri tidak akan sesekali berdiam diri terhadap mana-mana cubaan mencemarkan imej dan integriti pentadbiran awam.
24 Jul 25
260
Taman Tema Air Sekayu Dibuka Hari Ini
HULU TERENGGANU, 24 Julai - Taman Tema Air yang telah ditutup kira-kira hampir tiga tahun, kini dibuka semula bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, taman tema air yang terletak di Taman Pertanian Sekayu (TPS) Negeri Terengganu itu memiliki keunikan tersendiri yang mana air kolamnya daripada sumber semula jadi yang sentiasa mengalir.
"TPS ini merupakan destinasi agropelancongan tersohor di negeri Terengganu, malah dalam negara.
"Tetapi, selepas banjir besar pada 2022, bencana kepala air dan beberapa musibah lagi, keadaan bertukar suram.
"Jadi, lebih tepat sekiranya hari ini diisytiharkan sebagai pembukaan semula Taman Teman Air di sini," katanya.
Tambahnya, buat masa ini tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke TPS, cuma dikenakan terhadap sewaan tapak khemah sedia ada dan sebagainya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan taman tema tersebut, hari ini.
Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pengarah Pertanian Negeri, Dr Sukati Sakka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail dan Yang Di-Pertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadli Ngah.
Menurut Dr Azman, sejak tahun 2022 sehingga tahun lalu secara berkala peruntukan dapat disalurkan sebanyak RM2 juta secara berperingkat.
"Cuma, dengan bajet yang terhad kita terpaksa fokus kepada usaha yang memberikan impak besar kepada rakyat kita.
"Saya sangat berterima kasih kepada pimpinan masyarakat di sini serta jabatan yang ada di Hulu Terengganu yang telah menyusun dan membahagikan kawasan dalam TPS sebagai kawasan angkat untuk diselenggara dan dijaga.
"Kita hidupkan semula peringkat demi peringkat, bermula dengan taman tema air kita.
"Proses pemulihan ini akan dibangunkan secara berperingkat dengan kemudahan-kemudahan lain," katanya.
Sebagai rekod, peruntuk sebanyak RM2 juta yang dilaburkan kerajaan negeri digunakan untuk membina beberapa komponen dalam TPS.
RM1 juta yang diberikan pada akhir tahun 2022 digunakan bagi pembinaan asrama dan dewan serta baik pulih taman tema air.
Sejumlah RM1 juta lagi yang diperuntukkan tahun ini digunakan untuk pembinaan tapak perkhemahan utama yang boleh menempatkan seramai 600 peserta (RM230 ribu).
Sebanyak RM500 ribu digunakan bagi membaik pulih tebing sungai dan tapak perkhemahan keluarga (individu).
Manakala, RM120 ribu untuk pembinaan tapak dan kemudahan motorhome atau karavan dan pembinaan nurseri dan kafe (RM120 ribu).
24 Jul 25
4764
Terengganu Akan Terus Perkasakan Agenda Syariah
HULU TERENGGANU, 24 Julai – Terengganu mencatat sejarah apabila pelaksanaan hukuman sebat syariah dilakukan secara terbuka berjaya mendapat sokongan rakyat, membuktikan bahawa undang-undang jenayah Islam bukan bersifat menyeksa, tetapi mendidik dan adil untuk semua.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menjelaskan bahawa bidang kuasa negeri dalam pelaksanaan undang-undang syariah masih terhad, namun kerajaan negeri berusaha melaksanakan apa yang termampu secara berperingkat.
"Kita tak boleh laksanakan hudud dan qisas kerana bukan dalam bidang kuasa kita.
"Yang ada dalam kuasa kita hanyalah hukuman takzir dan ia juga sangat terhad, hanya 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Khatam Iqra' Pintar dan Pelancaran Kelab Motor Rakan Masjid, di Masjid Kampung Kubang Palas, di sini semalam.
Turut hadir, ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail, Pegawai Agama Daerah Hulu Terenganu, Adnan Abdullah.
Menurut Dr. Muhammad Khalil, kerajaan negeri memilih untuk memperkasakan aspek pelaksanaan hukuman takzir, termasuk langkah berani melaksanakan hukuman sebat secara terbuka yang memberi impak besar dalam mendidik masyarakat.
"Sebelum ini, hukuman sebat hanya dilaksanakan dalam penjara dan tidak diketahui masyarakat umum.
"Sekarang kita berjaya laksanakannya di luar penjara dan mendapat liputan meluas serta sokongan rakyat yang melihat keadilan undang-undang Islam," jelasnya.
Beliau turut menceritakan pengalaman peribadinya menyaksikan sendiri dua bentuk pelaksanaan hukuman sebat, iaitu sivil dan syariah, yang memberikan perspektif jelas tentang keadilan hukum Islam.
"Saya pergi ke Penjara Marang dan lihat sendiri pesalah dadah kena sebat sivil, rotannya besar, tak tutup aurat, dan sebatannya menyebabkan kulit melecur dan nampak isi.
"Sebaliknya, sebat Islam menitikberatkan penutupan aurat, menggunakan rotan ringan dan dilakukan dengan penuh adab, tujuannya bukan menyeksa, tetapi mendidik," tegas beliau.
Menurutnya, pelaksanaan hukuman sebat di Masjid Ladang tempoh hari bukan hanya berjaya dari sudut teknikal, malah memberi mesej jelas bahawa Islam itu membawa keadilan dan rahmat untuk semua.
"Pesalah itu sendiri kata dia insaf dan sedar selepas dikenakan hukuman.
"Inilah bukti undang-undang Islam boleh dilaksanakan secara adil dan mendidik, bukan zalim seperti yang sering digambarkan," tambahnya.
Beliau berharap mesej ini bukan sahaja menyentuh hati rakyat Terengganu, malah membuka mata masyarakat Malaysia bahawa undang-undang jenayah Islam mampu membawa perubahan kepada pembangunan akhlak dan moral ummah.
"Saya harap majlis seperti ini membawa keberkatan dan jadi pemangkin pengukuhan peranan masjid dalam mendidik masyarakat.
"Masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi pusat pembangunan insan dan transformasi sosial," ujarnya.
24 Jul 25
163
YPU, PEUTER Buka Peluang Usahawan Tempatan Jalinkan Rangkaian Perniagaan dengan Thailand
PATTANI, 24 Julai – Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) menganjurkan lawatan kerja tiga hari dua malam ke selatan Thailand bagi membuka peluang jaringan dan kerjasama perniagaan antara usahawan tempatan dan rakan niaga dari negara jiran itu, bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, lawatan yang disertai lebih 30 wakil agensi keusahawanan negeri dan persekutuan itu akan meninjau beberapa lokasi strategik di Pattani dan Hatyai yang terkenal sebagai pusat perniagaan serantau.
Menurut beliau, program tersebut bertujuan memperkukuh jaringan perniagaan rentas sempadan serta memperkenalkan produk dan perkhidmatan usahawan Terengganu ke pasaran antarabangsa.
“Lawatan ini menjadi platform penting untuk peserta bertukar pandangan, meneroka peluang kerjasama dan membina hubungan jangka panjang dengan usahawan Thailand, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelancongan.
“Ia juga memberi peluang kepada usahawan Terengganu meneroka kaedah pembangunan produk yang lebih kreatif, meningkatkan nilai tambah, serta memastikan produk mereka mampu bersaing dalam pasaran terbuka,” katanya kepada pemberita.
Program itu turut melibatkan sesi padanan perniagaan (business matching), lawatan ke premis perniagaan terpilih serta perbincangan dua hala bersama wakil agensi berkaitan daripada kedua-dua negara.
“Melalui program ini, peserta bukan sahaja dapat mengenal pasti peluang pasaran dan potensi industri baharu di Thailand, malah berpeluang memahami proses perniagaan import-eksport secara lebih mendalam sebagai persediaan menghadapi cabaran lambakan produk luar,” jelasnya.
Ariffin berkata, inisiatif ini selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor keusahawanan, khususnya melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar lebih berdaya saing dan berdaya tahan dalam era globalisasi.
24 Jul 25
94
INSTEP Rai 73, Perkukuh Tenaga Mahir Tempatan
KUALA NERUS, 27 Julai - Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) meraikan kejayaan 73 graduan program Technical Energy Enrichment Programme (TEP) Plus- Upstream ambilan Januari 2024, di Dewan Sri Gelam, INSTEP di sini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Ts. Azhar Ahmad berkata, TEP Plus mencerminkan komitmen berterusan INSTEP dan PETRONAS dalam memperkukuh bakat teknikal tempatan serta membina ekosistem tenaga yang mampan.
"Dengan sokongan rakan strategik seperti Aset Semenanjung Malaysia (PMA), Aset Sarawak (SKA) dan Aset Sabah (SBA), kami terus melabur dalam modal insan sebagai pemacu pertumbuhan industri masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, program TEP Plus merupakan inisiatif tajaan pra-pekerjaan yang direka untuk merapatkan jurang kemahiran antara pemegang diploma dan keperluan sebenar industri.
"Sepanjang program, peserta mengikuti latihan menyeluruh yang merangkumi pembelajaran campuran (blended learning), temuduga berasaskan kompetensi, lawatan ke loji serta bengkel teknikal bertaraf industri.
"Antara bidang yang ditawarkan pada ambilan kali ini ialah Pengeluaran, Instrumentasi, Elektrikal dan Mekanikal, selari dengan keperluan sektor tenaga masa kini," ujarnya.
Menurut Azhar, program selama 18 bulan itu ditaja oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) yang melibatkan seramai 73 peserta iaitu dari PMA (43 orang), SKA (20 orang) dan (10 orang).
"Para graduan turut menjalani latihan praktikal prasarana latihan di INSTEP, termasuk Loji Latihan Huluan dan Hiliran (Upstream Downstream Training Plant - UDTP), selain sesi pembelajaran dalam kelas dan bengkel," katanya.
Dalam pada itu katanya, bagi memperkukuh daya saing, peserta turut memperoleh sijil kompetensi yang diiktiraf industri seperti Authorized Entrant and Standby Person (AESP), Basic Offshore Safety Induction and Emergency Training (BOSIET) dan OPITO: Basic Hydrogen Sulfide (H2S) Training.
"Pelatih dalam bidang Elektrikal dan Instrumen pula menerima pensijilan IECEX (International Electrotechnical Commission System for Certification to Standards Relating to Equipment for Use in Explosive Atmospheres) yang melengkapkan mereka dengan kemahiran bekerja di persekitaran berisiko tinggi," ujarnya.
Tambah beliau, selain latihan teknikal, TEP Plus turut memberi penekanan kepada pembangunan holistik dan pembinaan karakter.
"Iaitu dengan penyertaan peserta dalam pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti kejohanan sukan, persembahan bakat, program pengurusan impak sosial termasuk aktiviti pembersihan pantai bersama komuniti setempat, serta program kerohanian dan motivasi seperti kelas al-Quran bagi pelatih beragama Islam," ujarnya.
Katanya, TEP Plus mencerminkan komitmen berterusan INSTEP dalam membangunkan bakat teknikal yang berdaya saing, selaras dengan aspirasi untuk menyokong pertumbuhan mampan dan ketahanan industri tenaga negara.
24 Jul 25
86