lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

1 Ogos Larangan Vape Berkuatkuasa di Terengganu
1 Ogos Larangan Vape Berkuatkuasa di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Kerajaan negeri menyatakan kesiapannya untuk melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap larangan penjualan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri bermula 1 Ogos ini.  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu muktamad dilaksanakan selepas tempoh peralihan selama tiga bulan yang diberikan akan berakhir tidak lama lagi. "Kerajaan negeri telah bersetuju untuk mengekalkan dasar sedia ada dengan tidak meluluskan lesen perniagaan kepada mana-mana premis yang menjual produk rokok elektronik atau vape.  "Selain itu, kerajaan negeri juga telah bersetuju tidak akan menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar produk vape bagi sebarang program anjuran Kerajaan. "Larangan ini telah diumumkan sejak 1 Mei 2025 sebagai satu langkah memberi tempoh masa peralihan kepada semua peniaga bagi menghentikan aktiviti penjualan produk vape secara berperingkat sebelum penguatkuasaan sepenuhnya bermula Ogos," katanya. Dalam memastikan kelancaran pelaksanaan, penguatkuasaan akan dilakukan secara serentak dan menyeluruh di kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu, dengan tumpuan terhadap premis-premis yang masih menjual vape secara terbuka. Antara bentuk tindakan yang akan dikenakan termasuklah kompaun RM1,000 di bawah Undang-Undang Kecil PBT, dan sekiranya kesalahan terus berulang, premis terlibat boleh disita dan barang-barang yang dijual akan dirampas. Wan Sukairi. Mengulas lebih lanjut, walaupun keterbatasan kerajaan negeri hanya terhad kepada premis di bawah jagaan PBT sahaja, pihaknya turut mengambil langkah kehadapan bagi menyekat penjualan vape secara atas talian. "Kerajaan negeri melalui PBT mempunyai bidang kuasa yang terhad iaitu berkaitan hanya boleh mengambil tindakan terhadap peniaga vape yang mempunyai premis sahaja.  "Namun begitu, kerajaan negeri akan bekerja sama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengatasi perniagaan vape secara atas talian di negeri Terengganu. Wan Sukairi berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman dalam satu kenyataan ketika dihubungi, semalam. Menurutnya lagi, orang awam turut digalakkan memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sebarang aktiviti penjualan vape secara terbuka mahupun tersembunyi. "Orang awam boleh menyalurkan aduan melalui talian hotline PBT, aplikasi aduan awam, atau hadir ke kaunter penguatkuasa di pejabat PBT masing-masing.  "Aduan tersebut akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil," tegasnya. Kerajaan negeri turut memaklumkan bahawa operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), sebagai bukti komitmen kerajaan dalam memastikan persekitaran bebas vape dan melindungi kesihatan masyarakat, khususnya generasi muda.
30 Jul 25
1533
MP Besut Persoal Janji Hapus Tol
MP Besut Persoal Janji Hapus Tol
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, hari ini mempersoalkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan janji penghapusan tol yang pernah dilaungkan sebelum pilihan raya. Kata beliau, janji untuk menghapuskan tol yang pernah dibuat sebelum ini memberi kesan terhadap sokongan rakyat, khususnya dalam konteks keprihatinan terhadap kos sara hidup. “Pernah tak kita dengar janji-janji nak hapuskan tol dahulu? Apa kesannya? Adakah janji itu memberi kesan kepada sokongan rakyat kerana dianggap sebagai tanda keprihatinan terhadap beban rakyat?,” soal beliau. Beliau turut membangkitkan persoalan lanjut berhubung kesan sekiranya tol benar-benar dimansuhkan, sama ada pada masa lalu atau kini. “Tadi kita bercakap soal kenaikan tol. Sekarang saya ingin tanya pula kalau tol dimansuhkan, sama ada dulu atau sekarang, apa pula kesannya?,” tambah beliau. Menjawab soalan tersebut, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menjelaskan bahawa penghapusan tol bukanlah satu keputusan mudah memandangkan kerajaan memerlukan peruntukan yang besar untuk menampung kos penyelenggaraan lebuh raya yang mencecah berbilion ringgit. Menurut beliau, kerajaan juga perlu mengambil kira keadilan terhadap rakyat di negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang tidak menikmati jaringan lebuh raya bertol secara langsung. Namun demikian, jawapan tersebut menimbulkan persoalan tentang kesungguhan kerajaan menunaikan janji hapuskan tol yang terkandung dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Ini sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada janji itu dibuat berasaskan kemampuan yang realistik atau sekadar strategi untuk meraih sokongan politik semasa pilihan raya.
29 Jul 25
133
Terengganu FC Terima Bas Baharu
Terengganu FC Terima Bas Baharu
KUALA NERUS, 29 Julai – Terengganu FC (TFC) menerima sebuah bas rasmi serba baharu berwarna hitam daripada TRA Holidays Sdn Bhd, sekaligus mengukuhkan kerjasama jangka panjang lima musim antara syarikat pengangkutan dari Pulau Pinang itu dan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB).  Bas tersebut tiba ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pagi ini selepas merentasi Banjaran Titiwangsa, simbol komitmen dan semangat untuk TFC menjelang sepak mula Liga Malaysia Ogos nanti. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim yang juga Pengerusi TFCSB, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu langkah penting memperkukuh logistik pasukan.  "Pagi ini menandakan satu lagi urusan penting dalam usaha memperkukuhkan struktur dan keperluan logistik pasukan," katanya dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara TFCSB dan syarikat TRA Holidays Sdn Bhd di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Urusan TRA HOLIDAYS SDN BHD, Danial Tan Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah TFCSB, Tengku Seri Bijaya Raja, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Syahrizan Mohd Zain. Beliau turut memaklumkan bahawa TRA Holidays dilantik sebagai penaja kategori Silver dan penyedia perkhidmatan pengangkutan rasmi pasukan bagi tempoh lima musim.  "Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan TRA Holidays Sdn Bhd sebagai rakan penaja kategori Silver bagi musim 2025/2026. "Kita mengharapkan TRA Holidays akan jadi penyedia perkhidmatan pengangkutan rasmi pasukan bagi tempoh lima musim ke hadapan," ujarnya. Tambah Hishamuddin, TRA Holidays turut dikenali sebagai penaja pengangkutan rasmi Penang FC, dan kini mengorak langkah ke Pantai Timur bersama skuad Hitam Putih. Perlawanan pertama TFC akan bermula pada 10 Ogos menentang Penang FC di tempat lawan, sebelum kembali ke SSMZA bertemu PDRM FC lima hari kemudian. TFC juga bakal bertemu Imigresen FC dalam pusingan 16 Piala FA. Kerjasama ini turut diiktiraf sebagai bukti sokongan bukan sekadar kepada sukan, tetapi kepada semangat yang mendasarinya.  "Kerjasama ini mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak negeri. "Saya percaya melalui sokongan padu daripada syarikat seperti TRA Holidays, TFC mampu mara bukan sahaja dari segi pencapaian tetapi juga kestabilan pengurusan dan kewangan," tambah beliau. Sementara itu, Pegawai Operasi TRA Holidays Sdn Bhd, Nur Safwan Md Salleh menyampaikan penghargaan kepada seluruh warga Terengganu.  "Petang semalam kami bertolak daripada Pulau Pinang, membelah Banjaran Titiwangsa untuk berada di majlis pagi ini, itu satu kebanggaan kami untuk Terengganu FC" katanya. Beliau menjelaskan bahawa penajaan ini bukan sekadar urusan di atas kertas tetapi satu ikatan emosional bersama penyokong.  "Penajaan ini bukanlah hanya satu kerjasama di atas kertas atau jersi, tapi ia adalah komitmen jangka masa panjang.  "Kami percaya bila kita sokong pasukan seperti TFC, kita bukan sahaja sokong sukan, tapi sokong semangat, perjuangan dan harapan yang dibawakan oleh pemain dan penyokong," jelasnya.  
29 Jul 25
335
Kedah Perkasa Dasar Wanita, Terengganu Jadi Rujukan
Kedah Perkasa Dasar Wanita, Terengganu Jadi Rujukan
KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Kedah sedang merangka pelaksanaan Dasar Wanita Negeri Kedah yang dijadual dilancarkan pada penghujung tahun ini, dengan mengambil kira pelbagai input dan pengalaman terbaik hasil lawatan kerja ke Terengganu selama dua hari bermula semalam. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita,  Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Negeri Kedah, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad, berkata, lawatan itu membuka ruang percambahan minda dan pertukaran ilmu yang signifikan dalam usaha memperkukuh dasar tersebut agar lebih inklusif dan berimpak tinggi kepada golongan wanita. “Sepanjang perbincangan, pelbagai input dan ilmu telah dikongsikan bagi melakar rangka kerja dasar wanita yang bukan sahaja menyeluruh tetapi juga berupaya memberi kesan positif kepada kualiti hidup wanita di Kedah. “Perbincangan juga merentas portfolio lain seperti pendidikan dan kebajikan yang boleh dirapatkan lagi untuk kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pertemuan antara Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu,  Maliaman Kassim di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Iman di sini hari ini. Tambahnya, usaha strategik ini turut didorong oleh aspirasi kerajaan negeri melalui jawatankuasa berkaitan yang komited menimba pengalaman daripada negeri Terengganu dalam memperkasakan wanita, terutamanya melalui program keusahawanan, keibubapaan, sokongan sosial dan pendidikan kekeluargaan. “Terengganu merupakan antara negeri yang paling aktif dalam melaksanakan program-program pemerkasaan wanita dan sewajarnya dijadikan contoh oleh negeri lain termasuk Kedah,” ujarnya. Katanya lagi, kerajaan negeri percaya dasar wanita harus bersifat menyeluruh dan merangkumi semua lapisan masyarakat, justeru segala perkongsian dan dialog sepanjang lawatan amat penting dalam memastikan dasar yang bakal dilaksanakan benar-benar memberi manfaat. Menurut Halimaton, pelbagai inisiatif sedang dan akan terus dilaksanakan di Kedah termasuk dalam bidang pendidikan, kesihatan, keusahawanan digital, kebajikan dan keselamatan wanita. “Lawatan ini bukan sahaja membuka ruang untuk mempersiapkan ilmu dalam membentuk dasar yang mampan, tetapi juga mewujudkan peluang kerjasama antara dua negeri dalam menjayakan agenda pemerkasaan wanita secara bersama,” katanya.  Dalam pada itu, Maliaman berkata Terengganu sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalaman serta memberikan input yang diperlukan kepada kerajaan Kedah dalam usaha melaksanakan Dasar Wanita di negeri itu. Menurutnya, kerjasama yang terjalin antara kedua-dua negeri  merupakan satu langkah yang positif dan memberi manfaat bersama, khususnya dalam aspek kebajikan wanita. “Kerjasama ini sangat baik kerana mewujudkan kolaborasi kebajikan yang boleh menjadi inspirasi kepada Terengganu sendiri dalam merangka pelaksanaan dasar tersebut agar menjadi reality di Kedah nanti,” ujar beliau. Tambahnya lagi, segala aktiviti berkaitan akan diperkasakan secara bersama selepas ini bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar itu di peringkat kedua-dua negeri.  
29 Jul 25
115
Mushroom : 'Order Online', Titis Dalam Vape Kemudian Khayal
Mushroom : 'Order Online', Titis Dalam Vape Kemudian Khayal
KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Ibu bapa disaran lebih peka terhadap aktiviti anak-anak, walaupun mereka berada di dalam bilik, susulan kebimbangan terhadap penularan penyalahgunaan dadah sintetik yang kini mudah diperoleh secara atas talian tanpa perlu berjumpa pengedar. Pengurus Pusat Pemulihan Dadah Holistik Kerajaan Terengganu, Alif Mahari, berkata antara trend yang semakin membimbangkan ketika ini ialah penggunaan ‘vape cendawan’, sejenis cecair psikedelik yang menyebabkan halusinasi serta gangguan mental. Menurutnya, bahan terlarang itu biasanya dijual dalam botol kecil tanpa label jelas dan sering disangka sebagai cecair biasa, seperti pemanis stevia. “Anak ‘order online’, barang sampai depan rumah. Emak tak syak apa-apa, letak di atas peti ais. Esoknya, anak titis dalam vape, sedut perlahan-lahan. “Selepas itu, mereka masuk ke dunia yang mak ayah tak mampu faham bercakap seorang diri, bergaduh dengan pintu, menjerit ke arah siling. “Inilah racun zaman baharu. Vape mushroom tak nampak seperti dadah biasa, muat dalam poket, tetapi cukup untuk merosakkan otak, menghancurkan hidup dan masa depan. Semuanya hanya dengan akses internet, tanpa perlu ke lorong gelap atau bertemu tokan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Justeru, beliau menegaskan, ibu bapa perlu segera mengambil serius perubahan tingkah laku anak-anak dan tidak memandang ringan tanda-tanda awal. “Ramai ibu bapa masih belum sedar, merasakan ‘anak aku okay je kot’. “Tolonglah, pandang mata anak, jenguk bilik mereka, cari kembali suara anak sebelum mereka hilang walaupun jasadnya masih ada di depan mata,” ujarnya.   
29 Jul 25
107
Kerajaan Negeri Perkukuh Usaha Lindungi Tuntung Sungai
Kerajaan Negeri Perkukuh Usaha Lindungi Tuntung Sungai
HULU TERENGGANU, 29 Julai – Kerajaan Negeri terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar, khususnya dalam usaha memulihara spesies hidupan liar terancam seperti Tuntung Sungai (Batagur affinis edwardmolli) yang semakin diancam kepupusan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Program Kesedaran Awam Bersama Masyarakat Setempat yang berlangsung di Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung), Bukit Paloh, merupakan antara inisiatif berterusan kerajaan dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab bersama memelihara alam sekitar. “Tuntung Sungai adalah spesies endemik yang kini semakin terancam akibat aktiviti manusia. "Justeru, pemuliharaan dan pendidikan kepada masyarakat amat penting bagi memastikan spesies ini tidak pupus,” ujarnya ketika merasmikan program berkenaan semalam. Sebagai simbolik kepada usaha pemuliharaan tersebut, program dimulakan dengan pelepasan sebanyak 50 ekor anak tuntung ke Sungai Kampung Temir, sebagai langkah memperkukuh kesinambungan hidup spesies berkenaan di habitat semula jadi mereka. Turut hadir memeriahkan program ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, Pengarah Jabatan PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Seong, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadli Ngah serta pegawai-pegawai jabatan dan agensi berkaitan. Datuk Razali berkata, Pusat Konservasi Tuntung Bukit Paloh yang diwartakan sejak 2 Julai 1997 bukan sahaja menjadi lokasi pembiakan terkawal, malah berfungsi sebagai platform pendidikan dan kesedaran kepada komuniti setempat mengenai kepentingan pemuliharaan biodiversiti. Tambahnya lagi, sebanyak empat lokasi pasir pendaratan tuntung sungai di Terengganu telah diwartakan iaitu Pasir Temir (1977), Pasir Lubok Kawah (1978), Pasir Tok Chu dan Pasir Kumpal (2004) bagi memastikan habitat pembiakan terus terpelihara. “Usaha seperti ini tidak boleh digerakkan oleh kerajaan semata-mata. Ia memerlukan kerjasama erat daripada komuniti sebagai rakan strategik. Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati bersalah atas kesalahan berkaitan hidupan liar boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), termasuk denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi 15 tahun. Dalam pada itu, Razali berharap program seumpama itu bukan sahaja dijadikan acara tahunan, sebaliknya berkembang menjadi gerakan berterusan yang mampu membentuk kesedaran kolektif rakyat terhadap kepentingan memelihara alam sekitar. “Kita perlukan pendekatan yang menyeluruh – bukan sekadar penguatkuasaan, tetapi melalui pendidikan dan kesedaran. Bila semua pihak berganding bahu, Insya-Allah hasilnya besar untuk negeri dan negara,” katanya.  
29 Jul 25
42
MP Besut Suarakan Kebimbangan Cadangan Luaskan PKW Kepada Pesalah Jenayah Berat
MP Besut Suarakan Kebimbangan Cadangan Luaskan PKW Kepada Pesalah Jenayah Berat
KUALA LUMPUR, 29 Julai - Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan kerajaan bagi meluaskan pelaksanaan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) sehingga melibatkan pesalah jenayah berat menerusi pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 2025 yang dibahaskan di Dewan Rakyat, semalam. Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap pindaan Seksyen 5(1) RUU itu kerana memperuntukkan kelayakan PKW kepada pesalah yang berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada kesalahan ringan. “Kalau dulu PKW hanya untuk kesalahan kecil, sekarang nak diperluas sampai melibatkan cubaan membunuh bawah Seksyen 307 dan kes keselamatan bawah Seksyen 130ZA Kanun Keseksaan. Ini pindaan yang terlalu drastik,” tegasnya. Katanya lagi, langkah tersebut bukan sahaja boleh menjejaskan prinsip keadilan, malah turut berisiko melemahkan elemen pencegahan dalam sistem perundangan negara. Katanya, konsep zajr atau pencegahan dalam Islam amat penting dalam memastikan sesuatu hukuman memberi kesan mendidik dan memberi pengajaran kepada pelaku jenayah. Beliau turut mempertikaikan kewajaran menjadikan PKW sebagai pengganti sepenuhnya kepada hukuman penjara, denda atau penalti lain, walaupun memahami keperluan kerajaan mengurangkan kadar kesesakan penjara. “Kalau PKW dilaksana sebagai ganti sepenuhnya, ia boleh melemahkan elemen pengajaran dan pembalasan. Dalam banyak kes jenayah, ada mangsa. Kita tak boleh abaikan hak moral mereka untuk mendapat keadilan,” katanya. Jelasnya lagi, sebarang pelaksanaan PKW perlu seimbang dengan prinsip islah atau pemulihan, dan tidak boleh terlalu ringan sehingga menafikan hak mangsa. Beliau mencadangkan agar pelaksanaan PKW dilakukan sebagai sebahagian daripada hukuman campuran, contohnya dengan mewajibkan pesalah menjalani tempoh minimum penjara terlebih dahulu sebelum dipertimbangkan untuk PKW sebagai fasa pemulihan. Selain itu, Che Mohamad Zulkifly turut mencadangkan agar program PKW merangkumi modul pendidikan, kaunseling serta bimbingan agama khususnya kepada pesalah Muslim, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan. Pendekatan menyeluruh ini katanya akan memastikan prinsip keadilan Islam yang menyeimbangkan antara pencegahan dan pemulihan benar-benar diterapkan. Beliau turut mempersoalkan sejauh mana keberkesanan pelaksanaan PKW sejak ia diperkenalkan, termasuk status pusat-pusat PKW yang diwujudkan. Menurut beliau, pada tahun 2022, Ketua Pengarah Penjara pernah memaklumkan bahawa hanya terdapat 52 pusat PKW. “Sekarang dah tiga tahun, berapa yang telah dibina? Dah capai sasaran 100 pusat ke belum? dan adakah kesesakan penjara benar-benar satu isu berskala nasional, atau hanya tertumpu kepada negeri-negeri tertentu?,” soalnya. Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu mengemukakan data dan statistik rasmi bagi menyokong pindaan undang-undang ini agar ia tidak dilihat sebagai tergesa-gesa tanpa asas yang kukuh. Menutup ucapannya, beliau secara berseloroh menyentuh perhimpunan aman yang dianjurkan pembangkang baru-baru ini sambil memuji perubahan pendekatan yang ditunjukkan para peserta. “Alhamdulillah, tidak berlaku kereta terbalik, tidak disembur ‘water canon’. Kita telah mendidik mereka untuk berdemonstrasi secara aman,” katanya. Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai tanda kematangan demokrasi dalam kalangan rakyat dan berharap ia menjadi contoh kepada semua pihak yang mahu menyuarakan pandangan secara tertib dan bertanggungjawab.
29 Jul 25
84
Terengganu Fokus Perkasa Usahawan Tempatan Lonjak Produk Tradisional ke Pasaran Lebih Luas
Terengganu Fokus Perkasa Usahawan Tempatan Lonjak Produk Tradisional ke Pasaran Lebih Luas
PATTANI, 28 Julai – Kejayaan perniagaan ayam tempayan di Pattani membuktikan bahawa makanan tradisional mampu dikomersialkan sebagai jenama serantau menerusi penjenamaan konsisten dan pemasaran digital berkesan. Hidangan ayam panggang berempah itu bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, malah tular di media sosial, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada usahawan tempatan di selatan Thailand. Melihat potensi besar tersebut, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu kini giat memperkasakan usahawan makanan dan produk tradisional negeri itu agar dapat menembusi pasaran lebih luas. Pengurus Kanan Pembangunan Usahawan YPU, Zulkifli Yunus berkata, antara perniagaan yang wajar dicontohi ialah Ahlam Ayam Tempayan yang diusahakan oleh usahawan Muslim, Khozali Dusamok di Chana, Thailand. “Perniagaan ini menggunakan kaedah tradisional memanggang ayam dalam tempayan tanah liat dan berjaya menjual kira-kira 1,000 ekor ayam setiap hari, meningkat kepada 3,000 hingga 4,000 ekor semasa bulan Ramadan. “Biarpun baru beroperasi sejak lima tahun lalu, Ahlam Ayam Tempayan kini memiliki dua cawangan dan menggaji lebih 80 orang pekerja,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke premis itu, di sini, baru-baru ini. Lawatan rasmi itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Dato' Ariffin Deraman, bersama delegasi seramai 30 wakil jabatan dan agensi kerajaan negeri serta pusat. Zulkifli berkata, banyak yang boleh dipelajari daripada kejayaan usahawan di Pattani, khususnya dari aspek penjenamaan visual yang menarik, promosi digital menerusi platform seperti TikTok dan Facebook, serta kualiti produk yang konsisten. “Dengan bimbingan latihan, kemudahan pembiayaan dan sokongan digital, YPU yakin usahawan Terengganu juga mampu menyaingi kejayaan tersebut, khususnya dalam mengetengahkan makanan tradisional sebagai aset dagangan yang berdaya saing di peringkat serantau. “Usahawan makanan tradisional seperti pengusaha sata, keropok lekor, nasi dagang dan ayam percik perlu mengambil inspirasi daripada model perniagaan ini,” katanya. Beliau berkata, pendekatan penjenamaan moden, pembungkusan profesional dan promosi digital berkesan mampu membuka ruang kepada produk tempatan untuk menembusi pasaran pelancongan dan eksport ke negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.
28 Jul 25
151
110 Ahli MPBN Bersidang Bincang Hala Tuju Belia Negara
110 Ahli MPBN Bersidang Bincang Hala Tuju Belia Negara
KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Seramai 110 Ahli Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Terengganu memulakan persidangan mereka di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu hari ini, bagi membincangkan hala tuju pembangunan belia di negeri dan negara. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, berkata MPBN yang ditubuhkan sejak 1971 oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berperanan sebagai wadah utama menyuarakan inspirasi serta pandangan belia, sekali gus menjadi platform penting untuk menyelaras dasar pembangunan generasi muda. “Majlis ini bukan sekadar pertemuan rasmi, tetapi satu sesi libat urus dan persidangan intelektual yang menggabungkan kerjasama serta sinergi antara kerajaan dengan kepimpinan pertubuhan belia. “Melalui platform ini, setiap pandangan, idea, teguran dan cadangan daripada golongan belia dapat disalurkan secara berkesan, sekali gus diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang lebih dinamik,” katanya ketika merasmikan MPBN Peringkat Negeri Terengganu, Sidang Pertama Penggal Ke-35 Sesi 2025–2026, di sini, hari ini.  Hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Dato’ Abdul Kahar Abdul Latif; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Asmadi Mohamad; serta Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Anas Hazizul Muhamad. Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, MPBN terbukti berkesan memainkan peranan dalam merangka hala tuju pembangunan belia sejak penubuhannya. “Bagi memperkukuh peranan tersebut, MPBN turut diperluas ke peringkat daerah bagi meneliti secara lebih dekat intipati, permasalahan serta idea berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kerja MPBN yang terdiri daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, badan gabungan dan urus setia persidangan yang telah memastikan kelancaran penganjuran. “Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah merancang dan menjayakan persidangan yang penuh bermanfaat ini,” katanya.  
28 Jul 25
103
Aspirasi Bandar Pintar Diperkukuh Melalui Pembangunan Intelligent Pole
Aspirasi Bandar Pintar Diperkukuh Melalui Pembangunan Intelligent Pole
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri pintar kini memasuki fasa baharu apabila pembinaan replika 'Intelligent Pole' berada di peringkat akhir, sebagai persediaan untuk pelaksanaan projek perintis dalam masa terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian & Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, struktur itu dibangunkan oleh Colla Connecting Edge bersama vendornya sebagai rujukan awal sebelum pelaksanaan sepenuhnya dijalankan. "Saya berkesempatan melawat replika Intelligent Pole yang kini berada di fasa akhir pembinaannya di negeri Terengganu. "Setelah mendengar penerangan secara terperinci, Intelligent Pole adalah satu inisiatif yang sangat baik untuk dilaksanakan di negeri Terengganu. Intelligent Pole tidak hanya berfungsi sebagai menara telekomunikasi yang biasa. "Ia juga dilengkapi dengan lampu jalan pintar, antena telekomunikasi, pembesar suara (public announcement), skrin digital pengiklanan dan kamera CCTV yang boleh mengambil data secara terus dengan adaptasi kecerdasan buatan Artificial Intelligent (AI). Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang telah dimuatnaik dalam satu hantaran Facebook rasminya. Tambahnya, setiap kelengkapan itu berfungsi secara serentak dalam satu struktur, sekali gus membolehkan proses pengumpulan data, komunikasi, keselamatan dan pengiklanan dilaksanakan dengan lebih cekap dan pintar.   Jelasnya lagi, sekiranya projek perintis ini berjaya, Terengganu akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki teknologi sedemikian. "Pilot project dijangka akan bermula dalam masa terdekat. Sekiranya berjaya, Terengganu akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki Intelligent Pole seumpama ini. "Ini satu lagi langkah ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi menjadikan Terengganu sebuah negeri yang selamat, cekap dan berdaya saing dalam era digital," ulasnya. Dalam pada itu, beliau turut memohon sokongan semua pihak agar inisiatif tersebut dipermudahkan dan dapat memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini dalam jangka masa panjang.
28 Jul 25
169