DUNGUN, 25 Julai – Kebimbangan lebih 300 penduduk Kampung Ping di sini sejak dua minggu lalu, berakhir apabila seekor beruang matahari yang berkeliaran di kawasan kebun buah-buahan mereka berjaya ditangkap, malam tadi.
Beruang jantan seberat kira-kira 100 kilogram itu berjaya ditangkap sekitar jam 12.00 tengah malam menggunakan perangkap milik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Haiwan liar itu sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk apabila sering dilihat berkeliaran di sekitar kebun dan kawasan kediaman, menyebabkan ramai penduduk terpaksa menghentikan aktiviti harian mereka termasuk kerja-kerja di kebun.
Selain mengancam keselamatan penduduk, kehadiran beruang itu turut menyebabkan kerosakan kepada hasil tanaman terutama buah-buahan seperti durian dan nangka yang dimakan haiwan terbabit.
Seorang penduduk, Tuan Rashid Tuan Kob meluahkan rasa syukur selepas haiwan tersebut berjaya ditangkap.
"Molek ar orang kampung tak berapa takut dah, buah durian pun dah boleh makan dah. Takut... takut lah kalau dia kekoh (gigit) kita, budak-budak kot main dekat ni," katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk, Salahudin Hamzah turut berkongsi perasaan lega selepas beberapa minggu hidup dalam kebimbangan.
"Syukurlah maknanya masalah binatang ni selesai lah. Di kampung ni, kebimbangan kita tu tak ada lah. Maknanya benda ni dah tangkap dah, lega – lega. Alhamdulillah banyak-banyak, terima kasih banyak-banyak pada PERHILITAN," katanya.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi mengesahkan penangkapan beruang matahari tersebut.
Beliau memaklumkan bahawa haiwan berkenaan akan dibawa ke lokasi habitat yang sesuai dan dilepaskan semula ke dalam hutan bagi memastikan kelangsungan hidup spesies itu.
Penangkapan ini sekaligus memberi kelegaan kepada penduduk Kampung Ping yang kini boleh kembali menjalani kehidupan harian mereka dengan lebih tenang dan selamat.