lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Tindakan Tegas Diambil Atasi Buli
Tindakan Tegas Diambil Atasi Buli
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Keselamatan dan kesejahteraan pelajar dalam institusi pendidikan adalah keutamaan utama dalam usaha menangani kes buli yang berlaku di sekolah. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Modal Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat menegaskan bahawa setiap sekolah telah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani isu disiplin, namun pelaksanaannya perlu diperkukuh kerana masalah sering berpunca daripada sikap individu tertentu. “Setiap pelajar mempunyai tahap ketahanan yang berbeza. Justeru, aspek kaunseling perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan tekanan dan gangguan emosi. “Isu buli tidak sepatutnya berlaku dalam institusi pendidikan, apatah lagi melibatkan remaja. Namun, apabila ia berlaku, kita wajib menanganinya segera dan mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penghantaran dan Penyerahan Pendahuluan Diri Pelajar Yayasan Terengganu ke Beijing Foreign Studies University (BFSU), China, di Dewan Besar Yayasan Terengganu, semalam. Mengulas kes buli di Kemaman awal Ogos lalu, beliau memaklumkan tindakan segera telah diambil termasuk memindahkan pelajar terlibat serta mengadakan perbincangan bersama ibu bapa dan pihak sekolah sementara siasatan dijalankan. Kes berkenaan melibatkan enam pelajar sebuah sekolah menengah agama yang direman selama tiga hari bagi membantu siasatan selepas didakwa memukul seorang pelajar tingkatan tiga dalam kejadian 30 Julai lalu di bilik asrama. Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha membanteras gejala buli memerlukan kerjasama erat semua pihak terutama sekolah, ibu bapa dan komuniti, bagi memastikan pelajar bukan sahaja selamat secara fizikal, tetapi turut sejahtera dari segi mental, emosi dan pencapaian akademik.
27 Aug 25
63
Buli : Sekolah Yayasan Terengganu Cadang Bekas Tentera Jadi Warden
Buli : Sekolah Yayasan Terengganu Cadang Bekas Tentera Jadi Warden
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Yayasan Terengganu (YT) bercadang mengambil langkah proaktif menangani isu buli di sekolah dengan meneliti pendekatan yang dilaksanakan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), iaitu melantik bekas anggota tentera sebagai warden. Pengarah YT, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, satu pasukan khas (task force) telah ditubuhkan, diketuai Timbalan Pengarah YT, bagi merangka kaedah terbaik mencegah gejala buli khususnya di sekolah-sekolah di bawah kelolaan yayasan tersebut. “Bagi menangani kes buli ini, kita telah menubuhkan task force untuk membincangkan kaedah pelaksanaan yang sesuai. “Antara langkah yang sedang dipertimbangkan termasuk pertukaran penyelia dari semasa ke semasa,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penghantaran dan Penyerahan Pendahuluan Diri Pelajar Yayasan Terengganu ke BFSU di Dewan Besar Yayasan Terengganu, semalam. Menurutnya, kaedah melantik bekas tentera sebagai warden yang digunakan MRSM turut akan dinilai kesesuaiannya sebelum diputuskan pelaksanaan di sekolah-sekolah YT. “Pendekatan baharu ini akan dibincangkan segera dalam task force berkenaan bagi memastikan usaha mencegah kes buli dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan,” ujarnya.
27 Aug 25
125
Perarakan Merdeka Si Cilik Comel Hiburkan Warga Setempat
Perarakan Merdeka Si Cilik Comel Hiburkan Warga Setempat
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Suasana sambutan bulan kemerdekaan diwarnai keceriaan apabila 74 kanak-kanak seawal usia tiga tahun dari Taska Permata Keluarga Batu Buruk di sini tampil menyertai perarakan mini. Dengan berpakaian beraneka warna bertemakan Jalur Gemilang dan kemerdekaan, aksi bersemangat dan telatah kanak-kanak itu mencuri perhatian para ibu bapa dan masyarakat setempat yang hadir memberi sokongan. Pengurus Taska Permata Keluarga Batu Buruk, Hartini Mamat berkata, penganjuran perarakan kecil ini bertujuan menanam rasa cinta kepada negara sejak usia awal. "Melalui aktiviti ini, mereka didedahkan kepada erti kemerdekaan, bendera kebangsaan serta lagu-lagu patriotik.  "Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada kanak-kanak untuk membina keyakinan diri, memupuk disiplin, dan belajar bekerjasama secara berpasukan," katanya. Perarakan itu diadakan di sekitar kawasan taska dengan diiringi nyanyian lagu-lagu patriotik, kibaran bendera sambil menggayakan payung berhias dan sorakan 'Merdeka' disertai kerenah dan gelagat comel anak-anak kecil ini. Tambah Hartini, penglibatan ibu-bapa yang menggalakkan juga menambah seri sepanjang acara itu berjalan. "Penglibatan ibu bapa dan guru dalam perarakan ini dapat mengeratkan hubungan serta menceriakan suasana sambutan Hari Kebangsaan.  "Selain daripada terlibat dengan perarakan, ibu bapa juga turut menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh pihak taska iaitu hiasan payung merdeka," ujarnya. Salah seorang bapa kepada anak-anak yang menyertai perarakan, Muhammad Muzammil, 30, menyatakan perarakan itu bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi momen berharga buat keluarga. "Saya rasa bangga melihat anak kecil seawal tiga tahun sudah dididik menyemai semangat kebangsaan. Ini pengalaman manis untuk mereka dan juga kami sebagai ibu bapa," jelasnya. Acara berakhir dengan laungan penuh semangat 'Merdeka' yang bergema daripada suara kecil namun penuh makna, melambangkan semarak kecintaan kepada tanah air walaupun dari usia setahun jagung.
27 Aug 25
1364
Pulangan Hasil Penternakan, 400 Peserta e-Kasih Terima RM250
Pulangan Hasil Penternakan, 400 Peserta e-Kasih Terima RM250
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Seramai 400 peserta e-Kasih di seluruh Terengganu menerima sumbangan tunai RM250 seorang hasil keuntungan daripada sewaan premis veterinar dan projek penternakan yang diusahakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah itu menunjukkan hasil usaha penternakan yang dilaksanakan kerajaan negeri dapat dinikmati semula oleh rakyat. “Dana ini datang daripada hasil sewaan premis veterinar seperti reban ayam dan beberapa projek penternakan lain. “Apabila ada pulangan, kita agihkan semula agar semua dapat merasai manfaatnya,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini. Dr. Azman (Kiri) dan Maliaman (Tengah) Beliau turut memaklumkan, keuntungan bertambah selepas kerajaan negeri berjaya mengoperasikan semula beberapa reban ayam yang sebelum ini terbiar, termasuk Reban Baruh Masin di Besut, Reban Bukit Lawang di Setiu, Reban Bukit Nenasi di Kuala Nerus serta Reban Telaga Papan di Setiu. “Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada keterjaminan makanan negeri, malah membantu keluarga berpendapatan rendah untuk terus bertahan dan meningkatkan taraf hidup,” ujarnya.  
27 Aug 25
103
Pastikan Akses Keadilan Rakyat Kekal Percuma Berkualiti dan Bebas
Pastikan Akses Keadilan Rakyat Kekal Percuma Berkualiti dan Bebas
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menegaskan bahawa setiap rakyat miskin atau kaya berhak mendapat pembelaan sewajarnya apabila berdepan dengan undang-undang dan bukan sekadar terikat kepada jenama baharu atau pindaan undang-undang yang bersifat kosmetik. Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 di Dewan Rakyat tengah hari semalam, beliau memberi peringatan agar semangat asal Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) tidak diketepikan. Prinsip asasnya kata beliau adalah memberikan akses percuma kepada keadilan buat rakyat yang tidak berkemampuan tetapi dengan kualiti perkhidmatan guaman yang terjamin. Beliau membangkitkan beberapa kebimbangan berhubung rang undang-undang baharu itu yang dilihat memberikan kuasa terlalu besar kepada Menteri daripada penetapan kadar bayaran peguam panel fi permohonan sehingga tindakan disiplin tanpa mekanisme semak dan imbang yang bebas. “Besarnya kuasa menteri ini. Mengapa tidak diletakkan di bawah satu badan bebas Bagaimana kita mahu menjamin ketelusan” soal beliau. Beliau turut mempersoalkan kewajaran mengenakan fi ke atas pemohon bantuan guaman sedangkan tujuan asal undang-undang ini ialah membantu rakyat miskin. “Ini langkah yang agak regresif. Rakyat tidak kisah soal rebranding. Apa yang penting mereka mahu tahu sama ada mereka akan benar-benar mendapat pembelaan sewajarnya, ” tegasnya. Selain itu beliau menuntut ketelusan dalam mekanisme ujian kemampuan (means test) agar ia mengambil kira realiti kos sara hidup dan pendapatan boleh guna rakyat bukannya sekadar angka pendapatan kasar. Beliau turut menekankan kepentingan kualiti perkhidmatan guaman dalam panel yang dilantik. Beliau mencadangkan supaya latihan guaman berkala unit audit kualiti guaman dan garis panduan kelayakan peguam termasuk peguam syarie diwajibkan sebagaimana amalan sedia ada di bawah YBGK. “Jangan sampai panel peguam sekadar masuk untuk dapatkan elaun tetapi tanggungjawab guaman dibuat ala kadar, ” katanya sambil menggesa kerajaan memperincikan kadar bayaran peguam panel mengikut tahap kes termasuk kes berat seperti kes bunuh dan hukuman mati. Beliau juga menimbulkan persoalan berhubung prosedur rayuan di bawah Seksyen 67 yang boleh membuka ruang pihak lawan merayu membatalkan bantuan guaman yang diberikan kepada pemohon sesuatu yang dilihat bertentangan dengan semangat keadilan sosial. Che Mohamad Zulkifly menegaskan bahawa undang-undang ini tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai perubahan teknikal tetapi menyentuh soal prinsip bahawa semua rakyat berhak mendapat pembelaan di mahkamah tanpa campur tangan politik. “Pastikan roh asal YBGK dikekalkan iaitu akses rakyat miskin kepada peguam yang percuma berkualiti telus dan bebas daripada pengaruh politik, ” katanya
26 Aug 25
46
"Please Take Care of Our Turtles!" - Raja Muda Terengganu
"Please Take Care of Our Turtles!" - Raja Muda Terengganu
DUNGUN, 26 Ogos - "Please Take Care of Our Turtles!," itu mesej ringkas dititipkan oleh DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada papan kenyataan 'Mesej Untuk Penyu' ketika mencemar duli berkunjung ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Rantau Abang, hari ini. Dalam lawatan kerja Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) ke pusat konservasi haiwan ikonik Terengganu itu, Baginda berkenan mendengar penerangan tentang sejarah penubuhan pusat tersebut dari Ketua  Daerah Perikanan Dungun, Abd Halim Mat Noor. Keberangkatan tiba Tengku Muhammad Ismail pada jam 10.00 pagi diiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN Terengganu, Dato' Rosli Latif bersama Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang. Hadir sama menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Yang Dipertua Daerah, Lukema Meri Salleh, Pegawai Daerah Dungun, Lizan Che Mat dan Ketua Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Nurruhudayu Rani. Dalam kunjungan itu, Yang di-Pertuan Muda Terengganu sempat mencemar duli meraikan kira-kira 30 anak-anak Tabika KEMAS Rantau Abang dan Rimbunan Kasih yang melakukan aktiviti mewarna di pusat terbabit. Selesai kunjungan di sana, Baginda turut berkenan melawat Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang. Pengarah IPP, Sharum Yusof menyampaikan fungsi institut berkenaan yang komited dalam pemuliharaan ekosistem marin negara kepada Tengku Muhammad Ismail menerusi pameran rangka dan dapatan spesies mamalia marin terancam. Lokasi lawatan kerja berakhir di ladang Rimbunan Kasih yang telah dipulihkan semula melalui anak syarikat kerajaan negeri iaitu Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC). Baginda berkesempatan melihat hasil tanaman Melon Manis Terengganu menggunakan teknik hidroponik yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat MCT Sdn Bhd menerusi Teras Bertindak Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023.    
26 Aug 25
568
Kerajaan Terengganu Taja Empat Pelajar Lanjut Pengajian ke Beijing
Kerajaan Terengganu Taja Empat Pelajar Lanjut Pengajian ke Beijing
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Terengganu terus membuktikan komitmen melahirkan modal insan berkualiti apabila menaja sepenuhnya pengajian empat pelajar cemerlang ke Beijing Foreign Studies University (BFSU), China dengan kos hampir RM1 juta keseluruhannya. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Modal Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat, berkata pelaburan besar itu adalah bukti kesungguhan kerajaan negeri memberi akses pendidikan bertaraf antarabangsa kepada anak Terengganu. Katanya, tajaan berjumlah RM247,000 seorang itu merangkumi yuran pengajian, penginapan, permit residen, utiliti, insurans dan elaun sara hidup sepanjang tempoh 4.5 tahun.  “Mereka merupakan kumpulan pertama hasil Program Tahfiz Mandarin IMTIAZ Marang yang dilaksanakan sejak 2018, sekali gus membuktikan kejayaan pelaburan jangka panjang negeri dalam melahirkan pelajar dwi-kemahiran menguasai ilmu agama, bahasa dan profesional,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Penghantaran dan Penyerahan Pendahuluan Diri Pelajar Yayasan Terengganu ke BFSU, di Dewan Besar Yayasan Terengganu, hari ini. Menurutnya, empat pelajar terbabit ialah Ameer Sadiq Ahmad Lutfi, Shazarul Azree Jamaludin, Muhammad Harith Irfan M. Anuar dan Rabiatul Annisa Mohd Fousi, kesemuanya lepasan Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu Marang di bawah Program Tahfiz Mandarin. Tambah Satiful, mereka menjalani persediaan di INTEC Education College, UiTM Shah Alam sebelum memulakan pengajian asasi enam bulan di BFSU, seterusnya menyambung Ijazah Sarjana Muda selama empat tahun bermula Mac 2026. “Setakat ini kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta untuk biasiswa, RM1 juta melalui GLC dan RM10 juta untuk pinjaman pendidikan, namun kos pengajian luar negara yang semakin tinggi menghadkan jumlah pelajar yang dapat dihantar setiap tahun. “Kumpulan pertama ini dihantar ke bidang perniagaan, manakala kumpulan seterusnya dijangka dalam bidang sains tulen, kejuruteraan dan sebagainya,” katanya. Menurut Satiful, kos pengajian setiap pelajar ditanggung melalui skim Pinjaman Boleh Ubah Yayasan Terengganu, boleh bertukar menjadi biasiswa sekiranya pelajar mencapai kecemerlangan. “Insya-Allah, program penghantaran pelajar ke universiti-universiti di China ini akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang. “Setiap pelajar haruslah berusaha dengan gigih untuk terus cemerlang sepanjang tempoh berada di  BFSU China. Gunakanlah peluang keemasan ini dengan sebaiknya. Pelajarilah ilmu serta budaya untuk faedah agama, bangsa dan negara,” ujar Satiful. Dalam ucapannya, Satiful turut menasihatkan pelajar agar menjaga akhlak serta menjadi 'duta kecil' Terengganu dan Malaysia sepanjang berada di China. “Kejayaan anda bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk negeri dan negara. Pulanglah dengan ilmu, pengalaman dan sumbangan yang boleh membangunkan masyarakat kita,” tambahnya. Justeru itu, beliau berharap agar para pelajar pulang dengan membawa kejayaan cemerlang setelah tamat pengajian kelak dan dapat berkhidmat di negeri tercinta.
26 Aug 25
248
Ahli Parlimen Pembangkang Tolak URA, Desak Undi Belah Bahagian
Ahli Parlimen Pembangkang Tolak URA, Desak Undi Belah Bahagian
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) URA terus menerima tentangan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta wakil rakyat. Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Ahli-ahli Parlimen PN telah menerima memorandum bantahan daripada NGO yang menegaskan RUU itu bercanggah dengan kepentingan rakyat serta mencabuli kuasa kerajaan negeri. Menurut beliau, penolakan turut dizahirkan oleh empat Menteri Besar negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis melalui kenyataan rasmi Sekretariat Gabungan Negeri-negeri Pantai Timur (SG4) yang menolak keras RUU tersebut kerana menyentuh bidang kuasa negeri. Katanya, penegasan itu sekali gus menafikan dakwaan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bahawa kerajaan negeri menyokong RUU berkenaan. “Penolakan ini membuktikan kenyataan Menteri KPKT bercanggah dengan realiti sebenar,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini. Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan Infrastruktur dan Pengangkutan yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Tanjung Manis turut mengesyorkan agar RUU URA tidak diteruskan ke bacaan kali kedua. Jelas beliau, perkara tersebut membuktikan bantahan bukan sahaja datang daripada kerajaan negeri, malah juga daripada wakil rakyat yang menyedari implikasi besar RUU tersebut terhadap sistem pentadbiran negara. RUU URA kini dianggap antara rang undang-undang paling kontroversi apabila majoriti rakyat dan pelbagai pihak menzahirkan penolakan secara terbuka. Takiyuddin menegaskan, sekiranya RUU itu tetap dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada 28 Ogos ini, Ahli-ahli Parlimen PN akan mendesak supaya undi belah bahagian dijalankan bagi merekodkan dengan jelas pendirian setiap Ahli Parlimen. “Ini penting agar rakyat dapat melihat sendiri siapa yang menyokong dan siapa yang menolak RUU tersebut,” katanya.
26 Aug 25
326
Jalur Gemilang Terbalik Isu Maruah Negara, Bukan Perkara Remeh
Jalur Gemilang Terbalik Isu Maruah Negara, Bukan Perkara Remeh
KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Isu Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik baru-baru ini menjadi tumpuan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli menyifatkan insiden tersebut sebagai satu tindakan yang memalukan negara dan tidak boleh dipandang remeh. “Ini bukan soal politik, ini soal maruah negara. Jalur Gemilang bukan sekadar kain berwarna, tetapi lambang kedaulatan, perpaduan, kesucian dan semangat federalisme yang menyatukan seluruh negeri di bawah satu payung,” tegasnya.  Beliau turut menyamakan kedudukan Jalur Gemilang dengan panji-panji tentera yang tidak boleh sama sekali dijatuhkan atau diterbalikkan, sambil merujuk kepada tugu peringatan negara di ibu kota yang menjulang bendera Malaysia sebagai simbol tertinggi perjuangan dan pengorbanan. Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan supaya memperketatkan undang-undang dan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan simbol negara, tanpa sekadar bergantung kepada permohonan maaf semata-mata. “Apatah lagi di bulan Hari Kebangsaan ini, kesalahan sebegini tidak boleh disapu di bawah permaidani.  “Ia mesti diambil tindakan tegas agar maruah negara terus terpelihara,” katanya dengan tegas.
26 Aug 25
89
Hak Pemilik Tanah Terjejas, Empat Negeri Tolak URA 2025
Hak Pemilik Tanah Terjejas, Empat Negeri Tolak URA 2025
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos – Negeri-Negeri SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) menegaskan pendirian menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar 2025 (URA) yang akan dibentangkan untuk Bacaan Kali Kedua di Parlimen 27 Ogos ini. SG4 dalam satu kenyataan memaklumkan, RUU berkenaan jika diluluskan akan menjadi suatu undang-undang yang terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, dijangka akan memberi implikasi besar terhadap kuasa autonomi negeri, hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat. “Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] yang sedia ada dengan jelas memperuntukkan bahawa urusan perancangan bandar terletak di bawah bidang kuasa eksekutif Negeri yang dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Perancang Negeri dan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan. “Akta 172 juga mengambil kira keperluan kawalan dan perancangan guna tanah serta pembangunan perbandaran yang sesuai selaras dengan dasar kerajaan sesebuah Negeri serta keperluan, sikap dan budaya penduduk setempat. “Pendekatan ini adalah lebih holistik dengan mengambil kira cita rasa pembangunan negeri berasaskan pertimbangan dasar dan diharmonikan dengan sifat budaya penduduknya,” ujar kenyataan tersebut, hari ini.  Menurut kenyataan tersebut, pelaksanaan URA juga dilihat boleh menjejaskan hak pemilik asal tanah dan komuniti tradisi yang sedia ada dalam bandar terutamanya kaum Melayu dan bumiputera.  “Tambahan pula URA tidak memperincikan mekanisma pampasan dan perlindungan yang jelas kepada pemilik asal tanah dan ia dibimbangi berkemungkinan akan menjejaskan imbangan kaum dan pemilikan hartanah terutama bumiputera di bandar-bandar. “Negeri-Negeri SG4 amat bimbang tanpa mekanisme pelaksanaan yang jelas, pelaksanaan URA akan mewujudkan jurang komuniti kaum di bandar-bandar sekaligus menjejaskan keharmonian negara,” ujarnya. Jelas kenyataan tersebut, undang-undang sedia ada termasuk Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Hakmilik Strata 1985, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, dengan pelaksanaan secara berfokus dan penambahbaikan yang perlu dan wajar boleh menangani isu-isu berbangkit khususnya bagi tujuan pembangunan semula, penjanaan dan penyegaran semula bandar tanpa keperluan terhadap URA.  
26 Aug 25
190