KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Di sebalik senyuman dua anak muda Terengganu yang bakal berangkat menimba ilmu ke Beijing, tersembunyi kisah pengorbanan, doa dan air mata keluarga yang menjadi sumber kekuatan mereka.
Bagi Muhammad Harif Irfan M Anwar, 18, dari Kuala Nerus, langkahnya ke luar negara bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya hadiah buat ibu bapa yang tidak pernah jemu berkorban.
"Saya anak sulung daripada enam beradik. Jadi, apabila dapat peluang ke luar negara, rasa gembira itu bukan untuk saya seorang, tapi untuk mak ayah dan adik-adik.
"Harapan saya cuma satu, nak banggakan mereka dan jadikan diri saya contoh terbaik buat keluarga," jelasnya ketika ditemui selepas Majlis Penghantaran dan Penyerahan Pendahuluan Diri Pelajar Yayasan Terengganu ke BFSU di Dewan Besar Yayasan Terengganu, baru-baru ini.

Harif yang bakal melanjutkan pengajian di Beijing Foreign Studies University (BFSU) berazam menjadikan segala ilmu yang ditimba sebagai bekalan untuk memajukan negeri Terengganu dan Malaysia.
"Cabaran menuntut ilmu ini antaranya ialah mengawal diri daripada aktiviti yang tidak memberi faedah. Kita perlu konsisten untuk belajar dan menahan diri daripada perkara sia-sia," katanya.
Jika Harif menempuh cabaran sebagai anak sulung, kisah Rabiatul Anissa Mohammad Fousi, 18, dari Dungun pula sarat dengan ketabahan seorang anak bongsu yang tidak pernah patah semangat.
Ayahnya, Mohammad Fousi Rasheed, 56, menghidap sakit jantung kronik sejak beliau di sekolah rendah, manakala ibunya, Mazlina Abd Manan, bertugas sebagai jururawat di Hospital Dungun.
"Semangat saya datang daripada keluarga. Walaupun ayah sakit, mak tetap kuat. Abang dan kakak pula tidak pernah berhenti memberi dorongan. Saya pernah hampir putus asa untuk ambil peperiksaan HSK kerana rasa tak mampu, tapi mereka yakinkan saya.
"Hari ini saya dapat peluang ke China, semua ini kerana doa dan sokongan mereka," katanya penuh syukur.

Sejak kecil, Anissa sudah diasuh dengan bahasa Mandarin, bermula dari tadika hingga sekolah menengah, beliau terus gigih menguasainya sehingga akhirnya terpilih melanjutkan pengajian dalam bidang International Business di BFSU.
Kedua-dua pelajar ini mengakui, cabaran utama bukan sekadar di bilik kuliah, tetapi bagaimana menjaga diri, menahan godaan hiburan yang melalaikan dan mengekalkan disiplin untuk terus fokus pada ilmu.
Namun semangat mereka sama, mahu kembali ke tanah kelahiran, Terengganu, untuk menabur bakti.
Bagi ibu bapa mereka, kejayaan ini bukan sekadar tiket ke universiti ternama di Beijing, tetapi bukti bahawa doa, pengorbanan dan kasih sayang mampu mengubah dugaan hidup menjadi sebuah kejayaan yang membanggakan.