Artikel "Komuniti" Terkini
RM10 Juta Fokus Pelancongan Berasaskan Ekonomi Rakyat
KUALA TERENGGANU, 20 April – Peruntukan sebanyak RM10 juta disalurkan bagi membangunkan fasiliti, infrastruktur serta mempromosikan destinasi pelancongan berasaskan komuniti Community-Based Tourism, (CBT) di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pendekatan diambil kerajaan negeri adalah untuk memastikan setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi pulangan ekonomi dan sosial kepada rakyat.
Menurutnya, sebahagian daripada dana ini telah disalurkan ke Hulu Terengganu bagi melaksanakan beberapa projek infrastruktur berskala kecil tetapi memberi impak besar kepada pelancong dan penduduk setempat.
"Beberapa inisiatif telah dan sedang dilaksanakan untuk menyokong penggiat CBT di kawasan ini, antaranya bantuan kewangan dan insentif.
"Antara projek yang telah diluluskan termasuk pembinaan kemudahan tandas, wakaf dan pencahayaan di CBT Kalang Rengas dengan peruntukan sebanyak RM50,000, manakala CBT Lubuk Bayas (Little Amazon, Kampung Menerong Ajil) dan CBT Bukit Jalin, Kampung Lebok Kuala masing-masing menerima RM20,000 bagi kerja-kerja pembinaan tandas.
"Di Kampung Jenagor Seberang, sebuah dewan terbuka bagi persembahan budaya turut dibangunkan dengan kos RM20,000, bagi menyokong aktiviti pelancongan budaya dan warisan tempatan," jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Razali turut menambah bahawa kerajaan negeri turut melaksanakan latihan berkaitan hospitaliti, pemasaran digital dan pengurusan eko pelancongan kepada penggiat CBT agar mereka lebih bersedia bersaing dan menarik minat pelancong tempatan serta antarabangsa.
20 Apr 25
96
15 Pelajar Kutip Pengalaman Tinggal Bersama Orang Asli
Oleh : Nooreni Abu Bakar
HULU TERENGGANU, 20 April - Seramai 15 pelajar Politeknik Hulu Terengganu telah berkampung di Kampung Orang Asli Sungai Bengoi, Taman Negara Kuala Sat bagi mengutip pengalaman dan mempelajari kehidupan seharian suku kaum tersebut.
Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporat Politeknik Hulu Terengganu, program itu melibatkan pelajar Diploma Pelancongan Rekreasi Semester 5 (DRT5A) Bersama Volunteer 1 Malaysia (V1M).
"Dalam sesi perkongsian bersama pelajar, Tok Batin dan pembantu telah menyampaikan ilmu kelangsungan hidup seperti menyalakan api menggunakan teknik gesekan api menggunakan rotan dan kayu meranti serta cara untuk mencari makanan di hutan," katanya.
Menurutnya lagi, Tok Batin juga menunjuk cara menggunakan jerat untuk perangkap haiwan kecil seperti kancil, pelanduk dan ayam hutan.
"Selepas menggunakan jerat, mereka mengajar bagaimana untuk memburu menggunakan sumpit serta racun daripada pokok untuk diletakkan di sumpit untuk melemahkan mangsa," katanya.
Program selama dua hari yang diadakan pada 9 April dan 10 April lalu turut dimuatkan aktiviti - aktiviti santai bersama komuniti masyarakat setempat.
"Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pertandingan futsal terbuka serta pertandingan bola beracun yang mengetengahkan permainan tradisional sambil memupuk interaksi mesra antara peserta dan penganjur," katanya.
Program turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti serta pengagihan barang hasil kutipan dana daripada sumbangan staf dan pelajar Politeknik Hulu Terengganu seperti pakaian terpakai dan alat tulis kepada komuniti Orang Asli.
"Ini mencerminkan keprihatinan sosial, malah memperkukuh nilai kebersamaan dan semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar," ujarnya.
20 Apr 25
172
Dua Projek Perumahan Bakal Dibina di Langkap
KUALA TERENGGANU, 17 April - Dua projek perumahan baharu yang dicadangkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dilihat sebagai langkah penting dalam usaha membela nasib generasi muda luar bandar, khususnya golongan B40 dan generasi kedua FELDA.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, menyifatkan kedua-dua projek itu sebagai peluang penting untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada pasangan muda dan belia luar bandar, sejajar dengan usaha memperkukuh komuniti serta mengurangkan penghijrahan ke bandar.
“Cadangan di FELDA Chalok Barat yang memfokuskan perumahan generasi kedua FELDA dan RMM Sungai Bari bagi golongan B40 serta pasangan muda.
“Di FELDA Chalok Barat, cadangan bagi pembinaan 100 unit rumah di bawah Program Residensi Rakyat telah diangkat permohonan kepada KPKT untuk pertimbangan kelulusan perlaksanaan dalam Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RP1 RMKe13), namun ianya masih di dalam pertimbangan pihak kementerian,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Manakala menurut katanya, di Sungai Bari, pembinaan 200 unit rumah dibawah Program Pemajuan Kawasan (PPK) dan permohonan juga telah diangkat kepada Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) untuk pertimbangan kelulusan perlaksanaan dalam Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RP1, RMKe13) dan masih dalam pertimbangan pihak kementerian.
18 Apr 25
1102
Koperasi Masjid Banyak Tidak Aktif, Timbul Kebimbangan
KUALA TERENGGANU, 17 April – Walaupun 28 buah masjid di seluruh Terengganu telah menubuhkan koperasi, hanya sejumlah kecil sahaja yang benar-benar aktif sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan usaha menjadikan masjid sebagai pusat ekonomi setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, perkara itu perlu diambil perhatian serius bagi mengaktifkan kembali koperasi masjid di setiap kawasan sebagaimana tujuan penubuhan.
“Daripada jumlah 28 buah masjid yang memiliki koperasi, terdapat beberapa buah masjid sahaja yang benar-benar aktif antaranya Masjid Nur Bakti di Kuala Nerus, Masjid Binjai di Kemaman, Masjid Kg Tebakang di Marang dan Masjid Tokku Tuan Besar di Kuala Terengganu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Menurutnya, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memandang serius perkara itu dan telah menggerakkan seruan melalui khutbah Jumaat di seluruh negeri agar ahli kariah memberikan sokongan terhadap koperasi masjid masing-masing.
“Inisiatif penubuhan koperasi adalah untuk menjadikan masjid sebagai pusat ekonomi setempat bagi menjana pendapatan tambahan untuk manfaat ahli qaryah dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti setempat.
“Ini selaras dengan dasar koperasi negara yang mensasarkan penglibatan koperasi kariah masjid sebagai agen perubahan sosio dan ekonomi umat islam di negeri ini,” tambah Ariffin lagi.
18 Apr 25
160
Pesta Moreh : PBT, Agensi Agama Cari Penyelesaian Terbaik
KUALA TERENGGANU, 18 April – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Terengganu telah mengambil langkah proaktif dalam menimbang dan meluluskan penganjuran Pesta Moreh sepanjang Ramadan dengan memastikan setiap aktiviti mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, semua permohonan penganjuran Pesta Moreh telah dinilai dengan teliti berpandukan peraturan sedia ada seperti Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002, Kaedah-Kaedah Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2003, dan Undang-Undang Kecil Penjaja PBT.
“Penganjuran pesta moreh ini adalah bagi merancakkan ekonomi setempat dan membantu kewangan peniaga-peniaga kecil untuk terus berkembang.
“Penganjuran pesta moreh ini selain daripada aktiviti perniagaan makanan juga turut diserikan dengan pengisian aktiviti hiburan seperti busking,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin.
Menurutnya, susulan beberapa pandangan yang dibangkitkan berkenaan elemen hiburan dalam pesta tersebut, kerajaan negeri memaklumkan bahawa satu sesi libat urus akan diadakan.
“Sesi ini akan melibatkan persatuan busker, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah serta pihak-pihak berkepentingan yang lain,” katanya.
Pada masa yang sama jelas beliau, Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah sedang dalam proses membuat kajian semula terhadap garis panduan hiburan sedia ada.
“Garis panduan yang dikemas kini ini dijangka menjadi rujukan rasmi PBT dalam menilai sebarang permohonan aktiviti hiburan pada masa akan datang,” tambah Wan Sukairi.
.
18 Apr 25
99
UDM Gelam Mas Raih Juara di Majlis Aidilfitri DUN Kota Putera
BESUT, 20 April - UDM Gelam Mas dinobatkan sebagai juara gerai terbaik Jamuan Aidilfitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, pada Jumaat.
Dalm majlis yang berlangsung di Dewan Limbongan itu, mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 sebagai hadiah utama.
Manakala, UDM Seberang Kastam meraih tempat kedua dan UDM Keluang di tempat ketiga.
Dianggarkan lebih 15,000 penduduk setempat hadir berkunjung ke majlis sambutan yang dikhabarkan paling meriah pernah diadakan.
Ribuan pengunjung bermula selepas solat Maghrib menikmati lebih 12 jenis juadah makanan disajikan kepada pelbagai masyarakat yang hadir, antaranya ialah kambing golek, nasi daging berlengas, dan sate.
Acara sambutan tidak berakhir di situ; pertunjukan bunga api menjadi penutup yang mengagumkan, menyajikan pengunjung dengan pemandangan indah di langit malam yang memeriahkan suasana.
Mengakhiri majlis, pemberian cincin emas terakhir daripada lima cincin yang dijanjikan kepada pengunjung menambah unsur kejutan dan kegembiraan kepada semua yang hadir.
Jamuan Hari Raya DUN Kota Putera tahun ini bukan sahaja berjaya dari segi keterlibatan, tetapi juga dalam memupuk semangat kekeluargaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Kota Putera dan Negeri Terengganu.
15 Apr 25
36
Sambutan Raya Perantau Hulu Besut Meriah 2000 Hadir di Shah Alam
SHAH ALAM, 13 April – Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perantau Peringkat DUN Hulu Besut yang berlangsung malam tadi di perkarangan Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24, Shah Alam disambut dengan penuh kemeriahan dan semangat ukhuwah dengan menghimpunkan 2000 anak-anak perantau yang menetap di Lembah Klang.
Sekaligus Majlis yang dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat(ADUN) Hulu Besut itu menjadi wadah mengeratkan silaturrahim dalam kalangan perantau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua perantau yang hadir memeriahkan majlis berkenaan.
“Saya amat berbesar hati melihat kehadiran yang begitu ramai serta sambutan yang cukup meriah. Ini jelas membuktikan semangat kekeluargaan dan kasih sayang sesama anak perantau Hulu Besut masih kukuh walau berada jauh dari kampung halaman,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Raya tersebut, baru-baru ini.
Beliau juga merendah diri memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang penganjuran majlis tersebut, dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Dalam pada itu,Husaimi turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua perantau yang tidak dapat pulang ke kampung halaman tahun ini.
“Insya-Allah, dengan sokongan dan semangat ukhuwah yang berterusan, kita dapat menganjurkan lagi majlis seperti ini pada masa akan datang,” ujarnya lagi.
Majlis turut diserikan dengan sambutan ulang tahun kelahiran buat para perantau yang lahir pada bulan April. Husaimi mendoakan agar mereka dikurniakan kesihatan yang baik, umur yang diberkati dan sentiasa berada dalam lindungan rahmat Allah SWT.
13 Apr 25
800
MB Ziarah Mangsa Musibah Kebakaran Di Kampung Alor Pok Bang
MARANG, 9 April 2025 – Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa kebakaran di Taman Emas Murni, Kampung Alor Pok Bang, di sini, petang semalam.
Beliau bersama beberapa agensi kerajaan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah hadir sendiri ke lokasi kebakaran bagi meninjau keadaan rumah yang musnah terbakar serta menyantuni ahli keluarga mangsa.
Ahmad Samsuri turut menyampaikan kata-kata semangat dan menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa sambil memaklumkan bahawa bantuan segera akan disalurkan.
“Kami di pihak kerajaan negeri akan membantu sebaik mungkin untuk meringankan beban keluarga mangsa," ujarnya kepada pemberita.
Terdahulu, suasana pagi di Kampung Alor Pok Bang dikejutkan dengan insiden tragis apabila seorang warga emas yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) maut dalam kebakaran rumah yang berlaku kira-kira jam 4.20 pagi semalam.
Mangsa, Razaidah Muhamad, 78 tahun, ditemukan rentung di bilik belakang rumah selepas gagal menyelamatkan diri dalam kejadian menyayat hati itu.
Ketika kejadian, arwah bersama anak perempuannya, Halimahtun Mat Zin,49, serta dua cucunya, Nur Aishah Najwa ,23, dan Mohd Nur Hakim,18, berada di dalam rumah.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Timbalan Penguasa Bomba Che Badrul Isham Che Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.27 pagi dan segera bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketiga-tiga mangsa lain, termasuk anak dan dua cucu mangsa, berjaya keluar sebelum anggota bomba tiba, namun Razaidah yang uzur dan bergelar OKU tidak sempat diselamatkan,” katanya.
Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,' ujarnya.
08 Apr 25
266
Tradisi ‘Raya Nang’ Terus Jadi Amalan Rakyat Terengganu
HULU TERENGGANU, 7 April - Tradisi sambutan Hari Raya Enam atau lebih dikenali sebagai ‘Raya Nang’ dalam kalangan penduduk setempat, terus menjadi amalan masyarakat di beberapa kampung sekitar Terengganu, termasuk Kampung Durian Kassim.
Setiap kali tiba 8 Syawal, penduduk di kampung ini akan menziarahi tanah perkuburan dan mengadakan majlis tahlil beramai-ramai sebagai tanda penghormatan kepada ahli keluarga dan jiran tetangga yang telah meninggal dunia.
seramai 300 penduduk termasuk anak-anak perantau yang pulang ke kampung, menyertai majlis ziarah dan tahlil di tanah perkuburan pada pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Durian Kassim, Narasid Abu Bakar berkata, meskipun ada dalam kalangan penduduk yang telah berhijrah ke bandar, sambutan tradisi ini tetap mendapat sambutan.
“Kita bersyukur kerana dapat menghidupkan semula amalan ini setiap tahun, walaupun sambutan secara sederhana, ia tetap bermakna kerana ramai anak kampung yang pulang untuk bersama-sama meraikan Raya Enam,” katanya.
Menurut Narasid, selepas selesai tahlil dan doa, penduduk turut menikmati juadah yang dibawa secara potluck seperti nasi dagang, ketupat dan pelbagai hidangan lain, selain bergotong-royong membersihkan kawasan perkuburan.
“Selain itu, kami turut mengagihkan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir sebagai tanda keriangan sambutan,” tambahnya.
Bagi Mohamad Adalam Mat Adam, 52, tradisi ini adalah warisan turun-temurun yang perlu diteruskan oleh generasi muda agar ia tidak lenyap ditelan arus moden.
“Kami berharap anak-anak muda kampung akan terus menyemarakkan tradisi ini sampai bila-bila,” katanya.
Hari Raya Enam biasanya disambut pada 8 Syawal sebagai penutup amalan berpuasa sunat enam hari selepas Aidilfitri, dan di sesetengah kampung, ia diraikan secara berjemaah dengan penuh makna dan kebersamaan.
07 Apr 25
2776
Rakyat Pelbagai Kaum 'Serbu' Rumah Terbuka Dr. Sam
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyantuni rakyat negeri Terengganu bersempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam sebuah majlis rumah terbuka Hari Raya bertempat di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, hari ini.
Majlis tahunan yang bermula jam 11.00 pagi sehingga pukul 2.00 petang itu meriah dengan kedatangan pengunjung dari pelbagai latar belakang serta kaum, tidak terkecuali komuniti bukan beragama Islam yang turut hadir menambahkan kemeriahan suasana majlis.
Seorang suri rumah yang berasal dari Seberang Takir kini menetap di Besut, Maimunah Bakar, 56, menzahirkan rasa terima kasih kepada Menteri Besar kerana saban tahun selalu menganjurkan majlis keraian yang sering menjadi persinggahan utama keluarganya pada satu Syawal.
"Saya dan keluarga setiap tahun memang akan berkunjung ke rumah Mnteri Besar dan masuk tahun ini merupakan tahun keempat kami ke sini.
"Antara salah-satu sebab kerana kami sekeluarga selalu berkunjung ke majlis rumah terbuka perayaan ini adalah permintaan dari suami saya untuk singgah di sini," ujarnya kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, pagi tadi.
Penduduk setempat berbangsa cina berasal dari Kampung Tiruk, Hoo Chin Foo, 68, berkata bahawa dia dan isterinya turut akan selalu datang berkunjung ke Kediaman Seri Iman setiap kali majlis rumah terbuka diadakan.
"Saya dan isteri mesti akan datang jika ada majlis ini kerana makanan yang sedap-sedap semua. Tadi pun kami dah pergi jamuan rumah terbuka di istana
"Makanan yang paling saya suka bila datang sini adalah ini (tapai)," kata Chin.
Pelbagai juadah dan minuman telah disajikan kepada pengunjung antaranya termasuklah nasi minyak, laksa penang, martabak, sate ikan dan lain-lain.
Tidak dilupakan juga hidangan ikonik kaum melayu bagi sambutan Aidilfitri seperti tapai, ketupat, lemang dan rendang, juga disediakan dalam majlis itu tadi.
Pengunjung juga mengambil peluang untuk beramah-mesra serta berswafoto bersama menteri besar dan isterinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman.
Manakala, bagi pengunjung cilik pula mereka dihadiahi duit raya sebagai tanda mesra meraikan kehadiran mereka.
Majlis rumah terbuka ini bukan sahaja menjadi platform untuk rakyat Terengganu bertemu dan beramah mesra dengan pemimpin negeri, tetapi juga mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian antara kaum dalam menyambut Aidilfitri.
Keakraban yang terjalin di antara masyarakat pelbagai lapisan turut menggambarkan keunikan budaya dan nilai kebersamaan yang terus subur di negeri ini.
Dengan sambutan pada kali ini yang juga meriah dan menggalakkan, majlis ini sekali lagi membuktikan bahawa Aidilfitri adalah waktu terbaik untuk mengeratkan silaturahim serta berkongsi kegembiraan bersama.
31 Mar 25
344