lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

"Tertunai Hajat Saya, YB Datang Rumah"
"Tertunai Hajat Saya, YB Datang Rumah"
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Wan Mohd Firdaus Wan Murni, 39, dari Kampung Pulau Musang meluahkan rasa teruja apabila hajatnya untuk menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, akhirnya tercapai apabila wakil rakyat itu datang berbuka puasa bersama keluarganya. Menurut Wan Mohd Firdaus, dia sekeluarga  berasa amat gembira dengan kehadiran YB ke rumah mereka setelah sekian lama menyimpan hasrat tersebut. “Saya dan keluarga memang gembira sangat sebab sebelum ini memang berhajat nak YB datang ke rumah, dan hari ini Allah SWT izinkan,” katanya dengan penuh syukur. Wan Mohd Firdaus yang tidak bekerja kerana masalah kesihatan selepas terlibat dalam kemalangan pada tahun 2019 kini bergantung kepada isterinya yang bekerja sebagai pembantu kebersihan. Dia turut menghargai keprihatinan Dato’ Wan Sukairi yang membawa juadah nasi Arab untuk berbuka puasa bersama keluarganya. “Hari ini pun YB siap mari bawa nasi Arab. Tengok anak-anak pun suka makan, tambah pula YB bagi juga bantuan duit dan bakul makanan. Saya sangat berterima kasih,” ujarnya. Sementara itu, Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu berkata, kehadirannya ke rumah tersebut adalah sebahagian daripada siri ziarah berbuka puasa bersama rakyat di kawasan Wakaf Mempelam. “Untuk bulan puasa ini, telah 10 buah rumah saya berbuka puasa bersama rakyat. Saya suka berbuka di rumah rakyat kerana banyak hikmah yang diperoleh,” katanya. Tambah beliau, aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, malah memberi peluang untuk mengenali keadaan sebenar isi rumah yang diziarahi. “Ada kala sebelum ini bila saya berbuka di rumah rakyat, ada isi rumah yang sakit, uzur dan pelbagai kisah lagi. Jadi, saya boleh terus ambil peluang untuk menziarahi dan membantu,” ujarnya. Katanya lagi, perancangan berbuka puasa di rumah rakyat ini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dengan diadakan di kampung-kampung lain pula dalam DUN Wakaf Mempelam.
29 Mar 25
131
Kak Da Kongsi Rezeki Melalui Program Ladang Sejahtera
Kak Da Kongsi Rezeki Melalui Program Ladang Sejahtera
Oleh: Mohamad Farhan Anam KUALA TERENGGANU, 28 Mac — Dalam usaha berterusan membantu golongan yang memerlukan, Program Ladang Sejahtera #KakDaCakna edisi Aidilfitri telah diadakan bagi menyampaikan sumbangan kepada penerima yang layak. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, program ini merupakan inisiatif bulanan yang dilaksanakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ladang sendiri. "Alhamdulillah, ada rezeki kita kongsi. Syukur sebenarnya, kita dapat menyumbang, bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah bulan lain juga," katanya. Beliau turut mengajak masyarakat untuk sama-sama memperbanyakkan amalan kebaikan di penghujung Ramadan ini. "Minggu terakhir Ramadan ini, marilah kita manfaatkan sebaik mungkin untuk melipatgandakan ibadah dan amalan kebajikan sebagai bekalan akhirat," tambahnya. Program ini diharapkan dapat meringankan beban penerima menjelang Syawal serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
29 Mar 25
73
TM Kongsi Keuntungan Melalui Program Cahaya Ramadan
TM Kongsi Keuntungan Melalui Program Cahaya Ramadan
KUALA TERENGGANU, 27 Mac – Telekom Malaysia (TM) dan Yayasan Telekom Malaysia meneruskan inisiatif berkongsi hasil keuntungan dengan membantu 125 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam melalui program Cahaya Ramadan yang berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam, hari ini. Dalam program tersebut, setiap penduduk menerima sumbangan berupa satu kotak makanan serta zakat wakalah berjumlah RM200. Pengurus Besar Perniagaan Wilayah Timur TM, Maliki Harun berkata, sumbangan tersebut bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri. "Kita berharap sumbangan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada penerima, bukan sahaja untuk menyambut Syawal tetapi juga untuk meneruskan kehidupan harian mereka dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita. Tambah beliau, selain DUN Wakaf Mempelam, DUN Kota Putera turut terpilih sebagai penerima sumbangan zakat TM pada tahun ini. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada TM atas inisiatif yang dijalankan bagi membantu golongan yang memerlukan. "Saya amat berterima kasih kepada TM yang terus komited membantu rakyat di DUN Wakaf Mempelam. Tahun lepas, seramai 100 orang menerima sumbangan zakat daripada TM, dan tahun ini jumlah penerima bertambah kepada 125 orang. Semoga usaha ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya. Dalam pada itu salah seorang penerima, Afzan Mohamad, 40, seorang suri rumah dari Kampung Wakaf Mempelam yang mempunyai enam orang anak, menyatakan rasa terharu dan bersyukur atas sumbangan yang diberikan. "Alhamdulillah, terima kasih kepada TM dan semua yang terlibat. Sumbangan ini sangat membantu dalam meringankan beban kami sekeluarga, terutama dalam menyediakan keperluan menyambut Aidilfitri,” katanya. Beliau juga menyatakan persiapan Hari Raya tahun ini dibuat secara sederhana, sekadar berbelanja untuk menggembirakan anak-anak. Siti Ani Mamat dari Kampung Pak Bang pula menyifatkan sumbangan berkenaan amat bermakna buat keluarganya. "Suami saya diuji dengan penyakit strok sejak dua tahun lalu, dan keadaan kewangan kami memang terjejas. Saya sendiri tidak bekerja kerana perlu menjaga suami. "Alhamdulillah, dengan sumbangan ini, bolehlah kami menambah bekalan makanan dan membeli kelengkapan raya untuk anak-anak,” ujarnya.
27 Mar 25
546
60 Asnaf Tok Saboh Terima Zakat
60 Asnaf Tok Saboh Terima Zakat
BESUT, 27 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, terus melaksanakan  inisiatif bagi memastikan kebajikan penduduk di sini terbela. Pada kali ini, beliau telah menyampaikan sumbangan zakat kepada 60 orang golongan asnaf di Kampung Tok Saboh. Sumbangan ini adalah hasil Kedai Emas Sri Ayu miliknya. Katanya, bantuan ini adalah salah satu cara untuk memastikan golongan asnaf tidak terpinggir dan dapat sedikit sebanyak dapat membantu melakukan persiapan Hari Raya. “Zakat adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam. Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penerima dan memberi mereka harapan untuk masa depan yang lebih cerah,” katanya ketika ditemui semasa menyerahkan sumbangan tersebut diakan di Masjid Haji Yaacob Kampung Tok Saboh, di sini, semalam. Majlis tersebut berakhir dengan doa dan harapan agar lebih banyak inisiatif seperti ini dapat dilaksanakan di masa hadapan untuk membantu golongan yang memerlukan. Azbi Salleh berjanji akan terus berusaha untuk memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terjaga.
27 Mar 25
69
Iftar Perdana DUN Kijal Himpun Ribuan Penduduk
Iftar Perdana DUN Kijal Himpun Ribuan Penduduk
KEMAMAN, 26 Mac – Majlis Iftar Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal mencatat kehadiran hampir 3,000 orang apabila diadakan secara berperingkat di empat zon berbeza.   Pengarah program, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar, berkata penganjuran di empat lokasi utama bertujuan memastikan keselesaan dan penyertaan lebih meluas dalam kalangan penduduk.   “Iftar Perdana bermula di Masjid Titian Berayun dengan kehadiran sekitar 700 orang, diikuti Masjid Kampung Ibok yang mencatat jumlah tertinggi seramai 900 orang.   "Seterusnya, Masjid Bukit Kuang menerima 700 orang, manakala Masjid Seri Bandi merekodkan 500 orang yang turut serta dalam majlis berbuka puasa ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar Perdana bertempat di Masjid Seri Bandi semalam. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan program yang bukan sahaja mengeratkan hubungan penduduk, tetapi juga menyemarakkan semangat perpaduan.   “Alhamdulillah, kita telah menyempurnakan Iftar Perdana di keempat-empat zon seperti dirancang.   "Sambutan yang diterima amat menggalakkan, membuktikan semangat kasih sayang dan perpaduan dalam masyarakat Kijal masih utuh.   "Insya-Allah, kita akan meneruskan penganjuran program seumpama ini pada masa akan datang," katanya.  
25 Mar 25
49
Imam dan Bilal Tonggak Terengganu Sejahtera
Imam dan Bilal Tonggak Terengganu Sejahtera
Foto : Hanif Abbas KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Imam dan bilal menjadi tonggak penting dalam memastikan masyarakat negeri ini terus berada dalam keadaan sejahtera melalui peranan yang dijalankan oleh mereka. Timbalan Pengerusi Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Ridzuan Hashim berkata, bertepatan dengan tema 'Pembangunan Masyarakat Berlandaskan Kepada Syariat', imam dan bilal bukan sahaja sahaja memimpin ibadah tetapi juga berfungsi sebagai pendidik, penasihat, pemimpin sosial yang menghubungkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam. "Prinsip-prinsip syariat yang ditegakkan oleh imam dapat membantu menjadikan masyarakat  saling menghormati dan bertanggungjawab serta saling bantu membantu serta memperkuat hubungan 'Ukhwah Islamiyyah' antara ummah. "Saya menyeru agar setiap imam dan bilal dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan disiplin agar dapat menjadi rujukan kepada masyarakat setempat. "Saya juga mengharapkan agar para imam dan bilal ini juga dapat memainkan peranan untuk menarik golongan muda supaya dekat hampir dengan masjid dan melazimi solat berjemaah dan memandu para belia ini untuk hidup berpandukan syariat Islam," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Multaqa Imam dan Bilal Peringkat negeri, di Masjid Tengku Tengah Zaharah, di sini semalam. Dalam pada itu Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), M.Rozi Bidin berkata, multaqa itu menjadi wadah penting dalam memperkasakan imam dan bilal di negeri ini. "Sebagaimana kita maklum bahawa imam dan bilal adalah orang yang dihormati dalam komuniti bukan sahaja memimpin dalam ibadah tetapi juga membawa amanah yang besar sebagai penasihat, pembimbing dan pendidik untuk memperkasakan ummah dengan ilmu akhlak dan  kepimpinan yang berlandaskan syariat. "Semoga multaqa ini dapat memberi gambaran serta menerangkan tentang tugas dan tanggungjawab imam dan bilal," katanya.  
25 Mar 25
197
SK Bukit Losong Terima Sumbangan Meja, Kerusi Baharu
SK Bukit Losong Terima Sumbangan Meja, Kerusi Baharu
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Losong menerima sumbangan sebanyak 140 set meja dan kerusi baharu bagi menggantikan perabot lama yang telah usang, sekali gus meningkatkan keselesaan pelajar dalam sesi pembelajaran. Guru Besar SK Bukit Losong, Wan Nor’izah Wan Nawi, menzahirkan rasa syukur atas pemberian tersebut yang memberi manfaat besar kepada pelajar di empat kelas, khususnya dalam memastikan suasana pembelajaran lebih kondusif. “Saya amat berterima kasih kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah atas keprihatinan beliau dalam memastikan keselesaan anak-anak pelajar di sekolah ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan tersebut, hari ini. Beliau turut berharap penyediaan kemudahan yang lebih baik itu akan membantu meningkatkan kehadiran pelajar ke sekolah, kerana persekitaran yang selesa mampu memberi motivasi kepada mereka untuk hadir dan belajar dengan lebih bersemangat. Dalam pada itu, Wan Nor’izah turut meluahkan rasa terkejut serta kagum dengan kesanggupan Wan Sukairi yang hadir sendiri untuk menyerahkan sumbangan tersebut. “Saya benar-benar terkejut dan terharu melihat kesungguhan YB Dato’ yang bukan sahaja hadir sendiri ke sekolah untuk penyerahan, malah turut membantu mengangkat meja dan kerusi bersama guru-guru serta petugas sekolah. Ia menunjukkan keprihatinan beliau terhadap pendidikan anak-anak di sini,” ujarnya. Sementara itu, Wan Sukairi memaklumkan bahawa sumbangan tersebut disalurkan secara berperingkat dengan 80 set meja dan kerusi telah diserahkan terlebih dahulu kepada pihak sekolah pada hari ini. “Jumlah keseluruhan sumbangan ialah 140 set, dan kami berharap ia dapat memberikan keselesaan serta kemudahan kepada anak-anak dalam menuntut ilmu,” ujarnya. Beliau turut menjelaskan bahawa Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam telah memperuntukkan sebanyak RM28,000 bagi membiayai sumbangan ini, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kualiti pembelajaran di sekolah tersebut. “Semoga sumbangan ini memberi manfaat besar kepada pelajar dan membantu mereka menimba ilmu dalam suasana yang lebih selesa serta kondusif,” tambahnya. Selain itu, beliau juga berharap sumbangan ini dapat membantu mengurangkan bebanan pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dalam memastikan kemudahan asas pelajar sentiasa dalam keadaan baik dan mencukupi. “Saya sentiasa terbuka untuk membantu sekolah-sekolah di DUN Wakaf Mempelam yang memerlukan sebarang bentuk sokongan, sama ada dalam aspek kemudahan, kebajikan pelajar atau pembangunan pendidikan secara keseluruhan,” katanya. Turut hadir dalam majlis penyerahan ini ialah Naib Yang Dipertua PIBG, Ir. Ts. Ahmad Azhan Suhaili, yang turut sama menyaksikan penyampaian sumbangan serta menzahirkan penghargaan atas usaha bersama dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga.
24 Mar 25
606
DUN Rantau Abang Raikan 700 Asnaf, Anak Yatim
DUN Rantau Abang Raikan 700 Asnaf, Anak Yatim
DUNGUN, 23 Mac – Seramai 700 asnaf dan anak yatim dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang menerima sumbangan sebagai persediaan menyambut Syawal kali ini. Sumbangan berupa pakaian dan keperluan hari raya itu merupakan inisiatif berterusan yang dijalankan pihak DUN Rantau Abang dalam usaha membantu golongan yang memerlukan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, program berkenaan merupakan salah satu usaha tahunan untuk memastikan golongan asnaf dan anak yatim tidak ketinggalan dalam merayakan bulan Syawal dengan penuh keceriaan. “Kutipan sumbangan kali ini adalah hasil daripada sumbangan masyarakat setempat, termasuk individu dan syarikat koperat yang prihatin. "Alhamdulillah , menerusi sokongan daripada semua pihak, kami dapat melaksanakan program ini dengan lebih baik setiap tahun. "Terima Kasih kepada semua yang telah menyumbang dalam tabung kebajikan Ramadan kali ini, di mana sumbangan tersebut memberi harapan dan kegembiraan kepada penerima," katanya. Mohd Fadhli turut mendoakan agar Syawal tahun ini menjadi tahun yang lebih bermakna buat golongan asnaf dan anak yatim, dan semoga mereka terus diberkati dengan rezeki yang melimpah.  
23 Mar 25
146
500 Asnaf DUN Wakaf Mempelam Terima Sumbangan Zakat Menjelang Aidilfitri
500 Asnaf DUN Wakaf Mempelam Terima Sumbangan Zakat Menjelang Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Seramai 500 asnaf dari 35 buah kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menerima sumbangan zakat berupa wang tunai RM100 serta sekampit beras seberat lima kilogram dalam majlis yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata program ini merupakan tradisi Pusat Khidmat Masyarakat yang diadakan setiap tahun menjelang lebaran bagi memastikan golongan asnaf dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria dan sejahtera. Menurut beliau, sumbangan ini adalah hasil kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk individu perseorangan, syarikat-syarikat swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang prihatin terhadap kebajikan golongan yang memerlukan bagi membantu meringankan beban menjelang sambutan Aidilfitri. “Kami amat berterima kasih kepada semua penyumbang yang sudi menghulurkan bantuan demi meringankan beban golongan asnaf di kawasan ini. Dengan adanya sumbangan ini, diharapkan mereka dapat membuat persiapan raya dengan lebih baik,” katanya. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim. Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa satu lagi program sumbangan seumpama ini akan diadakan pada 27 Mac nanti dengan kerjasama syarikat korporat bagi memperluaskan lagi manfaat kepada golongan yang memerlukan. Sementara itu, seorang penerima, Ariani Amzah, 47, dari Kampung Losong yang merupakan ibu tunggal, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan.  Katanya, sumbangan tersebut sedikit sebanyak membantu persiapan Aidilfitri, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar. “Setiap kali menjelang Aidilfitri, saya hanya membuat persiapan ala kadar sahaja kerana masih terasa kehilangan ibu yang meninggal dunia pada malam raya dua tahun lalu. Namun, dengan adanya sumbangan ini, sedikit sebanyak meringankan beban saya dan anak-anak,” katanya. Seorang lagi penerima, Mohamad Jusoh, 66, dari Kampung Che Long, turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. “Saya mempunyai 10 orang anak, dan dengan adanya sumbangan ini, dapatlah saya menampung keperluan keluarga terutama dalam membuat persiapan Aidilfitri. "Beras yang diterima ini pun boleh digunakan untuk memasak pada hari raya nanti. Saya juga lihat proses pemberian sumbangan pun berjalan lancar,” katanya.
22 Mar 25
222
979.76 Kilogram Lebihan Makanan Bazar Diagih Ke Masjid
979.76 Kilogram Lebihan Makanan Bazar Diagih Ke Masjid
Oleh: Nooreni Abu Bakar  HULU TERENGGANU, 22 Mac - Sebanyak 979.76 kilogram (kg) lebihan makanan yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar telah berjaya dikumpul dan diagihkan ke beberapa buah masjid di daerah ini. Jurucakap Unit Korporat dan Komunikasi, Politeknik Hulu Terengganu memberitahu,  ia merupakan satu inisiatif pengurusan lebihan makanan “Food Waste Management” di Bazar Ramadan Rahmah (BRR), Kuala Berang  dalam usaha menyelamatkan makanan dan minuman yang tidak habis dijual oleh peniaga bazar. "Agihannya adalah ke Masjid Al-Hijrah Kampung Tengkawang, Masjid Kampung Kuala Jeneris, Masjid As-Syakirin Kuala Ping, Masjid Seri Mulia Kampung Kepah dan juga pelajar - pelajar Politeknik Hulu Terengganu," ujarnya dalam satu kenyataan.  Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Terengganu (KPDN) dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) yang melibatkan 29 orang ahli Gerakan Pengguna Siswa Politeknik Hulu Terengganu (GPSPHT) sebagai sukarelawan diadakan selama empat hari iaitu pada 12, 13, 16 dan 17 Mac 2025.   "Program ini selaras dengan Matlamat Kedua (SDG2) Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) iaitu Kelaparan Sifar (Zero Hunger) dan Matlamat Ke-12 (SDG12) iaitu Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab (Responsible Consumption and Production). "Ianya disambut baik oleh peniaga dan berhasil memberikan pengalaman berharga kepada semua sukarelawan," ujarnya lagi.
22 Mar 25
279