lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

70 Kakitangan SATU Gotong-Royong Bersih Kubur
70 Kakitangan SATU Gotong-Royong Bersih Kubur
KUALA TERENGGANU, 2O Mei - Seramai 70 kakitangan Syarikat Air Terengganu (SATU) telah menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan kubur Pasir Panjang, baru-baru ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ts. Abdul Karim Endut berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan tanda keprihatinan pihaknya terhadap masyarakat setempat. "Inisiatif ini dilihat sebagai salah satu bentuk kecaknaan yang tinggi daripada pihak SATU, khususnya dengan pemilihan DUN Pasir Panjang sebagai lokasi pelaksanaan. "Semangat kerjasama yang ditunjukkan para petugas SATU wajar dijadikan contoh, dan diharapkan program seperti ini dapat diteruskan demi kesejahteraan dan keceriaan komuniti setempat," ujarnya kepada pemberita selepas selesai gotong-royong berkenaan. Program tersebut turut menyaksikan penyerahan pelbagai peralatan kebersihan seperti mesin rumput, cat, dan kelengkapan lain kepada wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasir Panjang oleh SATU bagi menyokong usaha kebersihan komuniti..
19 May 25
41
Warga Terengganu Dijemput Memeriahkan Karnival TIEP
Warga Terengganu Dijemput Memeriahkan Karnival TIEP
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Seluruh warga Terengganu dan sekitarnya dijemput untuk memeriahkan Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP)2025. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. "Akan diadakan pada 16 sehingga 18 Mei ini bertempat di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong Setiu," ujar beliau melalui kenyataan di media sosialnya, di sini. Menurut Ahmad Samsuri, pelbagai pengisian menanti pengunjung yang hadir. "Termasuk pertunjukan sukan lasak, perarakan kuda berhias, aktiviti komuniti, persembahan kebudayaan dan sebagainya. "Jumpa di sana,"ujarnya.  
10 May 25
4508
i-Suri Bantu Perkasa Wanita Terengganu
i-Suri Bantu Perkasa Wanita Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Mei - Usaha memperkasakan wanita dan memperluas perlindungan sosial kepada suri rumah terus diperkukuh menerusi penganjuran Mini Karnival Kesejahteraan Rakyat Terengganu 2025 yang berlangsung di Dewan Sivik Ajil, pagi semalam. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional,  Maliaman Kassim, program tersebut merupakan satu inisiatif dianjurkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Institut Modal Insan Sejahtera Terengganu (IMITS) serta Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil.  "Program i-Suri di bawah KWSP ini merupakan antara usaha memberi perlindungan sosial kepada suri rumah yang tidak berpendapatan tetap, dengan galakan caruman secara sukarela yang turut disertakan insentif kerajaan. "Melalui jelajah ini, para wanita khususnya suri rumah diberi maklumat berkenaan manfaat simpanan masa depan, skim perlindungan, dan peluang mempertingkat kesejahteraan keluarga.  "Turut ditekankan kepentingan celik kewangan dan peranan wanita sebagai nadi pembangunan masyarakat," katanya. Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ajil berkata demikian melalui satu hantaran Facebook rasminya. Turut hadir bagi menyempurnakan program, Pengarah KWSP Wilayah Timur, Tuan Rahmat serta  Pengarah IMITS Terengganu, Kamaruzaman Abdullah. Menurutnya lagi, program turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai agensi yang membuka ruang pameran dan perkhidmatan termasuk Tabung Haji, BSN, TTITC, JPW, PTPTN, THRDC, PERKESO, AKPK dan NADI, yang menawarkan informasi tentang peluang pekerjaan, latihan kemahiran, perancangan kewangan dan pelan simpanan masa depan. Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program, dan menyeru agar lebih banyak usaha kolaboratif seperti demikian dilaksanakan. "Tahniah kepada semua penganjur dan peserta yang menjayakan program ini. Semoga inisiatif ini terus diperluas ke seluruh negeri agar tiada golongan wanita tercicir dalam perlindungan sosial," ujarnya.  
05 May 25
319
74 Jemaah Haji DUN Buluh Gading Dirai
74 Jemaah Haji DUN Buluh Gading Dirai
KUALA TERENGGANU, 30 April – Seramai 74 orang bakal jemaah haji dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading diraikan dalam satu majlis penuh bermakna sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji pada musim haji tahun ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, keraian itu merupakan kali pertama ia diadakan. "Sebelum ini hanya berpeluang bertemu para jemaah secara individu, namun kali ini dapat disatukan semua dalam satu majlis penuh bermakna, sebagai tanda penghargaan dan doa buat mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah swt. "Majlis ini juga memberi peluang untuk kita saling bertemu dan berkenalan, memandangkan ada kemungkinan para bakal haji sendiri tidak mengetahui siapa lagi dalam kalangan komuniti kita yang turut terpilih menunaikan haji pada tahun ini. "Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua Muslimin dan Muslimat yang terpilih oleh Allah SWT daripada kalangan 36,600 jemaah haji Malaysia untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini," katanya.  Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Keraian Bakal Haji 2025 yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading, di sini , baru-baru ini. Ridzuan juga mengingatkan agar para jemaah haji sentiasa menjaga niat sepanjang berada di Tanah Suci, beribadat semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT. “Jauhkanlah dari sifat ingin menonjolkan diri, menunjuk-nunjuk, atau berbangga dengan amalan yang kita lakukan. Sebaliknya, kita perlu mengamalkan sifat tawaduk, bersabar atas segala ujian dan cabaran yang dihadapi. “Ringankan tangan untuk membantu saudara-saudara kita yang lain, supaya Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan kesulitan kita ketika berada di sana.  "Semoga semua jemaah haji diberikan kesihatan yang berpanjangan, dipermudahkan segala urusan, dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna dari awal hingga akhir, dan akhirnya memperoleh haji yang mabrur,” ujarnya lagi. Kesemua jemaah haji yang diraikan menerima sumbangan berbentuk Riyal Arab Saudi dan cenderamata. 
30 Apr 25
149
Emy Niar Pecah Dominasi Lelaki, Menyadat Nira
Emy Niar Pecah Dominasi Lelaki, Menyadat Nira
HULU TERENGGANU, 27 April – Emy Niar Zurkanai, 33, ibu muda kepada tiga anak, membuktikan bahawa wanita juga mampu memecah tradisi apabila dia menjadi satu-satunya wanita tukang sadat nira di Kampung Durian Kassim, Hulu Terengganu. Kebolehan tersebut sekaligus menangkis stigma bahawa pekerjaan itu hanya sesuai untuk lelaki. Keinginan untuk membantu suami dalam memenuhi keperluan keluarga mendorong Emy Niar untuk mencuba sesuatu yang baru – menyadat nira. Walaupun kerja ini lebih sering dianggap tugas lelaki, dia tidak berputus asa dan mempelajari teknik-teknik penting untuk menjadi tukang sadat nira yang mahir. "Saya mula-mula ragu-ragu, tetapi demi keluarga, saya tekad untuk mendalami bidang ini. Saya percaya wanita juga mampu berjaya dalam pekerjaan yang menuntut kekuatan fizikal dan ketekunan," katanya penuh semangat. Meskipun kerja menyadat memerlukan keberanian tinggi serta risiko keselamatan, Emy Niar tidak gentar. Dengan bantuan suami yang berpengalaman, ibu mudah itu mempelajari teknik memanjat, menyadat dan menguruskan air nira yang mudah rosak sekiranya tidak dikendalikan dengan betul. "Mula-mula memang rasa takut, terutama ketika perlu berdiri di atas tangga dengan keadaan tanah yang tidak sekata, tetapi saya percaya dengan latihan dan berhati-hati, semua orang boleh melakukannya.  "Pada peringkat awal penglibatannya, Emy Niar mengakui sering menerima keraguan mengenai kemampuan seorang wanita untuk melakukan kerja-kerja berat ini. Namun, sejak kecil, Emy Niar memang seorang yang lasak, jadi dia tidak mudah patah semangat. "Ada yang mempertikaikan kemampuan saya sebagai wanita untuk melakukan kerja kasar seperti ini. Namun, saya abaikan sahaja. Saya percaya, dengan usaha dan niat yang ikhlas, segala cabaran boleh diatasi," tambahnya. Setiap hari, Emy Niar akan memanjat antara 20 hingga 25 batang pokok kelapa bermula seawal 8 pagi. Menurutnya, kerja menyadat bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal, malah ketelitian dalam menjaga kualiti nira. "Kalau lambat kutip, nira akan menjadi masam. Kalau tidak bersih, orang tidak mahu beli. Jadi saya jaga semua itu sebaik mungkin," jelasnya. Selain menjual nira segar, Emy Niar turut menghasilkan produk hiliran berasaskan nira seperti kopi nisan dan nisan nira, yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan tetap dan pengunjung luar kawasan. Usaha gigih Emy Niar nyata membuahkan hasil lumayan apabila beliau dan suami kini mampu memperoleh pendapatan sekitar RM18,000 sebulan, dan angka itu boleh mencecah RM30,000 sebulan pada bulan Ramadan berikutan peningkatan permintaan terhadap produk nira. Kini, hasil titik peluhnya bukan sahaja menjana pendapatan yang stabil, malah turut membuka mata penduduk setempat bahawa wanita juga berupaya memikul tanggungjawab berat dalam bidang kerja tradisi. Emy Niar kini menjadi lambang kekuatan wanita luar bandar, membawa inspirasi bahawa semangat tidak mengenal batasan jantina mahupun tradisi. Beliau yakin bahawa dengan usaha dan semangat, tiada pekerjaan yang mustahil untuk wanita. Pesanannya kepada golongan muda, terutamanya wanita, adalah agar tidak malu untuk menceburi bidang ini. "Selain memberi sumbangan kepada warisan tradisi, ia juga menawarkan potensi pendapatan yang lumayan jika dilakukan dengan penuh komitmen dan usaha," jelasnya. Dengan keyakinan itu, Emy Niar berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk menceburi bidang penyadatan nira, memastikan warisan ini terus hidup dan berkembang. "Saya mahu buktikan bahawa tidak ada halangan bagi wanita untuk berjaya dalam bidang ini," katanya penuh yakin.
27 Apr 25
283
Lebih 5,000 Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kijal
Lebih 5,000 Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kijal
KEMAMAN, 23 April - Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang berlangsung di Kompleks Paya Lasir semalam mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 5,000 orang hadir memeriahkan suasana. Pengarah Program, Aliy Zainal Abidin Hazri berkata, orang ramai mula hadir seawal jam 8.30 pagi bagi menikmati pelbagai juadah yang disediakan. Menurutnya, turut diadakan ialah agihan duit raya kepada kanak-kanak dari Sekolah Rendah dan PASTI sekitar DUN Kijal. “Petugas terdiri daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Unit Dewan Mengundi (UDM) setiap kawasan DUN Kijal, warga kerja Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) serta para sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. “Terima kasih kepada semua yang hadir. Sambutan sangat hangat dan meriah. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan. Majlis turut diserikan dengan kehadiran ADUN Kijal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris selaku tuan rumah. Turut hadir memeriahkan majlis wakil Ahli Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh, Senator, Che Alias Hamid, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta ramai lagi. Aliy berkata, ‘Photobooth Teratak Kijal’ juga menjadi tarikan utama, merakam detik-detik ceria pengunjung yang tidak melepaskan peluang bergambar dalam suasana Aidilfitri yang penuh meriah dan mesra rakyat. “Alhamdulillah, majlis yang berlangsung seawal jam 10.30 pagi itu berakhir kira-kira jam 3 petang dengan penuh kemeriahan. Jumpa lagi tahun depan, insya-Allah,” ujarnya.  
23 Apr 25
162
Pasar Pengkalan Berangan ‘Hidup’ Dengan Adanya Medan Ilmu
Pasar Pengkalan Berangan ‘Hidup’ Dengan Adanya Medan Ilmu
MARANG, 23 April – Pasar Pengkalan Berangan berupaya menjadi medan ilmu bagi pendakwah mendekati masyarakat untuk menyebarkan ajaran Islam secara santai. Melalui program berkala ‘Medan Ilmu Pengkalan Berangan’, ia bukan sahaja bertindak sebagai platform menyatukan kelompok masyarakat, tetapi dalam masa yang sama membolehkan orang ramai yang membeli dan berjualan mendengar pengisian rohani. Bagi Noor Rozali Jusoh yang telah lima tahun berniaga di pasar berkenaan mengakui, Pasar Pengkalan Berangan dilihat 'hidup' setelah adanya Medan Ilmu Pengkalan Berangan. “Ia biasanya diadakan sebulan sekali (minggu ketiga) iaitu pada hari Selasa, jika hari biasa tidak ramai pengunjung tetapi pada hari yang diadakan program medan ilmu ramai yang datang. “Secara tidak langsung ia turut membantu peniaga di sini apabila ramai yang membeli jualan mereka, bagi saya memang bagus buat program sebegini, kalau buat seminggu sekali pun lagi bagus,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Medan Ilmu Pengkalan Berangan yang disampaikan oleh Pengarah Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT), Zulkhairi Ngah, semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong. Sementara itu seorang pengunjung, Awang Botok turut menyokong sekiranya program berkenaan diadakan lebih kerap.  “Program medan ilmu ini kalau boleh seminggu sekali, atau dua minggu sekali dalam sebulan. "Jadi peniaga pun suka bila tengok ramai orang datang membeli jualan mereka, kalau sebulan sekali ni kita pun kadang-kadang tak ingat, kalau tak tengok WhatsApp jadi tak tahu,” ujarnya.
23 Apr 25
284
“Mak Lebih Penting” – Nor Ain Pulang Tinggal Kerjaya Jaga Ibu
“Mak Lebih Penting” – Nor Ain Pulang Tinggal Kerjaya Jaga Ibu
KEMAMAN, 23 April – Dua beradik di Kampung Lubuk Lesung, Kijal sanggup berhenti kerja demi menjaga ibu mereka, Rosila Noor, 54, yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima. Rosila yang juga seorang ibu tunggal, kini bergantung sepenuhnya kepada anak-anak untuk urusan harian selepas disahkan menghidap penyakit kronik itu. Anak ketiganya, Nor Ain Natasha Maae, 24, berhenti kerja sebagai pengasuh di sebuah taska di Seksyen 16, Shah Alam untuk pulang ke kampung menjaga ibunya, terutamanya semasa sesi rawatan cuci darah di hospital. “Saya tak sanggup tengok mak tanggung semua ini seorang diri. Saya ambil keputusan berhenti kerja walaupun kami tak ada pendapatan tetap,” kata Nor Ain Natasha. “Oleh kerana, hanya anak perempuan dibenarkan menemani ibu semasa rawatan, sebab itu dia pulang dan ambil tanggungjawab jaga ibunya," katanya.  Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semasa program Ziarah Prihatin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal semalam. Anak sulung, Ikram Nizam Maae 29, turut berhenti kerja sebagai pekerja pasar raya di Kemaman untuk membantu menjaga ibu mereka di rumah. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Mohd Amirudin Zakaria, mereka ada tanggungan tiga lagi adik beradik mereka yang masih belajar. “Dua orang di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan seorang lagi di tahun lima Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kijal. “Pihak JPKK Lubuk Lesung akan terus memantau keadaan keluarga ini dan akan menyalurkan bantuan yang sewajarnya dari semasa ke semasa,” ujarnya.
23 Apr 25
132
Terengganu Yakin Mampu Capai Sasaran 8.5 Juta Pelancong Tahun Ini
Terengganu Yakin Mampu Capai Sasaran 8.5 Juta Pelancong Tahun Ini
KUALA NERUS, 22 April - Kerajaan negeri meletakkan sasaran 8.5 juta pelancong berkunjung ke Terengganu sepanjang tahun ini dan yakin mampu mencapai sasaran tersebut dengan pelbagai program yang telah dirangka. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, suku pertama tahun ini telah berjaya mencatat kehadiran 2.1 juta pelancong walaupun Terengganu berhadapan dengan cabaran musim Monsun Timur Laut serta beberapa destinasi pantai peranginan yang masih belum dibuka sepenuhnya. "Tahun lalu, kita telah meletakkan sasaran sebanyak 4.5 juta pelancong ke Negeri Terengganu dan kita berjaya mencatatkan kehadiran 7.8 juta pelancong, jauh melepasi sasaran yang ditetapkan, ini adalah petanda yang sangat positif. "Bagi memastikan industri pelancongan Terengganu terus berkembang secara mampan dan kekal kompetitif, kerjasama erat antara semua pihak termasuk Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, NGO, serta para penggiat industri adalah amat penting," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Terengganu 2025 di Raia Hotel & Convention Centre, semalam. Turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy. Sementara itu, mengulas mengenai progam tersebut Sulaiman berkata, ia secara tidak langsung membuka ruang kepada semua pihak bagi mendengar pandangan serta cadangan daripada pemain industri dengan tujuan penambahbaikan dan perancangan masa hadapan.     
22 Apr 25
349
10,000 Hadir Memeriahkan Majlis Raya Hulu Besut
10,000 Hadir Memeriahkan Majlis Raya Hulu Besut
HULU BESUT, 20 April — Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dewan Terbuka Dato' Seri Haji Idris Jusoh, Kampung Darau semalam mencatatkan kehadiran luar biasa dengan 10,000 pengunjung membanjiri lokasi sejak awal majlis sekali gus memeriahkannya.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,  Mohd Husaimi Hussin menyifatkan sambutan kali ini sebagai bukti semangat perpaduan dan kekeluargaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat setempat. “Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa daripada masyarakat Hulu Besut. Ini jelas menunjukkan semangat perpaduan yang sangat kuat dalam komuniti kita, "ujarnya ketika ditemui pemberita pada majlis tersebut, di sini, semalam.  Mengulas lebih lanjut katanya, majlis telah diserikan dengan pelbagai juadah istimewa. "Disediakan oleh para petugas, termasuk kambing golek, gulai kawah, ayam golek, nasi dagang dan sate yang mendapat pujian ramai," jelasnya.  Dalam pada itu, turut mencuri tumpuan katanya, ialah Pertandingan Khemah tercantik bertemakan Pesta Lampu, yang menyaksikan UDM Darau dinobatkan sebagai juara "Diikuti UDM Felda Tenang dan UDM Lubuk Kawah di tempat kedua dan ketiga. Semua penyertaan lain turut menerima sagu hati," katanya.  Tambah beliau, antara detik paling menggembirakan baginya ialah apabila beliau berpeluang menyerahkan duit raya kepada anak-anak yang hadir, bersama ibu bapa tercinta. Turut menyerikan majlis ialah  persembahan live band yang memainkan lagu-lagu raya dan nostalgia, serta pertunjukan bunga api yang memukau dan menambah kemeriahan sambutan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini dan berharap semangat kekeluargaan yang terpancar akan terus mekar dalam masyarakat Hulu Besut. “InsyaAllah, kita akan terus bersama membina Hulu Besut yang lebih cemerlang dan harmoni. Terima kasih atas sokongan anda semua,” ujar beliau. 
20 Apr 25
227