Artikel "Kesihatan" Terkini
Lakukan Kit Ujian Kendiri Sebelum Balik Kampung - KJ
PUTRAJAYA, 6 Oktober - Rakyat Malaysia yang berhasrat pulang ke kampung atau melakukan ziarah bertemu keluarga apabila rentas negeri dibenarkan disaran untuk melakukan kit ujian sendiri.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, endemik nanti akan menjadi cabaran buat kerajaan kerana sekatan jalan raya dan langkah memastikan setiap individu divaksinasi tidak lagi dijalankan.
"Kini tanggungjawab dan tingkah laku bergantung kepada individu itu sendiri. Saya percaya kita dapat menghadapi cabaran ini dalam #ReopeningSafely.
"Sekiranya ingin pulang ke kampung dan bertemu dengan golongan berusia, lakukan kit ujian kendiri Covid-19 (RTK) air liur, ini kerana keselamatan mereka perlu dijaga," ujarnya melalui ciapan di Twitternya hari ini.
Khairy berkata, hanya tinggal 1.6 peratus sahaja lagi mereka yang masih belum divaksin untuk mencapai 90 peratus kadar vaksinasi.
"Kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah beralih ke ujian simptomatik. Kami meminta orang yang berada dalam persekitaran dan bertemu dengan orang ramai atau mobiliti tinggi untuk melakukan ujian secara berkala," katanya.
Terdahulu laman web COVIDNOW merekodkan sebanyak 20,698,852 atau 88.4 peratus populasi dewasa di Malaysia sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin manakala 94.5 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memutuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik kelonggaran rentas negeri akan dibenarkan apabila telah mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.
06 Oct 21
860
Hospital KTS Kini Berwajah Baru
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTSH) telah tampil mengumumkan pelancaran identiti baharu, termasuk logo Syarikat dan nama berdaftar di bawah KMI Kuala Terengganu Medical Centre atau Pusat Perubatan KMI Kuala Terengganu.
Pengurus besarnya, Salina Long berkata, ini adalah langkah evolusi berterusan untuk memperkukuhkan jenama Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) dan hospitalnya sebagai sebuah kumpulan.
"Logo yang diperbaharui menggambarkan pendekatan dan cita-cita baru bahawa kesihatan dan kesejahteraan pelanggan akan sentiasa menjadi keutamaan kami. Dengan visi menjadi penyedia pilihan penjagaan kesihatan yang dipercayai, kami menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan buat seluruh lapisan masyarakat.
"Mulai tahun ini, penampilan baru KMI Kuala Terengganu akan dipamerkan di premis, cagaran, laman web, dan aplikasi mudah alih ketika dalam fasa peralihan secara berperingkat kepada identiti baru kami," katanya.
Pihaknya menghargai sokongan berterusan daripada dalam dan luar negeri dalam terus maju untuk meningkatkan perkhidmatan dan memberikan penjagaan berkualiti yang menjamin kesihatan dan keselamatan pesakit jagaan KMI KTMC.
06 Oct 21
5503
KMI Tandatangani Perjanjian Perolehi Tawau Specialist Hospital
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (“KMI Healthcare”) melalui anak syarikat milik penuhnya, KMI Tawau Medical Centre Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian bagi pemerolehan operasi Tawau Specialist Hospital (TSH).
Perjanjian itu juga meliputi penyewaan bangunan milik TSH SDN Bhd dengan nilai RM8 juta melalui majlis menandatangani perjanjian itu yang telah diadakan di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, kelmarin.
Pengerusi KMI Healtcare, Raja Dato' Haji Idris Raja Kamaruddin berkata bangunan baru yang sedang dalam pembinaan itu akan siap menjelang suku pertama 2024 dan ia turut memperkenalkan beberapa perkhidmatan pakar residen baru.
"Seperti Ortopedik, Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), selain daripada Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G), Pakar Pediatrik, Pakar Bedah dan juga Pakar Perubatan yang telah sedia ada. Mungkin lebih banyak klinik pakar akan diperkenalkan. Kami menjemput dan mengalualukan lebih banyak doktor pakar untuk meneroka Timur Sabah.
“Pada masa ini terdapat empat hospital lain di bawah KMI Healthcare iaitu KMI Kuala Terengganu Medical Centre, sebelum ini dikenali sebagai Kuala Terengganu Specialist Hospital, KMI Kuantan Medical Centre, KMI Kelana Jaya Medical Centre dan KMI Taman Desa Medical Centre," ujarnya.
Katanya, dengan kekuatan yang dimiliki dijangka akan menarik lebih ramai orang dan dapat melayani pelanggan sedia ada dengan lebih baik terutamanya di Borneo Sabah.
"Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat dalam strategi pengembangan ‘brownfield’ nya dan mempelbagaikan lagi operasi perniagaan di negeri lain di Malaysia.
"Kami terbuka untuk bekerjasama dengan pakar industri dan pembekal penjagaan kesihatan yang turut sama berdedikasi dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti,” ujarnya lagi
Melalui pemerolehan tersebut katanya, TSH akan ditukar nama kepada KMI Tawau Medical Centre (“KMI Tawau”).
"Penjenamaan semula ini merupakan sebahagian dari program transformasi menyeluruh yang akan dilakukan oleh KMI Healthcare untuk KMI Tawau, yang akan diikuti dengan pengembangan kapasiti kepada 76 katil melalui pembangunan enam tingkat bangunan bagi memenuhi permintaan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan di kawasan ini dan sekitarnya.
"Perjanjian yang ditandatangani ini terdiri daripada Perjanjian Pemindahan Perniagaan dan Perjanjian Sub-Sewa di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk pemindahan sepenuhnya operasi TSH dan asetnya kepada KMI Healthcare.
"Melalui Perjanjian Sub-Sewa tersebut, KMI Healthcare akan menyewa tanah dan bangunan hospital dari TSHSB untuk jangka masa 30 tahun,15 tahun dan boleh diperbaharui selama 15 tahun lagi," ujarnya.
02 Oct 21
1750
35 Kes Meninggal Luar Hospital Di Terengganu Akibat COVID-19
SETIU, 29 September – Sehingga kini, Terengganu mencatatkan 35 kematian akibat COVID-19 di luar hospital dan institusi kesihatan (BID) atau sebelum bantuan perubatan secara khusus diberi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kebanyakan kes kematian di luar hospital tersebut berlaku akibat sesetengah masyarakat lewat ke hospital dan mendapat rawatan setelah terkesan teruk akibat virus itu.
“Bila sudah tenat baru pergi hospital, COVID-19 ini penyakit baharu dan simptomnya boleh datang tiba-tiba seperti sesak nafas kerana saluran penafasan diserang wabak.
“Kebanyakan golongan yang kehilangan nyawa akibatnya belum divaksin serta komorbid (berpenyakit kronik) seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya,” katanya ketika ditemubual pemberita semalam.
Beliau menasihati agar masyarakat tidak mengambil mudah simptim COVID-19 dan segera ke institusi kesihatan bagi mendapat ujian saringan.
“Jika anda mengalami tanda-tanda atau gejala, buat ujian saringan dahulu, jika didapati positif maka rawatan segera boleh diambil. Jika tidak ia akan berpotensi untuk menjadi pesakit COVID-19 tahap 4 dan 5 (kritikal).
“Jika anda telah menerima suntikan dua dos, maka kemungkinan untuk diselamatkan adalah tinggi,” katanya lagi.
Kes BID direkodkan sebagai kes baru dan kematian baru secara serentak.
29 Sep 21
1968
1,987 Pelajar DUN Bukit Besi Antara Terawal Terima Vaksin
Oleh : Amiruddin Zamri
DUNGUN, 27 September- Seramai 1,987 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi antara yang terawal menerima suntikan vaksin bagi daerah ini melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.
Program yang menyasarkan pelajar sekolah tingkatan satu hingga lima itu diadakan di empat buah sekolah harian iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian MAS seramai 504, SMK Bukit Besi melibatkan seramai 924 pelajar, SMK Jerangau pula seramai 372, manakala SMK Kuala Jengal pula membabitkan pelajar seramai 186 orang.
Pegawai Penyelaras DUN tersebut, Ghazali Sulaiman berkata program yang dijalankan tersebut mampu memastikan para pelajar telah lengkap menerima dua dos vaksin sebelum bermula persekolahan.
"Alhamdulillah para ibu bapa memberi sambutan yang sangat baik, dan pihak guru juga telah memainkan peranan dengan baik, mereka telah bertindak sebagai petugas secara suka rela memastikan program ini berjalan lancar.
"Ia bertujuan bagi memastikan proses pembelajaran nanti akan dapat dilangsungkan dalam suasana yang baik serta selamat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke sekolah yang terbabit dengan program berkenaan, pada hari ini.
Katanya lagi, program berkenaan dilaksanakan selama dua hari bermula semalam dan berakhir pada hari ini.
"Semoga semua pelajar kita ini akan dapat menempuhi suasana pembelajaran yang baik apabila sekolah dibuka nanti serta akan dapat memberikan tumpuan terhadap pelajaran mereka tanpa mengalami sebarang masalah," ujarnya lagi.
27 Sep 21
343
Gelandangan Di Kuala Terengganu Terima Vaksin COVID-19
KUALA TERENGGANU, 27 September – Golongan gelandangan di sekitar daerah ini menerima suntikan vaksin semalam dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md. Noor berkata, hampir 20 gelandangan termasuk yang menghidap masalah mental telah disuntik dos pertama.
“Antara lokasi tumpuan adalah di Terminal Bas Express Kuala Terengganu, Stesen Bas Tanjung dan Kuala Terengganu Waterfront di Jalan Bukit Balik.
“Pelaksanaan ini disambut baik melibatkan penyertaan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan seperti Kementerian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis, Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) serta Persatuan Komuniti Sosial Negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program vaksinasi orang gelandangan di Terminal Bas Express Kuala Terengganu, semalam.
Tambah Zuraida, inisiatif seumpama itu perlu diadakan secara berkala kerana masih ramai lagi golongan gelandangan yang belum disuntik kerana sukar dijejaki.
“Projek ini amat bagus dalam mencapai sasaran semua rakyat Malaysia menerima suntikan vaksin termasuk golongan kurang bernasib baik,” katanya lagi.
Sementara itu, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed menjelaskan walaupun sasaran asal 14 orang namun pada malam itu pihaknya berjaya menyantuni 18 gelandangan.
“Insya-Allah akan diteruskan lagi kerana gelandangan negeri Terengganu berlainan dengan bandar besar kerana kebanyakkan mereka sudah mempunyai rumah sendiri.
“Walaupun jumlah sedikit, namun kerjasama baik bersama golongan sasar ini amat baik dalam menerima dos suntikan tanpa sebarang masalah,” katanya lagi.
Untuk pengetahuan, selain orang gelandangan, usaha pemvaksinan di Terengganu turut melibatkan golongan sasar lain seperti penghuni Penjara Marang dan Orang Asli di sekitar negeri.
27 Sep 21
542
Ibu Bapa Perlu Beri Kebenaran Anak Ambil Vaksin
DUNGUN, 26 September - Ibu bapa dinasihatkan agar membenarkan anak-anak mereka yang akan mula menjalani sesi persekolahan secara bersemuka untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata ia adalah penting bagi memastikan pelajar berkenaan dapat mengikuti semula pembelajaran dengan selamat.
"Saya menerima laporan bahawa terdapat beberapa pelajar menolak untuk divaksin kerana tidak mendapat kebenaran daripada ibu bapanya. Saya amat mengesyorkan para pelajar ini dapat belajar secara terus bersemuka dengan guru.
"Barulah ilmu itu akan lebih jelas difahami. Saya mengharapkan agar semua pihak terutamanya ibu bapa kepada pelajar ini memberikan kerjasama, demi kebaikan anak-anak pelajar ini," ujarnya melalui suatu kenyataan di media sosialnya, semalam.
Terdahulu Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan sedang meneliti dan menilai langkah yang sesuai untuk pelajar sekolah yang enggan atau tidak mendapat kebenaran ibu bapa untuk menerima vaksin berkenaan sepertimana guru yang enggan menerima suntikan tersebut.
Menurut Timbalan Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada 18 September yang lalu dilaporkan Berita Harian sebagai berkata pihak sekolah akan berusaha memujuk ibu bapa agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan keadaan selamat.
Pengerusi Pasukan Bertindak imunisasi Covid-19 itu juga berkata, proses vaksinasi akan dilaksanakan di premis masing-masing bagi sekolah yang mempunyai lebih 1,000 pelajar manakala sekolah yang mempunyai pelajar kurang daripada jumlah tersebut akan disatukan bersama empat atau lima sekolah lain.
26 Sep 21
286
Vaksin COVID-19 : Empat Penemuan Baharu
KUALA TERENGGANU, 26 September – Suntikan vaksin COVID-19 yang lengkap dibuktikan dapat mencegah beberapa perkara berdasarkan empat aspek kajian dijalankan bermula 1 April sehingga 12 September melibatkan 14,500,984 individu lengkap vaksinasi.
Menurut KKM, kajian itu membuktikan pengambilan vaksin COVID-19 dengan dos lengkap adalah 83 peratus berkesan dalam mencegah kemasukan ke ke unit rawatan rapi (ICU) dan 88 peratus berkesan dalam mencegah kematian.
“Selain itu, pengambilan dua dos suntikan 88 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan serta 86 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan bergejala,” katanya menerusi hantaran di Twitter, kelmarin.
Katanya, analisis tersebut dijalankan Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines di bawah PICK (RECoVaM) dan diterajui Institut Penyelidikan Klinikal (ICR-NIH) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Daripada lebih 14.5 juta individu lengkap vaksinasi itu, 953 orang atau 0.0066% dimasukkan ke ICU manakala 1,445 atau 0.010 peratus kematian.
“Majoriti individu lengkap vaksin yang dimasukkan ICU dan kematian adalah warga emas dan mempunyai komorbid.
Dalam pada itu, AstraZeneca menunjukkan bilangan kes ICU dan kematian yang lebih rendah.
“Ini kerana bilangan penerima dos lengkap vaksin itu yang sedikit berbanding vaksin Pfizer dan Sinovac serta sebahagian besar penerima vaksin itu adalah golongan muda,” katanya lagi menerusi webinar dibentang oleh Pengarah ICR-NIH, Dr. Kalai Peariasamy.
Berdasarkan Laman web rasmi kerajaan Malaysia untuk data dan analisa tentang COVID-19, Terengganu telah mencapai kadar vaksinasi lengkap bagi dewasa lebih 80 peratus dengan 91 peratus lagi sekurang-kurangnya disuntik satu dos.
26 Sep 21
1400
Lebih 93 Ribu Remaja Terengganu Layak Divaksin
KUALA TERENGGANU, 12 September – Seramai 93,262 remaja di negeri ini telah dikenalpasti layak untuk diberikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang akan dijalankan di sekolah-sekolah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, tarikh bagi pelaksanaan vaksinasi tersebut bergantung kepada petanda awalnya iaitu selepas kadar peratusan populasi dewasa lengkap divaksinasi mencapai 80 peratus pada minggu akhir bulan September.
“Keputusan kerajaan untuk melengkapkan pemberian vaksin dewasa terlebih dahulu, jika kita melepasi petanda 80 peratus itu, maka MOSTI akan berkomunikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan melancarkan gerak kerja seawal mungkin.
“Untuk makluman, Terengganu telah berjaya mencapai kadar peratusan vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa melebihi 66.73 peratus pada 10 September 2021. Sementara itu, lebih 90.03 peratus daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya dos satu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program vaksinasi ‘Outreach’ di Taman Desa Paloh, pagi tadi.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dato' Dr Kasemani Embong dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.
Tambahnya, berdasarkan pembentangan pemantauan pengedaran vaksin COVID-19 semasa Mesyuarat CITF, Terengganu bakal menerima bekalan vaksin sebanyak 643,187 ribu dos sepanjang bulan September ini.
Terdahulu, PICK akan memulakan vaksinasi mengikut keutamaan iaitu remaja (12 hingga 17 tahun) yang mempunyai masalah penyakit kronik, diikuti individu remaja (12 hingga 17 tahun) tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan umur, kata Menteri Penyelarasnya Khairy Jamaluddin.
12 Sep 21
410
Malaysia Semakin Hampir Capai Imuniti Kelompok
KUALA TERENGGANU, 10 September - Usaha kerajaan Malaysia melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai imuniti kelompok semakin membuahkan hasil menjelang tempoh sasaran pertengahan Oktober nanti.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ini berdasarkan data semasa dan kadar purata vaksinasi harian sepanjang Ogos lalu ialah sebanyak 464,933 dos sehari.
"Melihat kepada pencapaian ini, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) optimis usaha PICK sedang berjalan mengikut landasan dan perancangan ditetapkan untuk mencapai 'herd immunity' sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.
"Sudah tentu kadar vaksinasi ini akan berlaku pengurangan apabila kita telah mencapai 70 peratus populasi dewasa untuk dos kedua. Begitu juga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan ditutup selaras keperluan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber dan mengurangkan perbelanjaan kos untuk PICK ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika dihubungi pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Sehubungan dengan itu katanya, jika tiada sebarang gangguan terhadap bekalan vaksin, proses vaksinasi di seluruh negara akan dapat diselesaikan menjelang bulan hadapan.
Mengenai perkembangan terkini katanya, setakat jam 10 pagi tadi, sebanyak 90.1 peratus daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala 7.3 peratus telah lengkap divaksinasi.
"Bagi keseluruhan populasi, sebanyak 64.6 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos bersamaan 21,082,152 orang dan 51.1 peratus pula telah lengkap menerima vaksin dengan jumlah seramai 16,680,780 orang," ujarnya.
Justeru katanya, kerajaan bersedia mengumumkan beberapa kelonggaran berdasarkan data vaksinasi terkini.
"Begitu juga mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara. Sebagaimana arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari pertama. Insya-Allah bagi kementerian MOSTI, banyak agenda dan insiatif yang telah kita rencanakan.
"Antara tanggungjawab dan agenda utama yang dikendalikan adalah berkenaan pembangunan vaksin ini sendiri. Maka satu strategi nasional akan digerakkan bagi merangka dan melaksanakan pelan tindakan ini," ujarnya lagi.
10 Sep 21
287