Artikel "Kesihatan" Terkini
Terengganu Catat Peningkatan Kemasukan Ke Hospital Akibat Omicron
KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Terengganu merupakan antara 11 negeri yang mencatatkan pola peningkatan kemasukan pesakit ke hospital disebabkan Covid-19 varian Omicron dalam tempoh tujuh hari lalu.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya mencatatkan jumlah tertinggi dengan 16 pesakit baharu dalam tempoh berkenaan, disusuli Melaka (67 peratus), Pulau Pinang (62 peratus), Perak (48 peratus), Sabah (44 peratus), Perlis (38 peratus), pahang (23 Peratus), Kedah (14 Peratus), Sarawak (enam peratus) dan Selangor (lima peratus).
Pertambahan kes baharu di 11 buah negeri tersebut bagaimanapun dilihat belum membebankan sistem kesihatan awam berikutan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) serta pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, masih mencatatkan jumlah penurunan.
Setakat semalam, kadar penggunaan ICU bagi kes di hopital kerajaan seluruh negara adalah pada kadar 52 peratus dan kadar pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan adalah 33 peratus.
Ini menunjukkan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital ketika ini adalah bergejala ringan dan sederhana serta bukan kes serius dalam kategori empat dan lima, berkemungkinan kerana kadar vaksinasi yang dicapai dalam negara pada ketika ini.
Sehingga semalam. 97.9 peratus atau lebih 22.79 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas di Malaysia sudah lengkap divaksin dengan 52.6 peratus atau lebih 12.3 juta penduduk dewasa sudah menerima dos penggalak.
Manakala 88.7 peratus atau lebih 2.79 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah lengkap menerima vaksin.
06 Feb 22
1173
MISZ Home Sediakan Rawatan Fisioterapi Ke Rumah
KUALA TERENGGANU, 26 Januari - MISZ Home Physiotheraphy (M) Sdn.Bhd menjadi pusat rawatan fisioterapi pertama di negeri ini yang menyediakan perkhidmatan terus ke rumah pesakit dengan menggunakan teknik serta teknologi terkini.
Pengurusnya, Muhammad Izzat Syazwan Zakaria berkata, bertemakan slogan 'kekayaan sebenar adalah kesihatan' MISZ Home menetapkan matlamat untuk membantu seluruh masyarakat dengan rawatan efektif .
"Pihak kami menyediakan rawatan ke rumah bagi memudahkan pesakit terutamanya yang mengalami penyakit strok kerana kita tahu pergerakan mereka sangat terbatas tambahan pula terpaksa menunggu giliran bagi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan
"Kini alhamdulillah dah ramai yang tahu, pada wakanya orang tidak percaya dengan rawatan fisio ini kerana menyangka ia adalah berasaskan rawatan urutan semata-mata, jadi bermula tahun 2017 saya berazam untuk ubah kefahaman masyarakat agar menyakini kaedah seumpama ini.
"Testimoni yang dijalankan terhadap penerima rawatan daripada kalangan pesakit strok, ramai yang tidak boleh bergerak akhirnya dalam masa dua minggu dengan izin Allah boleh berjalan, juga pada tahun 2018 terdapat satu kes bayi yang tidak bergerak, tapi selepas menjalani rawatan ini bayi itu boleh melakukan pergerakan," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di pusat rawatan berkenaan, terletak di Tingkat Bawah Kompleks Perkedaian Permint Harmoni, Jalan Batas Baru, di sini, baru-baru ini.
Mengulas mengenai rawatan yang dijalankan, katanya fisioterapi meliputi pesakit strok, scoliosis, parkinson, sakit sendi serta mereka yang cedera akibat kemalangan dan rawatan kepada kanak-kanak autism, CTEV9 (clubfoot), 'cerebral palsy' dan 'develolment delay'.
"Rehab sukan untuk atlet dan mereka yang aktif dalam sukan ditawarkan rawatan first aider, kecederaan otot akibat sukan, sesi 'recovery', urutan, 'tapping', latihan istimewa sukan dan 'ice bath'. Paling istimewa kami juga menyediakan jururawat peribadi ke rumah dengan menyediakan khidmat cuci luka, mandikan pesakit, tukar tiub makan dan tiub kencing serta sedut kahak pesakit.
"Kami sanggup menyediakan perkhidmatan ke rumah kerana pesakit yang terlantar atau tidak mampu untuk menjalani fisioterapi di hospital dengan harga berpatutan, yang saya boleh bagitahu ialah jika pesakit hendak dibawa ke hospital sewa ambulans dah RM300 pergi balik, dengan harga sebegitu kami boleh menawarkan empat sesi rawatan di rumah.
"Kami juga menyediakan servis tambahan seperti bekam, urutan perubatan, pembetulan tulang, ceramah kesihatan, perhidmatan ambulans dan servis sewa oksigen. Perkhidmatan yang kami jalankan adalah patuh syariah di mana pesakit wanita untuk perawat wanita, manakala pesakit lelaki adalah untuk lelaki. kakitangan kami walaupun masih muda semuanya terlatih dan mempunyai kelayakan serta pengalaman," katanya.
Mengulas mengenai kejayaan yang pernah dicapai katanya, syarikatnya itu pernah memenangi pertandingan 'Khazanah Impact Innovation Challenge (KIIC)'.
"Fokus utamanya ialah pembangunan rumah orang tua dan warga emas menjelang tahun 2050, sebelum ini kita telah berjaya menambat hati juri dengan menunjukkan model bisnes yang kami jalankan ini.
Selain itu katanya, MISZ home bercita-cita besar pada masa akan datang untuk mewujudkan rumah penjagaan orang tua secara swasta dengan menyediakan perkhidmatan yang terbaik.
"Di samping perkhidmatan ini akan dikembangkan di Dungun, Kemaman dan Insya-Allah kita akan buka di Tanah Merah, Kelantan.
"Sebenarnya kita mempunyai perancangan dan strategi yang besar untuk memperkenalkan MISZ Home ini. Kerana itu, kami juga bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjadi penaja acara sukan dan sebagainya, setakat ini kami telah menjadi penaja kepada pasukan ragbi Terengganu, Terengganu Cycling Team (TSG) agar lebih dikenali masyarakat," ujarnya.
26 Jan 22
2241
INSYAAF Bantu Rakyat Hadapi Covid-19 Melalui Teknik Pernafasan
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Total Life EMQR Motivation Academy (TALEMA) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Ihsan Wanita Islam (PERKIWISA) akan mengadakan Simposium Anatarabangsa Nafas (INSYAAF) dengan membawa tema 'Nafas dan Pernafasan' dalam membantu rakyat menghadapi cabaran Covid-19.
Jurulatih Konsultan, Mohd Nor Majnun berkata program peringkat antarabangsa pada 2 Februari itu menyasarkan 5,000 peserta Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Katanya, peserta akan didedahkan mengenai kepentingan nafas dan peranannya dalam melindungi diri, keluarga dan persekitaran terhadap ancaman pandemik.
"Pakar-pakar ini akan berkongsi secara teori dan praktikal tentang teknik pernafasan serta kesan positif yang bakal dialami setelah mengamalkannya di samping para peserta akan mendengar perkongsian pengalaman daripada bekas-bekas pesakit yang telah sembuh setelah mengaplikasikan teknik yang diajar.
"Secara umumnya, Insyaaf akan membantu masyarakat untuk keluar daripada perasaan takut dan trauma terhadap Covid-19 dan menyediakan diri untuk meneruskan kehidupan secara lebih positif dalam persekitaran endemik Covid-19 pada masa akan datang," ujarnya.
Beliau berkata demikian, pada sidang media dalam menghebahkan program berkenaan, di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong, di sini semalam.
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya hadir ke negeri ini dalam rangka kerja mempromosikan dan menyampaikan manfaat Insyaaf yang turut disokong Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dan Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai 'Technical Adocator' untuk Program World Class Wholistic Motivation PSK Edisi khas Covid-19: Kursus Pengenalan Motivasi Menyeluruh di Empat Tahap Dimensi Insan.
"Ia juga turut mendapat kerjasama daripada beberapa pihak diantaranya Pertubuhan Kebajikan Ihsan Wanita Islam Malaysia, Akademi Motivasi 5K dan NEO Wellness Centre," ujarnya.
Katanya lagi, sebelum ini seminar berkenaan telah diadakan sebanyak lima siri sepanjang tahun 2021 iaitu melibatkan negeri Sarawak, Melaka, edisi khas bersama KKM di Johor, serta akan diadakan pula untuk Edisi Pahang pada 22 Januari serta Terengganu pada 29 Januari hadapan.
Tambah beliau, sesiapa yang berminat untuk hadir dan beroleh manfaat daripada program berkenaan boleh menghubungi Pengurus Program, Dr Julia Jamain di talian 012-9782598.
Selain itu ia boleh disertai melalui platform media sosial melalui carian Life Wholistic Motivation melalui Facebook dan Telegram.
Menerusi sidang media tersebut , pihaknya juga menawarkan peluang pekerjaan bagi menjana pendapatan sebagai Coach, motivator, dan Trainer melalui program 'Train Of The Trainer' dengan peluang pendapatan RM5,000 hingga ke RM10,000 sebulan.
20 Jan 22
916
Warga Emas Positif Covid-19 Terlibat Banjir Diberi Rawatan Segera
DUNGUN,19 Disember - Pasangan warga emas, Salleh Che Mat, 70, dan isterinya Tengku Ramlah Tengku Bujang, 56, dari Kampung Minda yang terperangkap dalam banjir dan positif Covid-19 diberi rawatan segera.
Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Jerangau, K.Balu Mahendra berkata, pihaknya mendapat panggilan menyatakan keadaan mangsa yang pada awalnya mengalami gejala serta demam teruk.
"Pada awalnya ingatkan kedua-keduanya telah berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Minda, sebaik saya tiba bersama pasukan saya pada ketika itu turut hadir pada waktu itu anggota polis,Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan juga Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
"Kami segera mendapatkan bantuan masyarakat di sini untuk menyediakan dua buah bot fiber bagi mengangkut pesakit, mengambil masa 10 minit untuk sampai ke kediaman mereka dengan bantuan anggota polis dan APM bagi memudahkan perjalanan kami ke tempat yang sukar dilalui.
"Ketika kami sampai salah seorang mangsa iaitu Pak Salleh berada dalam keadaan sejuk dan terketar-ketar, saya segera membuat pemeriksaan awal ke atas pesakit tersebut.
"Selepas mendapati keduanya positif segera dibawa keluar dari kawasan terbabit, serta mangsa dibawa segera menaiki ambulan untuk dihantar ke klinik dan bagi mendapatkan pemeriksaan selanjutnya kemudiannya telah dibawa ke pusat kuarantin (PKRC)," ujarnya
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, pada hari ini.
Katanya, walaupun terpaksa berhadapan risiko dan kesukaran dalam operasi membantu warga emas berkenaan, pihaknya tetap bertanggungjawab menyelamatkan anggota masyarakat bagi menghalang jangkitan merebak.
"Itu lebih utama bagi saya, saya juga mengambil kesempatan bagi menasihatkan masyarakat sekiranya berlaku perkara sebegini segera buat laporan dan panggilan kecemasan. Amalkan penjarakkan sosial,basuh tangan sentiasa serta ikuti segala arahan serta Prosedur operasi Standard (SOP) sebagaimana yang telah diarahkan," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pertahanan Awam daerah, LT.(PA) Mohd Jeffri Johari berkata dalam hal membabitkan pesakit yang bergejala, PPS khas telah disediakan oleh kerajaan.
"Oleh itu adalah penting supaya semua mangsa mengambil sikap untuk sentiasa berjaga-jaga sebagai langkah keselamatan, apabila bergejala elakkan dari berjumpa dengan orang ramai supaya tidak menjadi penyebab kepada tersebarnya virus covid-19 ini," ujarnya.
19 Dec 21
268
Pegawai Aids JKNT Terima Anugerah Bantu Pesakit HIV
Kredit foto : Shafwan Zaidon
KUALA LUMPUR, 12 Disember - Pegawai Aids Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Mahani Nordin menerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-Malaysian AIDS Foundation (MAF) atas sumbangannya dalam membantu masyarakat Terengganu terhadap HIV dan Aids.
Beliau merupakan pengasas bersama organisasi berasaskan komuniti, Komuniti Cakna Terengganu (KCT), sebuah organisasi berasaskan komuniti yang menyediakan khidmat pengurangan bahaya kepada bekas pengguna dadah serta rawatan, penjagaan dan sokongan kepada orang yang hidup dengan HIV.
Antara jasanya terhadap golongan tersebut seperti menyumbang seluas satu ekar kepada KCT bagi pembinaan rumah perlindungan untuk membantu mereka pulih dan berintegrasi kembali ke dalam masyarakat.
Dr Mahani berkata, beliau amat berbesar hati dengan pengiktirafan itu dan berterima kasih atas perhatian dalam usaha membantu golongan sasar di Terengganu.
“Pemberian ini memang tidak dijangka. Pada mulanya, saya tidak tahu bahawa akan ada anugerah tahun ini sehingga beberapa rakan dan rakan sekerja saya mencalonkan saya.
"Saya hanya melakukan kerja saya, walaupun saya tahu bahawa ia di luar skop kerja saya tetapi bagi saya, ia amat penting, dan saya tidak menjangkakan akan mendapat anugerah hasil daripada usahanya," katanya sepertimana dilaporkan Malay Mail.
Katanya yang juga antara tiga finalis anugerah tersebut, semangat untuk membantu komuniti HIV bermula pada 2008 ketika membimbing sekumpulan remaja berisiko di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu.
"Namun, masalah masyarakat kita ialah, apabila kita melihat anak-anak ini menuju ke arah yang salah, kita membuang mereka.
"Jadi, tiada sesiapa di sana untuk menyelamatkan mereka walaupun mereka masih boleh diselamatkan,” ujarnya.
Pada mulanya, KCT memberi tumpuan kepada pelbagai program pencegahan dan pengurangan bahaya HIV seperti program pertukaran jarum dan program penyelenggaraan metadon.
Pada tahun 2010, KCT dengan pembiayaan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya membuka rumah perlindungan mereka untuk penghidap HIV di tanah Dr Mahani seluas satu ekar di Hulu Terengganu.
Ladang komuniti di rumah perlindungan Komuniti Cakna Terengganu untuk penghidap HIV. — Gambar ihsan Dr Mahani Nordin
Jelasnya, KCT kini mempunyai sejumlah empat rumah perlindungan di Hulu Terengganu, tiga untuk lelaki yang menghidap HIV manakala satu lagi untuk wanita dan kanak-kanak yang menghidap HIV.
“KCT bersama penghuninya juga telah berjaya menjadikan sebidang tanah kecil di situ sebagai ladang komuniti yang membolehkan penduduk mencari rezeki melalui perusahaan sosial.
“Pihak kami turut bekerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu untuk menetapkan tanah seluas tujuh ekar untuk mengembangkan usaha KCT dan mewujudkan rumah serta kemudahan untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak yang menghidap HIV/AIDS," katanya.
Pegawai AIDS itu disampaikan hadiah wang tunai RM20,000 serta trofi kristal rekaan khas oleh Sunway Group dan sijil kecemerlangan di MAF Red Ribbon Gala dan Sunway–MAF Tun Dr Siti Hasmah Award 2021 yang berlangsung di Hilton Kuala Lumpur.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Pengerusi MAF Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Penaung MAF Datin Paduka Marina Mahathir serta Pengasas Kumpulan Sunway Tan Sri Jeffrey Cheah.
14 Dec 21
512
Terengganu Catat Penggunaan Katil Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan Terengganu mencatatkan penggunaan katil tertinggi iaitu 67 kes atau 86 peratus.
Ia diikuti kedah (43 kes atau 80 peratus), Kelantan (97 kes atau 79 peratus), Melaka (22 kes atau 78 peratus) dan Johor 72 peratus.
Berdasarkan laman sesawang COVIDNOW, penggunaan katil di wad ICU di seluruh negara adalah 58.6 peratus atau 437 orang dengan 39.2 peratus pesakit.
Daripada jumlah itu, 197 pesakit berkenaan memerlukan alat bantuan pernafasan dan 240 lagi tidak memerlukannya.
Sementara itu bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital adalah seramai 1.036 orang, merangkumi 36 peratus, berbanding kadang penggunaan katil keseluruhan kira-kira 67.6 peratus.
KKM turut melaporkan 66 kematian baharu akibat jangkitan wabak berkenaan sehingga tengah malam tadi, sembilan daripada 66 kematian tersebut dilaporkan berlaku di luar hospital (BID) menjadikan seramai 6,126 terkorban.
Laman web terbabit turut mengesahkan terdapat 60,411 kes aktif di seluruh negara, dan daripada jumlah berkenaan seramai 49,279 individu atau 81.6 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah.
08 Dec 21
181
Wanita Terengganu Antara 43 Individu Di Dunia Berdarah Emas
KUALA TERENGGANU, 1 Disember – Seorang wanita Terengganu tergolong dalam 43 individu yang mempunyai darah paling sukar ditemui di dunia atau berdarah emas.
Menurut Perkhidmatan Tabung Darah Negeri Terengganu, wanita tersebut diklasifikasikan sebarah penderma darah Rhnull.
“kelompok ini paling sukar ditemui di dunia dan setakat ini hanya ada 43 orang sahaja di seluruh muka bumi mempunyai kumpulan darah tersebut. Di Malaysia, hanya beliau seorang setakat ini.
“Darah yang didermakan akan dihantar ke Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur untuk disejuk bekukan dan seterusnya akan disimpan dalam peti nitrogen -80 darjah celsius selama 10 tahun.
“Jika ada pesakit yang memerlukan darah jenis ini, maka darah ini akan dicairkan untuk digunakan,” katanya menerusi satu hantaran, baru-baru ini.
Sementara itu, pihaknya turut mengajak seluruh warga agar turut sertai menyumbang darah dalam usaha menyelamatkan mereka yang memerlukan.
Menurut Akademi Sains Australia, orang yang hidup dengan jenis darah ini tidak mempunyai sebarang antigen Rh (protein) pada sel darah merah.
Dilaporkan bahawa kumpulan darah yang jarang ditemui pertama kali ditemui pada wanita Orang Asli Australia pada tahun 1961.
Jarangnya bermakna derma Rhnull amat terhad dan sukar diperoleh apabila individu dengan jenis darah tersebut memerlukan transfusi.
Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan jadual pusat derma darah mengikut daerah, ikuti ‘Derma Darah Terengganu Kite’ di Facebook serta saluran Telegram Derma Darah Terengganu di pautan : https://t.me/DermaDarahTerengganu
01 Dec 21
4331
BAJET 2022 : Terengganu Tawar Khidmat Rawatan Kesihatan Mental Percuma
KUALA TERENGGANU, 15 November - Cakna dengan peningkatan masalah kesihatan mental yang semakin melarat sehingga membawa kepada insiden bunuh diri terutamanya akibat kemurungan dan tekanan perasaan, kerajaan negeri mengumumkan untuk menyediakan khidmat perundingan serta rawatan kesihatan mental secara percuma bagi rakyat Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, khidmat tersebut akan disediakan di hospital di bawah anak syarikat kerajaan negeri dan pusat kaunseling swasta yang terpilih.
"Di samping itu, kempen kesedaran kesihatan mental juga akan dipergiatkan bagi menyemarakkan keprihatinan dan pengetahuan rakyat tentang penyakit mental," katanya.
Beliau berkata, demikian ketika membentangkan Belanjawan 2022 Terengganu Darul Iman di Wisma Darul Iman, hari ini.
15 Nov 21
577
JKNT Keluarkan Kompaun RM18,000 Kesalahan Merokok, Langgar SOP
KUALA TERENGGANU, 2 November - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menerusi ‘Ops Gomo Asap Pagi’ telah mengeluarkan kompaun sehingga RM18,000 dalam sebuah aktiviti penguatkuasaan larangan merokok sertra pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tempat makan.
Pengarah Kesihatan negeri, Dato Dr Kasemani Embong berkata, usaha tersebut dijalankan bagi menyokong Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan peraturan larangan merokok terutama di tempat makan dipatuhi.
“Dengan kelonggaran ekonomi dan aktiviti ‘dine-in’ dibenarkan, masalah merokok di tempat sebegini kembali meningkat dalam negeri.
“Terdahulu, ‘Ops Gomo Asap Pagi’ pada 28 Oktober lalu telah melibatkan 33 anggota dengan 69 premis berjaya diperiksa, 26 kesalahan telah dikesan dan semua kesalahan dikeluarkan kompaun dengan nilai RM6,750.00.
“Pada operasi hari ini, 51 premis melibatkan 47 pegawai penguatkuasa daripada lima daerah telah mengeluarkan lapan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 bernilai RM2,000,” katanya.
Tambahnya, tujuh daripada kesalahan tersebut melibatkan kedai makan dan satu premis yang tiada tanda larangan merokok.
“Kita turut mengeluarkan enam kompaun di bawah pematuhan SOP bernilai RM9,000 di mana kesalahannya seperti pengunjung tidak mengimbas aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka.
“Turut bersama, penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang mengeluarkan satu kompaun (RM250) atas kesalahan berniaga lesen menjadikan jumlah keseluruhan kompaun pagi ini sebanyak RM11,250.
“Penguatkuasaan ini selaras dengan pewartaan kawasan larangan merokok di bawah peraturan 11(1)(d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 berkuatkuasa 1 Januari 2019 serta SOP fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” jelasnya lagi.
Tambah Kasemani, penguatkuasaan juga akan dibuat jika terdapat kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 seperti pekerja tidak memakai apron lengkap, tidak berkasut dan tidak mempunyai sijil suntikan anti typhoid yang sah.
“Diharapkan dengan adanya operasi ini, perokok tidak lagi merokok di kawasan larangan merokok dan memberi peluang kepada golongan tidak merokok menghirup udara yang bebas asap rokok sewaktu menikmati makanan di premis-premis makanan,” ujarnya.
03 Nov 21
531
Penghuni Institusi Pemulihan Yakin Lebih Selamat Selepas Divaksin
MARANG,10 Oktober - Seramai 30 penghuni Sekolah Tunas Bakti Marang dan 18 Penghuni Asrama Akhlak Rusila yakin Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merupakan antara langkah efektif dalam memastikan diri selamat daripada jangkitan wabak Covid-19.
Salah seorang penghuninya, yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 17, berkata, dirinya juga seperti masyarakat di luar sana yang mahu perlindungan dan tahu bahawa ia mampu mendatangkan kesan buruk jika tidak divaksinasi.
Katanya, justeru mengambil vaksin adalah sebagai langkah mencegah daripada pandemik tersebut.
"Perasaan saya pada waktu ini sangat gembira dan lega walaupun pada awalnya mengalami perasaan takutkan jarum.
"Hari ini saya dan kawan-kawan menerima vaksin jenis Pfizer dan dimaklumkan beberapa minggu lagi akan mendapat dos kedua," ujarnya ketika ditemui pemberita pada Program Vaksinasi berkenaan, di Asrama Akhlak Rusila di sini,hari ini.
Manakala bagi seorang lagi penghuni, Suzi, 17, turut berkongsi perasaan lega apabila telah menerima suntikan tersebut.
"Walaupun pada awalnya saya agak takut dan menolak daripada menerima vaksin kerana terdetik perasaan tidak yakin dengan vaksin ini setelah mendapat maklumat negatif mengenainya.
"Namun saya dinasihkan agar jangan mendengar berita-berita yang tidak benar, kerana ia merupakan salah satu usaha pihak kerajaan dalam menangani pandemik ini sekali gus memastikan masyarakat kembali hidup dalam keadaan normal," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Mazura Ngah Abd Manan berkata, pusat pemulihan berkenaan telah mendapat persetujuan daripada ibu bapa masing-masing mengenai program tersebut.
"Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan vaksinasi untuk remaja kita telah mengadakan perbincangan dengan ibu bapa semua penghuni dan masing-masing bersetuju.
"Jadi pihak JKM tidak mendapat sebarang halangan atau masalah, sebaliknya telah menyokong bagi memastikan anak-anak mereka yang ditempatkan di sini mendapat manfaat daripada program vaksinasi ini," ujarnya.
Untuk rekod Asrama Akhlak dan Sekolah Tunas Bakti adalah institusi pemulihan akhlak yang ditubuhkan dibawah Seksyen 65 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi pemulihan dan jagaan bagi Kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah dan kanak-kanak yang tidak terkawal.
Objektif Asrama Akhlak adalah memberi pemulihan dan jagaan kepada kanak-kanak yang direman, dalam pemindahan ke Sekolah Tunas Bakti dan mereka yang dalam perintah 'cubaan akhlak' juga kemasukkannya melalui perintah mahkamah bagi Kanak-Kanak dibawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Di Terengganu Asrama Akhlak menempatkan penghuni lelaki, dan Sekolah Tunas Bakti menempatkan penghuni perempuan.
10 Oct 21
254