Artikel "Kesihatan" Terkini
Kerajaan Terengganu Serius Tangani Dakwaan Isu Keracunan
BESUT, 6 Jun- Kerajaan Terengganu memandang serius dakwaan isu membabitkan enam individu keracunan makanan dan jatuh sakit selepas berang di perairan Pulau Perhentian Kecil dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan tidak dirawat, dua hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, pihaknya telah melaksanakan siasatan segera berhubung isu berkenaan.
Menurutnya, setakat ini pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Besut belum menerima sebarang laporan berhubung kes tersebut.
"Dalam satu mesyuarat khas tindakan daerah Besut yang dipengerusikan oleh Tuan Pegawai Daerah Besut semalam, kita telah mengarahkan jabatan terlibat untuk mengambil sampel air yang didakwa tercemar tersebut serta melakukan pemantauan dengan segera terhadap isu itu.
"Ini perkara serius memandangkan ia melibatkan soal keselamatan pelancong, dan jika dakwaan tersebut didapati benar, ia sudah tentu memberikan imej negatif terhadap industri pelancongan negeri kita," jelasnya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, awal pagi ini.
Tambah Ariffin, isu berkenaan secara tidak langsung akan menjejaskan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke pulau-pulau peranginan di Terengganu, lebih-lebih lagi sekiranya ia tidak ditangani dengan baik.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan JKNT semalam, pihak JKNT telah menyemak data kejadian keracunan makanan bagi tahun 2021 sehingga 5 Jun (semalam) dan tidak menerima apa-apa notifikasi kes keracunan makanan yang berlaku di Pulau Perhentian.
06 Jun 22
225
HFMD: 5 Taska Ditutup, 34 Kes Dikesan
KUALA NERUS, 28 Mei- Lima Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPKT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri ini telah ditutup secara berperingkat susulan terdapat 34 kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
TASKA terbabit melibatkan tiga di daerah Hulu Terengganu dan masing-masing satu di Dungun dan Kemaman, ia ditutup dalam tempoh tiga hingga 10 hari bermula 17 Mei hingga 2 Jun.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, penutupannya adalah mengikut nasihat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Katanya, pihak berkenaan membuat penilaian terlebih dahulu sebelum mengarahkan ia ditutup bagi menjamin keselamatan kanak-kanak.
"Setakat ini ia masih belum serius, namun begitu dinasihatkan kepada ibu bapa jika ternampak gejala ini bersegeralah mendapatkan rawatan di hospital dan jangan hantar anak yang bergejala ini ke TASKA bagi mengelakkan ia menular," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCARE) di Taman Tasik Kuala Nerus, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut kata Hanafiah, kesedaran ibu bapa di negeri terhadap HFMD ini adalah tinggi.
"Namun semua diingatkan untuk berjaga-jaga serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap anak-anak mereka bagi mengelakkan penyakit ini daripada terus merebak," tambah beliau.
28 May 22
938
Warga Emas Perlu Ambil Dos Penggalak Sebelum Hari Raya
KUALA TERENGGANU, 17 April- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan rakyat Malaysia terutama warga emas supaya mendapatkan suntikan penggalak vaksin sebelum hari raya Aidilfitri.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, saranan itu berikutan kebimbangan peningkatan jangkitan Covid-19 selepas hari raya
"Untuk hari raya, kerajaan sudah memberi jaminan kepada keluarga Malaysia yang mereka boleh balik kampung. KKM juga puas hati dengan trend jangkitan tidak mengundang risiko besar. Tetapi, lebih baik kita memberi perlindungan kepada ibu bapa, warga tua kita.
"Kita tahu bahawa gejala buruk ini banyak di kalangan warga tua terutama varian Omicron, sedangkan orang muda tidak terlalu terkesan. Omicron masih lagi merupakan satu penyakit yang serius terutama warga emas dan mereka yang berpenyakit kronik. Jadi, mereka sangat digalakkan mendapatkan 'booster'," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau keperluan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kesihatan, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato' Seri Dr Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dato' Dr. Kasemani Embong.
Tambahnya, negeri Terengganu mencatatkan kadar 50 peratus warga emas yang belum menerima suntikan dos penggalak iaitu keempat terendah di seluruh negara.
"Raya ini kita jangkakan kes akan meningkat kerana trend tidak memakai pelitup muka dalam keluarga dan sebagainya pada hari raya.
"Sebab itu kita mesti melindungi mereka yang berisiko tinggi di kalangan kita, KKM ada tanggungjawab kepada mereka jadi saya merayu dapatkanlah dos penggalak bagi yang belum ambil," katanya.
Dalam lawatan berkenaan, beliau menyatakan ada beberapa projek yang memerlukan proses pembaikan segera dalam memenuhi keperluan perubatan di negeri Terengganu.
"Kita telah meluluskan projek pembaikan serta-merta wad 8A di bangunan utama yang tidak dapat digunakan sejak 2019 dengan peruntukan hampir setengah juta supaya dapat ditambah baik dan beroperasi semula," katanya.
17 Apr 22
536
Ganja Jika Dibenarkan Beri Impak Negatif Kepada Negara
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kesan negatif yang serius boleh berlaku jika kerajaan membenarkan penanaman, pemprosesan dan penjualan ganja setelah ia rancak diperjuangkan oleh sesetengah pihak untuk menjadikan ia sebagai entiti perubatan.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, ini kerana ia akan mengundang kepada kecenderungan penyalahgunaan terhadap bahan berkenaan apabila ia dijual atau diperolehi secara mudah.
"Sebagaimana statistik dari penjualan ganja secara rekreasi di Amerika Syarikat telah meningkat dengan banyak melebihi daripada peningkatan penjualan untuk tujuan perubatan. Boleh lihat laporan dari laman web rasmi Marijuana Business Daily, dimana penjualannya pada tahun 2017 ($2.5 hingga $3.2 bilion) dan tahun 2018 ($2.9 hingga $3.8 bilion) semakin meningkat
"Ini berlaku kerana permintaan terhadap ganja untuk tujuan rekreasi semakin bertambah pada setiap tahun dan jangkaan jualan semakin meningkat pada 2019 dan tahun mendatang melebihi berkali ganda daripada digunakan untuk perubatan. Perkara ini amat membimbangkan kerana diketahui umum jika disalahgunakan boleh merosakkan fizikal, mental dan sosial masyarakat,"ujarnya melalui kenyataan di facebooknya, di sini, pada semalam.
Ujarnya lagi, lebih parah melalui kajian yang dijalankan di Amerika pada 2013, terdapat lebih 800,000 penduduknya seawal usia 12 tahun telah dirawat disebabkan ketagihan terhadap ganja.
"Didapati 10 peratus daripada mereka yang terbabit mempunyai ketagihan yang teruk, dimana kajian tersebut juga menunjukkan daripada 6.9 juta orang yang menyalahgunakan dadah, 4.2 juta daripanya menggunakan ganja.
"Justeru keadaan ini menunjukkan masalah yang serius telah dihadapi di peringkat global dan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Desakan daripada kumpulan yang ingin menghalalkan pengunaannya akan mendatangkan kerugian kepada negara. Masyarakat seharusnya menolak dakyah-dakyah sebegini.
"Bagi memastikan taraf kesihatan fizikal dan mental rakyat dapat dilindungi daripada masalah ketagihan baharu, kerana boleh mendatangkan kesan terhadap institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat."katanya.
Tambahnya lagi, mengikut kajian yang telah dikeluarkan oleh National Academis of sciences, Engineering and Medecine (NASEM USA) dari Centers of Disease Control and Prevention (CDC), Food and Drug Adminstration (FDA) dan beberapa badan terkemuka dan berautoriti menunjukkan ganja hanya berguna dalam tiga keadaan sahaja.
"Untuk mengawal semua jenis sakit saraf yang dinamakan 'Chronic Neurophatic Pain', dimana ia hanya digunakan sebagai rawatan tambahan kepada ubatan dan rawatan sedia ada yang telah terbukti berkesan bukanlah digunakan rawatan utama, sebaliknya hanya pilihan akhir dengan penyeliaan perunding berpengalaman dimana pesakit perlu dikawal rapi, setelah timbulnya ketagihan maka ia hendaklah dihentikan.
"Ia juga berkesan digunakan untuk melegakan muntah-muntah disebabkan rawatan kemoterapi juga sebagai pilihan akhir sekiranya rawatan lainya tidak berhasil serta ia boleh mengurangkan spastik atau ketegangan otot yang disebabkan oleh penyakit 'Multiple Sclerosis'(MS) dalam keadaan ini pun ia masih tidak menjadi rawatan utama,"ujarnya.
Makanala menurutnya, pihak FDA pula meluluskan penggunaan ganja perubatan jenis cecair CBD berjenama Epidiolex ® untuk rawatan penyakit sawan teruk kanak-kanak dan di United Kingdon dan Kanada serta beberapa negara Eropah pula meluluskan bahan berkenaan beraskan minyak CBD bernama nabiximols (Sativex ®).
"Kita menegaskan bahawa negara ini tidak perlu menaman ganja atas alasan ingin menjalankan kajian. Keputusan yang telah dibuat oleh badan berkuasa dunia FDA dari WHO itu sudah memadai.
"Perlu diingat bahawa kebenaran meluluskan ganja bagi kegunaan untuk perubatan berbeza dengan kebenaran dihalalkan untuk tujuan kajian perubatan,"katanya lagi.
14 Apr 22
1196
153 Peniaga Bazar Ramadan Dikompaun
KUALA TERENGGANU, 14 April - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengenakan kompaun kepada seramai 153 peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri ini atas pelbagai kesalahan sejak awal Ramadan tahun ini dengan nilaian keseluruhan sebanyak RM18,100.
Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr.Kasemani Embong berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak mematuhi etika pemakaian seperti tidak memakai apron, tiada suntikan pelalian anti-typhoid, tidak memiliki Sijil Latihan Pengendali Makanan dan tidak menjaga kebersihan diri seperti berkuku panjang.
"Kesalahan boleh dikatakan berlaku di bazar Ramadan di semua daerah melalui pemeriksaan yang kita telah jalankan ke atas 4,938 petak jualan di 59 bazar Ramadan di negeri ini yang dilakukan secara berperingkat melalui 104 pasukan terdiri 278 anggota JKNT yang telah ditubuhkan bagi menjalankan pemeriksaan ke atas premis makanan beroperasi sepanjang bulan puasa ini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media, ketika melakukan pemeriksaan di Bazar Ramadan Batu Burok, di sini, semalam.
Dalam pada itu, katanya sebanyak 122 sampel makanan yang berisiko tinggi mendatangkan keracunan makanan turut diambil.
"Seperti kuih muih yang berkuah, juadah yang berasaskan santan, kerabu dan sebagainya yang kita merasakan boleh mengundang kepada risiko kita ambil untuk dibuat analisis.
"Bagi memudahkan orang ramai untuk membuat sebarang aduan apabila timbul permasalahan pihak kami telah membuat inisiatif menyediakan QR Kod secara khusus supaya sebarang perkara tidak diingini dapat dielakkan daripada berlaku,"katanya.
14 Apr 22
522
Elak Jual Makanan Basi Di Bazar Ramadan
KUALA TERENGGANU, 6 April - Kerajaan negeri berharap agar peniaga makanan di bazar Ramadan tidak menjual makanan basi ataupun telah rosak semata-mata demi mengaut keuntungan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, jika didapati berlaku satu tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang terlibat.
"Gerai perniagaan akan diarah untuk ditutup ini akan merugikan peniaga itu sendiri setelah dua tahun tidak berniaga, sudah tentu tiada yang hendak perkara sebegini terjadi, kita sendiri faham rakyat hendak mencari rezeki dan memulihkan kembali ekonomi untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri melalui keuntungan yang diperolehi.
"Sebenarnya kerajaan sangat mengalakkan rakyatnya berusaha dengan berniaga ini setelah dua tahun tidak dapat berniaga secara normal kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya kira sekarang ini dah boleh berniaga macam biasa cuma kena jaga tahap kebersihan makanan.
"Kita juga nasihatkan agar pakai 'apron' bagi mengelakkan berlakunya kes keracunan makanan apabila berlaku bazar terpaksa ditutup, yang akan tanggung kerugian adalah peniaga itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Taman Shahbandar, semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Datuk Bandar MBKT, Rozali Salleh.
Mengulas lanjut Dr. Alias berkata, para peniaga perlu sentiasa mengamalkan kejujuran dalam berniaga kerana ia juga dituntut oleh agama, bukan semata-mata menumpukan kepada sudut memperolehi keuntungan mudah yang akhirnya membawa kesan buruk kepada pernigaan serta orang ramai.
"Kerana ajaran Islam tidak membenarkan menjual barang makanan yang telah rosak kepada pelanggan, walaupun penguatkuasa atau doktor tidak membuat pemantauan pada setiap masa tetapi Allah ada bersama kita," katanya lagi.
06 Apr 22
369
Berusaha Ubah Minda Negatif Ibu Bapa Terhadap Vaksin Sempena Ramadan
KUALA TERENGGANU, 3 April-Kerajaan negeri berusaha untuk mengubah minda ibu bapa terhadap vaksin kanak-kanak dengan memperhebatkan kempen kesedaran sepanjang Ramadan ini termasuk melalui slot khas tazkirah di masjid dan surau.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ini kerana Terengganu masih berada di kedudukan kedua tercorot dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) sejak mula dilaksanakan Februari lepas.
Katanya, sebelum ini kempen telah digerakkan di peringkat kerajaan negeri termasuk melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Kuliah Maghrib mengenai kepentingan vaksin ini namun masyarakat masih tidak memiliki tahap kesedaran yang tinggi.
"Setakat Jumaat, hanya 12.4 peratus (22,240 orang) daripada 178,700 populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negeri ini telah menerima suntikan dos pertama.
"Ini kerana mitos yang telah mempengaruhi ibu bapa yang tersebar melalui media sosial sedangkan di Terengganu tiada lagi terdapat kesan sampingan serius dilaporkan berlaku terhadap kanak-kanak yang telah menerima suntikan vaksin,"ujarnya,
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan dan Pelancaran Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Peringkat Negeri Terengganu, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Kesihan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong.
Katanya, walaupun berhadapan kesukaran untuk mengubah pemikiran ibu bapa terhadap vaksin namum kerajaan akan terus berusaha menggunakan pendekatan berhemah dalam menyantuni golongan terbabit.
"Kita berdoa agar ibu bapa ini terbuka hati mereka kerana dengan fasa peralihan ke endemik sekarang, kerana apabila tiada lagi sekatan atau peraturan ketat untuk majlis sosial yang berisiko meningkatkan jangkitan maka dengan pengambilan vaksin ia akan dapat memberikan perlindungan kesihatan kepada anak masing-masing,"katanya.
03 Apr 22
152
342 Penguat Kuasa Kesihatan Pantau Bazar Ramadan
KUALA NERUS, 3 April-Seramai 342 anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu(JKNT) akan digerakkan untuk memantau tahap kebersihan dan keselamatan makanan di 4,938 gerai membabitkan 59 lokasi bazar Ramadan tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata anggota penguat kuasa itu akan dibahagikan kepada 130 pasukan operasi bagi memastikan semua 9,666 pengendali makanan di bazar Ramadan mematuhi semua peraturan ditetapkan.
Beliau berkata, penguat kuasa ini juga akan mengambil sampel makanan secara rawak di bazar Ramadan untuk dianalisis, bagi menjamin makanan dijual kepada pelanggan bebas pencemaran yang boleh menyebabkan mudarat dan membahayakan kesihatan.
"Jumlah sampel ini tidak akan dihadkan, pegawai penguat kuasa akan mengambilnya mengikut kesesuaian terutama makanan berisiko seperti bersantan dan penggunaan bahan mentah seperti kerabu," katanya selepas majlis perasmian Kempen Nafas Baharu Bermula Ramadan dan Pelancaran Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu Dr Alias Razak di sini, hari ini. – BERNAMA
03 Apr 22
301
Bekerja Dari Rumah, Tunggu Arahan MKN
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Kerajaan negeri menunggu arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum melaksanakan kembali sistem bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata setakat hari ini tiada arahan dan keperluan berhubung pelaksanaan semula perkara itu.
“Buat masa ini, walaupun kes baru meningkat, angka yang dikeluarkan KKM menunjukkan kes serius kategori 3 dan ke atas masih terkawal.
“Kita tidak boleh mengelak daripada jangkitan, tetapi kita boleh mengurangkan gejala teruk jika dijangkiti dengan sistem imunisasi badan melalui vaksinasi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian usai Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Cadangan Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik dan Bercampur Secara Penswastaan di Tingkat 18, Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir ke majlis menandatangani projek antara syarikat pemaju Rumah Mampu Milik (RMM), Ketua Setiausaha Kerajaan, Tengku Seri Bijaya Raja, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman.
Semalam, sebanyak 782 kes baru dicatatkan di negeri Terengganu daripada 27,719 jumlah keseluruhan kes baru direkodkan di laman sesawang COVIDNOW, menjadikan 5,360 kes positif Covid-19 yang masih aktif.
Mengulas berkenaan kadar vaksinasi bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang dilancarkan KKM melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICK Kids), katanya peratusan di Terengganu antara yang terendah
“Kita sedang luaskan kempen khususnya kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka menerima vaksin sama ada secara walk-in atau mendaftar di MySejahtera,” tambah beliau.
23 Feb 22
2507
Kanak-kanak Perlu Cukup Rehat Sebelum Divaksin
PUTRAJAYA, 20 Februari - Ibu bapa disaran memastikan anak-anak yang bakal menerima suntikan vaksin memiliki rehat yang secukupnya bagi melancarkan proses vaksinasi.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata selain itu kanak-kanak berkenaan juga perlu dipastikan berada dalam keadaan sihat dan aktif.
"Serta makan dan minum yang mencukupi sebelum disuntik dan selepas menerima pelalian, perlu dipastikan kanak-kanak berkenaan tidak melakukan aktiviti berat dalam tempoh seminggu.
"Ini penting bagi memastikan badan mereka dapat melalui proses pembinaan imuniti dengan baik serta mengelakkan sebarang komplikasi akibat melakukan aktiviti berat," katanya.
Beliau berkata demikian melalui kenyataan medianya, di sini, pada hari ini.
Selain itu katanya, dalam membendung penularan wabak jangkitan Covid-19 yang dilaporkan ketara dalam kalangan kanak-kanak, beberapa langkah pencegahan juga perlu dilakukan.
"Kanak-kanak dinasihatkan agar sentiasa kekal dan berada di rumah kecuali untuk tujuan penting dan perlu sahaja. Amalkan norma baharu serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam mencegah jangkitan tersebut.
"Ahli keluarga diingatkan agar tidak menjadi punca pembawa jangkitan kepada kanak-kanak dengan sentiasa mengamalkan pematuhan SOP ketika berada di luar rumah dan jika terdapat ahli keluarga yang menjalani kuarantin di rumah pastikan mereka patuh sepenuhnya kepada prosedur kuarantin," ujarnya.
20 Feb 22
222