Artikel "Kesihatan" Terkini
Ramai Terkejut Bil Hospital Percuma
BESUT, 17 Julai - Tular di media sosial satu video daripada TikTok Ameerah Kawasan Besut berkaitan bil pesakit wad kelas 3 hospital kerajaan yang ditanggung kerajaan negeri.
Video itu mendapat reaksi positif daripada kalangan rakyat Terengganu hingga meraih 906,500 ribu tontonan, 46,500 tanda suka dan 4,995 perkongsian setakat semalam.
Menurut perkongsian itu, seorang individu terkejut selepas dimaklumkan pihak hospital bahawa kos rawatan bersalin isterinya adalah percuma dan ia ditanggung kerajaan Terengganu.
Menerusi pendedahan tersebut, rata-rata pengguna media sosial juga berkongsi pengalaman sama dan meluahkan keterujaan dengan keistimewaan yang dinikmati oleh rakyat Negeri Terengganu sejak pelaksanaan manifesto pada Julai 2021.
Pengguna Tiktok yang bernama Ejiey berkata dia terharu dan bersyukur kerana ibunya dapat menikmati manfaat dan rawatan percuma.
"Mak saya, bulan lepas 'operate' kaki, seminggu dalam wad. Tiba masa nak keluar bayar bil, diorang cakap kerajaan negeri tanggung, alhamdulillah," jelasnya pengguna TikTok di ruangan komen video terbabit semalam.
Sementara, seorang pengguna TikTok, Nurfuzaemy turut meninggalkan komen menyatakan rakyat Terengganu beruntung berada di bawah pemerintahan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Untung la orang Terengganu. Kekalkan Menteri Besar sekarang. Kalau ubah umpama menolak tuah di depan mata," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, keistimewaan yang dirasai oleh rakyat Terengganu turut meraih perhatian rakyat luar Terengganu,
"Terbaiklah kerajaan Terengganu, saya rakyat Sabah 'respect'. Tahniah anda ada pemimpin yang baik," katanya.
17 Jul 23
1171
Kerajaan Negeri Ajak Rakyat Sapu Bersih Terengganu
KUALA NERUS, 16 Julai- Kerajaan negeri menasihatkan seluruh rakyat Terengganu supaya menggiatkan usaha menjaga kebersihan rumah dan persekitaran masing-masing bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, usaha memastikan rumah dan persekitaran bersih adalah tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.
"Memang program sebegini dibuat sentiasa kerana ini merupakan antara inisiatif sempena Hari Denggi Asean yang disambut saban tahun.
"Namun, yang wajib bagi kita adalah jaga persekitaran dan rumah kita, itu nasihat saya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Gotong-royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Gong Kijang, di sini hari ini.
Dalam program bertema Terengganu Bersih, Sapu Bersih itu jelasnya, kecaknaan bersama akan membantu objektif mengurangkan kes dan mengelakkan kematian dapat dicapai.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, Terengganu merekodkan 130 kes denggi sehingga Jun, dengan peningkatan 11.7 peratus berbanding tahun lalu (111 kes).
"Kalau semua menjaganya, tiada tempat nyamuk membiak.
"Diluar persekitaran, kita ada kontraktor kebersihan yang mana kerajaan negeri membelanjakan lebih RM30 juta setahun untuk mengekalkan kebersihan persekitaran," jelasnya.
Dr. Alias menambah, kempen secara besar-besaran dengan usahasama kerajaan negeri, anak-anak syarikat dan pihak berkuasa tempatan adalah untuk mengingatkan rakyat supaya peka dalam menjaga kebersihan persekitaran kediaman masing-masing.
"Seperkara lagi, jika dapat demam cepatlah ke klinik. Sekarang tiada sebab untuk beralasan tidak mahu ke klinik.
"Kita ada klinik kesihatan, tambahan pula kepada golongan B40 kerajaan negeri telah berikan Kad Sejahtera sebagai suntikan kewangan dan kita ada kemudahan wad percuma kelas ketiga," katanya.
16 Jul 23
504
Hadiah Kek Hargai Jururawat
HULU TERENGGANU, 14 Mei - Pemberian Kek kepada jururawat di sekitar Kuala Berang adalah tanda penghargaan atas jasa dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata pemberian kek itu juga sempena Hari Jururawat Sedunia semalam.
"Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang sentiasa menghargai penat lelah jururawat yang sentiasa memberikan khidmat kepada masyarakat.
"Antara cara kita harga mereka, kita hantarkan sedikit hadiah tanda ingatan dan doa," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa, Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, agihan kek ini melibatkan semua klinik kerajaan dalam dun Kuala Berang termasuk Hospital Hulu Terengganu.
"Antara klinik yang kita agihkan adalah Klinik Desa Tanggol, Klinik Desa Pasir Tinggi, Klinik Desa Getang, Klinik Desa Sungai Ular dan Klinik Kesihatan Kuala Berang.
"Hospital Hulu Terengganu pula kita agihkan di beberapa buah wad antaranya Wad Kanak-Kanak, Unit Fisioterapi, Unit Kecemasan, Wad Lelaki dan Perempuan," katanya.
15 May 23
162
Tiada Lagi Isu Sampah Ketika Perayaan
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Hasrat untuk memastikan masalah sampah yang sering kali menjadi isu ketika waktu perayaan akhirnya dapat diatasi setelah tiada aduan ditularkan di media sosial sebagaimana tahun sebelum ini.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata kejayaan itu hasil daripada kesungguhan para wira yang tidak didendang iaitu petugas-petugas kebersihan yang telah bertungkus lumus menjayakan Pelan Tindakan ditetapkan.
Justeru katanya, buat julung-julung kalinya seramai 196 para petugas termasuk tenaga sokongan menerima inisiatif sebagai bonus tambahan berjumlah RM58,800.
"Masing-masing menerima RM300 atas pengorbanan yang dilakukan bagi memastikan Bandar Raya Kuala Terengganu berada dalam keadaan bersih sepanjang perayaan.
"Jadi, majlis hari raya yang diadakan pada malam ini sebagai tanda kebersamaan, jumlah yang diberikan dengan mengharapkan mereka akan bermotivasi dan terus cemerlang.
"Kerana telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jadi kita hargailah mereka dahsyat mereka berkerja, sehingga berjaga malam selama dua hingga tiga malam dan pada hari raya tertidur atas jalan.
"Ketika orang lain bertakbir raya, mereka pula meraikannya dan melaungkan takbir di tepi tong sampah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kepada Petugas Kebersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Camelia Ballroom, Paya Bunga Hotel, di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Kerajaan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed Dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif.
Mengulas lanjut katanya, bagi menjayakan tindakan kerja pembersihan itu seluruh tenaga MBKT yang ada dikerahkan bagi membentuk satu pasukan khas yang mantap.
"Selain itu kita juga menyediakan 'tong roro' serta memastikan lori-lori yang digunakan dapat beroperasi dengan baik selama operasi dijalankan jika berlaku kerosakan akan dibaiki segera.
"Bagi pihak saya sangat bersyukur dan saya telah memaklumkan perkara ini kepada Menteri Besar (Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) dalam 'Mesyuarat EXCO' bahawa tahun ini kita sehingga tidak menerima lagi sebarang aduan," ujarnya lagi.
04 May 23
594
Dr. Alias Saran Lawan Jangan Cipta Provokasi Murahan
KUALA NERUS, 11 November- Calon Perikatan Nasional (PN) dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus, Dato'Dr Alias Razak menafikan beliau bersikap sombong atau kurang mesra ketika bersua calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Hasnim sebagaimana kenyataan yang tular di portal Malaysiakini, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku di Pasar Malam Serdang, Kuala Terengganu itu, Alias berkata, beliau hanya bertegas untuk menjaga dirinya.
"Isunya kecil sahaja, kami bertembung di pasar malam itu, kami bersalaman dan beliau menarik saya untuk berpeluk, tetapi saya menolaknya.
"Ada beberapa sebab, ketika itu saya dalam keadaan basah lencun.
"Sebagai seorang doktor dan juga exco kesihatan negeri, saya juga perlu menunjukkan contoh yang baik kepada orang ramai.
"Saya bertegas untuk mengutamakan perkara lebih penting ketika itu berikutan musim COVID-19 masih belum tamat dan saranan menjaga batas serta pergaulan dalam masyarakat masih ditekankan, cukuplah bersalaman kerana disitu bukan tempat dan keadaan yang sesuai untuk berpelukan," katanya.
Tambahnya, sebagai calon pemimpin, Suhaimi seharusnya tahu keutamaan dan keperluan, bukannya menjadikan isu remeh sebagai provokasi murahan.
"Virus itu masih ada walaupun kita telah dibenarkan bebas melakukan aktiviti harian. Ketika berkempen, kita juga sering diingatkan untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan masing-masing.
"Kalau kita terlalu bebas, kemungkinan menyebabkan jangkitan merebak semula.
"Saya ambil kesempatan ini untuk turut berpesan, jaga kesihatan masing-masing, cukup salam dan tidak perlulah berpeluk-pelukan," katanya.
11 Nov 22
524
10 Ribu Langkah Untuk Gaya Hidup Lebih Sihat
KUALA TERENGGANU, 19 September – Aktiviti 10 ribu langkah antara yang menarik dalam Karnival Kolam Sejahtera anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kolam baru-baru ini.
Kira-kira 100 orang penduduk Kampung Kolam telah hadir menyertai aktiviti tersebut berjalan mengelilingi kawasan kampung tersebut.
“Banyakkan berjalan perlu dijadikan satu amalan untuk gaya hidup yang lebih sihat.
“Saya ucap tahniah kepada JPKK Kolam dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam ucapan perasmiannya.
Karnival Kolam Sejahtera yang diadakan selama dua hari ini turut mengadakan pertandingan bola sepak 8 sebelah, sukan rakyat, pertandingan mewarna dan lain-lain lagi.
Turut hadir dalam karnival tersebut ialah Penghulu Mukim Kuala Ibai, Raah @ Razman Ismail.
Pelepasan peserta jalan kaki 10 ribu langkah oleh ADUN Batu Buruk
19 Sep 22
567
Sultanah Terengganu Kurnia Cendera Kenangan di Hospital Besut
BESUT, 19 Ogos- Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli ke Hospital Besut (Hospital Kluster Terengganu Utara), Jertih hari ini, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu.
Keberangkatan tiba Baginda pada jam 9.30 pagi diiringi Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu iaitu Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Turut mengiringi Baginda ialah isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman, Pengarah Kesihatan Negeri, Dato'Dr Kasemani Embong serta isteri Tengku Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri dan isteri Pegawai Kewangan Negeri.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dato' Dr Alias Razak serta timbalannya, Ahmad Shah Mohamed.
Dalam kunjungan tersebut, Baginda turut mencemar duli menziarahi wad Posnatal dan wad Antenatal selain berkenan mengurniakan cendera kenangan kepada para pesakit yang dirawat di wad berkenaan.
19 Aug 22
1006
Penggunaan Katil Hospital di Terengganu Cecah 90 Peratus
SETIU, 23 Julai – Penggunaan katil di hospital awam di Terengganu dilaporkan sudah mencecah 90 peratus ekoran peningkatan kemasukan pesakit terutamanya melibatkan influenza dan Covid-19.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, walau bagaimanapun kapasiti katil hospital masih berupaya menampung pesakit.
Katanya, keperluan katil di hospital masih mencukupi daripada 1,733 katil secara keseluruhan.
“Kalau diperhatikan di Terengganu ada berlakunya peningkatan kemasukan ke wad melebihi 90 peratus bagi penggunaan katil buat masa sekarang.
“Mengikut rekod, kes seperti influenza dalam lima peratus, kes Covid (1 peratus) dan selebihnya adalah penyakit biasa (tidak berjangkit),” katanya dalam sidang media Program Tanaman Bandar antara Pejabat Pertanian dan Hospital Setiu di Perkarangan Kuarters Hospital Setiu, di sini semalam.
Pada masa yang sama, Kasemani turut berkata bahawa bekalan ubat-ubatan di enam hospital dan 53 kinik kesihatan masih mencukupi sehingga tiga bulan.
“Saya melihat adanya peningkatan kes influenza atau jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) kerana perubahan cuaca yang menyebabkan virus ini mudah berjangkit.
“Walau bagaimanapun, kami sentiasa memantau sekiranya tindakan lanjut perlu diambil seperti menambah bilangan katil,” ujarnya.
24 Jul 22
876
Hospital Setiu Pusat Perubatan Pertama Laksana Tanaman Bandar
SETIU, 24 Julai – Hospital Setiu menjadi pusat perubatan awam pertama di Terengganu yang melaksanakan tanaman bandar dengan tanaman sayur-sayuran.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, projek demikian selari dengan hasrat mewujudkan hospital hijau di negeri ini.
“Projek tanaman bandar di Hospital Setiu menjadi projek perintis kerjasama antara JKNT dan Jabatan Pertanian Negeri sebagai hospital hijau sempena Kempen Bumi Hijau yang digazetkan Perdana Menteri September lalu.
“Beberapa jenis tanaman yang ditanam secara hidroponik dilengkapi sistem fertigasi sumbangan Jabatan Pertanian Daerah Setiu dengan kos sekitar RM20,000,” katanya dalam sidang media Program Tanaman Bandar antara Pejabat Pertanian dan Hospital Setiu di Pekarangan Kuarters Hospital Setiu, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof dan Pengarah Hospital Setiu, Dr Wan Mohd Shihabudin Wan Mamat.
Tanaman seperti terung, sawi dan kacang bendi diusahakan oleh kakitangan kesihatan hospital berkenaan dan hasil pertanian tersebut disumbangkan kepada warga kerja mereka.
Mengulas berkenaan kadar penggunaan katil, Kasemani memaklumkan bahawa hospital masih mampu menampung keperluan.
Sehingga kini katanya, sebanyak 90 peratus daripada 1,773 katil di hospital seluruh Terengganu yang digunakan adalah daripada penyakit biasa (tidak berjangkit), Covid serta atau jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).
23 Jul 22
894
Klinik Nur Sejahtera Rintis Khidmat Psikososial Lelaki
DUNGUN, 19 Jun - Klinik Nur Sejahtera (KNS) Dungun menjadi klinik rintis pertama di peringkat negeri yang menawarkan perkhidmatan kesejahteraan dan psikososial khusus bagi kaum lelaki.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun berkata, usaha Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu merupakan tambahan kepada fungsi utama KNS yang sebelum ini lebih kepada kesihatan reproduktif wanita.
"Sempena sambutan Hari Bapa yang disambut hari ini, LPPKN turut menawarkan saringan kesihatan percuma kepada 100 lelaki terawal bagi setiap negeri dan sempena pelancaran ini, kita tawarkan perkhidmatan itu bagi 300 lelaki terawal, khusus bagi penduduk sekitar Dungun bermula hari ini sehingga 25 Jun.
"Untuk pengetahuan semua, daripada kes kaunseling yang dikendalikan LPPKN sejak 2019 sehingga Jun 2022, sejumlah 22,156 klien lelaki telah menghadiri sesi kaunseling secara individu dan berkelompok.
"Paling banyak yang kita terima melibatkan masalah perkahwinan iaitu sebanyak 33 peratus, manakala 20 peratus melibatkan masalah kewangan dan masalah-masalah lain," katanya.
Bagaimanapun menurutnya, situasi tersebut dinilai positif kerana perkhidmatan yang fleksibel secara tele-kaunseling, individu dan berkelompok yang ditawarkan menjadikan kaum lelaki lebih terbuka untuk berkongsi masalah dan memohon bantuan khdimat nasihat dengan LPPKN.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Bapa peringkat kebangsaan bertemakan 'Kasih Bapa Pelindung Keluarga' di KNS Dungun, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu; Hanafiah Mat, Ketua Setiausaha KPWKM; Dr. Maziah Che Yusoff, Timbalan Pengerusi LPPKN; Mastura Mohd Darby dan Ketua Pengarah LPPKN; Abdul Shukur Abdullah.
Rina turut memuji tindakan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang mengadakan program 'Second Honeymoon' atau berbulan madu kali kedua yang membantu mengatasi masalah keretakan rumah tangga.
"Berdasarkan maklumat dan kerjasama dari kerajaan Terengganu, kita juga turut mengadakan program berbulan madu kali kedua ini untuk menambah baik hubungan kekeluargaan dan kita ingin perluaskannya melalui LPPKN.
"Melihatkan kepada keperluan kaum lelaki juga, kita harap dapat memperluaskan projek ini ke seluruh 49 KNS di seluruh negara selain kepada 15 klinik secara 'mobile' selepas melihat sambutan projek rintis ini.
"Jadi, kepada kaum lelaki, jangan malu dan segan untuk berkongsi dalam usaha menyelesaikan masalah. Untuk membina keluarga bahagia, ia memerlukan kerjasama seluruh ahli keluarga," katanya.
19 Jun 22
511