Artikel "Kesihatan" Terkini
Vape Lebih Bahaya Daripada Morphin
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Penggunaan vape jenis tertentu didakwa boleh menyebabkan kerosakan otak hanya dalam tempoh 14 hari, jauh lebih pantas daripada kesan morphin yang mengambil masa 40 tahun untuk merosakkan akal manusia.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah mendedahkan kebimbangan ini berdasarkan satu kajian yang menunjukkan bahawa vape jenis 'mushroom' boleh menyebabkan penyakit mental dalam tempoh dua minggu sahaja.
"Morphin memerlukan 40 tahun untuk merosakkan akal, tetapi vape jenis 'mushroom' hanya memerlukan 14 hari. Ini sangat membimbangkan," kata beliau kepada pemberita di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Beliau juga berkongsi bahawa pusat pemulihan dadah Darul Barakah menerima banyak kes ibu bapa yang membawa anak-anak mereka kerana ketagihan vape.
Malangnya kata beliau, tiada pelan pemulihan yang tepat kerana vape memberi kesan terus kepada mental, bukan sekadar ketagihan biasa.
"Kesannya bukan sekadar ketagihan fizikal, tetapi juga menyebabkan gangguan mental yang serius.
"Mereka sepatutnya mendapatkan rawatan di hospital, bukan di pusat pemulihan dadah," tambahnya lagi.
Menurut Wan Sukairi, Kerajaan negeri dalam perbincangan akhir untuk melaksanakan pengharaman vape secara menyeluruh di negeri ini.
"Jika cadangan ini diluluskan, pengharaman ini bukan hanya tertumpu kepada vape jenis 'mushroom' sahaja, tetapi melibatkan semua perisa vape tanpa pengecualian," tegasnya.
24 Feb 25
254
Terengganu Bakal Haramkan Vape Secara Total?
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Kerajaan Terengganu sedang dalam perbincangan untuk melaksanakan pengharaman 'total' ke atas vape di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk mengharamkan vape secara menyeluruh di Terengganu.
"Kertas cadangan ini sedang dalam proses akhir dan akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMKN) untuk dibincangkan.
"Pengharaman turut melibatkan penjualan, pengiklanan dan sebarang aktiviti berkaitan vape di seluruh premis di negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Menurut beliau, jika cadangan ini dipersetujui, satu undang-undang ketat akan diperkenalkan bagi memastikan pengharaman itu dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.
"Jika cadangan pengharaman ini diluluskan, semua jenis vape tanpa mengira perisa atau kandungannya akan diharamkan sepenuhnya di Terengganu.
"Pengharaman ini bukan hanya tertumpu kepada vape jenis 'mushroom' sahaja, tetapi melibatkan semua perisa vape tanpa pengecualian," jelasnya.
Sebelum ini, Mantan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.
Baginda bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat terutama dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK).
Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape.
24 Feb 25
1988
Walau Disekat Royalti, Terengganu Kekalkan Pemberian Caj Wad Kelas 3 Percuma
KUALA TERENGGANU, 21 November - Walaupun menghadapi sekatan hak royalti, Kerajaan Negeri tetap meneruskan janji manifesto pada penggal lalu iaitu pemberian caj rawatan di wad kelas ketiga di hospital kerajaan secara percuma sehingga kini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat di negeri ini akan terus terbela.
"Cuma Kad Sejahtera telah ditangguhkan sementara pada tahun ini bermula pada April yang lalu dan masih belum disambung lagi.
"Insya-Allah sekiranya tidak ada apa-apa yang menghalang, kita telah pun mencari satu kaedah ataupun satu jalan bagi meneruskan Kad Sejahtera itu yang memberikan kelebihan kepada pemegang kad tersebut untuk mendapatkan rawatan di mana-mana klinik swasta dengan kadar RM500 setahun," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Dialog EXCO Kerajaan Negeri Bersama Rakyat Daerah Kuala Terengganu, di Dewan PPR HIliran, di sini, semalam.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan mengumumkan bila Kad Sejahtera itu akan dikembalikan semula.
"Kita mempunyai komitmen yang bersungguh untuk meneruskan program Kad Sejahtera," ujarnya.
21 Nov 24
510
Penyakit Mental di Terengganu Masih Terkawal
KUALA TERENGGANU, 18 November - Penyakit mental di Terengganu masih dalam keadaan terkawal walaupun terdapat peningkatan sesi rawatan yang telah diberikan kepada pesakit berkait masalah mental di hospital dan klinik kesihatan di seluruh Terengganu sepanjang tahun 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, menjelaskan bahawa peningkatan itu adalah normal dan tidak menunjukkan trend yang membimbangkan.
“Berdasarkan data terkini, jumlah sesi rawatan mental yang berdaftar meningkat daripada 24,562 kes pada 2018 kepada 34,540 kes pada 2023, namun angka ini tidak menggambarkan keadaan yang membimbangkan.
"Penyakit mental ini bukanlah perkara yang perlu ditakuti. Ramai yang mungkin menganggapnya sebagai 'gila', padahal pesakit masih boleh sembuh dengan rawatan yang betul," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Terengganu, Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, semalam.
Wan Sukairi menegaskan bahawa walaupun terdapat peningkatan kes, pesakit yang mendapatkan rawatan mental di Terengganu masih boleh menjalani kehidupan yang normal.
"Rawatan yang diberikan sangat berkesan dan banyak pesakit yang saya temui kelihatan seperti orang biasa. Ini menunjukkan bahawa mereka boleh sembuh dengan rawatan yang betul," jelasnya.
Menurut ADUN Wakaf Mempelam itu, hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri menyediakan perkhidmatan rawatan mental yang lengkap.
“Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mempunyai kepakaran psikiatri, serta hospital-hospital di daerah seperti Dungun, Kemaman, Besut, dan Hulu Terengganu, juga menawarkan perkhidmatan yang sama.
“Selain itu, dua Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di negeri ini, di Klinik Kesihatan Wakaf Tapai dan HSNZ, membantu mempercepatkan proses rawatan mental kepada masyarakat,” ujarnya.
Tambah Wan Sukairi, Antara penyakit mental yang paling banyak dirawat adalah kemurungan dan keresahan, masing-masing menyumbang 33 dan 16 peratus daripada keseluruhan kes.
“Penyakit-penyakit ini, walaupun sering dianggap berat, sebenarnya boleh dirawat dengan psikoterapi, ubat antidepresan, dan bagi kes yang lebih serius, terapi elektrokonvulsif (ECT),” jelasnya.
Wan Sukairi juga menekankan bahawa sokongan agama memainkan peranan penting dalam membantu pesakit yang menghidap keresahan.
"Kaedah agama sangat berkesan, terutamanya bagi pesakit anxiety," katanya.
Dalam usaha menangani isu kesihatan mental ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah merangka pelbagai langkah strategik.
"Antaranya adalah dengan menjalankan program pendidikan kesihatan awam untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya kesihatan mental dan cara menguruskan stres.
“Kerajaan negeri juga merancang untuk mewujudkan lebih banyak pusat MENTARI di seluruh negeri ini, serta memperkukuh kerjasama dengan pihak swasta dan NGO untuk memperluaskan akses kepada rawatan mental.
"Kami ingin rakyat tahu bahawa kesihatan mental adalah keutamaan kami. Dengan rawatan yang tepat, pesakit boleh sembuh dan hidup dengan normal. Jadi, tiada sebab untuk bimbang.
“Dengan usaha yang berterusan dan kemudahan rawatan yang semakin meluas, Terengganu memastikan penyakit mental dapat ditangani dengan baik, tanpa perlu menimbulkan rasa cemas dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.
18 Nov 24
191
Kempen Derma Darah di DMR Berjaya Kumpul 37 Beg Darah
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Kempen Derma Darah anjuran Duyong Marina & Resort (DMR) Terengganu berjaya mengumpulkan sebanyak 37 beg darah.
Program yang berlangsung meriah di Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort itu merupakan inisiatif penting dalam membantu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) memenuhi keperluan bekalan darah bagi pesakit di hospital.
Pengurus Besar DMR, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, beliau gembira atas kejayaan program tersebut kerana bukan sahaja mencapai sasaran yang ditetapkan tetapi turut berjaya menarik penyertaan pelbagai agensi serta masyarakat setempat.
Beliau menyatakan bahawa pencapaian itu menunjukkan sokongan padu masyarakat dalam membantu meningkatkan bekalan darah bagi kegunaan pesakit di HSNZ.
“Kami sangat berpuas hati dan bersyukur dengan perjalanan program ini. Melalui kempen ini, objektif utama kami bukan sahaja tercapai, tetapi juga berjaya mengukuhkan kesedaran awam mengenai kepentingan menderma darah dalam menyelamatkan nyawa.
“Ini adalah satu langkah penting untuk memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi demi memenuhi keperluan mereka yang memerlukan,” jelasnya
Kata beliau, program berkenaan bukan sahaja menarik kehadiran individu tetapi turut mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi.
"Antara agensi yang menyokong penuh kempen ini termasuklah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Duyong, Jabatan Pelancongan Terengganu dan syarikat swasta seperti Aims Global.
"Kehadiran mereka membantu memeriahkan suasana kempen dan menunjukkan sokongan mereka terhadap usaha murni ini.
"Selain aktiviti utama menderma darah, kempen ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan tambahan bagi memberi manfaat kepada para pengunjung," katanya.
Tambah Wan Faizul, syarikat kesihatan, GPharmax, turut serta dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk memeriksa tahap kesihatan mereka.
"Di samping itu, reruai Cakna Management Sdn. Bhd. turut memeriahkan kempen dengan mempamerkan kepakaran mereka dalam bidang pengurusan dan penganjuran acara.
"Kehadiran syarikat-syarikat ini menjadikan kempen ini bukan sahaja bermakna, tetapi juga satu platform untuk meningkatkan kesedaran kesihatan," jelasnya.
Wan Mohd Faizul menambah bahawa kempen ini telah berjaya mencetuskan impak positif dalam kalangan masyarakat setempat dan menggalakkan lebih ramai untuk tampil menderma darah pada masa akan datang.
Menurut beliau, sambutan hangat yang diterima adalah bukti kepedulian masyarakat terhadap isu-isu kesihatan dan kesedaran betapa pentingnya untuk bersama-sama membantu mereka yang memerlukan.
“Respon yang diterima sangat positif. Kehadiran ramai ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus menganjurkan program-program seperti ini di masa akan datang, demi manfaat masyarakat keseluruhannya. Sambutan luar biasa daripada pelbagai organisasi dan masyarakat setempat memberi semangat baharu kepada kami,” ujar beliau lagi.
29 Oct 24
132
Terengganu Sambut Baik Akta 852, Kawalan Rokok dan Vape
BESUT, 17 Oktober - Kerajaan Negeri menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan satu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang mula dikuatkuasakan sejak 1 Oktober baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pihaknya sedia bekerjasama dari segi penguatkuasaan dan menaiktaraf undang-undang sedia ada demi kesihatan rakyat di negeri ini.
“Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyahut saranan KKM untuk menguatkuasakan akta yang baru dilancarkan.
“Kita juga sedang merangka satu peraturan baharu supaya tidak membenarkan premis menjual rokok terutama rokok elektronik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan rakyat pada Program Dialog Exco di Dewan Merdeka Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini, baru-baru ini.
Turut serta sebagai ahli panel, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri; Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri; Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Wan Sukairi percaya Akta 852 itu bakal menjaga dan mengawal golongan belia daripada terjebak dengan aktiviti yang boleh merosakkan kesihatan.
“KKM telah meletakkan peraturan dan syarat yang sangat ketat, antaranya ialah penjualan kepada remaja di bawah umur, ia satu kesalahan berat andai menjual kepada individu di bawah umur.
“Zon larangan merokok juga ditambah kepada 28 tempat seluruhnya, seperti larangan merokok di kedai berhawa dingin, premis kerajaan, stadium atau pusat kecergasan, dobi, cafe internet, kompleks sukan, kawasan institusi pendidikan, lif atau tandas awam, dan banyak lagi tempat yang telah digazetkan.
“Negeri ini juga telah mewujudkan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) seperti pusat peranginan Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, yang telah diwartakan sejak 2018.
“Di daerah Besut kita buat di Dewan Merdeka Kota Putera Square ini, ada tujuh lokasi semuanya di seluruh Terengganu.
“Seterusnya, pengenalan kawalan produk alternatif seperti rokok elektronik termasuk vape, produk ini tertakluk juga kepada peraturan sama dengan rokok kebiasaan, sekarang vape sudah disamakan dengan rokok,” jelasnya.
Untuk rekod, Akta 852 juga mengawal segala bentuk iklan, promosi, penajaan yang berkaitan dengan produk rokok, pengiklanan secara langsung atau tidak, adalah dilarang di semua platform media termasuk media sosial.
Beliau juga percaya dengan peranan pihak kerajaan ini dapat mengawal rakyat dari terkena denda atau hukuman yang serius, juga dapat mendidik masyarakat tentang bahaya aktiviti merokok.
“Jika tuan/puan melanggar undang-undang demikian, boleh dikenakan kompaun atau denda yang tinggi, juga boleh disabitkan hukuman penjara, terhadap penjual atau pengguna.
“Dalam masa yang sama, pendidikan kesihatan awam akan dilakukan secara berkala untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat, bahawa merokok ini patut dihindarkan, bukan sahaja membazir wang ringgit, tapi mengakibatkan kesihatan terancam,” ujarnya.
19 Oct 24
243
Penjualan Vape Bercampur 'Mushroom Magic' Kepada Pelajar Membimbangkan
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Kes 'Mushroom Magic' yang dicampurkan di dalam 'vape' dan dijual kepada pelajar-pelajar sekolah semakin menular dan mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, setiap minggu pasti ada llaporan mengenai guru sekolah yang menghubungi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi memastikan tindakan diambil terhadap isu berkenaan, Terengganu tidak terkecuali.
Sebagai contoh katanya, memetik ucapan pegawai AADK dalam ceramahnya tentang bahaya dadah, telah menjadikan contoh yang berlaku di Kemaman tempoh hari mengenai 'Mushroom Magic' yang disyaki dicampur dalam cairan vape dan dijual kepada pelajar sekolah.
"Inilah realiti yang perlu kita hadapi buat masa sekarang dek kerana tidak ada satu punca kuasa pihak yang berwajib bagi menghalang fenomena ini terus membarah," ujarnya melalui facebooknya.
Mengulas lebih lanjut katanya, beliau hairan bagaimana kes itu boleh dicetuskan oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan yang menjadikan pelajar sekolah sebagai sasaran untuk menjual bahan terlarang itu.
"Saya pun hairan keran ada manusia yang sanggup untuk menjual bahan bahaya ini kepada anak-anak pelajar.
"Adakah mereka tidak rasa bersalah ataupun berdosa menjual bahan yang diharamkan di dalam islam?," katanya.
Dalam pada itu, Suhazali berkata ketika menyampaikan ceramah beliau sering memberikan kesedaran tentang bahaya vape dan rokok.
"Pagi tadi saya juga sampaikan satu slot cerama mengenai rokok dan vape serta isu yang berkiatan dengan pondaan terbaharu RUU (Rang Undang-Undang) Kawalan Tembakau 2024," ujarnya.
21 Aug 24
659
Budaya Sihat, Jaga Kebersihan Julang Pelancongan Terengganu
MARANG, 21 Julai - Dengan melakukan amalan kehidupan sihat melalui bersukan dan menjaga kebersihan oleh setiap rakyat Terengganu berpotensi untuk memartabatkan negeri ini dan menjadi nilai tambah untuk menarik pelancong ke negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata , kerana itu kerajaan negeri giat mengadakan pelbagi program dan aktiviti ke arah mempromosikan kehidupan sihat dan menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai budaya.
Sepertimana program 'fit Sunnah Hiking' yang diadakan hampir di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bertujuan menarik seramai mungkin bertujuan untuk memastikan komuniti mengamalkan kehidupan sihat.
"Aktiviti begini dapat memupuk semangat diantara komuniti khususnya kepada anak muda. Aktiviti bersukan ini ianya adalah aktiviti yang sangat bermanfaat dan sihat.
"Jadikan aktiviti begini rutin harian dan jadual mingguan, diantara aktiviti sukan yang dapat kita lakukan adalah berjoging , berbasikal dan lain-lain.," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri 'Program Fit Sunnah Hiking', di Bukit Lubuk Batu, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, menjaga kebersihan dan mengamalkan aktiviti hidup sihat merupakan sunnah Rasulullah SAW.
"Sabda Nabi SAW yang bermaksud 'kebersihan adalah sebahagian daripada Iman' seterusnya menjadikan kebersihan satu produk pelancongan Negeri Terengganu," ujarnya.
Untuk rekod Program yang dianjurkan oleh Urusetia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) telah disertai kira-kira 120 orang dan penyertaan hanya terbuka kepada peserta lelaki sahaja.
20 Jul 24
103
Tangani Fenomena Kekurangan Doktor, Fasiliti dan Penghijrahan Bakat
KUALA LUMPUR, 1 Julai- Kerajaan Persekutuan digesa untuk menambah baik fasiliti kesihatan dan menyelesaikan masalah kekurangan doktor.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, isu berkenaan dikenal pasti ketika mengadakan lawatan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan di Sarawak baru-baru ini.
Katanya, masalah kekurangan doktor dan fasiliti kesehatan, seperti peralatan x-ray digital sangat mendesak.
“Mordi Bimol, Ahli Parlimen Mas Gading, memberikan sumbangan RM200,000 kepada pihak yang memerlukan kerana tidak ada peruntukan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, semalam.
Dr Alias bertanya, adakah KKM akan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam bidang tanggungjawab iaitu perkhidmatan kesihatan negara dan tidak terlibat dalam latihan kepakaran.
"Di mana KKM bukan entiti penyedia pendidikan tinggi yang sepatutnya diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)," soal beliau.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan dalam soal jawab Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) kepada Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata latihan kepakaran di bawah KKM melibatkan RM150 juta setahun.
“Bagi saya, alangkah baiknya jika peruntukan tersebut diberikan keutamaan untuk meningkatkan kemudahan fasiliti kesihatan di seluruh negara terutamanya di negeri yang masih daif di Sarawak berbanding dengan kita menumpukan pendidikan ataupun untuk melatih kepakaran di bawah KKM itu sendiri,” katanya lagi.
01 Jul 24
249
PBT Perlu Capai Penarafan 'Smart City Early Adopter' 2025
KUALA TERENGGANU, 22 April - Selaras penyediaan Blueprint Bandar Pintar, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyediakan Pelan Tindakan Bandar Pintar bagi mendapat penarafan 'Smart City Early Adopter' menjelang tahun 2025.
Baginda bertitah, penyediaan Blueprint Bandar Pintar Terengganu sebagai panduan utama kepada semua agensi dan pihak-pihak berkepentingan terutamanya pihak PBT sejajar dengan Agenda perbandaran Baharu (New Urban Agenda) dan Sustainable Developement Goals (SDGs).
"Kerajaan Beta (juga) telah menyediakan peruntukan sebanyak RM78.9 juta kepada PBT untuk membiayai hampir 97 zon kawasan perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal.
"Beta berharap dengan peruntukan ini dapat memastikan kawasan persekitaran di kediaman, komersial, institusi dan tempat awam sentiasa bersih dan diselenggara dengan baik," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan (DUN) Terengganu Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu dalam usaha meningkatkan kualiti kebersihan ke tahap optimum dan meningkatkan standard piawaian kebersihan, bagi menarik kehadiran pelancong, Sultan Mizan bertitah semua PBT perlu mengambil perhatian serius terhadap penjagaan kebersihan dan penyelenggaraan infrastruktur awam.
"Selain itu, dasar serta amalan yang menekankan prinsip mengurangkan, mengguna dan mengitar semula perlu diperluas dalam usaha meminimumkan penjanaan sisa pepejal.
"Beta berharap projek Integrated Island Waste Management di Pulau Redang dan Pulau Perhentian yang akan beroperasi dapat menyokong pelaksanaan ekonomi kitaran (circular economy) melalui kemudahan tempat pengumpulan e-sisa, barangan kitaran semula (3R) dan mesin kompos sisa organik," titah baginda.
22 Apr 24
257