Artikel "Kesihatan" Terkini
PKP 3.0 Dilanjut Hingga 28 Jun
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disambung selama dua minggu bermula 15 Jun sehingga 28 Jun ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari.
Melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan, beliau menyatakan senarai positif/negatif dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal sama seperti mana diumumkan sebelum ini.
"Kerajaan persekutuan turut melanjutkan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di dua mukim di Kuala Terengganu iaitu Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada bermula 13 Jun sehingga 26 Jun 2021.
"Keputusan melanjutkan PKPD di kedua-dua mukim berkenaan
dibuat setelah KKM mendapati masih terdapat peningkatan ketara kes di kawasan terbabit hasil daripada saringan bersasar," katanya.
Tambahnya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan Persekutuan bersetuju menamatkan PKPD di baki 19 Mukim di daerah berkenaan pada 12 Jun 2021.
Menurutnya lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan 461 kes positif COVID-19 di semua mukim sepanjang tempoh tersebut dan terdapat penurunan kes kecuali melibatkan dua mukim itu.
Selain itu, PKPD turut di beberapa kawasan di Kedah, Sabah, Johor dan Sarawak bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
11 Jun 21
707
COVID-19 : Semakin Ramai Ingin Divaksinasi - Kajian
KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Kajian terhadap sikap rakyat Malaysia mengenai kesedaran dan keyakinan mengenai usaha pemvaksinan COVID-19 menunjukkan keputusan memberangsangkan dengan 85 peratus rakyat menerimanya secara positif.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia adalah suatu perkembangan positif terutamanya apabila dibandingkan dengan hasil dapatan sebelumnya pada akhir Februari iaitu hanya 67 peratus daripada responden memilih untuk disuntik.
“Peningkatan penerimaan hasil selidik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbanding sebelum bermula Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sehingga April merupakan petanda baik dalam mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksin pada hujung tahun ini.
“Selain itu, peratusan golongan yang menolak vaksin sepenuhnya atas pelbagai sebab dan dakyah turut berkurang daripada 16 peratus (Februari) menurun sehingga lima peratus (April).
“Keyakinan ini juga boleh disumbangkan oleh keadaan semasa dunia dengan 1.8 bilion dos vaksin yang telah disuntik di seluruh dunia dengan kadar kesan sampingan yang sangat rendah,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai masalah keraguan kalangan umat Islam dalam negeri, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mencadangkan supaya masjid dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Kita telah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) yang tawarkan sukarelawan dalam usaha memulakan projek perintis ini di Terengganu.
“Diharapkan agar ia dapat menyelesaikan masalah berkaitan keberkesanan dalam salah faham berkaitan vaksin dalam komuniti islam yang sebilangannya masih teragak-agak untuk pergi ke pusat vaksinasi,” jelasnya lagi.
Menurut statistik daripada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sehingga 5 Jun, Terengganu mencatatkan jumlah pemberian dos vaksin seramai 85,595 orang untuk dos pertama dan 50,053 untuk dos kedua.
06 Jun 21
157
Terengganu Perhalusi Strategi Atasi Kegagalan Hadir Vaksinasi
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Kerajaan negeri sedang giat merangka strategi bagi mengatasi masalah ketidakhadiran penerima vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah tersebut diambil setelah melihat lebih 10,000 individu dalam negeri gagal menghadiri sesi temu janji vaksinasi.
“Jumlah ini melibatkan warga emas dan golongan ‘co-morbid’ yang rata-rata memberi alasan seperti tidak ingat tarikh temu janji dan tiada kenderaan untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan.
“Menjangka akan berlakunya perkara ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah bersiap sedia dengan senarai pengganti lain, hasilnya tidak berlaku pembaziran dos vaksin setakat ini,” katanya dalam satu sidang media, kelmarin.
Mengulas lanjut berkenaan jalan penyelesaian itu, Dr Alias memaklumkan, Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Terengganu (JKKNT) mencadangkan kaunter pemberian vaksin di masjid-masjid di semua daerah.
“Perbincangan sedang diadakan bersama JKNT dalam mengatasi keperluan tenaga kerja dan jurusuntik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekurang-kurangnya kita sasarkan satu masjid di satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Cadangan lain seperti daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk mewujudkan pusat suntikan bergerak juga disuarakan, namun kita perlu selesaikan masalah kakitangan dan pemantau selepas sudah disuntik, perkara sebegini perlu diambil kira terlebih dahulu.
“Bagi kawasan DUN dan Parlimen, pusat khidmat masyarakat masing-masing ada menyediakan perkhidmatan kenderaan percuma untuk hantar ke PPV, hanya perlu hubungi sahaja," katanya.
Menurut statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sehingga 31 Mei, seramai 345,492 individu di negeri ini telah mendaftar sebagai penerima vaksin manakala daripada jumlah itu seramai 79,185 individu sudah disuntik.
01 Jun 21
253
Angka COVID-19 Bukan Rekaan, Keadaan Makin Teruk
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Jumlah harian individu dijangkiti COVID-19 di seluruh negara dan negeri adalah benar dan bukan rekaan yang dibuat untuk menafikan pergerakan rakyat.
Pakar Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Nurul Asyikin Adnan berkata, masih ada golongan tertentu yang menganggap angka daripada Kementerian Kesihatan Malaysia adalah palsu.
Katanya, tidak cukup dengan itu. KKM dan petugas kesihatan dicemuh saban hari oleh sebahagian kecil masyarakat kerana mereka percaya COVID-19 tidak wujud.
"Kita sering mendengar orang kata KKM menipu, netizen suka sangat mengambil maklumat yang tidak sahih, kenapa kami perlu menipu data, tidak ada manfaat dan kelebihan pun jika kami berbuat demikian.
"Kalau tanya kepada saya keadaan di wad, saya boleh ceritakan katil yang kita ada sekarang ini sangat terhad, kebanyakan pesakit telah berada dalam kategori tiga dan empat, dan akhirnya jadi kategori lima.
"Memang boleh saya katakan agak mencabar, memberi rawatan kepada mereka yang positif untuk gelombang sekarang ini berikutan varian yang agak agresif," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di HSNZ baru-baru ini.
Mengulas lanjut Dr Nurul Asyikin berkata, pihaknya mempunyai bukti bahawa mereka yang harus berada di wad kerana memerlukan oksigen semakin bertambah.
"Pada awalnya ada dua wad sekarang ini telah bertambah kepada lima, 95 peratus sangat memerlukan bantuan oksigen kerana itu ditempatkan di hospital bagi mendapat rawatan lanjut.
"Kalau kita tengok dokumentari pesakit dari India, mereka memerlukan oksigen dengan banyak kerana kapasiti oksigen dalam badan sangat rendah.
"Tapi kita berharap agar kita tidak sampai lagi ke tahap terdesak sebagaimana yang dipaparkan itu, kami harap tidak seteruk itu dan masih akan cuba semampu mungkin memberikan yang terbaik untuk pesakit," ujarnya.
Menjawab mengenai penularan kes dengan begitu cepat disebabkan varian dari India dan Afrika di negeri ini, katanya ia masih lagi dalam peringkat kajian.
"Pada kesempatan ini saya juga menyeru kepada orang ramai yang mana masih belum mendaftar vaksin tolong mendaftar untuk mendapatkannya.
"Kami lihat varian ini dah semkain ganas dan mula menjelajah kepada negara kita walaupun sudah mendapat dua dos vaksin masih berisiko, namun yang sudah mendapatkannya keadaan mereka cepat stabil dan hanya bergejala sedikit sahaja," ujarnya.
27 May 21
470
Warga Tua Kritikal Akibat Covid-19 Bertambah
KUALA TERENGGANU, 25 Mei - Semakin ramai warga tua di Terengganu berada di tahap kritikal ekoran penularan terbaru pandemik Covid-19.
Pakar Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Mohamad Faizal Zulkhifli berkata, terdapat peningkatan ketara pesakit Covid-19 yang berada dalam keadaan kritikal sejak akhir-akhir ini.
"Dahulu, pesakit kami datang ke bahagian kecemasan sama ada kritikal, separa kritikal dan tidak kritikal. Namun, selepas peningkatan kes Covid-19 kita dapati semakin ramai yang datang sebab sesak nafas, cuma sekarang kita sukar untuk membezakan mereka disebabkan Covid-19 atau tidak.
"Banyak pesakit berumur 60 tahun ke atas sebab mereka banyak penyakit lain yang berisiko mendapat kesan Covid-19 lebih teruk dan kebanyakannya berpunca disebabkan kunjungan ke kawasan zon merah," katanya ketika ditemui di HSNZ, hari ini.
Jelasnya, peningkatan lebih ketara berlaku sebelum hari raya baru-baru ini, di mana banyak situasi ahli keluarga yang balik ke Terengganu tanpa menyedari mereka dijangkiti Covid-19 dan menjangkiti orang tua mereka.
"Banyak berlaku, anak-anak pulang berjumpa ibu bapa mereka akhirnya menyebabkan ibu bapa yang mengalami simptom teruk akibat jangkitan itu, sedangkan mereka pula hanya mengalami simptom ringan.
"Selalu yang kritikal, biasanya mereka akan dikomakan dan sambung bantuan pernafasan sebab mereka tidak boleh bernafas macam biasa, oksigen mereka hanya tinggal sekitar70-80 peratus," katanya.
Justeru, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan pengawalan kendiri yang optimum.
"Pertama, kita tahu vaksin membantu, bagi masyarakat di luar ketahuilah ia sangat berfungsi di mana staf kami yang sudah divaksin kadang-kadang terdedah dengan pesakit Covid-19, apabila di 'swab' alhamdulillah masih kekal negatif. Jadi, galakkan mak ayah dan ahli keluarga dapatkan vaksin.
"Kedua, kawalan kendiri. Kita kena ingat risiko yang kita bawa balik ke rumah, kadang-kadang disebabkan kita mak ayah yang terima kesannya. Ingatlah, supaya tiada penyesalan di hari kelak," katanya.
25 May 21
1655
'Sabar, PKP Besut Keputusan Terbaik Untuk Terengganu'
MARANG, 7 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Besut adalah keputusan terbaik bagi negeri itu.
"Semua sudah tahu kenapa terpaksa PKP di Besut, kita tidak menafikan melintasi sempadan (cross border) menjadi faktor utama penularan, melalui laluan-laluan tikus menyebabkan perkara tersebut sukar dikawal.
"Jadi, kita ambil pendekatan yang memang tidak menggembirakan ramai orang. Ini keputusan melalui perbincangan bersama kerajaan negeri dan agensi-agensi terlibat dan di bawa ke peringkat pusat sebelum diputuskan," katanya.
Jelasnya, penularan yang meningkat mendadak itu perlu disekat secepat mungkin bagi memastikan negeri Terengganu tidak terjejas dan Besut akan kembali pulih.
"Kita rasa tidak ada jalan lain lebih selamat supaya tidak menular ke daerah lain kerana jika ia (penularan) sampai ke daerah-daerah selatan Terengganu, ia akan lebih parah," katanya.
07 May 21
965
Sasar 258,000 Penerima Vaksin Fasa Dua
KUALA TERENGGANU, 19 April – Terengganu menyasarkan seramai 258,000 penerima vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat negeri yang bermula hari ini sehingga Ogos 2021.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, fasa itu akan memberi keutamaan kepada golongan warga emas, golongan yang mempunyai penyakit atau co-morbid dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Program imunisasi menyeluruh ini adalah bertujuan untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.
“Ringkasnya, imunisasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga individu yang tersayang dan sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita termasuklah ahli keluarga, rakan sekerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran PICK Fasa dua Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Kampung Laut, Chendering, sebentar tadi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Zahari Md Azahar, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus serta Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.
Tambah Ahmad Samsuri, fasa tiga akan bermula pada bulan Mei 2021 dan dijangkakan akan berakhir pada hujung tahun 2021 yang melibatkan golongan dewasa yang berumur 18 tahun dan ke atas.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan, peringkat permulaan fasa kedua melibatkan tiga buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu Pusat Sains dan Kreativiti Kuala Terengganu (PSKT), Dewan Dato' Seri Amar Diraja, Kemaman dan Dewan Serbaguna Sungai Tarom, Setiu.
"Manakala untuk bulan Mei dan seterusnya bilangan PPV Awam akan ditambah berdasarkan keperluan dan keadaan semasa," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pesara kerajaan, Khalid Salleh, 61, menjadi diantara individu pertama dalam kira-kira 150 lebih warga sasar yang disuntik vaksin sempena pelancaran fasa dua peringkat negeri.
Dia menerima suntikan kira-kira jam 10 pagi tadi oleh jurusuntik Noraini Mohd Mokhtar, seorang Ketua Jururawat Kesihatan.
Khalid yang berasal daripada Kampung Manir berkata, dakwaan akan wujud kesan sakit keterlaluan selepas divaksin adalah tidak benar.
Khalid Salleh setelah selesai disuntik vaksin
“Kita ada rasa juga, macam digigit semut sahaja. Oleh itu, saya ambil peluang mengajak seluruh warga emas dan orang ramai supaya tidak takut, daftar dan tampil untuk divaksin segera.
“Mana-mana pihak yang sebarkan perkara tidak sahih berkaitannya, kita elakkan, Insya-Allah dengan ikhtibar ini kita serahkan kepada Allah SWT,” jelasnya ketika ditemubual pemberita.
19 Apr 21
470
5,478 Kedai Makan Di Terengganu Diserbu
KUALA TERENGGANU, 7 April - Sebanyak 5,478 kedai di seluruh negeri Terengganu dijalankan pemeriksaan melalui satu Operasi bersepadu “Ops Kedai Makan Tumpuan” Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus memaklumkan, berikutan Ops tersebut, sejumlah enam tindakan kompaun dengan nilai RM26,000 dikenakan dengan pemeriksaan dijalankan bermula 13 Mac sehingga semalam.
“Tujuan Ops ini adalah bagi memastikan semua masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKPP ini.
“Dari enam tawaran kompaun yang dikeluarkan, lima kompaun telah dijelaskan dengan nilai kutipan sebanyak RM4,015," katanya.
Mengulas lanjut berkenaan Ordinan Darurat (Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, beliau memaklumkan, arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan itu berperanan dalam menangani penularan wabak COVID-19.
"Perintah ini berkuatkuasa daripada 11 Mac 2021 yang merangkumi pindaan lima peruntukan sedia ada dan penambahan lima peruntukan baharu.
“Salah satu pindaan berkaitan pengkompaunan kesalahan. Kadar kompaun asal adalah tidak melebihi RM1,000 dipinda kepada tidak melebihi RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi pertubuhan perbadanan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, semua lapan pejabat kesihatan daerah di negeri Terengganu telah menjalankan operasi oleh Pasukan Task Force Pematuhan SOP PKPP.
“Operasi adalah serentak dan melibatkan seramai 52 orang anggota penguatkuasa.
“Sepatutnya setiap rakyat mengambil pendekatan kawalan kendiri bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak menular akibat ketidakpatuhan kepada SOP. Penguatkuasaan adalah jalan terakhir.
“Namun pihak jabatan perlu bertindak tegas jika didapati perlangaran SOP berlaku dengan terang," jelasnya.
Sementara itu, pihaknya turut melaporkan sebanyak 14 kesalahan di bawah Akta PPKHT 2004 (merokok di kedai makan) juga dikesan dengan nilai kompaun sebanyak RM3,500.
06 Apr 21
3648
PKM, JPKK Jalin Kerjasama Tingkat Kesedaran Daftar Vaksin
SETIU, 5 April - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) giat mengadakan kempen pendaftaran vaksin COVID-19 bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan segala berita yang disebarkan pihak tertentu tentang vaksin kerana pakar dalam bidang terbabit sudah memberi penjelasan.
"Alhamdulillah, pagi ini saya telah melengkapi jadual suntikan vaksin untuk kali ke dua dan setakat ini tiada apa-apa gejala atau kesan yang teruk termasuk tiada sebarang alahan..
"Vaksin ini adalah sebahagian usaha untuk kita melindungi diri dan masyarakat daripada pandemik COVID-19 di samping pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima suntikan di Klinik Kesihatan Rahmat,l semalam.
Sijil digital melengkapi dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Dalam pada itu, rekod pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera bagi daerah Setiu setakat 2 April mencatatkan bilangan seramai 7959 orang dengan kadar 18.5 peratus.
Orang ramai terus disaran untuk mendaftarkan diri dan tanggungan melalui aplikasi MySejahtera atau melalui laman www.vaksincovid.gov.my/daftar.
04 Apr 21
754
Pusat Pakar Jantung Pertama Dibina Terengganu
KUALA TERENGGANU, 1 April - Institut Jantung Negara (IJN) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menubuhkan pusat pakar jantung di Terengganu bagi memenuhi keperluan kesihatan di luar ibu negara.
Usaha itu akan direalisasikan menerusi pembinaan Hospital Pengajar UniSZA di Gong Badak dan menjadi fasiliti pertama di luar Kuala Lumpur sejak ditubuhkan 29 tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, pihaknya akan mula bekerjasama peringkat awal dalam perkhidmatan perundingan dan khidmat nasihat kardiovaskular serta toraks (rongga dada) di Hospital Pengajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu.
“Kita akan mulakan rawatan pesakit luar pakar terlebih dahulu, dan berkembang ke perkhidmatan lain seperti kardiovaskular dan toraks pediatrik.
"Pusat ini akan dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 pesakit di Pantai Timur manakala baru-baru ini banyak permintaan sama ada kami akan memberikan rawatan di luar Kuala Lumpur.
"Jadi, ini adalah langkah pertama untuk membawa perkhidmatan kami kepada orang ramai, malah kami akan melihat kemungkinan pembukaan pusat seperti itu di kawasan lain selepas ini," katanya sebagaimana dilapor Harian Metro..
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis menandatangani MoU antara kedua-dua institusi bagi memeterai kerjasama, semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Ketua Pegawai Klinik IJN, Dr Hasri Samion dan Pengarah UniSZA, Hilmi Mohd Nashir.
Memorandum dua tahun itu menggariskan kepentingan menjalin kerjasama dalam perkhidmatan perubatan, kesihatan, kemudahan, latihan, penyelidikan dan perkhidmatan perubatan lain yang berkaitan di Terengganu.
Menurut Dr Hassan Basri, pembinaan hospital itu sudah siap 85 peratus dan dijangka dibuka tahun depan. - Sumber foto: Muhammad Muhairi Jasmani dan Ahmad Kamal Ramli
01 Apr 21
2893