lightning-solid
Berita :

Artikel "Kesihatan" Terkini

Sukarelawan OUTREACH Parlimen Kemaman Antara Yang Terbaik
Sukarelawan OUTREACH Parlimen Kemaman Antara Yang Terbaik
KEMAMAN, 28 Jun - Pujian buat sukarelawan Outreach Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Parlimen Kemaman merupakan antara yang terbaik menjalankan tugas bagi menjayakan proses awal dalam pengumpulan maklumat pendaftaran penerima vaksin. “ Diberi kepercayaan buat petugas bawah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Parlimen Kemaman oleh jawatankuasa bencana daerah dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman bagi memudahkan orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin” berucap Ahli Parlimen Kemaman, Yang Berhormat Che Alias Hamid di taklimat sebelum sukarelawan bergerak di Meraga Beris, Kemaman. “Tahniah dan syabas atas usaha sukarelawan semua sehingga ianya dipuji oleh PKD Kemaman”, ujarnya lagi. “Sehingga kini 60.7% rakyat Kemaman telah mendaftar sebagai penerima vaksin dan saya mengharapkan rakyat di Kemaman khusnya dapat mencapai 80% imunisasi berkelompok secepat mungkin agar kita dapat keluar dari situasi pandemik ini” tambahnya lagi. Sehingga kini program yang berjalan selama lima (5) hari bermula di Jabor, Perasing  pada 11 Jun dapat mengumpulkan pendaftaran seramai 705 orang, 12 Jun di Neram 01 seramai 1,719 orang, 18 Jun di kijal seramai 860 orang, 19 Jun di Teluk Kalong seramai 1,243 orang dan 26 jun di Meraga Beris 515 orang menjadikan jumlah terkumpul 5,042 orang. Outreach Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Parlimen Kemaman mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak terutama PKD Kemaman, Kakitangan PKM Ahli Parlimen Kemaman, Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Kemaman, Pejabat Penerangan Daerah Kemaman dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat
27 Jun 21
428
Program 'Outreach' Sasar Warga Luar Bandar Bukit Besi
Program 'Outreach' Sasar Warga Luar Bandar Bukit Besi
Oleh: Amiruddin Zamri DUNGUN, 28 Jun - 'Outreach' Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bukit Besi membekalkan 500 vaksin kepada warga Bukit Besi terutamanya melibatkan Ahli Jawatankuasa Masjid, KETENGAH dan para guru. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, setiap warga kawasannya itu perlu memikul tanggungjawab bersama dalam menjayakan program kebangsaan tersebut demi keselamatan komuniti setempat. "Sambutan yang diterima dari peringkat luar bandar Hulu Dungun khususnya warga Bukit Besi amat menggalakkan. "Seramai 75 sukarelawan terdiri daripada warga masyarakat disini ditugaskan bagi melancarkan pergerakan PPV outreach yang julung kalinya diadakan di Dewan Sekolah Menengah Bukit Besi," katanya ketika ditemubual pemberita, semalam. Sementara itu, beliau juga berterima kasih kepada para petugas Pejabat Daerah Dungun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis, Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sukarelawan yang menjayakan program tersebut. "Tidak lupa juga kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Besol, JPKK Perumahan dan JPKK Kampung Bukit Besi yang turut sama membantu bagi melancarkan lagi program pemvaksinan di sini. "Harapan saya agar penduduk di seluruh negeri dapat mengambil peluang atas inisiatif yang diberikan oleh kerajaan bagi memastikan imuniti berkelompok dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar amnya di DUN Bukit Besi," jelasnya.  
27 Jun 21
237
'Outreach' Vaksin SK Seri Kasar Catat Suntikan Tertinggi
'Outreach' Vaksin SK Seri Kasar Catat Suntikan Tertinggi
SETIU, 27 Jun - 'Outreach' Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kasar, Setiu merekodkan pencapaian tertinggi bagi negeri Terengganu. Outreach PICK yang dilaksanakan pada semalam mencatatkan 1,109 suntikan dos pertama vaksin Sinovac kepada penduduk di sekitar kawasan pedalaman itu. Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif berkata beliau amat berasa gembira dengan pencapaian program 'outreach' itu yang memperlihatkan kesungguhan orang kampung untuk bebas daripada Covid-19. Rosli Latif (berbaju batik) bergambar bersama  Pegawai Kesihatan Daerah Setiu, Dr. Hanif (kanan) "Kami mendapat satu pasukan kerja yang sangat berkesan dengan bantuan semua pihak termasuk daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat, Jabatan Amal Kawasan Setiu dan semua agensi kerajaan. "Sekiranya kami menerima lagi bekalan vaksin, kami akan teruskan program seperti ini di kampung-kampung berjauhan dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di Sungai Tarom. "Setakat ini saya melihat  pendekatan 'outreach' ini adalah satu kaedah terbaik sesuai dengan sosiobudaya masyarakat di daerah Setiu kerana kita mempunyai masalah logistik," katanya lagi ketika ditemuramah di SK Seri Kasar petang tadi. Seramai 2711 orang penduduk daerah Setiu telah menerima suntikan vaksin dos pertama melalui tiga program 'outreach' yang telah dijalankan di Setiu setakat semalam. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Terengganu, Dr. Haji Alias Razak turut hadir melihat perjalanan program imunisasi yang dijalankan.  
27 Jun 21
740
Program Outreach Vaksinasi SK Seri Kasar Sasar 1,000 Suntikan Sehari
Program Outreach Vaksinasi SK Seri Kasar Sasar 1,000 Suntikan Sehari
SETIU, 24 Jun - Sebanyak 1,000 suntikan dos vaksin COVID-19 disasarkan kepada orang ramai di Program Outreach Vaksinasi di Sekolah Kebangsaan Seri Kasar, di sini pada Sabtu ini. Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif berkata jumlah sebanyak itu diperuntukkan kepada penduduk daripada 10 buah kampung di Mukim Hulu Nerus 1. "Ini adalah satu kaedah bagi membantu penduduk luar bandar daerah itu mendapatkan suntikan vaksin," katanya ketika ditemui selepas lawatan tapak Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di SK Seri Kasar hari ini. Sementara itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, program outreach itu diatur berfokus kepada kampung yang berada jauh daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sungai Tarom. "Setakat ini dua 'outreach' sudah dilaksanakan di SK Bukit Mundok dan SK Merang dan outreach di SK Seri Kasar ini merupakan yang ketiga buat daerah Setiu. "Melihat sambutan yang menggalakan daripada orang ramai daripada pembukaan 'outreach' sebelum ini kita akan terus berusaha untuk membawa PPV dekat dengan mereka. "Harapan saya agar warga daerah Setiu memanfaatkan peluang ini bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan," jelasnya.
24 Jun 21
626
Terengganu Buka Pusat Pemberian Vaksin Masjid Pertama
Terengganu Buka Pusat Pemberian Vaksin Masjid Pertama
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Terengganu membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) masjid yang pertama di negeri itu bagi menyemarakkan program imunisasi kebangsaan sekali gus mewujudkan pelbagai kaedah dalam pelaksanaan vaksinasi. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyasarkan pembukaan PPV masjid di setiap daerah Terengganu bergantung kepada perancangan dan bekalan vaksin yang diterima. "Kita mahu mempelbagaikan kaedah penyampaian vaksin kepada rakyat yang mana selain daripada PPV awam kita ada juga PPV nstitut pengajian tinggi (IPT) dan program bantuan (outreach) ke kawasan-kawasan pedalaman. "PPV masjid akan dikembangkan ke seluruh negara terutama di kawasan-kawasan pedalaman yang dihuni orang-orang Melayu dan pendekatan ini membantu menimbulkan minat dan kefahaman yang benar tentang vaksin kepada umat Islam," katanya. Beliau berkata demikian selepas tinjauan PPV masjid di Masjid Al-Taqwa, Durian Burung, hari ini. Turut serta, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus dan pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu, Dr. Muhammad Zuraizi Jaafar. Jelasnya, program PPV masjid masih diperingkat perintis yang akan dikembangkan. "Berbanding program vaksinasi masjid di Kelantan yang lebih kepada program outreach, PPV masjid di sini lebih tersusun, lengkap dan ia akan jadi tetap. "Kiita juga akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) melalui perbincangan saya dengan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir sebab kita tidak mahu ada tohmahan tidak boleh solat di masjid tetapi boleh berkumpul untuk terima suntikan," katanya. Menurut Amzad, PPV masjid itu diselia sepenuhnya oleh PAPISMA dengan seliaan dan pemantauan JKNT. "Hari ini, kita ada 10 doktor pakar dan 30 doktor perubatan, saya telah lihat hari ini dan dapati ia telah berjalan seperti mana yang kita harapkan, kita telah berjaya menyelesai vaksinasi seramai 90 orang dalam masa dua jam sahaja. "Mereka ini bertugas secara percuma atas dasar kesedaran meringankan beban barisan hadapan dan perancangan kita setakat ini, PPV ini beroperasi pada hujung minggu sahaja," katanya.  
19 Jun 21
2484
Wad Kelas Ketiga Percuma Bermula 1 Julai
Wad Kelas Ketiga Percuma Bermula 1 Julai
KUALA NERUS, 17 Jun - Pelaksanaan caj percuma bagi wad kelas ketiga bagi seluruh hospital kerajaan di Terengganu akan dilaksanakan bermula 1 Julai ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak memaklumkan, dianggarkan kira-kira 1.2 juta rakyat Terengganu akan menerima manfaat pelaksanaan manifesto PAS Terengganu bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu. "Kita telah melalui proses yang panjang untuk melaksanakan satu lagi manifesto bagi memenuhi janji kepada rakyat iaitu untuk melaksanakan rawatan kelas ketiga percuma. Alhamdulillah, persiapan kita dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Persekutuan kini dilaksanakan, terima kasih bagi membantu menjayakan program ini di Terengganu. "Caj Wad Kelas Ketiga Percuma ini akan melibatkan enam buah hospital iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Dungun, Hopsital Kemaman, Hospital Setiu, Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu melibatkan anggaran 1,390 buah katil secara keseluruhannya," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, semalam. Jelasnya, golongan yang menerima faedah program tersebut ialah semua pemegang kad pengenalan Terengganu merangkumi caj katil, makan minum dan rawatan. "Semua caj ini adalah percuma dan ditanggung oleh kerajaan negeri melibatkan jumlah kira-kira kos RM3.7 juta setahun. "Berdasarkan rekod kita dapati jumlah rakyat yang mendapatkan rawatan dan menggunakan wad dalam tempoh setahun adalah sekitar 90 ribu orang.  "Buat masa ini, program ini tidak terpakai kepada bukan rakyat Terengganu, namun akan dipertimbangkan untuk lebih baik pada masa akan datang atau mereka yang tidak bernombor kad pengenalan 11 tetapi mengundi di Terengganu turut dapat mendapat manfaat ini. Ini kerana, kita fokus untuk meringankan golongan berpendapatan rendah (B40) yang terbeban dengan pendapatan harian dan sebagainya. "Bagaimanapun, insya-Allah, selagi PAS Terengganu terus memerintah, caj percuma wad kelas ketiga akan diteruskan," katanya.  
17 Jun 21
1298
Outreach PICK : 811 Penduduk Terima Suntikan
Outreach PICK : 811 Penduduk Terima Suntikan
SETIU, 16 Jun - Seramai 811 penduduk menerima suntikan vaksin dos pertama dalam penganjuran Outreach Vaksinasi di bawah Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di daerah ini. Sekolah Kebangsaan Merang, Setiu yang dijadikan pusat PICK dibuka seawal 8.00 pagi itu mula menerima kehadiran orang ramai. Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif berkata, pendaftaran merekodkan seramai 888 penduduk. "Namun, yang dibenarkan untuk disuntik adalah seramai 811 sahaja dan selebihnya tidak dibenarkan disebabkan beberapa faktor kesihatan. "Terima kasih kepada semua yang terlibat pada hari ini Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah Setiu, Pejabat Kesihatan Daerah Setiu, JKR Setiu, APM Daerah Setiu, Penghulu Mukim, Jabatan Amal dan semua Pengerusi JPKK yang terlibat". Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus berakhir program PICK hari ini. Dalam pada itu, PICK turut menerima kunjungan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan memeriahkan program dengan edaran 'goodies bag' kepada orang ramai. PICK kali kedua ini diadakan selepas kali pertama di Sekolah Kebangsaan Bukit Munduk, Langkap awal Jun lalu.
16 Jun 21
267
Terengganu Sasar Capai 80 Peratus Vaksinasi Pada November
Terengganu Sasar Capai 80 Peratus Vaksinasi Pada November
KUALA NERUS, 17 Jun - Kerajaan Terengganu meletakkan sasaran untuk mencapai 80 peratus vaksinasi bagi rakyat negeri itu dalam tempoh empat bulan, sehingga November ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak berkata, setakat 14 Jun, sebanyak 12.77 peratus iaitu berjumlah 103,297 individu di negeri itu telah memperolehi vaksin dos kedua. "Sasaran kita kini adalah untuk capai target 80 peratus vaksinasi dalam tempoh empat bulan. Saya jangkakan, pada awal November kita akan capai sasaran jika bekalan vaksin tidak tergendala. "Kemampuan pemberian vaksinasi kita sekarang ialah seramai 205,800 individu sebulan, membolehkan 841,800 penduduk  menerima vaksin pada fasa kedua dan ketiga ialah dalam masa empat bulan," katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, hari ini. Jelasnya, usaha tersebut turut dibantu dengan peningkatan kadar kehadiran warga emas untuk menerima vaksin. "Kadar warga emas yang hadir juga sudah semakin tinggi iaitu sekitar 70 peratus. Sebelum ini, pengangkutan dikatakan menjadi antara masalah utama, jadi seluruh pusat khidmat DUN di seluruh Terengganu kini menyediakan kenderaan untuk menjemput dan menghantar mereka dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV). "Kita juga akan membuka PPV di masjid-masjid dengan Masjid Durian Burung menjadi projek peneraju (pilot project) pada 19 Jun ini dengan anggaran peserta seramai 250 orang," katanya.    
16 Jun 21
354
Terengganu Rekod 'Utilization Rate' Vaksin Covid-19 Tertinggi
Terengganu Rekod 'Utilization Rate' Vaksin Covid-19 Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 13 Jun - Terengganu menjadi negeri tertinggi merekodkan kadar penggunaan (utilization rate) vaksin Covid-19 iaitu sebanyak 93 peratus mengatasi negeri-negeri lain. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, daripada 183,700 vaksin yang diterima oleh negeri itu, hanya 13,239 dos vaksin yang masih belum digunakan. “Pencapaian ini lebih baik berbanding sebahagian negeri yang mana ada negeri diberi sehingga 860,000 vaksin, tetapi masih berbaki sekitar 300,000 dos lagi yang belum digunakan. “Kita akan menjustifikasikan bekalan vaksin yang dihantar kepada negeri yang menunjukkan pencapaian baik kepada penggunaan vaksin yang dihantar yang mana kedudukan hari ini negeri Terengganu mencatatkan paling tinggi. “Bagi memberi dorongan kepada jentera meningkatkan prestasi, merit akan diberikan kepada negeri-negeri yang mencatatkan prestasi yang baik,” katanya. Beliau berkata demikian dalam siding media selepas melakukan pemantauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini. Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus dan Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan. Tambah Ahmad Amzad, PPV UniSZA merupakan antara pusat terawal melibatkan Institut Pengajian Tinggi dengan kapasiti mengendalikan 1,500 peserta pada satu-satu masa. “Hari ini, pihak PPV melakukan pemberian vaksin kepada 150 peserta bagi menguji sistem yang dilaksanakan. Saya diberi tugas melakukan pemantauan dan mendapati, persiapan dilakukan dengan baik melebihi apa yang diharapkan. “Tahniah kepada UniSZA kerana penglibatan sumber kepakaran yang ada merupoakan sesuatu yang sangat penting bagi membantu usaha negara melaksanakan lebih banyak suntikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.  
13 Jun 21
6355
'Outreach' Daftar Vaksinasi Covid-19 Diaktifkan
'Outreach' Daftar Vaksinasi Covid-19 Diaktifkan
KEMAMAN, 12 Jun - Program 'Outreach' pendaftaran pengambilan vaksin Covid-19 telah digerakkan di daerah Kemaman bagi memudahkan urusan penerimaan vaksin. Penyelia program, Khairuddin Ahmad memberitahu, seramai 20 orang sukarelawan terlibat dalam program tersebut di bawah kelolaan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Kemaman. "Program di bawah kelolaaan PKM Ahli Parlimen Kemaman dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, UPDI Kemaman, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kemaman dan Pejabat Penerangan Daerah Kemaman serta Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat. "Seramai 20 orang petugas sukarelawan terlibat di dalam program ini yang dipilih dan telah menerima suntikan vaksin untuk keselamatan mereka," katanya. "Alhamdulillah, hari pertama program ini, kita telah berjaya mendaftarkan seramai 705 orang melibatkan dua JPKK iaitu Kampung Perasing Jaya dan Taman Perasing Jaya," ujarnya ketika ditemui semalam di Taman Perasing Jaya. "Penduduk bersyukur dengan adanya program 'Outreach' seumpama ini dapat memudahkan pendaftaran mereka dan memberikan lebih jaminan kepada mereka untuk menerima vaksin. "Sambutan penduduk sekitar amat menggalakkan dan saya amat berharap agar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) setempat dapat diwujudkan bagi memberikan kemudahan kepada mereka yang berada jauh dari PPV utama," tambahnya.
12 Jun 21
807