Artikel "Kesihatan" Terkini
'Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Mampu Capai Matlamat'
Oleh: Marwan AlHakim
KUALA LUMPUR, 18 Mac- Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim optimis Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mampu mencapai matlamat mewujudkan imuniti kelompok apabila fasa kedua dan ketiga program suntikan bermula.
“Berdasarkan, perkembangan program imunisasi ketika ini yang telah mencatat lebih 70 peratus daripada jumlah 571,000 ribu pasukan barisan hadapan di seluruh negara yang akan menerima vaksin di dalam fasa pertama, saya yakin program imunisasi ini akan mencapai matlamatnya.
"Kita berharap semoga imuniti kelompok akan segera dicapai apabila fasa dua dan fasa tiga program imuniti ini bermula.” katanya ketika ditemui selepas selesai lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hopital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), pagi semalam.
Kunjungan Ahmad Amzad telah disambut oleh Pro-Naib Canselor Konsortium Hospital UNI Awam Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor serta Timbalan Pendaftar Hopital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Encik Mursidi Ahamad.
Turut hadir, Mantan Pro-Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal.
Dalam lawatan tersebut, Amzad turut melihat secara langsung bagaimana proses suntikan bermula daripada proses memasukkan vaksin ke dalam jarum suntikan sehingga kepada proses suntikan vaksin ke dalam badan.
Pada program yang berlangsung pagi ini, seramai 408 'frontliner' terdiri daripada kakitangan kesihatan dan keselamatan hadir mendapatkan suntikan vaksin.
17 Mar 21
402
Ambil Vaksin Sebagai Ikhtiar - Abdul Hadi
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyeru rakyat supaya tampil mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19, sebagai ikhtiar untuk mengurangkan jangkitan wabak itu.
"Sepatutnya kena ambil vaksin dengan keadaan wabak yang ada. Menjadi tanggungjawab semua untuk jaga diri kita masing-masing.
"Kita orang Islam tak boleh berserah sahaja, ikhtiar kena ada. Mencegah penyakit sangat penting dan dituntut dalam agama," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Abdul Hadi, 74, menjadi salah seorang penerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini dan selesai mendapat suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech pada jam 10.11 pagi di Klinik Kesihatan Chendering.
Proses vaksinasi terhadap Presiden PAS berkenaan dibuat Ketua Jururawat Klinik Kesihatan Chendering, Raziah Hanim Mamat.
Menurutnya, beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin berkenaan.
"Hari ini saya sudah disuntik dengan vaksin COVID-19, alhamdulillah tak berasa apa pun, proses yang dilakukan tadi macam biasa," ujarnya.
Beliau merupakan antara penerima vaksin COVID-19 selain bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 96, di samping isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, 95.
14 Mar 21
1763
Abdul Hadi Selesai Divaksin Covid-19
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, 74, hari ini menerima vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Chendering di sini.
Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah disuntik Ketua Jururawat, Raziah Hanim Mamat kira-kira pukul 10.15 pagi.
Beliau antara penerima vaksin Covid-19 terawal di kalangan pemimpin PAS di negeri Terengganu.
“Saya sudah biasa setiap dua minggu sekali ke hospital, jadi proses vaksinasi yang dilakukan tadi adalah seperti biasa.
“Mendapatkan suntikan Covid-19 adalah antara ikhtiar kita selain bertawakal kepada Allah dan usaha untuk mencegah sebelum sakit itu sangat penting.
"Prosedur vaksinasi Covid-19 yang dijalankan hari ini sama seperti rutinnya mendapatkan rawatan di hospital sebelum-sebelum ini," kata Abdul Hadi sebelum beredar meninggalkan klinik pada jam 10.40 pagi tadi.
14 Mar 21
454
Sinovac Bukan Vaksin Murahan
KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Tanggapan segelintir pihak mengenai Sinovac sebagai vaksin murahan adalah tidak benar kerana proses kelulusan di bawah kawal selia Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) sangat ketat.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, vaksin yang dibeli secara pukal dari China itu adalah lebih mahal dan dipercayai di peringkat dunia kerana penghasilannya menggunakan teknologi ternama.
“Proses pembotolan dijalankan oleh Pharmaniaga Berhad, namun lambat sedikit dari segi kelulusan, kerana ia tidak bergantung kepada kelulusan 200 liter vaksin secara pukal.
“Vaksin tersebut perlu diproses dan dibotolkan dengan betul seperti ditetapkan piawaian,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Akademi Robotik TD1303 X JAZRO di TD1303, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Ladang Tok Pelam, pagi tadi.
Mengulas isu vaksin Pfizer-BioNTech yang menjadi rebutan warga kasta tinggi, Ahmad Amzad memaklumkan, semua vaksin mempunyai keberkesanan yang sama.
“Bagi meningkatkan keyakinan masyarakat awam, saya telah mendaftar untuk divaksin melalui aplikasi MySejahtera dan sedang menunggu giliran.
“Bila sampai giliran saya, vaksin selain Pfizer yang diluluskan NPRA akan disuntik, jika ia Sinovac maka itulah vaksin saya, semoga ini menimbulkan keyakinan terhada vaksin yang diluluskan kerajaan,” jelasnya.
Menjawab dakwaan sesetengah penerima vaksin meninggal setelah disuntik, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menegaskan NPRA iaitu badan kawal selia ubat-ubatan di Malaysia dirujuk sebagai agensi yang paling ketat dalam kerja kelulusan vaksin.
“Berkaitan insiden kematian, apabila diteliti tiada kaitan langsung disebabkan vaksin, jika berlaku sedemikian maka laporan penerima vaksin akan dirujuk untuk mengkaji punca kematian.
“279 juta dos vaksin telah disuntik sehingga kini di 107 negara, sehari purata enam juta orang disuntik, kesan sampingan iaitu anaphylaxis pada kadar sangat minimum iaitu sekitar 0.0003 hingga 0.0004 peratus.
“Di United Kingdom, alahan kacang lebih tinggi berbanding kesan vaksin pada 0.025 peratus atau 1/200 orang dewasa boleh alami kesan sampingan daripada makanan tersebut,” tambahnya.
06 Mar 21
601
Buluh Gading Agih 939 Kad Sejahtera
KUALA NERUS, 6 Mac - Sebanyak 939 kad sejahtera telah diagihkan kepada penerima dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, kad tersebut sudah boleh mula digunakan sejak 1 Mac yang lepas.
Ustaz Ridzuan Hashim menyampaikan ucapan perasmian.
“Manfaat kad sejahtera bukan sahaja dinikmati oleh diri sendiri, malah suami, isteri, termasuk juga ibu bapa dan anak-anak tanggungan yang berumur 25 tahun ke bawah.
“Nilai manfaat yang diberi adalah sebanyak RM500 setahun, dengan kos setiap kali rawatan tidak melebihi RM70. Selebihnya perlu ditanggung oleh pemegang kad tersebut," ujar beliau lagi.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Kad Sejahtera yang diadakan di Dewan Terbuka, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading, baru-baru ini.
Katanya, dengan adanya kad ini, kesesakan di hospital kerajaan akan berjaya dikurangkan kerana tumpuan rawatan telah beralih ke klinik swasta yang telah dilantik.
Justeru katanya, Inilah tugas dan tanggungjawab utama kerajaan yang sentiasa memikirkan bagaimana untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan menyalurkan kekayaan negeri menerusi program-program yang telah disusun atur.
Beliau juga berharap agar para penerima kad ini dapat memanfaatkannya sebaik mungkin.
04 Mar 21
1033
JPKK Perlu Bantu Penduduk Daftar Vaksin COVID-19
KEMAMAN, 28 Februari - Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) membantu penduduk di kawasan masing-masing untuk mendaftar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
"Saya minta JPKK terutama di Terengganu yang menjadi nadi masyarakat supaya mengenal pasti dan membantu mereka yang ada kesukaran untuk daftar. Begitulah kepada anak-anak yang ada kemampuan dan ada ruang, daftarlah untuk ibu bapa yang tidak ada kemampuan dan kesempatan," katanya.
Beliau mengunjurkan seruan tersebut pada sidang media selepas menyempurnakan penyampaian Bantuan Banjir Terengganu di Dewan Majlis Perbandaran Kemaman, semalam.
Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri tidak menetapkan sebarang sasaran pendaftar untuk menerima vaksin COVID-19 kerana fasa satu pemberian vaksin mengutamakan pasukan barisan hadapan.
"Kita sedang melihat menilai maklum balas bagi fasa kedua dan ketiga yang sedang masuk. Dalam tempoh ini kita akan lihat kecenderungan pendaftaran, jika agak perlahan kita akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk langkah-langkah yang perlu dilaksanakan supaya dapat kadar penerima vaksin dimaksimumkan," jelasnya.
Dalam program bantuan tersebut, seramai 160 penerima daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) daerah Kemaman menerima bantuan tunai sebanyak RM500 daripada kerajaan negeri.
Bantuan bagi daerah lain yang terlibat akan disalurkan bermula esok.
28 Feb 21
390
Pemvaksinan Fasa Satu Terengganu Selesai Selewatnya Bulan Mei
KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Proses pemvaksinan fasa satu di Terengganu iaitu kepada keseluruhan petugas barisan hadapan yang bermula 2 Mac ini dijangka selesai selewat-lewatnya pada Mei.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia akan melibatkan lebih 15,000 orang ‘frontliners’ di seluruh negeri berpandukan senarai nama petugas.
“Penerima tersebut terdiri daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri dan juga petugas barisan hadapan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan lain-lain lagi.
“Untuk makluman, bilangan dos vaksin diterima adalah sebanyak 16,380 dos yang disimpan di tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) sejurus sampai ke Terengganu sebelum diagihkan kepada kira-kira 20 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam.
Tambah Nor Azimi yang juga antara penerima vaksin pertama, pusat pemberian vaksin akan melibatkan enam hospital dan 14 buah klinik kesihatan di seluruh negeri.
“Fasa pertama ini mungkin akan tamat pada bulan April atau Mei bergantung kepada setakat mana kita boleh selesaikan senarai penerima vaksin.
“Kita juga berbeza dengan negeri luar dan jumlah ‘frontliner berlainan dari negeri ke negeri,” katanya lagi.
26 Feb 21
590
MB Terengganu Empat Individu Terawal Terima Suntikan Vaksin COVID-19 Esok
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan antara empat individu terawal yang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 di negeri Terengganu mulai esok.
Perkara tersebut disahkan oleh Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah, selain tiga individu lain termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zahari Md. Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus yang akan turut menerima suntikan.
“Pihak Kementerian Kesihatan memberi jaminan tiada kesan sampingan akan berlaku selepas suntikan. Bagaimanapun pemantauan akan turut dibuat bagi setiap individu yang menerima suntikan vaksin ini.
"Selain itu dianggarkan 15,000 barisan hadapan termasuk 530 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu akan turut menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa satu.
“Ia akan dilakukan secara berperingkat di 20 pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan dibuka di lokaliti masing-masing,” katanya pada sidang media sempena Taklimat Pemerkasaan Komuniti Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) di Bilik Gerakan Bencana Terengganu di sini hari ini.
Dalam pada itu, jelasnya, barisan hadapan terlibat akan menerima notifikasi tarikh dan lokasi penerimaan suntikan vaksin COVID-19 masing-masing melalui aplikasi MySejahtera.
Kesemua 530 pegawai dan anggota APM negeri telah diwajibkan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 berkenaan mengikut jadual ditetapkan.
25 Feb 21
2036
Tiada Perancangan Wajibkan Vaksin COVID-19
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Kerajaan Malaysia tidak merancang untuk mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 pada fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kerana berpegang kepada prinsip suntikan secara sukarela.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan prinsip program pemvaksinan pertamanya adalah percuma (ditaja kerajaan) dan kedua berhubung dengan persoalan kewajibannya.
“Kita mahu rakyat menerimanya dalam keadaan rela dan yakin atas keperluan vaksin tersebut.
“Oleh itu, kerajaan negeri akan menyampaikan penerangan tentang inisiatif ini secara konsisten sebelum dan sepanjang tiga fasa bermula dengan ketibaan vaksin suntikan Covid-19 Pfizer-BioNTech, baru-baru ini.
“Fasa pertama dijadualkan pada 24 Februari melibatkan petugas kesihatan seramai 300,000 dan ada baki lagi 200,000 itu berkait dengan mereka yang terlibat langsung dengan anggota keselamatan seperti polis, askar dan imegresen,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI.
Tambahnya yang juga ahli parlimen Kuala Terengganu, fasa kedua dijadualkan bermula April melibatkan kira-kira 9 juta orang yang dikenalpasti terdiri daripada warga emas, golongan berisiko tinggi serta Orang Kurang Upaya (OKU).
“Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas (kecuali umur 18 tahun kebawah), bermula pada bulan Mei,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan keperluan pemvaksinan wajib yang ditetapkan oleh negara asing bagi tujuan perjalanan ke luar negara.
“Contohnya seperti Amerika Syarikat dan Australia, mereka mewajibkan pembuktian kita divaksin, ini bukan perkara baharu kerana demi menjaga keselamatan negara masing-masing.
“Situasi sama turut wujud di Arab Saudi, seperti urusan umrah ke tanah suci, mereka yang tidak dicucuk tidak boleh masuk,” tambahnya.
23 Feb 21
594
HSNZ Terima 300 PPE Rakan 1.0
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - 300 set peralatan perlindungan diri (PPE) dan pelindung muka sumbangan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) mula dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi membantu keperluan barisan hadapan menghadapi penularan pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penghantaran pertama tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah 2,000 set PPE yang dibuat UBSNT dalam program Bantuan Kelengkapan Frontliner (Rakan 1.0), baru-baru ini.
"Pertama sekali, material PPE ini diproses setiap hari oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang berkerjasama dengan UBSNT dan apabila siap satu peringkat ia akan dihantar terus ke HSNZ.
"Setakat ini, target kita adalah 2,000 set, namun sekiranya situasi belanjutan, bantuan demi bantuan akan cuba kita salurkan dari masa ke masa," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyempurnakan program sumbangan 10,000 mushaf Al-Quran dan 50,000 pelitup muka ke Sabah di pejabat DUN Wakaf Mempelam, hari ini.
Turut hadir, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak, dan pengerusi IMAN CARE, Mohd Nasrun Abdullah.
Jelasnya, UBSNT menggerakkan usaha membantu barisan hadapan bersama Iman Care iaitu penyumbang utama serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), HANEES, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), TESDEC dan beberapa agensi lain.
“UBSNT, melalui Unit NGO sentiasa terbuka menerima kerjasama daripada NGO-NGO di luar sana dalam membantu menyelesaikan dan menangani pelbagai keperluan sosial," katanya.
Sumbangan tersebut disampaikan Wan Sukairi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan diterima oleh Timbalan Pengarah Perubatan II HSNZ, Dr. Mazila Mat Zin di lobi hospital berkenaan, hari ini.
17 Feb 21
271