Artikel "Kesihatan" Terkini
Hampir 10 ribu Sukarelawan MyVac Lancarkan Proses Vaksinasi
KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Sehingga kini seramai 9,999 sukarelawan menyertai inisiatif Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dalam meningkatkan kelancaran proses vaksinasi di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelaksanaan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu memberangsangkan sehingga permohonan terpaksa ditutup buat sementara waktu.
“Sejak bermulanya pemberian vaksin fasa pertama pada Mac lalu, golongan terdiri daripada belia ini menjalankan tugas yang baik sejak pembukaannya.
“Tambah lagi dengan penambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) pada minggu lepas, ia mempercepatkan lagi ikhtiar untuk ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya ketika ditemubual pemberita.
Beliau berkata demikian selepas lawatan ke PPV TTC, baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Mohd Izwandy Ismail.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam itu, sukarelawan terlibat juga perlu menjalani saringan kesihatan dan suntikan vaksin bagi menjamin keselamatan sepanjang usaha Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Saya cukup kagum melihat semangat para sukarelawan MyVac (rata-rata baru menamatkan pengajian) yang begitu komited dalam menjalankan tugas,” katanya lagi.
Untuk rekod, seramai 505 orang sukarelawan di 15 PPV bertugas sehari secara bergillir dengan 826 orang lagi menunggu panggilan perkhidmatan bila-bila masa.
“Mereka akan ditukar dalam fasa seterusnya kepada sukarelawan baharu untuk ambil tampuk tugas supaya produktiviti pemvaksinan kekal konsisten,” ujarnya.
09 Jul 21
955
MP Kemaman Serah Sumbangan Buat Kelab India Kemaman
KEMAMAN, 8 Julai - Kelab India Kemaman (KIK) menerima sumbangan barangan dapur dan wang tunai daripada Ahli Parlimen Kemaman.
Che Alias Hamid berkata, langkah itu dibuat bagi meringankan beban golongan terbabit yang terjejas teruk.
"Sebanyak 35 barangan keperluan dan wang tunai diagihkan kepada ahli KIK yang terjejas akibat pandemik.
"Kita mengambil cakna dan prihatin tanpa mengira agama dan bangsa apabila menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan," ujar Ahli Parlimen Kemaman itu ketika ditemui semalam.
Program berlangsung secara pandu lalu berhadapan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Parlimen Kemaman berikutan Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak membenarkan sebarang aktiviti yang melibatkan orang ramai pada satu-satu masa.
Turut bersama dalam program tersebut, Setiusaha KIK, Siva Shankar Arunasalam dan pemudah cara dalam program yang ringkas petang semalam.
Beberapa hari yang lalu pihak PKM menerima maklumat berkenaan masyarakat india yang terjejas melalui KIK dan ia telah diluluskan oleh Che Alias.
08 Jul 21
279
PIKAS Pertama Di Kemaman
KEMAMAN, 8 Julai - Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) atau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri pertama telah diadakan di Kemaman untuk pekerja kilang Eastern Steel Sdn. Bhd. (ESSB).
Seramai 1,380 orang pekerja daripada 1,600 orang di EESB akan menerima suntikan vaksin dos pertama dan yang selebihnya sudah mendapat suntikan mengikut pendaftaran Mysejahtera sebelum ini.
Pengarah EESB, Tee Choon Hock ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata, beliau berterima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman yang membantu dalam pelaksanaan PPV Industri tersebut.
"Tidak lupa kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang melancarkan PIKAS bagi sektor perkilangan sekali gus membantu memastikan pemulihan daripada pandemik," ujarnya.
"Pelaksanaan PIKAS juga sedikit sebanyak dapat memfokuskan sektor perkilangan dalam kelancaran ekonomi setempat dan lokasi PPV Industri yang diguna pakai hari ini terbuka untuk kilang di sekitar Kemaman," katanya.
Dalam lawatan hari pertama PPV Industri itu dibuka, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, beliau mengharapkan agar kilang-kilang di sekitar Kemaman dapat segera mendaftar dengan MITI melalui program PIKAS ini bagi persiapan Malaysia keluar dari kemelut COVID-19.
Program kerjasama MITI dan PKD Kemaman untuk pekerja EESB diadakan selama lima hari bermula 6 Julai dan berakhir 10 Julai bertempat di kilang lama Lion Plate Sdn. Bhd, Teluk Kalong Kemaman.
Turut bersama dalam lawatan pertama PPV Industri di Teluk Kalong Kemaman, Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar dan diiringi Pegawai-pegawai Kesihatan Daerah Kemaman.
07 Jul 21
1310
Dua Hari 'Outreach', 7,000 Individu Terima Dos Pertama
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Bagi membantu meningkatkan kadar vaksinasi dalam negeri, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melaksanakan program khidmat santun masyarakat (outreach) di seluruh wilayahnya.
"Usaha kita ialah menubuhkan Skuad Ambil Cakna untuk bersama memastikan capaian 80 peratus vaksinasi berjaya dan selama hampir seminggu pelaksanaannya, kita telah berjaya daftarkan seramai 28 ribu penduduk di wilayah KETENGAH bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) daripada sekitar 70-80 ribu penduduk yang layak.
"Manakala, program 'outreach' yang dilancarkan selama dua hari dengan kerjasama pihak-pihak berkaitan, kita telah berjaya melakukan vaksinasi kepada sekitar 7,000 penduduk. Saya jangka dengan usaha berterusan, kita akan melebih 80 peratus daripada keseluruhan penduduk dalam tempoh dua minggu ke hadapan," katanya Pengerusi KETENGAH, Dato' Razali Idris.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan saguhati sebagai kepada pengamal media di Terengganu sebagai penghargaan atas usaha menyampaikan maklumat dan laporan yang tepat kepada masyarakat, di sini hari ini.
Jelasnya, pihak KETENGAH turut mencadangkan lima lokasi yang sesuai untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi melancarkan proses vaksinasi dan memudahkan penduduk setempat.
"Sebenarnya, dalam wilayah KETENGAH belum ada PPV dan lokasi yang dicadangkan masih dalam proses. Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus ada menjanjikan Balai Orang Ramai (BALORA) di bandar Al Muktafi Billah akan dijadikan PPV.
"Tetapi, apabila melihat kejayaan program 'outreach', maka kita mencadangkan lebih banyak program ini dapat dilaksanakan berbanding mewujudkan PPV," katanya.
Sebanyak 17 lagi lokasi dicadangkan untuk pelaksanaan program 'outreach' dan ia diterima baik jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
"Pengarah Kesihatan Negeri juga bersetuju dengan pelaksanaan outreach lebih banyak dan saya jangka, kalau kita hari ini sudah mencecah 30 ribu penerima, dalam dua minggu kita mampu capai lebih daripada 80 ribu penduduk. Cuma, sekarang kita masuk secara berperingkat menggunakan segala aset yang ada.
"Saya rasa dalam minggu hadapan kita akan lihat pelaksanaannya," katanya.
04 Jul 21
970
Jangan Lalai, Terus Patuh Untuk Menang
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Nor Azimi mengingatkan masyarakat supaya terus mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi terus mencatatkan penurunan jangkitan di negeri itu.
Mengulas tentang berita baik bahawa Terengganu bakal beralih ke Fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang tular semalam, beliau berkata, kelalaian bakal menyebabkan penularan meningkat kembali di negeri itu.
"Untuk kita beralih ke fasa dua, kita agak tersangkut dengan kadar peratus penduduk yang mendapat dos kedua. Sehingga hari ini, pencapaian Terengganu hanyalah 7.1 peratus (penduduk menerima dos kedua) berdasarkan populasi rakyat sebanyak 1.259 juta orang.
"Tetapi dengan bekalan dos yang tinggi pada bulan ini, kita akan cuba pastikan kadar vaksinasi dos kedua boleh ditingkatkan supaya kita boleh bergerak ke fasa seterusnya dengan lebih cepat," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Terengganu Trade Centre (TTC), hari ini.
Jelasnya, menjadi harapan pelbagai peringkat barisan hadapan supaya SOP terus dikekalkan sepanjang fasa kedua nanti.
"Menjadi harapan kita semua supaya pematuhan sop dikekalkan, sebab kita agak baik dari segi penularan jangkitan buat masa ini. Kita tidak mahu terlalai dan kes mungkin akan meningkat semula melalui pelbagai punca.
"Pada fasa dua, akan ada lebih banyak sektor yang dibuka. Jadi, semua orang perlu lebih berjaga-jaga dan berhati-hati," katanya.
Dalam program vaksinasi di TTC hari ini, seramai 200 golongan orang kurang upaya (OKU) menerima vaksinasi dos pertama melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) dan beberapa pihak lain.
02 Jul 21
734
200 OKU Terengganu Terima Vaksinasi
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Seramai 200 orang kurang upaya (OKU) pelbagai peringkat di Terengganu menerima suntikan vaksin dos pertama di Terengganu Trade Centre (TTC), hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, keseluruhan jumlah itu melibatkan seramai 75 OKU daripada Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) serta 15 atlet para Terengganu.
"Selain itu, seramai 77 penerima daripada pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), 23 OKU pelbagai dan 10 tenaga pengajar OKU turut menerima suntikan dos pertama vaksin hari ini.
"Untuk makluman, sebenarnya di seluruh negeri telah ramai OKU yang menerima suntikan vaksin melalui kategori awam yang ada. Mengikut statistik dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih kurang sebanyak 30,000 katergori tersebut di Terengganu yang perlu diberikan keutamaan menerima vaksinasi.
Golongan OKU sedang menerima taklimat daripada doktor melalui jurubahasa di PPV TTC.
"Kita memang cakna berkenaan data ini dan sedang memproses data di seluruh negeri, sekiranya ada mereka akan diserapkan dalam kategori awam sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) TTC, hari ini.
Jelasnya, PPV itu yang baru dibuka bermula Ahad lalu mempunyai kapasiti melaksanakan 300 dos vaksinasi sehari dan akan ditingkatkan kepada 800 dos sehari bermula minggu hadapan.
Dalam pada itu, Presiden POPT, Tengku Arman Harris Tengku Ismail memaklumkan, ini merupakan kali kedua program vaksinasi besar-besaran melibatkan OKU.
"Seramai 63 orang yang berdaftar di bawah POPT akan datang untuk mengambil suntikan vaksin daripada 658 orang ahli.
"Setakat ini, 114 orang di Kuala Terengganu telah menerima vaksin dan lebih kurang 20 orang ahli POPT menerima vaksin yang sedang berlangsung di Besut, hari ini," katanya.
Seorang pelatih di PDK Manir, Hanafi Mohd Rosli (berbaju biru) dan ibunya hadir bersama untuk menerima suntikan vaksin.
Jelasnya, ramai dikalangan OKU terutama pekak bisu telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin, tetapi sebahagian besar masih belum dapat panggilan dan takut untuk mengambil vaksin.
Menurutnya, sebilangan mereka juga sebenarnya mengalami masalah dalam proses mendaftar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana masalah komunikasi.
"Kami banyak menyebarkan maklumat sesama kami melalui pesanan WhatsApp dan juga panggilan video dalam usaha menyampaikan maklumat tentang vaksinasi ini," katanya.
02 Jul 21
939
PKM ADUN Kemasik Tawar Pengangkutan Van Percuma
KEMAMAN, 1 Julai - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Kemasik, mengambil satu inisiatif untuk membantu memudahkan urusan warga DUN Kemasik dengan menawarkan khidmat van percuma.
Khidmat pengangkutan khas tersebut untuk menghantar mereka-mereka yang ada temu janji vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Sri Amar Cukai Kemaman.
Di mana pengangkutan percuma itu adalah bagi sesiapa yang tiada kenaikan untuk ke sana, perjalanan pergi dan balik juga memakan masa 45 minit. Pihak PKM ADUN Kemasik akan pergi mengambil penerima vaksin dari rumah ke rumah, dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan.
Kebanyakkan dari penumpang adalah warga emas.
Bantuan ini akan terus menerus berjalan sehingga peratusan yang disasarkan berjaya dicapai, bagi memutuskan rantaian Covid-19 dikalangan semua komuniti setempat.
"Terima kasih sangat kerana membawa pak cik dan mak cik ke sini (PPV), mari ambil dari rumah sampai ke sini (PPV) lepastu hantar balik semula ke rumah." - Penumpang.
"Sudah semestinya, ini ialah langkah yang baik untuk mempercepatkan proses vaksinasi dan ianya juga dapat memudahkan urusan penerima menerima vaksin.
"Dengan harapan, situasi pandemik ini berakhir secepat mungkin dengan melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19." - ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.
01 Jul 21
524
Pesakit Wad Kelas Ketiga Terengganu Nikmati Caj Percuma Bermula Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Pesakit wad kelas ketiga di seluruh hospital kerajaan di Terengganu mula menikmati caj perubatan secara percuma berikutan pelaksanaan manifesto kerajaan negeri berkenaan bermula hari ini.
Dianggarkan kira-kira 1.2 juta rakyat Terengganu akan menerima manfaat pelaksanaan manifesto PAS Terengganu bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu.
Terdahulu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak, caj Wad Kelas Ketiga Percuma ini akan melibatkan enam buah hospital iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Dungun, Hopsital Kemaman, Hospital Setiu, Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu melibatkan anggaran 1,390 buah katil secara keseluruhannya.
"Kita telah melalui proses yang panjang untuk melaksanakan satu lagi manifesto bagi memenuhi janji kepada rakyat iaitu untuk melaksanakan rawatan kelas ketiga percuma. Alhamdulillah, persiapan kita dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Persekutuan kini dilaksanakan, terima kasih bagi membantu menjayakan program ini di Terengganu," jelasnya.
01 Jul 21
902
73 Individu Derma Darah Hari Pertama
SETIU, 29 Jun - Program derma darah peringkat daerah mencatatkan seramai 73 orang penderma pada hari pertama program itu berlangsung.
Pegawai Perhubungan Awam, Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Suhaimi Yusof berkata, seramai 89 orang mendaftar diri pada hari ini tetapi yang lulus serta dibenar untuk menderma darah adalah seramai 73 orang sahaja.
"Kita berkampung selama dua hari di Setiu hari ini dan esok (Rabu) dan selepas ini kita akan ke Besut,
"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang bersama pada program kali ini dan selepas ini kita akan aturkan jadual lagi ke Setiu memandang Setiu ramai penderma tetap," katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Hadir sama meninjau perjalanan program Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman.
Program anjuran bersama Jabatan Amal Malaysia Kawasan Setiu dengan kerjasama Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) itu bermula 9 pagi hingga 3 petang di Dewan Perpustakaan Awam Daerah Setiu.
Sementara itu, Mohd Hafizi Hashim, 33 salah seorang penderma ditemui berkata, dia yang sudah menderma sebanyak 22 kali mengakui sudah biasa dan tidak berasa takut.
Penderma diingatkan untuk mendapatkan rehat yang cukup serta sihat tubuh badan dan bebas penyakit bagi menyertai program derma darah.
29 Jun 21
230
'Jejak Vaksin' Sasar Penduduk Di Pedalaman
KUALA NERUS, 28 Jun - Dengan persetujuan Jabatan Kesihatan negeri, Program Jejak Vaksin di kawasan pedalaman yang dirancang oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sedang dipergiat.
Program berkonsepkan 'Pop-Up Centre' itu bertujuan meningkatkan pengambilan vaksin di kalangan rakyat luar bandar.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, badan-badan korporat seperti TDM berhad, Hospital Pakar Kuala Terengganu, Dewan Perniagaan Cina Terengganu dan Persatuan Isteri wakil dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') turut terlibat dalam mencapai imuniti kelompok.
"Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak ini pada pertama kali beroperasi di Sekolah Kebangsaan Kesom ini menyasarkan seramai 600 orang.
"Ini adalah salah satu usaha dengan jalinan kesemua NGO untuk kita cari rakyat seramai mungkin untuk divaksinasi dan selepas ini akan ada tempat lain yang telah dipersetujui untuk diadakan bagi meneruskan program ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media, selepas mengadakan lawatan ke program berkenaan , di Sekolah Kebangsaan Kesom, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan Unisza, Prof. Dr. Hamry Mohamed Yusoff dalam satu kenyataan berkata pihaknya optimis dapat mengadakan 50 program dalam tempoh enam bulan.
"Dijangkakan lebih 15,000 suntikan dapat diberikan kepada seluruh penduduk yang berada di pedalaman.
"Melalui sukarelawan pasukan terdiri daripada pakar-pakar perubatan, pensyarah kejururawatan, pensyarah farmasi serta ahli farmasi, pelajar perubatan dan kejururawatan.
"Juga melibatkan pensyarah bukan perubatan daripada fakulti informatik dan komputeraan serta kakitangan sokongan dimana berupaya memberikan suntikan diantara 300-600 orang sehari dan boleh dipertingkatkan berdasar keperluan semasa," ujarnya.
Sehingga kini, katanya program berkenaan telah menerima sumbangan sebanyak RM163,000.
"RM100,000 daripada TDM, juga daripada Persatuan Khairunnisa sebanyak RM10,000, juga daripada Leeeds Dynamic sebanyak RM3,000.
"Manakala Dewan Perniagaan Cina Terengganu telah menyumbangkan RM50,000 di samping turut menyumbang kepada pemberian barangan alat pakai buang, makanan, air mineral dan sebagainya,"ujarnya.
28 Jun 21
147