lightning-solid
Berita :

Artikel "Kesihatan" Terkini

Terengganu Kesan Kes Pertama Varian Delta
Terengganu Kesan Kes Pertama Varian Delta
KUALA NERUS, 28 Julai - Terengganu mengesan kes pertama varian Delta yang disahkan positif baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, perkembangan itu amat membimbangkan. Justeru, beliau menyeru seluruh penduduk Terengganu supaya lebih berwaspada dan meningkatkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak jangkitan khususnya apabila muncul varian yang berasal dari India itu. “Katakan pertemuan kita dalam masa lima saat pun, ia boleh menjangkiti orang lain dan jangkitannya adalah melalui udara berbanding Varian sebelum ini yang hanya boleh dijangkiti melalui titisan air liur dan seumpamanya. "Dulu kita kata, jarak satu meter sudah cukup, tapi apabila virus melalui udara kita kena jarak sekurang-kurangnya tiga meter memandangkan varian tersebut boleh masuk di mana sahaja bahagian muka, samada hidung, mulut, atau mata walaupun memakai pelitup muka," katanya. Beliau berkata demikian semasa ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam. Tambah beliau, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) juga masih menunggu beberapa lagi keputusan 'Genome Test' dari Kuala Lumpur bagi menentukan jenis varian apa selepas hasil pemeriksaan. "Kita harap tidak ada lagi kes varian baharu seperti ini insya-Allah. "Oleh itu, suka saya nasihatkan orang ramai, sekiranya tiada urusan penting jangan keluar rumah melainkan jika terpaksa pastikan sentiasa mengamalkan tahap pematuhan SOP yang tinggi," ujarnya. Setakat hari ini, Terengganu mencatatkan 490 kes positif baharu dan 2,357 kes masih dalam rawatan serta satu kes kematian harian.
28 Jul 21
14643
Keberkesanan Ivermectin Perlu Bukti Saintifik
Keberkesanan Ivermectin Perlu Bukti Saintifik
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Keberkesanan penggunaan ubat antiparasit Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19 berisiko tinggi perlu dibuktikan melalui kajian saintifik sebelum diluluskan oleh Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata sebagai kerajaan nyawa rakyat tidak boleh diambil mudah dengan mengarahkan agensi terbabit meluluskan begitu sahaja tanpa melihat piawaian yang perlu dipatuhi. "Dalam kelulusan penggunaan vaksin sebagai contoh, sekali pun kerajaan mahukan kelulusan yang cepat. kerajaan tidak semudah itu mengarah untuk diluluskan segera. " Sputnik V misalnya, walaupun berada dalam senarai vaksin yang menjadi pilihan kerajaan dan terdapat data klinikal yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet yang menjadi rujukan seluruh dunia, sampai sekarang masih belum diluluskan kerana mempunyai senarai pematuhan yang perlu dipenuhi," ujarnya dalam satu kenyataan pada hari ini, Mengulas lanjut Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata sekiranya diluluskan begitu sahaja kerajaan berisiko menghadapi pelbagai masalah serius pada jangka masa panjang yang akan dibangkitkan rakyat termasuk apabila berlaku kes kematian. "Bagaimana bentuk keterangan yang boleh diberikan dalam sebarang kes mahkamah tanpa adanya bukti tentang kesesuaian penggunaan Ivermictin untuk rawatan Covid 19?. "Juga perlu berhadapan dengan keterangan saintifik yang bertentangan hasil kajian yang telah dilengkapkan oleh agensi kawal selia pelbagai negara lain, (termasuk) pendirian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan yang terbaru kajian saintifik oleh Universiti Oxford," katanya. Ujarnya, pendirian syarikat pengeluar Ivermectin itu sendiri juga perlu diteliti untuk digunakan sebagai perawatan Covid-19.  "Mengapa dibiarkan dia digunakan secara 'óff label', setakat mana keputusan kajian yang mereka ada dan adakah dibuat kajian?. "Tidakkah sepatutnya pengeluar lagi beruntung jika ia dibuktikan secara saintifik berkesan dan selamat untuk rawatan Covid-19," ujarnya. Sebagai syarikat yang besar dan berkemampuan katanya, sewajarnya telah diadakan desakan oleh penyokong tetap yang mendesak ia diluluskan secara meluas. Terdahulu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, keputusan ujian klinikal berhubung keberkesanan ubat antiparasit Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19 berisiko tinggi dijangka akan diketahui pada September ini. Kajian keberkesanan rawatan Ivermectin pada pesakit berisiko tinggi Covid-19' telah dipersetujui Jawatankuasa Kajian dan Etika Perubatan (MREC).
28 Jul 21
436
Kadar Vaksinasi Harian Malaysia Terpantas Di Dunia
Kadar Vaksinasi Harian Malaysia Terpantas Di Dunia
PUTRAJAYA, 28 Julai - Kadar vaksinasi harian di Malaysia merupakan yang terpantas di dunia dengan kapasiti suntikan mencecah 500,000 dos sehari mengatasi beberapa negara maju termasuk Jepun, Korea Selatan dan New Zealand. Menteri Penyeleras Program Imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, sehingga kini kira-kira 18.4 juta rakyat telah menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Univerisiti Oxford. Langkah itu katanya bakal mempercepatkan sasaran Malaysia mencapai imuniti kelompok pada Oktober sekali gus menghalang penularan wabak berkenaan yang meningkat dengan begitu drastik dan membimbangkan. "Kadar harian vaksinasi semalam telah mencatatkan jumlah tertinggi apabila 553,871 dos berjaya diberikan di seluruh Malaysia menyaksikan pemberian vaksin harian mencapai angka melebihi 500,000 bagi dua hari berturut-turut. "Menjadikan jumlah pemberian bagi dua hari ini, sebanyak 1,07 juta dengan penambahan penerima dos pertama dua peratus populasi Malaysia atau bersamaan 692,000 orang," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan penerangan mengenai PICK pada persidangan khas Dewan Rakyat, pada hari ini. Katanya, kerajaan optimis dapat merealisasikannya sasaran imuniti kelompok apabila telah membuka 2,313 Pusat pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara. Mengulas lanjut mengenai gambaran kejayaan  vaksinasi itu katanya, sehingga kini fasa pertama seramai 695,000 petugas barisan hadapan telah menerima dos lengkap manakala 93 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas sudah menerima vaksin pada fasa kedua.
28 Jul 21
246
Sekali Ganda Dari Sasaran, 178 Pek Darah Terkumpul
Sekali Ganda Dari Sasaran, 178 Pek Darah Terkumpul
BESUT, 28 Julai - Kempen Derma Darah di Besut berjaya memperolehi 178 pek darah menjadikan suatu rekod baharu bagi kempen derma darah di Dewan Gong Nering, Jerteh. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, seramai 264 orang mendaftarkan diri sepanjang program berlangsung tetapi sebanyak 178 orang sahaja yang lulus berdasarkan saringan awal yang dilakukan. "Saya difahamkan misi kali ini berjaya melebihi target yang dibuat oleh pihak Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, yang sebelum ini merekodkan hanya di bawah 100 pek di dewan ini. "Saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada seluruh sekretariat yang menjayakan program kali ini, seperti Jabatan Amal Malaysia di bawah Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Gong Nering dan lain-lain," katanya. Ustaz Wan Azhar juga mengucapkan penghargaan kepada penderma dan mereka yang berhasrat untuk menderma namun tidak dapat menyumbang pada program tersebut. "Semoga sumbangan kita ini akan membantu pihak Tabung Darah yang berada dalam situasi yang agak kritikal," katanya ketika ditemui pemberita. Sementara itu, menurut Penolong Pegawai Penerangan, Tabung Darah HSNZ, Suriyati Md Ghani berkata, Kelantan dilaporkan kekurangan darah pada 25 Julai lalu dan Tabung Darah HSNZ telah memberi 50 pek darah sebagai bantuan segera buat mereka. "Harapan kami agar program seperti ini dapat dibuat secara berterusan bagi menampung bekalan darah hospital. Kerjasama yang baik ini memberi manfaat untuk semua, terima kasih," katanya. Program itu berlangsung selama dua hari pada 26 dan 27 Julai bermula jam 9 pagi sehingga 2 petang. Pendaftaran telah dibuat melalui maya dan secara terus di dewan tersebut. Sementara itu, salah seorang penderma, Musa Hakimi Mohd Hamdan, 23, berkata, dia baru sahaja tiga kali menderma sejak tahun 2017. "Saya berasa simpati terhadap mereka yang kurang bernasib baik terutama mereka yang kehilangan darah, jadi ini mendorong saya untuk menderma," jelasnya. Dalam perkembangan sama, penderma diingatkan untuk mendapatkan rehat yang cukup serta sihat tubuh badan dan bebas penyakit bagi menyertai program derma darah.
28 Jul 21
129
Isu Suntikan Kosong Tiada Kaitan Sindiket Jual Vaksin
Isu Suntikan Kosong Tiada Kaitan Sindiket Jual Vaksin
PUTRAJAYA, 23 Julai - Isu yang tular di kalangan netizen mengenai kes picagari kosong ketika suntikan vaksin Covid-19 tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sindiket penjualan vaksin sebagaimana dakwaan pihak tertentu. Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memaklumkan setakat hari ini hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan ia langsung tidak mempunyai bukti yang kukuh, sebaliknya perkara itu berlaku disebabkan beberapa perkara. "Sebagaimana kes yang tular videonya di Sungai Petani iaitu di Kem Lapangan Terbang ini satu-satunya kes di mana jururawat tersebut telah mengaku melakukan kecuaian disebabkan keletihan. "Amaran telah pun diberikakan kepada jururawat tersebut oleh Panglima Tentera Darat disebabkan waktu itu dia bertugas di kem tentera, dan akan melalui proses tatatertib di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata demikian pada sidang media mingguan Perkembangan PICK bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, pada hari ini. Mengulas lanjut katanya, dalam beberapa kes terdapat penerima mendakwa tidak menerima suntikan disebabkan tidak mengalami kesan sampingan. "Di mana pengadu telah membuat laporan polis mengatakan tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas menerima  vaksin. Saya ingin katakan bahawa kesan yang dialami setiap orang adalah berbeza. "Sebagai contoh saya sendiri tidak mengalami sebarang kesan daripada vaksinasi yang dibuat secara langsung dan dipaparkan seluruh negara. Saya rasa tidak wajar ada tuduhan vaksin kosong, kerana penerima vaksin ada yang mengalami kesan sampingan dan ada yang tidak mengalaminya. "Sebagai contoh kes di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bukit Jalil, PPV UCSI dan sebagainya, yang mana pengendali kesihatan mengatakan telah memberi dos yang sempurna kepada penerima," katanya. Turut berlaku katanya, dos tambahan akan diberikan kepada penerima akibat kekeliruan. "Petugas kesihatan tidak pasti samada dos telah diberikan secara sempurna ataupun tidak.  "Saya ingin mengumumkan bahawa untuk tidak berlaku apa-apa kecuaian lagi, saya telah mengarahkan agar ditunjuk kepada penerima, picagari yang telah pun diiisi dengan sempurna sebelum suntikan itu dilakukan," ujarnya. Di samping itu kata Khairy, setiap rakyat yang menerima suntikan vaksin dibenarkan untuk merekodkan gambar atau video ketika menerima suntikan agar kes sama tidak lagi berulang. "Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sebenarnya merisikokan nyawa mereka pada setiap hari bagi menyuntik setengah juta penerima setiap hari," ujarnya
23 Jul 21
268
67.4 Peratus Rakyat Terengganu Telah Daftar Vaksin
67.4 Peratus Rakyat Terengganu Telah Daftar Vaksin
KUALA TERENGGANU, 20 Julai - Seramai 67.4 peratus rakyat di negeri ini telah mendaftarkan vaksin melalui aplikasi MySejahtera setakat kelmarin. Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melaporkan ia membabitkan 579,447 individu dan 4,225 orang pula merupakan pendaftar baru. Kenyataan itu turut memaklumkan daerah Kuala Terengganu menunjukkan peratusan tertinggi pendaftaran dengan 75.1 peratus atau seramai 133,641 dan pendaftaran baru 1,044 orang. Kedua tertinggi ialah Kuala Nerus dengan 74.5 peratus dengan jumlah rakyat yang telah mendaftar seramai 77,724, diikuti Marang dengan 73.9 peratus dengan jumlah seramai 59,747. Manakala daerah Kemaman pula mencatatkan peratusan keempat tertinggi dengan 72.5 peratus atau seramai 105,509. Manakala tiga daerah masih mencatatkan jumlah pendaftaran yang rendah berbanding daerah lain iaitu, Dungun dengan 59.9 peratus, Setiu 53.6 peratus dan terendah Besut dengan 53.1 peratus. Untuk rekod, sehingga 18 Julai jumlah kumulatif rakyat di negeri ini yang telah divaksin pula ialah seramai 269, 854 penerima suntikan dos pertama manakala seramai 14,176 merupakan penerima dos kedua di negeri ini.  
20 Jul 21
694
Kerajaan Akan Putuskan Yang Terbaik Untuk Vaksinasi Calon SPM
Kerajaan Akan Putuskan Yang Terbaik Untuk Vaksinasi Calon SPM
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim memaklumkan, pihaknya memberi tumpuan dan akan memutuskan keputusan terbaik terhadap pelaksanaan vaksinasi bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang akan memulakan sesi pembelajaran di sekolah September ini. "Untuk calon SPM sebagaimana yang telah pun diumumkan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba baru-baru ini, mereka yang cukup 18 tahun akan diberi suntikan vaksin. "Insya-Allah, proses suntikan vaksin kepada mereka dijangka akan selesai sebelum peperiksaan berlangsung," katanya ketika ditemui pemberita selepas agihan bakul makanan pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi Parlimen Kuala Terengganu di Kuala Ibai, hari ini. Amzad bersama ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil (kiri) mengagihkan bakul makanan PEMULIH kepada penduduk di Kondo Rakyat Kuala Ibai. Tambahnya, bekalan vaksin tidak lagi menjadi masalah kepada pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). "Bekalan vaksin tiada masalah. Keseluruhan vaksin Sinovac akan selesai penghantaran berjumlah 12 juta dos sebelum hujung Julai. Manakala, pada Ogos pula kita banyak menerima Pfizer iaitu lebih kurang 4.5 juta dos sehingga program ini selesai. "Untuk bulan ini sahaja kita ada 16 juta dos vaksin. Cuma, penekanan kepada pelaksanaan suntikan di mana Terengganu menjadi antara yang terbaik dalam pelaksanaan ini selain Kedah dan Perlis yang mencatat lebih 90 peratus pelaksanaan vaksinasi," katanya.   Menurut Amzad, bagi membolehkan rentak pemvaksinan tidak terganggu, pihaknya juga akan memastikan ada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terus dibuka sepanjang Aidiladha nanti. "Namun, tidak boleh dinafikan akan ada penurunan suntikan harian pada masa itu. "Bagaimanapun, kita telah atasi kekurangan ini dengan suntikan harian yang lebih tinggi pada hari-hari lain di mana kita telah berjaya catat angka 460,000 suntikan dan semalam pun kita masih lagi mencatat angka lebih 400,000 suntikan harian," katanya. Amzad bersama ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil (kanan) dan Pengarah UPDI, Mohd Soud, menyampaikan pesanan berkaitan vaksinasi Covid-19 kepada penduduk Kondo Rakyat menggunakan pembesar suara.  Jelasnya, kerajaan menyasarkan untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok bagi populasi dewasa pada hujung Oktober, manakala 80 peratus imuniti bagi populasi keseluruhan menjelang penghujung tahun.  "Antara langkah kita mengatasi varian baharu ini juga adalah dengan mencukupkan imuniti kelompok ini. "Sekarang, kita mula menunjukkan angka jangkitan dalam bentuk pecahan kategori supaya rakyat boleh faham dengan vaksinasi kita berjaya mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19 dan kes-kes kritikal di hospital," katanya.
18 Jul 21
120
Program 'Outreach' Memudahkan Vaksinasi Warga Emas Dan Berkerusi Roda
Program 'Outreach' Memudahkan Vaksinasi Warga Emas Dan Berkerusi Roda
KUALA NERUS, 12 Julai - Tiada yang lebih menggembirakan buat golongan warga emas dari Kampung Kesom di sini kerana mencapai hasrat untuk mengambil vaksin COVID-19 dengan mudah dan cepat. Antaranya adalah pasangan suami isteri Mat Amin Said, 77, dan Fatimah Salleh, 71, yang bersemangat dalam menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Sekolah Kebangsaan Kesom, baru-baru ini. Peserta vaksinasi mula mendaftar dari awal pagi “Kami sangat bersyukur kerana dapat menerima vaksin tanpa perlu pergi jauh. Jika jauh, tentulah ianya menjadi satu kesukaran kepada kami,” ujar pasangan berkenaan yang mendaftar vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera milik cucu mereka. Seorang lagi warga emas, Wook Ali, 84, menyifatkan penganjuran program seperti ini sangat bermanfaat bagi golongan berkerusi roda sepertinya. “Makcik berkerusi roda, susah bergerak, terima kasih banyak kerana datang cucuk vaksin di kampung makcik,” katanya ketika ditemubual pemberita. Ustaz Ridzuan Hashim menyantuni peserta vaksinasi yang sedang dibantu mengisi borang Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim memaklumkan sebanyak 600 dos disediakan untuk penerima vaksin pada kali ini. “Saya berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih DUN Buluh Gading sebagai lokasi pertama pemberian vaksin secara “outreach” ini. "Lokasi yang dipilih ini sangat bertepatan kerana kawasan tersebut agak terpencil dan mempunyai ramai pendaftar vaksinasi dikalangan warga emas," jelasnya selepas meninjau perjalanan program vaksinasi tersebut.  
12 Jul 21
351
500 Penduduk Jerteh Divaksin Setiap hari
500 Penduduk Jerteh Divaksin Setiap hari
BESUT, 13 Julai - Seramai 500 penduduk setempat telah berjaya disuntik sempena inisiatif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Gong Kemuntong, Jerteh, pada Jumaat lepas. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, suntikan vaksin kali ini melibatkan penduduk dari 38 buah kampung yang telah diusahakan oleh pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). "Alhamdulillah ikhtiar ini telah merapatkan lagi hubungan dan interaksi dengan masyarakat dalam menyalurkan bantuan vaksinasi pada musim pandemik ini. "Semoga penduduk di daerah Besut terus menyahut seruan ini demi kelangsungan masa depan yang lebih cerah," katanya ketika ditemubual pemberita. Nafisah Mohd Nor, 76, menyatakan perasaan terharu setelah menerima suntikan pertama di PPV Dewan Gong Kemuntong, Jerteh. "Sebelum ini saya rasa takut juga untuk dicucuk vaksin, tetapi apabila melihat ramai orang yang telah dicucuk tiada kompilasi kesihatan, jadi semakin berani untuk dicucuk. "Tak rasa sakit pun dicucuk, jarum yang digunakan sangat kecil dan tidak memberi apa-apa kesakitan pun," ujar beliau saat ditanya apa perasaan setelah menerima suntikan. Berdasarkan laporan terkini oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV) sehingga 9 Julai, Terengganu mencatatkan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin COVID-19 sebanyak 201,040 orang (16 peratus daripada populasi) manakala dos kedua 111,665 orang telah menerima (8.9 peratus).  
12 Jul 21
758
Semua Penduduk Di PKPD 3 Lokaliti Mukim Sura Selesai Disaring
Semua Penduduk Di PKPD 3 Lokaliti Mukim Sura Selesai Disaring
DUNGUN, 10 Julai – Ujian saringan COVID-19 bersasar di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti dalam Mukim Sura membabitkan 1,105 penduduk selesai sepenuhnya hari ini. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, hari keempat saringan bersasar di tiga lokaliti itu merekodkan 976 orang selesai disaring dengan 929 individu sedang menunggu keputusan. Katanya, pihaknya akan merujuk kes positif untuk rawatan lanjut di hospital manakala yang disahkan negatif perlu melalui ujian ulangan. “Semalam, Terengganu melaporkan 82 kes baharu dengan 64 kes positif adalah daripada daerah Dungun, dengan penyumbang besar daripada kluster Gong Pasir. “Kita dapati dalam kluster di sini telah merekodkan 78 kes positif dimana 53 daripadanya adalah melibatkan kaum keluarga. “Siasatan lanjut mendapati antara puncanya daripada warga Dungun yang bekerja harian ulang alik daripada zon merah,” katanya kepada pemberita ketika ditemubual di pusat saringan Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, Sura, hari ini. Beliau turut mengingatkan seluruh warga Terengganu supaya mengelakkan aktiviti ziarah-menziarah antara rumah pada waktu ini walaupun dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN). “Bukan setakat majlis kahwin dan tahlil, tapi hakikatnya pergi ke rumah keluarga dan kawan-kawan boleh membawa padah, sebab itulah berlakunya kluster di sini,” tambahnya. Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang giat menyiasat supaya tiada penularan berlaku di kampung dan daerah berdekatan. “Oleh itu, PKPD dikenakan untuk mengelakkan masuk keluar penduduk di kawasan terkesan. “Oleh itu, jangan leka dan terus patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya negeri kita kekal dalam fasa kedua, bila peratusan imunisasi dan saringan meningkat membawa harapan untuk maju ke fasa seterusnya,” jelasnya. Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Rumah Awam Kos Rendah Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman MAIDAM hingga 23 Julai.
10 Jul 21
1460