Artikel "Utama" Terkini
'Isr4el Tiada Hak Untuk Dipertahankan'
Telah terang lagi bersuluh Israel merupakan negara haram yang tidak perlu diiktiraf dan dipertahankan serta kewujudannya telah mengakibatkan umat Islam di Palestin sengsara atas penindasan yang dilakukan.
24 Nov 24
82
Amerika Melampaui Batas Kemanusiaan Lindungi Israel
Tindakan Amerika menggunakan kuasa veto bagi melindungi pembunuhan yang dilakukan Israel adalah di luar batas kemanusiaan serta dianggap tidak berhati perut.
24 Nov 24
90
Pelik, Perjuang Kebebasan Bersuara Tidak Selantang Lawan Hukum Islam
KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan Terengganu hairan dan pelik dengan golongan liberal yang tidak agresif menentang sekatan kebebasan bersuara berbanding kelantangan luar biasa mereka menentang pelaksanaan undang-undang Islam di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, terlalu banyak perkara berlaku dalam negara yang sewajarnya perlu diperjuangkan oleh golongan terbabit.
"Kalau kita hendak bercakap soal perundangan di sana banyak lagi undang-undang selain Islam yang lebih zalim dan menindas sebagai contoh berkait dengan kebebasan bersuara.
"Secara umumnya kita melihat kebebasan bersuara di zaman madani ini mereka hanya cakap kosong, berjanji memperjuangkan demokrasi, kebebasan bersuara tetapi mereka menekan dengan pelbagai akta dan undang-undang 3R sehingga rakyat tidak diberikan kebebasan bersuara yang sepatunya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa menghadiri Dialog EXCO Peringkat Daerah Kuala Terengganu, di Dewan PPR Padang Hiliran, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu katanya, Terengganu melaksanakan hukuman sebatan di khalayak ramai terhadap pesalah khalwat berulang adalah kerana hendak menegakkan hukum Islam dan menjalankan kewajipan serta tuntutan agama.
"Tidak sepatutnya golongan tertentu melabelkan Terengganu sebagai negeri Taliban.
"Saya sangat dukacita dengan kenyataan-kenyataan begini sedangkan kita sebagai orang Islam bersifat terbuka dengan apa yang bakal dilaksanakan oleh negeri Terengganu ini, ini tanggungjawab orang Islam untuk terus memperkasakan agama kita.
"Ia juga selari dengan perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan," ujarnya.
Tegasnya, apa yang lebih utama untuk difikirkan oleh golongan pejuang kebebasan ialah hak untuk bersuara yang disekat oleh kerajaan madani.
24 Nov 24
206
LRA Hulu Terengganu Akan Dinaik Taraf Dalam Masa Terdekat
KUALA TERENGGANU, 24 November- Loji Rawatan Air (LRA) Hulu Terengganu akan dinaik taraf dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, projek menaik taraf LRA terbabit telah diluluskan di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kos keseluruhan sebanyak RM14 juta.
“Status terkini projek ini adalah di peringkat akhir pelantikan Jurutera Perunding.
“Projek menaik taraf LRA Hulu Terengganu telah dibuat permohonan di bawah RMKe-12 RP4 kepada KKDW dan telah mendapat kelulusan pada tahun 2023,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman.
Dr Mamad mengemukakan soalan mengenai bilakah kerajaan negeri akan segera menaik taraf loji air SATU di Hulu Terengganu bagi mengatasi masalah tekanan air rendah.
Katanya, projek naik taraf loji berkenaan dijangka siap pada tahun 2027 dengan tambahan kapasiti pengeluaran daripada 55 Juta Liter Sehari (JLH) kepada 65 JLH.
Dalam pada itu Hanafiah memaklumkan, terdapat juga projek pembinaan LRA Baharu Kenyir berkapasiti 20 JLH di bawah pinjaman Kerajaan Persekutuan dengan kos sebanyak RM30 juta.
“Status kemajuan terkini adalah di peringkat penyediaan dokumen tender oleh pihak perunding dan proses pengambilan tanah untuk sebahagian tapak cadangan LRA tersebut yang dijangka dapat disiapkan pada penghujung tahun 2029,” ujarnya.
Jelas beliau, dengan siapnya LRA Baharu Kenyir ini dan naik taraf LRA Hulu Terengganu kelak, penstrukturan zon bekalan air akan dibuat semula di mana LRA di daerah Hulu Terengganu akan mempunyai rizab tambahan bekalan air sebanyak 15 JLH bagi menampung keperluan pada masa hadapan.
Sementara itu, mengulas mengenai rancangan pihak Kerajaan Negeri mengatasi masalah paip air yang sentiasa pecah di Hulu Terengganu beliau berkata, antaranya dengan membuat penukaran meter aliran elektromagnetik di 20 kawasan di daerah Hulu Terengganu.
“Selain itu ,penukaran paip utama bersaiz 300 mm yang kerap pecah daripada Tangki Air Kepah hingga ke Kampung Matang.
"Serta langkah sementara yang diambil oleh SATU dengan Pressure Reduce Valve (PRV) dan mengawal tahap paras tangki air secara optima bagi mengawal tekanan air," ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan Negeri melalui pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) dan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dalam fasa pelaksana Program Pengurangan Air Tak Terhasil (NRW) dengan membuat penukaran Meter Aliran di seluruh kawasan Hulu Terengganu.
24 Nov 24
633
37 ADUN Belia Terengganu Angkat Sumpah
KUALA TERENGGANU, 24 November- Seramai 37 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama ADUN Belia Terengganu Yang Ke-3 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Majlis angkat sumpah di hadapan yang Dipertua Dewan Belia Negeri Terengganu yang baharu dilantik Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli didahului oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Belia Negeri Terengganu, Mohd Shafizi Ismail.
Majlis angkat sumpah diteruskan dengan wakil Air Putih iaitu Abu Umair Mohd Yusof, Shahrurizuan Abd Rahman (Alur Limbat); Muhammad Azim Bakhtiar Abdul Razak (Pengkalan Berangan) dan Muhammad Fakhruddin Nordin (Kemasik) mengetuai majlis angkat sumpah ADUN Belia Terengganu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah telah menyempurnakan ucaptama sempena persidangan berkenaan.
Persidangan ADUN Belia Terengganu Siri Ke-3 2024-2026 (Mesyuarat Pertama Penggal Pertama) berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
24 Nov 24
313
Politik Berpecah Melayu Jadi Lemah
KUALA TERENGGANU, 23 November - Umat Islam di Malaysia hari ini berpecah kerana bergaduh sesama sendiri sehingga terpecah kepada beberapa blok.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sewajarnya orang-orang Melayu di negara ini bersatu hati agar Malaysia berupaya menjadi contoh serta permulaan yang baik untuk negara Islam bangkit dan tidak ditindas.
"'Political Party' yang memecah belahkan kita, kalau dahulu kita hanya ada satu (blok) sekarang sudah berpecah kepada lima.
"Sebab itu parti di Malaysia sudah melemahkan orang Melayu khususnya kerana kita berpecah dan berlawan sesama sendiri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media semasa berlansungnya Terengganu International Summit (TIS), di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, bermula tahun hadapan apabila Malaysia mengepalai Asean, negara ini perlu berusaha bagi memastikan United Nation diubah.
"Supaya tidak ada kuasa veto oleh mana-mana pihak dan itu boleh dibuat secara beransur-ansur, cadangan itu cuma Malaysia yang pernah cadangkan tetapi tidak ada susulan.
"Apa jua perkara ia perlu bermula dengan kecil-kecilan selepas itu diperbesarkan apabila lebih banyak negara-negara bersetuju untuk melakukan satu-satu tindakan," ujarnya.
23 Nov 24
170
TIS Jadi Medan Penyatuan Umat Islam
KUALA TERENGGANU, 23 November - Terengganu International Summit (TIS) mampu menjadi medan suara penyatuan umat Islam serantau dan dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bertemakan 'Kesatuan Ummah Ke Arah Kemampanan Daya Tahan dan Kemakmuran Bersama' ia berperanan besar menyatu umat sekali gus memberi tanda positif untuk pembebasan Palestin.
"Juga turut membincangkan penyatuan ummah di Nusantara dan meletakkan tiga objektif utama, pertamanya membina jaringan memupuk pengaruh dalam pelbagai bidang kepakaran di peringkat antarabangsa dan dunia Islam.
"Kedua, mengemukakan resolusi bagi berkongsi cadangan dan idea yang rasional dan praktikal untuk dilaksanakan di semua peringkat.
"Ketiga, memperkasa agenda penyatuan ummah di peringkat pimpinan sehingga ke akar umbi dan merancang berdasarkan pembangunan Gaza dan Palestin sebagai wilayah solidariti ummah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sidang media TIS 2024, di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.
Turut hadir, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Marang yang juga Mantan Naib Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Dunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam pada itu, Dr. Muhammad Khalil berkata TIS pada kali ini mengemukakan lima pembentang utama dari luar negara iaitu Oman, Syeikh Ahmed Saudi Al-Siyabi ; Rusia, Anuar Birgalin Azamatovich ; Turkiye. Ustaz Atid Agdag; Indonesi, Dr. Hurriyah El Islamy.
Katanya, resolusi perbincangan dari TIS itu akan dapat dicapai setelah Sidang Meja Bulat 1 yang melibatkan dua kumpulan.
"Kumpulan pertama akan membicarkan mengenai Penyatuan Ummah Dalam Konteks Negara Dan Global iaitu : Peranan dan Hala Tuju Ulama & Umara serta Perananan & Hala Tuju Masyarakat Sivil & Kumpulan Belia.
"Manakala pada Sidang Meja Bulat Sesi 2 pula ialahkumpulan satu membincangkan tentang Langkah Strategik Dalam Memperkukuhkan Kekuatan dan Sumber Organisasi Pimpinan Muslim.
"Kumpulan kedua pula membincangkan tentang Langkah Strategik Dalam Memperkukuhkan Kekuatan dan Sumber Kerajaan Pimpinan Muslim," jelasnya.
23 Nov 24
148
Amerika Melampaui Batas Kemanusiaan Lindungi Israel
KUALA TERENGGANU, 23 November - Tindakan Amerika menggunakan kuasa veto bagi melindungi pembunuhan yang dilakukan Israel adalah di luar batas kemanusiaan serta dianggap tidak berhati perut.
Mantan Naib Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, di saat masyarakat di Eropah telah bersetuju untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Amerika pula ambil keputusan bertentangan atas dasar kepentingan.
"Keputusan itu (heret Israel) diterima oleh masyarakat negara eropah malangnya Amerika pula guna kuasa veto untuk menyekat, tindakan Amerika luar biasa dari kemanusiaan.
"Kerana siapa hendak menang presiden Amerika mestilah orang yang paling kuat sokong zionis baru akan menang menjadi presiden," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa sidang medianya di Terengganu International Summit (TIS), Duyong Marina, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, mengenai dakwaan yang menyatakan Israel berhak mempertahankanya dirinya, Abdul Hadi menegaskan ia adalah tidak wajar serta tiada asas.
"Apa hak dia? Palestin itu saya sebut dalam ucapan saya tadi, Nabi Ibrahim berkata orang yang zalim tidak berhak menerima wasiat, hanya orang yang adil sahaja boleh menerima," ujarnya.
23 Nov 24
102
'Israel Tiada Hak Untuk Dipertahankan'
KUALA TERENGGANU, 23 November - Telah terang lagi bersuluh Israel merupakan negara haram yang tidak perlu diiktiraf dan dipertahankan serta kewujudannya telah mengakibatkan umat Islam di Palestin sengsara atas penindasan yang dilakukan.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerana itu sejak dari dahulu tidak pernah berlaku dalam sejarah negara Malaysia mengiktiraf Israel malah tidak mempunyai sebarang hubungan.
"Sekiranya dia mendakwa atas keselamatan, maka dia berhak untuk dipertahankan (sepatutnya) dia juga berhak menerima bahawa orang Islam di Gaza lebih mempunyai hak untuk selamatkan diri mereka.
"Tetapi yang berlaku hari ini yang menyerang ialah Israel bukannya orang Islam yang menyerang Israel," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang medianya di Terengganu International Summit (TIS) 2024, di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.
Turut hadir, bekas Naib Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Dalam pada itu, Tun Mahathir menyatakan Benjamin Netanhayu wajar diheret ke mahkamah dunia dan menerima hukuman yang setimpal kerana telah membunuh puluhan ribu nyawa umat Islam yang tidak berdosa.
"Dia (Benjamin Netanhayu) penjenayah melakukan pembunuhan terhadap manusia, (jika) membunuh satu orang pun merupakan satu jenayah, ini dia bunuh 44,000 orang Islam ini merupakan penjenayah yang besar dan perlu dikenakan hukuman gantung," ujarnya.
Jelasnya, mengenai tindakan Amerika yang melindungi Israel katanya itu telah menjadi dasar negara terbabit.
"Walaupun mereka tahu apa yang dilakukan oleh Israel itu adalah satu jenayah besar tetapi Amerika masih lagi menyokong negara terbabit dengan mengenakan veto terhadap segala usaha (negara Islam) untuk menghentikan peperangan," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, bagi membebaskan negara Palestin dariada terus dizalimi resepinya adalah melalui kesatuan umat Islam dan perlu menghindari perpecahan yang membawa kepada kepincangan.
"Orang Islam di dunia ini seramai 1.4 bilion orang tetapi kerana kita berpecah lawan sesama sendiri kita jadi lemah dan kita tidak mampu untuk menyelamatkan negara yang dihuni oleh umat Islam," katanya.
23 Nov 24
135
Terengganu FC IV Raih Naib Juara Piala Belia 2024
KUALA NERUS, 23 November – Walaupun gagal mencipta keajaiban di halaman sendiri, Terengganu FC IV tetap mampu berbangga dengan pencapaian sebagai naib juara Piala Belia 2024.
Pasukan muda itu tewas 3-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) FC IV dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, menjadikan keputusan agregat 5-7 memihak kepada JDT.
Turun dengan kesebelasan terbaik selepas terikat 2-2 pada aksi akhir pertama di Pasir Gudang minggu lalu, pasukan muda Terengganu mendapat sokongan penuh penyokong setia yang memenuhi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin
Meskipun bermain di hadapan penyokong sendiri, hujan lebat dan permukaan padang basah menguji ketangkasan kedua-dua pasukan.
Namun, pasukan pelawat lebih bijak menyesuaikan diri dengan keadaan sukar ini.
Kesilapan pertama berlaku pada minit ke-18 apabila pertahanan Terengganu gagal mengawal asakan pantas JDT, menyebabkan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan lawan.
Daniesh Amiruddin dengan tenang menjaringkan gol pertama untuk meletakkan JDT FC IV di depan.
Malang sekali lagi menimpa tuan rumah apabila penjaga gol mereka, Ariff Safwan, melakukan kesilapan pada minit ke-26.
Penalti kedua diberikan, dan Zamir Zairi menyempurnakannya tanpa masalah, menjadikan agregat 4-2 untuk JDT.
Namun, Terengganu tidak menyerah kalah, dalam suasana padang yang basah, mereka menemui ruang melalui serangan balas.
Che Ku Irfan berjaya memanfaatkan hantaran cantik Zarul Izree untuk menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-35.
Semangat pemain muda Terengganu memuncak apabila Iskandar Akmal menyamakan kedudukan 2-2 sebelum tamat separuh masa pertama.
Sepakan kencang dari luar kotak penalti, menjadi detik kebangkitan sementara buat pasukan tuan rumah.
Namun, kebangkitan Terengganu FC IV tidak bertahan lama.
Pada babak kedua, JDT kembali menunjukkan keunggulan mereka, Zamir Zairi sekali lagi mencuri tumpuan apabila rembatan jauhnya pada minit ke-52 menggegarkan jaring Terengganu.
JDT semakin selesa di hadapan apabila kapten mereka, Adib Ibrahim, menanduk masuk gol keempat pada minit ke-73 hasil hantaran Lutfil Hadi.
Dalam suasana hujan yang masih tidak berhenti, JDT terus menguasai tempo permainan dengan menggunakan kelebihan fizikal dan kepintaran taktikal.
Gol kelima JDT pada minit ke-84 benar-benar memadamkan semangat pasukan tuan rumah. Alauddeen Aliff, dengan larian deras di bahagian sayap, menghantar bola lintang sempurna yang ditanduk mudah oleh Abid Safaraz.
Walaupun permainan semakin sukar, Terengganu FC IV tetap tidak berputus asa.
Iman Alif berjaya menanduk masuk hantaran kapten pasukan Solihin Hakimi pada masa tambahan, tetapi jaringan itu hanya sekadar penghias keputusan perlawanan.
Wisel penamat dibunyikan dengan keputusan 3-5, memuktamadkan kemenangan buat JDT FC IV.
Kekalahan ini menyakitkan buat pasukan Terengganu FC IV, tetapi ia juga menjadi pengalaman berharga buat pasukan muda ini.
Dengan hadiah wang tunai RM30,000 sebagai naib johan, masih boleh berbangga dengan usaha dan semangat juang yang ditunjukkan sepanjang kejohanan.
Pasukan muda ini membuktikan mereka adalah antara kuasa besar dalam arena bola sepak belia negara.
Bagi JDT FC IV, kemenangan ini mengukuhkan reputasi mereka sebagai raja bola sepak negara.
Dengan piala kejuaraan dan wang tunai RM60,000, mereka membuktikan bahawa disiplin dan ketahanan mental adalah kunci kejayaan, walaupun beraksi dalam keadaan padang yang serba mencabar.
23 Nov 24
350