Artikel "Utama" Terkini
Kerajaan Rancang Beberapa Langkah Majukan Semula Hentian Bas MBKT
KUALA TERENGGANU, 22 November- Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah merancang beberapa langkah serta tindakan bagi memajukan semula Hentian Bas MBKT.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antaranya dengan membuat penyusunan semula peniaga serta menawarkan sewaan lot-lot perniagaan kepada perniagaan francais.
Selain itu katanya, mempelbagaikan jenis jualan termasuk waktu beroperasi serta membaikpulih fasiliti di kawasan tersebut.
"Antara langkah yang akan diambil dalam memajukan semula Hentian Bas MBKT adalah melalui strategi menyusun atur semula peniaga-peniaga dengan lebih bersistematik.
"Memberi sewaan kepada Sabasun, ECO Shop, Café Cofee/Premium 24 jam atau Family Mart bagi menarik minat kepada pengunjung.
"Memperluaskan jenis jualan perniagaan termasuk produk pelancongan Terengganu serta membaikpulih segala kerosakan seperti bumbung dan penyediaan pukat bagi menghalang burung-burung di tingkat atas serta pencahayaan," ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Wakaf Mempelam) berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Ahmad Shah bertanyakan soalan mengenai apakah pihak kerajaan negeri mempunyai rancangan membaik pulih Hentian Bas MBKT di dalam usaha untuk memajukan perniagaan di situ.
Selain itu katanya, bas pelancongan akan dibenarkan untuk masuk ke dalam terminal pada waktu-waktu biasa selain waktu puncak Bas Ekspress.
"Selain mengadakan usahasama antara peniaga dan agensi pelancongan bagi promosi kreatif melalui media social, facebook, tik tok atau media sosial yang lain,” ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, pembaikian Hentian Bas MBKT telah dijalankan secara dalaman melalui kerja-kerja pembaikian dibuat oleh kakitangan MBKT.
“Kerja-kerja pembaikian ini telah dijalankan beberapa kali melibatkan pembaikian bahagian bumbung dan juga pencahayaan di hentian tersebut.
“Bagi tujuan jangkamasa panjang pihak MBKT telah memohon peruntukan bagi tujuan pembaikian hentian bas tersebut melalui Kerajaan Negeri dan juga pihak Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan,” katanya.
Menurut Wan Sukairi, jenis-jenis kerosakan di Hentian Bas MBKT adalah kerosakan major pada bahagian bumbung jenis ‘Metal Roofing’ yang berkarat dan telah berusia melebihi 25 tahun sejak hentian tersebut dibina.
“Selain itu, rekabentuk hentian itu sendiri menyebabkan berlakunya tempias pada musim hujan menyebabkan
berlakunya kerosakan lain di hentian tersebut,” jelasnya.
22 Nov 24
234
RM280,000 Peruntukan Bagi pembangunan Dan Promosi Usahawan
KUALA TERENGGANU, 22 November - Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM280,000 bagi pembangunan dan promosi usahawan pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, sebanyak RM140,000 digunakan khusus bagi pembangunan usahawan, manakala bakinya diperuntukkan untuk aktiviti promosi yang turut merangkumi usahawan dalam industri kraftangan.
Katanya, langkah tersebut bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan memberikan sokongan yang lebih kukuh kepada usahawan tempatan, termasuk mereka yang terlibat dalam sektor kraftangan, agar dapat berkembang dan memperluaskan pasaran produk mereka.
"Kerajaan Negeri juga menyokong usaha yang dijalankan oleh pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Terengganu dalam pelaksanaan Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) dengan memfokuskan latihan dalam pelbagai bidang kraf, termasuk anyaman daun getah, tenunan, batik, dan logam.
"Serta membantu dari segi promosi dengan membawa pengusaha kraf ke ekspo-ekspo atau karnival keusahawanan bagi memasarkan produk-produk kraftangan," ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Ghazali mengemukakan soalan mengenai adakah peruntukan kewangan atau kursus latihan bagi industri kraftangan oleh kerajaan negeri jika ada, berapakah jumlah peruntukan yang diberikan.
Menurut beliau, projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) yang diinisiatifkan oleh Kraftangan Malaysia melibatkan komuniti yang terdiri daripada suri rumah, asnaf dan anak muda secara langsung dengan perusahaan kraf bagi menjana pendapatan utama atau sampingan berjaya melahirkan 99 pengusaha kraf di Terengganu.
“Seramai 14 Adiguru Kraf dalam bidang tekstil, logam dan hasil rimba dari negeri ini telah dilantik untuk menyumbang kepakaran dan berkongsi kemahiran dengan komuniti, dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi menerusi penghasilan kraf.
“PPKK telah diwujudkan pada 2020 susulan serangan pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai rakyat terkesan akibat kehilangan kerja dan punca pendapatan,” ujarnya.
22 Nov 24
59
Sebat Terbuka : Wakil Rakyat Sepakat, Rakyat Sokong
KUALA TERENGGANU, 21 November - Hukuman sebat secara terbuka terhadap pelaku khalwat berulang di Terengganu mendapat sokongan kuat daripada pemimpin negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris menyatakan keputusan Mahkamah Syariah itu dilihat sebagai langkah tegas untuk mendidik masyarakat agar mematuhi syariat Islam dan menjauhi perbuatan terlarang.
Jelasnya, tindakan berkenaan dilihat mampu membendung perbuatan khalwat di negeri itu.
“Pelaku ini telah beberapa kali mengulangi kesalahan yang sama.
“Hukuman di khalayak ramai ini adalah pengajaran bukan sahaja kepada mereka, tetapi juga masyarakat secara keseluruhan.
“Saya berharap agar kes seperti ini tidak lagi berlaku di negeri ini,” tegas beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed, yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC) menyatakan bahawa hukuman sebat ini adalah sebahagian daripada ajaran Islam.
“Dalam Islam, hukuman ini bukan semata-mata untuk menghukum, tetapi untuk memberi kesedaran.
“Apa yang dilakukan kerajaan negeri berlandaskan sunnah Nabi SAW.
“Kita mengharapkan masyarakat Islam menerimanya dengan baik dan menjadikannya panduan,” jelasnya sambil menggesa masyarakat untuk merujuk kepada pihak berautoriti jika timbul keraguan.
Bagi ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, turut memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan hukuman sebatan terbuka.
“Hukuman ini sebahagian daripada ajaran Islam, kita perlu menunjukkan kepada masyarakat bahawa perbuatan seperti ini adalah jenayah yang serius.
“Hukuman terbuka ini juga dapat memberi pengajaran kepada semua agar menjauhi perkara mungkar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor, yang juga ADUN Ladang, menganggap hukuman ini sebagai peringatan untuk semua pihak.
“Sebatan di khalayak ramai adalah langkah untuk mendidik masyarakat supaya patuh kepada syariat.
“Kesalahan ini berulang kali berlaku, maka hukuman seperti ini wajar dijalankan.
“Insya-Allah, kita sama-sama berdoa agar segala urusan dipermudahkan,” ujarnya.
Dalam nada yang sama, Pengarah Urusetia Belia, Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin, mengingatkan masyarakat tentang larangan keras dalam Islam terhadap zina dan perkara yang mendekatinya.
“Dalam isu khalwat ini, kita bukan sekadar menghukum, tetapi juga memberi pemahaman dan kesedaran kepada rakyat supaya menjauhi perbuatan ini.
“Hukuman ini bukan untuk menakutkan, tetapi untuk mendidik.
“Sebagai umat Islam, kita perlu elakkan diri daripada melakukan perkara-perkara terlarang ini,” ujarnya.
Keputusan tegas Mahkamah Syariah Terengganu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menegakkan syariat Islam dan memelihara integriti masyarakat.
Hukuman sebat secara terbuka ini diharapkan menjadi peringatan besar kepada semua agar terus mematuhi ajaran agama dan menjauhi perbuatan yang mencemarkan maruah diri serta keluarga.
21 Nov 24
241
Portal Terengganu Talent Kumpul Bakat Anak Terengganu
Kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) akan membangunkan Portal Terengganu Talent bagi mengumpulkan data mengenai bakat-bakat Terengganu.
21 Nov 24
142
Walau Disekat Royalti, Terengganu Kekalkan Pemberian Caj Wad Kelas 3 Percuma
KUALA TERENGGANU, 21 November - Walaupun menghadapi sekatan hak royalti, Kerajaan Negeri tetap meneruskan janji manifesto pada penggal lalu iaitu pemberian caj rawatan di wad kelas ketiga di hospital kerajaan secara percuma sehingga kini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat di negeri ini akan terus terbela.
"Cuma Kad Sejahtera telah ditangguhkan sementara pada tahun ini bermula pada April yang lalu dan masih belum disambung lagi.
"Insya-Allah sekiranya tidak ada apa-apa yang menghalang, kita telah pun mencari satu kaedah ataupun satu jalan bagi meneruskan Kad Sejahtera itu yang memberikan kelebihan kepada pemegang kad tersebut untuk mendapatkan rawatan di mana-mana klinik swasta dengan kadar RM500 setahun," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Dialog EXCO Kerajaan Negeri Bersama Rakyat Daerah Kuala Terengganu, di Dewan PPR HIliran, di sini, semalam.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan mengumumkan bila Kad Sejahtera itu akan dikembalikan semula.
"Kita mempunyai komitmen yang bersungguh untuk meneruskan program Kad Sejahtera," ujarnya.
21 Nov 24
516
MBI Terengganu Komited Terokai Potensi Gas Cecair Asli
KUALA TERENGGANU, 21 November - Mentri Besar Trengganu (Incorporated), MBI Terengganu sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam meneroka potensi projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG).
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, MBI Terengganu telah menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan pembangunan loji hidrogen hijau dan ammonia hijau di Hulu Terengganu, Besut dan Dungun.
“Pihak kerajaan pada ketika ini telah selesai melaksanakan libat urus bersama agensi-agensi kerajaan dan syarikat yang berpotensi bagi memperhalusi cadangan pembangunan loji hydrogen hijau dan ammonia hijau pada bulan Oktober dan bulan ini.
“Hasilnya, perkara yang berkaitan dengan teknikal akan diteliti oleh agensi yang berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), PLANMalaysia, Jabatan Perhutanan Negeri serta agensi-agensi lain yang berkaitan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Tambah beliau, kerjasama sepenuhnya dari agensi bagi memastikan permohonan oleh pelabur serta perincian teknikal oleh agensi harus juga diberi penelitian mengikut lunas undang- undang agar ia dapat berjalan dengan lancar dan sempurna.
Dalam pada itu katanya, Terengganu sedang memperkenalkan industri CCUS yang dijangka akan menjadi sumber baharu pendapatan negara dan negeri serta menyumbang kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
“Selain itu, projek solar terapung di Tasik Kenyir dijangka menjana tenaga solar sehingga satu gigawatt (GW) dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan projek permulaan dijangka akan dibina pada tahun 2025 secara berfasa.
“Dengan semua inisiatif ini di bawah portfolio pelaburan, kerajaan negeri berusaha untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan penggunaan bahan api fosil, serta mencipta peluang pekerjaan dan pendapatan baharu bagi negeri,” ujarnya.
21 Nov 24
968
Kemasik Perlu Dibangunkan Sebagai Hab Penerbangan dan Pusat Teknologi
Dalam usaha memperkasakan ekonomi Terengganu, kerajaan negeri dicadangkan menggunakan strategi inovatif untuk membangunkan kawasan Kemasik sebagai hab penerbangan berskala sederhana dan pusat teknologi masa depan.
21 Nov 24
93
Terengganu Tidak Berganjak, Hukuman Sebat Tetap Diteruskan
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan negeri tidak berganjak dan akan tetap meneruskan hukuman enam sebatan di khalayak ramai walaupun telah ada suara-suara dari golongan tertentu yang tidak mahu ia dilaksanakan sehingga melabelkan Terengganu sebagai negeri taliban.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata Kerajaan Terengganu tidak sesekali berganjak ke belakang dari tidak melaksanakan hukuman itu semata-mata dengan suara-suara yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
Menurutnya, hukuman itu adalah selari dengan tuntutan agama Islam dan ia selari dengan polisi kerajaan negeri yang menetapkan agenda pemerkasaan sebagai satu agenda utama.
"Dalam konteks ini kita akan 'move forward' tidak akan undur ke belakang untuk terus memperkasakan syariah di negeri Terengganu ini.
"Jadi kita akan terus melangkah ke hadapan dan tidak akan undur ke belakang, hasrat kita yang paling utama dalam pelaksanaan sebatan di khalayak ini adalah hendak memperkenalkan kepada masyarakat bahawa hukuman ini berbeza dengan undang-undang sivil untuk lebih mendidik bukannya untuk mencederakan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa menghadiri Dialog EXCO Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, hukuman sebat yang bakal dilaksanakan itu adalah kepada pesalah jenayah syariah yang melakukannya berulang kali.
"Jadi hakim (Mahkamah Syariah) boleh menentukan hukuman sebat ini di khalayak ramai mengikut bidang kuasa yang ada.
"Manakala agensi-agensi yang terlibat nanti akamn menjadi pelaksana dan setakat ini kita telah berbincang dan jawapannya sangat positif untuk memberikan kerjasama kepada kita," ujarnya.
21 Nov 24
1012
Letak Syarat Hanya Gadis Belum Baligh Boleh Menari di Khalayak
Kerajaan negeri disaran agar meletakkan syarat hanya anak-anak gadis yang belum mencapai usia baligh sahaja dibenar melakukan persembahan tarian.
21 Nov 24
101
Kerajaan Negeri Terus Komited Atasi Isu Gajah Liar
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan peruntukan one-off sebanyak RM10 juta bagi inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) untuk menyelesaikan isu gajah liar termasuk di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata peruntukan tersebut melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia / Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) / Sarawak Forestry Corporation (SFC).
“Tumpuan kepada kumpulan sasar yang mengalami kerugian berbentuk kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar berdasarkan terma dan syarat yang telah ditetapkan.
“Sehingga Oktober 2024, sebanyak RM77,120 telah disalurkan kepada 24 pemohon di Terengganu bagi bantuan BKHT, ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu mangsa kerosakan yang disebabkan oleh serangan gajah liar.” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Menurut Razali, RM6.5 juta telah diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) untuk membangunkan sistem pagar elektrik gajah (SPEG) di empat lokasi baru, termasuk Kampung Ban Hoo dan Kampung Air Putih di Kemaman, serta Kampung Gerdong dan Kampung Lubuk Periuk di Hulu Terengganu, bertujuan menghalang gajah daripada memasuki kawasan penempatan.
Tambah beliau, tindakan lain seperti pemantauan, kawalan, dan tembak halau juga dijalankan bagi menangani masalah gajah liar ini.
“Jika perlu, kaedah tangkap-pindah gajah akan dilaksanakan untuk mengurangkan ancaman yang dihadapi oleh penduduk di kawasan terlibat.
“Kerajaan negeri dan persekutuan terus komited untuk memastikan keselamatan penduduk dan kelestarian alam sekitar, sambil menangani isu konflik manusia dan hidupan liar dengan lebih berkesan,” jelasnya.
20 Nov 24
64