Artikel "Utama" Terkini
34 PPS Diaktifkan Di Hulu Terengganu, Tempatkan 2,155 Mangsa
HULU TERENGGANU, 28 November - Mangsa banjir di Hulu Terengganu terus meningkat kepada 2,155 orang setakat pukul 10 pagi ini susulan hujan berterusan sejak semalam.
Ketika ini, semua mangsa membabitkan 737 keluarga itu ditempatkan di 34 pusat pemindahan sementara (PPS).
Enam mukim di daerah ini terjejas banjir iaitu Hulu Telemong,Tersat,Hulu Berang,Tanggol,Kuala Telemong dan Penghulu Diman.
Sementara itu, menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan, dua sungai di daerah ini melepasi paras bahaya, satu berada di tahap waspada dan dua sungai lepasi tahap menurun.
Dua sungai melepasi paras bahaya adalah Sungai Kuala Ping iaitu 21.48 meter (m) dan Sungai Kampung Menerong (25.08m ).
Dua sungai melepasi tahap menurun iaitu Sungai Kampung Tanggol iaitu 6.66m dan Sungai Kampung Dura 9.32m.
28 Nov 24
241
Banjir Di Terengganu Semakin Memburuk, Rakyat Diminta Lebih Berwaspada
KUALA TERENGGANU, 28 November- Rakyat Terengganu yang berada di kawasan berisiko dan terjejas banjir diminta supaya tidak panik dan sentiasa peka dengan amaran serta arahan pihak berkuasa.
Mneteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan termasuk Jerantut dan Kuantan di Pahang serta bahagian utama Negeri Terengganu sehingga 29 November ini.
“Saya ingin menyeru kepada semua rakyat Terengganu untuk sentiasa berjaga-jaga dengan risiko banjir yang bakal berlaku.
“Ikut arahan pihak berkuasa seperti agensi keselamatan dan penyelamat jika terdapat keperluan untuk berpindah,” ujar Ahmad Samsuri dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan diri dan keluarga dengan menjauhi kawasan berisiko seperti tebing sungai, kawasan pantai, dan tempat rendah yang mudah dinaiki air.
“Sentiasa peka dengan maklumat cuaca terkini melalui saluran rasmi seperti MET Malaysia dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
“Disarankan untuk simpan nombor talian Bilik Gerakan Bencana Banjir berikut: 09-623 6655. Moga semua berada dalam lindungan-Nya,” ujar beliau.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, sebanyak 138 PPS telah diaktifkan bagi menempatkan 9,005 mangsa banjir daripada 2,651 keluarga yang terjejas di enam daerah di Terengganu setakat pukul 10 pagi ini.
28 Nov 24
348
Empat Daerah Kembali Dilanda Banjir, Besut Catat Mangsa Tertinggi
TERENGGANU, 27 November- Empat daerah di Terengganu kembali dilanda banjir ekoran hujan lebat sejak semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 795 mangsa banjir dipindahkan setakat jam 12.00 tengah hari tadi.
Ia membabitkan 207 keluarga dengan 21 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Daerah Besut paling ramai dipindahkan iaitu 504 mangsa yang membabitkan 129 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.
Diikuti Daerah Hulu Terengganu 135 mangsa, membabitkan 40 keluarga yang kini berada di lapan PPS, daerah Setiu membabitkan 113 mangsa dengan lima PPS dibuka.
Manakala daerah Marang pula menjejaskan 43 mangsa dengan satu PPS dibuka.
27 Nov 24
834
Lapan Sungai Terengganu Lepasi Aras Bahaya
KUALA TERENGGANU, 27 November - Sebanyak lapan sungai di Terengganu kini melepasi paras bahaya berikutan hujan lebat berterusan yang dijangka sehingga Sabtu ini.
Berdasarkan kemaskini publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), lapan sungai tersebut melepasi paras amaran bahaya.
Sungai Besut di Jambatan Keruak kini berada di paras 37.55 meter (bahaya 35.00 meter), Sungai Besut di Kampung La di paras 23.44 meter (bahaya 21.80 meter), Sungai Setiu di Kampung Besut di paras 17.89 meter (bahaya 17.50 meter).
Manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap di paras 22.00 meter (bahaya 21.00 meter), Sungai Telemong di Kuala Ping di paras 20.57 meter (bahaya 19.70 meter) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak di paras 18.51 meter (bahaya 18.50 meter).
Sementara itu, Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja di paras 39.10 meter(bahaya 38.70 meter)dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok di paras 9.19 meter (bahaya 8.40 meter).
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (METMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut yang telah bermula dari 5 Nov lepas hingga Mac 2025 dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
27 Nov 24
1519
Ketua Jabatan Diminta Kaji Prosedur Kerja Lapuk
KUALA TERENGGANU, 27 November- Ketua Jabatan di negeri ini diminta untuk mengkaji semula mana-mana prosedur kerja lapuk dan perlu dibuat pengemaskinian.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia berkata, semua Ketua Jabatan perlu membuat sekurang-kurangya satu Reformasi Prosedur Kerja bagi jabatan masing-masing.
“Jika proses-proses atau birokrasi dipermudahkan maka ruang untuk rasuah itu berlaku semakin mengecil dan akan hilang terus apabila tahap integriti pegawai dipertingkatkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Bulan Integriti Nasional Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2024 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut beliau, satu panduan kepada semua agensi awam untuk mempercepatkan perlaksanaan reformasi karenah birokrasi telah digariskan dalam Pekeliling Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) dan Pekeliling Ujikaji Peraturan yang telah dilancarkan sempena Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 baru-baru ini.
“Ia bagi memastikan pentadbiran yang lebih cekap, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar terhadap rakyat serta perniagaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Ketua Jabatan supaya memainkan peranan masing-masing dalam memastikan semua warga kerja jabatan tidak melakukan kesalahan dari segi tatakelakuan dan integriti.
“Ketua Jabatan seharusnya tidak menyembunyikan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh warga kerja jabatan atas dasar untuk menjaga imej jabatan/ketua jabatan.
“Sebarang kesalahan hendaklah dilaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab supaya dapat dikenakan tindakan sewajarnya,” ujar beliau.
Sementara itu katanya, penjawat awam perlu berwaspada dan peka dengan sebarang peraturan, pekeliling, garis panduan dan arahan-arahan semasa dalam menjalankan tugas agar tidak melanggar prinsip integriti.
“Selain di peringkat jabatan, amalan integriti seharusnya terlebih dahulu bermula dari diri individu itu sendiri.
“Kefahaman, penghayatan dan kesedaran kepada nilai integriti seharusnya ditanamkan dalam diri kita terlebih dahulu,” ujarnya.
27 Nov 24
144
Hujan Lebat Berterusan Tahap Bahaya di Terengganu, Pahang Hingga Jumaat Ini
KUALA TERENGGANU, 26 November -Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya membabitkan beberapa daerah di Terengganu dan Pahang sehingga Jumaat ini.
METMalaysia dalam kenyataan menerusi platform X 1 tengah hari tadi memaklumkan, di Terengganu, daerah yang dijangka terjejas susulan taburan hujan sangat lebat dan berterusan adalah Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Sementara itu, di Pahang, lima daerah diletakkan dalam zon merah atau bahaya iaitu Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
Selain itu, amaran cuaca buruk tahap jingga iaitu hujan lebat berterusan turut dikeluarkan membabitkan beberapa negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Johor
Di Terengganu, empat daerah di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dijangka berdepan cuaca tahap buruk selain Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh dan Bera).
METMalaysia turut mengeluarkan infografik angin kencang dan laut bergelora membabitkan beberapa kawasan perairan negara setakat jam 1 tengah hari tadi sehingga 30 November depan.
Amaran bagi kategori pertama dikeluarkan membabitkan angin kencang berkelajuan 40 kilometer sejam (kmsj) hingga 50 kmsj, dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.
Selain itu amaran tahap dua iaitu angin berkelajuan 50 hingga 60kmsj dengan ketinggian ombak 3.5 hingga 4.5m dijangka membabitkan Terengganu, Kelantan, Tenggara Samui, Utara Tioman, Utara Bunguran, Timur laut dan barat daya Reef North serta Layang-Layang
METMalaysia turut menasihatkan orang ramai supaya kekal waspada dan sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web dan media sosial rasminya selain aplikasi mobile myCuaca.
Bagi pertanyaan lanjut, hubungi talian hotline METMalaysia,1-300-22-1638.
26 Nov 24
237
300 Anak Terengganu Sertai Bengkel AI SAiBer 3.0
KUALA TERENGGANU, 26 November - Seramai 300 anak muda dari seluruh Terengganu telah menyertai Bengkel Kuasai Artificial Intelligence & Media Baharu (SAiBer 3.0), yang dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS).
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed, berkata Artificial Intelligence (AI) adalah ilmu yang perlu dikuasai untuk kekal relevan dalam era digital.
“AI, atau Kecerdasan Buatan, adalah teknologi yang boleh belajar dan berfikir seperti manusia kini digunakan di seluruh dunia, dan anak muda kita tidak boleh ketinggalan.
“Bengkel ini memberi peluang kepada anda semua untuk memahami asas AI dan meneroka potensi teknologi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan SAiBer 3.0 di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Ahmad Shah turut menjelaskan mengapa penting untuk mempelajari teknologi ini.
“Majikan sekarang mencari tenaga kerja yang mahir dalam AI yang mana industri seperti kesihatan, kewangan, dan e-dagang semakin bergantung kepada teknologi ini.
“Dengan kemahiran dalam AI, peluang kerjaya anak muda akan lebih terbuka,” jelasnya.
Namun begitu, beliau juga menekankan cabaran etika dan keselamatan yang datang bersama penggunaan AI.
“Teknologi ini ada risikonya, terutama dalam soal privasi. Oleh itu, kita harus menggunakan AI dengan bertanggungjawab, selaras dengan nilai agama dan etika,” katanya.
Ahmad Shah turut mengumumkan bahawa i-MITS akan menganjurkan Bengkel Volcano Advanced AI untuk peserta yang telah menyelesaikan salah satu siri SAiBer tahun ini.
“Ini adalah peluang keemasan untuk mendalami ilmu AI ke tahap seterusnya.Saya harap peserta semua ambil peluang ini, belajar bersungguh-sungguh, dan gunakan ilmu ini untuk manfaat masyarakat,” ujarnya.
26 Nov 24
205
Projek Perumahan Kuala Ping Dalam Proses Kajian Semula
KUALA TERENGGANU, 25 November- Projek Perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu masih berada dalam tindakan pemaju dan kini sedang dalam proses kajian semula.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, berdasarkan maklumat daripada pihak pemaju, kajian awal mendapati bahawa pasaran jualan dan permintaan rumah di kawasan tersebut tidak memuaskan, mengakibatkan keputusan untuk menghentikan sementara kerja-kerja pembinaan di tapak.
“Tindakan ini mungkin bertujuan untuk memastikan pelaksanaan projek sejalan dengan permintaan pasaran yang sebenar bagi mengelakkan lebihan rumah yang tidak terjual.
“Keputusan ini juga memberi ruang kepada pihak pemaju untuk mempertimbangkan strategi yang lebih sesuai, termasuk potensi perubahan dalam perancangan projek atau penyesuaian harga jualan mengikut kemampuan dan permintaan masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Katanya, pihak SPNB mungkin akan mengkaji pelbagai aspek termasuk faktor ekonomi, kemampuan pembeli di kawasan tersebut, serta prospek pembangunan lain yang dapat menarik minat pembeli.
26 Nov 24
340
PMINT Peroleh 18 Kelulusan Tapak Berkait Silika
KUALA TERENGGANU, 25 November- PMINT dan anak syarikatnya, Permint Granite Sdn. Bhd telah memperoleh 18 kelulusan tapak (lesen pengambilan pasir atau lombong silika) secara keseluruhan sehingga Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, 18 kelulusan itu merangkumi 16 kelulusan pasir silika dan dua kawasan batuan silika.
“Daripada 18 kawasan ini juga empat kawasan sedang beroperasi dan 14 kawasan yang lain di peringkat kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan lain-lain kelulusan agensi teknikal,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Khazan ingin tahu berapakah lesen pengambilan pasir silika atau lombong silika yang telah diluluskan sehingga tahun 2024 dan adakah kerajaan negeri bercadang membina pusat penapisan atau kilang memprosesnya.
Dalam pada itu menurut beliau, secara asasnya, kilang sedia ada PMINT di kawasan Bukit Senyamok, Dungun telah mematuhi kehendak pasaran dengan kualiti pasir yang dikeluarkan melalui pengeluaran mineral lombong yang konsisten.
“Kawasan Perlombongan di kawasan Bukit Senyamok ini juga dirancang untuk dijadikan kawasan pembangunan perlombongan yang lestari dan mampan.
“PMINT kini merancang untuk membangunkan kawasan perlombongan mampan merangkumi aspek pematuhan kepada garis panduan alam sekitar dan pembangunan kilang yang berteknologi tinggi serta berdaya saing bagi pembangunan produk hiliran,” jelasnya.
25 Nov 24
457
TIS 2024: Terengganu Curi Tumpuan Dunia Islam
KUALA TERENGGANU, 24 November - Terengganu International Summit 2024 (TIS 2024) melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang, sekali lagi membuktikan keupayaan negeri Terengganu sebagai pencetus dialog global dan penggerak penyatuan umat Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menyifatkan kejayaan ini sebagai langkah besar dalam menonjolkan peranan Terengganu di pentas antarabangsa.
“Alhamdulillah, ini adalah tahun kedua kita berjaya melaksanakan sidang ini, jika tahun lalu kita mengetengahkan tema ‘Fiqh Hidup Bermasyarakat’ sesuai dengan realiti masyarakat majmuk di Malaysia.
“Tahun ini kita tampil dengan tema yang lebih besar ‘Penyatuan Umat’, TIS 2024 menonjolkan mesej solidariti, khususnya dalam konteks krisis Palestin yang memerlukan kerjasama seluruh umat Islam.
“Tema ini dipilih kerana kita mahu menyatukan umat, terutama dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Wacana Daie Kontemporari di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Tambah Muhammad Khalil, TIS 2024 menyerlahkan prestijnya dengan kehadiran tokoh-tokoh terkemuka tempatan dan antarabangsa.
“Kita amat berbesar hati menerima negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Naib Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang, serta tokoh-tokoh Islam dari Oman, Rusia, Turki, Indonesia, dan Filipina.
“Kehadiran mereka menambah kredibiliti dan tarikan kepada program ini.
“Respon peserta sangat positif, dan kita telah merumuskan beberapa keputusan penting untuk tindakan susulan,” ujar beliau.
Muhammad Khalil menekankan bahawa TIS 2024 bukan sekadar dialog, tetapi pemangkin kepada hubungan strategik yang memberi manfaat besar kepada negeri dan rakyat Terengganu.
“Hasil 'engagement' tahun lalu dengan Kesultanan Oman telah berjaya membawa pelajar Terengganu melanjutkan pengajian ke sana dengan tajaan biasiswa penuh.
“Ini adalah satu pencapaian besar. Kita berharap lebih ramai pelajar Terengganu dapat dihantar ke Oman pada masa akan datang,” jelasnya.
Selain itu katanya, kerjasama dengan Oman juga membuka peluang ekonomi menerusi pelaburan dalam sektor minyak dan gas.
"Selain Oman, hubungan dengan Turki turut mendapat perhatian apabila penasihat Menteri Pendidikan Turki hadir pada sidang kali ini.
“Kita bercadang menghantar pelajar ke Turki dengan tajaan biasiswa, selain membuka peluang pelajar Turki mengikuti kursus singkat Bahasa Inggeris di Terengganu ini.
“Ini peluang besar untuk mempromosikan Terengganu dan menjalin hubungan dua hala yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya penuh optimis.
Dr. Khalil turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan TIS 2024, termasuk Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS), Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), dan Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) serta jabatan kerajaan, agensi, dan sukarelawan.
“Kerjasama erat semua pihak memastikan kejayaan sidang ini.
“Insya-Allah, kita harap program ini akan diteruskan dengan lebih hebat di masa akan datang,” katanya sambil menzahirkan rasa syukur.
Beliau optimis bahawa engagement antarabangsa ini akan membuka lebih banyak peluang untuk Terengganu dalam bidang dakwah, ekonomi, pendidikan, dan sosial.
“Kami mahu TIS menjadi jambatan penyatuan umat Islam di peringkat global. Mudah-mudahan usaha ini diberkati Allah SWT,” katanya.
24 Nov 24
170