Artikel "Utama" Terkini
Banjir: TNB Tutup Bekalan Elektrik Di Sekitar Marang, Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 1 Disember- Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menutup bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Marang dan Kuala Terengganu hari ini.
Langkah itu diambil demi keselamatan pengguna setempat susulan insiden hujan dan banjir.
TNB Careline menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, kawasan yang terputus bekalan elektrik susulan penutupan itu adalah di Kem Panji Alam, Marang serta Wisma TG Ramly dan Tepoh di Kuala Terengganu.
"Orang ramai turut diingatkan untuk elak penggunaan alat elektrik dan pastikan suis utama ditutup bagi mengelakkan renjatan.
“Kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai," katanya.
01 Dec 24
2260
43,273 Mangsa Banjir Terengganu Berlindung Di 307 PPS
KUALA TERENGGANU, 1 Disember- Situasi banjir di negeri ini tidak menunjukkan perubahan positif apabila jumlah penduduk yang terjejas kini mencecah 43,273 mangsa daripada 11,707 keluarga.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, semua mangsa banjir kini berlindung di 307 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah di negeri ini.
Sehingga jam 10 pagi ini, katanya, daerah Besut masih mencatatkan mangsa tertinggi iaitu seramai 16,091 daripada 4,303 keluarga dan berlindung di 121 PPS.
"Jumlah mangsa banjir di daerah Hulu Terengganu adalah seramai 7,073 mangsa daripada 2,204 keluarga dan berada di 59 PPS.
"Seramai 6,248 mangsa daripada 1,645 keluarga berlindung di 49 PPS di daerah Setiu, manakala di daerah Dungun mencatatkan jumlah mangsa seramai 6,472 daripada 1,628 keluarga di 39 PPS," ujarnya.
Menurutnya, jumlah mangsa banjir yang berlindung di 10 PPS di daerah Kemaman adalah seramai 1,230 mangsa daripada 340 keluarga.
"Seramai 2,399 mangsa daripada 648 keluarga daripada daerah Kuala Nerus menghuni 12 PPS manakala mangsa di daerah Kuala Terengganu adalah seramai 2,987 daripada 739 keluarga dan berlindung di sembilan PPS.
"Hanya 773 mangsa daripada 200 keluarga berlindung di lapan PPS di daerah Marang," katanya.
01 Dec 24
174
Ketua Jabatan Diminta Kaji Prosedur Kerja Lapuk
Ketua Jabatan di negeri ini diminta untuk mengkaji semula mana-mana prosedur kerja lapuk dan perlu dibuat pengemaskinian.
01 Dec 24
47
Hanafiah Iring Zahid Santuni Mangsa Banjir
HULU TERENGGANU, 30 November - Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyantuni mangsa banjir di Terengganu hari ini.
Dalam kunjungan itu, Ahmad Zahid berkata, Kerajaan kini sedang membina 14 Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di setiap negeri.
"Di Hulu Terengganu kita telah menerima permohonan daripada pemimpin tempatan dan kita akan pertimbangkan untuk fasa kedua.
"Saya telah minta pegawai daerah untuk kenal pasti kawasan yang sesuai bagi pembinaan PPKB ini.
"Peruntukan telah pun ada dan Perdana Menteri sendiri berikan peruntukan keseluruhan kepada NADMA bagi belanjawan tahun depan sebanyak RM600 juta iaitu melebihi RM100 juta daripada peruntukan tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Matang di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Mohd Zawawi Ismail.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan mengagihkan bantuan RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir di seluruh negara termasuk negeri ini bermula hari ini.
Kata beliau, pihaknya akan memastikan bantuan yang diagihkan kepada setiap KIR yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan mengikut syarat ditentukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan diterima oleh semua yang terjejas banjir secara berfasa.
"Kita juga meminta kerajaan negeri untuk mengusahakan bantuan dan juga mengadakan dana kecemasan sudah tentu kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri yang sangat baik ini akan ditingkatkan.
"Mesti mencari jalan bagi meringankan beban keluarga yang dipindahkan serta rumah-rumah yang mengalami kerosakan serta segala peralatan di rumah yang mengalami kerosakan dapat dibaiki dan diganti.
"Adalah mustahil untuk mana-mana kerajaan sama ada pusat atau negeri untuk memberikan pampasan secara keseluruhan kerana ini adalah 'hand of god', takdir yang melanda dan kita harus istiqamah untuk menentukan bahawa kerjasam semua pihak amat diperlukan bagi mendepani permasalahan ini," ujarnya.
Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa kerajaan mempunyai peruntukan secukupnya untuk diagihkan kepada seluruh KIR yang terkesan banjir.
30 Nov 24
180
Penduduk Rantau Abang Diminta Berwaspada
Oleh: Wan Al Affan Bassam Wan Manam
DUNGUN, 29 November- Penduduk di sebelah pedalaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang dinasihatkan berwaspada ekoran paras air yang semakin meningkat di beberapa kawasan dalam DUN berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, sehubungan itu orang ramai perlu mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.
"Jika perlu berpindah, segera berpindah tidak perlu bertangguh lagi.
"Ibu bapa perlu mengawasi anak masing- masing dan tidak membiarkan mereka keluar bermain air banjir bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," ujarnya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Serdang di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti - aktiviti di luar rumah kecuali yang perlu sahaja.
"Pihak kami dan agensi-agensi yang terlibat dalam keadaan berjaga-jaga, sentiasa 'alert' dengan sebarang kemungkinan," tambahnya.
29 Nov 24
724
MB Turun Padang Santuni Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 29 November- Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, terus komited memantau keadaan banjir di negeri ini dengan melawat kawasan terjejas dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir.
Semalam, beliau meluangkan masa meninjau situasi banjir di Hulu Terengganu, termasuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil.
Lawatannya meliputi PPS Tok Randok dan PPS Bukit Kolam, di mana beliau bertemu mangsa banjir dan mendengar keluhan serta keperluan mereka.
Hari ini, Menteri Besar meneruskan tinjauannya ke daerah Setiu dengan melawat PPS Dewan Orang Ramai Kampung Apal, bertemu mangsa banjir dan menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Ahmad Samsuri menzahirkan rasa prihatin terhadap mangsa yang terkesan dan menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan serta memastikan semua bantuan disalurkan dengan cepat dan berkesan.
“Kerajaan negeri sentiasa komited membantu rakyat yang terjejas akibat musibah ini. Saya menyeru semua pihak untuk terus bersabar dan berdoa agar banjir segera surut,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, mangsa banjir di Terengganu setakat pukul 4 petang tadi mencecah 22,511 orang.
Mangsa banjir daripada 6,358 keluarga itu ketika ini berlindung di 228 PPS yang diaktifkan di tujuh daerah yang dilanda banjir.
Pihak berkuasa sedang giat memantau keadaan dan memastikan keselamatan penduduk sentiasa diutamakan.
29 Nov 24
630
Amaran Hujan Lebat Berterusan Peringkat Bahaya di Terengganu, Kelantan Hingga Sabtu
KUALA TERENGGANU, 29 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di Terengganu serta beberapa daerah di Kelantan hingga esok.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan di Terengganu, melibatkan kesemua lapan daerah.
Sementara di Kelantan termasuk daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Selain itu, hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka di negeri Perak (Hulu Perak), Kelantan (Gua Musang), Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan, dan Rompin) bagi tempoh yang sama.
Dalam pada itu, hujan berterusan tahap waspada diramal berlaku di seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang.
Amaran sama juga dikeluarkan bagi Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar di Perak; Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera) serta Segamat, Mersing dan Kota Tinggi, Johor hingga 30 November.
29 Nov 24
520
ATM, Agensi Keselamatan Salur Bantuan Kawasan Terputus Hubungan Di Kuala Jengai
KUALA TERENGGANU, 28 November- Anggota tentera bersama agensi keselamatan membantu menyalurkan bantuan ke kawasan yang terputus hubungan di sekitar Kampung Kuala Jengai, Dungun, hari ini.
Pegawai Memerintah Batalion ke 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD PARA) Kem Seri Pantai, Leftenan Kolonel Mohd Ashafiq Abdul Aziz berkata, operasi berkenaan turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Ia diketuai Ketua Kompeni 18 RAMD Mejar Mohd Fahmizal Zamri bermula pukul 12.45 tengahari tadi.
"Operasi dilaksanakan kerana terdapat kawasan di sekitar Kuala Jengai telah terputus hubungan dan memerlukan bantuan ulang bekalan makanan dan peralatan untuk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS)," ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, operasi terbabit menggunakan aset perairan milik ATM dan agensi awam lain dengan melalui jalan Sungai Dungun bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Jengal dan PPS Kampung Surau yang terputus hubungan.
28 Nov 24
139
Awasi Anak-Anak Semasa Musim Banjir - MB
KUALA TERENGGANU, 28 November - Penduduk yang tinggal di kawasan banjir dinasihatkan supaya mengawasi anak-anak mereka daripada bermain air banjir bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jangan sesekali mendekati kawasan yang teruk dilanda bencana alam itu.
"Paling penting, jaga anak masing-masing supaya tidak berkeliaran dan sentiasa berada di rumah.
"Apabila sampai waktu untuk berpindah, segera berpindah kerana yang paling utama ketika ini ialah menjaga keselamatan dan kesihatan diri dan keluarga," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi Bilik Gerakan Bencana Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak pandang remeh terhadap penyakit bawaan air ketika banjir.
"Sekiranya mana-mana penduduk yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara atau yang kekal berada di rumah, jika mengalami gejala kesihatan yang berkaitan dengan banjir segeralah berhubung dengan pihak kesihatan," katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Negeri Terengganu samada yang tinggal berhampiran sungai, pantai atau mana-mana kawasan yang berisiko untuk berdepan dengan banjir supaya menjaga keselamatan masing-masing.
"Sama-sama kita berdoa supaya kita semua dapat mengharungi ujian Monsun Timur Laut ini dengan baik dan semoga kita dalam pelihara Allah S.W.T," ujarnya.
28 Nov 24
120
12,038 Mangsa Banjir Berlindung Di 171 PPS
KUALA TERENGGANU, 28 November- Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus mencatatkan peningkatan ketara iaitu seramai 12,038 orang daripada 3,509 keluarga setakat pukul 2 petang ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memaklumkan, terdapat 171 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di enam daerah seluruh negeri ketika ini.
Enam daerah terjejas adalah Kemaman, Dungun, Besut, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu.
Daerah Besut merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 4,648 mangsa daripada 1,262 keluarga ditempatkan di 64 PPS di daerah tersebut.
Bagi daerah Hulu Terengganu, seramai 2,809 mangsa daripada 928 keluarga dipindahkan ke 41 PPS.
Daerah Setiu pula membabitkan 3,052 mangsa banjir daripada 882 keluarga dipindahkan ke 38 PPS.
Di Kemaman, seramai 868 mangsa banjir daripada 244 keluarga berlindung di 15 PPS.
Sementara di Dungun melibatkan 446 mangsa daripada 135 keluarga berada di lapan PPS.
Dan Marang pula membabitkan 215 mangsa daripada 58 keluarga yang ketikan ini berada di lima PPS di daerah terbabit.
28 Nov 24
146