lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

'Proses Beli Saham Belum Selesai' - KMI Nafi Kendalikan Hospital Bersalin Razif
'Proses Beli Saham Belum Selesai' - KMI Nafi Kendalikan Hospital Bersalin Razif
KUALA TERENGGANU, 11 Disember - Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) bahagian penjagaan kesihatan di bawah TDM Berhad menjelaskan pihaknya masih tidak memiliki atau mengendalikan Hospital Bersalin Razif.  KMI Healthcare dalam satu kenyataan memaklumkan, walaupun Perjanjian Jual Beli Saham telah ditandatangani pada 23 Oktober tahun lepas, perjanjian tersebut masih belum dimuktamadkan kerana terdapat beberapa pemenuhan duluan syarat yang belum dipenuhi.  “Sehingga syarat-syarat ini dilaksanakan dan transaksi selesai, KMI Healthcare tidak mempunyai hak milik atau tanggungjawab terhadap Hospital Bersalin Razif.  “Oleh itu, KMI Healthcare tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang isu operasi atau lain-lain yang berkaitan dengan Hospital Bersalin Razif pada masa ini,” ujar kenyataan itu, hari ini.  Jelas kenyataan tersebut, syarikat kekal komited terhadap ketelusan dan pematuhan dalam semua urusannya dan akan memberikan makluman lanjut apabila diperlukan. Terdahulu, tular di media sosial mengenai isu jasad bayi yang didakwa ditahan di hospital berkenaan selama 16 hari di peti beku, dan ibunya juga tidak dibenarkan keluar wad sehingga bil hospital dibayar.  
11 Dec 24
1099
35 Usahawan Kecil Terengganu Terima Pinjaman Tanpa Riba
35 Usahawan Kecil Terengganu Terima Pinjaman Tanpa Riba
SETIU, 10 Disember - Seramai 35 usahawan kecil menerima suntikan modal pinjaman tanpa faedah berjumlah RM418,000 menerusi Program Jaya Diri (PJD), sebuah inisiatif dari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata program itu bertujuan membantu usahawan kecil-kecilan memulakan atau mengembangkan perniagaan seperti kedai makan, jahitan pakaian, kedai runcit dan sebagainya. “PJD bukan sekadar pinjaman kewangan, tetapi peluang untuk rakyat membina kehidupan lebih baik.  “Hari ini adalah hari bertuah untuk semua penerima, pinjaman ini boleh menjadi permulaan untuk mengubah kehidupan keluarga dengan rezeki perniagaan di masa akan datang,” kata beliau. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Modal PJD Peringkat Negeri di Dewan Perpustakaan Awam Daerah Setiu, di sini semalam. Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri; Mohd Yusop Majid, Penyelaras DUN Permaisuri; Zul Bhari A Rahman. Beliau turut menjelaskan keunikan pinjaman ini yang bebas faedah, sejajar dengan prinsip Islam.  “Pinjaman tanpa riba atau bunga ini istimewa, bila kita gunakannya dengan betul, ia akan membawa keberkatan dalam perniagaan dan bakal dilimpahi rezeki yang mencurah. “Sebanyak RM418,000 telah diagihkan kepada 35 peserta, termasuk 11 dari Besut, 22 dari Setiu, dan dua dari Marang.  “Setiap peserta menerima pinjaman antara RM5,000 hingga RM20,000 berdasarkan jenis perniagaan yang dijalankan,” jelasnya. Menurut Maliaman, kebanyakan penerima bantuan adalah ibu tunggal yang memikul tanggungjawab besar mengurus keluarga sambil mencari rezeki.  “Saya sangat kagum dengan kekuatan para ibu ini yang gigih berusaha untuk anak-anak mereka. “Komitmen membayar balik pinjaman adalah cabaran yang perlu ditempuhi.  “Jika kita jujur dan bersungguh-sungguh, rezeki pasti akan datang, cuma cepat atau lambat,” tegasnya. Maliaman turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan terus meneliti permintaan untuk meningkatkan jumlah modal pinjaman berdasarkan keperluan dan potensi perniagaan.  “Kerajaan sentiasa terbuka untuk menambah baik program ini demi kesejahteraan rakyat. “Kami sentiasa meneliti hasrat dan keperluan untuk menambah jumlah modal pinjaman pada masa hadapan, bergantung kepada situasi kewangan dan potensi peserta,” katanya. Tambah Maliaman, PJD selaras dengan konsep ‘negeri berkebajikan’, di mana kerajaan membantu rakyat dan rakyat turut menyokong satu sama lain.  “Program ini diharap dapat menjadi jalan keluar dari belenggu kemiskinan dan memberi peluang untuk semua bangkit memajukan diri. “Inisiatif ini diharapkan memberi semangat baru kepada usahawan kecil untuk terus mengorak langkah maju ke hadapan,” ujarnya.  
10 Dec 24
500
Isu Banjir Di Perkampungan Darul Barakah Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
Isu Banjir Di Perkampungan Darul Barakah Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
Isu banjir di kawasan Perkampungan Darul Barakah bakal diatasi susulan beberapa langkah yang akan diambil oleh kerajaan negeri dan pihak berkaitan bagi menangani permasalahan itu.
10 Dec 24
134
Angkat Pendidikan Islam Seiring Kemodenan Zaman
Angkat Pendidikan Islam Seiring Kemodenan Zaman
Mengikut perkembangan masa dan zaman, penambahbaikan perlu dibuat bagi melihat pendidikan Islam bangkit dan selari dengan pendidikan konvensional yang lain secara langsung sebagai pemangkin utama berasaskan ketakwaan serta akidah yang mantap bagi melahirkan generasi mendatang.
10 Dec 24
51
RUU Komunikasi Dan Multimedia Buka Ruang Salah Guna Kuasa
RUU Komunikasi Dan Multimedia Buka Ruang Salah Guna Kuasa
KUALA TERENGGANU, 10 Disember - Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional semalam telah menentang Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan 2024) kerana dikhuatiri akan disalah guna dan dimanipulasi. Ahli Parlimen Kuala Terengganu , Dato' Ahmad Amzad Hashim berkata, perkara itu sangat jelas memberikan kuasa terlalu luas kepada menteri untuk menentukan pelbagai perkara berkaitan media. "Kerajaan sekarang dilihat mundur ke belakang dalam menegakkan prinsip penting demokrasi iaitulah hak kebebasan bersuara. "Perkara ini dibangkitkan masyarakat awam termasuklah mereka yang sebelum ini dilihat sangat pekat dalam sokongannya kepada Pakatan Harapan misalnya BERSIH, kartunis Fahmi Reza, Ahli Parlimen Pasir Gudang dan ramai lagi," ujarnya. Beliau berkata demikian melalui suatu kenyataan di facebooknya, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, sekalipun RUU itu tetap diluluskan kerana ahli-ahli Parlimen Kerajaan dari Pakatan Harapan dan lain-lain parti yang bersama kerajaan memilih telah mengundi menyokong pindaan akta terbabit. "Semua Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional yang hadir telah mengundi membantah RUU ini," tegasnya.
10 Dec 24
116
Penyelenggaraan Longkang Selesaikan Masalah Banjir Di Tok Jembal
Penyelenggaraan Longkang Selesaikan Masalah Banjir Di Tok Jembal
KUALA NERUS, 9 Disember - Projek pembersihan dan penyelenggaraan longkang di Kampung Tok Jembal dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir berjaya mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan kali ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat, berkata, beliau berterima kasih kepada Datuk Bandar Kuala Terengganu. "Secara peribadi saya mewakili masyarakat DUN Seberang Takir mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato' Bandar Kuala Terengganu dan MBKT yang telah menyelenggara dua longkang di kawasan Tok Jembal yang kita maklum menjadi punca kegagalan air mengalir ke laut. "MBKT telah berjaya mendapat peruntukan dari Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) seterusnya adalah diharapkan dengan kerja-kerja selenggara longkang ini juga dapat mengelakkan berlakunya impak banjir di Taman Uda Murni dan sekitarnya, " ujarnya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tok Jembal, Zainal Lasim, 65, ketika dihubungi berkata, beliau menzahirkan rasa syukur kerana tidak berlaku banjir pada tahun ini. "Alhamdulillah, setakat ini tidak berlaku banjir di kawasan Taman Murni Permai disebabkan pihak kerajaan telah berusaha mengorek dan membersihkan longkang sepanjang 1.3 kilometer bagi kelancaran air mengalir ke laut telah pun selesai dijalankan sebelum tiba musim tengkujuh baru-baru ini. "Sebelum ini, bila tiba Monsun Timur Laut, apabila satu atau dua jam hujan turun, selalunya memang air laju masuk ke sini terutamanya di Taman Murni Permai. "Penduduk di sini bimbang setiap kali tiba musim tengkujuh, terpaksa berjaga malam risau akan keadaan air, namun kali ini air tidak masuk ke rumah, mereka bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas usaha mengelakkannya daripada berulang," ujarnya. Dalam pada itu, seorang penduduk, Abdul Jalil, 60, amat bersyukur kerana tidak lagi perlu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). "Maklumlah, bila air masuk dalam rumah memang penat, letih. Wang pun banyak habis nak beli barang-barang rumah yang rosak. "Terima kasih buat barisan JPKK di sini yang bertungkus lumus siang malam demi memastikan hasrat penduduk Taman Murni Permai tidak mengalami banjir kini menjadi kenyataan," katanya.   
09 Dec 24
229
Isu Banjir Di Perkampungan Darul Barakah Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
Isu Banjir Di Perkampungan Darul Barakah Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
MARANG, 9 Disember- Isu banjir di kawasan Perkampungan Darul Barakah bakal diatasi susulan beberapa langkah yang akan diambil oleh kerajaan negeri dan pihak berkaitan bagi menangani permasalahan itu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, berikutan pusat pemulihan dadah secara holistik itu terletak di kawasan rendah ia menyumbang kepada berlakunya limpahan air sungai setiap tahun dan musibah banjir. Justeru katanya, penambahbaikan dilihat amat diperlukan bagi meminimakan impak banjir selain membaiki infrastruktur di kawasan tersebut. “Jadi kita ambil perhatian, antara masalah yang dihadapi pelatih di sini adalah asrama mereka berada di kawasan dinaiki air ketika banjir. “Satu alternatif perlu dilakukan untuk menangani masalah ini, samada dengan bina satu dewan lain di tempat yang lebih tinggi dalam kawasan ini bagi dijadikan pusat pemindahan mereka ketika banjir ataupun dengan cara atau kaedah lain,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan banjir oleh Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Terengganu kepada pelatih di Perkampungan Darul Barakah, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, buat masa ini pihaknya sedang mengumpul segala maklumat berkaitan isu atau masalah yang dihadapi institusi terbabit.  “Kita telah kenal pasti, jadi kita akan letakkan sebagai keutamaan demi memastikan kebajikan pelatih di sini sentiasa terjaga,” ujarnya.  
09 Dec 24
189
Kerajaan Negeri Peruntuk RM20 Ribu, Selamatkan Kediaman Dari Hakisan Pantai
Kerajaan Negeri Peruntuk RM20 Ribu, Selamatkan Kediaman Dari Hakisan Pantai
KUALA NERUS, 9 Disember - Kerajaan negeri  mengambil langkah segera dengan peruntukan RM20,000 bagi menyelamatkan sebuah rumah yang didiami sebuah keluarga serta sebuah surau berikutan hakisan berlaku di Pantai Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, usaha tersebut diambil kerana hakisan semakin dekat dan dikhuatiri mengundang risiko kejadian tidak diingini. "Ini merupakan projek sementara bagi memastikan rumah serta sebuah surau ini dapat diselamatkan dengan kaedah meletakkan batu-batu besar supaya tanah itu tidak runtuh pada malam ini ataupun boleh bertahan selama beberapa hari sebelum diambil langkah seterusnya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas mengadakan lawatan di Pantai Maras Batu Rakit berkaitan hakisan pantai dan tambun batu, di sini, hari ini. Terdahulu, pemilik rumah, Mazlan Abdullah, 56, berkata jarak hakisan dengan rumahnya kini hanya kira-kira dua meter menyebabkan dia bimbang kediaman yang dibina sejak 30 tahun lalu runtuh. Dia yang juga merupakan pengusaha kedai makan berhampiran rumahnya berkata, dengan tindakan segera yang diambil oleh kerajaan memberikannya sedikit kelegaan. "Timbunan batu ini sekurang-kurangnya mampu mengurangkan kelajuan ombak," ujarnya.
09 Dec 24
333
60 Pelatih Perkampungan Darul Barakah Terima Sumbangan Banjir
60 Pelatih Perkampungan Darul Barakah Terima Sumbangan Banjir
MARANG, 9 Disember- Seramai 60 pelatih Perkampungan Darul Barakah yang terjejas banjir menerima sumbangan barangan keperluan asas, hari ini. Bantuan berkenaan disumbangkan Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban pelatih di pusat pemulihan dadah secara holistik itu.  “Dilaporkan pelatih –pelatih di sini terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan kerana asrama mereka telah dinaiki air ketika banjir baru-baru ini. "Sumbangan melibatkan keperluan asas seperti beras, minyak, tepung dan lain-lain untuk kegunaan harian. "Semoga sedikit sebanyak sumbangan ini dapatlah digunakan sebaiknya oleh pelatih ketika pasca banjir ini," ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan berkenaan. Sementara itu, mengulas mengenai bantuan kepada pelatih terlibat banjir, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan membincangkan perkara berkenaan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat. “Buat masa ini kita akan tengok berkaitan kebajikan mereka kerana ada melibatkan portfolio, agensi dan jabatan yang lain.  “Kita akan bincang peringkat dalaman dahulu dan akan kenal pasti apa yang boleh diselesaikan,” ujarnya.  
09 Dec 24
170
Keberkesanan Pulau Buatan Akan Dinilai Semula Setelah Siap 2026
Keberkesanan Pulau Buatan Akan Dinilai Semula Setelah Siap 2026
KUALA NERUS, 9 Disember - Pulau Buatan yang akan berperanan sebagai 'breakwater' (pemecah ombak) akan dinilai semula selepas projek itu selesai pada September  2026. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, dalam tempoh projek itu berjalan maka pelbagai spekulasi serta pandangan akan dilontarkan oleh orang ramai. Katanya, projek yang menelan kos sebanyak RM90 juta tersebut kini sedang giat berjalan dan dijangka siap pada September 2026. "Bila semua siap 'breakwater' ini maka pada masa itulah kita akan lihat kesan dia tetapi setakat kajian yang dibuat, konsultan memberikan pandangan kepada kita untuk buat projek ini dahulu. "Tetapi dalam proses pembuatan ini macam-macam pandangan akan diutarakan jadi tunggu dia siap pada 2026 kita akan lihat, sekarang ini bertahan dahulu dan macam hari ini kita tambah timbunan batu untuk menyelamatkan sebuah rumah dan sebuah surau di Pengkalan Maras," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas mengadakan lawatan di pantai Maras Batu Rakit berkaitan berlakunya hakisan pantai, di sini, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail. Dalam pada itu Shafizi berkata, pihaknya mengambil cakna dengan kebimbangan orang ramai yang melihat hakisan itu saban tahun semakin ketara dan kian meruncing. "Ia telah berlaku sekian lama dan sekarang ini sangat berat sehingga menghampiri jalan, kerana itu Pusat Khidmat Masyarakat kerap buat pemantauan dan telah mengarahkan agar peniaga yang berniaga di sebelah sini berpindah ke seberang jalan," katanya. Tegasnya, beliau kerap kali menyuarakan keresahan orang ramai di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana pihaknya tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah melalui peruntukan yang terhad. "RM90 juta untuk membuat pulau ini sebenarnya tidak cukup dan memerlukan penambahan sebab hakisan ini keterlaluan dan bertambah dari hari ke hari. "Selain itu dalam sidang DUN baru ini saya juga meminta pandangan daripada pihak kerajaan negeri sama ada projek yang dibuat ini boleh menyelamatkan keadaan ataupun tidak," ujarnya.  
09 Dec 24
285