lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

TDM Hulur Sumbangan Musim Tengkujuh Kepada Nelayan
TDM Hulur Sumbangan Musim Tengkujuh Kepada Nelayan
KUALA TERENGGANU, 9 Disember- TDM Berhad meneruskan komitmennya dalam menyokong masyarakat setempat dengan melancarkan Program Bantuan Khas kepada nelayan musim tengkujuh di Dewan Sivik Seberang Takir, semalam. Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, melalui program tersebut, TDM menyumbang sebanyak RM20,000 untuk belian barangan asas seperti beras, minyak masak, makanan kering, gula, dan keperluan harian lain. Selain itu katanya, melalui program ini juga Ahli Parlimen Kuala Nerus merangkap Pengerusi Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. Dato’ Dr. Alias Razak turut sama bekerjasama dengan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir menyumbangkan barang keperluan  bagi meringankan beban dan sebagai langkah untuk memastikan kelangsungan kehidupan harian golongan terjejas khasnya komuniti Seberang Takir. Menurut Najman, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TDM yang berteraskan nilai murni membantu komuniti di mana syarikat beroperasi.  “Kami memahami cabaran besar yang dihadapi oleh para nelayan ketika musim tengkujuh, di mana aktiviti menangkap ikan menjadi terhad.  "Musim ini bukan sahaja mengurangkan sumber pendapatan mereka, tetapi turut memberi tekanan kepada kehidupan harian  keluarga mereka.  "Sebagai syarikat yang bertanggungjawab, TDM berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mereka serta menunjukkan sokongan kami kepada masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan. Menurut beliau, seramai 372 nelayan berdaftar di bawah Persatuan Nelayan Kawasan telah dikenalpasti sebagai penerima bantuan berkenaan. "TDM percaya usaha ini adalah langkah penting untuk mengukuhkan hubungan erat antara syarikat dan masyarakat, sambil menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi dan sosial negeri Terengganu, " ujarnya.
09 Dec 24
113
Mercato Lancar CSR, Bantu Mangsa Banjir Yang Terkesan
Mercato Lancar CSR, Bantu Mangsa Banjir Yang Terkesan
Pasar raya premium pertama di Pantai Timur yang kini beroperasi di Mayang Mall telah melancarkan program Banjir, Beli & Bantu dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi membantu mangsa banjir di Terengganu.
09 Dec 24
88
6,000 Pek Makanan Diagih Kepada Mangsa Banjir Taman Rakyat Jaya
6,000 Pek Makanan Diagih Kepada Mangsa Banjir Taman Rakyat Jaya
DUNGUN, 8 Disember – Sebanyak 6,000 pek makanan telah diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Taman Rakyat Jaya dan kampung-kampung sekitarnya semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, pek makanan tersebut merupakan hasil sumbangan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat. "Saya mengucapkan terima kasih kepada YB Hanafiah atas kemurahan hati beliau yang menyumbang 6,000 pek makanan kepada mangsa banjir di sini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Dapur Rakyat KM (KHIDMAT Malaysia) Dungun, DUN Rantau Abang, yang diadakan di Surau Taman Rakyat Jaya pada pagi semalam. Turut hadir ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, dan Ketua KM Dungun, Khairul Ismail. Menurut beliau, JPKK kawasan sekitar telah ditugaskan memasak 450 kilogram nasi dan 600 kilogram daging. "JPKK terlibat ialah Taman Rakyat Jaya, Gong Pasir, Pulau Serai, Pelandang, Balai Besar, Bemban, Batu Tiong, Jalan Intan, Batu Putih dan Balik Bukit bergotong-royong memasak nasi dan lauk gulai dan singgang daging yang siap dimasak seawal  8 pagi.  "Terima kasih kepada semua sukarelawan yang hadir dari Dungun dan Kemaman datang awal pagi membantu membungkus dan mengagihkannya.  "Usaha murni ini membuktikan semangat gotong-royong yang tinggi dalam membantu mangsa banjir, serta menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus membantu mereka yang memerlukan," ujarnya lagi.  Lebih 500 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang  berganding bahu membungkus dan mengagihkan pek makanan terbabit. Di samping 21 buah kenderaan pacuan empat roda dari Kemaman dalam turut mengambil bahagian untuk memudahkan pengagihan ke kawasan yang terkesan.  
08 Dec 24
245
Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Badan Bukan Kerajaan Khidmat Malaysia Kuala Terengganu (KMKT) menganjurkan inisiatif Dapur Rakyat bagi membantu meringankan beban mangsa banjir. Ketua Kebajikan KMKT, Azizah Mahmood berkata langkah itu menyasarkan penduduk di kawasan yang paling terkesan, khususnya mereka yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Paloh dan Sekolah Kebangsaan Bukit Losong. “Kami di Khidmat Malaysia Kuala Terengganu amat memahami kesukaran yang dihadapi penduduk selepas bencana. “Dapur Rakyat pada kali ini menyediakan kira-kira 800 pek makanan tengah hari untuk diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan terjejas. “Termasuk mereka yang berada di PPS dan penduduk dari lima buah kampung yang teruk dilanda banjir iaitu Pulau Rusa Hilir, Paloh, Losong Dato’ Amar, Losong Haji Long, dan Losong Panglima Perang,” kata beliau. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Wakaf Mempelam, di sini semalam. Tambah Azizah, Dapur Rakyat dijayakan dengan komitmen 50 petugas wanita dan 30 lelaki yang bertugas sebagai sukarelawan untuk menyediakan dan mengagihkan makanan. “Kami pastikan makanan ini sampai kepada semua yang memerlukan, termasuk mereka yang berada di kawasan terjejas lain yang memerlukan bantuan segera,” jelasnya. Beliau juga menambah, Ops Bersih telah dijalankan di SK Pulau Rusa dengan kerjasama pihak Bomba, guru-guru sekolah, JPKK Pulau Rusa Hilir, dan pasukan dari Khidmat Malaysia Dun Wakaf Mempelam. Azizah turut menyeru lebih ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan. “Kami masih mengalu-alukan sumbangan daripada para dermawan, sama ada dalam bentuk tenaga, wang ringgit, atau apa sahaja bentuk bantuan untuk mangsa banjir,” ujar beliau. Beliau turut menegaskan bahawa bencana ini tidak hanya memberi kesan kepada Kuala Terengganu, tetapi juga banyak kawasan lain di seluruh negeri. “Banjir kali ini sangat besar, Khidmat Malaysia Negeri Terengganu amat menghargai sokongan dari dalam dan luar negeri. “Kami sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan operasi ini, dan semoga usaha kita semua diberkati serta menjadi amal jariah yang berkekalan,” katanya.  
05 Dec 24
459
Mahkamah Tinggi Syariah Tangguh Hukuman Sebat Pesalah Khalwat
Mahkamah Tinggi Syariah Tangguh Hukuman Sebat Pesalah Khalwat
KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Hukuman sebatan syariah di luar penjara terhadap pesalah khalwat berulang yang dijadualkan pada 6 Disember ini ditangguhkan kepada suatu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu memutuskan untuk menggantung sementara pelaksanaan perintah itu susulan Permohonan Semakan telah difailkan oleh satu pihak kepada Mahkamah Rayuan Syariah, semalam. Oleh yang demikian katanya, perintah pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara tersebut adalah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah. Jelasnya, Permohonan Semakan merupakan perkara biasa dalam sistem kehakiman dan beliau menegaskan keputusan untuk menggantung sementara hukuman berkenaan bukan disebabkan desakan daripada mana-mana pihak. “Justeru, orang ramai diminta menunggu perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah. “Saya ingin menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pihak Mahkamah Syariah dan yang pasti hukuman tetap berjalan dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media berkait hukuman sebat di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut katanya, hukuman sebatan tersebut merupakan satu hukuman sebatan syariah bagi kesalahan jenayah syariah takzir yang bertujuan memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan individu yang lain. Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang. Pada 20 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan enam hukuman sebatan di luar penjara terhadap pesalah iaitu di sebuah masjid (Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu) pada 6 Disember ini selepas solat Jumaat. Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail. Sabitan hukuman tersebut adalah berdasarkan kepada pengakuan salah oleh OKT itu sendiri terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 31 (a), Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001.
04 Dec 24
501
Jumlah Mangsa Banjir Terengganu Semakin Menurun
Jumlah Mangsa Banjir Terengganu Semakin Menurun
KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Situasi banjir di Terengganu semakin pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini terus berkurangan. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan, setakat pukul 12 tengahari ini jumlah mangsa banjir di tujuh daerah mencatatkan 13,256 orang daripada 3,324 keluarga yang masih berlindung di 54 PPS. Katanya, Kuala Nerus mencatat jumlah mangsa paling tinggi, iaitu sebanyak 6,415 orang daripada 1,681 keluarga yang berada di 15 PPS, manakala di daerah Dungun mencatatkan 4,215 mangsa (1,023 keluarga) yang masih berada di 20 PPS. Di daerah Kuala Terengganu pula, sejumlah 2,115 mangsa (504 keluarga) berlindung di lapan PPS sementara di daerah Hulu Terengganu, 163 mangsa (44 keluarga) ditempatkan di tiga PPS. Bagi daerah Marang, seramai 186 mangsa (43 keluarga) berada di tiga PPS manakala di daerah Setiu, 158 mangsa (28 keluarga) di empat PPS diikuti 4 mangsa daripada sebuah keluarga masih berada di sebuah PPS di daerah Kemaman. Selain itu menurut JPBNT, kesemua mangsa banjir di Besut telah pulang ke kediaman masing-masing selepas air surut berikutan cuaca cerah sejak semalam.  
04 Dec 24
158
Dr. Sam Ajak Orang Ramai Sertai Sukarelawan Banjir T-Volt
Dr. Sam Ajak Orang Ramai Sertai Sukarelawan Banjir T-Volt
KUALA TERENGGANU, 3 Disember -  Menteri Besar Terengganu mempelawa orang ramai untuk menyertai Sukarelawan Pasca Banjir Terengganu Volunteer (T-Volt) bagi tahun 24/25. Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Negeri membuka ruang seluas-luasnya bagi sesiapa yang ingin menyumbang tenaga membantu mangsa banjir. “Pasca banjir, banyak tangan dan tenaga yang diperlukan untuk membantu memulihkan kawasan terjejas terutamanya rumah-rumah mangsa dan kawasan sekitar. “Kini, kami membuka peluang buat semua sukarelawan yang bersemangat dan prihatin untuk menyertai usaha pemulihan ini. “Setiap bantuan, besar atau kecil memberi kesan yang besar dan bermakna kepada mereka (mangsa banjir),” tulisnya dalam hantaran di Facebook rasminya, hari ini. T-Volt adalah pertubuhan badan bukan kerajaan yang menghimpunkan sukarelawan yang ditubuhkan di bawah Kerajaan Negeri Terengganu dan diselia oleh Urusetia Belia Sukan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT). Menerusi hantaran di laman UBSNT, pihaknya memaklumkan sedang membuka ruang dan peluang kepada orang ramai untuk menabur bakti dan tenaga bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir. “Sukarelawan yang berminat untuk menyertai Misi Pasca Banjir, bolehlah mengisi maklumat dan menyertai ‘WhatsApp Group’ melalui pautan https://forms.gle/wYzDEARFz2YJ1qrq7 ,” ujarnya menerusi hantaran berkenaan.  
03 Dec 24
280
Fenomena Luruan Monsun, Penumpuan Angin Dijangka Landa Pantai Timur
Fenomena Luruan Monsun, Penumpuan Angin Dijangka Landa Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca aktif bakal melanda kawasan Pantai Timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu, bermula petang 3 Disember hingga awal pagi 4 Disember.  Fenomena penumpuan angin di kawasan ini dijangka membawa hujan lebat berserta ribut petir. Menurut hantaran di Facebook rasmi MetMalaysia pada 2 Disember, fenomena luruan monsun pula dijangka berlaku antara 8 hingga 14 Disember 2024.  Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung, yang boleh meningkatkan risiko banjir di beberapa lokasi. Sebagai makluman, luruan monsun sering berlaku pada bulan November, Disember, dan Januari, fenomena ini terjadi apabila kawasan tekanan rendah dan pusaran terbentuk berhampiran rantau negara.  Pada masa yang sama, udara sejuk dari Siberia meluru ke arah Malaysia akibat letusan udara bertekanan tinggi di kawasan tersebut.  Apabila luruan udara sejuk dari Siberia bertembung dengan angin timuran dari Pasifik, ia bergerak ke rantau kita, mencetuskan hujan lebat, angin kencang, dan ombak besar, terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung. Orang ramai disarankan agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan merancang aktiviti harian dengan teliti, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah atau mudah terjejas.  Pastikan anda mendapatkan maklumat yang sahih melalui laman web rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, atau media sosial rasmi MetMalaysia. Peringatan ini dikeluarkan untuk memastikan semua pihak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.  Kekal tenang, utamakan keselamatan keluarga dan komuniti, serta ikuti arahan pihak berkuasa jika diperlukan.
03 Dec 24
607
Semua Mangsa Banjir Terima Layanan Baik
Semua Mangsa Banjir Terima Layanan Baik
Oleh : Fatimah Din MARANG, 3 Disember - Walaupun penat dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), ia tidak dijadikan alasan oleh para petugas untuk tidak memberikan layanan yang terbaik kepada mangsa banjir. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, keadaan itu dapat dilihat sepanjang beliau melakukan tinjauan serta melawat PPS dan situasi itu memberikan keselesaan kepada mereka yang berada di situ. "Malah mereka turut memuji makanan yang disediakan dikatakan sedap untuk dimakan selain menerima layanan yang baik daripada setiap petugas," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan di situ, baru-baru ini.  Mengulas lebih lanjut, petugas yang dimaksudkan itu adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), anggota rela dan juga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). "Kesemua mereka telah bertungkus lumus bagi memastikan keadaan terkawal sepanjang masa berlakunya bencana banjir. "Mudah-mudahan ia dikira sebagai amal ibadat yang dihitung sebagai amanah yang akan dipertanggungjawabkan," katanya. Untuk rekod, semalam masih mencatatkan 209 keluarga di Seluruh Marang masih berada di sembilan PPS.  
03 Dec 24
141
Banjir: Peniaga Diharap Tidak Ambil Kesempatan Naikkan Harga
Banjir: Peniaga Diharap Tidak Ambil Kesempatan Naikkan Harga
Kerajaan memberi amaran kepada peniaga agar tidak menaikkan harga barangan keperluan asas terutamanya ketika musim tengkujuh yang masih melanda Terengganu ketika ini.
02 Dec 24
105