Artikel "Utama" Terkini
IGMR2024 Catat Penyertaan Terbesar Acara Berbasikal
International Golden Monsoon Ride 2024 (IGMR2024) memecahkan rekod penganjuran Terengganu Inc Challenge Series dengan penyertaan tertinggi iaitu sebanyak 1,600 penyertaan.
16 Dec 24
83
Sebat Pesalah Khalwat Berulang Dilaksana 27 Disember
KUALA TERENGGANU, 16 Disember- Pelaksanaan hukuman sebat terhadap individu pertama di Terengganu yang melakukan kesalahan khalwat berulang akan dilaksanakan pada 27 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, rentetan penggantungan hukuman sebatan luar penjara terhadap pesalah khalwat pada 3 Disember lalu, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang telah bersidang pada 11 Disember lepas memutuskan bahawa Permohonan Semakan yang dibuat adalah teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
“Hasil persidangan itu, Mahkamah turut memutuskan bahawa hukuman enam kali sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar, sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu dikekalkan.
“Hukuman sebatan itu juga kekal dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang sebagaimana keputusan terdahulu dan akan dilaksanakan pada 27 Disember ini selepas solat Jumaat,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegas beliau, keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.
“Maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak.
“Di kesempatan ini, saya ingin menegaskan bahawa hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir ini adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama,” ujarnya.
Tambah Muhammad Khalil, pelaksanaan hukuman sebatan Takzir ini juga bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.
“Kerajaan Negeri ingin mengajak orang ramai untuk mendoakan agar proses pelaksanaan hukuman jenayah syariah (takzir) ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.
Pada 20 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan enam hukuman sebatan di luar penjara terhadap pesalah iaitu di sebuah masjid (Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu) pada 6 Disember lalu (selepas solat Jumaat) bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.
Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail.
Sabitan hukuman tersebut adalah berdasarkan kepada pengakuan salah oleh OKT itu sendiri terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 31 (a), Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001.
16 Dec 24
540
KUTT Bayar Royalti RM1.1 Juta kepada Kerajaan Terengganu
Kerajaan Terengganu telah menerima bayaran royalti daripada anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) sebanyak RM1,101,489.15 bagi tahun 2024.
16 Dec 24
289
KUTT Bayar Royalti RM1.1 Juta kepada Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Kerajaan Terengganu telah menerima bayaran royalti daripada anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) sebanyak RM1,101,489.15 bagi tahun 2024.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, KUTT selama ini diberi tanggungjawab untuk membangunkan koridor utiliti negeri termasuk menyediakan pangkalan data bersepadu bagi semua jajaran utiliti.
Katanya, ia merangkumi tenaga elektrik, bekalan air, rangkaian telekomunikasi dan sistem kumbahan.
"Imbalan bagi pelantikan itu, KUTT disyaratkan untuk membayar sebahagian daripada pendapatan sebagai kontribusi kepada negeri bagi setiap tahun beroperasi,"katanya dalam satu kenyataan media sempena Sesi Penyerahan 'Mock Cheque' di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KUTT, Ir. Ts. Ahmad Azhan Suhaili.
Cek pembayaran royalti itu diserahkan oleh Ahmad Azhan kepada Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Dalam pada itu, Ahmad Azhan berkata KUTT telah mencatatkan pertumbuhan kewangan memberansangkan hasil prestasi cemerlang daripada semua bahagian membolehkan syarikat sekali lagi berpeluang mengembalikan bayaran kontribusi buat kerajaan negeri.
Di samping itu juga, KUTT turut sama berganding bahu dengan kerajaan negeri bagi membantu rakyat Terengganu dengan menyerahkan cek sumbangan RM350,000 kepada Tabung Darul Iman di bawah peruntukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Cek itu telah diserahkan kepada Timbalan Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md. Noor.
Selain daripada itu, KUTT bersama Menteri Besar Incorporated (MBI) Terengganu bekerjasama menyalurkan sumbangan RM500,000 untuk Program MBI-Youth Talent Scholarship melalui tabung biasiswa GLC kerpada Yayasan Terengganu yang mengendalikan dan mengurus biasiswa pelajar cemerlang terpilih.
Cek pembayaran sumbangan Tabung Biasiswa GLC tersebut telah diserahkan oleh Ketua pegawai Eksekutif KUTT kepada Pengarah Yayasan Terengganu.
15 Dec 24
7094
Tasik Kenyir Jadi Tumpuan Dunia, 10 Negara Sertai IMCT 2024
HULU TERENGGANU, 14 Disember – Tasik Kenyir sekali lagi menjadi tumpuan apabila acara International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2024 berjaya menarik minat 260 peserta, termasuk 60 peserta antarabangsa dari sembilan negara.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti, dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Zawawi Ismail berkata program seperti IMCT penting untuk mempromosikan keunikan eko-pelancongan negeri.
“Dengan adanya acara ini, Tasik Kenyir mendapat pendedahan antarabangsa.
“Antara negara yang turut serta ialah Thailand, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, China, Perancis dan Belanda.
“Ia membuktikan kawasan ini kaya dengan tarikan unik seperti Pulau Poh, Taman Burung, dan Gua Bewah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelepasan Peserta Pertandingan IMCT 2024 di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini hari ini.
Menurut beliau, kehadiran peserta antarabangsa menunjukkan potensi besar Tasik Kenyir untuk terus menarik pelancong asing.
“Kita mahu mereka bukan sahaja menikmati aktiviti memancing tetapi juga melihat sendiri keindahan dan keunikan alam sekitar di sini,” tambahnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong itu turut menekankan kepentingan keselamatan sepanjang acara berlangsung.
“Keselamatan perlu menjadi keutamaan kita semua, terutama dalam aktiviti melibatkan air,” kata beliau.
Beliau turut mengingatkan para peserta agar menjaga etika dan mematuhi peraturan demi menjamin pengalaman yang selamat dan menyeronokkan.
“Semoga semua yang hadir membawa pulang pengalaman manis di Tasik Kenyir kali ini,” ujarnya.
Katanya, acara tahunan tersebut mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, selain pertandingan memancing, peserta dan pengunjung juga berpeluang menikmati pemandangan indah dan menyelami budaya serta keunikan Tasik Kenyir.
“Dengan kejayaan penganjuran IMCT 2024, Terengganu kini semakin dikenali sebagai destinasi pilihan untuk sukan rekreasi air.
“Program ini bukan sahaja mempromosikan negeri di mata dunia tetapi turut meningkatkan ekonomi tempatan melalui kehadiran pelancong dalam dan luar negara.
“Mari jadikan Tasik Kenyir sebagai lokasi wajib bagi penggemar aktiviti luar dan pencinta alam,” ujarnya.
14 Dec 24
3917
Terengganu Salur Bekalan Air Bersih ke Pahang
KUANTAN, 12 Disember – Terengganu kini memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekonomi Pantai Timur apabila menyalurkan bekalan air bersih ke Pahang menerusi Projek Paip Pengagihan Air Kemaman-Gebeng.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek sepanjang 29.8 kilometer yang dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu akan memastikan penyaluran bekalan air terawat yang stabil ke kawasan perindustrian Gebeng, sekali gus menyokong pertumbuhan industri dan ekonomi di Wilayah Pantai Timur.
"Projek ini bukan sekadar infrastruktur, tetapi simbolik kepada hubungan erat antara Terengganu dan Pahang.
“Dengan saluran air ini, kita memenuhi keperluan industri sambil memperkukuhkan kerjasama dua negeri," ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang yang berlangsung di Gebeng, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang; Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia Dato' Zulkifli Ali, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.
Menurut Ahmad Samsuri, projek itu juga menjadi bukti kepada kerjasama strategik antara ECERDC, Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
“Peranan Terengganu sebagai penyedia bekalan air menunjukkan komitmen negeri ini untuk berkongsi sumber demi kemajuan bersama.
"Terengganu bangga dapat menyumbang kepada pembangunan industri di Pahang.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama antara Kerajaan Persekutuan, negeri, dan semua pihak berkepentingan," jelasnya.
Kata beliau, dengan bekalan air yang mencukupi, kawasan perindustrian Gebeng, termasuk Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), kini lebih bersedia untuk menyokong pelaburan dan operasi industri bernilai tinggi.
Tambahnya, selain memberi manfaat kepada Pahang, projek tersebut turut menjana pertumbuhan ekonomi di Daerah Kemaman.
“Aktiviti industri yang berkembang dijangka mencipta peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat, sekaligus merancakkan ekonomi Terengganu.
"Inisiatif ini adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dua negeri, memperkukuhkan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan strategik," ujarnya.
Dalam pada itu, projek itu turut menyumbang kepada pengukuhan daya saing kawasan perindustrian Gebeng menerusi sambungan infrastruktur utama seperti Pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur, dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
“Ia adalah contoh terbaik bagaimana perkongsian sumber dan kerjasama strategik dapat memacu pembangunan serantau secara mampan,” katanya.
Sebagai rekod, projek tersbut mencatat pencapaian signifikan dengan membekalkan tambahan 90 juta liter air terawat setiap hari dari Tangki Bukit Kolam, Kemaman ke Tangki Central B, Gebeng, Pahang.
Bekalan ini menjadi tonggak utama dalam memenuhi permintaan air bersih yang dijangka melonjak kepada 466 juta liter sehari menjelang 2025, jauh mengatasi kapasiti semasa sebanyak 290 juta liter sehari.
Sebagai nilai tambah, SATU memastikan bekalan ini diberikan kepada PAIP pada kadar kompetitif RM1.40 setiap meter padu, menjadikannya penyelesaian mampan yang mesra kos untuk pembangunan industri di kawasan ini.
12 Dec 24
536
Hafl Al-Takrim Kokurikulum Usaha JPINT Lahir Pelajar Berminda Kelas Pertama
KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Majlis Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Kali Ke-2 yang diadakan pada tahun ini merupakan usaha Jabatan pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) bagi melahirkan pelajar agama yang memiliki minda kelas pertama.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed berkata, semua pihak perlu memainkan peranan untuk terus memberikan sokongan bagi memastikan pelajar bergiat aktif dalam bidang kokurikulum.
"Sudah tentu ia akan turut membantu pelajar mencipta kecemerlangan dalam bidang kurikulum.
"Momentum seperti inilah yang kita perlukan agar anak-anak sentiasa cerdas dan cergas sama ada di sekolah mahupun di rumah, maka akan lahirlah pelajar minda kelas pertama yang sentiasa kita harapkan.
"Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat di atas semangat juang tinggi yang telah anak-anak (pelajar) tonjolkan, kalah atau menang bukan ukuran tetapi semangat kesukanan yang kental itu perlu ada dalam setiap jiwa," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu itu, di Dewan Utama Ar-Riyadah Residence Majlis Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Shah turut mengucapkan tahniah atas kejayaan kontinjen Terengganu yang telah muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) dan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (MESMA).
"Saya percaya kejayaan para pelajar kita ini bukan sahaja terletak pada usaha-usaha mereka sendiri untuk berjaya.
"Bahkan usaha-usaha yang luar biasa daripada jurulatih yang cukup komited memberi tunjuk ajar serta semangat kepada pelajar kita sehingga membuahkan hasil kejayaan yang cemerlang.
"Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada JPINT kerana berjaya mengadakan majlis gemilang seperti ini saban tahun bagi menghargai pelajar-pelajar dan jurulatih yang berjaya dalam kejohanan yang telah dianjurkan," ujarnya.
12 Dec 24
154
Terengganu Peruntuk RM6 Juta Bantu Pelajar Sambung Master, PhD
Kerajaan Negeri terus komited menyokong pendidikan tinggi dengan memperuntukkan dana besar untuk membantu pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD).
12 Dec 24
192
Kerajaan Terengganu Salur RM2.8 Juta Perkasa Institusi Pendidikan Islam
KUALA TERENGGANU, 12 Disember – Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif memperkukuh pendidikan Islam dengan menyalurkan bantuan pengurusan berjumlah RM2.8 juta kepada 136 institusi pendidikan Islam dari lapan daerah, bermula dari Besut hingga Kemaman.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat, menegaskan bahawa pendidikan adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya terletak di bahu kerajaan.
“Kita mahu negeri ini maju bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga mental dan spiritual.
“Keberkatan yang dicari mesti mengikut syariat, dan kita ingin kesejahteraan dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Pengurusan Mengikut Per Kapita Kepada Sekolah Agama Islam Dan Pusat Pendidikan Negeri Terengganu, di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT); Mohd Zaini Mohd Nor.
Beliau turut mengimbau sejarah kehebatan tamadun Islam abad ke-6 yang menjadikan pendidikan sebagai asas kekuatan masyarakat.
“Kejayaan Islam pada zaman dahulu kerana pemimpin mereka mesra pendidikan dan menghargai ilmuwan.
“Sebaliknya, kejatuhan empayar Islam dikaitkan dengan pemimpin yang lebih tertarik kepada hiburan berbanding ilmu.
“Atas sebab itu, kita mahu menyuburkan negeri ini dengan persekitaran yang mendukung budaya ilmu,” ujar beliau.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada individu, NGO, dan tokoh masyarakat yang selama ini membangunkan institusi pendidikan secara sukarela tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan.
“Mereka sanggup membeli tanah, membina bangunan, dan menyumbangkan tenaga tanpa mengharapkan balasan.
“Tujuannya hanya satu, memastikan anak bangsa mendapat pendidikan terbaik,” katanya.
Tambah Satiful, bantuan pengurusan per kapita ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berakhlak mulia.
“Kita mahu anak-anak ini menjadi lebih pandai daripada guru mereka.
“Sasaran kita adalah melahirkan graduan dengan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD).
“Matlamat kita adalah memastikan anak-anak Terengganu memiliki kehidupan yang lebih baik pada masa depan,” jelasnya.
12 Dec 24
228
Terengganu Peruntuk RM6 Juta Bantu Pelajar Sambung Master, PhD
KUALA TERENGGANU, 11 Disember – Kerajaan Negeri terus komited menyokong pendidikan tinggi dengan memperuntukkan dana besar untuk membantu pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat, berkata kerajaan negeri menyediakan RM500,000 setahun khusus untuk pelajar peringkat Sarjana dan PhD.
“Peruntukan ini tidak termasuk peruntukan untuk ijazah pertama,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Pengurusan Mengikut Per Kapita Kepada Sekolah Agama Islam Dan Pusat Pendidikan Negeri Terengganu, di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Beliau turut menambah bahawa janji manifesto pilihan raya terdahulu yang menetapkan RM5 juta setahun telah dilaksanakan, dan kerajaan menambah RM1 juta lagi melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
“Bermula tahun ini, jumlah keseluruhan dana pendidikan dinaikkan kepada RM6 juta setahun.
“Dengan tambahan ini, kita dapat menyediakan bantuan pendidikan yang lebih meluas dan komprehensif,” katanya.
Selain itu, Yayasan Terengganu masih menyalurkan RM10 juta setahun untuk biasiswa dan pinjaman pendidikan.
“Bantuan ini terbuka kepada semua pelajar yang layak, kecuali anak-anak EXCO dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu.
“Kita mahu semua yang layak mendapat akses kepada peluang ini, tanpa mengira latar belakang mereka.
“Kerajaan negeri akan terus memastikan pendidikan tinggi kekal menjadi keutamaan, kita percaya, dengan pendidikan, anak-anak Terengganu mampu mencipta kehidupan yang lebih baik,” ujar beliau.
11 Dec 24
507