Artikel "Utama" Terkini
Hakisan Pantai Batu Rakit Kritikal, Kerajaan Terengganu Salur Bantuan RM80,000
KUALA NERUS, 13 Januari – Kerajaan Negeri telah meluluskan bantuan segera bernilai RM80,000 untuk menangani masalah hakisan yang semakin parah di Pantai Batu Rakit, yang kini mengancam lebih enam buah rumah, jalan raya, serta kawasan perkuburan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, berkata peruntukan tersebut akan digunakan untuk membina benteng batu bagi melindungi kawasan kritikal, termasuk sekitar rumah penduduk dan tanah perkuburan di Kampung (Kg) Pengkalan Maras.
“Setakat ini, Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah meluluskan RM50,000 minggu lalu untuk membina benteng batu di kawasan perkuburan.
“Hari ini, RM30,000 lagi diluluskan untuk melaksanakan gotong-royong menyelamatkan rumah yang terancam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan hakisan di Pantai Batu Rakit.
Beliau menegaskan bahawa usaha segera ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga keselamatan penduduk.
“Kami mahu pastikan semua penduduk selamat, baik nyawa mahupun harta benda mereka.
“Walaupun jalan raya dan sebahagian rumah sukar diselamatkan, kami tetap berusaha sedaya upaya,” tambahnya.
Menurut Mohd Shafizi, sehingga kini, empat keluarga telah dipindahkan dari kawasan berisiko di Pantai Batu Rakit ke Kg Kolam, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
“Alhamdulillah, keluarga yang dipindahkan kelihatan ceria dan berterima kasih atas usaha ini.
“Keutamaan kami adalah keselamatan dan juga nyawa mereka,” ujar beliau.
ADUN Batu Rakit turut menjelaskan bahawa ancaman hakisan masih berterusan dengan beberapa rumah dan kedai turut menjadi mangsa.
“Mangsa hakisan kini kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian, menjadikan keadaan semakin meruncing.
“Hakisan bukan sahaja memusnahkan rumah, malah ia turut meranapkan kedai-kedai yang menjadi sumber rezeki penduduk.
“Kita memohon doa daripada semua pihak agar Allah melindungi mangsa-mangsa ini, terutama rumah-rumah yang masih terancam,” jelasnya.
Mohd Shafizi turut mengucapkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang tampil membantu, termasuk kontraktor dan syarikat swasta.
“Saya ingin berterima kasih kepada GPQ Sdn. Bhd. dan Aen Projek, yang merupakan anak jati kampung ini, atas keprihatinan mereka.
“Sumbangan batu daripada Rimbun Tekad Sdn. Bhd. sangat bermakna kepada penduduk dalam usaha membantu mengawal hakisan.
“Dengan sumbangan ini, kami mengharapkan keberkatan dari Yang Maha Esa, semoga urusan penyumbang dan penerima dipermudahkan. Kami percaya, dengan doa dan sokongan semua, masalah ini dapat diatasi,” ujarnya.
13 Jan 25
3437
THT Belasah TNB-T 6-1
KUALA TERENGGANU, 12 Januari – Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) terus mengekalkan kecemerlangan dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) apabila mencatatkan kemenangan buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan TNB Thunderbolts (TNB-T) dengan keputusan 6-1 semalam.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk itu menyaksikan THT memulakan perlawanan dengan cemerlang.
THT berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-17 melalui penyudahan pukulan sudut penalti oleh Faizal Saari.
Tidak menunggu lama, THT menambah jaringan kedua pada minit ke-19 menerusi Muhammad Akhimullah Anuar Esook yang menyempurnakan hantaran cantik daripada Muhammad Faris Hamzan, meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan 2-0.
TNB-T tidak menyerah begitu sahaja dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-36, Muhammad Fahmi Khalid menyempurnakan satu pukulan penalti sudut untuk menjadikan skor 2-1.
Bersambung babak berikutnya, perlawanan menjadi lebih sengit, THT kembali melebarkan jurang jaringan pada minit ke-41, kapten pasukan, Mohd Fitri Saari, menghantar bola dari garisan tengah padang yang kemudiannya disambut baik oleh Syarman Mat Tee untuk menambah gol ketiga bagi THT, 3-1.
Tidak lama selepas itu, pada minit ke-43, Faizal Saari sekali lagi menjaringkan gol menerusi satu lagi pukulan sudut penalti, memperkukuhkan kedudukan THT dengan 4-1.
Walaupun THT gagal menambah jaringan menerusi beberapa peluang penalti sudut, mereka tetap terus menguasai permainan. Pada minit ke-52, Muhammad Amirul Hanif Mamat menjaringkan gol kelima selepas satu serangan pantas, membawa THT mendahului 5-1.
Menjelang minit ke-57, THT mengesahkan kemenangan bergaya dengan jaringan kedua dari Muhammad Akhimullah, sekali gus menutup perlawanan dengan kemenangan 6-1.
Dengan kemenangan ini, THT terus berada dalam landasan kemenangan dan dijadualkan untuk bertemu Armed Forces HT pada 15 Januari, jam 4 petang, di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk.
13 Jan 25
97
14 Tahun Penduduk Kampung Darat Hidup Tanpa Elektrik
SETIU, 13 Januari – Setelah 14 tahun hidup dalam kegelapan, keluarga Tumiran Munawar dan penduduk Kampung Darat, Batu Rakit akhirnya dapat menikmati kemudahan elektrik yang amat mereka dambakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, sebelum ini, Tumiran, 73, dan keluarganya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada generator untuk meneruskan kehidupan seharian mereka sejak mereka mula menetap di kampung tersebut pada tahun 2010.
Katanya, setiap tahun, keluarga ini terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi untuk menggantikan generator yang rosak, sehingga kini mereka telah menukar sebanyak tujuh generator.
"Keadaan ini sangat membebankan mereka. Bayangkan, di tengah kesulitan hidup sebagai petani, mereka terpaksa berhadapan dengan masalah bekalan elektrik yang tidak menentu.
"Tumiran dan isterinya, bersama anak-anak, juga menggunakan lampu solar sebagai sumber pencahayaan yang terhad. Tiada peluang untuk menikmati kemudahan asas yang dianggap biasa oleh ramai orang," kata Mohd Shafizi.
Menurut beliau, kehidupan mereka akhirnya berubah dengan adanya bekalan elektrik yang stabil, suasana yang dulunya suram dan gelap kini penuh dengan cahaya, memberi harapan baru kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
"Alhamdulillah, hari ini, kehidupan mereka berubah. Mereka tidak lagi perlu bergantung kepada generator yang sering rosak, dan boleh menikmati keselesaan hidup yang sepatutnya dinikmati oleh setiap insan," tambahnya dengan penuh rasa syukur.
Menurut Mohd Shafizi, projek pemasangan bekalan elektrik ini melibatkan pemasangan 69 tiang elektrik, yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada keluarga Tumiran, tetapi juga seluruh penduduk Kampung Darat.
"Dengan adanya bekalan elektrik yang stabil, penduduk setempat kini boleh merancang untuk membangunkan rumah, mengusahakan pertanian, dan membuka peluang pekerjaan baru.
"Harapan saya, projek ini bukan sekadar memberi kemudahan elektrik, tetapi juga membuka jalan kepada pembangunan yang lebih pesat dan memberi peluang kepada penduduk untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik," katanya, penuh optimis.
Beliau turut merakamkan penghargaan yang mendalam kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu, yang diketuai oleh Pengurus Besar, Ir. Mohamad Mohyddin Mohamed Nor, serta seluruh pasukan TNB dan kontraktor yang telah berusaha gigih merealisasikan projek ini.
"Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya hulurkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan projek ini. Kerjasama dan usaha yang berterusan ini telah membawa perubahan besar kepada masyarakat luar bandar yang sebelum ini hidup dalam kegelapan.
"Ini adalah bukti bahawa dengan tekad dan sokongan bersama, kita boleh mengubah kehidupan insan lain," ujarnya.
13 Jan 25
211
Hidup Bersyariat Mampu Hindari Hedonisme
Budaya hedonisme yang mementingkan keseronokan melampau perlu dibendung terutamanya dalam golongan belia yang makin berleluasa ketika ini.
13 Jan 25
41
Armada Jak FC Juara Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024
Oleh : Muhammad Aqil Mat Ali
HULU TERENGGANU, 13 Januari – Malam penuh aksi di Stadium Mini Kuala Berang menyaksikan Armada Jak FC muncul juara Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024 selepas menundukkan Padang Machang FC dalam perlawanan dramatik yang berakhir dengan jaringan 3-2.
Kemenangan itu bukan sahaja menobatkan Armada Jak FC sebagai juara, tetapi juga membuktikan keunggulan mereka di pentas bola sepak tempatan.
Pertarungan bermula dengan penuh intensiti, Armada Jak FC mencipta momentum awal apabila Muhammad Firas bin Mohd Tarmizi (jersi no. 9) meledak gol pembukaan pada minit ke-10, menghidupkan semangat pasukan serta penyokong mereka.
Namun, Padang Machang FC enggan menyerah mudah, mereka bangkit dengan dua gol menerusi jaringan mantap Shahir Nasrul bin Aziz (jersi no. 14) pada minit ke-35 dan ke-55, membuatkan perlawanan bertukar arah.
Walaupun ketinggalan, Armada Jak FC tetap tenang, mereka kembali memberi saingan dengan gol penyamaan hasil jaringan Mohammad Syamsul Arif bin Ibrahim (jersi no. 5) pada minit ke-75.
Saat perlawanan seakan menuju masa tambahan, Firas sekali lagi muncul sebagai wira dengan gol kemenangan pada minit ke-90+1, membawa sorakan gemuruh di stadium.
Sebagai penghormatan kepada persembahan hebat, penjaga gol Armada Jak FC, Mohd Fazrol Anuar bin Mohamed Hashim, dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik atas kehebatannya menjaga gawang sepanjang kejohanan.
Anugerah Pemain Terbaik pula jatuh kepada Mohd Asrol bin Ibrahim (jersi no. 5) dari Padang Machang FC, yang menunjukkan aksi luar biasa sepanjang pertandingan.
Sebagai juara, Armada Jak FC membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, sebuah piala kejuaraan, serta medal.
Tempat kedua, Padang Machang FC, menerima RM2,000 beserta medal, manakala Parit Che Ha (DPCH) FC dan Kg Baru Ajil FC yang berkongsi tempat ketiga, masing-masing menerima RM1,000 beserta medal.
Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024 bukan sahaja tentang persaingan, tetapi juga simbol perpaduan masyarakat.
Kejohanan ini sekali lagi berjaya menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan komuniti tempatan, menjadikan bola sepak sebagai platform yang mengeratkan hubungan antara pasukan dan penyokong.
Tahniah Armada JAK FC atas kejuaraan penuh bergaya!
13 Jan 25
695
Orang Ramai Dinasihatkan Tidak Hampiri Kawasan Pantai
KUALA TERENGGANU, 12 Januari- Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan pantai ketika ini berikutan fenomena angin kencang yang sedang melanda perairan Terengganu.
Pengarah Pejabat Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu, Rosli Zakaria menjelaskan fenomena tersebut dikhuatiri menyebabkan berlaku risiko pokok tumbang atau struktur binaan runtuh yang boleh mendatangkan kecederaan terhadap individu.
"Kelajuan angin yang direkodkan di Kuala Terengganu ketika ini ialah sekitar 25 kilometer sejam (km/jam).
"Memang tinggi berbanding hari-hari biasa iaitu 10-20 km/j pada musim Monsun Timur Laut malah pada malam tadi, kelajuan angin yang direkodkan ialah 40 km/j.
"Situasi ini agak berisiko kepada sesiapa sahaja berada di kawasan pantai tanpa sebarang keperluan," katanya seperti dipetik melalui laporan Sinar Harian, hari ini.
Pada Selasa lalu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di enam negeri selama tiga hari bermula Jumaat.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan kawasan terlibat termasuk Terengganu di Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, manakala di Pahang melibatkan Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, waktu kemuncak berlakunya kejadian angin kencang pada hari ini dan esok.
Justeru, Rosli menyatakan orang ramai diminta berwaspada serta menjauhi kawasan pantai bagi memastikan keselamatan sepanjang musim tersebut.
12 Jan 25
335
Bina Benteng Sementara Selamatkan Rumah Hampir Roboh- Hishamuddin
KUALA NERUS, 12 Januari – Kerajaan negeri memandang serius masalah hakisan pantai yang hampir memusnahkan sebuah rumah di Kampung Tanjung dekat Batu Rakit dengan membina benteng sementara sebelum kerja-kerja selanjutnya dilaksanakan pihak berwajib Mac depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata benteng sementara itu akan dibina di kediaman itu secara bergotong-royong
"Penduduk dengan kerjasama pengusaha jentera pengorek (excavator) akan bergotong-royong bina benteng sementara di rumah ini.
"Buat masa terdekat ini kita berusaha untuk selamatkan rumah dahulu dan kerja-kerja itu telah bermula hari ini," katanya kepada pemberita.
Hishamuddin sebelum itu meluangkan masa melawat keluarga berkenaan pada petang Jumaat lalu untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai masalah dialami.
Sementara itu, pemilik rumah, Mohd Yazit Idris, 66, berkata, dia bersyukur kerana masalah itu mendapat perhatian ramai termasuk pihak kerajaan negeri.
"Saya bersyukur kerana usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu saya menyelamatkan rumah ini daripada roboh dan dihanyutkan ombak.
"Terima kasih tidak terhingga kepada wakil rakyat yang turut membantu saya dan keluarga mengatasi masalah hakisan ini dalam tempoh terdekat.
"Saya harap usaha ini dapat mengurangkan dan melambatkan masalah hakisan di sini sebelum saya memikirkan inisiatif lain bagi menyelamatkan rumah ini untuk tempoh jangka masa panjang," ujarnya.
Warga emas berasal dari Puchong, Selangor berkata, rumah dibina atas tanah dibeli dengan nilai RM100,000 itu kini menunggu masa roboh selepas dilanda ombak besar pada 4 Januari lalu.
12 Jan 25
1292
Terengganu Rancakkan Program Indahnya Hidup Bersyariat di Setiap DUN
SETIU, 10 Januari - Kerajaan negeri serius dalam membiasakan masyarakat hidup dengan syariat di negeri ini melalui pelaksanaan program ‘Karnival Indahnya Hidup Bersyariat’.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Sri Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar sangat menekankan agenda pelaksanaan syariat.
“Pada penggal ini, kami (kerajaan negeri) membawa satu kelainan di mana kami mengetengahkan satu tema, ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ bertujuan untuk mendidik rakyat negeri Terengganu bahawa syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas Nabi Muhammad SAW perlu kita laksanakan.
“Dalam tempoh setahun ini, Insya-Allah kita akan buat di peringkat DUN pula selepas ini. Dengan pengisian lain selain kuliah dan forum bagi merangkumi semua aspek-aspek yang lain supaya kita dapat menyantuni masyarakat di bawah.
“Ini juga bertujuan untuk kita membuang persepsi buruk musuh-musuh Islam yang menggambarkan syariat Islam sebagai melampau, ganas, mundur ke belakang dan lain-lain lagi perkara negatif yang seolah-olah mengekang kehidupan kita," katanya.
Muhammad Khalil berkata demikian dalam ucapan perasmiannya bagi program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) peringkat daerah Setiu yang bertempat di Masjid Kg. Putera Jaya, Setiu semalam.
Tegasnya lagi, ajaran Islam merupakan ajaran yang fleksibel dan mudah, ia tidak sewenang-wenangnya melarang umatnya dalam melakukan sesuatu melainkan jika ia mendatangkan mudarat.
“Contohnya mengenai makan dan minum, kita hanya dilarang untuk memakan daging khinzir, minum arak, bangkai dan juga apa jua yang boleh memberikan mudarat.
“Selain daripada itu, semua boleh dimakan. Yang penting, ia halal lagi baik.
“Sama juga dalam bab pemakaian dan pergaulan. Semuanya begitu mudah untuk kebaikan manusia,” ujar beliau.
Jelas beliau, walaupun dengan keterbatasan kuasa pada masa ini, kerajaan negeri akan terus berkomitmen untuk memperkasakan syariat Islam di dalam hukum-hakam terutamanya bagi perihal berkaitan dengan perundangan.
Kerajaan negeri juga menyeru masyarakat untuk menghayati peristiwa Israk dan Mikraj sempena bulan Rejab.
Pelancaran sulung yang bertempat di daerah Setiu dan Hulu Terengganu, itu juga telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada masyarakat setempat.
Kata Dr. Muhammad Khalil, ia menunjukkan sokongan mereka yang jitu terhadap usaha kerajaan negeri dalam pembawaan tema hidup bersyariat.
“Saya dapat perhatikan kehadiran yang sangat memberangsangkan daripada masyarakat setempat dan juga penyertaan daripada jabatan dan agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba dan lain-lain lagi turut memeriahkan lagi suasana.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis perasmian program itu.
11 Jan 25
225
THT Teruskan Rentak Kemenangan, Benam UITM 3-1
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 selepas menewaskan UiTM HA-KPT (UiTM) dengan skor 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung hari ini.
THT memecahkan kebuntuan pada minit ke-18 melalui jaringan sudut penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Arif Syafie.
Gol tersebut memberi tonik awal kepada pemain THT untuk terus menyerang meskipun keadaan padang licin akibat hujan.
Hasilnya, pada minit ke-32, pemain THT, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, berjaya menjaringkan gol kedua hasil gerakan menarik rakan sepasukan.
Jaringan tersebut meningkatkan kedudukan THT kepada 2-0.
Bersambung babak kedua, baru empat minit permainan berlangsung, THT menambah jaringan melalui pukulan penalti yang disempurnakan oleh Mohd Fitri Saari.
Selesa dengan kedudukan 3-0, Terengganu mengendurkan sedikit serangan dan membolehkan UiTM memberi ancaman bahaya.
Akibatnya, pada minit ke-51, UiTM berjaya memecahkan kebuntuan apabila pemain nombor 28, Muhammad Idris Samad, menjaringkan gol pertama pasukan mereka selepas menerima hantaran cantik daripada rakan sepasukan.
Jaringan itu mengubah kedudukan kepada 3-1, tetapi gagal menutup jurang yang besar diperoleh Terengganu.
Jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom, mengakui bahawa UiTM memberikan saingan yang sengit pada peringkat awal perlawanan.
"Kami akui UiTM menggunakan corak permainan bertahan dalam babak pertama.
"Jadi, kami cuba mengubah strategi untuk mendapatkan gol pertama, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Alhamdulillah, strategi itu berhasil, dan kami berjaya mencapai matlamat kami," katanya dalam sesi temu bual selepas perlawanan di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk.
THT dijadualkan bertemu pasukan TNB Thunderbolts dalam perlawanan seterusnya pada 12 Januari, jam 4 petang, di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk.
10 Jan 25
105
Rakyat Gusar Kerajaan Madani Dedah Identiti Sebenar
SETIU, 10 Januari- Rakyat di negara ini gusar dengan sikap Kerajaan Madani yang sengaja tidak memaparkan masjid di dalam video montaj 'Visit Malaysia 2026' sekali gus mendedahkan identiti sebenar mereka selama ini tidak menjaga sensitiviti umat Islam dalam negara.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada pandangannya parti yang memerintah negara pada hari ini bersikap kononnya mahu meraikan semua agama dan anutan sebaliknya terpesong jauh daripada prinsip Islam.
"Ia adalah satu dasar yang jauh daripada prinsip Islam, sehingga dalam perkara asas, Masjid yang menjadi salah satu syiar Islam tidak ditunjukkan.
"Dia (Kerajaan Madani) tidak menjaga sensitiviti umat Islam," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM), di Masjid Kg. Putera Jaya, di sini, semalam.
Tambah Muhammad Khalil, sewajarnya masjid menjadi sebahagian daripada video montaj itu kerana mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.
"Salah satunya mereka datang untuk melihat seni bina Masjid dan juga konsep pengurusan institusi itu sendiri kerana memiliki keunikanya yang tersendiri berbanding negara-negara lain," ujarnya.
10 Jan 25
339