Artikel "Utama" Terkini
MB Puji Langkah Proaktif GPB Tangani Krisis Kelapa
KUALA TERENGGANU, 19 Januari- Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memuji langkah proaktif anak syarikat kerajaan negeri, Golden Pharos Bhd (GPB) dalam usaha menangani krisis kekurangan bekalan kelapa dengan mengimport bahan mentah itu dari Indonesia.
Kira-kira 30,000 biji atau 30 tan bekalan kelapa tua diterima daripada pembekal utama itu, Selasa lalu.
“Tahniah kepada Golden Pharos Berhad, anak syarikat Kerajaan Negeri atas usaha proaktif dalam menangani krisis kekuarangan bekalan kelapa dalam pasaran negeri kita,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Samsuri berkata, masalah ini (kekurangan bekalan kelapa) telah memberi kesan kepada banyak pihak terutama para peniaga yang menjadikan kelapa sebagai bahan asas kepada bisnes mereka.
“Bagi yang berminat untuk membeli secara borong atau runcit, boleh hubungi nombor yang tertera dalam poster tersebut,” ujarnya.
19 Jan 25
354
Kerajaan Negeri Gembira Perantau Kritik, Sumbang Idea
Kerajaan negeri berbesar hati menerima kritikan dan pandangan daripada rakyat Terengganu yang berada di perantauan dalam usaha menambah baik pentadbiran negeri.
19 Jan 25
47
Genjatan Senjata : Warga Palestin Akan Mula Kecapi Kebebasan
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Warga Palestin diharap akan mula mengecapi kebebasan dan kemerdekaan serta Masjid Al-Aqsa turut bebas dari kepungan regim zionis Israel.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalid Abdul Hadi berkata, ia susulan pengumuman Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Al-Thani dalam sidang medianya sebentar tadi berhubung kejayaan rundingan gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
“Hamas serta kumpulan pejuang Palestin dan regim zionis Israel telah bersetuju dengan syarat dan ketetapan gencatan senjata.
“Ia sekaligus menamatkan perang dan kekejaman regim zionis Israel selama 15 bulan di semenanjung Gaza yang telah mengorbankan lebih 46,707 warga Palestin dengan lebih 110,265 yang lain dilaporkan cedera,” ujarnya dalam satu hantaran di laman rasmi Facebooknya, hari ini.
Menurut Muhammad Khalil, semenanjung Gaza ketika ini hampir 70 peratus musnah, tiada kemudahan asas dan dalam keadaan amat memerlukan khususnya makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas.
“Gencatan senjata tersebut akan bermula Ahad ini yang dikategorikan sebagai fasa pertama selama 43 hari dan diikuti fasa seterusnya sehingga bertukar menjadi 'permanent ceasefire' jika kesemua syarat dan ketetapan dipatuhi.
“Ketika ini ratusan lori yang membawa bantuan kemanusiaan mula memasuki semenanjung Gaza melalui pintu sempadan Rafah,” ujarnya.
Katanya, berita gembira tersebut disambut meriah di seluruh pelusuk semenanjung Gaza termasuk di tebing barat dengan warga Palestin keluar ke jalanan untuk menyambut hari yang bersejarah ini.
“Ia turut disambut gembira di Yaman, Lubnan, Iran, Iraq, Turkiye dan Insya-Allah akan dikuti oleh negara dunia Islam yang lain.
“Sepanjang konflik ini berlangsung, zionis Israel gagal mencapai objektif yang ditetapkan khususnya untuk menghancurkan Hamas.
“Sokongan rakyat Palestin kepada Hamas tidak berbelah bagi. Warga Palestin tidak mengalah dan tidak mampu ditewaskan,” ujarnya.
Muhammad Khalil berkata, Allah SWT tidak menghampakan doa-doa hambanya yang dizalimi dan dianiaya apatah lagi oleh zionis yahudi laknatullah.
16 Jan 25
207
Hakisan Pantai : Fokus Penyelesaian, Jangan Main Politik - Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 15 Januari - Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru orang ramai agar tidak mempolitikkan isu hakisan pantai Batu Rakit, sebaliknya mahu ia ditangani dengan pendekatan profesional.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sedang giat mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan kesan hakisan yang didakwa berpunca daripada beberapa pembinaan terdahulu, termasuk Lapangan Terbang Sultan Mahmud.
"Kita tak boleh nafikan kesan daripada pembinaan sebelum ini, tapi yang penting sekarang ialah bagaimana nak atasi kesan itu.
"Fokus kita adalah cari penyelesaian, bukan polemik atau tunding jari," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pelbagai pihak berautoriti dalam bidang ini, termasuk Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Ts. Osman Abdullah dan Pengarah Institut Oseanografi dan Alam Sekitar (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir untuk menjalankan simulasi menangani kesan hakisan.
"Kami sedar tentang kesan ini dan sudah ambil langkah proaktif dengan menjalankan simulasi bersama pakar-pakar.
"Mereka sedang kaji bagaimana nak kurangkan impak hakisan ini, termasuk di kawasan Batu Rakit,” ujar Ahmad Samsuri.
Jelasnya untuk langkah segera, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM120,000 untuk mengawal hakisan pantai di kawasan tersebut.
"Baru-baru ini, kita keluarkan RM50,000 dan RM30,000 secara berasingan untuk menyelesaikan beberapa perkara semasa di batu rakit.
“Manakala RM40,000 adalah bajet sebelumnya,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru semua pihak, termasuk netizen dan pihak berkepentingan, supaya tidak mempolitikkan isu tersebut.
"Hakisan ini isu serius yang perlukan perhatian semua pihak, jangan jadikan ia alat politik.
"Kita perlu fokus untuk selesaikan masalah dan jaga keindahan negeri,” ujarnya.
15 Jan 25
669
Faizal Saari 'Mengganas', THT Kekal Menang Bergaya
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Penyerang sensasi Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari membantu melengkapkan kemenangan kelima dengan menjaringkan empat gol dalam aksi pada petang ini menyaksikan pasukan itu berjaya mengalahkan Armed Forces HT (AFHT).
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Faizal Saari berjaya menjaringkan gol seawal minit kedua menewaskan penjaga gawang AFHT, Mohamad Akmal Yussaini.
Selang lima minit perlawanan, THT sekali lagi meneruskan aksi cemerlang menerusi Mohamad Akhirmullah Anuar Esook meletakkan THT mendahului pihak lawan 2-0 sehingga tamat babak pertama.
Bersambung aksi babak kedua, THT terus garang meratah pasukan lawan dengan jaringan gol cantik yang dihasilkan oleh Faizal Saari sekali hasil umpanan rakan sepasukan terus menyaksikan THT mendominasi perlawanan dengan kemenangan selesa.
Akhirnya, pihak lawan berjaya menghasilkan satu jaringan menerusi tendangan sudut penalti pada minit 38 menerusi Muhamad Nazrey Din pada minit ke-38 yang menjadikan kedudukan 4-1.
Tidak cukup dengan itu THT terus mendera pelawat dengan menambah dua lagi jaringan menerusi aksi yang cukup cemerlang dipamerkan oleh Faizal pada minit ke-46 dan 48 sekali gus melakarkan kemenangan cukup bergaya buat THT pada aksi Liga Hoki Malaysia (MHL).
Kemenangan kelima itu menyaksikan skuad kendalian Mohd Hafizi Baharom mengumpul 15 mata menerusi lima perlawanan.
THT bakal berdepan Kelab Liaoning Men's HT pada 20 Januari ini juga di SHBB yang akan menjadi perlawan terakhir di tempat sendiri.
15 Jan 25
162
Langkah Hibrid Kawal Hakisan Pantai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Januari - Langkah hibrid iaitu menggabungkan pembinaan pemecah ombak (breakwater) dengan tukun bagi meminimakan kesan hakisan pantai di negeri ini perlu dilakukan.
Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi dan Korporat) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ts. Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata, cadangan tersebut telah dipanjangkan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Dalam pertemuan dengan Menteri Besar sebentar tadi, kita telah utarakan cadangan ini.
“Maksudnya, ia antara solusi alternatif yang boleh dipertimbangkan kerajaan selain projek pembinaan pemecah ombak yang sedang dilaksanakan ketika ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, berdasarkan kajian dilakukan pasukan penyelidik UMT, langkah hibrid dilihat berpontesi mengawal isu hakisan pantai.
“Tukun sebenarnya boleh mengurangkan impak gelombang dan memberi perlindungan daripada ombak, apabila kita letakkan tukun di antara pemecah ombak, ia boleh mengurangkan hakisan.
“Justeru, kita cadangkan tukun-tukun tiruan turut diletakkan secara tersusun di pesisir pantai yang berisiko di negeri ini,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan telah menyediakan langkah penyelesaian terbaik dengan membina benteng pemecah ombak namun ia gagal mencegah hakisan kerana ada antaranya masih belum siap dengan sempurna.
“Kalau ikutkan perancangan, pembinaan benteng pemecah ombak siap sepenuhnya pada 2026, jadi bila tidak siap sepenuhnya memang akan ada kesan bila berlaku gelombang besar.
“Justeru,dalam tempoh tersebut kita kena bersedia dengan alternatif tertentu kalau ada ribut atau gelombang besar yang datang,” ujarnya.
15 Jan 25
624
106 Mangsa Terkesan Fenomena Air Pasang, Ombak Besar Berlindung di PPS
KUALA TERENGGANU – Seramai 106 mangsa banjir di daerah Kemaman dan Dungun masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setelah rumah mereka terjejas akibat fenomena air pasang dan ombak besar.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat pukul 4 petang ini, seramai 92 mangsa daripada 24 keluarga berada di PPS Balairaya Kampung Geliga Pantai di Kemaman.
“Manakala seramai 14 mangsa daripada lima keluarga terpaksa berlindung di PPS Balai Raya Bandar Paka, Dungun,” ujarnya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora dengan angin Timur Laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) di kawasan perairan Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor hingga 18 Januari.
Justeru, penduduk di kawasan pantai diminta lebih berwaspada dan tidak menghampiri pantai.
14 Jan 25
152
Jalan Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit Ditutup Sepenuhnya
KUALA NERUS, 13 Januari - Jalan Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, ditutup sepenuhnya apabila laluan dari Batu Rakit menghala ke Mengabang Telipot runtuh akibat dibadai ombak, kira-kira 9 malam tadi.
Laluan sepanjang kira-kira 50 meter (m) itu dikatakan runtuh selepas dibadai ombak besar setinggi 2.4 m serta angin kencang bermula 6 petang dan berlarutan sehingga awal pagi ini.
Tinjauan pagi tadi mendapati, terdapat rekahan baru dan dijangka menjadi lebih teruk apabila ombak pada malam ini dikatakan lebih tinggi mencecah sehingga tiga meter dengan kelajuan angin yang lebih kuat.
Salah seorang penduduk yang ditemui, Mohd Nor Ali, 69, berkata sepanjang hidupnya, itulah pertama kali dia berhadapan hakisan paling teruk di Pantai Batu Rakit.
“Sejak tahun kebelakangan ini, ombak makin dekat dan mengganas pada musim tengkujuh membuatkan kami semua rasa takut dengan situasi itu.
“Kalau dulu kami ada pantai yang indah tetapi kini sebahagian besar hilang ditelan ombak termasuk kediaman, kedai dan tanah perkuburan yang turut musnah,” katanya.
Berkongsi keresahan, Mohd Nor melahirkan kebimbangan jika tidak ada tindakan segera oleh pihak berwajib, tidak mustahil hakisan itu merebak sehingga ke pantai Merang, Setiu.
“Segerakan benteng pemecah ombak supaya hakisan ini dapat disekat dan saya mohon terutama kerajaan pusat tolong percepatkannya kerana saya tahu ini bawah peruntukannya,” tambahnya lagi.
Bagi Zamri Mohamad, 51, dia merasa sedih melihat tempat permainan zaman kecil telah lenyap apabila daratan pasir memutih kini hilang dari pandangan mata.
“Dulu kawasan pantai dengan pasir lebih kurang 500 meter dari jalan raya tapi kini angkara ombak… semua itu telah lenyap dan hanya tinggal kenangan.
“Redha tetapi tolong percepatkan benteng atau apa jua cara supaya kami tidak kehilangan lebih banyak memori di tanah kelahiran yang mana satu hari nanti tidak mustahil ia akan hanya tinggal sejarah,” katanya.
13 Jan 25
1111
Hakisan : Terpaksa Punggah Kedai Elak Bencana Lebih Teruk
KUALA NERUS, 13 Januari - Enggan mengambil risiko kerugian, pemilik francais Kopi Payung Batu Rakit terpaksa memunggah sebahagian kedainya sebelum runtuh dibadai ombak.
Muhd Rushdi Samsudin, 43, berkata dia terpaksa membuat keputusan tersebut apabila melihat situasi semakin memburuk sejak semalam.
"Apa yang boleh kita selamatkan, saya bawa keluar barang-barang sejak semalam ekoran ombak yang sangat tinggi sampai cecah atap.
"Pagi ni kita cabut atap dan tengok esok macam mana keadaannya kerana pokok kelapa depan kedai dah tumbang semuanya ke dalam laut," ujarnya ketika ditemui.
Tambahnya, hakisan tetap berlaku walaupun terdapat timbunan batu menghalang di hadapan kedainya yang dibuat sejak tahun 2023.
"Benteng batu berkenaan nampaknya tidak berupaya melawan ombak ganas pada kali ini.
"Ini kerana batu-batu berkenaan makin mendap menyebabkan ombak berjaya menghakis tebing," ujarnya.
Dia yang kerugian lebih separuh pendapatan sejak kejadian hakisan itu terpaksa mencari jalan untuk meneruskan perniagaannya.
"Kita cuba berniaga dulu di kawasan tanah lapang depan kedai tapi jika masih berisiko maka terpaksalah mencari lokasi baru untuk memulakan perniagaan," jelasnya.
Dalam masa sama, dia berharap kerajaan persekutuan dan negeri dapat mencari solusi bagi masalah hakisan itu demi kebaikan semua pihak.
13 Jan 25
1344
THT Teruskan Rentak Kemenangan, Benam UITM 3-1
Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 selepas menewaskan UiTM HA-KPT (UiTM) dengan skor 3-1.
13 Jan 25
106