lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

KKYT Sasar 90 Peratus Kebolehpasaran Graduan Tahun Ini
KKYT Sasar 90 Peratus Kebolehpasaran Graduan Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 17 Februari- Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) meletakkan sasaran 90 peratus kebolehpasaran graduannya untuk tahun ini, berbanding pencapaian sekitar 80 peratus pada tahun lepas. Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KKYT, Dr Wan Mansor Wan Mahmood berkata, pihaknya telah menyediakan pelbagai inisiatif dan program kepada mahasiswa bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam bidang pekerjaan. “Bagi memberi nilai tambah kepada graduan, kita menggalakkan mereka mengikuti kursus-kursus tertentu seperti kursus bahasa, teknologi dan maklumat serta lain-lain yang sesuai semasa mereka mengikuti pengajian di sini. “Ini kerana, ketika di kolej tidak cukup dengan hanya menumpukan kepada pengajian dalam kelas, tetapi mereka mesti juga mempersiapkan diri dengan kemahiran lain supaya akan ‘laku’ apabila memasuki pasaran kerja,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen KKYT Kali Ke-7 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat di Duyong Marina Resort, di sini, semalam. Sementara itu, Wan Mansor berkata, KKYT dijangka menawarkan program kulinari selewatnya akhir tahun ini sebagai inisiatif melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran dalam bidang berkenaan. “Tahun ini akan ada kursus baru, kita cuba bekerjasama dengan mana-mana institut kemahiran yang berminat dan sekarang di peringkat perbincangan,” ujarnya. Menurut beliau, ketika ini KKYT menawarkan program bagi Diploma Pentadbiran Sistem Komputer dan Diploma Pentadbiran Sistem Maklumat. “Serta Sijil Operasi Sistem Komputer dan Sijil Pentadbiran Pejabat,” katanya.  
17 Feb 25
278
Malaysia Dalam Bahaya, DAP Pura-Pura Faham Islam
Malaysia Dalam Bahaya, DAP Pura-Pura Faham Islam
Malaysia kini berada dalam bahaya apabila parti DAP berpura-pura faham mengenai Islam sehingga seringkali dilihat berlaku percubaan mencampuri urusan umat Islam dan menuntut sesuatu yang tidak relevan.
17 Feb 25
114
Inisiatif MBKT Terima Pujian Ramai
Inisiatif MBKT Terima Pujian Ramai
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Inisiatif Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memasang papan tanda yang memaparkan kalimah suci membesarkan Allah SWT di jalan-jalan utama negeri ini menerima respon positif daripada masyarakat setempat. Rata-rata rakyat negeri ini menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri itu kerana secara tidak langsung apabila melihat papan tanda itu setiap orang akan turut berzikir. Usaha tersebut dilihat terus mengekalkan identiti Terengganu yang mana sebelum ini telah menarik perhatian artis terkenal tanah air, Khairil Ridzwan Anuar atau lebih dikenali sebagai Monoloque. Monoloque kagum dengan slogan-slogan dalam bahasa Melayu serta jawi yang ada di negeri ini. Sebelum ini, penyanyi itu berkongsi pengalaman ketika berada di Terengganu apabila melihat papan tanda yang menyatakan 'Berjudi dan Arak Membinasakan'. "Slogan-slogan seperti itu sudah tidak ada di Kuala Lumpur semuanya ingin menggunakan bahasa Inggeris," ujarnya. Inisiatif yang dilaksanakan oleh MBKT itu bagi menerapkan syiar Islam mula diletakkan di beberapa kawasan yang difikirkan sesuai. Terutama di pembahagi-pembahagi jalan telah pun dipasang dengan papan-papan tanda tersebut.  
16 Feb 25
1112
Hishamuddin Dipilih EXCO FAM Dengan Undi Kedua Tertinggi
Hishamuddin Dipilih EXCO FAM Dengan Undi Kedua Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim telah dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 pada Kongres Tahunan FAM Kali Ke-61. Beliau mendapat undi kedua tertinggi bagi jawatan EXCO FAM dengan mendapat 17 undi, di belakang pemain bola sepak lagenda Datuk Zainal Abidin Hassan yang meraih 18 undi. Beliau merakamkan penghargaan sokongan semua pihak dan menyedari ia tanggungjawab besar. "Ia bukanlah satu kegembiraan atau kebanggaan, malah ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas. "Situasi sempena kongres ini antara yang paling sukar untuk membuat keputusan sama ada bersedia untuk bertanding atau tidak. "Harapan persatuan-persatuan negeri dan gabungan lain yang mencadangkan nama saya sebagai salah seorang calon perlu diambil kira," ujarnya melalui suatu kenyaatan di facebooknya, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, beliau berkata pihak terbabit sebelum ini telah berulang kali berusaha bagi memastikan namanya tersenarai dalam pemilihan ini. "Paling utama adalah harapan pihak FA Terengganu sendiri yang mengharapkan agar ada wakil dari Terengganu yang berada dalam kepimpinan FAM. "Doakan saya dan semua pimpinan FAM yang terpilih dapat melaksanakan tugasan dengan baik dan penuh persaudaraan bersama semua ahli gabungan yang bernaung untuk pembangunan bola sepak negara," jelas beliau.
16 Feb 25
331
Tanah Bencah Aset Ekopelancongan Terengganu
Tanah Bencah Aset Ekopelancongan Terengganu
SETIU, 16 Februari – Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands), yang terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti dan ekosistem uniknya, terus menjadi aset ekopelancongan penting bagi negeri Terengganu.  Sempena sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 peringkat negeri, kerajaan Terengganu menegaskan komitmennya dalam memelihara khazanah semula jadi kawasan tanah bencah itu sambil menaikkan pelancongan ekologi. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris menekankan kepentingan tanah bencah dalam menyeimbangkan ekosistem, membekalkan sumber air bersih, dan memastikan kelangsungan biodiversiti. “Tema sambutan tahun ini, ‘Melindungi Tanah Bencah Demi Masa Depan Bersama,’ amat bertepatan dengan peranan penting yang dimainkan oleh tanah bencah dalam menyokong ekopelancongan.  “Tanah Bencah Setiu merupakan contoh terbaik khazanah alam yang bukan sahaja menjadi habitat pelbagai flora dan fauna, tetapi juga daya tarikan kepada pelancong yang ingin merasai pengalaman alam semula jadi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis perasmian program sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Jeti Gong Batu, Setiu, hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman. Tambah Razali, kewujudan sepuluh ekosistem berbeza dalam satu kawasan di Tanah Bencah Setiu turut mampu bertindak sebagai benteng semula jadi terhadap kesan perubahan iklim seperti banjir dan hakisan pantai. Ujarnya, Kerajaan Terengganu tetap komited dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti. Agensi seperti Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN), Jabatan Perhutanan, dan WWF Malaysia terus bekerjasama dalam program pemuliharaan yang mengimbangi pertumbuhan pelancongan dengan pemeliharaan ekologi. “Penglibatan pelbagai pihak dalam program hari ini membuktikan bahawa pemuliharaan adalah tanggungjawab bersama.  “Pembangunan pelancongan lestari di Tanah Bencah Setiu amat penting untuk memastikan generasi akan datang terus menikmati keindahan semula jadi dan manfaat ekologi yang ditawarkan," jelasnya. Sambutan itu turut menyaksikan penglibatan aktif masyarakat setempat, pelajar, NGO, serta agensi kerajaan melalui pelbagai aktiviti seperti berkayak, jelajah alam semula jadi, penanaman pokok bakau dan gelam, serta pelepasan ketam. Kerajaan menyeru semua pihak, termasuk sektor swasta dan komuniti setempat, untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan kelestarian tanah bencah ini agar kekal sebagai salah satu destinasi ekopelancongan utama di Malaysia.
16 Feb 25
353
Malaysia Dalam Bahaya, DAP Pura-Pura Faham Islam
Malaysia Dalam Bahaya, DAP Pura-Pura Faham Islam
MARANG, 16 Februari - Malaysia kini berada dalam bahaya apabila parti DAP berpura-pura faham mengenai Islam sehingga seringkali dilihat berlaku percubaan mencampuri urusan umat Islam dan menuntut sesuatu yang tidak relevan. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu dapat dilihat melalui Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mempertikaikan tentang hak orang Islam. Menurut beliau, amat dikesali kerana DAP menunjukkan mereka kononnya mengambil cakna tentang Islam dan juga agama-agama selainnya pada hakikatnya jelas mengandungi agenda tersembunyi. "Juga telah dituntut supaya mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Agama Bukan Islam, pada hakikatnya kita perlu sedari bahawa DAP adalah sebuah parti yang tidak berlandaskan kepada agama. "itu boleh dilihat dari Perlembagaan DAP, sebenarnya mereka memperjuangkan Malaysian Malaysia dan mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk dan Mikraj di Masjid Kampung (Kg) Rawai, di sini, kelmarin. Tegas Khalil, tindakan DAP itu dilihat melampau melalui ucapan dan tuntutan yang sengaja menyentuh sensitiviti rakyat di negara ini terutama kepada mereka yang beragama Islam. "Sedangkan kita sudah hidup dalam keadaan aman dan damai keranaa pengorbanan orang Melayu Islam dan juga Bumiputera yang berjiwa besar menerima masyarakat pendatang yang dibawa oleh penjajah British sebagai warganegara setelah negara mencapai kemerdekaan. "Mereka sepatutnya menghormati Malaysia sebagai sebuah negara yang dihuni oleh majoriti masyarakat Islam dan Islam merupakan agama rasmi persekutuan diambil daripada semangat negeri-negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu yang menjadikan Islam sebagai agama negara. "Sejak zaman kesultanan Melayu Islam sehingga kewujudan Malaysia apabila mencapai kemerdekaan itu dapat dilihat daripada undang-undang tubuh negeri seperti Terengganu, Johor, Selangor, Kelantan dan lain-lain,"ucap beliau.  
16 Feb 25
421
Hukuman Sebat Di Luar Penjara, Terengganu Menunaikan Kewajipan
Hukuman Sebat Di Luar Penjara, Terengganu Menunaikan Kewajipan
MARANG, 15 Februari - Hukuman sebat di khalayak ramai yang dilaksanakan pada penghujung tahun lalu terhadap pesalah khalwat berulang bukanlah untuk menerima sebarang respon maklum balas sama ada positif ataupun negatif. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebaliknya ia dijalankan kerana kewajipan serta tuntutan dalam agama Islam supaya ia menjadi pengajaran sekali gus mendidik masyarakat. "Kita menyedari apabila ia dilaksanakan akan menerima pelbagai respon dan saya melihat langkah-langkah yang diambil sangat berhati-hati dan bijaksana. "Alhamdulillah kita berjaya melaksanakannya dengan baik dan sempurna,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas merasmikan Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj, di Masjid Kampung Rawai, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata hukuman sebatan itu bukan perkara baru di dalam Islam sebaliknya ia sudah lama dilaksanakan. "Tetapi kita mahu ia dilihat oleh masyarakat kerana itu kita buat di luar penjara dan menjadikan negeri pertama melaksakannya di Malaysia, Alhamdulillah,"ujarnya. Tegas beliau, apa yang penting ialah kerajaan negeri akan terus memikirkan cara-cara seterusnya untuk memperkasakan agenda pemerkasaan syariah di Terengganu. "Ini termasuklah dari aspek enakmen pelaksanaan hukuman dan lain-lain lagi,"katanya.  
15 Feb 25
278
Zawawi Juara Urutan Asia Tenggara
Zawawi Juara Urutan Asia Tenggara
KEMAMAN, 14 Februari - Terengganu terus mencipta nama di persada dunia apabila mengharumkan nama negara (Malaysia) setelah berjaya memenangi gelaran SouthEast Asia Massage Championship 2025.  Zawawi  Abdullah, 41, berkata dia tidak menjangkakan kemenangan tersebut dan berasa sangat teruja apabila diumumkan sebagai pemenang. Katanya, pertandingan itu melibatkan lebih 150 peserta (lelaki dan perempuan) daripada 11 buah negara termasuk Thailand, Singapura, Taiwan, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Laos, Brunei, Cambodia dan Philippines. "Syukur Alhamdulillah, pada awalnya saya hanya menyasarkan tempat dalam kalangan 20 terbaik namun tidak menyangka rezeki memihak kepada saya ketika itu. "Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak yang banyak memberikan sokongan kepada saya selama ini terutamanya ibu, adik beradik, kawan-kawan, guru-guru dan bekas-bekas pelajar saya," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui. Tambahnya, semua peserta adalah pemenang dan dalam urutan tiada siapa yang paling hebat kerana yang menilai adalah pelanggan itu sendiri. "Jika pelanggan itu selesa dengan kita, maka kitalah yang terbaik bagi mereka. Kita juga adalah pemenang jika kita memanfaatkan kemahiran ini dengan sebaiknya," ujarnya. Zawawi yang sebelum itu memenangi tempat pertama dalam kategori Spa & Wellness Massage kemudian bersaing di peringkat seterusnya bersama pemenang-pemenang kategori lain bagi merebut gelaran juara keseluruhan SouthEast Massage Championship 2025. Kejohanan tersebut telah diadakan pada 24-26 Januari lalu dan berlangsung di Movenpick Hotel, Sepang. Katanya lagi, dia berharap suatu hari nanti dapat membuka sebuah akademi urutan di negeri Terengganu ini. "Macam saya sendiri ketika ingin belajar dulu, harga kelas urutan kebiasaanya agak mahal dan juga biasanya kelas-kelas ini di luar negeri Terengganu. "Jadi ianya akan melibatkan yuran, penginapan, pengangkutan, makan minum dan lain-lain yang menyebabkan kos keseluruhan menjadi sangat tinggi. "Oleh yang demikian, saya berharap dapat membuka satu akademi urutan bagi memudahkan kepada mereka yang berminat untuk mendalami bidang urutan ini," ujarnya.  Zawawi mula meminati bidang urutan sejak berusia lapan tahun apabila mewarisi minat ini daripada arwah datuknya. Dia mula menjadikan minat tersebut sebagai kerja sampingan sejak tahun 2005 dan telah berkecimpung sepenuh masa sebagai kerjayanya pada tahun 2016. Beliau telah menerima pengiktirafan dalam bidang ini selepas menyertai beberapa akademi seperti Avicenna Academy Malaysia di Kajang, Selangor dan Malaysia Institute of TVET Educators (MITE) di Cyberjaya, Selangor. Dalam pada itu, mana-mana pihak yang ingin mendapatkan khidmat urutannya boleh hubungi di talian 017-7606097 atau boleh terus ke AZ Massage Treatment yang beralamat di 3034 Jalan Senangin Kampung Geliga, 24000 Kemaman, Terengganu. Kebiasaannya, harga urutan bermula serendah RM30 sehingga RM250 mengikut kepada tempoh masa dan jenis urutan yang diinginkan oleh pelanggan.      
14 Feb 25
926
Medan Selera D’Muara Lonjak Pembangunan ‘Promenade’
Medan Selera D’Muara Lonjak Pembangunan ‘Promenade’
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan kerjasama kerajaan negeri telah mewujudkan Medan Selera D’Muara yang terletak di Kampung Hulu Takir untuk melonjakkan pembangunan di Muara Selatan. Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif berkata kewujudan Medan Selera D’Muara itu adalah untuk menempatkan peniaga-peniaga yang sebelum ini bertapak di Medan Selera Tanjung bagi membolehkan pembangunan ’promenade’ di Muara Selatan terlaksana. “Kita perlu alihkan segera Medan Selera Tanjung disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan 'promenade' telah terbantut disebabkan kita gagal menyiapkan projek ini (Medan Selera D’Muara). “Jadi, kita minta datang (berpindah) juga walaupun dalam keadaan sebegini bagi memberi ruang kepada pembinaan 'promenade' berkenaan. “Kita tidak mahu dijadikan alasan oleh pihak kontraktor, kelewatan kita alih menyebabkan projek dikenakan denda yang kosnya akan ditanggung oleh kerajaan. Beliau berkata demikian dalam satu ucapan ketika merasmikan majlis perasmian Medan Selera D’Muara, di sini, hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Wan Sukairi Wan Abdullah bagi menyempurnakan majlis perasmian Medan Selera D’Muara itu tadi. Rosli menjelaskan signifikan pembinaan ‘promenade’ itu dalam merealisasikan Kuala Terengganu sebagai ‘Bandaraya Warisan Pesisir Air’ yang turut akan berfungsi sebagai penguraian trafik yang kini semakin serius di kawasan itu. Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pihak MBKT akan menyelesaikan segala kekurangan dan permasalahan dihadapi oleh peniaga-peniaga di medan selera yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM4,243,800 itu. “Kita dapat tempat yang baru, orang yang pertama menduduki kawasan ini, pemandangan yang cantik. “Tapi saya akui fasiliti di sini masih ada sana-sini yang saya sendiri pun rasa belum lengkap. “Saya berjanji dengan bantuan kerajaan negeri, insya-Allah dalam masa terdekat kita akan membuat ‘parameter grade’, ‘interlocking paving’ dan kita juga akan membuat sedikit lanskap bagi menyejukkan sedikit kawasan,” ujarnya. Pihak MBKT juga akan memberi tumpuan yang lebih dalam menyelesaikan permasalahan dari segi ruang meletak kenderaan yang turut menjadi aduan daripada peniaga di premis tersebut, tambahnya.  
13 Feb 25
546
Kilang Rempah Cap Bunga Rose Sasar Jualan RM6.6 Juta Tahun Ini
Kilang Rempah Cap Bunga Rose Sasar Jualan RM6.6 Juta Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd, pengeluar produk rempah masakan di bawah jenama Cap Bunga Rose milik bumiputera di sini, menyasarkan jualan sebanyak RM6.6 juta pada tahun 2025. Pengarah Jualan, Pembangunan Perniagaan & Perkongsian Strategiknya, Kamarul Hassan berkata, berbanding tahun lalu, jualan yang dicatat adalah sekitar RM5 juta dan peningkatan ini bakal disumbangkan daripada aktiviti promosi yang dipertingkat selain strategi pemasaran yang lebih efektif. Menurut beliau, program promosi pada tahun ini juga lebih menarik kerana syarikat telah melantik ‘Importers’ baru di Indonesia bagi membantu mengukuhkan lagi rangkaian pengedaran di negara terbabit. “Sebenarnya kita sudah bertapak di Indonesia sejak 2022 lagi selepas dapat sijil import Indonesia dan sekarang kita dapat ‘Importers’ yang baru. “Mereka (‘Importers’) telah menyusun produk Rempah Cap Bunga Rose ini dengan yang cara lebih jelas di mana menggunakan reka bentuk dan juga nama produk yang diinspirasikan oleh pihak di Indonesia selain menyusun strategi untuk memasuki pasaran yang lebih besar,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman bersama Ketua Pegawai Eksekutif YPU Terengganu, Afnida Aini Alwi dan Pengarah MATRADE Wilayah Timur, Amilatun Fazlina Zakaria ke kilang Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd di Kepong, baru-baru ini. Berkongsi bagaimana perusahaan rempah berkenaan bermula, Kamarul berkata semuanya dibuat secara kecil-kecilan. “Rempah Cap Bunga Rose bermula kira-kira 57 tahun lalu iaitu pada 1968. Pada masa itu, emak saya, Hajah Kembang Abd Rahman hanya membuatnya dirumah untuk digunakan dalam masakan keluarga selain dijual kepada jiran, rakan dan sanak saudara. “Pada masa sama, arwah ayah, Haji Hassan Majid turut jual di pasar berdekatan dengan menunggang basikal. Selepas mendapat reaksi positif daripada orang ramai, maka dari situ bermulalah pelbagai inisiatif dilakukan oleh emak terutamanya dalam mencipta resipi tersendiri bagi mengkormesialkan rempah buatannya,” ujar beliau. Kamarul berkata, kini berkat kesabaran dan kerja keras mereka sepuluh beradik, perusahaan Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd terus berkembang sehingga berjaya mempunyai dua kilang yang masing-masing beroperasi di Kampung Kepong, Kuala Terengganu dan juga di Bukit Kor, Marang dengan kekuatan 34 pekerja. “Kami mengeluarkan rempah masak dan rempah gulai yang diproses menjadi kering dalam bentuk serbuk sehingga popular di segenap negeri dan menepati citarasa ramai, malah kebanyakkan kedai makan yang menyediakan juadah nasi dagang menggunakan rempah keluaran syarikat kami untuk memasak gulai ikan tongkol,” ujarnya. Katanya, selain dua jenis rempah tersebut, syarikat keluarganya itu turut memproses serbuk kacang hijau dan juga pes gulai ayam. Seperti pengusaha lain, Kamarul berkata, beliau dan adik beradiknya mempunyai wawasan untuk terus maju dalam bidang keusahawan yang mereka warisi dan mengharapkan perniagaan tersebut dapat dipertahankan dari generasi ke generasi. “Kami berhasrat untuk memasarkan produk Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd sehingga menembusi pasaran dunia memandangkan Rempah Cap Bunga Rose ketika ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat di Indonesia dan turut ‘terbang’ ke Australia,” ujarnya. Dan terbaru katanya, syarikat mereka juga mempunyai Pusat Informasi & Cenderamata berasaskan produk Rempah Cap Bunga Rose yang beroperasi di Pasar Payang bermula Januari lalu bagi memenuhi tempahan 'goodies' perkahwinan, hantaran, dan hadiah VVIP. Sementara itu, Ariffin turut merakamkan ucapan tahniah kepada syarikat terbabit yang telah menerima pelbagai anugerah termasuk yang terbaru The Most Sustainable Company dalam Majlis Anugerah Usahawan (MARA) 2023/2024 pada Disember lalu.   
12 Feb 25
1570