lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Rangka SOP Pelaksanaan Ibadah Korban
Terengganu Rangka SOP Pelaksanaan Ibadah Korban
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 2 Jun – Ekoran wabak COVID-19 yang masih belum reda, kerajaan Terengganu mengambil langkah awal untuk meneliti prosedur operasi standard (SOP) khas bagi pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha akan datang. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia akan diteliti dengan rapi  bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini. "Ini adalah makluman awal kerana pihak kerajaan negeri dan JPV mahu supaya ibadah korban dibenarkan perlaksanaannya. "Perkembangan SOP ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa sama ada ia dilakukan di rumah sembelihan, masjid, surau atau tempat-tempat tertentu yang dibenarkan, kita juga akan rujuk pihak-pihak berautoriti," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan perbincangan bersama Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali di Wisma Darul Iman hari ini. Sehubungan dengan itu, sebagai persediaan ke arah pelaksanaannya, kebenaran untuk memindahkan ternakan antara daerah-daerah dan negeri-negeri bagi tujuan ibadah korban adalah dibenarkan. "Prosedur biasa untuk pindahan dengan permohonan permit di Pejabat JPV daerah yang berdekatan dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Temu janji adalah digalakkan untuk mengelakkan perkumpulan ramai. "Setiap permohonan permit sembelihan, lembu atau ternakan akan diperiksa oleh kakitangan JPV sebelum permit dikeluarkan bagi memastikan ternakan bebas wabak," tambah beliau.
01 Jul 20
44
Kerajaan PN Serius Tangani Pemandu ‘Mabuk’
Kerajaan PN Serius Tangani Pemandu ‘Mabuk’
Oleh : Ahmad Sabri Yusof KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandang serius insiden kemalangan maut yang berpunca daripada memandu di bawah pengaruh alkohol. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim menjelaskan, walaupun pihaknya di peringkat kementerian tidak terlibat secara langsung dalam undang-undang tersebut, MOSTI aktif memberikan pandangan dari segi saintifik dan sebagainya. “Kita sedar di peringkat dunia pun WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) sendiri menyifatkan alkohol adalah merupakan sesuatu yang memudaratkan kepada kesejahteraan  umat manusia. "Bahkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah mengarahkan supaya dirangka pindaan yang diperlukan bagi membolehkan undang-undang lebih tegas diperkenalkan," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, semalam. Jelasnya, kerajaan PN sedang mencari jalan bagi membolehkan pindaan undang-undang dilakukan di Parlimen dalam Sidang Dewan Rakyat yang akan datang. “Insya’Allah, dengan inisiatif ini kita sedang bergerak ke hadapan untuk mengambil langkah yang perlu bagi menjaga kesejahteraan rakyat. “Saya juga mengalu-alukan pelbagai pandangan yang telah dikemukakan oleh banyak pihak termasuk NGO (Badan Bukan Kerajaan) dan sebagainya yang sedikit sebanyak membantu kerajaan dalam menilai perkara ini,” katanya. Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu turut menyatakan, penglibatan PAS sebagai sebahagian dari kerajaan PN hari ini membuka saluran bagi parti itu mengemukakan pandangannya kepada kabinet secara lebih terperinci. “Kita dalam PAS pun sejak dahulu lagi, kita telah memperjuangkan tentang masalah alkohol ini, supaya dikawal dan tidak sewenang-wenangnya diminum secara terbuka. “Lebih-lebih lagi mereka yang dalam keadaan mabuk ini tidak sewajarnya dibenarkan berada di tengah-tengah masyarakat, memandu sehingga menimbulkan banyak masalah termasuklah insiden kemalangan maut,” tegasnya.
01 Jul 20
45
20 Unit Rumah PPTS Bakal Dibina Di Taman Rahmat Tahun Ini
20 Unit Rumah PPTS Bakal Dibina Di Taman Rahmat Tahun Ini
MARANG, 2 Jun – Sebanyak 20 unit rumah di bawah Skim Projek Perumahan Terengganu-ku Sejahtera (PPTS) bakal dibina di Perkampungan Taman Rahmat di sini, tahun ini. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Samiun Salleh berkata, pembinaan perumahan secara berkelompok yang lebih selesa di kawasan tersebut bertujuan menjamin kehidupan golongan yang kurang bernasib baik dan mempunyai masalah tempat tinggal seperti orang miskin, orang kelainan upaya (OKU) serta ibu tunggal bermasalah. Katanya, projek pembinaan rumah baharu di Taman Rahmat seperti yang dirancang adalah sebanyak 50 buah unit rumah secara berperingkat. “Fasa pertama pembinaan pada tahun 2014 dimana 10 buah rumah kayu telah dirobohkan dan telah dibina rumah model Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di tapak asal. “Majlis penyerahan kunci hari ini pula adalah binaan 10 unit rumah model PPRT fasa kedua di tapak baru yang mula dibina pada tahun 2018 dan dikenali sebagai PPTS dan tahun ini, kita akan laksanakan pembinaan 20 unit rumah lagi,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah PPTS Taman Rahmat yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pulau Kerengga, hari ini. Sementara itu, seorang penerima, Puteh Embong, 60, tidak menduga dapat tinggal bersama dua anaknya di rumah yang lebih selesa. “Saya sangat gembira dan bersyukur dengan rezeki ini memandangkan rumah lama telah uzur serta banyak kerosakan. “Jika tidak ada program seumpama ini, mana mungkin golongan tidak berkemampuan seperti saya dapat tinggal di rumah yang lebih selesa," ujarnya yang merupakan OKU fizikal yang telah kematian suami empat tahun lalu.
01 Jul 20
425
Peniaga Sambut Baik Kebenaran Makan Di Kedai
Peniaga Sambut Baik Kebenaran Makan Di Kedai
KUALA NERUS, 1 Jun - Pengumuman kerajaan negeri yang membenarkan semua premis makanan beroperasi termasuk makan di dalam kedai berkuat kuasa semalam memberi kelegaan kepada ramai peniaga. Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Nerus, Mustafa Ismail berkata, ramai peniaga makanan berdepan kesukaran menyara diri dan keluarga susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu. “Kebenaran ini merupakan berita gembira yang ditunggu-tunggu, rasa lega sangat sebab perniagaan memang terjejas sebelum ini dan kami ada keluarga yang hendak diberi makan. “Jadi apabila kerajaan benarkan pelanggan makan di kedai hari ini, pelanggan mula bertambah, saya sangat terharu dengan tindakan drastik yang diambil kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini. Mustafa, 59, yang juga berniaga makanan berlauk di hadapan Pasar Batu Enam di sini mengakui masih teruja dengan kebenaran itu namun mengharapkan agar orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. “Kerajaan dah bagi kelonggaran, sekarang tugas kita untuk mematuhi apa yang ditetapkan supaya semua ini tidak ditarik balik, jika itu berlaku kita kembali susah seperti sebelum ini,” ujarnya. Sementara itu, menurut pelanggan di kedai itu, Ahmad Faizol Mohd Yusop, 34, berkata kebenaran makan di kedai mesti dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat terutama yang bekerja. “Kalau sebelum ini ada juga yang beli bungkus sebab tak ada tempat nak makan, sampai ada yang terpaksa makan dalam kereta dan sebagainya. “Jadi dengan arahan terbaharu ini, sudah tentu ia memudahkan kami untuk mencari makanan dan makan di tempat sesuai,” tambahnya.  
30 Jun 20
58
Dakwaan Kes Positif COVID-19 Di Pasar Gong Pauh Palsu
Dakwaan Kes Positif COVID-19 Di Pasar Gong Pauh Palsu
KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Cerita tular di media sosial, Facebook dan aplikasi Whatsapp berhubung satu kes terbaharu positif COVID-19 di Pasar Borong Gong Pauh di sini adalah tidak benar. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azimi Yunus menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menafikan kes yang didakwa membabitkan pemandu lori sayur dari Selayang itu. Sebaliknya kata beliau, saringan yang diadakan di pasar tersebut hari ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga dan proaktif Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk membendung wabak. “Pasar Borong Gong Pauh dipilih sebagai lokasi saringan kerana berisiko sebagai pusat penularan memandangkan ia adalah tempat tumpuan orang ramai dan bersesak dengan pengunjung,” tegasnya. Sehubungan dengan itu, Dr Azimi menasihatkan agar orang awam tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih kerana boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat. “Pihak jabatan juga menasihatkan orang ramai agar terus kekal di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun serta sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi “Di samping mengelakkan 3C iaitu ‘crowded places’, ‘confined spaces’ dan ‘closed conversations’ bagi memutuskan penularan COVID-19,” tambah beliau.
30 Jun 20
156
Terengganu Anjur Pertandingan Pelita Raya ‘Online’
Terengganu Anjur Pertandingan Pelita Raya ‘Online’
KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Bagi menceriakan lagi sambutan Aidilfitri di Terengganu tahun ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan Pelita Raya Online Beautiful Terengganu : PKP Raya Style 2020 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM8,000. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata pertandingan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu foto terbaik dan video terbaik itu akan bermula pada 18 Mei hingga 26 Mei ini sekali gus dapat mempromosikan Terengganu sebagai lokasi pelancongan yang ‘wajib’ dikunjungi pada masa akan datang. Beliau berkata menjadi kelaziman dan tradisi penduduk terutama di kawasan kampung memasang pelita di sekeliling rumah dan di sepanjang jalan sekitar kampung untuk menceriakan suasana waktu malam pada hari-hari terakhir bulan Ramadan. “Namun, kita maklum, suasana Ramadan dan Aidilfitri kali ini agak ‘suram’ selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan wabak COVID-19. “Jadi pertandingan ini sekurang-kurangnya akan menceriakan sesebuah keluarga di kawasan kejiranan agar mereka lebih kreatif dalam ‘menghidupkan’ suasana malam yang suram dan memeriahkan sambutan Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin. Pertandingan itu terbuka kepada semua rakyat di negeri Terengganu dengan setiap penyertaan tertakluk kepada kreativiti peserta dalam menampilkan dekorasi pelita untuk menghiasi kediaman masing-masing. Ariffin berkata bagi kategori video, peserta perlu memastikan klip yang dihantar tidak melebihi dua minit dan dibenarkan melakukan suntingan untuk menjadikan video mereka lebih menarik. Beliau berkata bagi kategori foto, peserta perlu menghantar gambar suasana persediaan dan gambar pelita raya yang dibuat dengan minimum lima keping gambar termasuk swafoto berseorangan atau secara berkumpulan. “Penyertaan boleh dihantar melalui laman Facebook Beautiful Terengganu Malaysia dan mengikuti semua syarat yang telah ditetapkan,” katanya.-BERNAMA
30 Jun 20
748
Terbaru! Pemeriksaan Di Tiga Laluan Masuk Ke Terengganu
Terbaru! Pemeriksaan Di Tiga Laluan Masuk Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Berkuat kuasa semalam, semua kenderaan dari arah selatan, pantai barat dan Pahang akan diperiksa di tiga laluan sebelum dibenarkan masuk ke Terengganu. Ketua Polis negeri, Dato' Roslee Chik berkata, pemeriksaan melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) itu akan dilakukan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing bagi kenderaan yang menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2. "Jadi, semua pengguna LPT 2 akan dilencongkan ke Hentian R&R Perasing untuk diperiksa," katanya kepada media. Sementara itu, Roslee memaklumkan, kenderaan yang datang dari arah Kuantan dan menggunakan laluan pantai termasuk melalui Kampung Cherating pula diperiksa di sempadan Pahang-Terengganu di Kampung Chendor. "Selain SJR di sempadan Pahang-Terengganu di Kampung Chendor, SJR juga turut diadakan Jalan Jerangau-Jabor. "Iaitu bagi kenderaan yang menggunakan laluan daripada Felda Bukit Goh, Kuantan dan Felda Neram, Kemaman akan diperiksa ketika melalui SJR di Jalan Jerangau-Jabor," jelasnya. Menurut beliau, kaedah itu dilakukan bagi memastikan semua pemandu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti diumumkan kerajaan. "Kenderaan yang tidak mempunyai kelulusan merentas negeri akan diarahkan untuk berpatah balik dan ia berkuat kuasa sehingga 9 Jun," tegas Roslee. Dengan makluman terbaharu ini juga, laporan awal semalam yang mengatakan hanya satu laluan masuk ke Terengganu iaitu LPT2 (laluan Perasing) dibuka tidak lagi terpakai. Dalam pada itu, Roslee turut memaklumkan kebenaran untuk merentas daerah ke daerah di negeri ini dibenarkan.
30 Jun 20
357
Cacat Penglihatan Tak Halang Yusnita Jayakan ‘Quran Hour’
Cacat Penglihatan Tak Halang Yusnita Jayakan ‘Quran Hour’
KUALA NERUS, 13 Mei - Meskipun dalam keadaan tidak mampu melihat, Nor Yusnita Mohamad, 36, tetap berjiwa besar dan bersemangat menjayakan World Quran Hour (WQH) edisi 2020 yang berlangsung hari ini. Yusnita yang cacat penglihatan sejak kecil ditemani bapanya, Mohamad Awang menjayakan WQH di Pusat Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu di sini. “Alhamdulillah, saya dan ayah seronok dapat bersama-sama rakan-rakan lain menjayakan WQH, hampir sejam kami membaca surah ar-Rahman bersama-sama,” katanya ketika kepada pemberita. Menurutnya, selepas disahkan cacat penglihatan sewaktu kecil dia mempunyai keazaman yang tinggi untuk menguasai al-Quran. “Walaupun pada awalnya ia sangat sukar bagi saya dan saya hampir berputus asa, namun dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan membuatkan saya dapat menguasai al-Quran dalam masa dua bulan. “Saya belajar al-Quran braile di sini (PERTIS) dan juga dengan ayah saya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan sejak tahun 2005, dan sekarang saya merasa puas dapat menguasai kalam Allah,” katanya. Sementara itu, seorang lagi OKU penglihatan, Nai’mah Mansor, 59, berkata, sebelum ini dia tidak pernah ketinggalan dalam mengikuti WQH di TV Al-Hijrah. “Apabila ada program WQH ini, saya sering mendengar dan mengikuti bacaannya di televisyen, termasuk tahun ini, tetapi berbeza kerana hari ini saya baca bersama rakan-rakan saya. “Alhamdulillah, walaupun tidak boleh melihat dengan sempurna, saya bersyukur kerana masih mampu membaca surah dengan baik,” ujarnya yang disahkan mengalami Glaukoma. Dalam pada itu, Mohd Imranfaisal Zulkifli, 36, pula berkata, dia bersyukur kerana masih diberi keizinan untuk mengikuti aktiviti WQH meskipun dalam serba kekurangan berbanding enam tahun lalu. “Pada 2014 saya kemalangan sehingga mengakibatkan saraf optik saya rosak dan disahkan buta. “Saya redha, ini ujian buat saya kemudian selepas itu saya mula belajar braile dan mengambil masa enam bulan untuk menguasai al-Quran ini, sekarang saya dah boleh mengaji dengan baik. “Isteri saya juga banyak membantu dalam mempelajari al-Quran braile ini, kami juga belajar di sini bersama-sama, alhamdulillah,” tambahnya yang baru dua tahun berkahwin.  Hari ini seluruh negara mengadakan WQH secara serentak bermula dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari dan Surah Ar-Rahman dipilih sebagai Surah pilihan.
30 Jun 20
246
SOP Solat Jumaat, Jemaah Diketahui Khamis Ini
SOP Solat Jumaat, Jemaah Diketahui Khamis Ini
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dijangka diketahui Khamis ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau akan bermesyuarat bersama Perdana  Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini bagi membincangkuan garis panduan berkenaan. "Hari ini saya akan bincang, kemudian esok dibawa masuk ke mesyuarat Kabinet," katanya sebagaimana dilapor Berita Harian. Menurut Zulkifli, cadangan tersebut kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Majlis Raja-Raja dan pihak berkuasa negara. "Prosedur itulah yang kita lakukan termasuk mengambil saranan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), untuk SOP yang akan kita bina, Insya-Allah," katanya. Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan keputusan Perlis membenarkan solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini adalah mengikut bidang kuasa agama negeri masing-masing. Mengulas mengenai solat Aidilfitri pula, beliau berkata perkara itu juga akan diperhalusi secara khusus dalam masa terdekat.
30 Jun 20
116
Masyarakat Hulu Terengganu Terus Patuhi PKPB
Masyarakat Hulu Terengganu Terus Patuhi PKPB
Oleh: Azhar Yusof HULU TERENGGANU, 12 Mei -Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan  Bersyarat (PKPB) di lokasi tumpuan bandar Kuala Berang didapati masyarakat setempat mematuhi aspek keselamatan dan kawalan kendiri yang tinggi. Hasil tinjauan UPDI, mendapati premis-premis perniagaan mengamalkan SOP yang ditetapkan seperti memeriksa suhu badan, menyediakan cecair pembasmi kuman, menghadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa dan memastikan pelanggan beratur di luar premis dalam jarak sosial yang dibenarkan iaitu satu meter. Penduduk Daerah Hulu Terengganu yang mengunjungi dua bank di bandar tersebut juga mengamalkan penjarakan sosial dan menggunakan penutup mulut dan hidung. Anggota Rela turut kelihatan bertugas mengawal orang ramai yang beratur panjang untuk memastikan aspek keselamatan terutamanya penjarakan sosial dipatuhi. Selain itu, Pasar Besar Kuala Berang juga menjadi lokasi tumpuan penduduk setempat membeli sayur dan ikan. Tinjauan umum di Pasar tersebut mendapati rata-rata pengunjung patuh terhadap arahan jarak sosial serta memakai penutup muka (face mask).Kelihatan beberapa pegawai penguatkuasaan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) sedang menjalankan tugas memantau aktiviti jual beli di sini. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, pematuhan ini cukup penting bagi memastikan rangkaian Covid19 dapat diputuskan sekaligus berakhir dengan cepat demi kebaikan semua pihak.  "Walaupun PKPB ini dilaksanakan, hakikatnya kita masih berada dalam PKP Fasa keempat dan masyarakat mesti mengamalkan penjarakan social (social distancing), hanya keluar rumah bila perlu, dan kerap membasuh tangan dengan sabun atau ‘sanitizer’ serta memakai ‘facemask’ (topeng muka). "Kita berterima kasih kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pemimpin setempat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang kerja kuat bagi memastikan masyarakat di daerah ini sentiasa mematuhi arahan dan kekal sebagai Zon Hijau," katanya ketika ditemui oleh wartawan UPDI. Tambahnya, kejayaan ini menjadi sukar tanpa dibantu oleh semua pihak terutama masyarakat yang perlu mematuhi dan mengikuti segala arahan yang ditetapkan kerajaan. Menurutnya lagi, hal ini menunjukkan kesedaran masyarakat Hulu Terengganu untuk tidak berada atau menjauhi kawasan tumpuan ramai orang dipatuhi. Di samping itu juga beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada masyarakat Dun Ajil khususnya yang sentiasa berdisiplin mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB bagi memudahkan petugas barisan hadapan  menangani krisis ini.
30 Jun 20
99