Artikel "Utama" Terkini
Mahu Jumpa Isteri Lain, Alasan Mohon Rentas Negeri
KUALA TERENGGANU, 7 Jun - Menziarahi isteri lain antara alasan segelintir warga Terengganu ketika memohon permit pergerakan untuk merentasi negeri dalam tempoh bermula 4 Mei sehingga hari ini.
Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata ia tidak ada masalah, hanya perlu menunjukkan surat atau dokumen yang berkaitan dan pihaknya akan menggunakan budi bicara jika lelaki yang mempunyai lebih satu isteri mahu melawat isterinya yang lain.
Jelasnya, pada mulanya, mereka ini tidak mahu memberikan tujuan asal keperluan merentas negeri namun akhirnya akur dan pihak Polis memberi kebenaran dengan melihat beberapa faktor.
“Ada yang memohon permit ini dengan alasan nak balik ke rumah isteri nombor dua atau tiga.Mereka datang jumpa dan bagi tahu yang isteri ada di sini seorang dan di sana seorang malah ada satu kes, di Terengganu dua orang dan di Johor seorang.
“Namun alasan yang paling popular dalam permohonan permit adalah berkaitan dengan urusan kerja,” katanya kepada pemberita di sidang media pencapaian Op Mule Siri 2/2020 JSJK di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dan Ketua JSJK Terengganu, Superintendan M.Zambri Mahmud.
Beliau turut berkata, pihaknya menerima hampir 500 hingga 700 permohonan permit merentas negeri setiap hari sepanjang tempoh ini
"Semalam sahaja, kita menerima 748 permohonan dengan pelbagai alasan namun enam daripadanya ditolak kerana gagal memberi alasan munasabah seperti tidak mengemukakan surat sokongan daripada majikan," ujarnya lagi.
Sementara itu, Roslee berkata sepanjang PKPB berlangsung, sebanyak 65,845 kenderaan yang ingin memasuki negeri ini telah diperiksa melalui sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan.
“Yang diarahkan pusing balik sebanyak 297 buah dan dalam tempoh itu juga sebanyak 33 kompaun dikeluarkan kerana tidak mempunyai surat atau permit untuk rentas negeri.
“Sebagaimana yang telah saya beritahu, kita ada buat satu SJR di Perasing dan di Kemaman memang kita ada tiga SJR, bila dia orang masuk, kita lencong ke RnR Perasing, di situ kita tapiskan 100 peratus. Tidak ada surat,ada kita bagi kompaun termasuk disuruh patah balik,”katanya.
01 Jul 20
201
Sambung Atau Tamat PKPB Diketahui Esok
PUTRAJAYA, 6 Jun - Status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diterus atau ditamatkan dijangka bakal diketahui esok.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menyampaikan perutusan khas mengenai perkara itu pada jam 3 petang.
Pengumuman itu sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia bagi mengetahui PKPB yang sedang berlangsung sehingga 9 Jun ini.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Muhyiddin bakal mengumumkan sesuatu esok dan akan menyentuh banyak perkara.
"Jadi kita tunggulah," katanya pada sidang akhbar harian mengenai perkembangan terkini PKPB di sini hari ini selepas ditanya mengenai kebenaran untuk golongan bujang yang ingin pulang bertemu ibu bapa.
01 Jul 20
122
Jadikan Amalan 3W Sebagai Norma Baharu - Alias
Oleh: Safwan Syakir
KUALA NERUS, 6 Jun - Orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan 3W iaitu Wash (Cuci), Wear (Pakai) dan Warn (Amaran) sebagai norma baharu dalam aktiviti harian.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, ia juga merupakan satu cara dalam mendidik masyarakat untuk menggelakkan jangkitan virus COVID-19.
"Alhamdulillah penularan ataupun jangkitan virus COVID-19 di Terengganu terkawal, jadi kita ingin memastikan ia tidak berulang, tidak ada kluster baharu, maka kita amalkan satu cara hidup baharu, selalu membasuh tangan, memakai mask, dan ada penjarakan sosial dalam hubungan kita seharian.
"Inilah hasrat kita sebab kadang-kadang, kita mewar-warkan dalam media massa, media cetak, media sosial dan sebagainya, kita takut ada juga golongan yang tidak sampai maklumat itu.
"Jadi atas dasar tanggungjawab sebagai wakil rakyat, saya turun khusus ke pasar hari ini untuk memastikan ia diamalkan dan menjadi suatu maklumat yang sampai kepada seluruh rakyat negeri Terengganu dan khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal ini," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengagihkan penutup mulut dan hidung (face mask) kepada para peniaga di pasar Batu Enam dan Bukit Tunggal hari ini.
Katanya, kempen 3W juga perlu diamalkan di setiap pasar supaya pelanggan dan juga peniaga sendiri boleh kerap membasuh, mencuci tangan utk menggelakkan jangkitan COVID-19.
Jelas beliau, hubungan dua hala antara peniaga dan pelanggan akan lebih selamat jika mengamalkan tiga elemen tersebut bagi mengurangkan risiko penularan.
01 Jul 20
141
Kerajaan Negeri Beri Ganjaran Kepada Aiman
KUALA TERENGGANU, 5 Jun - Kerajaan negeri akan mempertimbangkan bentuk ganjaran kepada pelumba basikal, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff yang mengharumkan nama negara dan Terengganu pada kempen Le Tour de Langkawi (LTdL) PETRONAS Februari lalu.
Pada saingan berbasikal berprestij itu, anak jati Terengganu kelahiran Setiu ini berjaya memenangi jersi merah selaku raja bukit pertama negara dalam sejarah perlumbaan itu yang sudah memasuki edisi ke-25.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan tidak akan sesekali melupakan atlet negeri yang pernah mengharumkan nama negara dalam apa-apa jenis sukan.
Katanya, kerajaan negeri tetap memberi perhatian kepada atlet berkenaan sekali gus mampu memberi motivasi kepada mereka untuk terus meraih kejayaan lebih membanggakan pada masa akan datang.
"Kerajaan negeri akan berbincang terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan bentuk ganjaran yang bakal diberikan kepada pelumba muda dari Setiu itu.
"Dalam masa yang sama kita harap Aiman bersabar dan teruskan latihan serta menyertai kejohanan seperti biasa selepas negara kembali pulih daripada penularan wabak pandemik COVID-19 ini," katanya sebagaimana dilapor Berita Harian.
Wan Sukairi menjelaskan, pelumba berpontensi itu akan terus dirai dan dihargai sebagaimana atlet lain.
"Macam pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), kita sudahpun meraikan mereka di sini sebaik berakhir kejohanan itu di Langkawi, Februari lalu," katanya.
Untuk rekod, pelumba berusia 23 tahun itu sebelum ini pernah menyarung jersi pasukan TSG dan menjulang beberapa kejuaraan bersama TSG.
01 Jul 20
228
Terengganu Laksana Pasar Malam Percubaan
KUALA NERUS, 5 Jun- Kerajaan Terengganu melaksanakan pembukaan pasar malam pertama dengan pengendalian prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai percubaan menggerakkan semula ekonomi rakyat.
Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Fadhli Yusoff Zakaria menjelaskan, operasi pasar malam itu dijalankan dengan pematuhan prosedur seperti mewujudkan laluan masuk dan keluar sehala dilengkapi rekod pengunjung dan pembersih tangan.
"Tinjauan pada petang ini, kita dapati dari segi pematuhan SOP, nampaknya para peniaga patuh apa yang telah ditetapkan. Pembukaan hari ini merupakan 'pilot' projek dan kita harap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.
"Cuma, kita harap pelanggan juga memahami keadaan semasa dan semoga usaha ini dapat diteruskan. Kita bimbang jika ada yang ingkar para peniaga tidak dapat berniaga lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu membuat tinjauan di pasar malam yang diadakan dalam kawasan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, hari ini.
Jelasnya, jika pelaksanaan itu berjaya mungkin kerajaan negeri akan memperluaskan pembukaannya ke daerah-daerah lain.
"Kita lihat hari ini sebagai percubaan, jika lulus kita akan cadangkan kepada kerajaan negeri untuk dikembangkan. Kita jangkakan perlu dalam tiga ke empat kali ia diadakan untuk dinilai.
"Jika dikembangkan, ia akan dilaksakan dengan konsep sebegini dan diperketatkan. Jadi, kita serahkan kepada persatuan peniaga untuk menentukan sendiri sistem penggiliran bagi ahli mereka atau sebagainya kerana kapasiti gerai mungkin akan berkurang daripada jumlah asal berikutan penjarakan lebih luas," katanya.
Tambahnya, setakat ini pasar malam tersebut akan dibuka sehingga jam tujuh petang sahaja sebagaimana yang dikehendaki kerajaan negeri.
"Untuk tambah masa kita akan tengok keadaan seterusnya. Jika SOP dipatuhi sepenuhnya, mungkin akan dipertimbangkan.
"Buat masa ini, ditetapkan hari Jumaat sahaja sebagai percubaan disertai penguatkuasa kita seramai 10 orang dengan bantuan rela dan persatuan peniaga," katanya.
Pada hari pertama dilaksanakan, dimaklumkan sebanyak 112 peniaga daripada 160 tapak yang didaftarkan telah mula membuka gerai masing-masing.
01 Jul 20
75
Pesakit Strok Terharu Terima Bantuan Kerusi Roda
Oleh : Mustaqim Afandi
Besut, 4 Jun- Seorang pesakit 'minor stroke' terharu menerima sebuah kerusi roda bagi memudahkan pergerakan di rumahnya di Kampung Batu Tumbuh, disini.
Wan Husain yang menerima bantuan kerusi roda yang disumbangkan oleh pihak Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak terlibat.
"Saya sangat terharu atas keperihatinan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman kerana sudah lama menantikan bantuan kerusi roda selepas kemalangan beberapa bulan yang lalu.
"Terima kasih sangat-sangat kerana ia dapat memudahkan urusan pergerakan saya," ujarnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Mohd Nurkhuzaini di rumahnya.
Dalam pada itu, Mohd Nurkhuzaini yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri berkata, bantuan kerusi sangat membantu rakyat yang memerlukan, selain memudahkan pergerakan mereka ketika dalam pemulihan atau sepanjang tempoh perubatan.
“Pesakit memerlukan kerusi roda khas kerana tubuh mereka tidak kuat untuk menampung sendiri tanpa sokongan.
"Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada individu yang menghadapi cabaran dalam pergerakan supaya mereka dapat menjalani kehidupan seharian secara lebih mudah.
"InsyaAllah, pihak Pusat Khidmat DUN Kota Putera akan sentiasa menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan bagi membantu masyarakat setempat," ujarnya.
01 Jul 20
233
Tanah Terbiar Dipulihkan Jadi Kawasan Produktif
Oleh : Hidayah Azlin
SETIU, 4 Jun – Kerajaan negeri sedang giat menjalankan operasi pemulihan tanah terbiar bagi menjadikan kawasan berkenaan lebih produktif.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pasukan ‘Task Force’ yang ditubuhkan sejak Mei lalu telah mengenalpasti 8,000 hektar tanah untuk dimajukan.
“Fokus kami dalam ‘Task Force’ Pemulihan Tanah Terbiar Negeri Terengganu bukanlah bermatlamatkan untuk penguatkuasaan undang-undang dan rampasan tanah.
“Kami mahu kumpulkan data, kenal pasti segala faktor-faktor berkaitan seperti isu pemilikan tanah, kekurangan infrastruktur, ketiadaan dana, kesesuaian tanaman, faktor-faktor komersial dan sebagainya.
“Seterusnya, langkah menggerakkan tindakan bersepadu akan diambil bagi memajukannya semula agar ia menjadi tanah yang produktif,” beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, tindakan itu merupakan salah satu daripada teras tindakan Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023.
“Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semasa perasmian Penggal Ketiga Dewan Undangan Terengganu Ke-14 baru-baru ini telah bertitah agar kerajaan negeri mengambil satu tindakan bagi memulihkan tanah-tanah terbiar ini,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, ‘Task Force’ Tanah Terbiar di setiap daerah sedang mengambil tindakan masing-masing sebelum semua laporan dibentangkan kepada Jawatankuasa ‘Task Force’ Tanah Terbiar Negeri.
“Kita juga tidak mahu buang masa untuk bertelingkah dan mengundang kemarahan rakyat dengan tindakan atau dakwaaan rampasan tanah di sana-sini.
“Tanah terbiar ini bemaksud tanah milik individu atau syarikat, berkeluasan lebih satu ekar dan tidak dimajukan selama tiga tahun berturut-turut. Untuk makluman, tanah kerajaan tidak dikira sebagai tanah terbiar,” jelasnya lagi.
01 Jul 20
66
Isu Arak, Terengganu Teliti Keputusan Kerajaan Pusat
KUALA TERENGGANU, 4 Jun- Kerajaan negeri sedia menimbang isu penjualan minuman keras termasuk cadangan membekukan lesen di Terengganu susulan peningkatan jumlah kemalangan membabitkan pemandu mabuk yang berlaku ketika ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun belum ada kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk di Terengganu, pihaknya tetap memandang serius perkara itu.
"Kita bersedia melihat isu berkenaan memandangkan ia sedang dikaji di peringkat pusat.
"Kita akan tengok dulu di peringkat kementerian, apa garis panduan diberikan dan langkah seterusnya akan diambil selepas itu.
"Segala keputusan bergantung kepada keputusan kementerian dan lihat suasana negeri sebab setiap negeri tidak sama," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial di Perkarangan Tingkat U2, Wisma Darul Iman di sini semalam.
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan semua permohonan baharu lesen minuman keras di ibu negara berkuat kuasa serta-merta.
Ia mendapat sokongan ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat bukan Islam.
01 Jul 20
390
Kematian Pertama Akibat Keracunan Puding Buih
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Mangsa keracunan puding buih yang dibeli secara atas talian pada 22 Mei lalu dilaporkan meninggal dunia pukul 10.40 pagi tadi.
Gadis berusia 25 tahun dari Marang itu menghembuskan nafas terakhir selepas menerima rawatan selama 10 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Kematiannya dipercayai berpunca daripada kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis.
Difahamkan beberapa ahli keluarganya turut dirawat di HSNZ kerana mengalami keracunan makanan yang sama.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak yang dihubungi sebentar tadi mengesahkan kematian pertama akibat puding terbabit.
Katanya, siasatan terperinci dan tindakan lanjut telah dikenakan ke atas peniaga puding buih berkenaan.
“Bagi pihak kerajaan negeri kami bersimpati dengan tragedi terbabit dan kita harap mereka tabah dan sabar.
“Kita ingatkan kepada orang ramai terutama peniaga dan pengendali makanan agar lebih berhati-hati kerana ia melibatkan keselamatan dan boleh mengancam nyawa,” katanya.
Tegas beliau, kerajaan juga telah merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada peniaga yang menjual makanan dari rumah supaya lebih menitikberatkan aspek kebersihan kerana ia membabitkan nyawa.
“Walaupun ia merupakan kes yang berisiko kepada sesiapa sahaja ia juga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya lagi.
Minggu lalu, seramai 99 mangsa dikejarkan ke HSNZ apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli secara atas talian.
01 Jul 20
125
231 Taska Di Terengganu Mula Beroperasi Selasa Ini
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Kerajaan Terengganu membenarkan 231 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) milik kerajaan negeri dan swasta yang berdaftar beroperasi semula berkuat kuasa Selasa depan.
Jumlah itu termasuk 67 Taska Permata Keluarga (TPK) di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu yang akan dibuka mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, keputusan itu dipersetujui Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dengan mendapat rujukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, semua pengusaha Taska swasta dan ketua Taska TPK akan dipanggil untuk menghadiri taklimat khas bersama JKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan KKM pada hari esok.
"Manakala operasi nyah kuman di semua Taska akan dilakukan selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad ini, sebelum dibenarkan beroperasi pada Selasa ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan MMKN, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Hanafiah memberitahu, kebanyakan SOP yang ditetapkan sudah diguna pakai di TPK sebelum ini, walau bagaimanapun ada beberapa penambahbaikan yang ditetapkan selaras dengan SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Antaranya perlu mengambil suhu bayi, kanak-kanak dan ibu bapa, kerap membasuh tangan, membasuh alatan permainan dan mengamal etika penjarakan sosial.
"Perkara itu diaakui agak sukar kerana melibatkan kanak-kanak, namun pihak taska perlu patuh demi nyawa bersama," katanya.
Menurutnya, sekiranya gagal tindakan untuk menutup premis taska boleh dikenakan.
"JKM akan memantau perkara itu dari masa ke semasa di setiap taska bermula Selasa ini," katanya.
Tambahnya, apa yang dimaklumkan, kira- kira 500 daripada 4,000 anak-anak TPK akan dihantar pada Selasa ini.
"Jumlah dilihat agak kecil kerana ibu bapa masih mengambil sikap berjaga-jaga," katanya.
01 Jul 20
98