Artikel "Utama" Terkini
Kerajaan Negeri Bantu Bekas Jurugambar Utusan Malaysia Derita Sakit Kronik
KUALA TERENGGANU, 11 Mei - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itu adalah gambaran nasib menimpa bekas jurugambar Utusan Malaysia, Azlan Bahrum, 36, yang menderita sakit gout kronik membuatkan semua sendinya bengkak akibat lebihan asid urik.
Hidup Azlan yang berasal dari Perak tak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila turut dikesan mempunyai masalah buah pinggang tahap tiga ke tahap empat.
Beliau juga sudah tidak mampu bangun dan berjalan seperti biasa sejak 10 hari dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hanya terlantar di katil dan bergantung kepada isterinya Norhaspida Yatim, 34 yang bekerja sebagai wartawan Sinar Harian.
Azlan yang kini terlantar kerana sukar bergerak dan menguruskan diri kerana sendinya yang makin membengkak, mendapat perhatian dari pelbagai pihak termasuk daripada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat berkata pihaknya akan melihat segala keperluan dan bantuan yang diperlukan oleh Azlan bagi meringankan beban beliau.
"Kita akan lihat apa yang diperlukan oleh Azlan dan cuba membantu yang terbaik bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh isteri selepas beliau terlantar sakit.
"Hari ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu meluluskan serta-merta bantuan bulanan yang akan mula dibayar bulan hadapan ," katanya ketika menziarahi Azlan di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, EXCO Kerajaan Negeri Terengganu merangkap ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah JKM Terengganu, Zuhami Omar.
Sementara itu, Hanafiah dan Wan Sukairi turut menyampaikan sumbangan barangan dapur serta wang tunai bagi menampung keperluan mereka seisi keluarga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban mereka sekeluarga boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 114076071284 atas nama Azlan Bahrum atau Norhaspida Yatim (156057287629).
30 Jun 20
92
Pesakit Terakhir COVID-19 Tinggalkan Hospital Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 11 Mei - Menerima rawatan selama 53 hari dan terpaksa mendapatkan rawatan di dua buah hospital di Terengganu dek penangan virus COVID-19 cukup meninggalkan kesan amat mendalam kepada seorang pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz.
Lebih-lebih lagi apabila melihat seorang demi seorang rakan rapat beliau yang turut dirawat di Hospital Hulu Terengganu (HHT) dibenarkan pulang minggu lalu selepas pulih daripada jangkitan wabak tersebut sekali gus menjadikan dirinya pesakit terakhir COVID-19 yang masih menerima rawatan di hospital itu.
Namun tiada apa yang lebih menggembirakan bagi pemuda berusia 25 tahun dan berasal dari Betong, Sarawak itu apabila dibenarkan pulang hari ini selepas sembuh daripada penyakit tersebut dan beliau menyifatkannya sebagai ‘kurniaan istimewa’ daripada Ilahi menjelang sambutan Aidilfitri dua minggu lagi.
"Sepanjang tempoh menerima rawatan di sini, saya sentiasa berhubung dengan keluarga di Betong, Sarawak melalui panggilan video dan mereka lega apabila dimaklumkan saya menerima layanan terbaik daripada petugas kesihatan di HHT serta Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Hubungan kami bagaikan sebuah keluarga, begitu juga hubungan dengan kawan-kawan (pesakit COVID-19 lain) juga sangat erat, cuma saya agak terkesan apabila beberapa kawan rapat dibenarkan keluar pada minggu lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di HHT di sini hari ini.
Hafiz, yang sudah tidak sabar mahu pulang ke Sarawak untuk berpuasa dan merayakan Aidilfitri tidak lama lagi, berharap orang ramai tidak mengambil mudah mengenai ancaman jangkitan COVID-19 dengan sentiasa mengamalkan saranan kebersihan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Harapan saya agar wabak ini segera berakhir supaya kita semua dapat hidup seperti biasa secepat mungkin," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata Hafiz merupakan pesakit terakhir positif CIVID-19 yang menerima rawatan di HHT.
"Beliau telah menghadiri ijtimak tabligh di Sri Petaling pada 24 Feb hingga 4 Mac lalu dan selepas itu datang ke Terengganu untuk melakukan kerja-kerja dakwah. Bagaimanapun, beliau dimasukkan ke HHT pada 17 Mac sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) setelah mengalami batuk dan sakit tekak.
"Dua hari selepas itu, pesakit ini dimasukkan ke HSNZ setelah didapati positif COVID-19 dan telah dipindahkan semula ke HHT pada 5 April apabila keadaannya semakin stabil untuk meneruskan rawatan sebelum dibenarkan keluar hari ini," katanya.
HHT mula diwartakan sebagai hospital yang merawat kes berkaitan COVID-19 sepenuhnya di Terengganu pada 14 Mac dan sejak itu, semua pesakit lain dipindahkan ke HSNZ serta Hospital Setiu untuk menerima rawatan.
Dr Nor Azimi juga berkata kesemua lapan daerah di Terengganu kini dikategorikan sebagai zon hijau kerana telah merekodkan sifar kes positif COVID-19 bagi tempoh 14 hari dengan kes terakhir dikesan pada 23 April di Besut dan kesemua 13 pusat kuarantin juga sudah ditutup kecuali satu di Kemaman. - BERNAMA
30 Jun 20
174
Kuih Che Abas Demam, Uniknya Nama Hanya Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Mei - Mendengar nama kuih Che Abas Demam pasti menimbulkan rasa ingin tahu dikalangan netizen tentang bagaimana rupa dan rasa makanan unik yang hanya boleh didapati di Terengganu dan sangat sukar ditemui.
Adunan sagu yang kenyal dimakan dengan kuah santan yang dicampur dengan ikan, bawang dan halba memberikan satu citarasa yang cukup beraroma serta membangkitkan keinginan untuk mencubanya malah tidak mustahil boleh membuka selera orang demam.
Kini makanan tradisional Terengganu yang hampir dilupakan kembali viral dengan harga serendah RM3 untuk jualan atas talian setelah diperkenalkan kembali oleh pihak pengurusan Hotel Permai.
Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata idea untuk menghidupkan kembali kuih tradisi ini adalah cetusan idea tukang masak hotel yang mencipta kelainan dalam mempromosikan hidangan mereka.
“Kuih Che Abas demam adalah satu hidangan istimewa kerana jarang dikenali ekoran sukar diperoleh dan Hotel Permai memperkenalkannya semula kepada generasi sekarang.
"Warisan tradisi tidak seharusnya dilupakan. Ia perlu dikekalkan dan ditonjolkan semula kepada masyarakat supaya ianya tetap dikenali biarpun zaman telah berubah," katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui hari ini.
Tambahnya, terdapat juga empat jenis lagi kuih tradisional Terengganu popular ketika Ramadan iaitu koleh lemak sambal ikan, puteri mandi susu, onde-onde dadih dan sira labu yang dijual serendah RM3.
Sementara itu, Chef Mat Andri Abas, 49 berkata idea untuk membuat kuih Che Abas Demam adalah untuk mengetengahkan kuih yang telah lama wujud tetapi suram kerana kurang promosi mengenainya.
"Jadi saya dan pihak hotel membuat keputusan untuk hidupkan balik dan ketengahkan sebagai salah satu menu yang terdapat sepanjang bulan Ramadan kali ini," ujarnya lagi.
Menurut Mat Andri, setiap hari beliau memerlukan lima hingga 10 kilo sagu bersama 10 kilo santan pekat untuk menghasilkan 500 bekas Che Abas Demam mengikut tempahan pelanggan atas talian.
30 Jun 20
1372
Jangan Berkumpul Di Taman Awam! - MBKT
KUALA TERENGGANU, 11 Mei - Seluruh rakyat Terengganu diseru agar tidak berkumpul di taman-taman awam bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, aktiviti berkenaan boleh menyebabkan berlaku kesesakan dan memudahkan wabak pandemik merebak.
"Pihak MBKT menyeru kepada orang awam agar tidak berkumpul dan bersesak-sesak di taman-taman awam seperti di Taman Awam Batu Buruk di sini.
"Aktiviti sebegini boleh menyebabkan penularan wabak COVID-19, yang boleh menjadikan Kuala Terengganu kembali ke zon merah (zon aktif)," tegas MBKT dalam satu hantaran di facebook rasmi mereka.
Ketegasan itu disuarakan selepas pihaknya mendapati orang ramai berkumpul dalam kumpulan yang ramai.
Susulan itu juga, difahamkan pihak MBKT telah meletakkan penghadang bagi menghalang orang ramai memasuki Taman Awam Batu Buruk.
Hasil tinjauan pihak kami beberapa hari lalu mendapati, terdapat ramai keluarga yang berbuka puasa di Taman Awam Batu Buruk.
Kanak-kanak dan bayi juga dikesan dibawa bersama-sama dalam aktiviti tersebut.
Tindakan tersebut pastinya menimbulkan keresahan pihak lain pada saat wabak COVID-19 belum reda sepenuhnya.
30 Jun 20
123
Pelanggan Bertambah, Pasar Raya Terus Kekal SOP
KUALA NERUS, 11 Mei - Beberapa pasar raya terkemuka seperti Mydin akan terus memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan berjalan lancar walaupun berlaku peningkatan pelanggan susulan keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada 4 Mei.
Penolong Pengurus Mydin Gong Badak, Suzana Romeli berkata, pengurusan pasar raya telah menetapkan penjarakan sosial dan mengehadkan jumlah pelanggan.
“Dalam satu-satu masa, hanya sekitar 100 pelanggan dibenarkan berada di kawasan membeli iaitu tidak lebih dua orang untuk satu keluarga walaupun ada yang datang lebih dua orang.
“Setakat ini apa yang dilaksanakan berjaya dipatuhi semua rakyat Terengganu, tiada berlaku ketidakpuasan hati mana-mana pihak.
“Kami juga akan terus mengikuti saranan daripada pihak kerajaan dalam memastikan semua pihak mendapat kebaikan dan COVID-19 ini berjaya dihapuskan,” katanya ketika ditemui media semalam.
Dalam pada itu, menurut peniaga pakaian wanita, Farah Azullia Jusoh, 35, dia bersyukur kerana kerajaan membenarkan peniaga sepertinya untuk berniaga seperti biasa.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya memang tiada pendapatan untuk diri, keluarga dan anak-anak.
“Jadi setelah kerajaan membenarkan saya berniaga sedikit sebanyak ia mengembirakan saya lebih-lebih lagi untuk menyambut kelahiran anak keempat bulan Ogos nanti,” ujarnya.
Sementara itu, bagi pasangan adik beradik, Nur Zahidah Zakaria, 21, dan Nur Aishah Zakaria, 24, kelonggaran pergerakan yang diberikan kerajaan digunakan sebaik mungkin untuk melunaskan tanggungjawab membeli barangan keperluan untuk keluarga.
“Namun, kami masih berhati-hati, keluar rumah dengan jaga jarak dengan orang lain, gunakan ‘hand sanitizer’ serta pakai penutup mulut dan hidung,” tambah mereka.
Dalam tinjauan kami pada pagi semalam juga mendapati, masih terdapat segelintir orang ramai yang tidak mematuhi SOP PKPB terutamanya membabitkan pembeli di pasar awam.
30 Jun 20
76
TDM Catat Pertumbuhan 3 Peratus Suku Pertama 2020
KUALA TERENGGANU, 30 Jun - TDM Berhad mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak tiga peratus bagi suku pertama 2020 yang berakhir pada 31 Mac 2020.
Pengerusi TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, pertumbuhan itu disumbangkan oleh kedua-dua bahagian Perladangan dan Penjagaan Kesihatan iaitu sebanyak RM107.8 juta, berbanding RM104.7 juta berbanding suku sebelumnya.
"Pada suku pertama tahun ini, perniagaan Perladangan mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi iaitu sebanyak tiga peratus terutamanya disebabkan oleh harga purata minyak sawit mentah (CPO) dan Isirong Sawit (PK) yang lebih tinggi.
"Sementara itu, perniagaan Penjagaan Kesihatan kami terus menunjukkan pendapatan yang lebih tinggi pada suku tersebut dengan kenaikan pendapatan sebanyak tiga peratus yang disumbangkan oleh pendapatan purata yang lebih tinggi bagi setiap pesakit iaitu sebanyak enam peratus kepada RM7,142 berbanding tahun sebelumnya.
"Peningkatan ini juga disumbangkan oleh peningkatan jumlah katil operasi sebanyak dua peratus dan pembukaan Cath Lab sejak Mac 2019," katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Bagaimanapun, tambahnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac 2020, mengakibatkan jumlah pesakit yang lebih rendah ke hospital Kumpulan tersebut.
"Untuk itu, hospital kami telah membuat persediaan dan persiapan yang relevan iaitu menanggung perbelanjaan tambahan untuk alat ujian COVID-19, peralatan perlindungan diri untuk pelapik depan dan barang pakai buang yang lain," katanya.
Menurutnya, Kumpulan optimis dan akan terus memberi tumpuan dalam meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran yang disokong oleh asas-asas jangka panjang.
"Kami amat komited di mana kemampanan dan persijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) telah membolehkan kami menikmati premium yang lebih baik daripada penjualan Forum Pensijilan Mapan Minyak Sawit (CSPO) dan Minyak Tempurung Sawit Lestari Diperakui (CSPK) kami," ujarnya.
30 Jun 20
50
Balik Beraya Tak Dibenarkan - PM
PUTRAJAYA, 10 Mei - Perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri bagi berhari raya masih tidak dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hingga 9 Jun ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tahu ramai sedih kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Namun katanya, larangan sedemikian harus dilaksanakan bagi menjamin keselamatan dan mengekang penularan COVID-19 sepenuhnya.
“Dalam tempoh lanjutan PKPB ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan membabitkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
“Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari mengenai larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuat kuasa dalam tempoh ini.
“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan,” katanya pada perutusan khas, hari ini.
Beliau turut memohon rakyat Malaysia agar bersabar dalam menjalani kehidupan dalam fasa sekarang.
“Bersabarlah, bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara,” tambah beliau.
30 Jun 20
41
Maritim Buat Permohonan Reman Melalui Persidangan Video
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri melaksanakan kaedah norma baharu dengan mengadakan persidangan video bagi permohonan reman 27 nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengelakan penularan Covid 19.
30 Jun 20
95
Kerajaan Akan Tetapkan Harga Ayam Jika Terus Naik Tanpa Kawalan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan penetapan harga syiling ayam sekiranya para peniaga terus menaikkan harga tanpa kawalan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.
30 Jun 20
136
Demi Wang Mudah, 59 Pemilik Akaun Keldai Ditangkap
Demi memperoleh wang secara mudah, segelintir individu sanggup menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) dan akaun bank kepada sindiket penipuan yang membabitkan beberapa modus operandi, antaranya pembelian atas talian, Macau Scam dan pinjaman tidak wujud.
10 Jun 20
428