lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Laksana 486 Proses Nyah Cemar Sepanjang PKP
Terengganu Laksana 486 Proses Nyah Cemar Sepanjang PKP
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu memaklumkan, sebanyak 486 proses nyah cemar (sanitasi) telah dilakukan di seluruh negeri itu. Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, pelaksanaan proses tersebut bermula sejak 30 Mac lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinga ke hari ini. "Bagi negeri ini, daerah Kemaman paling banyak proses nyah cemar melibatkan 130 lokasi, diikuti Kuala Terengganu dengan 116 lokasi. "Sanitasi ini kita bagi tumpuan kepada tempat-tempat kritikal seperti pasar awam dan kini kita buat di pejabat-pejabat kerajaan yang akan buka dan sedang beroperasi begitu juga bas yang digunakan bagi menghantar serta bawa pulang pelajar dari dalam dan luar negeri ke Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, malam tadi. Tambahnya, JBPM kini turut melakukan proses nyah cemar di masjid-masjid yang bakal melaksanakan Solat Jumaat bermula 22 Mei ini melalui kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). "Baru-baru ini kita juga sudah buat untuk penjara dan imigresen, pusat koreksional di Ajil serta Marang yang melibatkan lebih 2,000 banduan dan kita kini beralih kepada masjid-masjid dalam negeri," katanya.
02 Jul 20
113
YB Jelajah Kampung Hulur Bantuan Keluarga Miskin
YB Jelajah Kampung Hulur Bantuan Keluarga Miskin
MARANG, 20 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah melakukan jelajah ke setiap kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan bagi menghulurkan bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri itu berkata, jelajah tersebut turut memberi keutamaan terhadap rumah rakyat yang mempunyai masalah kesihatan. Katanya, melalui aktiviti turun padang sebegitu beliau sendiri dapat merasai kesukaran hidup yang dialami penduduk di sana. “Alhamdulillah sebanyak 14 buah kampung sudah menerima sumbangan berupa kad raya, beras, dan kek. Insya-Allah sebanyak 11 lagi kampung yang masih berbaki akan turut menerima sumbangan sama. “Agihan sumbangan ini akan diagihkan mengikut bilangan rumah pada setiap kampung dan sumbangan disalurkan sendiri oleh saya atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang bertugas. Insya-Allah tidak akan ada rumah yang tercicir dan tidak dapat,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam. Turut hadir dalam aktiviti ziarah dari rumah ke rumah tersebut adalah Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru masyarakat supaya memanfaatkan hari yang berbaki dalam bulan Ramadan untuk beramal ibadat. “Harapan saya di bulan mulia yang masih lagi berbaki beberapa hari dan hari raya yang kian tiba, marilah sama-sama kita memperbanyakkan amal ibadat dan mengislahkan diri kita pada Allah agar setiap hidup dan amalan kita diterima oleh Allah. Insya-Allah,” tambah beliau.
02 Jul 20
98
PDRM, ATM Ronda Kawasan Rumah Pada Aidilfitri
PDRM, ATM Ronda Kawasan Rumah Pada Aidilfitri
PUTRAJAYA, 19 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan di kawasan rumah pada Hari Raya Aidilfitri nanti bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, Ketua Polis Negara memaklumkan pihak PDRM dan ATM bersetuju untuk melakukan rondaan di kawasan rumah khususnya pada hari raya pertama dan hari-hari selepas itu. “Kita mungkin tidak dapat buat pemeriksaan di setiap rumah, tetapi jika semasa rondaan dibuat banyak kenderaan di luar rumah, kita akan semak kediaman terlibat. “Apabila kenderaan banyak berkemungkinan ramai orang dalam rumah tersebut, jadi kita akan semak jumlah penghuni rumah tersebut,”  katanya pada sidang akhbar harian (Non-Health) di sini hari ini. Sehubungan itu, orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Hari Raya Aidilfitri nanti.
02 Jul 20
571
Dadah Boleh Musnah Institusi Keluarga
Dadah Boleh Musnah Institusi Keluarga
Oleh : Syazwana M.Zohir KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Masyarakat diperingatkan supaya sentiasa berwaspada dan cakna mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam kehidupan berumahtangga. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata pelbagai jenayah boleh timbul berpunca daripada penyalahgunaan dadah. Jelasnya, statistik menunjukkan bahawa lebih 50 peratus  daripada penghuni penjara di Malaysia disabitkan dengan pertuduhan berkaitan dadah. “Apa yang menarik perhatian saya ialah bagaimana penyalahgunaan dadah memberi kesan yang negatif kepada rumahtangga sehinggakan ada kes keganasan rumahtangga yang berlaku disebabkan pasangan atau anak-anak mereka terlibat dengan najis dadah. “Isu ini, saya saksikan sendiri apabila turun berziarah ke rumah-rumah tak kira sama ada di kawasan kampung atau bandar, pasti ada sahaja cerita keganasan dalam perkahwinan disebabkan dadah. “Apabila terdesak kerana tiada wang untuk mendapatkan bekalan dadah, maka suspek akan mula melakukan tindakan secara luar kawalan,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam. Tambah Zuraida, lebih menyedihkan apabila 80 peratus daripada jumlah penagih di Malaysia berbangsa Melayu dan kebanyakan mereka berasal dari negeri Pulau Pinang, Perlis, Pahang, Kelantan dan Terengganu. “Jika anda salah seorang daripada mangsa keganasan rumahtangga, segera laporkan kepada pihak berkuasa, jangan pendamkan seorang diri. “Saya suarakan hal ini demi memberi kesedaran kepada rakyat  sempena dengan Hari Sambutan Menentang Penyalahgunaan Dadah hari ini (semalam) ,”ujarnya.  
02 Jul 20
566
ADUN Jabi ‘Payung’ Singgang Daging Kepada 5,800 Penduduk
ADUN Jabi ‘Payung’ Singgang Daging Kepada 5,800 Penduduk
SETIU, 18 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menyembelih empat ekor lembu sado untuk diagihkan kepada sekitar 5,800 penduduk di kawasan berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri itu berkata, daging yang dimasak singgang itu diagihkan kepada rakyat untuk lauk berbuka puasa. "Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing memasak secara gotong-royong. "Kemudian masakan daging lembu ini akan dihantar sampai ke depan tangga rumah 5,800 penduduk. "Ia sebagai satu daripada gerakan kebajikan kemasyarakatan kita dalam bulan Ramadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyembelih keempat-empat lembu sado di Kampung Cabang Tiga Oh, Jabi, semalam. Menurut beliau lagi, pihaknya juga akan sedaya upaya menyantuni penduduk Jabi yang dilanda musibah seperti kematian, bencana alam dan sebagainya walaupun berdepan dengan sedikit keterbatasan akibat ancaman virus COVID-19. "Alhamdulillah, kes COVID-19 semakin menurun. Malah, Pusat Kuarantin di Pusat Latihan Pengembangan Pertanian (PLPP) di Kampung Tok Dor, Jabi pun telah ditutup sejak awal bulan lalu," tambahnya.
02 Jul 20
67
Tugas Kuarantin Berakhir, DITC Terengganu Dikembalikan
Tugas Kuarantin Berakhir, DITC Terengganu Dikembalikan
Oleh : Alfian Mamad KEMAMAN, 28 Jun - Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman menyerahkan kembali Darul Iman Training Centre (DITC) di Telok Kalong kepada pengurusannya setelah ianya diwartakan sebagai Pusat Kuarantin Khas COVID-19 di daerah Kemaman sejak 16 Mac lalu. Sepanjang tempoh tersebut, pusat kuarantin itu telah menyaring seramai 416 orang di mana pecahan jantinanya adalah seramai 288 orang lelaki dan 128 orang perempuan yang disahkan negatif virus itu. Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Anuar Abd. Rahman berkata, tiada kes positif COVID-19 dikesan di sini dan ianya selamat diduduki untuk kegunaan awam setelah bangunan tersebut melalui proses pembersihan dan disinfeksi oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan Bomba Kemaman. "Sepanjang tempoh kami beroperasi di sini, tiada seorang pun yang dikesan sebagai pesakit yang positif COVID-19, kami hanya menyaring mereka yang disyaki negatif virus tersebut. "Terima kasih kepada pengurusan DITC yang membenarkan kami menggunakan kemudahan ini seumpama hotel lima bintang dan ianya selamat digunakan kepada umum setelah melalui proses disinfeksi oleh pihak kami dan akhirnya oleh pihak Bomba," katanya. Majlis Penyerahan Semula itu diadakan di Dewan Kuliah DITC Telok Kalong dan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, kelmarin. Sementara itu, Pengerusi DITC, Hazri Jusoh menzahirkan jutaan tahniah kepada semua barisan hadapan yang telah menjalankan tanggungjawab dengan begitu cemerlang dalam menangani pandemik COVID-19 di Kemaman. "Saya sebagai wakil DITC mengucapkan setinggi tahniah kepada para petugas, badan bukan kerajaan dan terutama agensi kerajaan yang  bertungkus lumus membendung penularan virus tersebut di daerah kita ini. "Kami juga yakin dan percaya bahawa tempat ini telah selamat sepenuhnya untuk digunakan oleh umum setelah diberi penerangan dan keyakinan oleh pihak berkelayakan iaitu Pejabat Kesihatan Daerah dan Bomba Kemaman," ujar beliau lagi. Hazri yang juga Pegawai Penyelaras Dewan Undangan (DUN) Kijal berharap agar pihak kerajaan dan swasta tidak teragak untuk menghantar dan menggunakan perkhidmatan DITC sebagai kemudahan latihan untuk kakitangan mereka. Turut hadir di majlis tersebut, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Jusman Ibrahim dan wakil-wakil semua agensi kerajaan yang terlibat.
02 Jul 20
1448
12 Peniaga Ayam Naik Harga Diberi Notis
12 Peniaga Ayam Naik Harga Diberi Notis
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Sehingga semalam sebanyak 12 notis dikeluarkan kepada peladang, pemborong dan peruncit ayam di negeri ini selepas aduan berkaitan kenaikan harga ayam diterima sejak seminggu lalu. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, notis itu juga bertujuan untuk menyiasat punca kenaikan harga ayam secara mendadak. "Kami sudah menjalankan 386 pemeriksaan di premis-premis jualan seluruh Terengganu dan kesemua notis yang dikeluarkan terhadap premis-premis itu masih dalam siasatan KPDNHEP. "Berdasarkan rekod, harga purata bagi jualan runcit ialah sekitar RM5.00 hingga RM7.00 per kilogram mengikut kawasan tetapi telah mengalami kenaikan sehingga RM9.00 per kilogram sejak kebelakangan ini," katanya ketika dihubungi media hari ini. Menurut beliau, sekiranya disabitkan kesalahan, denda maksimum sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap individu tersebut. "Manakala, syarikat pula boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM500,000," tegas beliau. Tambah Saharuddin, isu ini akan dapat ditangani apabila KPDNHEP melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2020. "Insya-Allah esok kita akan umumkan harga ayam dan peniaga tak boleh menjual lebih daripada harga yang ditetapkan itu. "Malahan penetapan harga maksima yang akan diumumkan esok bukan hanya melibatkan ayam, tetapi beberapa barangan kawalan lain turut tersenarai," jelas beliau. Untuk rekod, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu, pihaknya telah menjalankan 3,488 pemeriksaan dan membuka 79 kertas siasatan melibatkan nilai kompaun sebanyak RM31,400. Selain itu, sebanyak 169 aduan telah diterima daripada orang awam melibatkan 70 kes berkaitan transaksi dalam talian dan 45 aduan berkaitan harga dan selebihnya adalah lain-lain aduan yang telah diambil tindakan. Orang ramai yang ingin membuat aduan atau mempunyai kemusykilan bolehlah menghubungi bilik gerakan KPDNHEP Terengganu di talian  09-6204 700/701 atau aplikasi whatsapp (019-279 4317) dari jam 8.00 pagi sehingga 6.00 petang.
02 Jul 20
54
Terengganu Umum Lapan Masjid Untuk Solat Jumaat
Terengganu Umum Lapan Masjid Untuk Solat Jumaat
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) hari ini mengumumkan senarai lapan masjid yang dibenar mengadakan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad berkata, lapan masjid itu adalah masjid di setiap daerah masing-masing termasuk Masjid Negeri, Masjid Abidin bagi daerah Kuala Terengganu. “Bagi daerah Kemaman, masjid yang dibenar adalah Masjid Sultan Ahmad di Chukai, Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah untuk Dungun, Masjid Sultanah Nur Zahirah (Marang), Masjid Sultan Mahmud (Hulu Terengganu). “Manakala bagi daerah Kuala Nerus, Setiu dan Besut masing-masing adalah Masjid Wakaf Tembesu, Masjid Bandar Permaisuri dan Masjid Sultan Nasiruddin Shah,” maklum beliau dalam kenyataan hari ini. Baru-baru ini Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah memberi perkenan untuk institusi masjid di Terengganu dibuka bagi aktiviti solat Jumaat dan fardu berjemaah. Walau bagaimanapun ia tertakluk kepada beberapa syarat yang ketat seperti jemaah solat Jumaat tidak dibenarkan melebihi 40 orang. “Sehubungan itu, Pegawai Agama Daerah akan bertanggungjawab dalam mengenal pasti jemaah yang akan menghadiri solat Jumaat dan catatan ahli jemaah dicatat dengan teliti," kata kenyataan itu.
02 Jul 20
521
Bank Islam Sumbang RM30,000 Untuk Bantuan COVID-19
Bank Islam Sumbang RM30,000 Untuk Bantuan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menerusi cabang tanggungjawab sosial korporatnya, AMAL menyampaikan sumbangan bernilai RM30,000 bagi membantu golongan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 di negeri ini. Pengurus Kawasan Timur Bank Islam, Rosmawati Mohamed Zin berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM5,000 disumbangkan kepada Tabung Bantuan Covid-19 Terengganu. “Kami merasa bertanggungjawab untuk bersama-sama kerajaan negeri membantu rakyat yang terjejas akibat daripada penularan wabak ini, dimana sumbangan diserahkan kepada Tabung Bantuan Covid-19 Terengganu untuk diagihkan kepada mereka yang layak,” ujarnya. Beliau berkata demikian selepas menyerahkan replika cek bernilai RM5,000 kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Zahari Md. Azahar yang mewakili kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, hari ini. Sementara itu, Rosmawati berkata, sebanyak RM25,000 daripada sumbangan tersebut pula diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi membantu golongan asnaf. “Kita fokuskan bantuan kewangan kepada 100 usahawan mikro yang perniagaannya terjejas teruk akibat pandemik ini dimana ianya telah diserahkan kepada pihak MAIDAM, semalam,” ujarnya.
02 Jul 20
420
Agihan Amal Bubur Lambuk
Agihan Amal Bubur Lambuk
Oleh: Jusmawari Jusoh BESUT, 17 Mei - Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Besut bergotong-royong bersama-sama memasak bubur lambuk untuk program 'agihan amal' dihadapan Pasaraya Pantai Timur Jertih. Ketua Komandan Amal Kawasan Besut Luqman Hakim Hashim berkata, program  ini yang dianjurkan oleh JAM dibuat secara serentak di seluruh negeri Terengganu. "InsyaAllah, selesai memasak kita akan edarkan bubur lambuk ini sekitar hadapan Pasaraya Pantai Timur Jertih sebagai lokasi pilihan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut, di sini, pada 16 Mei. Menurutnya, seramai 20 orang anggota amal terlibat dan mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Turut hadir ialah Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan Besut, Hakim Zulfikri Awang dan Naib Ketuanya Ustaz Mukhlis Hasin. "Program ini bermula seawal jam lapan pagi dengan menyediakan bahan-bahan sehingga jam dua petang siap dibungkus," ujar Hakim. Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar tetap patuh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan kekal di rumah jika tiada urusan dan menjaga jarak 1 meter serta memakai 'face mask'.
02 Jul 20
87