lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Hartanah Terengganu Optimis Raih Keuntungan
Hartanah Terengganu Optimis Raih Keuntungan
Oleh : Mohd Asraf KEMAMAN, 29 Jun - Hartanah Terengganu Sdn Bhd (HTSB) optimis mampu mencapai sasaran untuk meraih keuntungan menerusi pelaksanaan ‘Strategic Business Plan 2020-2024’. Ahli Lembaga Pengarah HTSB, Wan Hapandi Wan Nik berkata, program itu dilaksanakan secara menyeluruh membabitkan semua bahagian syarikat. “Program yang diperkenalkan itu adalah strategi pengurusan perniagaan untuk meningkatkan pendapatan, mengurangkan kos dan menjamin keuntungan. "Berdasarkan prestasi semasa, kami yakin mampu mencapai sasaran berdasarkan pelan yang dibuat walaupun baru berhadapan dengan pandemik COVID-19," katanya selepas mesyuarat khas lembaga pengarah, di sini. Menurut Wan Hapandi yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, pelan itu dibuat selaras dengan fokus kerajaan untutk memastikan pertumbuhan ekonomi domestik yang mampan serta meningkatkan keyakinan pelabur dari dalam dan luar negara. “Kita akan memastikan penambahbaikan dari semasa ke semasa dalam pengurusan anak syarikat GLC milik kerajaan agar dapat memberi pulangan yang berterusan kepada Negeri Terengganu,” ujarnya. Sementara itu, HTSB mengalu-alukan kepada orang awam untuk menginap di Kijal Permai Apartment milik syarikat sepenuhnya.
02 Jul 20
495
Pasar Tani Kuala Besut Kembali Beroperasi Hari Ini
Pasar Tani Kuala Besut Kembali Beroperasi Hari Ini
Oleh: Saifullah Jusoh BESUT, 29 Jun - Para peniaga Pasar Tani Kuala Besut menarik nafas lega apabila pasar berkenaan sudah dibenarkan kembali  beroperasi mulai hari ini. Hampir tiga bulan Pasar Tani Kuala Besut ditutup untuk urusan jual beli susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19. Situasi tersebut menjejaskan para peniaga yang bergantung sepenuhnya pendapatan dengan hasil jualan di pasar-pasar tani dan pasar pagi. Walaupun iasudah beroperasi, namun para peniaga perlu mengikut garis panduan SOP yang sudah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (BPT). Seorang peniaga yang dikenali sebagai Fadhli  sangat bersyukur kerana dapat berniaga seperti biasa. “Alhamdulillah saya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana sudah membenarkan kami untuk kembali berniaga disini. “Insya-Allah kami akan sedaya upaya mematuhi SOP agar rantaian wabak COVID-19 ini dapat diputuskan,” ujarnya.
02 Jul 20
1517
MB Zahir Takziah Kepada Mangsa Kebakaran
MB Zahir Takziah Kepada Mangsa Kebakaran
Oleh: Aslam Wira MARANG, 28 Jun - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Baru Bukit Kecil, semalam. Pada masa sama Ahmad Samsuri turut menghulurkan sumbangan yang disampaikan oleh Pegawai Khasnya, Sabri Zakaria bagi meringankan beban mangsa. Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang dan beberapa jabatan lain turut bersama-sama memberikan sumbangan segera berbentuk kewangan dan keperluan asas. Antaranya adalah Pejabat Ahli Parlimen Marang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marang, Tabung Darul Iman serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Marang. Ketika kejadian, mangsa tiada di rumah kerana berada di rumah anaknya. Kebakaran yang bermula daripada sebuah bilik menyebabkan keadaan rumahnya itu hangus secara keseluruhannya. Punca kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 11.40 pagi itu masih belum dikenal pasti, namun tiada kemalangan jiwa yang berlaku.
02 Jul 20
187
Wanita Perlukan Kesedaran Awal Tentang Kanser Payudara
Wanita Perlukan Kesedaran Awal Tentang Kanser Payudara
Oleh : Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Kanser payudara perlu dikesan di peringkat awal kerana peluang untuk sembuh lebih tinggi jika dikesan di peringkat pra kanser atau di peringkat kanser tahap awal. Pengamal perubatan, Dr Farhaana Husainy Hasbullah menyatakan, kanser payudara merupakan kanser nombor satu dalam kalangan wanita. Justeru, beliau menyeru agar para wanita  agar tidak memandang enteng akan penyakit ini kerana kanser payudara ini boleh menjadi ‘Pembunuh Senyap’ kepada kaum wanita. "Para wanita digalakkan untuk melakukan kaedah Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) sebulan sekali. "Malangnya lebih 40% daripada pengidapnya hanya mengesan penyakit tersebut pada tahap lewat iaitu tahap 3 dan 4," katanya. Beliau yang juga merupakan isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata ketika menziarahi seorang pengidap kanser payudara dalam satu program ziarah kebajikan yang diadakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk, baru-baru ini. Nasihatnya lagi, bagi wanita yang mempunyai sejarah kanser payudara dalam kalangan ahli keluarga terdekat disarankan untuk membuat saringan mamogram untuk mengesan kanser tersebut.
02 Jul 20
463
Penternak Sertai Demo Ibadah Korban Norma Baharu
Penternak Sertai Demo Ibadah Korban Norma Baharu
MARANG, 29 Jun – Sempena Hari raya Korban yang akan menjelang tidak lama lagi, pengusaha dan penternak lembu korban daerah Kuala Terengganu dan Marang berkolaborasi dengan beberapa agensi dan jabatan menjalankan demo berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi penyembelihan dan kawalan kandang peliharaan lembu korban.                                                                                                                                  Wakil pengusaha dan penternak lembu korban, Mohd Zaki Mat Yakim berkata, langkah yang dibuat itu diharap dapat menjadi rujukan kepada pengusaha-pengusaha lain sebagai mengikuti SOP pihak berkuasa. Katanya, sepanjang demo berkenaan, ia akan dipantau oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi melihat tatacara yang bakal dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha, seterusnya dijadikan panduan untuk tempat sembelihan yang lain. "Kita sebagai pengusaha menjadikannya sebagai rujukan pertama untuk memastikan selepas ini pengusaha ternakan dapat mengikuti SOP pihak berkuasa, terutamanya dalam ibadat penyembelihan. "Kita juga mendapat khidmat dan panduan daripada polis, yang mana pihak polis hanya memastikan SOP itu dipatuhi tetapi prosedurnya mesti dibincangkan di peringkat MKN, PDRM, JPV, JKNT dan Maidam kerana ibadat korban perlu mengikut syarak serta perlu mengikuti SOP yang ditetapkan MKN dengan pematuhan dipantau PDRM. "Hasil daripada demo ini, pihak berkuasa akan menambah baik jika ada prosedur yang dirasakan perlu dan dipersetujui untuk digunapakai dan dikuatkuasakan," katanya ketika ditemui di pusat ternakan dan sembelihan Golden Faster di Kampung Tasek, Bukit Payong semalam. Menurut beliau, antara SOP pertama yang perlu dipatuhi ialah mendaftar masuk dan mengambil suhu badan mereka yang menyertai ibadah korban serta mereka yang terlibat ditempatkan di tempat khas dalam kumpulan mengikut lembu korban yang ditetapkan. "Peserta kemudiannya akan menzahirkan niat dan menyaksikan sembelihan tersebut, diikuti kumpulan kedua dan seterusnya. Ini bermakna, mereka tidak akan berkumpul ramai. "Selain itu, demo yang kita lakukan juga mengambil kira pelupusan tulang dan sebagainya, dengan dicuci dan dinyahlupuskan di tempat yang kami sediakan," katanya.
02 Jul 20
372
APMM Tahan Dua Bot Nelayan 'Hantu'
APMM Tahan Dua Bot Nelayan 'Hantu'
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Dua buah bot nelayan 'hantu' berjaya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM)Terengganu di dua lokasi berbeza iaitu pada jarak 100 batu nautika dan 101 batu nautika dari Kuala Terengganu, Sabtu baru-baru ini.  Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kedua-dua bot tersebut ditahan oleh kapal Maritim KM LANGKAWI yang sedang melakukan rondaan OP Khas Naga Barat. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, kedua - dua bot tersebut ditahan berikutan memiliki nombor pendaftaran yang mencurigakan selain nombor pendaftaran juga turut dipadam. Katanya dalam pemeriksaan yang dilakukan  ke atas kedua-dua bot,  kesemua anak kapal disyaki warganegara Vietnam tidak memiliki sebarang dokumen yang sah dan bot terbabit juga disyaki bot nelayan asing Vietnam. “Kesemua 27 kru termasuk tekong yang berumur antara 18 hingga 50 tahun ditahan, selain turut dirampas hasil tangkapan laut, diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM 2 juta. “Kedua bot di bawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen yang sah,” ujarnya. Tambahnya lagi, tindakan menangkap dan menahan bot nelayan asing telah dikuatkuasakan semula oleh Maritim Malaysia sebagaimana pengumuman yang  dibuat oleh Ketua Pengarah APMM pada 24 Jun lepas di hadapan media tempatan dan antarabangsa dalam satu sidang media membabitkan isu pencerobohan bot nelayan Vietnam di Putrajaya. “Tindakan itu diambil berikutan pengusiran sepanjang tempoh PKP tidak memberi kesan kepada nelayan asing. "Maritim Malaysia Negeri Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara. Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim," jelas beliau. Muhammad Suffi meminta kerjasama dari masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu.
02 Jul 20
271
Sultan Mizan Seru Umat Islam Sambut Aidilfitri Ikut Syarak
Sultan Mizan Seru Umat Islam Sambut Aidilfitri Ikut Syarak
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam di negeri ini agar menyambut Aidilfitri mengikut kehendak syarak dan menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang termasuk pembaziran dan bermewah-mewahan. Baginda bertitah, umat Islam perlu memahami bahawa matlamat hari raya bukan semata-mata hari yang disambut dengan bergembira dan hidangan pelbagai makanan tetapi sambutan hari raya dalam Islam adalah mengajak umatnya kembali kepada Allah S.W.T dengan bertakbir dan bertahmid serta memuji kebesaranNya. "Sambutan Aidilfitri tahun ini memberi seribu makna dan pengajaran kepada kita lebih-lebih lagi tahun ini amat berbeza dari tahun-tahun sebelumnya disebabkan wabak COVID-19 yang melanda dunia belum berakhir. "Solat sunat hari raya di masjid dan surau tidak dibenarkan, aktiviti ziarah menziarahi dihadkan, tiada lagi salam bersalaman sesama kita dan rumah terbuka, justeru sambutan hari raya tahun ini akan sentiasa menjadi ingatan kepada kita semua," titah baginda. Dalam perutusan khas sempena Aidilfitri, baginda turut bertitah agar umat Islam menyuburkan budaya saling bermaaf-maafan, mengeratkan hubungan silaturrahim dan mengukuhkan tali persaudaraan serta bersama-sama membantu mereka yang terjejas dan terkesan dengan wabak COVID-19. "Bantulah mereka agar sama-sama merasai kegembiraan menyambut hari raya, berkongsilah limpahan rezeki yang dikurniakan Allah S.W.T dengan memperbanyakkan sedekah kepada golongan memerlukan. Sultan Mizan bertitah di samping bergembira menyambut Aidilfitri, umat Islam perlu bersama-sama menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh barisan hadapan yang berkerja membendung wabak COVID-19 dari terus merebak terutamanya doktor dan jururawat serta kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia. "Juga pasukan keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba Dan Pemyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA dan semua pihak yang berterusan mencurahkan khidmat bakti bagi memastikan kita semua dilindungi dan selamat sehingga membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman," titah Sultan Mizan. Baginda turut menzahirkan penghargaan dan merakamkan ucapan terima kasih terhadap barisan hadapan dan keluarga mereka atas pengorbanan dan khidmat bakti dalam melaksanakan amanah yang diberikan. "Kepada rakyat jelata beta nasihatkan jaga kebersihan diri, terus berada di rumah, keluar apabila perlu sahaja, dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat," titah baginda.
02 Jul 20
70
Shafiq Pelajar Paling Cemerlang SPM 2019 Diraikan
Shafiq Pelajar Paling Cemerlang SPM 2019 Diraikan
Oleh: Ahmad Ezani Razali KEMAMAN, 28 Jun - Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Mohamad Shafiq Akram Shafie, 18, diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM & STPM 2019 DUN Cukai, semalam. Beliau merupakan satu-satunya pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 bagi seluruh negeri Terengganu. Beliau ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Pejabat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Cukai yang telah menganjurkan program yang cukup bermakna baginya itu. "Satu nasihat yang ingin saya kongsikan. Ketika hati anda berada di tempat yang betul, tidak ada yang dapat menghalang anda. Itulah kata-kata yang saya ingat daripada seseorang ketika menyertai salah satu kem sebelum ini. "Kata-kata tersebut telah menjadi pembakar semangat saya agar terus berusaha mencapai impian," ujarnya. Shafiq turut mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapanya, guru-guru, rakan-rakan dan semua pihak yang telah membantu dirinya mencapai kejayaan tersebut. Beliau yang bercita-cita menjadi ahli farmasi telah menerima hadiah berbentuk sebuah 'Ipad Air' dan wang tunai yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap ADUN Cukai, Hanafiah Mat. Seramai 32 orang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan 157 orang pelajar SPM diraikan dalam majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Mercu, Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, di sini.
02 Jul 20
1032
400 Buah Rumah Diagih Singgang Daging
400 Buah Rumah Diagih Singgang Daging
Oleh: Saifullah Jusoh BESUT, 20 Mei - Sebanyak 400 buah rumah diagihkan lauk singgang daging untuk juadah berbuka puasa di kawasan Perumahan Kos Rendah Kampung Gong Tengah. Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, ia adalah untuk meringankan sedikit beban penduduk di penghujung bulan ramadan.  “Walaupun tidak banyak namun sekurang-kurangnya semua penduduk dapat merasa," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut, di sini, pada semalam. Menurutnya, program ini adalah kerjasama pihak Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Gong Tengah. Turut hadir ialah Pengerusi MPKK Kampung Gong Tengah, Wan Asriazwa Husin. “Ini adalah acara tahunan bagi peringkat supaya kita dapat mendekati penduduk DUN Kuala Besut. "Agihan lauk berbuka ini diadakan secara berperingkat bagi seluruh DUN Kuala Besut melalui MPKK masing-masing," tambah beliau.
02 Jul 20
116
Kerisauan Penduduk Berakhir
Kerisauan Penduduk Berakhir
Oleh: Mohd Fakhrullah Mohamad MARANG, 28 Jun - Kerisauan penduduk terhadap pokok yang hampir tumbang di pinggir jalan Kampung Alur Parit, telah berakhir. Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Tok Rimau, Mansor Mamat berkata, banyak aduan yang mengatakan pokok-pokok besar di pinggir jalan dahannya terlalu rendang dan boleh membahayakan rumah dan kedai berhampiran terutama ketika hujan ribut. "Kebelakangan ini kita terima terlalu banyak aduan daripada penduduk setempat di mana dahan-dahan pokok tersebut terlalu rendang dan mereput malah dikhuatiri boleh tumbang ketika ribut kencang," katanya. Tambahnya lagi, kerja-kerja itu sebenarnya sudah lama ingin dilaksanakan, cuma atas faktor keselamatan dan peralatan yang perlu digunakan terpaksa ditangguhkan dahulu. "Penduduk setempat telah turun beramai-ramai bergotong-royong kerja-kerja memotong dan membersih pokok-pokok tersebut menggunakan van lori yang disediakan," katanya Turut hadir, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bukit Payung, Mat Ghani Jusoh, Timbalan Pengerusi MPKK Kampung Tok Rimau, Mohd Amin Ismail, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penduduk sekitar. Sumbangan berupa wang ringgit yang disalurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah sedikit sebanyak membantu aktiviti gotong -royong itu.
02 Jul 20
97