lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Sekumpulan Wanita Pamer Bakat Candat Sotong
Sekumpulan Wanita Pamer Bakat Candat Sotong
Oleh: Aslam Wira MARANG, 26 Jun - Seramai 18 peserta wanita mempamerkan bakat masing-masing dalam aktiviti mencandat sotong di Marang hari ini yang sekali gus mampu merancakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu. Aktiviti anjuran persendirian itu, mendapat penyertaan daripada kalangan pelancong luar negeri Terengganu seperti Kuala Lumpur, Kedah dan Pahang. Pengarah Program, Nur Hidayah Ali berkata, apa yang menarik dalam program ini adalah kesemua peserta adalah merupakan wanita, isteri dan ibu kepada anak-anak. "Mereka yang turun untuk aktiviti kali ini adalah yang sukakan aktiviti luar dan mencabar di samping untuk menambah kemahiran serta ilmu berkaitan kelangsungan hidup di laut," katanya kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program. Menurutnya lagi, perempuan tidak boleh menghadkan diri daripada aktiviti yang bermanfaat dan memberikan kemahiran seperti ini. Aktiviti mecandat sotong di kalangan wanita itu merupakan anjuran kali kedua, setelah mendapat sambutan yang baik. Sementara itu, pemilik bot Romzi Ramlee berkata, aktiviti mencandat sotong mula mendapat sambutan selepas diumum oleh Kerajaan Negeri berkenaan kebenaran aktiviti tersebut. "Pelancong luar dari luar Terengganu yang meminati aktiviti ini sudah mula menyewa bot-bot nelayan seperti tahun-tahun sebelum ini. "Ia sekali gus memberikan peluang untuk menambah rezeki setelah menempuhi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengatasi pandemik COVID-19. “Walau bagaimanapun aktiviti nelayan menangkap ikan dan meneruskan rantaian makanan hasil laut tetap diteruskan dan dibenarkan,” ucapnya lagi.
02 Jul 20
321
Pendaratan Penyu Di Terengganu Naik 70 Peratus
Pendaratan Penyu Di Terengganu Naik 70 Peratus
KUALA TERENGGANU, 27 Jun - Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Rantau Abang di Dungun merekodkan peningkatan jumlah pendaratan penyu sebanyak 3,783 dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Ketua PKPP Rantau Abang Mohammad Firdaus Abdillah berkata ia adalah peningkatan hampir 70 peratus berbanding 2,573 pendaratan penyu dalam tempoh yang sama tahun lepas. "Kami tidak menolak kemungkinan bahawa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas telah meningkatkan pendaratan penyu di Terengganu kerana kurangnya gangguan di pantai sepanjang tempoh berkenaan. "PKP ini tidak boleh dijadikan parameter ukuran kerana ianya baru terjadi pada tahun 2020 dan tidak boleh dijadikan rujukan disebabkan tiada PKP sebelum ini yang telah berulang. "Selain itu, pantai pendaratan penyu utama di negeri Terengganu sememangnya telah diletakkan notis larangan orang awam berada di pantai bermula pukul lima petang sehingga lapan pagi. Oleh itu, perubahan trafik orang awam ke pantai sangat minimum sama ada sebelum atau sepanjang tempoh PKP. "Bagaimanapun, impak PKP sangat positif terutama di pulau-pulau peranginan kerana trafik bot pelancong berkurangan dengan mendadak dan kesannya dapat dilihat dengan berkurangnya laporan kematian penyu kerana terkena kipas bot," katanya kepada Bernama semalam. Daripada jumlah 3,783 pendaratan itu, 3,780 adalah pendaratan penyu Agar manakala tiga lagi adalah pendaratan penyu Karah. Dalam pada itu, Mohammad Firdaus berkata berdasarkan rekod dan kerja pemuliharaan penyu yang telah dijalankan sejak tahun 1990-an yang mana beberapa tempat telah dijadikan pusat pemuliharaan penyu, pihaknya tidak menolak kemungkinan anak penyu yang telah ditetaskan pada tahun 2000 telah mula naik mendarat pada tahun ini setelah mencapai tempoh matang untuk bertelur. "Jika perkara ini benar, maka, lambakan penyu akan bermula tahun 2020 dan akan terus menerus meningkat untuk tahun-tahun mendatang. "Pendapat ini juga berasaskan kepada pendaratan di Pulau Redang yang bermula pada tahun 1993 dan berlaku peningkatan pendaratan penyu pada tahun 2013 iaitu selepas 20 tahun program pemuliharaan dilaksanakan," katanya. -Bernama
02 Jul 20
227
Abdul Hadi Tinjau Lembu Sado Milik Keluarga Eman Manan
Abdul Hadi Tinjau Lembu Sado Milik Keluarga Eman Manan
Oleh : Aziz Hambali MARANG, 27 Jun - Rutin turun bertemu rakyat bagi ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kali ini sedikit istimewa dengan melawat Ladang Lembu Sado yang terletak di Kampung Atas Tol, di sini. Lebih menarik lagi, pemilik ladang tersebut adalah adik kepada pelakon otai terkenal tanah air iaitu Abdul Manan Embong atau lebih dikenali dengan nama gelaran Eman Manan. Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Cikgu Haron Yusof berkata, lawatan Abdul Hadi buat julung kalinya itu kerana dilihat usaha tersebut mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan lebih-lebih lagi ia menepati hasrat kerajaan negeri ini dalam mewujudkan Hub Pengeluaran Lembu Sado Terengganu. "Alhamdulillah hadirnya Ahli Parlimen ke ladang ternakan lembu sado ini antara lain bertujuan memberi sedikit suntikan modal bagi menaikkan lagi pengusahaan lembu sado di daerah ini. "Pihak kami (Parlimen Marang) sangat mengalu-alukan penternak dan pengusaha lembu sado untuk sentiasa mengorak langkah maju setapak demi setapak selaras dengan dasar kerajaan," katanya kepada UPDI selepas mengiringi Abdul Hadi meninjau ladang lembu sado, di sini baru-baru ini. Terdahulu, Abdul Hadi yang diiringi anaknya, Khalil Abdul Hadi tiba di ladang berkenaan dan disambut oleh Eman Manan sendiri dan juga ADUN Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah.
02 Jul 20
1440
Tingkat Promosi Produk Pelancongan Pulau Redang
Tingkat Promosi Produk Pelancongan Pulau Redang
Oleh : Ammaar Salehudin SETIU, 27 Jun - Kerajaan negeri menyarankan supaya pengusaha-pengusaha pelancongan di Kampung Pulau Redang di sini meningkatkan promosi produk mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kewujudan 'guest house' dan 'homestay' dengan pelbagai konsep harus menjadi senjata untuk menarik pelancong datang menginap. "Jangan biarkan rumah penginapan ini kurang mendapat sambutan, kita mesti tingkatkan promosi supaya orang tahu kewujudan kita," katanya menerusi program dialog bersama masyarakat Kampung Pulau Redang semalam. Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri bersama agensi-agensi terlibat sedia untuk membantu mengangkat produk-produk ini agar lebih dikenali sekali gus menjadi pilihan pelancong untuk menginap. "Kita perlu bantuan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta usahasama kerajaan negeri bagi mempromosikan 'homestay' dan 'guest house' di Kampung Pulau Redang. "Pengusaha juga perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) barulah tidak timbul isu 'homestay' dan 'guest house' tidak menarik dan sebagainya," ujarnya. Katanya lagi, kerjasama antara penduduk-penduduk kampung juga perlu bagi meningkatkan kerancakkan pelacongan di pulau terbabit. Dalam pada itu, Ariffin memberitahu kehadiran pengunjung ke Pulau Redang semakin meningkat selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan pergerakan rentas negeri.
02 Jul 20
221
Tiada Lesen Premis Rumah Urut Maksiat Dikeluarkan - MBKT
Tiada Lesen Premis Rumah Urut Maksiat Dikeluarkan - MBKT
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) menafikan bahawa pihaknya mengeluarkan lesen kepada premis rumah urut untuk beroperasi. Datuk Bandarnya, Shahidan Embok menegaskan, pihak MBKT tidak terlibat dengan sebarang rumah urut yang berunsurkan maksiat di kawasan bandar raya berkenaan. "Oleh itu, pihak MBKT menafikan tohmahan yang tular di media sosial dan you tube yang mengatakan MBKT mengeluarkan lesen bagi premis rumah urut berunsurkan maksiat atau seumpama dengannya," jelasnya dalam satu kenyataan rasmi MBKT hari ini. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak ketika dihubungi berkata, dakwaan itu jelas berunsur fitnah terhadap kerajaan Terengganu. "Tiada rumah urut maksiat dibenarkan. Apa yang ada hanyalah rumah urut tradisional yang diluluskan kerajaan terdahulu, juga beberapa pusat urut kaki@refleksologi. "Urut tradisional beroperasi seperti urut kampung, yang perempuan tukang urutnya perempuan, dan begitulah sebaliknya," tegas Dr Alias. Beberapa hari lalu, tular di media sosial dan YouTube tentang satu video yang mengundang persepsi bahawa rumah urut berunsur maksiat telah wujud secara berlesen di Terengganu. Video tersebut memaparkan tuduhan berniat jahat pemimpin muda Parti Amanah Nasional (Amanah) Terengganu dan Kelantan.  
02 Jul 20
146
Sultan Mizan Solat Jumaat Bersama 550 Rakyat
Sultan Mizan Solat Jumaat Bersama 550 Rakyat
Oleh : Aslam Wira KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Kira-kira 550 jemaah menunaikan solat Jumaat bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Masjid Sultan Ismail, Chendering di sini hari ini. Keberangkatan tiba Baginda jam 1.10 tengah hari yang diiringi puteranya, Tengku Sri Setia Mahkota Raja disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Sultan Mizan dan jemaah menunaikan solat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
02 Jul 20
230
Kerajaan Akan Tetapkan Harga Ayam Jika Terus Naik Tanpa Kawalan
Kerajaan Akan Tetapkan Harga Ayam Jika Terus Naik Tanpa Kawalan
KUALA NERUS, 26 Jun- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan penetapan harga syiling ayam sekiranya para peniaga terus menaikkan harga tanpa kawalan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid menyatakan pihak kementerian kini sedang meneliti makluman daripada pembekal dan peniaga ayam yang dikatakan menyebabkan harga ayam naik sehingga mencapai RM9.60 sekilogram, hari ini. “Kita bagi jaminan bekalan ayam mencukupi, cuma rungutan oleh rakyat adalah harganya yang naik semakin tinggi. Kalau betul kos naik kerajaan akan cari jalan, tapi kalau tidak betul kita minta pembekal dan peniaga mengkaji balik harga dalam pasaran hari ini. “Difahamkan peningkatan harga ini berlaku kerana bekalan ayam berkurangan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru- baru ini dan kita jamin bermula awal bulan julai bekalan akan cukup serta harga akan turun,” katanya. Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan ke Haji Din Ayam Poultry Sdn. Bhd. di Batu Rakit, bersama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato' Seri Hasnol Zam Zam Ahmad. Turut hadir, Pengarah Penguat Kuasa, Dato' Iskandar Halim Sulaiman serta Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. Menurut Rosol, setakat hari ini harga ayam direkodkan mencapai sehingga RM9.60 di Pulau Pinang. Manakala, di Terengganu terdapat peniaga di Kuala Berang mencatatkan jualan setinggi RM9.50/kg. “Kita beritahu industri, kalau naik melampau kita akan menetapkan harga dan akan ambil tindakan bagi yang ingkar. “Sekarang kita bergantung kepada harga semasa, kalau harga terus naik kita akan buat tindakan. Kalau industri mengatakan kos menyebabkan naik harga, kenapa pasaraya-pasaraya boleh jual murah?” katanya. Tambah beliau, sejak pemeriksaan di peringkat rantaian pembekalan ayam bermula 18 Jun lalu, sebanyak 529 individu terdiri dari peladang, pemborong dan peruncit dikenakan notis Seksyen Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatuan (AKHAP) 2011 di seluruh negara dan 31 daripadanya di Terengganu.
02 Jul 20
105
PKM Manir Agih 2,000 Bekas Bubur Lambuk
PKM Manir Agih 2,000 Bekas Bubur Lambuk
Oleh: Ahmad Mawardi HULU TERENGGANU, 17 Mei - Program Semarak Ramadan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Manir mengagihkan 2,000 bekas bubur lambuk kepada pengguna jalan raya hadapan Kompleks Al-Kawthar Kubang Lembik Manir di sini, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun berkata, program agihan bubur lambuk itu adalah kesinambungan setiap tahun di sepanjang bulan Ramadan. "Khidmat masyarakat yang bertemakan sama merasa itu bukan saja meraikan golongan kurang berkemampuan, malah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan penduduk setempat. "Walaupun tidak banyak, namun ia sudah cukup menggembirakan penduduk di sini," katanya kepada pemberita wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis pengagihan bubur tersebut. Beliau turut berharap dengan aktiviti sebegini dapat melahirkan satu persekitaran yang sihat terutama dalam kalangan masyarakat setempat. “Di bulan yang mulia ini, kita digalakkan untuk sama-sama memperbanyakkan amal selain mengeratkan persaudaraan sesama Muslim, agar tidak kerugian di akhirat kelak,” katanya.
02 Jul 20
100
Denda RM1,000 Jika Berkumpul Di Tempat Awam
Denda RM1,000 Jika Berkumpul Di Tempat Awam
KUALA TERENGGANU - Polis mengingatkan orang ramai agar tidak berkumpul bagi tujuan berbuka puasa dan melepak di tempat awam kerana perbuatan itu dianggap mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, buat masa ini tindakan kompaun RM1,000 akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang didapati berkumpul di tempat awam seperti di Pantai Batu Burok, Dataran Syahbandar, Pesisir Payang dan kawasan lapang berhampiran Jambatan Angkat. “Peringkat awal ini kita akan kenakan kompaun terlebih dahulu seperti yang kita kenakan semasa PKP fasa kedua, kalau ada yang masih berdegil kita akan tangkap, reman dan dakwa di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Tular dalam media sosial baru-baru ini, foto yang menunjukkan sampah dan sisa makanan yang ditinggalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan lapang sebelah muara utara Jambatan Angkat. Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok baru-baru ini berkata, pihaknya menerima aduan mengenai orang ramai yang keluar bersantai di kawasan rekreasi seperti Taman Awam Batu Burok pada waktu malam. Susulan itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu telah mengambil beberapa langkah bagi menghalang orang ramai daripada berkumpul di kawasan berkenaan dengan memantau dan menutup taman itu supaya tidak dimasuki orang awam selepas tamat waktu operasi kios dan kedai jualan pada jam 10 malam. - Bernama.
02 Jul 20
80
Besut Disinari 'Nur' Ramadan
Besut Disinari 'Nur' Ramadan
Oleh: Jusmawari Jusoh BESUT, 16 Mei - Seluruh kawasan Besut akan disinari cahaya apabila program Nur Ramadan 11.0 dilaksanakan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS). Penyelia i-MiTS Kawasan Besut, Hakim Zulfikri berkata, program itu adalah penanda aras sebagai tanda menzahirkan keprihatinan kepada asnaf di penghujung bulan yang mulia ini. “Setiap tahun program ini diteruskan di bulan yang penuh keberkatan dan keampunan, Ramadan al-Mubarak. "Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan orang ramai untuk diagihkan kepada yang memerlukan di seluruh Besut secara berperingkat,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut, di sini, pada 14 Mei. Turut hadir ialah Pegawai Hal Ehwal Belia Kota Putera, Suhaimi Mohd dan Pegawai IT i-MiTS Kota Putera Abdul Aziz Che Kop. Menurutnya, ini merupakan tahun yang kedua i-MiTS Kawasan Besut menjayakan program itu selepas beliau menyandang jawatan tersebut. Kata Hakim, orang ramai dialu-alukan untuk memberi sumbangan kepada golongan memerlukan bagi sama-sama meningkatkan pahala bersedekah agar Ramadan yang akan berakhir membawa makna buat diri. "Program ziarah Nur Ramadan 11.0 ke rumah asnaf bermula 13 Mei di DUN Kuala Besut dan 14 Mei di DUN Kota Putera. “Insya-Allah kita akan teruskan di DUN Jertih dan Hulu Besut,” jelas Hakim.
02 Jul 20
43