Artikel "Utama" Terkini
PINTAR Terengganu Kembali Beroperasi Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Mulai hari ini kerajaan negeri membenarkan sebanyak 38 buah Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) dan satu buah van PINTAR bergerak di seluruh negeri Terengganu beroperasi kembali.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pusat sehenti komuniti itu dibuka semula setelah ditutup sementara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
"Kesemua PINTAR akan beroperasi kembali mulai hari ini setelah kita menutup PINTAR bagi mengekang penularan COVID-19. Pengoperasian PINTAR ini akan bermula dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
"Justeru kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Top IT Industries Sdn Bhd selaku badan pengurusan PINTAR akan bekerjasama bagi menambah baik infrastruktur dan perkhidmatan di PINTAR sekali gus membantu dan memberi manfaat kepada komuniti setempat dalam menuju era digital," katanya pada satu sidang media berkenaan PINTAR di Pusat Latihan Paya Keladi di sini hari ini.
Sehingga kini, tambahnya, proses sanitasi telah dijalankan di kesemua PINTAR bagi menjaga keselamatan dan kebersihan pengunjung.
Pada masa sama, Ariffin turut mengingatkan, rakyat yang ingin berurusan dengan PINTAR haruslah menjaga jarak dan memastikan kesihatan diri berada dalam tahap yang baik.
Hadir sama dalam sidang media tersebut, Setiausaha Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM), Zuwislan Awang, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Korporat), Suhailawati Saigai dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Top IT Industries Sdn Bhd, Azwa Othman.
Menurutnya, pengunjung yang datang ke PINTAR juga harus menggunakan aplikasi Masuk.la yang dilancarkan pada 18 Jun lalu bagi memudahkan pihak pengurusan merekod kehadiran pengunjung.
Untuk rekod, PINTAR menawarkan kemudahan akses internet yang meluas bagi rakyat negeri Terengganu memperoleh capaian internet dan mampu memanfaatkan peluang yang tersedia dalam dunia tanpa sempadan.
02 Jul 20
413
Sekolah Dibuka Bermula 15 Julai
KUALA LUMPUR, 1 Julai - Operasi sekolah bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 4, kelas peralihan dan murid Tahun 5 serta 6 akan bermula 15 Julai ini.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, manakala seminggu kemudian iaitu pada 22 Julai, murid Tahun Satu hingga Tahun Empat pula akan kembali ke sekolah.
"Tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah sama ada sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).
"Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan," katanya pada sidang media hari ini.
02 Jul 20
84
APMM Terengganu Tenggelamkan Bot Vietnam Jadi Tukun Tiruan
KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu hari ini melupuskan dua bot nelayan Vietnam dengan cara ditenggelamkan sebagai tukun tiruan.
Kedua-dua bot berkenaan dilucut hak oleh mahkamah tahun lalu setelah disabitkan kesalahan menceroboh dan mengaut hasil di perairan negara tanpa kebenaran.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli memaklumkan, sejak 2006 sehingga kini, sebanyak 153 buah bot telah dilupuskan melalui kaedah penenggelaman bot sebagai tukun tiruan di perairan negeri itu.
“Kebanyakan bot ditenggelamkan di kawasan lima batu nautika ke bawah dan di kawasan-kawasan taman laut untuk pembiakan ekosistem marin.
“Kedudukan pelupusan ini adalah untuk menggalakkan penangkapan ikan nelayan kelas A iaitu nelayan tradisional, dan ia tidak mengganggu kawasan lima batu nautika ke atas yang merupakan zon tunda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program pelupusan bot di 4.7 batu nautika dari perairan Pantai Batu Buruk, hari ini.
Jelasnya, kaedah pelupusan tersebut bukan sahaja menunjukkan ketegasan Maritim Malaysia dalam mengekang kebanjiran nelayan asing ke perairan negara, tetapi turut membantu memperkayakan sumber laut bagi nelayan tempatan.
“Kawasan ini dipilih oleh Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) iaitu pihak bertanggungjawab melaksanakan kajian kesesuaian bot sebagai tukun tiruan yang ditenggelamkan di perairan ini.
“Kajian oleh ISMAT selama tiga bulan selepas bot ditenggelamkan, mendapati tumbuhnya hidupan liar di dasar laut dan kehadiran ikan pelbagai spesies berhampiran tukun dengan dianggarkan hasilnya bernilai kira-kira RM70,000,” katanya.
Turut hadir dalam program yang dilaksanakan dengan kerjasama Pengurusan Taman Laut, Jabatan Perikanan Malaysia, hari ini ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Aset ibu pejabat APMM, Mohamad Shaffie Hassan.
02 Jul 20
403
Nikmati Harga Tiket Baharu Di KECV Mulai Esok
HULU TERENGGANU, 30 Jun - Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir atau Kenyir Elephant Conservation Village (KECV) memperkenalkan harga tiket baharu bermula 1 Julai ini kepada para pengunjungnya setelah lebih tiga bulan ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata ia merupakan satu langkah bagi mempromosikan KECV sebagai pusat perlindungan malah satu tarikan pelancongan di Tasik Kenyir.
"Harga tiket masuk akan dipecahkan kepada dua kategori iaitu warganegara (MyKad) dan bukan warganegara malah harga yang ditawarkan juga jauh lebih rendah dari tempat lain.
"Bagi warganegara harga tiket yang dikenakan hanya RM25 bagi pengunjung yang berumur 13 tahun keatas, dan percuma kepada bagi bayi yang berusia 11 bulan kebawah.
"Manakala bagi bukan warganegara pula pula dikenakan bayaran sebanyak RM50 berbanding RM100 sebelum ini," katanya kepada pemberita di sidang media sempena pengumuman tarikh operasi semula KECV dan kadar tiket baharu di sini, hari ini.
Jelasnya, ia juga akan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjaga keselamatan pengunjung.
"Walaupun terdapat dua aktiviti yang terpaksa dibatalkan iaitu pembentangan pendidikan gajah dan aktiviti menunggang gajah namun pengunjung berpeluang mencuba pengalaman baharu iaitu menyusukan anak gajah dengan bayaran yang cukup rendah.
"Bayaran ini akan disalurkan ke Tabung Pemuliharaan Gajah KECV untuk kos perubatan gajah,"ujarnya lagi.
Tambahnya, KECV juga mengehadkan jumlah pengunjung kepada 400 orang sehari dan mengambil kira penjarakan sosial dan jumlah pengunjung bagi setiap aktiviti.
Ariffin juga berkata industri pelancongan di Terengganu juga akan kembali rancak berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada pengusaha resort dan hotel selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.
"Kita lihat kedatangan pelancong ke pulau-pulau peranginan meningkat terutama pada hujung minggu dan semoga KECV menerima tempias ini,"katanya.
02 Jul 20
2520
TDM Catat Pertumbuhan 3 Peratus Suku Pertama 2020
KUALA TERENGGANU, 30 Jun - TDM Berhad mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak tiga peratus bagi suku pertama 2020 yang berakhir pada 31 Mac 2020.
Pengerusi TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, pertumbuhan itu disumbangkan oleh kedua-dua bahagian Perladangan dan Penjagaan Kesihatan iaitu sebanyak RM107.8 juta, berbanding RM104.7 juta berbanding suku sebelumnya.
"Pada suku pertama tahun ini, perniagaan Perladangan mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi iaitu sebanyak tiga peratus terutamanya disebabkan oleh harga purata minyak sawit mentah (CPO) dan Isirong Sawit (PK) yang lebih tinggi.
"Sementara itu, perniagaan Penjagaan Kesihatan kami terus menunjukkan pendapatan yang lebih tinggi pada suku tersebut dengan kenaikan pendapatan sebanyak tiga peratus yang disumbangkan oleh pendapatan purata yang lebih tinggi bagi setiap pesakit iaitu sebanyak enam peratus kepada RM7,142 berbanding tahun sebelumnya.
"Peningkatan ini juga disumbangkan oleh peningkatan jumlah katil operasi sebanyak dua peratus dan pembukaan Cath Lab sejak Mac 2019," katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Bagaimanapun, tambahnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac 2020, mengakibatkan jumlah pesakit yang lebih rendah ke hospital Kumpulan tersebut.
"Untuk itu, hospital kami telah membuat persediaan dan persiapan yang relevan iaitu menanggung perbelanjaan tambahan untuk alat ujian COVID-19, peralatan perlindungan diri untuk pelapik depan dan barang pakai buang yang lain," katanya.
Menurutnya, Kumpulan optimis dan akan terus memberi tumpuan dalam meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran yang disokong oleh asas-asas jangka panjang.
"Kami amat komited di mana kemampanan dan persijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) telah membolehkan kami menikmati premium yang lebih baik daripada penjualan Forum Pensijilan Mapan Minyak Sawit (CSPO) dan Minyak Tempurung Sawit Lestari Diperakui (CSPK) kami," ujarnya.
02 Jul 20
108
Beri Kelonggaran, Risiko Tanggung Sendiri
KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Kerajaan negeri memberi kelonggaran dengan mengarahkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap penjaja atau peniaga yang beroperasi dalam tempoh yang akan ditentukan kelak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keadaan ekonomi rakyat yang agak terhimpit ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kerajaan memberi kelonggaran sementara.
"Disebabkan kesan PKP, kita ada budi bicara dan untuk sementara ini, kita biar sahajalah rakyat berniaga cari pendapatan yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19, tetapi risiko tanggung sendiri, jangan salahkan kerajaan kalau berlaku apa-apa," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Ramli Abd Rahman.
Dr Alias berkata, penjaja dan peniaga yang beroperasi di persimpangan lampu isyarat dan di bahu-bahu jalan perlu menanggung sendiri risiko sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian tidak diingini.
Katanya, kerajaan kekal dengan pendirian tidak memberi kebenaran kepada penjaja serta peniaga menjalankan aktiviti perniagaan di lokasi-lokasi berkenaan kerana berbahaya kepada pengguna jalan raya dan menyalahi undang-undang jalan raya.
"Kita memang tak benar dan tak bagi lesen untuk penjaja atau peniaga beroperasi di tempat-tempat itu kerana bukan sahaja bahaya kepada peniaga tetapi pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Pada masa sama, Dr Alias berkata, beliau turut melahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah peniaga di negeri ini yang enggan mengambil lesen perniagaan dan lebih selesa beroperasi secara tidak sah.
"Walaupun kerajaan menyediakan banyak kemudahan seperti lesen perniagaan sementara dan lokasi perniagaan, ada juga yang degil kerana tidak mahu melalui prosedur kesihatan dan sebagainya.
"Sikap ini yang menyebabkan kerajaan sentiasa dalam dilema antara isu keselamatan orang ramai dan kebajikan rakyat," katanya.
02 Jul 20
311
Terengganu Negeri Tunggal Bantu Perkaya Sumber Laut Negara
KUALA NERUS, 29 Jun - Sebanyak RM300,000 setahun disumbangkan kerajaan Terengganu untuk program melabuhkan unjam di sepanjang perairan negeri itu, sejak tahun 2018.
Ini menjadikan Terengganu sebagai satu-satunya kerajaan negeri yang menyumbang untuk program memperkaya hasil laut melalui pelabuhan unjam dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri melihat program melabuh unjam sebagai satu usaha penting di samping bantuan-bantuan langsung seperti peralatan kecil nelayan dan sebagainya.
“Walaupun bidang ini di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan, tetapi kita berkerjasama kerana akhirnya yang mendapat manfaat adalah rakyat kita.
“Melalui program ini, kita dapat bantu nelayan dengan memperkayakan sumber kerana antara isu utama yang membelenggu nelayan kita ialah kekurangan sumber di mana sumber laut Terengganu sudah berada pada paras amaran merah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penyerahan unjam kepada myKomuniti Perikanan (myKP) di Pulau Redang, hari ini.
Turut hadir, Timbalannya, Hilmi Harun, Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh.
Hadir sama, Pengarah Veterinar negeri, Dr. Mohd Termizi Ghazali serta pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.
Jelas Dr. Azman, penyerahan itu merupakan simbolik kerajaan bersama komuniti nelayan dalam menguruskan unjam yang dilabuhkan.
“Konsep yang kita buat ialah melabuh unjam secara komuniti, supaya nelayan-nelayan setempat merasakan unjam ini hak mereka dan sama-sama menjaga, serta menjadi mata telinga kita mengawasi keadaan di laut.
“Hari ini kita menyempurnakan program labuh unjam di kawasan Pulau Redang yang merupakan menjadi lokasi pertama bagi tahun 2020,” katanya.
Tambahnya, ia kemudian akan disusuli daerah Dungun (ulangan) dan Kemaman yang merupakan satu-satunya yang masih tidak memiliki pengkalan unjam.
Dalam pada itu, Zawawi menyifatkan kerjasama kerajaan negeri dalam memperkayakan sumber laut Terengganu amat dihargai.
“Program melabuh unjam ini membantu memperkayakan sumber disamping program melabuhkan tukun yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan. Ia lebih murah dan cara ini mula mendapat perhatian negeri-negeri lain.
“Di Marang contohnya, tahun berlaku peningkatan hasil ikan kira-kira 30 peratus selepas unjam dilabuhkan,” katanya.
02 Jul 20
275
Maritim Buat Permohonan Reman Melalui Persidangan Video
KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri melaksanakan kaedah norma baharu dengan mengadakan persidangan video bagi permohonan reman 27 nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengelakan penularan Covid 19.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata ini selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Katanya, kebiasaannya Orang Kena Tahan(OKT) ini akan dihadapkan ke mahkamah tetapi tangkapan ini merupakan tangkapan pertama selepas pendekatan pengusiran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Sebelum persidangan video ini, kesemua tekong dan awak-awak seramai 27 orang ini telah menjalani ujian saringan Covid 19 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengambil masa sekurang-kurang empat jam untuk dapatkan keputusannya.
"Dalam tempoh tersebut, kita tidak akan bawa OKT ke lokap selagi keputusan tidak keluar, sekiranya didapati ada yang postif maka pengasingan akan kita buat dan serah kepada KKM untuk tindakan lanjut,"ujarnya kepada pemberita di sidang media di pejabatnya hari ini.
Tambahnya lagi, para pegawai yang terlibat turut mengamalkan langkah keselamatan dengan memakai penutup muka, menggunakan sarung tangan dan pencuci tangan dalam operasi yang dilakukan sebagaimana saranan KKM.
02 Jul 20
35
Pendapatan TDM Meningkat Tujuh Peratus
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Syarikat milik kerajaan negeri, TDM Berhad mengumumkan peningkatan pendapatan sebanyak tujuh peratus kepada RM425.1 juta bagi tahun 2019 berbanding RM397.9 pada tahun sebelumnya.
Pengerusi TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi tersebut meskipun 2019 adalah tahun yang penuh cabaran termasuk perang perdagangan, ketidaktentuan ekonomi global dan pemulihan harga minyak sawit mentah pada suku berakhir 2019.
“Hasil persembahan pendapatan TDM bagi tahun 2019 di mana ia meningkat sebanyak tujuh peratus dari tahun ke tahun, terutamanya pendapatan di bahagian Penjagaan Kesihatan yang lebih tinggi sebanyak 13 peratus.
“Kumpulan atau TDM mencapai EBITDA yang diselaraskan sebanyak RM63.6 juta berbanding RM35.4 juta pada tahun sebelumnya, di mana bahagian Perladangan menyumbang sebanyak RM47.7 juta.
“Manakala bahagian Penjagaan Kesihatan pula menyumbang sebanyak RM29.2 juta dan diimbangi dengan kerugian dari Investment Holding sebanyak RM13.3 juta,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurut beliau, bahagian Penjagaan Kesihatan mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi sebanyak RM27.2 juta atau 13 peratus daripada RM209.5 juta hingga RM236.7 juta.
“Pertumbuhan ini didorong oleh jumlah pesakit dalam dan pendapatan setiap pesakit yang lebih tinggi di mana masing-masing meningkat sebanyak lapan peritus,” jelasnya.
Sementara itu, pendapatan di bahagian Perladangan tidak berubah iaitu sebanyak RM188.4 juta.
“Bahagian Perladangan kami pula mencatatkan pengeluaran CPO dan PK yang lebih tinggi bagi tahun 2019 berbanding tahun 2018 di mana masing-masing sebanyak 15 dan 13 peratus.
“Walau bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi oleh harga purata CPO dan PK yang lebih rendah iaitu masing-masing sebanyak lapan dan 32 peratus,” tambah beliau.
02 Jul 20
54
Rumah Terbakar, Duit Dalam Surah Yasin Tidak Hangus
Oleh : Aziz Hambali
MARANG, 29 Jun – Sejumlah wang yang diselitkan dalam surah Yasin dan ditempatkan dalam almari di sebuah bilik tidak hangus walaupun rumah yang didiami tiga beranak itu terbakar secara keseluruhannya.
Mangsa kebakaran, Azizah Muda 60, berkata ketika menerima perkhabaran daripada anak yang tinggal bersebelahan kira-kira jam 11.40 pagi itu, dia hanya berfikir, duit raya pemberian anak-anak dan duit kutu itu pastinya hangus.
“Untuk melegakan hati yang sedih dan rasa terkilan, saya perlu bersabar, selain menganggapnya sebagai tiada rezeki tanpa berusaha mencari di lokasi yang menempatkan duit itu.
“Dengan kuasa Allah S.W.T, rezeki saya masih ada, bukan saya duit tidak hangus malah barangan kemas yang diletakkan ditempat sama juga masih elok, tidak terbakar dan perkara itu dimaklumkan oleh pihak Bomba sebaik selesai memandam kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman, di lokasi kejadian di Kg. Baru Rhu Muda, di sini, petang semalam.
Katanya, ketika kejadian, dia bersama anak dan seorang cucu baru saja meninggalkan rumah kira-kira 15 minit untuk ke rumah anak yang tinggal di Kampung Gong Chempedak.
“Saya panjatkan penuh kesyukuran, walaupun barangan berharga lain tidak sempat diselamatkan, masih ada terselit rezeki, selain umur saya, anak dan cucu yang tinggal bersama masih panjang.
“Pada masa sama, mahu mengucapkan pujian dan tahniah kepada Bomba di atas sikap jujur tidak mengambil kesempatan dengan penemuan duit yang belum sempat dimasukkan ke dalam bank,”katanya.
Sementara itu, beberapa agensi terbabit hadir meninjau keadaan rumah sekeluarga dan menghulurkan bantuan segera dari segi kewangan, dan juga barang keperluan asas.
Antaranya adalah Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Marang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Marang dan MAIDAM Marang serta wakil Ahli Parlimen Marang, Cikgu Haron Yusof.
02 Jul 20
156