lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

PN Mula Runding Pembahagian Kerusi Peringkat Awal - Ahmad Samsuri
PN Mula Runding Pembahagian Kerusi Peringkat Awal - Ahmad Samsuri
MARANG, 22 Julai - Gabungan Perikatan Nasional (PN) sudah mula berunding tentang pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang namun ianya baru di peringkat permulaan. Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan perkara tersebut ekoran pertemuan rasmi antara PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diwakilinya di ibu negara semalam. "Ya antara agenda pertemuan semalam adalah pengagihan kerusi di peringkat negeri, bagaimanapun kita belum membincangkan dengan lebih dalam tentang perkara itu. Kita lebih fokus kepada agenda penting iaitu memperkasakan kesatuan dalam PN. "Masing-masing ada 'wishlist' (kehendak) yang perlu diharmonikan. Maka akan ada pertemuan demi pertemuan untuk membincangkan perkembangannya dari masa ke masa," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau menyifatkan pertemuan tersebut sangat positif dan dalam keadaan mesra antara kesemua wakil-wakil parti. Turut mengiringi Ahmad Samsuri, pimpinan utama PAS termasuk Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor serta dua Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Dr Mohd Zuhdi Marzuki. Dalam pertemuan berkenaan, parti UMNO diwakili oleh Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Yaakob manakala Bersatu diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Terdahulu Ahmad Samsuri menyampaikan Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan, Gong Cempedak Mukim Pulau Kerengga DUN Rhu Rendang Daerah Marang di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM) di sini hari ini. Hadir sama dalam majlis itu, isterinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Tengku Seri Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.
22 Jul 20
1165
TDM Mulakan Penanaman Pertama Di Ladang Pelung Terengganu
TDM Mulakan Penanaman Pertama Di Ladang Pelung Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Kumpulan TDM Berhad mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) akan memulakan penanaman pertama secara rasmi tahun ini di Ladang Pelung, di sini. Pengerusi TDM Berhad, YM Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, selepas Ladang Pelung, program penanaman semula yang seterusnya adalah di Ladang Fikri, Jerangau, Pinang Emas, Pelantoh, Tebak dan Jernih dengan jumlah keluasan 1,440 hektar. "TDM optimis dan akan terus memberi tumpuan dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti yang disokong oleh asas-asas jangka panjang. "Kami amat komited di mana kemampanan dan persijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah membolehkan kami menikmati premium yang lebih baik daripada penjualan Minyak Kelapa Sawit Lestari Disahkan (CSPO) dan Minyak Tempurung Sawit Lestari Diperakui (CSPK) kami," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Pada majlis tersebut, beliau telah menandatangani plak sebagai tanda penanaman pertama untuk tahun 2020 menggunakan teknik Sistem Informasi Geografi (GIS) dan Kenderaan Udara tanpa Pemandu (UAV). Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Ahli Lembaga Pengarah TDM Berhad, Mohd Kamaruzaman A Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Behad, Zainal Abidin Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn. Bhd., Mohd Ghozali Yahaya dan juga pengurusan dari bahagian perladangan. Jelasnya, inisiatif itu adalah tindak balas dari Rancangan Penciptaan Nilai (VCP) yang sedang berjalan di bahagian perladangan TDM. "Industri sekarang secara keseluruhan menghadapi cabaran besar seperti kenaikan kos bekalan dan kekurangan tenaga kerja. Kumpulan menyedari cabaran dan berusaha untuk menangani masalah tersebut. "Inovasi ini adalah sebahagian daripada inisiatif kami untuk mengurus kos operasi, mengurangkan kebergantungan pekerja secara manual dan mematuhi amalan dan prosedur pertanian yang baik," ujarnya. Untuk rekod, TDM Berhad diperbadankan pada tahun 1965 yang mana tanaman pertama adalah di Ladang Air Putih, Kemaman. Ladang TDM telah memasuki pusingan penanaman ketiga pada tahun 2012.
22 Jul 20
2299
Kerajaan Dukacita Mural Pemimpin Negara Diconteng
Kerajaan Dukacita Mural Pemimpin Negara Diconteng
Oleh : Azkar Zahidi KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kerajaan menzahirkan rasa dukacita apabila mural yang memaparkan beberapa pemimpin utama negara termasuk Yang di-Pertuan Agong di Taman Cahaya Alam, Shah Alam diconteng baru-baru ini. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim menegaskan, contengan mengandungi kata-kata kesat itu amat tidak wajar dan biadap serta bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang bersopan santun. “Kita haruslah jaga mentaliti kita seiring hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju, rakyat perlu mempunyai mentaliti kelas pertama. Walaupun berlainan parti politik, tidak seharusnya tindakan sebegitu dilakukan. “Kita sepatutnya berbangga kerana negara kita antara negara yang terbaik dalam menangani wabak pandemik COVID-19, bukannya dengan menulis perkara-perkara tidak elok seperti ini," ujar Ahmad Amzad ketika dihubungi pemberita. Menurut beliau, perkara tersebut bertambah serius apabila Sultan Selangor, Sultan Syarafuddin Idris Shah sendiri telah melahirkan rasa murka terhadap insiden terbabit. Dalam masa yang sama, beliau mahu tindakan segera diambil bagi menghukum dua individu yang tidak bertanggungjawab itu. "Saya berharap pesalah dikenakan tindakan yang sewajarnya dan orang ramai dapat mengambil iktibar daripada kejadian yang kurang bermoral seperti ini," tambah beliau.
21 Jul 20
386
Sasaran 20 Ribu Unit RMM Tercapai Menjelang 2022
Sasaran 20 Ribu Unit RMM Tercapai Menjelang 2022
Kerajaan Terengganu optimis akan mencapai sasaran 20,000 unit Rumah Mampu Milik dalam tempoh lima tahun menjelang 2022.
21 Jul 20
192
Penduduk Pulau Redang Terima Sumbangan Musaadah COVID-19
Penduduk Pulau Redang Terima Sumbangan Musaadah COVID-19
KUALA NERUS, 18 Julai - Seramai 100 penduduk Pulau Redang menerima sumbangan bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung akibat pandemik COVID-19 yang melanda hebat seluruh dunia baru-baru ini. Pek barangan keperluan dengan nilai keseluruhan RM100,000 itu disumbangkan melalui kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) dalam program Musa'adah COVID-19 yang dilaksanakan kedua-dua pihak berkenaan di negeri itu. Dr. Zulkifli menyampaikan sumbangan Musa'adah Covid-19 kepada salah seorang penerima di Pulau Redang. Sumbangan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada penerima dalam Majlis Jalinan Mesra sempena lawatan kerjanya di Pulau Redang, Sabtu lalu. Pemangku Ketua Pengarah YaPIEM, Parihah Hassan menyatakan, selain daripada bantuan di Pulau Redang, program Musa'adah Covid-19 turut diadakan di Marang dan Kuala Nerus. "Kita juga turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM26,500 bagi membantu masyarakat di sana dengan kerjasama JAWHAR yang juga menyumbang RM25,000," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan.        
20 Jul 20
248
Terengganu Hargai Usaha Pasukan Ragbi Tamatkan Penantian 37 Tahun
Terengganu Hargai Usaha Pasukan Ragbi Tamatkan Penantian 37 Tahun
KUALA TERENGGANU, 20 Julai -  Kerajaan negeri menghargai usaha Pasukan Ragbi Negeri Terengganu  menamatkan penantian 37 tahun bagi menjulang kejuaraan dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong dengan suntikan sebanyak RM150,000 sebagai penghargaan. Pengerusi Jawarankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah mengulas bahawa beliau memahami betapa besarnya nilai kesabaran dan kerja keras untuk muncul juara dalam kejohanan tertinggi bagi sukan ragbi di negara kita. Wan Sukairi menyampaikan replika cek kepada Yang Dipertua PRNT, Amir Amri Mohamad. "Kesabaran dan kerja kuat dari setiap lapisan warga kerja tidak kira di peringkat Majlis Sukan Negeri mahupun persatuan dan juga atlit – atlit sendiri akhirnya membuahkan hasil. Lebih membanggakan Persatuan Raqgbi Negeri Terengganu (PRNT) turut menyumbang dalam kejayaan skuad 7 sebelah yang sekali lagi merangkul kejuaraan di peringkat kebangsaan tahun lalu setelah mengulangi kejayaan yang sama pada tahun 2017," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Meraikan Kemenangan Skuad Ragbi Piala Agong dan Skuad Ragbi 7 sebelah Sepasukan Kebangsaan Negeri Terengganu Tahun 2019 di Hotel Primula, Sabtu lalu. Tambahnya, kejayaan itu turut menjadikan pasukan tersebut dilantik sebagai ikon Negeri Terengganu oleh Jabatan Pelancongan Terengganu (Tourism Terengganu) sebagai pemangkin kepada Tahun Melawat Terengganu 2020. "Matlamat utama kita semua adalah bagi memartabatkan dan mengharumkan nama negeri kita iaitu Negeri Terengganu Darul Iman dalam bidang sukan secara amnya dan sukan ragbi tempatan secara khususnya sekali gus membawa motto Terengganu, Maju, Berkat, Sejahtera ke peringkat yang lebih dikenali," katanya.    
19 Jul 20
476
Kekal Solat Jumaat Hanya Satu Sesi
Kekal Solat Jumaat Hanya Satu Sesi
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kekal dengan keputusan hanya satu sesi solat Jumaat diadakan, termasuk di Wilayah Persekutuan. Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, berikutan itu, jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dalam ruang yang lebih besar. "Ini termasuk ruang tepi masjid dan kawasan yang sesuai dengan SOP (prosedur operasi standard) penjarakan sosial. Kalau ada khemah yang disediakan oleh pihak masjid jemaah boleh solat di situ dengan bawa sejadah dan patuhi garis panduan yang ditetapkan. "Bagaimanapun ia tertakluk kepada pentadbiran agama negeri. Saya difahamkan setakat ini seluruh negeri menjalankan keputusan satu sesi solat Jumaat sahaja," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Program YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) Peduli : Pasca Musa'adah Covid-19 Warga Nelayan Terengganu di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini hari ini. Melalui program itu, seramai kira-kira 120 orang nelayan yang terjejas pendapatan harian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu menerima sumbangan 'food basket' daripada YADIM. Kesemua mereka turut menerima bantuan berupa sejumlah wang tunai yang disampaikan sendiri oleh Zulkifli termasuk sumbangan berjumlah RM10,000 kepada seorang warga nelayan yang menghadapi musibah kebakaran rumah baru-baru ini. Beliau memuji usaha YADIM menyantuni para nelayan sebagaimana tema YADIM Peduli dan mengharapkan agar bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka, sekurang-kurangnya untuk meneruskan kehidupan dengan sebaiknya. Hadir sama dalam program tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Hilmi Harun, Yang Dipertua (YDP) YADIM, Nasruddin Hassan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang. Nasruddin Hassan. Sementara itu, menurut Nasruddin Hassan, YADIM bertindak sebagai agensi prihatin dan bertanggungjawab menggerakkan aktiviti dakwah bahkan kebajikan. "Itulah hasrat kita untuk meringankan beban mereka. Malah nelayan juga adalah 'frontliner' yang membawa pulang sumber bekalan hasil laut ke tanah besar bagi keperluan 'food security' kepada kita umumnya," ujarnya yang dilantik sebagai YDP yang baharu menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz, baru-baru ini. Untuk rekod, sebanyak kira-kira RM80,000 diperuntukkan YADIM bagi membantu 1,000 nelayan di 10 kawasan di Terengganu.
19 Jul 20
1025
TRDI News, Wajah Baru Penyampaian Maklumat Terengganu
TRDI News, Wajah Baru Penyampaian Maklumat Terengganu
Kerajaan Terengganu melalui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini, melancarkan TRDI News (Terengganu Darul Iman News) sebagai medium terbaharu penyampaian maklumat kerajaan negeri kepada masyarakat.
19 Jul 20
933
MOSTI Tawar Pemula Niaga Bantu Kawal Perairan Negara
MOSTI Tawar Pemula Niaga Bantu Kawal Perairan Negara
Oleh : Fidee Aziz KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengalu-alukan pemula niaga dalam sektor teknologi untuk bekerjasama membantu mengawal perairan negara yang terancam dengan kehadiran nelayan asing. Timbalan Menterinya, Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya membuka ruang kerjasama itu bagi penggunaan teknologi dron atau UAV melalui syarikat startups di bawah MAGIC untuk membantu operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). “Kami mengalu-alukan mana-mana 'Start-Up Technology Company' yang mempunyai kelebihan bidang ini untuk membantu penguatkuasa dalam menjaga perairan negara," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Lawatan Rasmi Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said ke APMM Negeri Terengganu di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah APMM Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dan Pengarah APMM Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli. Selain itu katanya, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) turut menawarkan perkhidmatan pencerapan melalui satelit bagi mengesan lokasi tumpuan berlakunya pencerobohan nelayan asing. Terdahulu, Amzad melakukan tinjauan udara dengan menaiki pesawat Bombardier CI-415 milik APMM di sekitar perairan negara bagi melihat sendiri kaedah penundaan bot nelayan asing ke Pengkalan Maritim Kuala Terengganu.  
18 Jul 20
985
Laksana Penguatkuasaan Terhadap LGBT Bukan Ancaman
Laksana Penguatkuasaan Terhadap LGBT Bukan Ancaman
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri menjelaskan pelaksanaan penguatkuasaan terhadap kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bukan merupakan satu ancaman kepada golongan tersebut. Jelasnya, ia sekadar pemerkasaan dari sudut pelaksanaan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) yang mempunyai penguatkuasaan, pendakwaan dan sebagainya.  "Seperti apa yang sedia ada dalam enakmen-enakmen setiap negeri, boleh dilaksanakan selama mana mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan saya amat tekankan mengenainya. "Sebagaimana kita tengok pihak Polis dan pihak berkuasa lain menjalankan SOP mereka dengan baik, begitulah seharusnya bagi bahagian penguatkuasaan agama di negeri-negeri," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Seminar Murabbi Ummah di Duyong Marina & Resort, hari ini. Tambahnya, kerajaan juga telah menyatakan kesediaan untuk bertemu dan berbincang dengan kumpulan berkenaan bagi memberi kefahaman berkaitan isu berkenaan. "Kita akan ada dialog dan perbincangan dan akan cuba menjelaskan pada mereka hasrat kita selain sedia mendengar penjelasan mereka. "Bukanlah kerja kita nak tangkap setiap orang. Kerja kita ialah melihat setakat mana kesilapan yang kadang-kadang boleh mempengaruhi masyarakat, dari segi norma kehidupan manusia itu sudah dilanggar," katanya. Beliau juga menegaskan akan mengusahakan tindakan sepatutnya kepada sebahagian individu transgender yang dilihat sewenang-wenangnya memberikan pengaruh kepada masyarakat.
18 Jul 20
819