Artikel "Utama" Terkini
Capaian Internet Di Terengganu Akan Dipertingkat - KKMM
KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) komited untuk meningkatkan liputan capaian internet yang optimum, terutama 4G di negeri Terengganu.
Menteri KKMM, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya melalui Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi makmal infrastruktur digital sedang mengkaji kawasan-kawasan yang mempunyai impak kepada ekonomi serta penduduk untuk diberi keutamaan penambahbaikan akses jalur lebar.
“Di sebelah Pantai Timur termasuk Terengganu, kita kena bagi tumpuan lebih, contohnya liputan 4G di Terengganu capaian hanya sekitar 87.7 peratus, 3G pula 95.5 peratus manakala 2G 97.8 peratus.
“Apa yang kita hendak bincang dan akan perhalusi ialah bagaimana kita hendak optimumkan liputan 4G. Itu melibatkan soal pembinaan menara-menara baharu dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjung hormat ke Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan neger, Mohd Nor Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, dan beberapa ketua agensi serta jabatan negeri yang berkaitan.
Mengulas lanjut, Saifuddin memaklumkan, Terengganu kini mempunyai 685 menara telekomunikasi dan ia tidak mencukupi untuk menyediakan liputan terbaik di seluruh negeri.
“Oleh itu, kita memerlukan lebih 400 lagi menara telekomunikasi bagi mengoptimumkan liputan internet di sini, termasuk di pusat-pusat pelancongan dan pulau-pulau peranginan.
“Termasuk yang sedang dibangunkan sekitar 34 menara, semua perkara ini sudah disebut dalam dewan rakyat, namun menjadi kekangan ialah kos yang besar untuk kita laksanakan sekali gus, jadi kita buat berperingkat mengikut keutamaan dan zon,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian juga akan meningkatkan usaha untuk melonjakkan industri nasyid ke peringkat yang lebih tinggi kerana ia merangkumi pelbagai aspek seperti seperti dakwah, pendidikan, produk halal, busana muslimah dan sebagainya.
“Memanglah nasyid itu orang lihat sebagai sebahagian dari muzik, tetapi ia ada dunianya tersendiri yang sangat luas,” katanya.
26 Jul 20
1983
Rentasan Berita @ TVDI 29 Januari 2020
ANTARA PAPARAN MENARIK MINGGU INI
• Tilawah Al-Quran Jadi Acara Tahunan Sejak 1960
• Abdul Hadi, Jannah Johan Qari, Qariah Terengganu
• Anak Pemandu Van Juara Hafazan Al-Quran Terengganu
• Tourism Terengganu-TV AlHijrah Ganding Bahu Promosi Negeri
• DUN Wakaf Mempelam Rancang Program ‘Kampung Ku Syurga Ku’
• RMM Tempinis Perintis Rumah Patuh Syariah Terengganu
• Terengganu Sambut Baik Kunjungan Wakil Uyghur
Studio TV Darul Iman
26 Jul 20
655
Rentasan Berita @ TVDI 22 Januari 2020
ANTARA PAPARAN MENARIK MINGGU INI
• Usahakan Tanah Terbiar Dengan Kaedah Pertanian Fertigasi
• Terengganu Menuju Masyarakat Tanpa Tunai
• Belanja RM30 Guna MyDebit, Dapat Hadiah
• Kerajaan Negeri Sasar RM1.6 Juta Dana 'Terengganu For Yaman'
• Kerajaan Sedia Bantu Adik Zhafran Amsyar
• Virus Influenza, Penduduk Terengganu Perlu Berwaspada
• Pendaftaran Pelajar Baru SMIDI Terengganu Berjalan Lancar
• Kerajaan Negeri Seru Komuniti Bersama-sama Bangun Pelancongan Terengganu
• Penubuhan MPKKP - MPKK Negeri Terus Berfungsi
• Larian Ultron Catat ‘Malaysia Book Of Records’
26 Jul 20
551
Lesen Nelayan Kelas A Dibuka Semula, 800 terima Manfaat
Foto oleh : Hidayah Azlin
DUNGUN, 26 Julai - Seramai 800 nelayan aktif dan tulen di negeri ini bakal menerima manfaat apabila Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) Malaysia melalui Jabatan Perikanan Malaysia akan membuka semula Lesen Nelayan Sampan Zon A (kategori pesisir pantai) dalam masa terdekat.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pemberian lesen vesel nelayan kelas A itu bertujuan memudahkan urusan perlindungan insurans dan elaun sara hidup kerana ramai nelayan terpaksa turun ke laut dengan risiko sendiri.
“Kita melihat bahawa ramai nelayan tulen bukan sahaja di Terengganu tetapi di negeri lain yang tidak mempunyai lesen dan terdapat juga dalam kalangan mereka yang berlesen bukan nelayan tulen.
“Justeru, dalam proses melesenkan nelayan tulen, pihak Jabatan Perikanan Malaysia juga akan melalukan pemutihan terhadap pemegang lesen yang ada sekarang ini.
“Kita akan mewujudkan satu ‘database’ zon A yang melibatkan pemutihan dan pemberian lesen dimana di Negeri Terengganu sendiri lebih 800 nelayan sampan akan menerima manfaatnya,” ujar beliau sempena sesi ‘walkabout’ dan ramah mesra bersama nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.
Sementara itu, Dr Azman berkata, kerajaan negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada MAFI yang memberi perhatian terhadap masalah yang membelenggu nelayan negeri ini.
“Saya berterima kasih kepada pihak MAFI khususnya Jabatan Perikanan Malaysia di atas respon yang sangat positif untuk menyelesaikan isu yang dihadapi nelayan kita yang mana didapati sebagaian besar daripada mereka ada yang ke laut sejak muda sampai ke tua tetapi tidak berlesen.
“Di pihak kerajaan negeri kita melihat isu nelayan sampan atau nelayan zon A yang tiada lesen ini sebagai isu lapuk yang perlu diselesaikan,” ujarnya.
Justeru katanya, kerajaan negeri telah menubuhkan ‘task force’ bersama jabatan berautoriti dan berkaitan termasuk Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu, LKIM Negeri Terengganu dan juga persatuan-persatuan nelayan yang diurusetiakan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah ini.
“Sebelum ini, kita telah buat dua kali mesyuarat dan proses pemutihan di peringkat negeri dan selepas pemutihan akhirnya kita keluarkan sekitar 800 lebih nelayan sampan yang tidak berlesen dan telah diangkat permohonan kepada pihak kementerian,”ujarnya.
Katanya, nelayan yang tidak berlesen terdedah kepada pelbagai risiko diantaranya jika terlibat dengan kemalangan atau bencana di laut tidak ada suatu pelindungan yang boleh melindungi mereka.
“Mereka juga tidak dapat faedah seperti elaun sara hidup nelayan, subsidi minyak dan sebagainya dan yang merugikan negeri kita ialah bila tangkapan dibuat oleh nelayan tidak berlesen bermakna hasil tangkapan mereka tidak direkodkan,” ujarnya.
Katanya, beliau turut dimaklumkan oleh pihak kementerian bahawa Terengganu adalah negeri pertama yang ambil langkah ‘bottom to top’ dengan mengambil inisiatif sendiri cuba menyelesaikan isu ini dengan membawanya kepada peringkat kementerian.
Disamping itu katanya, kerajaan negeri turut menekankan kepada program memperkaya sumber perikanan seiring pemberian lesen kepada nelayan.
Dalam usaha menambahkan bilangan nelayan yang mempunyai lesen, dalam masa yang sama sumber perikanan turut diberi perhatian melalui program melabuhkan tukun dan unjam,” ujarnya.
26 Jul 20
1366
Sanitasi Awam Bakal Diteruskan Bagi Kekang Penularan COVID-19
MARANG, 26 Julai - Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia bakal meneruskan program sanitasi awam dan nyahcemar di seluruh negeri dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 yang semakin meningkat dalam tempoh terdekat.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Sri Dr Ismail Abd Mutalib, berkata walaupun sebelum ini pihaknya telah melakukannya secara menyeluruh ketika bermula wabak pandemik ini namun bagi menghalang peningkatannya, ia akan diteruskan seperti sebelum ini.
“Sebelum ini kita dah buat secara menyeluruh ketika bermulanya wabak ini sehingga pelajar nak balik pun kita buat sanitasi termasuk bas mereka namun apabila keadaan dilonggarkan sedikit , masyarakat mula lalai , COVID-19 mula menular kembali pada hari ini.
“Kita ada bincang mengenainya dan memutuskan akan meneruskan kembali proses sanitasi ini bagi menyekatnya kerana kita tak nak ia menular kembali.
“Jika sanitasi dan nyahkuman ni menjadi salah satu faktor yang boleh menyekat penularannya, kenapa tidak kita teruskan sahaja,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/ 2020 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Dato' Mohammad Hamdan Wahid, Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.
Sementara itu, Dr Ismail juga berkata pihak Bomba juga akan mengambil tindakan segera untuk melakukan proses sanitasi dan nyah kuman terhadap kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah.
Selain itu, katanya, ini termasuklah membimbing pihak sekolah tentang kepakaran untuk proses nyah kuman untuk dilakukan oleh mereka.
26 Jul 20
381
‘Marang River Cruise’ Produk Baharu Pelancongan Terengganu
Oleh : Aziz Hambali
MARANG, 25 Julai - Kerajaan Terengganu menerusi Pejabat Daerah Marang melancarkan produk pelancongan baharu di negeri itu selepas memperkenalkan pakej menelusuri Sungai Marang dari Dataran Batu Putih (DBP) terus ke Pulau Kapas.
Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, inisiatif tersebut pastinya akan merancakkan kembali industri pelancongan domestik sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
"Pakej ini tercetus rentetan hasil sumbangan sebuah bot laju daripada Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd yang menjadi pemangkin yang sangat besar untuk memajukan industri pelancongan berasaskan sungai dan laut ini.
"Produk ini kita akan hebahkan melalui media sosial dan kemungkinan dilancarkan bersempena dengan program Jejak Budaya Marang yang akan berlangsung pada bulan September nanti," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bot oleh Pengerusi Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd, Tengku Sri Temenggong Raja Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muttafi Billah Shah di sini baru-baru ini.
Tun Ahmad Faisal menerima sumbangan bot dari Tengku Sri Temenggong Raja.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman.
Mengulas lanjut mengenai sumbangan bot berkuasa tinggi itu, pihaknya berbesar hati dengan komitmen Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd apabila dimaklumkan akan potensi program menyusuri sungai dan 'floating market' di Marang.
"Penghargaan tidak terhingga kepada Terengganu Silica atas pemberian sebuah bot berkuasa 150 kuasa kuda yang membolehkan program menelusuri Sungai Marang dan terus pergi ke Pulau Kapas terlaksana.
"Uniknya pakej ini para pelancong akan memuduki Sungai Marang daripada DBP sampai di kuala Sungai Marang terus ke Pulau Kapas. Jadi ini adalah satu nilai tambah kepada pakej-pakej pelancongan yang Marang tawarkan.
"Pelancong boleh membuat tempahan dengan operator yang akan kita lantik nanti dan pakej itu merangkumi aktiviti menelusuri sungai, makan pagi di DBP sambil melihat produk-produk di sepanjang sungai Marang.
“Seterusnya ke Pulau Kapas menikmati jamuan tengah hari dan aktiviti di sana seperti snorkelling dan mandi manda sebelum pulang bergerak balik ke Marang sebelah petang itu, sebelum ini pakej-pakej begini diasingkan dengan pakej pulau dan sungai,” jelasnya.
26 Jul 20
4367
Raya Dengan Rumah Baru
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Seramai 18 rakyat Terengganu bersyukur dan teruja dapat meraikan Aidiladha yang bakal menjelang dengan rezeki berganda selepas menerima kunci Rumah Mampu Milik (RMM) secara rasmi daripada kerajaan negeri, semalam.
Seorang penerima, Zaini Harun, 37, dari Teluk Kalong, menyifatkan rezeki tersebut sebagai hadiah yang tidak ternilai baginya kerana impiannya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai.
"Saya terlalu gembira pada hari ini. Tak sangka impian saya dan suami akhirnya menjadi kenyataan," ujarnya ceria.
Penyerahan kunci itu sekali gus menamatkan penantiannya yang telah memohon selama 14 tahun. Zaini dan suami, Muhammad Zakri Zakaria, 37, sebelum ini pernah menumpang rumah orang tuanya dan turut menyewa beberapa buah rumah.
Che Nor Haslida Deraman (kanan).
Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Perumahan Rumah Kos Rendah (RKR) PMINT, Che Nor Haslida Deraman menjelaskan, majlis pengundian lot dan penyerahan kunci RMM kepada 18 penerima itu membabitkan lima kawasan.
"Ia termasuk projek perumahan di kawasan RMM Perasing Jaya (3), RMM Teluk Kalong (4), RMM Batu 7 (3), RMM Paya Lawas (5) dan RMM Bukit Gasing (3)," katanya ketika ditemui pemberita di PMINT, semalam.
Ahmad Waliyuddin Johari (dua dari kiri) menyampaikan kunci rumah kepada penerima dari DUN Bukit Besi.
Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pegawai Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ahmad Waliyuddin Johari yang mewakili Pegawai Penyelarasnya, Haji Ghazali Sulaiman.
Mengulas lanjut, katanya, majlis itu adalah inisiatif kerajaan negeri melalui PMINT untuk memudahkan penerima yang diluluskan mendapatkan kunci rumah secepatnya sebelum hari raya.
"Hari ini hanya majlis ringkas melalui PMINT sebagai pemudah cara kepada 18 penerima ini. Ia disebabkan yang terlibat hanya sebahagian kecil di beberapa kawasan. Sekurangnya mereka dapat menarik nafas lega sebelum Aidiladha.
"Mereka boleh pergi terus ke rumah hari ini. Isikan borang kerosakan jika ada dan laporkan dalam tempoh seminggu," tambahnya.
24 Jul 20
5117
Speaker DUN Terengganu Kunjung Hormat MB Melaka
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali di Seri Negeri di sini baru-baru in .
"Alhamdulillah kunjungan hormat pada petang ini sangat bermakna. Kami berpeluang berbincang berbagai topik dalam usaha mengeratkan kerjasama di antara kami khususnya melibatkan hal ehwal DUN," ujarnya ketika mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri Melaka.
Hadir sama, Presiden Persatuan Anak-Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) Melaka, Dr Azlan Abd Aziz.
Mesyuarat Jawatankuasa Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).
Menurutnya, kunjungan tersebut adalah kali pertama bersempena dengan Mesyuarat Jawatankuasa Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).
"YAB (Yang Amat Berhormat) Ketua Menteri sangat mesra dan saya fikir kita mempunyai ruang yang luas untuk meneruskan kerjasama.
"Insya-Allah saya sudah sampaikan jemputan kepada beliau untuk melawat negeri Terengganu secara rasmi," ujar beliau.
Yahaya menambah, perantau Terengganu juga diharap memberikan kerjasama yang baik kepada Kerajaan Negeri Melaka.
"Yang paling penting adalah di mana pun kita berada, kita mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan masyarakat setempat.
"Kita akan bekerjasama sama ada melalui saluran rasmi kerajaan negeri ataupun melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti PERANTAU," katanya.
23 Jul 20
337
Terengganu Sasar Bina Mini ‘Slipway’ Di Setiap Daerah
Oleh : Hidayah Azlin
SETIU, 22 Julai – Kerajaan Terengganu mensasarkan untuk membina mini ‘slipway’ di setiap daerah bagi memudahkan pembaikian kerosakan kecil bot nelayan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkara itu merupakan satu keperluan yang sangat kritikal untuk nelayan menyelenggara bot tanpa melalui jarak yang jauh.
"Saya melihat keperluan ini perlu bagi setiap daerah supaya kerosakan-kerosakan kecil tidak mengambil masa yang lama. Contohnya kerosakan kipas, ia hanya memerlukan pembaikian dalam beberapa hari sahaja.
"Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman akan menjadi fokus kita khususnya di daerah-daerah yang sebahagian besar terdiri daripada nelayan bot kelas A dan B yang memerlukan khidmat setempat," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas meninjau projek pembinaan rumah sejuk beku dan mini 'slipway' di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang, semalam.
Dr Azman (tengah) melihat keadaan semasa rumah sejuk beku.
Mengulas tentang mini 'slipway' di Jeti LKIM yang menelan kos kira-kira RM50,000 itu, beliau memaklumkan binaan telah siap hampir 90 peratus dan dianggarkan mampu menampung bot dalam lingkungan 30 tan.
"Hanya tinggal untuk pasang ‘wings’ untuk menarik bot, kebanyakkan daripada nelayan Marang sama ada nelayan sampan atau fiber, bot kelas A dan B kecil itu sahaja. Maka, dengan saiz ini kita kira sudah memadai.
"Insya-Allah selepas ini, sasaran kita ialah untuk membina sebuah kilang air batu di sini.
"Sebahagian lagi usaha untuk mempertingkatkan lagi pengeluaran sektor perikanan kita dalam masa yang sama kita tangani isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa," jelasnya.
Tambahnya lagi, projek pembinaan rumah sejuk beku dan mini 'slipway' itu merupakan projek yang pertama dibiayai oleh kerajaan negeri di Malaysia.
Malah, satu-satunya ‘slipway’ yang berada di bawah kerajaan negeri dan ada di daerah Marang kerana di tempat lain dibina oleh pihak swasta.
"Alhamdulillah projek bilik sejuk yang telah dimulakan pembinaannya di sekitar bulan Oktober tahun lepas siap dibina. Ujian operasi telah dibuat dan ia beroperasi dengan baik.
"Ia akan dimanfaatkan oleh nelayan-nelayan Marang dalam kapasiti simpanan kira-kira 10 tan ikan atau hasil laut dalam satu-satu masa," katanya.
22 Jul 20
3992
18 Tahun Tertangguh, Akhirnya 134 Terima Hak Milik Dan Borang 5A Tanah Terkilan Gong Cempedak - MB Terengganu
MARANG, 22 Julai - Seramai kira-kira 134 penduduk Marang menerima suratan hak milik tanah dan notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan Gong Cempedak Mukim Pulau Kerengga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, hari ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah tersebut membabitkan seramai 84 penerima hak milik tanah dan 50 penerima Borang 5A untuk RTB Gong Cempedak setelah proses penyerahan hak milik RTB itu tertangguh hampir 18 tahun lamanya.
"Tanah berkelompok ini adalah tanah terkilan mukim Pulau Kerengga yang telah pun diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada tahun 2002 dan proses penyerahan hak milik RTB ini tertangguh hampir 18 tahun lamanya.
"Alhamdulillah, pada hari yang bersejarah ini, kita telah berjaya merealisasikan janji dan manifesto kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sekali gus mengembalikan tanah-tanah terkilan selepas pemerintahan kerajaan tahun 2004," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmi dan menyampaikan Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis Borang 5A RTB Terkilan, Gong Cempedak Mukim Pulau Kerengga DUN Rhu Rendang Daerah Marang di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), hari ini.
Hadir sama dalam majlis itu, isterinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Tengku Seri Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri turut menjelaskan, kerajaan negeri berusaha memastikan sebarang isu berkaitan dengan hak milik tanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan memudahkan rakyat.
"Kita seboleh-bolehnya akan cuba memastikan yang sebarang isu berkaitan dengan hak milik hartanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan mudah. Akan tetapi, saya juga harap yang tuan-tuan dan puan-puan semua memahami satu perkara.
"Iaitu, semua urusan berkaitan dengan hak milik tanah ini adalah perkara yang memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit. Bukan sahaja di Terengganu, tetapi di mana-mana sahaja di seluruh negara.
"Ia sememangnya memakan masa dan harus diuruskan dengan berhati-hati dan teliti mengikut Kanun Tanah Negara (KTN)," katanya.
Justeru, beliau amat berterima kasih kepada semua permohon yang sentiasa bersabar dan memahami komitmen semua pihak dalam usaha menyelesaikan perkara berkenaan.
22 Jul 20
3741