lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Pencegahan Berterusan, Gerunkan Pelaku Maksiat
Pencegahan Berterusan, Gerunkan Pelaku Maksiat
Oleh : Aslam Wira KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Pencegahan berterusan terhadap aktiviti kurang sopan di kawasan-kawasan tumpuan mendatangkan kesan positif berikutan tiada tangkapan dibuat dalam operasi di Drawbridge semalam. Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Nasaruddin Samsudeng berkata, perubahan baik yang berlaku itu memberi isyarat bahawa orang ramai mula sedar tentang kesalahan jenayah syariah. "Walau bagaimanapun, operasi dan pemantauan secara berterusan akan sentiasa dilakukan bagi membendung aktiviti tidak bermoral di sini. "Sekali gus menjayakan hasrat kerajaan negeri untuk menyifarkan aktiviti tidak sihat dalam masyarakat," tambahnya lagi. Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas melakukan operasi yang dibuat di perkarangan Drawbridge, semalam. Dalam operasi berkenaan, Skuad Amar Wanita turut digerakkan bagi membantu pemantauan. Menurutnya, pendedahan skuad Amar Wanita adalah sebagai pendekatan dakwah kepada kaum ibu terutamanya berkaitan penutupan aurat dengan sempurna mengikut tatacara Islam yang sebenar. "Langkah ini juga untuk menyambut seruan kempen indahnya hidup bersyariat yang sedang berjalan dalam negeri," ujarnya. Seramai 45 orang sukarelawan yang terdiri daripada Skuad Amar, Pegawai Penguatkuasa Syariah dan sukarelawan Syariah Kuala Terengganu serta Kuala Nerus terlibat dalam operasi berkenaan. Operasi yang bermula sekitar jam 8 malam sehingga 1.00 pagi itu merupakan operasi kali kedua yang dijalankan di sekitar Drawbridge.
17 Jul 20
5609
Kerajaan Negeri Suntik RM20,000 Rangsang Aktiviti Tambahan Bagi Zoo Kemaman
Kerajaan Negeri Suntik RM20,000 Rangsang Aktiviti Tambahan Bagi Zoo Kemaman
KEMAMAN, 17 Julai - Kerajaan Terengganu mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Taman Rekreasi & Zoo Kemaman sebagai rangsangan tambahan kepada pusat pelancongan tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, peruntukan berkenaan  bagi membantu penganjuran aktiviti tambahan untuk menarik pengunjung terutamanya aktiviti melibatkan komuniti. Ariffin dan Hanafiah ketika ditemu bual media. "Pelbagai pakej pelancongan menarik dapat diwujudkan sebagai aktiviti tambahan bagi pengunjung zoo contohnya program menyusuri sungai dan mengintai kunang-kunang yang merupakan antara aktiviti yang cukup menarik. "Di samping itu, kita turut menawarkan potongan harga tiket masuk sebanyak 50 peratus sehingga 31 Ogos ini," katanya kepada media sewaktu lawatan kerja sehari ke Taman Rekreasi & Zoo Kemaman, semalam. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat; Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Abdul Rasid Jusoh dan pegawai-pegawai Majlis Perbandaran Kemaman (MPK). Menyusuri sungai antara tarikan unik di Zoo Kemaman. Tambahnya, lokasi itu menerima peningkatan kehadiran pengunjung mendadak selepas dibuka semula, baru-baru ini. "Sekarang ini, kita yakin akan menerima kedatangan pelancong jauh lebih ramai berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Walaupun dalam suasana PKP ini kita tidak dapat jangkakan anggaran yang datang tetapi kami mendapati kehadiran meningkat sekitar 1,000 sehingga 3000 pengunjung sehari pada hujung minggu," katanya. Beliau turut menjelaskan, pihaknya akan berkerja lebih keras dengan melihat kembali perancangan pembangunan zoo Kemaman bagi menyahut usaha mempergiatkan pelancongan domestik khususnya kedatangan pelancong tempatan. Tourism Terengganu turut bertindak memperkasakan lagi promosi pelancongan terutamanya di Zoo Kemaman dengan pelbagai promosi selain memasukkannya dalam pakej pelancongan kolaborasi tiga negeri di pantai timur. "Saya menyeru semua pihak supaya bersama-sama menggerakkan promosi khusus bagi Taman Rekreasi & Zoo Kemaman. "Saya juga mencadangkan kepada ejen pelancongan supaya membantu memperkenalkan Kemaman kerana lokasinya yang berada paling hampir dengan pantai barat memudahkan pelancong luar berkunjung ke sini," katanya.
17 Jul 20
3945
Kerajaan Kukuhkan Semula Industri Start-Up
Kerajaan Kukuhkan Semula Industri Start-Up
Oleh : Ahmad Luqman Kamal KUALA LUMPUR, 16 Julai - Kerajaan Pusat akan membangun serta mengukuhkan semula industri 'start-up' (syarikat pemula teknologi) tempatan bagi memulihkan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19 dengan membuka peluang terutamanya kepada warga belia. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, melalui Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), satu tinjauan telah dilaksanakan untuk memastikan kelestarian perniagaan sepanjang tahun 2020 bagi merancakkan semula inisiatif ini. “Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah bersetuju memberi peruntukan bagi membiayai program pembiayaan Technology Start-Up Funding Relief Facility (TSFRF) dalam usaha membantu syarikat start-up teknologi yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19. “TSFRF ini terbuka kepada semua syarikat start-up teknologi milikan rakyat tempatan atau tenaga kerja majoriti rakyat tempatan atau majoriti pendapatan dijana dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. “Dana RM100 juta untuk TSFRF ini adalah tambahan kepada peruntukan yang telah disalurkan kepada agensi-agensi 'tech-funding' di bawah MOSTI iaitu Malaysia Debt Ventures Bhd, Cradle Fund Sdn Bhd, Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP), Kumpulan Modal Perdana dan Malaysian Technology Development Corporation sebelum ini. "Ia menjadikan keseluruhan peruntukan yang disalurkan kepada syarikat-syarikat start-up dalam bentuk pinjaman, geran, inisiatif pembangunan kapasiti, sokongan operasi, akses kepada pasaran dan lain-lain lagi berjumlah sebanyak RM315 juta,” katanya. Beliau berkata demikian menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. Mengulas lanjut, Amzad berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM100 juta bagi inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). “NTIS dapat memberi manfaat yang besar kepada industri start-up negara dalam mengharungi cabaran ekonomi melalui pendekatan 'sandbox' (pengawalseliaan) untuk mempercepatkan penciptaan. "Dan juga sebagai usaha menyediakan laluan pengkomersialan pantas bagi teknologi serta inovasi merangkumi semua peringkat pembangunan teknologi," katanya. Kerajaan katanya, akan terus melaksanakan inisiatif pembangunan kapasiti melalui agensi di bawah MOSTI bagi menyokong kemampanan start-up secara atas talian serta mengembangkan kerjasama dan penglibatan daripada start-up antarabangsa.
16 Jul 20
629
Pesta Memancing Ikan Bakal Jadi Tarikan Pelancongan Di Tasik Kenyir
Pesta Memancing Ikan Bakal Jadi Tarikan Pelancongan Di Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU, 15 Julai - Pesta Memancing Tasik Kenyir bakal mewarnai satu lagi aktiviti pelancongan negeri Terengganu apabila ianya bakal diadakan menjelang musim monsun nanti. Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dato' Razali Idris berkata, pesta tersebut khusus bagi memberi ruang kepada pelancong yang datang ke Tasik Kenyir untuk mencuba peluang ini. Dato' Razali Idris. "Kita tahu ikan paling banyak berkumpul di tasik pada bulan Oktober, November dan Disember. Jadi selama tiga bulan itu, kita adakan pesta memancing. "Oleh itu, untuk menjayakan pesta ini, kita kena ada pakej pelepasan anak ikan setiap Januari dan antara ikan yang bakal dibiakkan ialah ikan baung, ikan kelah serta sebarau," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Pembentangan Hasil Bengkel Pembangunan Pelancongan Tasik Kenyir Tahun 2020 Anjuran Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir Dengan Kerjasama Ketengah di Pulau Orkid, Tasik Kenyir semalam. Dalam pada itu, Razali berkata, untuk masa terdekat pihaknya akan mengadakan pelepasan 500 ribu anak ikan pada 18 Julai ini yang bakal disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan. "Untuk perancangan seterusnya, kita merancang untuk melakukan pelepasan sejuta anak ikan pada Januari 2021 di dua lokasi utama Tasik Kenyir iaitu Sungai Leban dan Sungai Pertang. "Jika perancangan ini berjaya, kita akan wartakan dua kawasan berkenaan sebagai zon memancing sahaja dan menjadi kawasan larangan untuk memukat atau menggunakan bom bagi menangkap ikan," ujar beliau.    
16 Jul 20
1595
Wujudkan Capaian Telekomunikasi Di Tasik Kenyir Menjelang 2021
Wujudkan Capaian Telekomunikasi Di Tasik Kenyir Menjelang 2021
HULU TERENGGANU, 14 Julai - Lembaga KemajuanTerengganu Tengah (Ketengah) berhasrat supaya Tasik Kenyir mempunyai 70 peratus pembangunan telekomunikasi dan capaian internet  bagi kemudahan pelancong pada tahun 2021. Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi merealisasikan hasrat ini. Dato' Razali Idris. "Hari ini hanya 10 peratus kawasan di Tasik Kenyir yang seluas 36,900 hektar memiliki capaian telekomunikasi dan internet dengan tiga menara telekomunikasi di Tasik Kenyir yang terletak di Pulau Camar, Tanjung Betung dan Pulau Bayas. Ianya belum mencukupi untuk menampung keperluan di kawasan pelancongan utama di sini. “Sistem telekomunikasi di dalam Tasik Kenyir ini penting supaya sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini seperti sesat, pelancong hilang dan kemalangan bot, mereka yang di darat akan tahu dan segera menghantar bantuan.  “Sekarang liputan telekomunikasi di tasik ini sangat lemah. Kalau pergi jauh dalam setengah jam dari Pengkalan Gawi tahap liputan semakin terhad. Kalau jauh ke dalam langsung tidak ada liputan,” katanya kepada pemberita di sidang media sewaktu lawatan kerja beliau bersama media di Tasik Kenyir, semalam. Sehubungan dengan itu, KKMM dimohon untuk mempertimbangkan keperluan ini dalam usaha menambah baik serta meningkatkan kualiti liputan dan capaian internet di tasik buatan terbesar di Asia Tenggara itu. Tambahnya, walaupun agak sukar untuk operator telekomunikasi melabur ke dalam Tasik Kenyir ini disebabkan keluasan, namun kerajaan diminta melihat kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasan ini. Di samping itu juga, beliau turut mencadangkan satu pusat terminal komunikasi diwujudkan di Tasik Kenyir iaitu di Pejabat Ketengah untuk mengesan keberadaan bot-bot di seluruh kawasan tersebut. "Sekiranya penyediaan liputan telekomunikasi di seluruh tasik ini sukar dan memerlukan kos yang sangat tinggi, jadi pusat terminal ini boleh diwujudkan bagi meminimakan kos. “Setiap bot boleh memasang peranti 'wireless' yang boleh berhubung dengan pusat terminal itu supaya kita tahu di mana bot-bot berada dan apa terjadi terhadap bot-bot itu,” katanya.      
16 Jul 20
724
TRDI News, Wajah Baru Penyampaian Maklumat Terengganu
TRDI News, Wajah Baru Penyampaian Maklumat Terengganu
15 Jul 20
182
Ada Apa Pada TRDI
Ada Apa Pada TRDI
  KUALA TERENGGANU, 15 Julai- Aplikasi Terengganu Darul Iman News (TRDI News) dilancarkan hari ini sebagai medium baharu penyampaian maklumat dan penerangan kerajaan Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, pembaharuan yang diusulkan dan diuruskan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) merupakan satu keperluan bagi melihat rakyat ini lebih berdaya maju dan berinformatif setanding atau melebihi negeri-negeri lain. "Objektif kita mewujudkan aplikasi mudah alih ini bagi memudahkan pengguna mengakses maklumat tepat dan terkini daripada kerajaan negeri. Selain itu, ia membolehkan berita-berita terkini disampaikan secara lebih mudah dan membenarkan notifikasi kandungan baharu disampaikan kepada pengguna. "Pelancaran TRDI News hari ini sudah tentu memberikan impak dalam menyebarkan info dan maklumat tentang negeri Terengganu dan semogaaplikasi ini diguna pakai sepenuhnya serta menjadi rujukan utama seluruh rakyat negeri ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Aplikasi Penerangan Terengganu yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini. Aplikasi TRDI News dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan boleh dimuat turun melalui App Store dan Google Play di telefon mudah alih masing-masing. Ia juga boleh dicapai melalui akses laman https://www.trdi.my/ di komputer. Aplikasi terbaharu ini mempertingkatkan penyampaian maklumat oleh UPDI dengan memudahkan pengurusan dalam fungsi 'single entry point' serta memperluaskan penggunaan, pengemaskinian dan pengesahan kandungan menyediakan arkib maklumat dalam pelbagai bentuk antaranya penulisan berita, rencana, video, rangkaian album gambar berkenaan aktiviti dan podcast.      
15 Jul 20
610
Pelaksanaan Penebusan Ganti Cuti Rehat Dikaji Semula
Pelaksanaan Penebusan Ganti Cuti Rehat Dikaji Semula
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Kerajaan memutuskan untuk membuat kajian semula terhadap cadangan pelaksanaan penebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) kepada wang tunai selama 75 hari bagi penjawat awam yang telah berkhidmat selama 15 tahun sebagaimana diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2020. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Dato Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana, mengikut formula berasaskan gaji semasa, perkara tersebut akan merugikan penjawat awam. “Ini adalah kerana formula pengiraan penebusan awal GCR adalah berasaskan kepada gaji semasa penjawat awam.  “Jumlah yang diterima menerusi penebusan awal semasa dalam perkhidmatan adalah jauh lebih rendah berbanding semasa bersara kerana gaji akhir,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Setiu (PN), Shaharizukirnain Abd Kadir berhubung perkara itu. Sebagai contoh, Takiyuddin berkata, pegawai gred M54, sekiranya mereka menebus GCR ini apabila mereka bersara penuh, mereka akan mendapat sejumlah RM55,107.90. “Tapi kalau mereka menebus di dalam masa perkhidmatan dengan mengambil 75 hari, mereka hanya akan mendapat RM15,355.05, kemudian semasa bersara mereka mendapat lagi RM27,553.95. “Jumlah yang kedua-dua mereka dapat RM42,909 sahaja berbanding mereka ambil semasa bersara penuh,” jelasnya. Jumlah pengumpulan GCR maksimum yang berkuat kuasa sekarang adalah sebanyak 150 hari. Selain itu, katanya penebusan awal GCR adalah dikira sebagai pendapatan kasar penggajian dan boleh dikenakan cukai, yang akan mengurangkan lagi jumlah wang diterima penjawat awam berbanding jika dibayar apabila bersara kelak.
15 Jul 20
220
TRDI News, Wajah Baru Penyampaian Maklumat Terengganu
TRDI News, Wajah Baru Penyampaian Maklumat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kerajaan Terengganu melalui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini, melancarkan TRDI News (Terengganu Darul Iman News) sebagai medium terbaharu penyampaian maklumat berkenaan kerajaan negeri kepada masyarakat. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berharap, melalui aplikasi ini kerajaan negeri dapat menyampaikan maklumat secara tersusun kepada rakyat sekali gus menjadi medium komunikasi dua hala antara rakyat dan negeri. "Pandemik COVID-19 yang melanda telah mempercepatkan dunia bergerak ke arah Revolusi Industri Keempat (Revolusi 4.0). Penggunaan 'internet of thing' sebagai contohnya dapat kita lihat digunakan secara meluas saat kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ke hari ini yang mana masyarakat di seluruh dunia telah menjadikan banyak urusan dijalankan secara atas talian.  "Apatah lagi berkaitan maklumat berita dan penerangan, kita sebagai kerajaan bertanggungjawab menyampaikan kepada rakyat yang kini menjadikan platform internet sebagai rujukan utama mereka," katanya dalam ucapan perasmian Pelancaran Aplikasi Penerangan Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, menjadi tuntutan kepada kerajaan dan agensi untuk mengambil inisiatif baharu agar tidak ketinggalan. Portal yang dikenali sebagai Teganukita.net sebelum ini, kini menawarkan maklumat dalam pelbagai bentuk seperti berita, rencana, video, album gambar dalam satu aplikasi yang boleh diakses secara mudah menggunakan sistem android dan IOS.   Mendepani cabaran dalam penyampaian maklumat yang sahih pada masa kini, TRDI News memberikan saluran mudah kepada rakyat negeri itu untuk mengetahui maklumat daripada kerajaan negeri secara sahih dan tepat dalam pelbagai medium dengan hanya satu paparan.        
15 Jul 20
3113
EPIC Cakna & Prihatin Bantu Keluarga Miskin Secara Bersiri
EPIC Cakna & Prihatin Bantu Keluarga Miskin Secara Bersiri
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad memenuhi Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) dalam siri demi siri yang dilaksanakan melalui program EPIC Cakna & Prihatin 2020 untuk membantu keluarga miskin dan kurang berkemampuan di kawasan-kawasan tertumpu di Terengganu. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Saabi Wahab berkata, program tersebut merupakan program tahunan dan siri kali ini mendapat kerjasama Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Sabasun Hyperuncit dan Syarikat Air Terengganu (SATU). Saabi Wahab. "Program ini merupakan aktiviti tahunan EPIC Berhad. Untuk tahun ini kita merancang empat siri, jadi akan ada tiga siri lagi sehingga Disember ini berdasarkan keperluan dan maklumat yang disalurkan. "Yang terdekat dalam jangka masa dua bulan lagi, insya-Allah kita target sama ada di kawasan Hulu Terengganu atau Besut. Hari ini kita agihkan sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM350 dan barangan keperluan kepada 20 keluarga miskin bandar di kawasan Kuala Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas program berkenaan di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, Kuala Terengganu di sini hari ini. Tambah Saabi, Kumpulan EPIC Berhad memperuntukkan bajet untuk program CSR sebanyak kira-kira RM30,000 hingga RM40,000 bagi setiap siri dan kawasan demi membantu keluarga miskin dan kurang berkemampuan. Sementara itu, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed berterima kasih kepada EPIC atas usaha tersebut yang diserikan lagi dengan kehadiran isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman. "Alhamdulillah program pada hari ini sangat berjaya di mana 10 tempat telah dilawati sementara 10 lagi keluarga menerima bantuan di dewan ini. Bagi pihak DUN Bandar, kami sangat berterima kasih di atas penganjuran program ini yang sangat baik dan patut diteruskan. "Walaupun kita berada dalam kawasan bandar, hakikatnya rakyat yang susah bilangannya masih besar. Bagaimanapun, program yang dibuat adalah menjurus kepada usaha menaik taraf kehidupan rakyat di sini di samping bantuan berterusan daripada kerajaan negeri. "Kami amat bertuah EPIC dapat turun ke DUN Bandar hari ini bersama isteri Menteri Besar. Ianya sudah tentulah merupakan satu penghormatan buat kami," ujarnya. Turut hadir, isterinya, Norizah Ngah, ADUN Wanita, Zuraida Md Noor, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said dan Pengurus Perancangan Strategik Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd, Abdul Basir Embong.
15 Jul 20
1423