Artikel "Utama" Terkini
Perutusan Hari Raya Aidiladha 1441H 2020M Menteri Besar Terengganu Darul Iman
Erti Pengorbanan Di Saat Getir
Bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah rahmat-Nya yang tidak terhitung, kita masih lagi diberi peluang meraikan Hari Raya Aidiladha pada tahun yang mencabar ini.
Sambutan Aidiladha tahun ini amat signifikan kepada umat Islam di dunia termasuk di Malaysia apabila berhadapan serangan virus pandemik COVID-19 menuntut pengorbanan di saat yang getir.
Amat menyedihkan bagi umat Islam terpaksa berkorban apabila tidak dapat menunaikan ibadah haji yang menjadi rutin tahunan bagi yang berkemampuan.
Walaupun Malaysia kini di ambang pemulihan, ramai yang masih terkesan akibat kemerosotan sektor tertentu sekali gus menjejaskan sosio-ekonomi rakyat terutama golongan B40 dan sebahagian M40.
Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional bersama Kerajaan Negeri sudah pasti ingin mencari solusi terbaik menyelesaikan isu-isu kelangsungan hidup rakyat sehingga pulih ke tahap yang normal.
Kami sedar, walaupun ada keputusan tidak popular dan tidak digemari, tapi itulah pengorbanan yang terpaksa dilalui demi kebaikan kita bersama.
Ia menuntut pengorbanan semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama dengan sifat kesabaran, semangat perpaduan dan kesatuan untuk mengembalikan kestabilan serta menjamin keselamatan negara.
Apatah lagi umat Islam yang menyambut Aidiladha setiap tahun sepatutnya lebih menghayati erti pengorbanan ini dan digalakkan untuk berkongsi serta membantu antara satu sama lain.
Bermula tahun ini juga, Terengganu telah mengisytiharkan cuti Hari Arafah yang merupakan negeri pertama merintis inisiatif ini agar kita dapat pengajaran melalui sirah Nabi Muhammad SAW.
Selamat pulang ke kampung halaman dan berhati-hati di jalan raya. Saya mewakili Kerajaan Negeri Terengganu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Terengganu.
Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mencurah bakti, masa dan tenaga serta segala pengorbanan selama kita mengharungi saat getir sepanjang tahun ini.
30 Jul 20
1003
Alasan Kemiskinan Bukan Sebab Nilai Pendidikan Menjadi Luntur
Oleh : Azhar Yusof
HULU TERENGGANU, 29 Julai - "Faktor kemiskinan ibu bapa bukan alasan untuk anak-anak tidak menikmati pendidikan sempurna di negeri ini," tegas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim.
Beliau berkata, kemiskinan itu wajar dijadikan cabaran ibu bapa bagi mengubah corak kehidupan masa depan anak-anak melalui pendidikan.
Katanya, ibu bapa juga perlu menjadikan pendidikan sebagai agenda utama dalam keluarga kerana dengan pendidikan sahaja berupaya mengubah nasib keluarga dan keluar dari belenggu kemiskinan.
“Kita harus pastikan semua anak kita yang menuntut ilmu agar mereka menjadi insan berjaya kerana belajar bukan satu prasyarat keperluan sahaja, jangan biar anak-anak kita tercicir dalam pendidikan.
“Jadi tidak ada alasan untuk ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah hanya kerana kemiskinan.
“Harapan kita, ibu bapa perlu berusaha untuk memberi rangsangan kepada anak-anak untuk minat ke sekolah dapat dicapai sekali gus meningkatkan prestasi pembelajaran untuk berjaya dalam bidang pendidikan yang akan mengubah nasib sesebuah keluarga,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas lawatan kerja ke sekolah-sekolah dalam DUN Ajil, di Sekolah Kebangsaan Peroh, hari ini.
Maliaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil turut menggesa guru supaya berkongsi maklumat murid yang dikategorikan sebagai miskin tegar kepadanya agar dapat memastikan bantuan yang sepatutnya diberikan bagi memastikan ibu bapa dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Jelasnya, ia bagi memastikan semua masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar mendapat pembelaan yang berterusan daripada kerajaan.
Tambah Maliaman lagi, kepentingan pendidikan untuk anak-anak perlu disedari oleh ibu bapa bukan sahaja untuk mengubah keluarga malah negara ini.
29 Jul 20
1610
Golden Pharos Rangka Strategi Tangani Impak COVID-19
Golden Pharos Bhd (GBP), Anak syarikat Kerajaan Terengganu merangka tiga strategi utama bagi menangani impak COVID-19 terhadap perniagaan syarikat mereka.
29 Jul 20
141
Ta Win-PMINT Bangun Kawasan Industri Logam Bukan Ferus Pertama Di Asia Tenggara - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Ta Win Holdings Berhad (Ta Win) hari ini mengadakan usaha sama perjanjian dengan kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bagi membangunkan kawasan perindustrian logam bukan ferus pertama di Asia Tenggara (Terengganu Ecocyle).
Majlis memeterai perjanjian antara pengilang terkemuka produk tembaga Malaysia dan PMINT itu disaksikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Ta Win diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulannya, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung manakala PMINT diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Wan Adnan Wan Derahman.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar menyifatkan pemeteraian tersebut merupakan suatu pencapaian yang besar buat kerajaan negeri.
"Kita sangat berbesar hati Ta Win memilih negeri Terengganu bagi projek seumpama ini. Ianya adalah suatu pencapaian yang besar bagi kerajaan negeri terutama dalam keadaan COVID-19 yang belum reda.
"Kerajaan negeri berterima kasih dan sangat mengalu-alukan minat dan kerjasama pelabur-pelabur luar. Dijangkakan sebanyak 7,000 peluang pekerjaan akan dibuka kepada rakyat dalam tempoh sembilan tahun melalui usaha sama Ta Win dan PMINT ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) PMINT Bersama Ta Win di Primula Beach Hotel di sini hari ini.
Hadir sama menyaksikan MoU tersebut, Pengarah Eksekutif Ta Win, Tan Poo Chuan dan Pengarah Bersekutu Ta Win, Dato' Dr Rashdan Salleh.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win Holdings Berhad, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung berkata, Terengganu Ecocycle akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan kira-kira 500 hektar.
"Seluas kira-kira 500 ekar tanah yang terletak di Kawasan Lembah Perasing, Mukim Hulu Jabor, Kemaman, Terengganu Darul Iman akan dibangunkan bagi projek ini. Terengganu Ecocycle akan dikembangkan dalam empat fasa dalam tempoh sembilan tahun, dengan jumlah kos pembangunan yang dianggarkan berjumlah RM2.4 bilion.
"Ia akan merangkumi zon teknologi teras, zon teknologi sub-teras dan sokongan zon teknologi, di mana masing-masing berukuran kira-kira 85 ekar, 250 ekar dan 165 ekar.
"Kami dengan senang hati memulai usaha sama ini dengan Kerajaan Negeri Terengganu. Dengan Terengganu Ecocycle akan menjadi yang pertama seumpamanya di Rantau Asia Tenggara, kita akan dapat mendorong perkembangan industri logam bukan ferus," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Terengganu Ecocycle diilhamkan oleh Projek Eco-Town Kitakyushu Jepun, yang berjaya menggabungkan pemuliharaan alam sekitar, promosi industri dan dasar kesejahteraan masyarakat tempatan, ke arah tujuan negara mewujudkan masyarakat berasaskan kitar semula sumber yang mampan.
29 Jul 20
6595
Kerajaan Negeri Ambil Tindakan 776 Pemilik Tanah Perindustrian Tidak Diusahakan
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap 776 pemilik tanah perindustrian di seluruh Terengganu yang telah dikenal pasti tidak mengusahakan tanah tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, antara tindakan yang bakal dikenakan termasuk merampas kembali tanah tersebut untuk diberikan kepada pengusaha industri yang benar-benar layak.
Menurutnya, sehingga kini pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 776 pemilik tanah yang tidak melakukan sebarang aktiviti perindustrian di tanah milik mereka.
"Melalui Kanun Tanah Negara, kerajaan berhak mengambil balik, atau merampas (tanah), kalau tidak diusahakan dalam tempoh yang telah diberikan.
"Jadi, sekarang kita sedang meneliti untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang gagal untuk mematuhi syarat ini, supaya boleh diberi peluang kepada orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Tengku Hassan menghadiri Majlis Menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Bersama Ta Win Holdings Berhad di Primula Beach Hotel di sini.
Majlis memeterai perjanjian itu adalah untuk memperingati usaha sama bagi pembangunan Terengganu Ecocyle dan disaksikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win Holdings Berhad, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman.
Justeru, beliau mengingatkan kepada pemilik tanah agar mengusahakan industri di tanah milik mereka atau berdepan tindakan dilucutkan hak terhadap pemilikan tanah.
29 Jul 20
6239
Mesin ATM Anak Ikan Beri Manfaat kepada Lebih 10,000 Penduduk
Oleh : Muhammad A Rahman
SETIU, 29 Julai – Kewujudan Mesin Juruwang Automatik (ATM) di Stesen Minyak Petron Kampung Anak Ikan bakal memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk di sekitar kawasan terbabit.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, rata-rata rakyat di kawasan terbabit melahirkan rasa lega apabila tidak perlu lagi bergerak sejauh 15 hingga 20 kilometer untuk melakukan transaksi harian.
“Sebelum ini penduduk dari kampung-kampung sekitar seperti dari Kampung Bintang, Felda Selasih, Kampung Anak Ikan dan Kampung Tok Dor terpaksa ke Pekan Jabi.
“Saya berterima kasih atas kesabaran penduduk setempat yang sudah terlalu lama menanti kehadiran sebuat mesin ATM di kawasan ini,” katanya selepas merasmikan mesin ATM Bank Simpanan Nasional di sini kelmarin.
Menurut beliau lagi, kesukaran yang dihadapi rakyat itu sering diadu kepadanya dalam setiap pertemuan.
“Alhamdulillah, hari ini masalah itu dapat diselesaikan dengan baik, semoga orang ramai dapat memanfaatkan mesin ATM ini,” tambahnya.
29 Jul 20
971
Pelancaran Bulan Kebangsaan, Kibar Jalur Gemilang Penuh Semangat Patriotik
Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Terengganu hari ini berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotik meskipun Malaysia masih dilanda wabak COVID-19.
29 Jul 20
410
KPDNHEP Terengganu Rampas Jam Tangan Casio G-Shock Tiruan
SETIU, 28 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Besut telah menahan seorang lelaki warga tempatan yang disyaki menjual jam tangan tiruan menerusi Ops Jeriji di sebuah premis perniagaan di sini semalam.
Ketua Cawangannya, Azani Ismail berkata, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira jam 12.00 tengah hari itu, sejumlah 125 unit jam tangan yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah jenama Casio G-Shock bernilai RM2,500 telah berjaya dirampas.
"Operasi yang dijalankan adalah susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki jam tangan berkenaan adalah tiruan. Wakilnya turut menyertai serbuan yang dijalankan.
"Mereka berjaya membongkar aktiviti peniaga yang tidak beretika semata-mata untuk mendapatkan keuntungan dengan cara yang mudah sehingga mengabaikan kepentingan pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun telah ditahan di tempat kejadian bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) di bawah akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Mengulas lanjut, kata Azani, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, pihak KPDNHEP Negeri Terengganu menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama dalam pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika yang cuba mengambil keuntungan dengan mudah.
Pihak KPDNHEP Negeri Terengganu mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan maklumat melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
28 Jul 20
3166
Tak Patuh SOP, 111 Premis Makanan Di Terengganu Diarah Tutup
KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Sebanyak 111 premis makanan di negeri ini diarah tutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan ia termasuk 14 premis yang dihentikan operasinya hari ini akibat kesalahan pelanggaran SOP.
Katanya, kesemua kesalahan itu dikesan dalam Operasi Patuh Khas PKPP Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sejak 10 Jun lalu.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, Kemaman adalah paling tinggi apabila merekodkan 47 buah, diikuti Kuala Terengganu (32), Setiu (13), Besut (10), Dungun (8) dan Kuala Nerus (1), penutupan biasanya selama tiga hingga tujuh hari untuk premis terbabit mencukupkan syarat pematuhan SOP.
“Antara kesalahan dilakukan ialah tidak merekodkan butiran pelanggan dan tiada penjarakkan dua meter antara meja pelanggan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika dihubungi hari ini.
Dr Alias.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, tempoh penutupan juga bergantung kepada tahap kebersihan premis.
“Tindakan ini dilakukan di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” jelasnya.
Tambah beliau, sehingga kini pihaknya telah memeriksa sebanyak 3,662 premis makanan serta mengesan sebanyak 115 kesalahan.
“Angka itu mungkin bertambah memandangkan terdapat lagi beberapa daerah yang masih belum dijalankan. Penguatkuasaan akan dilakukan dari masa ke masa bagi memastikan masyarakat mematuhi SOP yang dikeluarkan sepanjang tempoh PKPP yang berakhir 31 Ogos nanti,” katanya.
Tegasnya lagi, Ops pematuhan SOP bukan untuk mencari kesalahan masyarakat tetapi mahu memastikan tahap kepatuhan demi menjamin keselamatan orang ramai.
27 Jul 20
8882
Kerajaan Peruntuk RM270,000 Laksana Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menghargai inisiatif Kerajaan Persekutuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang meluluskan bajet sebanyak RM270,000 bagi pelaksanaan 9 siri kursus asuhan awal kanak-kanak.
Wan Mohd Zaki Wan Abdullah.
Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, pelaksanaan kursus tersebut adalah bertujuan untuk menyediakan pengasuh-pengasuh yang berkelayakan dalam bidang perkembangan awal kanak-kanak secara atas talian (online) terutama di musim penularan COVID-19.
"Kerajaan negeri berterima kasih kepada JKM Negeri dan Malaysia yang memberi kepercayaan dan amanah kepada YPKT sebagai pusat akreaditasi dan pelaksana Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) secara online.
"Kursus Asuhan Dan Didikan Awal KAP merupakan kursus wajib di bawah Akta TASKA 1984 dan peraturan-peraturan TASKA 2012, di mana ia memberi penekanan kepada enam bidang perkembangan utama kanak-kanak di bawah umur empat tahun.
"Modul tersebut diubah suai dan ditambah baik bersesuaian dengan kaedah terkini untuk merangsang pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Objektif utama KAP adalah bagi meningkatkan kualiti pengasuhan kanak-kanak serta meningkatkan profesionalisme para pengasuh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kursus Asuhan Dan Didikan Awal KAP Secara Atas Talian (Online) Melalui Program Insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di Dewan Utama YPKT di sini hari ini.
Simulasi kursus secara online.
Seramai 10 orang peserta dari semua kawasan mendapat pentauliahan sebagai jurulatih dalam majlis tersebut. Turut diadakan simulasi kursus secara online dengan disaksikan oleh Wan Mohd Zaki.
Hadir sama, wakil Pengarah JKM Negeri, Nurul Shahida Md Salleh, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri, Md Hilman Abd Rashid, wakil Pengarah Kesihatan Negeri, Azlina Ngah, Penolong Pengarah Jabatan Korporat dan Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Saiful Bahri Ramli dan wakil Persatuan Pendidik Taska Swasta Negeri Terengganu, Maryana Jusoh.
Sehingga akhir tahun ini, dijangka seramai 300 orang peserta akan menyertai enam siri kursus secara online yang akan diadakan selama tiga bulan bermula 3 Ogos ini dan berakhir awal November nanti.
Zalina Mohd.
Sementara itu, menurut jurulatih kursus, Zalina Mohd, 52, pengasuh yang berkelayakan sangat digalakkan mengikuti kursus tersebut yang memberi pendedahan mendidik untuk meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak.
"Ia sekali gus membantu perkembangan anak-anak sekali gus menyumbang pembentukan modal insan mereka," ujarnya.
27 Jul 20
1141