lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Malaysia Sedia Beli Vaksin Dari China, Russia Atau UK
Malaysia Sedia Beli Vaksin Dari China, Russia Atau UK
Oleh: Ahmad Luqman KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Malaysia bersedia membeli vaksin COVID-19 dari mana-mana negara yang berjaya membangunkan rawatan itu terlebih dahulu termasuk dari China, Russia dan United Kingdom. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, pembelian vaksin akan dilakukan secara pukal dengan proses pembotolannya dibuat di dalam negara sebaik sahaja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menentukan vaksin yang mana akan diguna pakai. "Setakat ini, kementerian melalui perbincangan dengan pelbagai negara, antara lain terbabit dalam Gabungan Inovasi Persediaan Wabak (CEPI) yang mana membolehkan kementerian berhubung rapat dengan kajian dijalankan pelbagai pihak dalam mendapatkan vaksin yang sedang dibangunkan. "Ia membolehkan sekiranya ada mana-mana negara yang mencapai tahap fasa tiga iaitu kajian klinikal selesai dan mendapat kelulusan, serta KKM menentukan yang mana vaksin diterima untuk dipakai di Malaysia, kita akan beli secara pukal dengan proses pembotolan dilakukan di dalam negara," katanya. Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam berhubung soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) sama ada pihak kementerian ada membuat kerjasama strategik dengan negara di rantau ASEAN untuk mendapatkan vaksin mampu milik di negara ini. Ahmad Amzad berkata, kementerian melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menubuhkan National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi membantu negara ketika berdepan cabaran COVID-19. Katanya, melalui NTIS ia berperanan sebagai satu platform yang membolehkan syarikat permulaan (start-up), Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan usahawan berteknologi tinggi menguji produk dan perkhidmatan mereka dalam persekitaran yang sebenar. "Selain itu, agensi di bawah kementerian turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memasang lapan unit 'COVID-19 screening booths' menggunakan teknologi 'nano-coating' nyah-kuman di beberapa hospital dan pusat kesihatan daerah (PPD). "Kita juga menyelaras makmal diagnostik saringan dan pengesahan COVID-19 untuk meningkatkan kapasiti makmal yang terbabit dalam pengesanan virus ini. Sebanyak 10 makmal diagnostik bergerak aktif menjalankan ujian saringan COVID-19 sejak 30 Mac lalu," katanya. Beliau berkata, kerjasama strategik dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membantu KKM melalui Pasukan Khas Saringan COVID-19 yang terdiri daripada saintis pakar dalam bidang virologi, mikrobiologi, biologi molekul dan penyakit berjangkit turut dilaksanakan untuk menjalankan saringan COVID-19. "Juga kerjasama dengan rakan strategik dalam pembangunan beberapa penyelesaian digital untuk kerajaan, contohnya Pusat Maklumat COVID-19 Malaysia (MyC19) bagi penjejakan kontak dan analisis sentimen melalui sistem analisis teks berasaskan kecerdasan buatan (AI)," jelasnya. SUMBER: BERITA HARIAN
05 Aug 20
589
Dr Azman Korban Lembu Sado 3.2 Tan Untuk Penduduk Jabi
Dr Azman Korban Lembu Sado 3.2 Tan Untuk Penduduk Jabi
  SETIU, 4 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menampilkan kelainan pada ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini dengan menyembelih lapan ekor lembu jenis Charolais, Belgian Blue dan Limousine semalam. Apa yang menarik, haiwan korban atau digelar lembu sado itu mempunyai saiz yang besar dengan berat keseluruhan kira-kira 3.2 tan. Dr Azman berkata, ia merupakan program korban yang julung-julung kalinya diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dengan melibatkan skala besar. "Di hari Tasyriq yang terakhir, program Korban Perdana DUN Jabi disempurnakan dengan penyembelihan lapan ekor lembu sado baka bernilai kira-kira RM100,000. "Ia mencukupi untuk dipastikan daging korban ini sampai ke setiap 6,000 buah rumah dalam DUN Jabi, kuantiti daging yang mampu kita agihkan ke setiap rumah tidaklah banyak. Tapi bolehlah sama-sama merasa keenakkan daging lembu sado," katanya. Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita di Program Korban Perdana peringkat DUN Jabi di Dataran Pekan Jabi, di sini. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para petugas yang bertungkus-lumus bermula daripada awal persiapan, proses penyembelihan serta pengagihan ke setiap rumah penduduk. "Kunci kejayaan program yang paling utama ialah semangat kerjasama para petugas dari Pusat Khidmat ADUN Jabi, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jabatan Amal, Jabatan Keselamatan, Pemuda, Muslimat, Ameerah dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu," tambah beliau.
04 Aug 20
1269
THP-YT Kini Rasmi Milik Anak Syarikat TDM Berhad
THP-YT Kini Rasmi Milik Anak Syarikat TDM Berhad
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – THP-YT Plantation Sdn Bhd dari TH Plantation Berhad ('THP') kini telah menjadi salah satu anak syarikat di bawah TDM Berhad pada 1 Ogos 2020 secara rasmi. Pengerusi TDM Berhad, YM Raja Dato’ Haji Idris Raja Kamarudin berkata dibawah Pelan Pembangunan Perniagaan kami ("BDP"), Kumpulan sentiasa mencari aset yang telah dibangunkan dan mempunyai potensi untuk mencapai pendapatan akretif dalam kedua-dua sektor perladangan dan juga kesihatan. “Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan Kumpulan untuk meningkatkan profil umur purata dan mengurangkan turun naik dalam hasil pendapatan.  “TDM meletakkan kedudukan secara strategik untuk terus berdaya saing dalam keadaan pasaran yang sangat mencabar,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam. Tambah beliau lagi, TDM Berhad juga telah mengambil alih pengurusan dan tadbir urus operasi ladang Bukit Bidong seluas 2,594.50 ha yang  terletak berhampiran dengan kilang minyak sawit TDM Sungai Tong. “Pengambilalihan ini akan meningkatkan jumlah kawasan tanaman TDM di Terengganu dari 31,346 hektar kepada 33,653 hektar. Di samping itu, profil usia antara dua hingga sembilan tahun akan meningkatkan profil umur purata tanaman keseluruhan TDM secara positif.  “Ini turut merupakan sebahagian daripada rancangan untuk perluasan perladangan dan meningkatkan keluasan tanaman di Terengganu.Oleh itu, pengambilalihan ini dijangka berupaya mengoptimumkan kapasiti dan kecekapan pemprosesan BTS, dan selanjutnya menurunkan kos pemprosesan di kilang minyak sawit TDM. "TDM yakin bahawa nilai strategik yang bakal diperolehi daripada pemerolehan ini akan di diiterjemahkan ke dalam kecekapan operasi untuk meningkatkan keuntungan dalam jangka masa panjang," kata YM Raja Dato 'Haji Idris. Untuk rekod, anak syarikat milik penuh TDM Berhad iaitu TDM Plantation Sdn Bhd telah ditauliahkan oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada 2013 sebagai syarikat perladangan pertama di Terengganu yang melangkaui amalan piawaian dan diberikan 100 peratus pensijilan RSPO. 
04 Aug 20
1979
Kerajaan Negeri Ambil Tindakan 776 Pemilik Tanah Perindustrian Tidak Diusahakan
Kerajaan Negeri Ambil Tindakan 776 Pemilik Tanah Perindustrian Tidak Diusahakan
Kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap 776 pemilik tanah perindustrian di seluruh Terengganu yang telah dikenal pasti tidak mengusahakan tanah tersebut.
03 Aug 20
98
Korban Perdana Serlahkan Semangat Veteran dan Belia
Korban Perdana Serlahkan Semangat Veteran dan Belia
  Oleh: Ahmad Mawardi HULU TERENGGANU, 2 Ogos -Majlis Korban Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berjaya menyerlahkan semangat perpaduan antara golongan veteran dan belia dalam menjayakan di sini, semalam. ADUN Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, berharap budaya itu akan diteruskan pada masa akan datang dan semua peserta yang terlibat dapat menghayati ibadah korban sebaik-baiknya. “Penglibatan peserta dan petugas menunjukkan bahawa majlis ibadah korban adalah komitmen untuk semua dan ia bukan tugas orang vateran sahaja sebaliknya semua perlu terlibat. “Saya memuji semangat petugas kerana sejak awal pagi sudah mula hadir untuk menjayakan majlis ibadah korban ini. "Malah, saya juga ingin memastikan lebih ramai anak muda dapat belajar dan terlibat untuk ambil alih melakukan ibadah korban pada masa akan datang,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban Perdana 1441H di dataran belakang Kompleks Tarbiah Al-Kawthar Kubang Lembek Manir. Terdahulu, sebanyak 30 ekor lembu dikorbankan pada hari raya pertama dan kedua, manakala tiga ekor lembu sado mendapat perhatian dalam majlis tersebut. Menurut Hilmi, daging-daging korban tersebut diagihkan kepada asnaf terpilih di 22 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Manir masing-masing untuk dinikmati dan dirasa bersama.
02 Aug 20
366
Ibadah Korban Sucikan Jiwa, Erat Silaturahim
Ibadah Korban Sucikan Jiwa, Erat Silaturahim
HULU TERENGGANU, 1 Ogos- Kesediaan kerajaan memperhalusi pelaksanaan ibadah korban wajar dipuji walaupun dalam senario pandemik dan  wajib dipatuhi atas kriteria kepentingan umum yang dibenarkan syarak. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, walaupun dengan ‘kekangan’ prosedur operasi standard (SOP), namun ibadah korban dapat dilaksanakan dengan sempurna demi menghidupkan syiar Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S. "Jika kita benar-benar memahami sejarah berlakunya ibadah korban serta menghayati kisah Habil dan Qabil, maka ia akan mendidik jiwa sosial yang tinggi atau dalam erti kata lain, peka terhadap sosio-ekonomi dalam masyarakat. "Ini kerana ibadah korban memberi impak tinggi terhadap sosial masyarakat dengan mengeratkan hubungan silaturahim antara adik-beradik, jiran tetangga, sahabat handai dan ramai lagi. "Ibadah korban merupakan rahmat Allah SWT kepada manusia tanpa mengira pangkat, darjat, usia dan bangsa,"ujarnya. Menurut Maliaman, korban juga mendidik manusia memberi sesuatu yang terbaik dan bernilai kepada orang yang dikasihinya. "Ibadah korban juga dapat melatih dan mendidik individu Muslim itu untuk bersikap dermawan. "Perkara ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengambil berat masalah yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik,"tambah beliau.
01 Aug 20
496
Korban Lembu ‘Sado’ Jadi Perhatian
Korban Lembu ‘Sado’ Jadi Perhatian
  Oleh : Azhar Yusof HULU TERENGGANU, 1 Ogos -  Seekor lembu baka Charolais seberat 970 kilogram (kg) menjadi perhatian penduduk sekitar  apabila dikorbankan di Ajil sempena sambutan Aidiladha tahun ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, ini kali pertama pihaknya membeli lembu baka ini untuk ibadah korban sejak program korban perdana diadakan kira kira empat tahun lalu. Katanya, lembu baka Charolais bernilai lebih RM15,000 ini dibeli bersama seekor lagi lembu baka Belgian Blue dan 15 ekor lembu baka tempatan dengan peruntukan dari kerajaan negeri untuk diagihkan kepada Unit Daerah  Mengundi (UDM) Ajil. "Proses penyembelihan lembu sado  ini memerlukan tenaga kerja hampir 10 orang dan mengambil masa lebih sejam. "Jumlah daging yang berjaya diperolehi daripada lembu baka ini sebanyak 420 kg berbanding lembu kampung hanya 80 kg hingga 120 kg seekor. “Kta lerakkan sebanyak 600 gram bagi setiap bungkusan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan dan penduduk sekitar,” katanya. Beliau berkata demikian pada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas berakhirnya ibadah menyembelih haiwan korban di perkarangan kediamannya hari ini. Sementara itu, tukang sembelih, Mohd Amirul Ibrahim, berkata, proses penyembelihan lembu ini tidaklah sesukar seperti melihat fizikalnya yang besar. "Cuma proses menumbangkannya memerlukan lebih fizikal manusia dan masa,"ujarnya.
01 Aug 20
4225
Pergolakan Politik Sabah Bukan Perkara Pelik – Abdul Hadi
Pergolakan Politik Sabah Bukan Perkara Pelik – Abdul Hadi
  MARANG, 31 Julai - PAS menyifatkan pergolakan politik di Sabah bukan perkara pelik kerana situasi pertukaran kerajaan yang silih berganti sememangnya cukup sinonim dengan negeri itu sejak dari dahulu.  Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, terpulang kepada rakyat Sabah dan pemimpinnya untuk mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan kemelut perebutan kuasa itu. Bagaimanapun, beliau berharap pergolakan tersebut dapat dikendalikan mengikut peruntukan Perlembagaan dan pendekatan politik yang sihat. “Parti Warisan Sabah (Warisan) bukan parti majoriti semasa penubuhan kerajaan negeri (selepas pilihan raya umum), jadi kedudukannya tidak kukuh dan kalau (kerajaan negeri) jatuh, kita tidak pelik. “Terpulang kepada rakyat Sabah dan pemimpin politiknya jika mahu melakukan pilihan raya, mereka lebih tahu. Sabah sudah ada pengalaman buat Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di Kampung Rusila, di sini hari ini. Pergolakan politik Sabah kian memuncak apabila Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. Krisis di negeri itu mula tercetus apabila bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa mendapat sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan berhak menerajui kerajaan baharu. Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, PAS akan terus mengukuhkan kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) di samping Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN). Ketika ditanya adakah PAS terkejut dengan pendirian UMNO untuk tidak menyertai PN sebagai komponen dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau berkata, terpulang kepada parti itu untuk membuat keputusan. “Terpulang kepada parti masing-masing, tentunya jawatankuasa pimpinan parti itu sudah buat perbincangan.  “Bagi PAS, kita dan UMNO sama-sama bersetuju untuk MN dan dalam masa sama kita akan teruskan dengan PN,” katanya Sumber : Utusan Malaysia
31 Jul 20
5409
YADIM Santuni 100 Asnaf  Di DUN Manir
YADIM Santuni 100 Asnaf  Di DUN Manir
  Oleh: Ahmad Mawardi HULU TERENGGANU, 31 Julai - Seramai 100 orang asnaf yang terkesan dengan penularan Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, menerima sumbangan (food basket) mengandungi barangan keperluan harian daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu, semalam. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, program yang berlandaskan dakwah itu mengajak kepada kebaikan dan kebajikan serta perkongsian rezeki secara bersama-sama. "Ia suatu tugas yang harus dipikul dan bekerjasama dalam menjalankan gerakan dakwah dan membantu masyarakat. "Program bantuan ini adalah tanda sokongan usaha dan keprihatinan agensi-agensi kerajaan kepada golongan asnaf dari usaha tanggungjawab sosial,” katanya. Beliau yang juga ADUN Manir  berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Program Yadim Peduli : Cuci-Cuci dan Musa’adah Pasca Covid-19 Terengganu di Dewan Tuan Guru Harun Taib Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, Kubang Lembik, Manir.  Majlis perasmian dan serta penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.   Turur hadir , Yang Dipertua YADIM,  Ustaz Nasruddin Hassan dan Ketua Pengawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh. Sementara itu, program ini dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan pembahagian peserta sebelum kerja mencuci dan sanitasi dimulakan, seterusnya diakhiri pembahagian bantuan PASCA Covid19 kepada asnaf.
31 Jul 20
243
Sultan Terengganu Solat Sunat Aidiladha Di Masjid Al-Muktafi Billah Shah
Sultan Terengganu Solat Sunat Aidiladha Di Masjid Al-Muktafi Billah Shah
  KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 300 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini, hari ini. Sultan Mizan tiba jam 8.00 pagi dengan berpakaian baju Melayu berwarna ungu muda turut ditemani Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az. Mengiringi baginda bertiga, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato' Osman Muda  Solat sunat Aidiladha hari ini diimamkan Mufti Terengganu, Dato' Dr Zulkifli Muda mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Selesai menunaikan solat sunat Aidiladha, baginda bersama kedua anakanda menziarahi makam diraja yang terletak di kawasan Masjid Al-Muktafi Billah Shah. Terdahulu semua jemaah yang hadir  dilihat mematuhi segala SOP dengan memakai pelitup separuh muka dan membawa sejadah sendiri. Pihak pengurusan masjid juga membuat pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu bagi memastikan hanya jemaah yang sihat sahaja menunaikan solat.  
31 Jul 20
2433