Artikel "Utama" Terkini
Dakwaan Pengusaha Nanas Dihalau Kerajaan Tidak Benar
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kerajaan negeri menghalau pengusaha nanas MD2 di Bujal, Kijal sehingga menyebabkan kerugian RM350,000 adalah tidak benar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemilik tanah termasuk pihaknya tidak pernah mengganggu atau menghalau Sofea Pineapple Farm yang sedang mengusahakan 15 ekar tanaman.
"Sewa tanah pun pemilik tanah tak ambil daripada pengusaha. Malah pengusaha menambah lagi lima ekar keluasan kawasan bertanam menjadikan 20 ekar kesemuanya.
"Kebun nanas tersebut masih ada sampai hari ini. Projek ini dalam kawasan Kijal. Saya pernah menjadi orang tengah bagi mencari titik persepakatan antara tuan tanah dan pengusaha," katanya ketika ucapan penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah DYMM Sultan pada Persidangan DUN Terengganu Penggal Ketiga Kali ke-14 hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mengelakkan pengusaha mengalami kesukaran selepas tuntutan tanah oleh pemilik, Sofea Pineapple telah diberi lot tanah kerajaan secara Lesen Menduduki Sementara (LMS) di belakang SM Imtiaz Kijal.
"Proses bagaimana tanah tersebut dikembalikan kepada tuan yang berhak telah melalui prosedur yang sepatutnya. Tanah tersebut milik Hamdan Ahmad, Geran Pajakan Negeri bernombor 1815 dengan tempoh pajakan selama 30 tahun, seluas 44.2 ha.
"Tempoh pajakan tamat pada 18 Februari 2009. Tahun 2008 lagi Hamdan sudah mengisi Jadual 1 dan angkat permohonan untuk sambung pajakan tetapi tak ada keputusan.
"Malah sebahagian tanah telah diberi milik kepada orang lain. Selepas pertukaran kerajaan Mei 2018, barulah permohonan diproses semula. Urusan permohonan tanah tersebut dua kali masuk Jawatankuasa Tanah Daerah (JKTD) Kemaman sebelum diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan dibuat keputusan," tambah beliau.
Semalam, ketika sesi perbahasan usul perutusan titah Diraja, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato' Seri Dr Ahmad Said turut membangkitkan isu berkenaan dan memohon penjelasan kerajaan.
11 Aug 20
5198
Adakah kerajaan bercadang untuk menambah lagi bentuk bantuan kewangan selepas tamat tempoh PKP ini?
Jawapan : Kita mendapat permintaan tinggi daripada usahawan-usahawan terjejas, pihak kerajaan dan YPU sendiri sedang meneliti untuk menilai permohonan mereka dan kajian impak COVID-19 menjadi indikator untuk dipertimbangkan bagi memberi tambahan jika sekiranya mempunyai kemampuan yang cukup.
11 Aug 20
314
Apakah Perancangan Kerajaan Negeri Terhadap Pembangunan Ekonomi & Kaitan Dengan PITAS?
Apakah sebenarnya perancangan Kerajaan Negeri Terengganu dari segi pembangunan ekonomi negeri, selain pelancaran slogan Maju, Berkat, Sejahtera dan pelancaran Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030?
Jawapan YAB MB :
PITAS 2030 merupakan pelan jangka panjang yang merangkumi semua aspek termasuk sosial dan ekonomi. Ia bermatlamat Terengganu menjadi negeri maju menjelang 2030 dengan perancangan yang lebih menyeluruh dan komprehensif kepada rakyat berpandukan prinsip Islam.
Antara objektif umum yang ingin dicapai ialah meningkatkan peluang pekerjaan dan menghasilkan pendapatan kerajaan negeri yang mampan tanpa bergantung sepenuhnya kepada royalti.
11 Aug 20
541
Kenapa Parkir Diswastakan Sedangkan Kutipan Pada Tahun 2015 RM4 Juta Berbanding RM110 Ribu Sebulan?
YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Bin Said (soalan tambahan) adakah YB sedar kutipan pada tahun 2015 adalah sebanyak RM4 juta untuk MBKT hasil daripada tempat letak kereta ini, berbanding hanya sekitar RM110,000 sebulan jika menggunakan sistem baharu, saya juga mendapat makluman perjanjian belum ditandatangani tetapi kutipan telah dibuat di tempat utama seperti Pasar Payang dan bahu jalan. Dan kenapa syarikat daripada Kelantan yang dipilih?
Jawapan – Proses untuk dikemukakan ‘proposal’ ada enam syarikat, yang mempunyai pengalaman dua syarikat termasuk Vista Summerose. Syarikat daripada Terengganu tiada yang menghantar ‘Proposal’.
11 Aug 20
162
Kadar Pengangguran Di Terengganu Terus Berkurang
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Kadar pengangguran di Terengganu terus berkurang kepada 3.3 peratus pada suku pertama tahun ini iaitu sehingga Mac 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan memperlihatkan kadar pengangguran itu berkurang 0.2 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 2019.
“Pada tahun 2018 kadar penganguran di Terengganu adalah 4.8 peratus, kemudian pada tahun 2019 ia terus menurun kepada 3.5 dan suku pertama tahun ini sebanyak 3.3 peratus.
“Untuk tahun ini, Jabatan Perangkaan telah mengeluarkan data pengangguran untuk suku pertama sahaja, data bagi suku kedua dijangka akan dikeluarkan pada Ogos,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Abd Rahman pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
10 Aug 20
977
Terengganu Tubuh Urus Setia Wanita
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Sebuah jawatankuasa Urus Setia Wanita Terengganu secara rasmi ditubuhkan hari ini oleh kerajaan negeri melalui portfolio Pembangunan Wanita & Keluarga bagi menjaga kedudukan golongan berkenaan seiring dengan hasrat dan kehendak rakyat.
Hanafiah Mat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri memandang serius keperluan urus setia tersebut yang akan berperanan untuk membangunkan peranan wanita dalam institusi masyarakat.
"Alhamdulilllah sebagaimana yang dibentangkan oleh Menteri Besar dalam bajet yang lalu, penubuhan Urus Setia Wanita Terengganu telah dipersetujui kerajaan negeri bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan portfolio wanita khususnya dapat dibuat dengan sebaik mungkin.
"Kita amat berhasrat untuk mendengar bahkan mengangkat suara wanita bagi merealiasikan hala tuju rakyat negeri Terengganu. Buat masa ini pejabat urus setia ini akan beroperasi di TD1303 dengan siri-siri 'roadshow' sedang dirancang dan akan berjalan dari masa ke masa," ujarnya dalam satu kenyataan pada sidang media di Paya Bunga Hotel di sini hari ini.
Zuraida Md Noor.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor menyifatkan, penubuhan urus setia terbabit menunjukkan keseriusan kerajaan negeri terhadap pembangunan wanita seiring Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.
"Saya sangat berbesar hati di atas pencapaian ini dan berterima kasih kepada kepimpinan kerajaan negeri yang prihatin terhadap isu-isu wanita yang perlu diambil berat dan diketengahkan bagi mencapai visi dan misi PITAS 2030.
"Justeru dengan adanya urus setia ini, ianya akan sekali gus membantu peranan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam bekerjasama menyelesaikan isu-isu wanita yang berbangkit," ujarnya.
Urus Setia Wanita Terengganu yang mula beroperasi sejak awal bulan ini, akan diketuai Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din bersama tujuh lagi ahli jawatankuasanya yang telah dilantik.
Mengulas lanjut, menurut Sakinah, urus setia wanita yang dipertanggungjawabkan itu berperanan berdasarkan beberapa teras, antaranya termasuklah pembangunan diri wanita, pemeliharaan hak-hak wanita, penglibatan golongan wanita serta pemerkasaan institusi dan sistem sokongan keluarga.
Turut hadir dalam sidang media tersebut, Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita Pejabat Menteri Besar, Khairiah Mokti.
09 Aug 20
2438
Empat Agenda Dalam Sidang DUN
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Empat agenda penting akan dibawa dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 10 Ogos ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, terdapat dua usul dan dua Rang Undang-Undang yang akan dibentangkan pada persidangan tersebut.
"Dua usul iaitu menjunjung kasih atas titah ucapan Diraja dan berkait dengan penubuhan Kumpulan Wang Amanah.
"Ini sebenarnya lebih kepada soal menjadikan akaun kerajaan negeri lebih cekap supaya dari segi pengurusannya lebih realistik'" ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pengacara konti Manis FM, semalam.
Menurutnya, kerajaan negeri bukan sahaja menekankan soal (cash flow) aliran tunai tetapi mengambil kira dari segi aset dan juga isu-isu yang lain termasuk bidang perakaunan untuk menjadikan akaun kerajaan negeri menjadi lebih cekap.
Selain itu, Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air yang merupakan satu enakmen baru menggantikan enakmen bekalan air sebelum ini juga akan dibentangkan.
"Enakmen ini menjurus kepada bidang kuasa kerajaan negeri yang lebih luas berhubung dengan pengurusan air.
"Sebab itu kerajaan negeri berhasrat daripada enakmen yang bakal diluluskan ini dari segi pengurusan air, penjagaan alam sekitar dan perkara-perkara berkait dengan bagaimana nak menjadikan sumber air di negeri Terengganu ini dapat diuruskan dengan lebih sempurna," ujarnya
Tambah beliau, dari segi jangka panjangnya, kerajaan negeri boleh membangunkan sumber air ini dan memberikan keuntungan.
Sementara itu, isu yang berkait dengan Rang Undang-Undang ialah cadangan pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi kerajaan negeri Terengganu iaitu berhubung dengan had umur calon.
"Kita nak seragamkan apa yang telah diluluskan di peringkat parlimen maka dengan sendirinya kerajaan negeri perlu meluluskan perkara ini sama dengan kerajaan persekutuan had umur calon daripada 21 kepada 18 tahun.
"Kerajaan negeri sangat meraikan hasrat golongan muda bukan sahaja dari segi umur mengundi.
"Kita harap 18 tahun ke atas adalah umur rakyat negeri kita ini menjadi lebih matang," tambah beliau lagi.
08 Aug 20
570
'Home Manager' Kurangkan Masalah Kebergantungan Kepada Pekerja Asing
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kerajaan negeri akan terus memberi sokongan penuh kepada program Kakitangan Pengurus Kediaman (Home Manager) dalam meningkatkan taraf hidup dan pendapatan keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata program itu memberi peluang pekerjaan kepada anak negeri dalam meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kadar pengangguran.
Katanya, ini jelas terbukti apabila terdapat unjuran pertambahan dan permintaan terhadap Home Manager dari tahun ke tahun.
"Terdapat lanjutan permintaan yang tinggi untuk menggunakan khidmat Home Manager ini setiap tahun dan ia merupakan satu perkara yang positif.
"Secara tidak langsung dapat menangani masalah kebergantungan kepada pekerja asing dalam kerjaya ini disamping dapat membantu golongan miskin, belia-beliawanis dan ibu tunggal dalam meningkatkan taraf hidup juga pendapatan keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kakitangan Pengurus Kediaman (Home Manager) Tahun 2019 di Dewan Bangunan Kompleks Ibu Tunggal, Chendering hari ini.
Seramai lima 'Home Manager' menerima anugerah APC yang julung kali diadakan bagi mengiktiraf perkhidmatan serta membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak RM500.
Dalam majlis yang sama, 18 orang kakitangan 'Home Manager' turut menerima Sijil Pelantikan Personal Sistem Dual Nasional (SLDN) sebagai Jurulatih dan Pelatih.
Sementara itu, Zuraida turut melahirkan rasa teruja beliau apabila majoriti peserta 'Home Manager' ini sebahagian besarnya adalah wanita.
"Saya cukup teruja dengan program ini apabila pesertanya adalah ibu tunggal yang mana salah satu hasrat saya, mereka ini berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan.
"Jadi saya lihat program ini adalah platform terbaik untuk mereka menambah pendapatan diri dan keluarga," ujarnya.
08 Aug 20
2254
Peguam Mohon Terengganu Bertindak Segera, Sedia Beri Kerjasama
KUALA NERUS, 6 Ogos- Kerajaan Terengganu perlu bertindak segera menangani dakwaan penyelewangan dalam tuntutan pampasan berhubung projek mega Taman Ilmu di Tembila, Besut.
Itu gesaan yang disuarakan peguam, Dato’ Abu Backer Sidek ketika membentangkan isu berkenaan kepada pihak media di Raia Hotel, hari ini.
Jelasnya, dengan struktur besar yang dimiliki, kerajaan negeri boleh menghalang pihak terbabit daripada membuat tuntutan pampasan kepada kerajaan.
Abu Backer menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
“Saya menyarankan kerajaan negeri untuk membuat kajian semula kehakiman (judicial review) dan penghakiman persetujuan itu boleh dibawa ke mahkamah untuk membatalkan tuntutan tersebut atas alasan ia dicapai dengan cara penipuan dan rasuah.
“Dengan cara itu, kita boleh batalkan penghakiman dan membuang semua tuntutan kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebook TV Darul Iman.
Tambahnya, kerajaan negeri juga berpeluang memperolehi semula wang yang telah diberikan kepada pihak terbabit sebagai pampasan sebanyak RM45 juta sebelum ini.
“Berkenaan RM45 juta yang telah dibayar oleh kerajaan negeri lalu, kita berpeluang mendapatkan sebahagian daripadanya sebab polis boleh bertindak atas pelaburan wang haram (money laundering) dengan bukti-bukti yang ada.
“Penilaian saya, kalau dilakukan kita mampu mendapatkan kembali lebih kurang RM25 juta dan mungkin lebih,” katanya yang turut menyatakan sedia untuk berkerjasama dalam menyelesaikan isu tersebut.
06 Aug 20
3214
MOSTI Terbuka Terima Cadangan Lokasi Baru PDF Lynas
KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sentiasa terbuka untuk menerima apa sahaja pandangan tidak kira daripada kerajaan mahupun pembangkang berhubung lokasi baharu Tapak Pelupusan Kekal (PDF) Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).
Timbalan Menterinya, Ahmad Amzad Hashim berkata, Menteri, Khairy Jamaluddin dan beliau sendiri akan turun melawat kawasan yang dikenal pasti untuk menjadi tapak PDF bagi memindahkan sisa penulenan air larut lesap (WLP) di Pahang.
"Berkaitan isu Lynas yang telah dibangkitkan oleh YB (Yang Berhormat) Kuantan, YB Puan Fuziah Salleh yang berkait dengan lokasi PDF, Menteri dan saya sendiri akan melawat lokasi PDF Lynas secara fizikal sebaik sahaja sidang Parlimen selesai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin memaklumkan, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menilai kesesuaian kawasan lain dalam membangunkan PDF bagi menampung operasi Lynas.
Katanya, beberapa cadangan lain rentetan isu pembangunan tapak PDF Lynas yang diberi 'lampu hijau' untuk dibina dalam kawasan seluas 202.35 hektar di Bukit Ketam itu akan turut diambil kira dan diperhalusi secara lebih lanjut.
Bagaimanapun, katanya, Penilaian Impak Radioaktif (RIA) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) terhadap pembangunan tapak PDF dalam kawasan sedia ada akan tetap diteruskan, sementara menanti penilaian lanjut daripada jawatankuasa khas terbabit.
Penubuhan jawatankuasa bagi menilai kesesuaian tapak lain PDF Lynas itu timbul susulan celahan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) yang membangkitkan risiko pencemaran bekalan air mentah, memandangkan kawasan pelupusan berkenaan bakal dibina dalam zon tadahan air.
Media sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya lima kawasan dikenal pasti untuk menjadi tapak PDF bagi memindahkan sisa WLP di Pahang.
Lima tapak itu antara lain terletak di kawasan bekas lombong emas dan bijih besi masing-masing di Lepar, Luit, Padang Tengku, Bukit Ibam dan Chini.
06 Aug 20
335