lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Harimau Menangis Ditawan Beliawanis
Harimau Menangis Ditawan Beliawanis
Foto oleh : Wan Abdul Hadi KUALA TERENGGANU, 2 September - Beliawanis dari pelbagai daerah dalam negeri Terengganu telah berjaya menawan puncak Bukit Harimau Menangis, Kemasik dalam satu program pendakian sempena Hari Kemerdekaan ke-63. Menurut Pengarah Urus Setia Belia Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT), Nasir Abdul Razak program tersebut merupakan suatu inisiatif yang baik bagi mengumpulkan anak muda dan golongan belia termasuklah beliawanis. Kata beliau lagi, umum mengetahui bahawa program ‘outdoor’ sangat sinonim dengan anak muda yang suka kepada cabaran dan kebebasan. “Penganjuran program ‘Hiking’ Merdeka yang pertama kali dianjurkan ini sekaligus menepati minat mereka yang cenderung kepada aktiviti sukan dan lasak. “Di samping bertujuan untuk mengumpulkan anak muda khususnya wanita yang berminat dengan aktiviti mendaki, program ini secara tidak langsung juga memperkenalkan cara hidup yang sihat dan bermanfaat. “Selain itu, ia juga dapat mengeratkan silaturrahim antara para beliawanis bukan sahaja di Kemasik ini tetapi juga dari seluruh Terengganu,”ujarnya. Nasir berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Program Hiking Beliawanis Merdeka 2020 ini telah disertai oleh 250 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beliawanis, pejabat daerah, pejabat pendidikan daerah dan sekolah-sekolah berdekatan. Program tersebut turut melibatkan wakil pusat khidmat masyarakat (PKM), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Majlis Pewakilan Komuniti Kampung (MPKK), Krew Bukit Harimau Menagis serta rakyat tempatan. “Persatuan Kebajikan Sedia Setia Hawa Terengganu (SETIA) menjadi pendokong kuat kepada penganjuran program ini di samping agensi-agensi lain. “Dan tanpa kita sedar sebenarnya, program seumpama ini dapat mempromosikan tempat rekreasi dan sukan yang menarik di Terengganu,”tambahnya.  
02 Sep 20
596
CCCC Dimohon Mudahkan Syarat Pemberian Kontrak Projek ECRL
CCCC Dimohon Mudahkan Syarat Pemberian Kontrak Projek ECRL
KUALA TERENGGANU, 2 September – Kerajaan negeri memohon China Communications Construction Company Ltd (CCCC) supaya mempertimbangkan syarat pemberian kontrak kepada syarikat tempatan bagi pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pelaksanaan projek ECRL diuruskan CCCC dan RM3 bilion daripada keseluruhan RM7 bilion projek di Terengganu ini adalah untuk syarikat tempatan.  "Walaupun begitu kita sedar untuk syarikat-syarikat kecil sama ada di pihak kerajaan negeri atau syarikat anak-anak negeri Terengganu di luar konsortium sukar untuk mendapat sebarang kerja projek ECRL ini kerana syarat-syaratnya yang ketat. “Kita juga sedar bahawa CCCC mempunyai kaedah pemberian kontrak yang ketat dan juga sukar untuk dipenuhi syarikat tempatan.  “Dalam pada masa yang sama, mereka harus faham dengan keadaan di Malaysia ini di mana keterlibatan syarikat tempatan ini membuka ruang kepada kami untuk terlibat bukan sekadar untuk mendapatkan keuntungan syarikat tetapi juga ‘its a good learning process’ kepada syarikat di Malaysia ini,”ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Pembentukan Konsortium antara Ahmad Zaki Sdn Bhd dengan GPQ Sdn Bhd dan MMC Engineering Sdn Bhd dengan P-Excell Management Sdn Bhd Bagi Projek ECRL di Dewan Gamelan 3, Primula Beach Hotel, di sini hari ini. Katanya lagi,  walaupun pihak CCCC meletakkan syarat yang ketat dan sebagainya tetapi diminta  supaya mereka dapat mempertimbangkan aspek lokaliti di negeri Terengganu. “Syarikat yang berada di Terengganu ini adalah anak tempatan, kami berada di sini, sedangkan projek dilaksanakan orang luar, tentulah kita rasa tidak berpuas hati dengan keadaan itu jadi kita minta CCCC walaupun ada syarat yang ketat tetapi boleh mempertimbangkan dengan konsortium ini untuk mendapatkan projek ini. “Oleh kerana itu, kita membentuk konsortium ini supaya ada kekuatan saling boleh bantu-membantu dan supaya kita dapat ‘push our standard higher’. “Jadi ia akan membuka lebih peluang,  tak kata gerenti akan dapat tetapi  berharap akan memberi ‘advantage’ kepada kita dan boleh menunjukkan seriusnya konsortium ini dan juga kita akan bersama dengan syarikat di negeri terengganu untuk sama-sama membida ECRL,” ujarnya.
02 Sep 20
887
Kerajaan Negeri Pantau Pengusaha Pelancongan Langgar Peraturan
Kerajaan Negeri Pantau Pengusaha Pelancongan Langgar Peraturan
MARANG, 2 September - Kerajaan Terengganu bersikap terbuka dan teliti dalam melakukan pemantauan berkenaan isu keselamatan pengunjung di pusat-pusat peranginan negeri tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) sedia maklum dengan rungutan pengunjung terhadap isu keselamatan dan keselesaan di Pulau Kapas yang berlaku baru-baru ini. "Ini sebenarnya mengejutkan kita kerana sudah ada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kita lancarkan apabila membuka semula pulau-pulau peranginan pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).  Ariffin bersama Dr. Mamad ketika meninjau keadaan di Stesen Solar Pulau Kapas. "Malangnya, ada sebahagian pengusaha mahu untung lebih dan ia menyebabkan pelbagai masalah. Kita menerima maklumat terbaru bahawa SOP yang diperketatkan menyebabkan segelintir pengusaha bot membawa penumpang di jeti kawasan lain. Perkara ini juga dalam pemantauan kita. "Kita telah mengarahkan Tourism Terengganu untuk mengadakan siasatan serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit. Kita tiada tindakan khusus tetapi yang penting, pendidikan terhadap pengusaha akan diteruskan. Jika perlu, kita akan bincangkan hukuman kepada mereka," katanya.  Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tinjauan ke Stesen Solar Hybrid di Pulau Kapas bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Haji Mamad Puteh di sini, semalam. Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim; Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan beberapa wakil dari Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). Tambahnya, pemantauan akan diteruskan dan tindakan akan dibincangkan supaya pihak yang melanggar peraturan keselamatan dan SOP dapat ditangani. "Untuk makluman, setelah negara berada dalam norma baharu iaitu fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kelonggaran ini menyebabkan kenaikan pelancong tempatan ke Terengganu dan antara yang paling terkesan ialah Pulau Kapas kerana lokasinya yang dekat dengan tanah besar. "Kita sedia maklum, ada pelbagai perkara yang dalam proses dan telah diselesaikan pihak berkuasa tempatan, antaranya isu sampah yang akan disesuaikan semula dan tandas yang akan dibina baharu dengan peruntukan yang dah diluluskan. "Nasihat saya kepada pengusaha, pelancongan adalah sektor jangka masa panjang di mana kes-kes sebegini mampu menjejaskan imej industri ini," katanya.    
02 Sep 20
387
Terengganu Sokong Hasrat PM Naikkan Bantuan JKM
Terengganu Sokong Hasrat PM Naikkan Bantuan JKM
KUALA TERENGGANU, 1 September - Kerajaan Terengganu menyokong hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya amat terharu dengan pengumuman itu memandangkan jumlah pemberian bantuan berkenaan pada masa kini dilihat tidak mencukupi. “Saya menyokong penuh cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri untuk menaikkan bantuan JKM termasuk kepada orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal daripada sekitar RM200 hingga RM300 ke RM1,000. “Memandangkan kos kehidupan termasuk harga barangan sangat tinggi maka saya berkeyakinan dengan peningkatan jumlah bantuan bulanan ini akan memberi lebih keselesaan kepada para penerima," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Katanya lagi, kenaikkan itu juga pasti dapat membantu anak-anak penerima untuk meneruskan pembelajaran di sekolah rendah, menengah dan universiti dengan selesa. "Saya yakin dengan bantuan ini mereka dapat mengurangkan beban sara hidup. "Perkara ini sering menjadi rungutan di kalangan mereka di bawah dan mereka memohon supaya bantuan bulanan dapat dinaikkan, bayangkan sebelum ini mereka terpaksa menggunakan sebahagian duit bantuan untuk membayar sewa rumah dan selebihnya membeli barangan keperluan, memang tidak cukup," ujarnya. Kelmarin, Muhyiddin mengusulkan agar bantuan bulanan JKM dinaikkan sehingga RM1,000 kepada mereka yang berkelayakan. Menurutnya, cadangan itu akan dikemukakan oleh beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.
01 Sep 20
3141
Seni Silat Warisan Yang Harus Dipertahankan
Seni Silat Warisan Yang Harus Dipertahankan
  Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Beruntunglah mereka yang mengamalkan dan meneruskan warisan seni silat Melayu kerana ia adalah seni pertahanan diri utama para pahlawan dan pejuang yang membebaskan tanah air daripada penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Speaker Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, silat mesti dipraktikkan setiap orang kerana tokoh para pejuang orang melayu terdahulu  menggunakan seni ini  untuk menuntut hari yang bersejarah ini. “Jadikan peristiwa kemerdekaan ini satu motivasi kepada dunia seni silat dan bagaimana orang terdahulu daripada kita mencapai kemerdekaan sanggup berkorban dengan pengorbanan darah yang mengalir,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra bersama Pesilat SUKMA negeri Terengganu di perkarangan U2, Wisma Darul Iman, pada semalam. Turut hadir ialah Pengarah Majlis Belia Sukan Negeri Terengganu (MBSNT), Ibni Amin Busu, Timbalan Pengawai Kewangan negeri merangkap Jabatan Angkat Silat SUKMA, Zawawi Abd Rahman,  Timbalan Pesaka Mohamad bin Mat Amin, Setiausaha, Fakhrul Azman Abu Bakar dan Bendahari, Ukasyah Hassan. Menurutnya, sukan seni silat  adalah satu pertaruhan besar dan berpotensi serta sudah terbukti dapat melangkau jauh sehingga ke peringkat antarabangsa. “Dengan semangat dan juang yang tinggi kita mampu mencapai serta menggondol pingat emas dan jangan ada dalam diri kita soal takut, rasa diri kerdil dan tidak hebat. “Orang yang berusaha dia akan dapat apa yang dia mahu dan yang penting ialah kita mesti Istiqamah berlatih, ikhlaskan diri, betulkan niat dan jadikan dunia silat sebagai sebahagian dalam hidup kita,” ujar beliau.  Dato’ Yahaya menambah, sukan ini penting kerana ia berkait dengan soal pembangunan dan imej negeri Terengganu. “Kita nak supaya semangat yang ada pada atlet menjadi menjadi pencetus kejayaan yang cemerlang dalam sukan SUKMA. Ini adalah peluang untuk laksanakan tanggungjawab ini dengan suatu rekod yang cemerlang. “Terus belajar dan sentiasa bersedia pada bila-bila masa dalam mencapai misi serta kejayaan dalam sukan silat SUKMA yang menjadi kebanggaan. Kita tidak boleh capai cita-cita kalau tidak berusaha dan tidak boleh capai lebih banyak pingat sekiranya tidak gigih berlatih tingkatkan kemahiran” katanya. Justeru itu, beliau berharap agar para atlet silat mendisiplinkan diri dengan berlatih bersungguh-sungguh, ikhlaskan hati bukan kerana untuk mendapat inisiatif tetapi tanamkan dalam diri ia adalah satu amanah kepada diri masing-masing. “Sekarang ini saya nampak imej orang luar kepada negeri Terengganu tinggi dan tidak pandang remeh serta selalu disebut bahawa Terengganu adalah negeri yang berpotensi. “Dan banyak menjadi juara dalam sukan SUKMA serta seni silat adalah salah satu penyumbang dalam mencapai tahap tersebut,” tambah Dato’ Yahaya.
01 Sep 20
791
ECRL: Batu Tujuh Dungun Bakal Miliki Dua Stesen Kereta Api
ECRL: Batu Tujuh Dungun Bakal Miliki Dua Stesen Kereta Api
DUNGUN, 1 September - Dua stesen kereta api Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal dibina di Batu Tujuh merupakan cadangan kerajaan negeri melalui portfolio Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau. Pengerusinya, Dr Mamad Puteh berkata dua stesen tersebut adalah kereta api penumpang dan kargo yang kedudukannya bersebelahan antara satu sama lain. "Laluan atau jajaran jalan raya yang masuk ke stesen kereta api, satu perbincangan bersama diadakan dengan wakil Pejabat Tanah dan Daerah Dungun, Majlis Daerah Dungun, Jabatan Kerja Negeri, JKPTG negeri bersama kakitangan atau staf konsultan dari CCCC dan MRL," katanya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas lawatan kerja tapak cadangan ECRL Dungun di Pejabat Pengurusan Projek CCCC, ECRL, Kawasan Perindustrian Batu 7, Sura, Dungun. Menurut Dr Mamad, pihaknya telah melakarkan pengambilan tanah dan cadangan untuk membina jajaran jalan raya yang dimaksudkan. "Kita dah ambil persetujuan dan telah lakarkan pengambilan tanah dan cadangan untuk bina jalan R5 iaitu 40 meter lebar. R5 ini bermakna jalan yang kita rasa dah cukup untuk kita memenuhi laluan di masa hadapan. "Dari jalan besar ke Paka dan Dungun kita ada satu laluan masuk terus ke kereta api dan disana hampir dengan laluan terus ke Che Lijah. "Ia akan melibatkan sedikit pengambilan tanah dan kita cadangkan pengambilan ini di bawah kerajaan pusat kerana ia merupakan jalan persekutuan," jelasnya.  
01 Sep 20
10767
Terengganu Rai Kejayaan Pelumba Cilik Saingan SIC MiniGP
Terengganu Rai Kejayaan Pelumba Cilik Saingan SIC MiniGP
KUALA TERENGGANU, 1 September - Kerajaan negeri berbesar hati dengan kejayaan mengujakan oleh tiga pelumba cilik yang 'menawan' Pusingan 1 Kejohanan SIC MiniGP 2020 yang berlangsung di Litar Kart Antarabangsa Sepang (SIKC), baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dua pelumba cilik dari Terengganu, Qabil Irfan Azlan dan Muhammad Hakim Danish Ramli memberikan harapan apabila kedua-duanya memenangi perlumbaan dalam kelas tersendiri. Pelumba termuda dalam saingan, Qabil yang berusia lapan tahun memenangi kedua-dua perlumbaan dalam kelas 110cc manakala rakan senegeri, Hakim, 13, mengikuti jejak sama dalam kelas lebih tinggi, 160cc. Qabil melengkapkan 15 pusingan Perlumbaan 1 dengan catatan keseluruhan terpantas, 15 minit 39.347 saat (s) sebelum mengulangi kejayaan sama pada Perlumbaan 2, menemui garisan penamat dengan 15:20.696s. Hakim pula mencatatkan catatan keseluruhan terpantas Perlumbaan 1 dengan 14:44.554s sebelum melakukan catatan yang lebih baik pada Perlumbaan 2, 14:16.463s sekali gus memberi bayangan mampu menguasai Pusingan 2 yang dijadual berlangsung di litar sama, 6 September ini. Sementara itu, Adam Danial Abdul Fattah selesa di tempat ketiga dalam kelas 110cc dengan catatan keseluruhan, 15:36.061s pada Perlumbaan 2 di belakang pelumba cilik dari Johor, Arif Anaqi. Mengulas mengenai kejayaan ketiga-tiga pelumba cilik tersebut, ujar Wan Sukairi, beliau amat berbangga dengan pencapaian anak-anak Terengganu dalam kejohanan sulung itu. "Hari ini kita raikan adik Qabil Irfan, Hakim Danish dan Adam Danial bersama keluarga mereka dalam jamuan makan tengah hari. Dalam usia yang begitu muda, mereka sudah mampu mencungkil bakat yang dimiliki. "Kerajaan negeri berbesar hati menghadiahkan helmet yang ditempah khas untuk mereka pakai ketika perlumbaan berserta sijil penghargaan. Kita juga akan mempertimbangkan projek pembangunan khas untuk adik-adik cilik ini," katanya kepada pemberita pada majlis meraikan ketiga-tiga pelumba Kejohanan SIC MiniGP itu di Paya Bunga Hotel (PB Hotel) di sini hari ini. Hadir sama dalam majlis itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu, Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razak. Untuk rekod, Kejohanan SIC MiniGP adalah sebahagian daripada MAM SpeedWeek yang akan berlangsung sebanyak lima pusingan di SIKC sehingga Disember membabitkan 21 peserta muda daripada lingkungan umur lapan hingga 13 tahun berentap merebut gelaran. Inisiatif dilakukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan kerjasama ZK Racing kendalian ikon dua roda negara, Zulfahmi Khairuddin ini menggunakan jentera BucciMoto BR-10 GP yang berkapasiti 110cc dan 160cc. Kejohanan ini juga menjadi platform asas untuk peserta membuktikan kemampuan mereka sebelum diberikan peluang menyertai saingan lebih tinggi seperti Asia Talent Cup, European Talent Cup, Kejuaraan CEV di Eropah dan seterusnya ke perlumbaan berprestij, Kejuaraan Motosikal Dunia.
01 Sep 20
1072
Cara Dakwah Perlu Seiring Perkembangan Semasa
Cara Dakwah Perlu Seiring Perkembangan Semasa
KUALA TERENGGANU, 1 September - Usaha dakwah  memerlukan ilmu, pendekatan yang lebih terkesan dan paling penting tanamkan keikhlasan dalam diri setiap individu agar ia menjadi wahana dalam penyemarakkan usaha dakwah secara keseluruhannya. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata ramai orang boleh berkata-kata tapi hanya sedikit yang boleh turun ke lapangan untuk berdakwah kepada pelbagai golongan masyarakat. “Ramai sasaran dakwah  pada hari ini terdiri dari  pelbagai golongan masyarakat dan sememangnya sangat sulit untuk sampai kepada mereka malah memerlukan cara berbagai bagai dalam menyampaikannya. “Ia juga sangat sukar pada masa sekarang untuk temui orang yang sanggup turun ke bawah untuk menyampaikan dakwah tersebut,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Semarak Dakwah 2020  ' Islam Itu Indah ' Negeri Terengganu Sempena Ambang Merdeka di Pantai Batu Buruk, di sini semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang dan Pengarah Akademi DUAT ,Ramlan Mahmood.  Mohd Nor juga berkata ummah yang paling baik adalah mereka yang mengerjakan kerja dakwah yang mudah disebut tapi sukar untuk dilaksanakan. “Walaupun Islam itu indah, ia tidak akan sampai ke manusia jika tiada orang bersedia mengikut sunnah Nabi SAW untuk menyampaikan agama ini. “Maka pendakwah mainkan peranan penting dalam menyampaikan dakwah terutamanya menyantuni generasi muda dengan kaedah komunikasi yang santai dan berkesan,”katanya.  
01 Sep 20
552
Merdeka, Bukan Sekadar Bebas dari Penjajah
Merdeka, Bukan Sekadar Bebas dari Penjajah
    KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Kemerdekaan  yang dikecapi hari ini merakamkan pahit getir usaha pejuang terdahulu dan semua pihak perlu mengambil peluang dan ruang untuk bersama-sama menghayati erti sebenar kemerdekaan supaya cara pemikiran yang tidak lagi terkongkong dek belenggu rantai ideologi songsang yang dibawa oleh penjajah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata tempoh 63 tahun kemerdekaan negara merupakan satu tempoh yang panjang, mengisarkan bagaimana sesuatu bangsa bangkit dari hanya merangkak, kini telah mampu berdiri gagah dan akhirnya memerintah negara dengan kaki sendiri. Katanya, kemerdekaan yang dikecapi bukan bermakna bebas daripada penjajah semata-mata, malah mencakupi definisi yang cukup luas sama ada dari segi mental, fizikal dan spiritual. “Justeru setelah 63 tahun kita merdeka, maka seharusnya seluruh warganegara tanpa mengira agama dan bangsa memiliki jiwa Malaysia yang mencintai negara setulus hati. Berfikir sebagai rakyat Malaysia yang tidak cenderung kepada gaya hidup dan pemikiran penjajah. “Semestinya bukan satu kesalahan untuk menceduk ilmu dan nilai-nilai baik daripada mereka yang pernah menjajah negara kita, namun janganlah yang diambil itu perkara-perkara yang bertentangan dengan agama dan nilai yang kita pegang, apatah lagi mencemar addin serta identiti ketimuran. “Dengan itu semoga kita akan lebih memahami betapa mengecap nikmat dengan sebaris kata MERDEKA itu bukanlah mudah, namun tukarannya adalah air mata dan darah para pejuang terdahulu termasuklah golongan ulama', cendiakawan, ilmuan dan orang-orang biasa berjiwa pahlawan,”ujar beliau  melalui hantaran media sosialnya, bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-63, hari ini. Beliau turut mengimbas kembali sejarah di saat awal negara mencapai kemerdekaan, dimana memerlukan kompromi tiga kaum berbeza untuk berjiwa besar menerima Islam sebagai agama rasmi, hak-hak istimewa bangsa Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu serta Bahasa Melayu terlindung di bawah payung Perlembagaan Persekutuan. Tambah Zuraida lagi, pada ketika itu bangsa Melayu pula bertolak ansur untuk menerima bangsa-bangsa lain hidup aman dan damai serta mencari rezeki dengan pengiktirafan tinggi sebagai warganegara, berbeza dengan situasi Myanmar dan Brunei. Justeru itu, Zuraida yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya anak-anak muda supaya mengkaji sejarah kemerdekaan negara dengan lebih mendalam, tidak terhad sekadar pengetahuan sejarah yang dipelajari di bangku sekolah. Beliau turut mengingatkan supaya rakyat sentiasa bersyukur kepada Allah, yang telah mengurniakan kemerdekaan, kestabilan dan keamanan kepada Negara Malaysia.    
31 Aug 20
1816
Permodenan Perikanan Mampu Tingkatkan Kerjaya Nelayan
Permodenan Perikanan Mampu Tingkatkan Kerjaya Nelayan
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos- Kerjaya nelayan perlu dijenamakan semula sebagai kerjaya yang menjanjikan sumber kekayaan negara. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, sudah sampai masanya kerjaya itu ditingkatkan melalui permodenan teknologi perikanan. "Kita di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dipertanggungjawabkan antara lain untuk membantu supaya dapat membawa kembali hasil perikanan kita dengan cara memperkenalkan permodenan teknologi perikanan baru yang secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai rakyat kita ke laut. "Masalah utama berhubung dengan stigma, di mana ke laut dianggap miskin. Jadi, sudah sampai masanya dijenamakan sebagai kerjaya yang menarik minat golongan muda.  "Di luar negara, nelayan merupakan kerjaya yang menjanjikan kekayaan. Malah, di negara-negara berkenaan ia dijadikan kerjaya yang menarik melalui rancangan-rancangan televisyen. Industri ini perlu diperkenalkan dengan metodologi perikanan serta kaedah yang mendatangkan lebih banyak hasil," katanya. Ahmad Amzad. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pameran Maritim Malaysia bersama Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som di galeri Skybridge, jambatan angkat Terengganu (drawbridge) di sini malam tadi. Turut hadir, Pengerusi TI Properties Sdn. Bhd., Maliaman Kassim; Pengerusi dan Pengarah TI Properties Sdn. Bhd., Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak. Tambahnya, pelbagai agensi dan institusi telah menjalankan kajian-kajian hasil perikanan supaya meningkat. "MOSTI juga telah membentuk satu jawatankuasa khas untuk mengkaji permodenan ini yang melibatkan agensi seperti Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), MTEC- Micratesh Malaysia Sdn. Bhd. untuk mengenal pasti masalah dari segi modal dan sebagainya. "Kita turut melibatkan kementerian pertanian dan kementerian kewangan dari segi pembiayaan," katanya. Jelasnya, negara kehilangan hasil perikanan antara RM5 ke 6 bilion setahun dari segi hasil akibat pencerobohan nelayan asing dan kekurangan nelayan tempatan di perairan negara.  
31 Aug 20
574