lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Abdul Hadi Serah Kertas Cadangan Pemulihan Ekonomi Kepada Menteri Kewangan
Abdul Hadi Serah Kertas Cadangan Pemulihan Ekonomi Kepada Menteri Kewangan
MARANG, 6 September - Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan kertas cadangan langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan bagi memulihkan ekonomi pasca COVID-19 khususnya melalui peluang kerjasama dengan negara-negara Islam di rantau Timur Tengah. Kertas cadangan yang mengandungi syor dan saranan tersebut diserahkan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Perkara itu dikongsikan Abdul Hadi yang juga Presiden PAS dalam catatan terbaharu di Facebooknya ketika menerima kunjungan Tengku Zafrul di Kampung Rusila di sini, petang semalam. “Saya berbesar hati atas kesudian Yang Berhormat Menteri Kewangan untuk berkunjung ke Kampung Rusila, Marang, dalam kepadatan jadual lawatan beliau ke Terengganu. “Kami turut berbincang mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat dan pembangunan di kawasan luar bandar yang sinonim dengan aktiviti pertanian, perikanan, pelancongan dan industri desa,” katanya dalam laman Facebook di sini. Dalam pertemuan itu, Abdul Hadi turut membawa Tengku Zafrul meninjau ruang solat di Masjid Rusila di samping berkongsi sejarah masjid yang diasaskan oleh moyangnya sejak lebih 100 tahun lalu dan penubuhan Maahad Darul Quran, yang dibina dengan dana waqaf dan sumbangan penduduk kampung.
06 Sep 20
2649
TGV Mesra Mall, Laksanakan Tempat Duduk Asing Bagi Lelaki Dan Perempuan Bermula 3 September
TGV Mesra Mall, Laksanakan Tempat Duduk Asing Bagi Lelaki Dan Perempuan Bermula 3 September
  KUALA TERENGGANU, 5 September - Pawagam TGV Mesra Mall di Kemaman menjadi pawagam kedua selepas Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang melaksanakan zon pengasingan tempat duduk mengikut jantina bukan mahram dan keluarga. Pengasingan ini bermula 3 September 2020 dan berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan. Perkara itu dikongsikan pemilik rangkaian pawagam di Malaysia itu melalui status yang dimuat naik di laman Facebook rasminya baru-baru ini. Menurut kenyataan tersebut, peraturan pengasingan itu dibuat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK). “Pelaksanaan ini hanya akan dikuatkuasakan di lokasi ini sahaja, kami berharap anda dapat mematuhi segala syarat-syarat dan kerjasama anda amat dihargai,” katanya dalam hantaran itu. Dalam masa yang sama, TGV Cinemas masih mengamalkan SOP yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan seperti penjarakan fizikal dengan jarak satu kerusi. Berdasarkan garis panduan itu, penonton beragama Islam yang bukan suami isteri atau adik-beradik tidak dibenarkan duduk bersebelahan. Kedudukan penonton diasingkan mengikut indikasi warna dengan zon wanita berwarna merah jambu, zon lelaki (biru) manakala zon keluarga yang meliputi pasangan suami isteri atau mahram (kuninh). Individu atau pasangan yang berkeluarga pula akan ditentukan menerusi kad nikah atau dokumen berkaitan pernikahan yang dikemukakan kepada staf bertugas. Sekiranya ada penonton individu, kumpulan atau keluarga yang tersilap membeli tiket tanpa mengetahui penguatkuasaan pelaksanaan pengasingan tempat duduk itu, TGV Cinemas akan berusaha membantu namun, penukaran tempat duduk bergantung kepada kekosongan justeru  orang ramai diminta menyemak terlebih dahulu sebelum membuat pembelian tiket. Terdahulu, LFS Cinemas Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga (PB) Sentral menjadi pawagam pertama melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga bermula 3 Julai lalu.  
05 Sep 20
2846
Batalkan Hasrat Wahai Pelaku Maksiat - Skuad Cegah Dun Sura
Batalkan Hasrat Wahai Pelaku Maksiat - Skuad Cegah Dun Sura
DUNGUN, 5 September - Skuad Nahi Munkar (Skuad Cegah) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura memberi amaran keras kepada mana mana-mana individu yang berniat melakukan maksiat agar membatalkan hasrat tersebut.  Ketuanya, Mahdi Hassan berkata, pihaknya sentiasa mengadakan rondaan bagi membanteras aktiviti yang tidak bermoral daripada terus berleluasa. "Kita mendapat kerjasama baik dari Pejabat Agama Dungun untuk bergerak dan ronda disekitar kawasan bandar.  "Hampir setiap malam anggota kita akan buat rondaan di beberapa kawasan panas," katanya kepada pemberita. Menurutnya lagi, beberapa tempat yang sering menjadi tumpuan anak muda akan terus diawasi di samping akan diperluaskan lagi ke tempat lain.  "Kita dapat maklum balas yang positif daripada masyarakat. Ada yang hantar kepada  kita lokasi ‘hotspot’ supaya kita pergi pantau.  "Dalam perancangan kami juga untuk memperluaskan kawasan rondaan agar berjaya mencapai tujuan penubuhan," ujarnya.  Mahdi Hassan turut memaklumkan bahawa pihaknya ingin melihat daerah Dungun bebas daripada anasir-anasir anasir tidak sihat.  “Kami ingin menasihati kepada mereka yang datang ke Dungun agar tidak membuat sebarang masalah terutama aktiviti yang tidak bermoral kerana kami sedang mengawasi anda.  "Keluarga yang ingin bersantai juga tidak perlu bimbang lagi akan permandangan yang menggelikan kerana kita sedang berusaha ke arah zon bebas maksiat," tegasnya. 
05 Sep 20
3171
Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Tidak Dipinggirkan
Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Tidak Dipinggirkan
SETIU, 5 September - Projek pembangunan infrastruktur tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja tetapi turut dilaksanakan di sekitar luar bandar demi kesejahteraan rakyat pedalaman.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pembangunan di kawasan kampung sedang giat dijalankan termasuk usaha untuk meminimakan masalah yang ditanggung penduduk terutama pada musim tengkujuh. "Kita agihkan sedikit sebanyak biar sama rasa, semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Untuk kali ini, jalan dan longkang U di Kampung Bukit Tanah. Insya-Allah, musim banjir akan datang, masalah air bertakung kita cuba minimakan sedaya yang boleh," katanya ketika ditemui pemberita semalam. Menurutnya, sebarang pembangunan boleh dibina daripada pelbagai sumber sama ada Peruntukan Projek Kecil ADUN, Majlis Daerah, Pejabat Daerah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) malah ada ketikanya peruntukan poket  sendiri boleh dikeluarkan.  "Fungsi kami ialah merancang, mengatur dan membuat urusan bersama agensi atau jabatan terlibat agar peruntukan yang ada dapat disalurkan serta dibelanjakan sebaiknya bagi manfaat rakyat.  "Saya ibarat seorang ayah yang ada anak ramai. Tak boleh tunggu dan lihat sekadar apa yang mari sahaja. Perlu cergas bergerak ke sana ke mari, cari belanja dan peruntukan untuk keperluan anak-anak. "Naik lif, turun tangga, masuk pejabat keluar pejabat. Jumpa Menteri, KSU dan pegawai-pegawai kanan kementerian. Akhirnya biarlah ada hasil yang boleh dibawa balik kepada rakyat. "Jangan salah faham, duit pun bukan diberi kepada kita. Tapi dalam bentuk projek pembangunan melalui tatacara kewangan yang ketat," tambah beliau.
05 Sep 20
1008
Kaji Keperluan Hadkan Pengunjung Ke Perkampungan Budaya -Ariffin
Kaji Keperluan Hadkan Pengunjung Ke Perkampungan Budaya -Ariffin
KUALA NERUS, 4 September - Kerajaan Terengganu akan mengkaji keperluan untuk menghadkan jumlah kehadiran pengunjung ke Perkampungan Budaya di Muzium Negeri bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dipatuhi. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata perkara tersebut sudah berada dalam pemantauan pihaknya dan akan melakukan perbincangan pada masa yang sesuai. "Kampung budaya baru bermula semalam, kita tengok dalam tiga hari percuma ni, sejauh mana sambutan, macam mana keadaan berlaku dan Insya-Allah kita buat pelan untuk perancangan seterusnya. "Sebagaimana yang  telah dilakukan di santuari kelah oleh kerana permintaan tinggi terpaksa kita hadkan walaupun itu keuntungan yang sepatutnya kita dapat tetapi kita hadkannya. "Jadi perkara ini juga kita akan bincang, mungkin sampai masa kita akan hadkan jumlah ke kampung budaya tetapi buat masa sekarang tak boleh lagi dan kita sedang melihat perkara ini...oleh kerana baru sangat kita tengok dulu sambutan macam mana," ujarnya. Beliau berkata demikian di Majlis Penutup Festival Kebudayaan Terengganu 2020 di Warisan Sari Tok Jembal, di sini hari ini. Sementara itu, mengulas tentang pematuhan SOP di pulau-pulau peranginan, Ariffin menyerahkan kepada pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mereka juga membuat pemantauan tentang perkara ini. "Kita dah nasihat kepada mereka, untuk jangka masa panjang pelancongan Terengganu wajib mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan kami sendiri telah mengeluarkan panduan pelbagai acara kebudayaan yang dilancarkan di pulau redang dahulu. "Insya-Allah akan ada perbincangan berterusan agar perkara ini tidak berlaku lagi," ujarnya. Untuk rekod, perkampungan budaya yang dirasmikan semalam berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan itu menawarkan pelbagai keunikan serta keistimewaan seni budaya sebagai salah satu daripada kluster pelancongan negeri.  
04 Sep 20
683
25 OKP Tamat Program Reward Kepulihan Penyalahgunaan Dadah
25 OKP Tamat Program Reward Kepulihan Penyalahgunaan Dadah
KUALA NERUS, 4 September - Seramai 25 orang kena pengawasan (OKP) tamat Program Reward Kepulihan Penyalahgunaan Dadah di Pulau Redang di sini hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Hulu Terengganu, Ustaz Maliaman Kassim berkata, program ini merupakan salah satu ganjaran untuk OKP yang berjaya dalam kepulihan penyalahgunaan dadah. Katanya lagi, ia turut melatih mereka untuk menjadi fasilitator kepada OKP lain dan dalam masa yang sama mengeratkan hubungan antara mereka.  “Selama tiga hari ini, mereka yang juga OKP menjalankan pelbagai aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan. “Mereka dikejutkan pada jam 5 pagi untuk bersiap solat subuh dan seterusnya kuliah Subuh serta sesi dialog bagi mereka meluahkan apa yang terbuku di hati dan aktiviti ini mendapat kerjasama sepenuhnya. “Selain itu melatih untuk menjadi seorang fasilitator dalam kalangan OKP akan menjadi ikon penggerak dalam merangka dan melaksanakan program keagamaan yang melibatkan OKP lain untuk meninggalkan tabiat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya. Beliau yang juga ADUN Ajil berkata demikian pada Program Reward Kepulihan Penyalahgunaan Dadah yang berlangsung selama 3 hari 2 malam di Pulau Redang. Pada program itu, pelbagai aktiviti diadakan seperti solat fardu berjemaah, penyampaian mesej antidadah dan aktiviti snorkeling. Tambah beliau lagi, lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan diperlukan untuk tampil membantu klien atau orang kena pengawasan (OKP) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang memerlukan sokongan di negeri ini. “Dengan bantuan dari luar seperti ini, ia bukan sahaja membantu menyuntik semangat mereka untuk berjaya dalam kepulihan tetapi juga memberi semangat kepada ahli keluarga OKP itu sendiri,” katanya.    
04 Sep 20
806
Kampung Budaya Tarikan Baharu Pelancongan Terengganu
Kampung Budaya Tarikan Baharu Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 September - Kampung Budaya Terengganu yang dilancarkan di Muzium Negeri hari ini bakal menjadi produk pelancongan terbaharu sekali gus menarik lebih ramai kunjungan pelancong ke negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkampungan berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan itu menawarkan pelbagai keunikan serta keistimewaan seni budaya sebagai salah satu daripada kluster pelancongan negeri. Katanya, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mewujudkan Kampung Budaya Terengganu yang dijadikan ‘one stop centre’ dalam menghimpunkan pelbagai seni budaya warisan dari seluruh daerah Negeri Terengganu. “Ia memberikan pengalaman percutian bersejarah buat pengunjung kerana dipersembahkan dengan latar belakang serta suasana kehidupan sebenar masyarakat Melayu lama.  “Rumah-rumah asal tradisional negeri menempatkan pameran, demonstrasi dan pelbagai aktiviti kesenian dan warisan negeri yang seterusnya menjadi landasan bagi persembahan kesenian dan kebudayaan negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kampung Budaya Terengganu, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab. Rasid Jusoh. Tambah Ahmad Samsuri, ia turut melambangkan identiti negeri melalui keunikan seni warisan yang terdapat di setiap daerah. Menurut beliau, sebagai sebuah produk pelancongan baharu pengoperasian Kampung Budaya ini kelak bukan sahaja menjulang kembali kegemilangan warisan seni budaya masyarakat Melayu dahulu kala, tetapi juga mengingatkan generasi akan datang akan pentingnya mengetahui asal-usul sejarah peradaban Melayu.
03 Sep 20
4042
JHEAT Buka Ruang Inovasi Baru Pelupusan Al-Quran
JHEAT Buka Ruang Inovasi Baru Pelupusan Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 3 September- Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membuka ruang kepada mana-mana institusi dan agensi di Terengganu mahupun luar bagi mengemukakan inovasi baru dalam kaedah pelupusan al-Quran. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Pnenerangan negeri, Mohd Nor Hamzah bagaimanapun berkata, pihaknya sedang membincangkan satu kaedah baru pelupusan untuk menjaga kesucian al-Quran itu sendiri, namun dalam masa yang sama dapat menjaga alam sekitar dan memberikan manfaat yang baru kepada rakyat. Mohd Nor Hamzah. "JHEAT dan agensi-agensi berkaitan sedang berbincang untuk memperkenalkan satu inovasi baharu bagaimana untuk kita gunakan mushaf al-Quran yang rosak setelah dijadikan abu untuk memberikan kebaikan kepada orang ramai. Jabatan Mufti turut bersama saya dan kami dalam peringkat perbincangan, yang pasti tujuan utama ialah untuk memperkenalkan kaedah baru pelupusan al-Quran ini. "Hari ini kita buang sahaja kiub abu al-Quran ke tengah laut untuk diuraikan, jika ada manfaat lain yang boleh digunakan tetapi tidak menjejaskan kemuliaan mushaf itu sendiri, samada dalam perbincangan ini, boleh atau tidak dikitar semula untuk dijadikan kertas-kertas baru dan apa sahaja. JHEAT sedia memberi ruang itu," katanya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Program Pelupusan Kiub Abu al-Quran Ke Laut Kali kedua di perairan Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Ketua Penolong Pesuruhjaya Nik Zulhaiza Ismail; Ketua Hakim Mahkamah Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Timbalan Mufti Terengganu, Ahadi Othman dan Pengarah UPDI, Mohd Soud Said.   Turut hadir daripada agensi berkaitan ialah Pengarah Jabatan Laut Wilayah Timur, Wan Endok Wan Salleh; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Negeri Terengganu, Muhamad Khairul Ismail serta wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Alwi Ramli. Dalam program kerjasama Jabatan Laut Wilayah Timur itu, kira-kira tiga tan kiub abu al-Quran dilupuskan ke laut. Menurut Mohd Nor lagi, program pelupusan al-Quran lama dan rosak telah dimulakan JHEAT sejak tahun 2011, dengan cara berbeza. Namun, pada 2016, satu inovasi yang diperkenalkan untuk membentuk kiub-kiub debu al-Quran. "Dalam erti kata lain, JHEAT menyediakan relau, membakar sisa cebisan al-Quran yang rosak sehingga dibekukan dalam bentuk kiub dan di bawa ke laut untuk dilupuskan atas asas menghormati al-Quran dan keduanya menjaga persekitaran. "Setakat ini, kita hanya ada dua relau di ibu pejabat JHEAT, kita kalau boleh nak tambah kerana itu usaha yang baik untuk menjaga penghormatan al-Quran.  Mohd Nor bersama wakil agensi-agensi terlibat dalam program pelupusan al-Quran.  "Saya juga memohon jasa baik Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu agar dapat membekalkan JHEAT tambahan relau yang bernilai RM16,000 setiap satu, kita cadangkan satu di kawasan Besut-Setiu dan satu di Kemaman-Dungun," katanya. Jelasnya mushaf-mushaf yang terbiar dan tidak lagi digunakan sudah terlalu banyak dan usaha itu menjadi keperluan utama bagi mengelakkan mushaf yang ada di masjid dan rumah-rumah akhirnya dibiarkan menjejaskan kemuliaan al-Quran itu sendiri. "Data 2020 sahaja menunjukkan mushaf-mushaf al-Quran rosak yang dikumpulkan lebih kurang sebanyak 18,350 kilogram," tambahnya.    
03 Sep 20
1740
Abdul Hadi Serah 42 Suratan Hak Milik Dan Borang 5A RTB Jambu Bongkok Terengganu
Abdul Hadi Serah 42 Suratan Hak Milik Dan Borang 5A RTB Jambu Bongkok Terengganu
MARANG, 2 September - Seramai kira-kira 42 penduduk Marang menerima suratan hak milik tanah dan notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Lapang Jambu Laut (Jambu Bongkok) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di sini hari ini. Jumlah tersebut membabitkan seramai 30 penerima hak milik tanah dan 12 penerima Borang 5A untuk RTB tapak Rumah Kediaman Lapang Jambu Laut Tambahan, Mukim Merchang, daerah Marang yang telah diluluskan sebelum ini. Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkongsi kegembiraan tersebut dengan para penerima serta membuktikan kejayaan kerajaan negeri merealisasikan manifesto PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu. "Saya berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menyelesaikan isu tanah ini bagi memastikan rakyat kita yang memerlukan sentiasa mendapat bantuan yang sewajarnya, tidak kira bagi keperluan tempat tinggal, bercucuk tanam dan sebagainya. "Justeru, apa yang berjaya kita peroleh hari ini perlulah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hak Milik & Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Lapang Jambu Laut (Jambu Bongkok) di Balairaya Jambu Bongkok Darat di sini hari ini. Turut hadir dalam majlis itu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Marang, Mahari Abd Rahman dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lapang Jambu Laut, Zulkifli Puteh. Sulaiman Sulong. Dalam perkembangan sama, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong memberitahu, kerajaan negeri berusaha memastikan sebarang isu berkaitan dengan hak milik tanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan memudahkan rakyat. "Kerajaan negeri komited dalam usaha mengembalikan tanah-tanah terkilan terutama membabitkan peserta yang masih belum mempunyai hak di atas tanah yang mereka duduki. Kita berusaha bersungguh-sungguh memberikan geran kekal kepada mereka yang benar-benar layak. "Pastikan tanah lot yang kita agihkan mesti dengan niat untuk dibina rumah kediaman, bukan untuk dijual, ianya bagi memberi keselesaan, membina keluarga bahagia serta mencapai hasrat masyarakat yang maju, berkat dan sejahtera," ujarnya.
02 Sep 20
2384
Terengganu Lihat Keperluan Bubar DUN - MB
Terengganu Lihat Keperluan Bubar DUN - MB
    KUALA TERENGGANU, 2 September - Kerajaan negeri akan melihat keperluan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. Menteri Besar, Dato' Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bagaimanapun pihaknya akan melihat keperluan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. Katanya, perkara itu akan dipertimbangkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat. “Kita tidak tentu sama ada bubar atau tidak,  jadi akan tengok keperluan di Terengganu, tidak semestinya ikut (Parlimen) dan tidak semestinya tidak ikut, apa sahaja boleh berlaku,” "Jika Parlimen bubar, tidak semestinya DUN pun dibubarkan tapi insyaAllah kalau Pilihan Raya Umum (PRU-15) tahun ini kita bersedia untuk menhadapi pilihan raya. "Kita tengok keadaan bila pilihan raya mengejut tu, sebab macam-macam boleh terjadi, setahun, dua tahun atau tiga tahun lagi ke, kita tengok masa yang sesuai," ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Pembentukan Konsortium antara Ahmad Zaki Sdn Bhd dengan GPQ Sdn Bhd dan MMC Engineering Sdn Bhd dengan P-Excell Management Sdn Bhd Bagi Projek ECRL di Dewan Gamelan 3, Primula Beach Hotel, di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Kedah yang tidak berhasrat membubarkan DUN sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada PRU15. Ahmad Samsuri juga berkata, pihaknya juga sentiasa bersedia sekiranya terdapat kemungkinan PRU-15 berlaku  dalam masa terdekat.
02 Sep 20
3053